Sunday, October 28, 2018

POLITIK BORAK DALAM POLITIK MALAYSIA DAN KEGIATAN BERPUTAR-PURAT DALAM SASTERA



Apakah maksud politik borak?  Anda tentu mash ingat istilah “berputar-purat” yang saya bicarakan tempoh hari.  Inilah jenis politik yang menyalahkan orang lain dalam apa juga ucapan politik orang yang bercakap; dalam pada itu dia akan berkata seseorang tidak bersalah sehingga disahkan bersalah oleh mahkamah. Ini bermaksud, jika perlu tunggu sepuluh tahun, misalnya, untuk diselesaikan dalam mahkamah, maka tunggu saja, dalam masa itu diharamkan sesiapa juga berburuk sangka, apatah lagi menuduh yang buruk-buruk terhadap orang tertentu, atau ahli politik tertentu, yang dikatakan melakukan banyak kesalahan dan penyelewengan. Tetapi ini ada kecualinya. Sekiranya anda berkuasa, memegang kuasa, anda boleh berkata apa saja yang anda mahu, sama ada dalam batas-batas tertentu atau tanpa sebarang batasan. Sekiranya orang yang dikutuk atau dituduh berkata tuduhan melulu dikenakan ke atasnya, maka dia bebas untuk mendakwa si penuduh. Untuk melakukan ini dia perlu banyak wang, kerana kos untuk mendapat kembali maruahnya sangat mahal. Peguam yang membela mahu dibayar seperti yang ditetapkan oleh mereka; mahkamah pula bersedia memberi ganjaran kepada mana-mana pihak yang menang yang perlu dibayar kepadanya. Apakah makna ini semua? Maknanya, “keadilan” yang belum tentu adil, sangat mahal harganya dari segi wang ringgit, tetapi tidak dari segi kemuliaan manusia. Orang yang membuat tuduhan bukanlah manusia yang mulia akhlaknya; dia hanya mahu mempertahankan maruahnya yang belum tentu dipunyainya. Maksudnya, orang itu belum tentu mempunyai maruah tinggi yang wajib  dihormati; tetapi dia mempunyai banyak wang untuk mendapatkan maruah itu melalui mahkamah.  Maksudnya, seorang “penyangak” yang mempunyai wang akan berusaha mendapatkan status mulia itu dengan menggunakan wang. Perbuatan ini dibenarkan dalam undang-udang dan mahkamah bersedia mendengar kes seumpama itu.

Orang yang dituduh sebagai “penyangak”  tidak semestinya dia seorang penyangak, kerana yang menuduhnya adalah lawan politiknya atau orang yang membencinya.  Istilah penyangak ini penting dalam politik, kerana istilah ini digunakan oleh ahli yang paling terhormat sekali pun. Misalnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sering menggunakan perkataan ini terhadap musuh politiknya.  Oleh itu, yang menuduh tidak semestinya bersih dari sifat-sifat seorang penyangak, mungkin yang menuduh itulah yang benar-benar ‘penyangak”. Menjadi penyangak adalah satu kegiatan politik yang utama, seperti yang sering diucapkan oleh Tun Dr. Mahathir ketika menyebut nama bekas perdana menteri Dato’ Najib Tun Razak.  Bagaimana pula kedudukan beliau sendiri? Adakah beliau terlepas daripada tuduhan yang beliau lemparkan kepada musuh politiknya?  Soalan ini mungkin boleh dijawab dengan analisis mendalam oleh seorang penganalisis politik.  Ini mengingatkan saya kepada amaran Tunku Abdul Rahman yang diucapkannya kepada bapa saudara saya, Tan Sri Ahmad Noordin satu ketika dulu. Menurut beliau, Tunku pernah memberi amaran bahawa Mahathir Mohamad adalah seorang “pembohong besar” yang tidak boleh dipercayai. Saya sebut perkara ini hanya untuk menunjukkan keadaan yang selalu berlaku di kalangan ahli politik, yang saling menuduh satu sama lain. Itulah sifat politik di mana-mana saja.  Dalam kes ini, adakah Tunku sendiri berbohong atau itulah pendapatnya yang benar?  Di Amerika pula, anda tentu perasan bagaimana presiden US sekarang memburukkan Presiden Barak Obama. Satu kebiasaan yang menjadi nasi makan air minum di kalangan ahli politik Malaysia juga. Dalam sistem demokrasi Amerika, yang amat dikagumi oleh Tun Dr. Mahathir, terdapat istilah “mobilization of bias”, yang dipraktikkan dengan bebasnya dalam sistem demokrasi. Tun M mengaku dengan jujur Kerajaan Pakatan Harapan dalam Malaysia Baru tidak dapat menghapuskan tol kerana kosnya terlalu mahal, melebihi 400  bilion. Dia memberitahu dengan jujur ketika dia membuat janji itu, dia tidak percaya Pakatan Harapan akan menang. Sekarang sudah menang, tak boleh ditunaikan janji itu. Rakyat tertawa dan dengan rela bersetuju dengan Tun M yang jujur mengaku kesilapannya itu.  Siapa boleh jelaskan mengapa keadaan ini timbul?  Bagi saya senang saja: semua ahli politik menganggap dirinya saja yang benar dan jujur. Jika anda tanya Buyung Lurus, dia akan tertawa besar sambil mencarut!  Dia akan memberitahu mengapa pentingnya ditubuhkan PUPEN yang dicadangkannya itu. Saya diberitahu tentang satu kes seorang sarjana sastera terkenal yang menuduh Prof. Ungku Maimunah dan Dr Zariat “taasub melampau” terhadap PB. Adakah ini satu penghormatan beliau kepada dua orang sarjana itu dan juga cara beliau mengagumi PB? Kalau tak silap, saya pernah sebut perkara ini dalam satu entri yang saya sudah lupa tarikhnya, maklumat ini saya  dapat daripada blog tokoh sarjana besar ini sendiri.  Mungkin ada pembaca yang tahu cerita ini.  Saya menyebut perkara ini untuk memberitahu hal-hal begini terdapat juga dalam kegiatan sastera.  Itulah sebabnya saya pernah menegaskan ahli politik dan para sasterawan serta sarjana adalah setaraf dalam aspek ini. Adakah ini gambaran kejujuran dan kemuliaan peribadi mereka? Persoalan penting ini telah saya cuba huraikan secara kreatif dalam Hikayat Buyung Lurus, Hikayat Salim Adil, dan dalam Balai Maqamat. Tidak terdapat seorang pun di antara sarjana sastera dan sasterawan membicarakan aspek penting ini, sekurang-kurangnya menolak analisis saya tentang kedudukan sebenar mereka sebagai manusia berbudi mulia.

Dalam perkembangan intelektual di Malaysia, khususnya dalam bidang kesusasteraan, kemunculan PB menjadi cabaran yang amat besar kepada kesahihan kedudukan sastera, para sasterawan dan sarjana sastera. Golongan yang berada dalam Mutual Admiration Club ini sedar akan kepalsuan mereka yang semakin jelas dapat dilihat dalam tulisan, ceramah dan politik sastera yang menjadi pegangan mereka.  Ketakutan dan kekecewaan paling besar yang dihadapi para sarjana dan sasterawan ialah apabila PB mengemukakan tiga kategori karya, iaitu karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan dan erotik. Di mana duduknya karya para sasterawan negara? Adakah kedudukan itu mengatasi kedudukan karya persuratan?  Apakah ukuran yang dipakai ketika membuat pertimbangan dan pembahagian itu?  Dari semua pertanyaan ini, muncul pertanyaan yang lebih mencabar dan yang benar-benar memerlukan penjelasan daripada para sarjana dan sasterawan. Pertanyaan itu ialah sejauh mana karya persuratan mengatasi karya sastera dan adakah ukuran yang dikenakan kepada karya persuratan tidak dipunyai oleh karya sastera sehingga meletakkan karya sastera itu tidak setaraf dengan karya persuratan?  Pertanyaan ini memaksa para sarjana sastera memberi penghujahan yang mantap untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara, yang kini berada dalam lingkungan penulis yang lebih menghampiri karya picisan sekiranya dinilai daripada penyerlahan ilmu dalam karya mereka. Yang perlu ditolak mereka ialah konsep ilmu itu tidak diperlukan dalam karya seni seperti karya sastera, yang lebih memberi perhatian kepada hiburan dan kepuasan hawa nafsu, bukan kepuasan yang bersifat intelektual. Sekarang mereka perlu membuktikan hiburan itulah yang lebih utama daripada ilmu dan aspek intelektual dalam sesebuah karya kreatif.  Sehingga ini, mereka gagal, dan tidak mungkin dapat mempertahankan kedudukan hiburan itu lebih utama daripada kandungan yang bersifat intelektual yang memberi keutamaan kepada nilai-nilai ilmu dalam karya kreatif. Demikianlah borak sastera para sasterawan negara dan sarjana sastera dipatahkan dengan mudah oleh hujah yang berlandaskan ciri-ciri intelektual yang berunsur ilmu yang benar dalam karya persuratan yang ditaja oleh PB.  Semua persoalan ini perlu dibahaskan dalam pertemuan yang akan diadakan di UKM bulan November nanti, yang direstui oleh Menteri Pendidikan (yang mencetuskan istilah certot) dengan seorang tokoh besar sastera picisan, sasterawan negara Baha Zain, nama kontot kepada Datuk Baharuddin Zainal,  (yang menurut Shahnon Ahmad penulis sajak-sajak kontot) yang akan memberi ucaputama. Inilah borak dan sandiwara picisan dalam sastera Melayu yang tidak dapat dilindungi lagi. Suka atau tidak, mereka yang berada dalam Mutual Admiration Club ini akan berdepan dengan PB yang mencabar kedudukan palsu mereka.  Pertemuan dua orang tokoh tot-tot ini amat bersejarah, mungkin sejarah terbesar dalam era sasterawan negara yang picisan ini.

Dari segi politik sastera pula, kewujudan Anugerah Sastera Negara tidak lagi relevan dan perlu dihapuskan segera, seperti terbubarnya Majlis Profesor Negara sebaik saja Pakatan Harapan mengambil kuasa politik di Malaysia dengan slogan mereka, Malaysia Baru.  Dalam Malaysia Baru, Anugerah Sastera Negara tidak lagi relevan dan para sasterawan negara tidak diperlukan lagi.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 28 Oktober 2018.


Tuesday, October 16, 2018

REVOLUSI KASUT HITAM DALAM PENDIDIKAN MALAYSIA




Menteri Pendidikan Malaysia telah memberitahu bahawa Kementerian menetapkan pertukaran kasut putih kepada hitam akan selesai pada 2021.  Satu revolusi telah dimulai dalam pendidikan Malaysia dengan memindah perhatian dari otak ke kaki. Menurut Menteri Pendidikan, warna hitam adalah lambang kecerdikan kerana kasut hitam boleh menyembunyikan kekotoran di kaki pelajar yang boleh dilihat dengan jelas jika pelajar memakai kasut putih.  Menteri Pendidikan telah merevolusikan kefahaman kita tentang putih yang tidak lagi menyerlah sebagai simbol kejujuran dan kebaikan dalam kebudayaan Melayu; beliau gantikan dengan konsep hitam yang lebih perkasa dari segi makna dan pengaruh. Hitam adalah pakaian pejuang, pakaian para Ninja yang berani dan setia kepada Ketua. Itulah nilai baru yang mahu ditanam dalam budaya politik Malaysia Baru.  Anda perlu berhati-hati bila bercakap tentang Malaysia Baru, kerana di situ juga terselit unsur penipuan yang tiba-tiba dijadikan bahan jenaka yang membuat orang tertawa, bukan memaki hamun seperti biasa. Contohnya tentang penghapusan tol jalan raya. Kata Tun Mahathir, tol tak boleh dihapuskan kerana bayaran balik kepada syarikat sangat tinggi. Dia sebut perkara itu dalam pilihan raya (dalam manifesto) kerana dia tidak yakin akan menang. Sekarang sudah menang, apa macam? Penjelasannya cukup senang: minta maaf tak dapat dihapuskan tol!!  Ada orang kata, unsur berbohong begini adalah nasi makan air minum dalam politik, dilakukan oleh semua ahli politik, termasuk yang menggunakan Islam sebagai umpan mengundi.  Saya lihat aspek lain dari pengakuan Tun Mahathir; dia jujur dan tidak ragu-ragu untuk mengaku kesilapannya yang membawa tuah kepada Pakatan Harapan. Tidak pasti berapa ramai pengundi yang membeli gula-gula bebas tol itu sehingga PH tiba-tiba menang pilihan raya keramat itu. Keramat kerana akhirnya UMNO dilempar ke gaung sejarah, yang masih boleh hidup dan sedang merangkak perlahan-lahan naik ke tebing untuk bertarung dengan UMNO BARU yang memakai nama BERSATU, masih menggunakan warna merah seperti UMNO lama.  UMNO baru yang bernama BERSATU memilih DAP untuk menjadi sekutunya, dengan itu menerima konsep Malaysian Malaysia yang diberi branding baru sebagai Malaysia Baru.  Yang aneh, DAP dituduh cuba membahagikan Malaysia menjadi dua, satu untuk Melayu satu lagi untuk bukan Melayu, didominasi oleh DAP. Ini cerita lama, yang pernah dicadangkan oleh seorang setiausaha politik Menteri Kesihatan (MCA) ketika itu (sekitar 1980-an), seorang lulusan Taiwan yang menjadi SU Politik menteri. Kerana terlalu cepat isytihar benda itu, dia dipecat serta-merta.  Bodoh sangat, atau sangat angkuh, buat perisytiharan itu terlalu cepat. Saya ada sebut peristiwa ini dalam salah sebuah karya saya. Boleh semak di sana, dan saya pun minta ahli sejarah kita menafikannya supaya saya boleh pertahankan cerita itu.

Sebenarnya cerita ini sudah lama, terjadi pada zaman Tunku Abdul Rahman lagi, yang memberi kemerdekaan kepada Singapura untuk menyelamatkan Melayu di Semenanjung. Saya fikir inilah jalan keluar yang bersifat perkauman untuk memberi kemerdekaan kepada kaum yang dianggap akan menenggelamkan Melayu. Antara dua golongan ini, mana satu sebenarnya yang perkauman?  Bagi saya, istilah perkauman adalah satu istilah politik yang amat bodoh, yang boleh memisahkan rakyat dalam kelompok yang bermusuhan. Di sinilah kejayaan Tun Mahathir dalam PH yang menolak kebodohan ini dan menjadikan semua sama rata dan sama taraf. Siapa yang mahu membantah?  Dengan yakin saya berkata, bodohlah orang yang berbuat begitu. Di sinilah kehebatan YB Anwar Ibrahim ketika berucap pada hari kemenangannya sebagai ahli Parlemen Port Dickson.  Tiada perbezaan Melayu, Cina dan India, seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia. Tentulah pelik UMNO tidak sedar hakikat ini, padahal merekalah yang buat Perlembagaan itu bersama-sama MCA dan MIC.  Nasib baiklah PH menang, maka dapatlah dikembalikan persetujuan asal itu.

Inilah konteks yang melahirkan seorang Menteri Pendidikan yang revolusioner yang saya sebut di atas. Penyatuan bangsa dimulai di sekolah melalui pemakaian kasut hitam, beg sekolah hitam, uniform hitam. Saya yakin burung gagak yang masih ramai di Malaysia akan lari berterbangan melihat anak-anak sekolah yang hitam berjalan ramai-ramai menuju ke sekolah. Kita boleh selesaikan dengan mudah masalah gagak ini melalui pakaian hitam budak-budak sekolah.  Tidak kita sangka masalah yang dibangkitkan oleh Usman Awang dalam sajak burung gagaknya akhirnya diselesaikan oleh seorang Menteri Pendidikan secara yang amat revolusioner.  Sungguh hebat para pensajak Malaysia yang begitu dekat dengan masalah rakyat setelah melihat kebodohan dan kezaliman satu ketika dulu menembak burung gagak. Yang memang tidak boleh dihapuskan dan tidak wajar dihapuskan. Kehadiran burung gagak adalah penting, untuk membersihkan alam sekitar.

Perpaduan yang kini sudah menjelma dalam politik, wajar jika dibawa pula ke dalam perkembangan seni. Dengan itu saya cadangkan supaya kerajaan PH, dengan inisiatif YB Anwar Ibrahim sendiri, membina Dewan Kesenian Negara Port Dickson. Indonesia sudah lama membina Dewan Kesenian Jakarta yang terkenal itu. Dewan Kesenian Negara yang akan dibina di Port Dickson itu akan memberi perhatian kepada perkembangan ilmiah dalam tiga bidang besar; (1) persuratan, (2) dialog berkala soal-soal intelektual; dan (3) dewan pameran yang besar untuk membawa segala artifak dan hasil kesenian Malaysia untuk disaksikan oleh rakyat dan pelancong. Dewan Kesenian Negara ini juga akan menjadi tempat para pelancong belajar mengenali Malaysia secara dekat, di samping mendidik anak-anak kita dalam kebudayaan.  Kita benar-benar  berharap YB Anwar Ibrahim tidak menghampakan permintaan rakyat ini.  Dengan wujudnya Dewan Kesenian Negara ini kita berharap keutamaan kepada kaki dapat dikembalikan kepada pembinaan otak yang cerdas di kalangan pelajar dan rakyat melalui Dewan Kesenian Negara ini, yang akan menjadi pusat perkembangan ilmu yang benar setelah DBP dan ITBM gagal dalam usaha mereka yang mengutamakan kegiatan picisan dalam program mereka. Saya menunggu bantahan dari semua pihak terhadap idea revolusioner yang diilhamkan oleh Menteri Pendidikan kita.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 14 Oktober 2018.





Thursday, October 4, 2018

KEISTIMEWAAN BALAI MAQAMAT SEBAGAI SEBUAH KARYA PEMIKIRAN



Tiba-tiba saya teringat Polan Cupan, watak genius dalam sastera Melayu (lebih tepat, dalam persuratan Melayu).  Ini membuat saya membaca semula Balai Maqamat, yang telah saya tinggalkan sekian lama. Satu idea penting dalam karya ini ialah perbezaan antara menulis (pandai tulis) dengan mengarang.  Apa kaitannya dengan konsep wacana dan cerita dalam PB?  Saya tidak perlu jawab soalan ini. Saya fikir sesiapa juga yang kenal PB tahu jawapannya. Saya hanya ingin menegaskan bahawa Balai Maqamat adalah sebuah karya besar yang tidak boleh difahami oleh sarjana dan sasterawan, termasuk pengkritik sastera, kerana mereka sudah tenggelam dalam khayalan dan fantasi karya sastera. Balai Maqamat, sebagai sebuah karya persuratan, memaksa pembacanya berfikir, sesuatu yang tidak digemari oleh para sarjana dan sasterawan. Uniknya karya ini ialah kepelbagaian isu dan persoalan yang dibawanya menjadikannya sebuah kumpulan cerita pendek, tetapi dari segi pengolahan setiap bahagian atau bab dijalin begitu rupa untuk dibaca sebagai sebuah novel, tetapi sebuah novel yang diadaptasi daripada genre maqamat yang disesuaikan dengan persuratan Melayu.  Baca dan renungkan kutipan ini:

“Cerita-cerita dalam buku ini harus dibaca dengan cara tertentu. Melaluinya saya memaksa pembaca menyerlahkan kecerdikan sendiri dan bukan hanya hendak mengetahui ceritanya. Dengan berbuat begitu, tafsiran dan penilaian karya ini akan bergantung pada ilmu yang dimiliki oleh pembaca dan cita rasa mereka sama ada kasar atau halus selain pengalaman ilmiah mereka yang luas atau sempit atau tidak ada langsung.  Saya kini menguji kecerdikan pembacaku, orang Melayu. Barangkali pengkritik sastera, atau pengulas buku juga. Saudara sebagai seorang sarjana tentu dapat membaca maksud saya.” (hal. 6).

Dengan rasa gembira, dan kagum, saya mengaku seorang pembaca seperti yang saya maksudkan telah menulis satu ulasan yang tidak saja menarik, tetapi penuh kekuatan intelektual yang hampir tidak saya dapat di kalangan sarjana ciritan, apatah lagi pengkritik yang hanya menjadi pak turut teori sastera Barat yang tidak pun difahaminya dengan mendalam. Beliau ialah Najibah Abu Bakar. Ulasan beliau dapat Hadiah Sastera anjuran Negeri Selangor. Tahniah.

Dengan bukti ini, orang tidak boleh berkata ukuran yang saya anjurkan tidak boleh dicapai. Untuk makluman anda, Puan Najibah adalah seorang Pustakawan, bukan sarjana sastera dan tidak juga pengkritik sastera; tetapi anda boleh belajar daripada ulasan beliau yang rapi dan memikat itu.  Ini pun menjadi satu bukti bahawa PB boleh difahami jika mahu difahami.  Ada satu perkara penting yang perlu saya sebut di sini, sebagai bukti betapa memihaknya juri peringkat kebangsaan untuk memilih kumpulan dan kawan-kawan sendiri untuk menerima Hadiah Sastera Kebangsaan. Mereka ini tidak saja jahat menolak konsep ilmu yang benar; tetapi juga tidak amanah dalam membuat pilihan. Sebenarnya sebodoh-bodoh lembu pun tahu memilih rumput dan dapat membezakan daun kering daripada rumput. Tetapi tidak golongan ini.

Perhatikan kutipan ini:  “Saya sedang meneroka belantara kreatif yang belum diminati para sasterawan.  Kerana itu saya membezakan antara kegiatan yang bercorak sastera dengan persuratan. Kedua-duanya tidak sama. Tidak mungkin lahir karya maqamat daripada sasterawan, kerana asasnya bukan ilmu. Sastera hanya berminat kepada emosi, naratif dan aspek kejahatan daripada kehidupan manusia. Sementara persuratan pula berminat kepada ilmu, wacana dan aspek kebaikan daripada kehidupan manusia. Maqamat ialah sejenis wacana kreatif yang bersifat didaktik dan kaya dengan pengajaran moral, di samping untuk berhibur.” (hal. 7-8).

Itulah inti pati yang menjadi isu dalam Balai Maqamat; oleh itu setiap episod membicarakan aspek tertentu dalam kehidupan manusia dan pemikiran mereka. Kemuncak daripada pelbagai episod itu ialah kehidupan Polan Cupan, yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia, diolah begitu rupa untuk menyerlahkan makna kehidupan sebenar seseorang manusia yang berfikir.  Karya seumpama ini tidak pernah terlintas dalam kepala para sasterawan negara, apatah lagi menulisnya dengan segala kesedaran estetika dan makna yang mendalam. Dengan kesimpulan ini, saya mencabar para sarjana, pengkritik dan sasterawan negara untuk menolak kesimpulan ini, sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan kedudukan istimewa para sasterawan negara dan para sarjana yang bergelar profesor atau profesor madya. 

Balai Maqamat wajar  mendapat kritikan paling keras yang terdaya dilakukan oleh para sarjana sastera untuk membuktikan karya ini tidak mempunyai kualiti yang saya tegaskan. Mereka tidak ada pilihan lain untuk mempertahankan kedudukan istimewa mereka dengan menyahut cabaran ini. Sekiranya mereka memutuskan cabaran ini tidak perlu dilayan, kerana cabaran ini tidak menjejaskan kedudukan mereka, maka mereka telah membuktikan kedudukan sebenar mereka sebagai sarjana ciritan. Oleh itu, tidak mungkin terdapat kemajuan pemikiran dan akademik dalam sastera Melayu moden jika para pelakonnya mengambil jalan bodoh dan mudah untuk berdiam diri kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai hujah. Saya terus menerus mengemukakan kepalsuan para sarjana dan sasterawan ini kerana perkara inilah yang menjadi penghalang kepada pendidikan sastera di Malaysia.

Walau betapa gigih sekali pun usaha para sarjana ini untuk menidakkan kehadiran PB dalam perkembangan intelektual Malaysia, mereka tetap gagal kerana yang menyerlah dengan jelas ialah tiadanya sifat objektif mereka dalam bidang akademik. Betapa lekeh dan selekehnya mereka terbukti dengan sikap anti-intelektual mereka kononnya mereka tidak perlu memberi perhatian kepada apa juga yang bersangkut dengan PB; oleh itu mereka tidak berminat hendak mengkritik dan menghuraikan peranan Balai Maqamat dalam sastera Melayu, terutama sekali mengenai keistimewaan cerita pendek “Rumah Impian Polan Cupan” yang kaya dengan idea itu, yang sejak permulaan cerita pendek itu lagi peranan para sarjana yang selekeh ini dijadikan permulaan karya ini. Dr. Polan Cupan tertawa lucu apabila Prof. Ayu Bestari mengemukakan soalan yang bodoh, walaupun nama beliau “Ayu Bestari”. Jika anda membaca karya istimewa ini dengan kritis, anda akan dapati Prof. Ayu Bestari adalah contoh popular kualiti sarjana sastera, sama picisannya dengan para sasterawan.  Bandingkan watak ini dengan watak guru Polan Cupan, yang serta-merta kenal bahawa muridnya itu seorang genius, dengan itu  beliau mengusahakan supaya muridnya mendapat peluang terbaik untuk menyerlahkan sifat geniusnya. Dalam konteks ini, sang guru jauh lebih bijak dan cerdik daripada sang profesor yang bernama “Bestari” tetapi bodoh. Now I want to ask you, adakah “profesor” seumpama ini wujud di kalangan sarjana sastera? Saya telah memberi contohnya berselerak di dalam entri blog ini. Hanya pembaca yang bodoh dan cetek meraba-raba saja yang tidak kenal siapa mereka.

Setiap kali anda membuka blog Gagasan Persuratan Baru, anda akan membaca peringatan ini: “Sesiapa juga yang memberi pendapatnya harus bersedia untuk dicabar.  Itulah hukum alam dan jalan yang mesti dilalui oleh orang-orang berilmu.”  Sebagai peringatan untuk diri saya dan juga untuk orang yang bergelar sarjana, peringatan itu tepat sekali. Itulah panduan yang wajar dijadikan ikutan oleh para sarjana.  Tetapi nampaknya peringatan ini diremehkan saja oleh para sarjana, pengkritik dan para sasterawan. Apakah yang menjadi panduan mereka?. Jawapannya diberikan oleh Prof. Ayu Bestari.

Sekiranya anda masih ragu-ragu tentang kualiti kreatif dan kualiti pemikiran dalam Balai Maqamat, terutama sekali dalam “Rumah Impian Polan Cupan,”  yang menjadi inti sari keseluruhan Balai Maqamat,  maka objek yang menjadi sorotan sekarang ialah kualiti pemikiran anda sendiri.  Jika anda seorang intelektual, saya pasti anda berasa tidak selesa dan terlalu tercabar.  Tidak seorang pun di antara sasterawan negara yang berani mengemukakan sebuah karya terbaik yang mereka hasilkan untuk dibandingkan dan dikaji bersama dengan Balai Maqamat, maka dengan itu mereka secara sedar dan suka rela mengakui bahawa Balai Maqamat adalah sebuah karya besar yang tidak mungkin mereka tandingi dari perspektif apa pun.  Bagaimana pula reaksi seorang sarjana sastera? Tidak ada sarjana sastera yang boleh membicarakan dengan mendalam hatta sebuah cerita pendek seperti “Rumah Impian Polan Cupan”, apatah lagi untuk membicarakan Balai Maqamat. Demikianlah kedudukan para sarjana sastera.

Itulah keadaan yang kita hadapi sekarang, sama ada anda mengaku atau tidak. Maka dalam konteks ini, bagaimana anda boleh menolak Gagasan Persuratan Baru yang mencabar semua teori sastera dunia?  Dengan pertanyaan ini, saya membuka jalan kepada anda untuk membuktikan kesimpulan ini tidak boleh dijadikan pegangan; malah anda boleh berkata jika anda mahu, tiada satu pun teori sastera Barat boleh dicabar oleh mana-mana “teori” yang dicetus di Malaysia, tidak juga Gagasan Persuratan Baru. Kesimpulan ini menjadi lebih sulit untuk dibuktikan, kerana anda harus memahami dengan mendalam PB dan teori Barat untuk membuat kesimpulan itu. Kedua-duanya belum ada lagi dilaksanakan oleh mana-mana sarjana Malaysia.  Sekiranya anda membaca kertas kerja para sarjana ini yang menggunakan teori Barat untuk menilai karya para sasterawan negara (Seminar Pemikiran Sasterawan Negara), anda akan melihat betapa ceteknya kefahaman mereka terhadap teori Barat. Mereka hanya tahu menyebut, tetapi tidak memahaminya. Sekiranya mereka memahaminya, saya yakin mereka tidak akan menggunakannya seperti yang mereka papar dalam kertas kerja mereka. Saya telah memberi beberapa contoh dalam  beberapa entri dalam blog ini.  Kesimpulan ini merupakan satu cabaran hebat yang memalukan para sarjana ciritan ini, yang tergila-gilakan teori Barat padahal tidak memahaminya. Jika mereka benar-benar faham implikasi teori Barat dalam sastera Melayu dan dalam pembinaan budaya ilmu di Malaysia, mereka akan berasa betul-betul tebal muka disalut kulit babi (ini peribahasa orang tua-tua Melayu, bukan ciptaan saya!) kerana kejahilan mereka yang membuat mereka begitu angkuh menolak alternatif yang diberikan oleh PB.  Di mana salahnya PB; di mana pula betulnya keangkuhan mereka. Jikalau mereka tidak dapat melihat kedudukan sebenar mereka dalam persoalan ini, maka jelaslah mereka berada dalam kandang pandirisme.

Berada dalam kandang pandirisme bukanlah sesuatu yang membanggakan. Inilah idea besar yang ingin disampaikan “Rumah Impian Polan Cupan”, sebuah karya yang benar-benar boleh berdiri gagah dalam sastera dunia mencabar karya para sasterawan besar dunia di mana saja. Sekiranya anda tidak dapat melihat implikasi ini, maka sudah jelas anda tidak lebih dari penghuni kandang pandirisme. Berada di dalam kandang bukan suatu kedudukan yang membanggakan, apatah lagi jika anda berada dalam kandang pandirisme.

Dilihat dari perspektif ini, kedudukan Balai Maqamat sebagai sebuah karya persuratan yang hebat mencabar kemampuan intelektual anda untuk menolak kesimpulan ini atau terus mendiamkan diri seperti lembu kenyang.  Berkali-kali saya ulang kesimpulan serupa ini dalam pelbagai bentuk untuk memberi kemudahan kepada anda memahaminya dan dengan itu melancarkan serangan balas untuk membuktikan Balai Maqamat tidak bermutu dan PB sendiri telah gagal menghasilkan karya yang kaya dengan pemikiran. Sangat mudah melakukan serangan balas itu dengan membuktikan karya para sasterawan negara bukanlah karya picisan. Percubaan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad  dari Universiti Malaya untuk mengangkat novel picisan Naratif Ogonshoto telah gagal secara total, seperti yang saya buktikan dalam beberapa entri dalam blog ini.  Analisis (?) profesor ini pun tidak kurang picisannya, oleh itu kedudukan novel picisan ini tidak dapat diangkat sebagai novel terbesar Malaysia sekiranya anda sedar kedudukan “Rumah Impian Polan Cupan” sebagai sebuah karya besar dunia tidak dapat dicabar oleh novel picisan ini, walaupun telah dijadikan novel terbesar Malaysia sepanjang zaman. Sebodoh itukah para sarjana ciritan ini? Para pelajar sastera, terutama di univefrsiti, perlu sedar akan hakikat ini dan mereka perlu membuat pilihan yang tepat, sama ada menerima karya picisan seperti Naratif Ogonshoto itu atau menolak dengan tuntas “Rumah Impian Polan Cupan” sebagai sebuah karya besar dunia.  Tanyalah profesor kamu bagaimana ini boleh dilakukan.  Dengan itu kamu tahu di mana kedudukan Balai Maqamat sebagai karya persuratan yang boleh mencabar mana-mana karya besar dunia dari segi pemikiran dan teknik mengarang.  Banyak yang kamu perlu pelajari jika kamu tidak dapat melihat makna kesimpulan ini dalam perkembangan intelektual di Malaysia.  Seperti yang ditunjukkan dalam Balai Maqamat, kamu juga perlu mencabar kewibawaan intelektual dan akademik profesor kamu dalam persoalan akademik ini. Perkara ini dibincang dalam Balai Maqamat. Itu sebabnya saya anjurkan anda membaca dengan kritis dan kreatif Balai Maqamat, seperti yang telah dibuat oleh Puan Najibah Abu Bakar dalam ulasannya.

Sejauh mana saya telah memberi kepuasan intelektual kepada anda dalam tajuk yang tertulis di atas, banyak sekali bergantung pada kemampuan intelektual anda sendiri. Kesimpulan ini sendiri pun merupakan satu cabaran besar menguji kemampuan intelektual anda sejauh mana anda memahami kedudukan ilmu dalam persuratan. Saya terbuka untuk dikritik seberapa kritis yang anda terdaya melakukannya.  Silakanlah.  Sebagai peringatan ikhlas, biarlah kritikan anda itu tidak membuat tikus pun tertawa.  Mengapa? Kerana Sang Tikus tahu anda lebih teruk daripada “tikus membaiki labu!”

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 4 Oktober 2018.