Thursday, October 4, 2018

KEISTIMEWAAN BALAI MAQAMAT SEBAGAI SEBUAH KARYA PEMIKIRAN



Tiba-tiba saya teringat Polan Cupan, watak genius dalam sastera Melayu (lebih tepat, dalam persuratan Melayu).  Ini membuat saya membaca semula Balai Maqamat, yang telah saya tinggalkan sekian lama. Satu idea penting dalam karya ini ialah perbezaan antara menulis (pandai tulis) dengan mengarang.  Apa kaitannya dengan konsep wacana dan cerita dalam PB?  Saya tidak perlu jawab soalan ini. Saya fikir sesiapa juga yang kenal PB tahu jawapannya. Saya hanya ingin menegaskan bahawa Balai Maqamat adalah sebuah karya besar yang tidak boleh difahami oleh sarjana dan sasterawan, termasuk pengkritik sastera, kerana mereka sudah tenggelam dalam khayalan dan fantasi karya sastera. Balai Maqamat, sebagai sebuah karya persuratan, memaksa pembacanya berfikir, sesuatu yang tidak digemari oleh para sarjana dan sasterawan. Uniknya karya ini ialah kepelbagaian isu dan persoalan yang dibawanya menjadikannya sebuah kumpulan cerita pendek, tetapi dari segi pengolahan setiap bahagian atau bab dijalin begitu rupa untuk dibaca sebagai sebuah novel, tetapi sebuah novel yang diadaptasi daripada genre maqamat yang disesuaikan dengan persuratan Melayu.  Baca dan renungkan kutipan ini:

“Cerita-cerita dalam buku ini harus dibaca dengan cara tertentu. Melaluinya saya memaksa pembaca menyerlahkan kecerdikan sendiri dan bukan hanya hendak mengetahui ceritanya. Dengan berbuat begitu, tafsiran dan penilaian karya ini akan bergantung pada ilmu yang dimiliki oleh pembaca dan cita rasa mereka sama ada kasar atau halus selain pengalaman ilmiah mereka yang luas atau sempit atau tidak ada langsung.  Saya kini menguji kecerdikan pembacaku, orang Melayu. Barangkali pengkritik sastera, atau pengulas buku juga. Saudara sebagai seorang sarjana tentu dapat membaca maksud saya.” (hal. 6).

Dengan rasa gembira, dan kagum, saya mengaku seorang pembaca seperti yang saya maksudkan telah menulis satu ulasan yang tidak saja menarik, tetapi penuh kekuatan intelektual yang hampir tidak saya dapat di kalangan sarjana ciritan, apatah lagi pengkritik yang hanya menjadi pak turut teori sastera Barat yang tidak pun difahaminya dengan mendalam. Beliau ialah Najibah Abu Bakar. Ulasan beliau dapat Hadiah Sastera anjuran Negeri Selangor. Tahniah.

Dengan bukti ini, orang tidak boleh berkata ukuran yang saya anjurkan tidak boleh dicapai. Untuk makluman anda, Puan Najibah adalah seorang Pustakawan, bukan sarjana sastera dan tidak juga pengkritik sastera; tetapi anda boleh belajar daripada ulasan beliau yang rapi dan memikat itu.  Ini pun menjadi satu bukti bahawa PB boleh difahami jika mahu difahami.  Ada satu perkara penting yang perlu saya sebut di sini, sebagai bukti betapa memihaknya juri peringkat kebangsaan untuk memilih kumpulan dan kawan-kawan sendiri untuk menerima Hadiah Sastera Kebangsaan. Mereka ini tidak saja jahat menolak konsep ilmu yang benar; tetapi juga tidak amanah dalam membuat pilihan. Sebenarnya sebodoh-bodoh lembu pun tahu memilih rumput dan dapat membezakan daun kering daripada rumput. Tetapi tidak golongan ini.

Perhatikan kutipan ini:  “Saya sedang meneroka belantara kreatif yang belum diminati para sasterawan.  Kerana itu saya membezakan antara kegiatan yang bercorak sastera dengan persuratan. Kedua-duanya tidak sama. Tidak mungkin lahir karya maqamat daripada sasterawan, kerana asasnya bukan ilmu. Sastera hanya berminat kepada emosi, naratif dan aspek kejahatan daripada kehidupan manusia. Sementara persuratan pula berminat kepada ilmu, wacana dan aspek kebaikan daripada kehidupan manusia. Maqamat ialah sejenis wacana kreatif yang bersifat didaktik dan kaya dengan pengajaran moral, di samping untuk berhibur.” (hal. 7-8).

Itulah inti pati yang menjadi isu dalam Balai Maqamat; oleh itu setiap episod membicarakan aspek tertentu dalam kehidupan manusia dan pemikiran mereka. Kemuncak daripada pelbagai episod itu ialah kehidupan Polan Cupan, yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia, diolah begitu rupa untuk menyerlahkan makna kehidupan sebenar seseorang manusia yang berfikir.  Karya seumpama ini tidak pernah terlintas dalam kepala para sasterawan negara, apatah lagi menulisnya dengan segala kesedaran estetika dan makna yang mendalam. Dengan kesimpulan ini, saya mencabar para sarjana, pengkritik dan sasterawan negara untuk menolak kesimpulan ini, sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan kedudukan istimewa para sasterawan negara dan para sarjana yang bergelar profesor atau profesor madya. 

Balai Maqamat wajar  mendapat kritikan paling keras yang terdaya dilakukan oleh para sarjana sastera untuk membuktikan karya ini tidak mempunyai kualiti yang saya tegaskan. Mereka tidak ada pilihan lain untuk mempertahankan kedudukan istimewa mereka dengan menyahut cabaran ini. Sekiranya mereka memutuskan cabaran ini tidak perlu dilayan, kerana cabaran ini tidak menjejaskan kedudukan mereka, maka mereka telah membuktikan kedudukan sebenar mereka sebagai sarjana ciritan. Oleh itu, tidak mungkin terdapat kemajuan pemikiran dan akademik dalam sastera Melayu moden jika para pelakonnya mengambil jalan bodoh dan mudah untuk berdiam diri kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai hujah. Saya terus menerus mengemukakan kepalsuan para sarjana dan sasterawan ini kerana perkara inilah yang menjadi penghalang kepada pendidikan sastera di Malaysia.

Walau betapa gigih sekali pun usaha para sarjana ini untuk menidakkan kehadiran PB dalam perkembangan intelektual Malaysia, mereka tetap gagal kerana yang menyerlah dengan jelas ialah tiadanya sifat objektif mereka dalam bidang akademik. Betapa lekeh dan selekehnya mereka terbukti dengan sikap anti-intelektual mereka kononnya mereka tidak perlu memberi perhatian kepada apa juga yang bersangkut dengan PB; oleh itu mereka tidak berminat hendak mengkritik dan menghuraikan peranan Balai Maqamat dalam sastera Melayu, terutama sekali mengenai keistimewaan cerita pendek “Rumah Impian Polan Cupan” yang kaya dengan idea itu, yang sejak permulaan cerita pendek itu lagi peranan para sarjana yang selekeh ini dijadikan permulaan karya ini. Dr. Polan Cupan tertawa lucu apabila Prof. Ayu Bestari mengemukakan soalan yang bodoh, walaupun nama beliau “Ayu Bestari”. Jika anda membaca karya istimewa ini dengan kritis, anda akan dapati Prof. Ayu Bestari adalah contoh popular kualiti sarjana sastera, sama picisannya dengan para sasterawan.  Bandingkan watak ini dengan watak guru Polan Cupan, yang serta-merta kenal bahawa muridnya itu seorang genius, dengan itu  beliau mengusahakan supaya muridnya mendapat peluang terbaik untuk menyerlahkan sifat geniusnya. Dalam konteks ini, sang guru jauh lebih bijak dan cerdik daripada sang profesor yang bernama “Bestari” tetapi bodoh. Now I want to ask you, adakah “profesor” seumpama ini wujud di kalangan sarjana sastera? Saya telah memberi contohnya berselerak di dalam entri blog ini. Hanya pembaca yang bodoh dan cetek meraba-raba saja yang tidak kenal siapa mereka.

Setiap kali anda membuka blog Gagasan Persuratan Baru, anda akan membaca peringatan ini: “Sesiapa juga yang memberi pendapatnya harus bersedia untuk dicabar.  Itulah hukum alam dan jalan yang mesti dilalui oleh orang-orang berilmu.”  Sebagai peringatan untuk diri saya dan juga untuk orang yang bergelar sarjana, peringatan itu tepat sekali. Itulah panduan yang wajar dijadikan ikutan oleh para sarjana.  Tetapi nampaknya peringatan ini diremehkan saja oleh para sarjana, pengkritik dan para sasterawan. Apakah yang menjadi panduan mereka?. Jawapannya diberikan oleh Prof. Ayu Bestari.

Sekiranya anda masih ragu-ragu tentang kualiti kreatif dan kualiti pemikiran dalam Balai Maqamat, terutama sekali dalam “Rumah Impian Polan Cupan,”  yang menjadi inti sari keseluruhan Balai Maqamat,  maka objek yang menjadi sorotan sekarang ialah kualiti pemikiran anda sendiri.  Jika anda seorang intelektual, saya pasti anda berasa tidak selesa dan terlalu tercabar.  Tidak seorang pun di antara sasterawan negara yang berani mengemukakan sebuah karya terbaik yang mereka hasilkan untuk dibandingkan dan dikaji bersama dengan Balai Maqamat, maka dengan itu mereka secara sedar dan suka rela mengakui bahawa Balai Maqamat adalah sebuah karya besar yang tidak mungkin mereka tandingi dari perspektif apa pun.  Bagaimana pula reaksi seorang sarjana sastera? Tidak ada sarjana sastera yang boleh membicarakan dengan mendalam hatta sebuah cerita pendek seperti “Rumah Impian Polan Cupan”, apatah lagi untuk membicarakan Balai Maqamat. Demikianlah kedudukan para sarjana sastera.

Itulah keadaan yang kita hadapi sekarang, sama ada anda mengaku atau tidak. Maka dalam konteks ini, bagaimana anda boleh menolak Gagasan Persuratan Baru yang mencabar semua teori sastera dunia?  Dengan pertanyaan ini, saya membuka jalan kepada anda untuk membuktikan kesimpulan ini tidak boleh dijadikan pegangan; malah anda boleh berkata jika anda mahu, tiada satu pun teori sastera Barat boleh dicabar oleh mana-mana “teori” yang dicetus di Malaysia, tidak juga Gagasan Persuratan Baru. Kesimpulan ini menjadi lebih sulit untuk dibuktikan, kerana anda harus memahami dengan mendalam PB dan teori Barat untuk membuat kesimpulan itu. Kedua-duanya belum ada lagi dilaksanakan oleh mana-mana sarjana Malaysia.  Sekiranya anda membaca kertas kerja para sarjana ini yang menggunakan teori Barat untuk menilai karya para sasterawan negara (Seminar Pemikiran Sasterawan Negara), anda akan melihat betapa ceteknya kefahaman mereka terhadap teori Barat. Mereka hanya tahu menyebut, tetapi tidak memahaminya. Sekiranya mereka memahaminya, saya yakin mereka tidak akan menggunakannya seperti yang mereka papar dalam kertas kerja mereka. Saya telah memberi beberapa contoh dalam  beberapa entri dalam blog ini.  Kesimpulan ini merupakan satu cabaran hebat yang memalukan para sarjana ciritan ini, yang tergila-gilakan teori Barat padahal tidak memahaminya. Jika mereka benar-benar faham implikasi teori Barat dalam sastera Melayu dan dalam pembinaan budaya ilmu di Malaysia, mereka akan berasa betul-betul tebal muka disalut kulit babi (ini peribahasa orang tua-tua Melayu, bukan ciptaan saya!) kerana kejahilan mereka yang membuat mereka begitu angkuh menolak alternatif yang diberikan oleh PB.  Di mana salahnya PB; di mana pula betulnya keangkuhan mereka. Jikalau mereka tidak dapat melihat kedudukan sebenar mereka dalam persoalan ini, maka jelaslah mereka berada dalam kandang pandirisme.

Berada dalam kandang pandirisme bukanlah sesuatu yang membanggakan. Inilah idea besar yang ingin disampaikan “Rumah Impian Polan Cupan”, sebuah karya yang benar-benar boleh berdiri gagah dalam sastera dunia mencabar karya para sasterawan besar dunia di mana saja. Sekiranya anda tidak dapat melihat implikasi ini, maka sudah jelas anda tidak lebih dari penghuni kandang pandirisme. Berada di dalam kandang bukan suatu kedudukan yang membanggakan, apatah lagi jika anda berada dalam kandang pandirisme.

Dilihat dari perspektif ini, kedudukan Balai Maqamat sebagai sebuah karya persuratan yang hebat mencabar kemampuan intelektual anda untuk menolak kesimpulan ini atau terus mendiamkan diri seperti lembu kenyang.  Berkali-kali saya ulang kesimpulan serupa ini dalam pelbagai bentuk untuk memberi kemudahan kepada anda memahaminya dan dengan itu melancarkan serangan balas untuk membuktikan Balai Maqamat tidak bermutu dan PB sendiri telah gagal menghasilkan karya yang kaya dengan pemikiran. Sangat mudah melakukan serangan balas itu dengan membuktikan karya para sasterawan negara bukanlah karya picisan. Percubaan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad  dari Universiti Malaya untuk mengangkat novel picisan Naratif Ogonshoto telah gagal secara total, seperti yang saya buktikan dalam beberapa entri dalam blog ini.  Analisis (?) profesor ini pun tidak kurang picisannya, oleh itu kedudukan novel picisan ini tidak dapat diangkat sebagai novel terbesar Malaysia sekiranya anda sedar kedudukan “Rumah Impian Polan Cupan” sebagai sebuah karya besar dunia tidak dapat dicabar oleh novel picisan ini, walaupun telah dijadikan novel terbesar Malaysia sepanjang zaman. Sebodoh itukah para sarjana ciritan ini? Para pelajar sastera, terutama di univefrsiti, perlu sedar akan hakikat ini dan mereka perlu membuat pilihan yang tepat, sama ada menerima karya picisan seperti Naratif Ogonshoto itu atau menolak dengan tuntas “Rumah Impian Polan Cupan” sebagai sebuah karya besar dunia.  Tanyalah profesor kamu bagaimana ini boleh dilakukan.  Dengan itu kamu tahu di mana kedudukan Balai Maqamat sebagai karya persuratan yang boleh mencabar mana-mana karya besar dunia dari segi pemikiran dan teknik mengarang.  Banyak yang kamu perlu pelajari jika kamu tidak dapat melihat makna kesimpulan ini dalam perkembangan intelektual di Malaysia.  Seperti yang ditunjukkan dalam Balai Maqamat, kamu juga perlu mencabar kewibawaan intelektual dan akademik profesor kamu dalam persoalan akademik ini. Perkara ini dibincang dalam Balai Maqamat. Itu sebabnya saya anjurkan anda membaca dengan kritis dan kreatif Balai Maqamat, seperti yang telah dibuat oleh Puan Najibah Abu Bakar dalam ulasannya.

Sejauh mana saya telah memberi kepuasan intelektual kepada anda dalam tajuk yang tertulis di atas, banyak sekali bergantung pada kemampuan intelektual anda sendiri. Kesimpulan ini sendiri pun merupakan satu cabaran besar menguji kemampuan intelektual anda sejauh mana anda memahami kedudukan ilmu dalam persuratan. Saya terbuka untuk dikritik seberapa kritis yang anda terdaya melakukannya.  Silakanlah.  Sebagai peringatan ikhlas, biarlah kritikan anda itu tidak membuat tikus pun tertawa.  Mengapa? Kerana Sang Tikus tahu anda lebih teruk daripada “tikus membaiki labu!”

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 4 Oktober 2018.






Thursday, September 27, 2018

BUDAYA BERPUTAR-PURAT DALAM POLITIK DAN SASTERA



Ungkapan berputar-purat dijelaskan dalam entri 5 Ogos 2010. Lihat penjelasan ungkapan ini dalam entri itu. Dalam bahasa percakapan yang terkenal di Malaysia, perkataan kelentong bolehlah dijadikan perkataan seerti dengan berputar-purat, walaupun kedua-duanya terdapat sedikit perbezaan. Untuk kelentong, sila rujuk Kamus Dewan; perkataan ini tidak terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia. Sesiapa yang biasa dengan bahasa Indonesia tentu tahu teman rapat “kelentong” dalam bahasa Indonesia. Saya tidak tahu.  Saya pasti mesti terdapat dalam bahasa Jawa, jangan-jangan kelentong itu memang bahasa Jawa!

Isu yang cuba dibincangkan di sini jarang disebut, walaupun “falsafah” kelentong menyerlah dengan jelas setiap hari dalam TV, diucapkan oleh ahli politik, juru acara atau juru hebah TV dan Radio dan menjadi isu yang lumrah dalam berita dan ulasan berita. Isu ini timbul dalam entri ini kerana ada yang tidak faham membaca entri yang lepas (bertarikh 20/9/2018) mengenai Kementerian Pendidikan dan Menterinya serta Penasihat Kepada Menteri Pendidikan.  Ada yang berkata kedua-dua makhluk ini sacred, tidak boleh dijadikan bahan perbincangan. Tetapi kerajaan PH memberi kebebasan bersuara asal jangan melebihi batas susila dan undang-undang. Kalau tidak boleh, apa makna kebebasan dan untuk siapa? Demikianlah tepatnya ungkapan berputar-purat itu terkena ke batang hidung orang politik. 

Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera pun tidak terlepas dari tabiat ini. Jika anda membaca dengan kritis tulisan saya dalam blog ini yang membicarakan para sasterawan dan sarjana, anda akan dapat melihat lagak berputar-purat mereka dengan jelas. Sekali lagi (sorry), contoh yang sudah menjadi klasik dalam sastera Melayu ialah perihal seorang profesor emeritus yang juga seorang sasterawan negara memanjat bumbung kilang besi berkarat untuk mendapat ilham dan menulisnya di atas bumbung berkarat itu. Hendak ketawa pun tidak sampai hati, kerana itulah saja kemampuan intelektual dan akademiknya. Orang ini buktikan dengan amat kemas dalam pandangan kritisnya yang mempersoalkan kaedah Barat digunakan untuk menilai karya sastera Melayu. Contoh ini pun sangat masyhur; tetapi bila DBP buat seminar tentang “pemikiran” beliau, dia berpesan kepada murid dan pengikutnya, seorang sarjana, supaya tulis elok-elok tentang dirinya dan karyanya. Baca tulisan Dr. Siti Hajar untuk seminar itu.  Ungkapan, atau rangkaian kata “berputar-purat” tepat sekali dipakai untuk tokoh seperti ini.

Tidak dapat diragukan lagi contoh “berputar-purat” yang sudah menjadi klasik dalam kritikan sastera Melayu ialah tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang novel Naratif Ogonshoto, yang amat dibanggakan oleh para penilai Hadiah Sastera Kebangsaan untuk diberi hadiah esei terbaik dalam tahun 2005 oleh DBP.  Betapa mengarutnya esei yang mendapat hadiah ini hanya boleh disedari jika anda, sebagai pembaca, familiar dengan teori sastera Barat yang dijadikan sandaran dan rujukan oleh sarjana terkenal ini.  Kelucuan paling menonjol ialah tentang konsep postmodernism yang dijadikan asas utama oleh sarjana ulung ini untuk menilai karya sasterawan negara yang dari segi ilmiah adalah sebuah karya picisan, bukan karya kreatif yang berbobot.

Dalam politik, contoh putar-purat terbaik ialah penubuhan PPBM.  Inilah sepatutnya nama UMNO dalam bahasa Melayu. Cuba anda lihat pakaian seragam dan warna bendera mereka, merah seperti bendera dan pakaian ahli UMNO. PPBM adalah UMNO yang direkon oleh Tun Mahathir, menunjukkan betapa kuatnya jiwa UMNO dalam dirinya. Tentulah lebih baik bagi UMNO dan juga PPBM jika UMNO diserapkan ke dalam PPBM kerana itulah juga UMNO BARU yang dicipta oleh Mahathir apabila UMNO lama diharamkan. Tentu anda masih ingat peristiwa ini, yang cukup menarik untuk dijadikan peristiwa penting dalam kehidupan politik Melayu yang dipermainkan oleh para pemimpin mereka sesuka hati sang pemimpin.  Sekarang anda dapat memahami dengan lebih mudah dan tepat makna berputar-purat.  Sangat cantik!

Apakah contoh terbaik yang boleh kita dapat dalam sastera?  Saya biarkan pertanyaan ini tergantung untuk anda jawab.

Sekadar memberi gambaran, saya telah menunjukkan beberapa contoh berputar-purat ini. Yang terbaik bagi saya ialah kelahiran the aesthetics of adultery  yang dicetuskan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dan dihuraikannya dengan terperinci dalam tesis Ph.D. beliau di USM, diterbitkan oleh USM dengan judul, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM 2012). Buku ini sangat istimewa kerana diberi dua hadiah “berprestij” oleh DBP dan Universiti Malaya. Perbuatan dua organisasi terhormat ini adalah contoh bagaimana putar-purat dilaksanakan tanpa memahami sumbangan sebenar buku ini dalam perkembangan intelektual Malaysia. Saya telah memberi ulasan panjang tentang hal ini dalam blog ini; termasuk disentuh juga dalam Hikayat Salim Adil.  (hal. 57-58). 

Dari segi akademik, buku Dr. Norhayati Ab. Rahman ini adalah sebuah karya picisan yang menobatkan perzinaan dalam masyarakat Melayu dan Indonesia. Melalui buku ini, Dr. Norhayati Ab. Rahman memperkenalkan the aesthetics of adultery dalam sastera Melayu yang menurut beliau adalah satu teori baru yang tidak kena mengena dengan perzinaan walaupun novel Ayu Utami itu dijadikan bahan analisis utama.  Apakah nama teori itu? Teori the aesthetics of adultery. Dalam bahasa Melayu bolehkah dipanggil teori Keindahan Perzinaan Dalam Sastera?  Kalau yang dikemukakan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman itu satu teori, nampaknya bertambahlah teori sastera bikinan sarjana sastera, lebih mudahlah para sasterawan hendak membuat pilihan teori mana yang mereka rasa selesa dipakai dalam penulisan kreatif.  Kita akan lihat nanti lebih banyak karya picisan berbentuk erotik dan porno ditulis dan diterima oleh masyarakat sebagai karya penting. Mana tahu penulisnya akan diberi anugerah sasterawan negara. Oleh itu para sarjana mempunyai lebih banyak pilihan, dan ketika itu mereka akan mempunyai lebih banyak karya untuk dirujuk dan dijadikan bahan pengajaran sastera di universiti. Jika ini berlaku, PB dan karya persuratan akan lebih menyerlah kerana akan jadi lebih jelas karya persuratan jauh berbeza dengan karya picisan. Sekarang sarjana sendiri pun tidak berapa jelas, masih kabur, kerana itulah ada yang memberi pujian amat tinggi kepada novel picisan Naratif Ogonshoto. Dalam konteks ini juga konsep berputar-purat itu lebih mudah difahami, dan mereka pun akan sedar novel agung itu tidak lain daripada karya dalam kelompok berputar-purat itu.  Jika anda faham maksud berputar-purat yang disebut dalam entri 5 Ogos 2010 itu, anda akan lebih mudah membuat pilihan dan penilaian terhadap karya akademik seperti Dr. Mawar Shafei tentang karya Anwar Ridhwan dan konsep intertekstualiti. Ini pun satu contoh yang jelas tentang maksud berputar-purat itu.  Pendeknya, konsep berputar-purat itu memberi anda kaedah yang mudah untuk mengenal pasti mana satu karya ilmiah yang benar-benar ilmiah, dan mana satu pula karya yang penuh dengan pretensi ilmiah padahal adalah sebuah karya picisan. Saya beri contoh kajian Dr. Mawar Shafie tadi. Kalau anda tidak jelas tentang perkara ini, anda akan jadi seperti juri yang memilih karya picisan yang dihasilkan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dan oleh Dr. Mawar Shafie untuk diberi hadiah yang “berprestij”, kononnya!  Bila anda berdepan dengan Pujangga Melayu, atau Hikayat Buyung Lurus, atau Hikayat Salim Adil, anda akan terkulat-kulat tidak tahu bagaimana hendak menilai ketiga-tiga karya ini, kerana anda tidak mempunyai alat ilmiah yang membolehkan anda kelihatan cerdik dan mantap ketika membuat penilaian anda terhadap tiga buah karya persuratan itu. Kalau anda tidak faham maksud saya, eloklah anda terjun ke dalam Sungai Kelang untuk membersihkan diri supaya menjadi lebih cergas! Tetapi belum tentu lebih cerdas.  Waktu ini anda sedang bergelumang dengan kekotoran akademik yang membuat anda tidak rasa berbau busuk berada dalam kandang pandirisme, bersikap sebagai lembu kenyang.

Sekarang kita sampai kepada satu tahap yang paling penting dalam perkembangan gerakan berputar-purat ini dalam kritikan sastera. Siapakah tokoh besar yang sangat istimewa yang menjadikan putar-purat ini “nasi makan air minum” beliau? Tidak lain dan tidak bukan ialah Bapa Kritikan Moden yang amat terkenal di Malaysia, yang dijadikan contoh dan ikutan, tidak lain dan tidak bukan ialah Mana Sikana, yang nama sebenarnya Abdul Rahman Napiah, seorang yang menurut beliau sendiri “selesa” berbahasa Arab, tetapi klaim ini ditolak oleh Prof. Emeritus Dr. Bukhari Lubis sejak sekian lama dan disebut lagi dalam Syarahan Perdana beliau di UPSI, Kesusasteraan Islami Bandingan: Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir (Tanjung Malim: Penerbit Unversiti Pendidikan Sultan Idris, 2017).  Di bawah tajuk “Pandangan yang tidak boleh menjadi teori”, (hal. 19), beliau menegur penggunaan perkataan Arab “Ta’abbudiyah” tidak boleh digunakan untuk menamakan satu teori sastera. Tegas beliau, “Istilah yang mendukung nama teori ini terlalu umum. Istilah ini boleh digunakan dalam sebarang aspek atau tindakan, atau banyak perkara yang boleh dilakukan dengan senang, dikira demi menjalankan ibadat, sehingga menyembelih ayam mengikut rukun-rukunnya boleh dikatakan ta’abbudi (kepatuhan demi melakukan ibadat).  (huruf tebal dan condong dalam asal.)  Sebenarnya, kehadiran Mana Sikana sebagai seorang sarjana (?) dan pengkritik (?) sastera adalah bukti kecetekan dan kekeliruan para sarjana sastera yang beliau pamerkan dan yang kemudiannya menjadi ikutan dan sanjungan para sarjana yang cetek meraba-raba. Kekeliruan dan kecetekan pengetahuan tentang sastera boleh dilihat dengan jelas dalam penggunaan  Teksdealisme dan seterusnya (i.e teori Ta’abbudiyah).  Bahawa Mana Sikana diterima sebagai Tokoh Agung Kritikan Sastera menunjukkan betapa rendahnya keupayaan intelektual para sarjana sastera.  Inilah inti pati yang paling menarik dalam budaya berputar-purat ini. Pendeknya, Mana Sikana adalah seorang tokoh besar dalam kandang pandirisme yang dinamakan “berputar-purat”.  Kehebatan Mana Sikana disindir dan dikritik keras oleh seorang penulis yang menamakan dirinya K. B. Tan, yang menulis di Dewan Sastera, Mei 1997, hal. 56. Judulnya sagat menarik: “Antara Ilmu dan Retorik Kosong”. 

Kita kutip beberapa pandangan beliau yang menarik.  Perhatikan perenggan pertama tulisan beliau: “Sastera Melayu masih ditukangi pendukung sastera yang lemah pemikirannya. Begitulah kesimpulan Azizi Hj. Abdullah (Berita Minggu, 30 Mac 1997) setelah membaca cerpen Hantu Bulan Puasa dan novel Suluh Peraba, kedua-duanya hasil karya Prof. Madya (kini profesor penuh yang senior) Rahman Shaari. Seterusnya Azizi menyuarakan rasa kecewanya terhadap kemelut dalam sastera Melayu moden.”

Prof. Rahman Shaari adalah seorang yang sangat beruntung. Ketika pakar gigi terkenal dari Kelantan menjadi VC Universiti Malaya, Rahman Shaari adalah teman rapat dengan beliau, baca sajak bersama, dan sebagai “pengkritik” Rahman Shaari memuji sajak-sajak VC itu. Persahabatan mereka terkenal di kalangan sasterawan sangat rapat. Pada ketika itulah Rahman Shaari dinaikkan pangkat sebagai seorang profesor. Ketika beliau memberikan “syarahan perdana” tentang sajak-sajak Melayu, terbuktilah beliau bukan seorang sarjana yang boleh dipercayai kualiti akademiknya. Saya telah memberi kritikan agak mendalam tentang syarahan perdana ini, yang tidak sedikit pun kelihatan ciri “perdananya”. Syarahan perdana ini hanyalah sebuah esei popular tentang sajak-sajak Melayu, yang dengan mudah dapat dipertikaikan kualiti akademiknya, seperti yang saya sebut dalam ulasan saya. Tentang novel, dan cerita pendek beliau, saya tidak pernah baca dan tidak pun tahu beliau menulis novel yang menurut para sasterawan menjadi kegemaran peminatnya. Dari segi akademik, saya belum lagi bertemu buku kritikan hasil usaha beliau yang dapat dianggap berkualiti, yang misalnya boleh menandingi Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2. Walau bagaimana pun, hasrat beliau untuk menjadi sasterawan negara yang satu ketika dulu digosipkan oleh para sasterawan, bolehlah diberi pertimbangan. Saya tidak keberatan, kerana memang para sasterawan negara dalam analisis saya adalah golongan penulis picisan saja. Belum ada lagi sesiapa yang menolak kesimpulan ini, tidak juga Prof. Rahman Shaari sendiri. Sudah wajar jika beliau juga masuk dalam kumpulan itu.  Jika kita menilai syarahan perdana ini dalam konteks “berputar-purat”, maka inilah satu contoh klasik bagaimana seorang profesor meletakkan dirinya sebagai tokoh berputar-purat yang istimewa. Saya sebut perkara ini dalam konteks penghinaan beliau terhadap syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, yang disebutnya hanya untuk membela Gagasan Persuratan Baru kerana saya tidak berpeluang untuk memberikan syarahan perdana saya!  Dalam tulisannya, beliau menegaskan PB itu mudah: tonjolkan ilmu, sedikitkan cerita, jadilah karya persuratan. Katanya, beliau belum  berminat hendak menulis karya persuratan yang dianjurkan oleh PB. Adakah kesimpulan ini berasaskan pembacaan dan kajian yang mendalam terhadap PB, atau hanya sejenis sentimen berasaskan sikap berputar-purat sahaja.  Jelas sekali beliau tidak membaca Pujangga Melayu, yang diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti tahun 1997 yang memuatkan banyak sajak yang ditulis khusus untuk novel itu, antaranya sajak “al-Andalus” yang muncul sebagai sajak terbaik yang pernah muncul dalam sastera Melayu. Sajak-sajak lain juga penting dan ternyata jauh lebih bermutu daripada mana-mana sajak yang ditulis oleh Penyair Besar Malaysia seperti Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan lain-lain. Syarahan perdana itu diucapkan pada 29 Disember 2004.  Kerana ini saja pun sudah jelas bahawa syarahan perdana Prof. Rahman Shaari adalah sebuah syarahan picisan saja, mengambil contoh daripada karya-karya picisan yang diangkat menjadi karya utama dalam persajakan Melayu tanpa mengemukakan ukuran yang tepat dan objektif.  Kesimpulan ini terbuka untuk dibahaskan dengan sehabis kritis oleh sesiapa saja yang merasa dirinya mempunyai kualiti akademik yang tinggi dan sekali gus mempunyai cita rasa istimewa tentang sajak-sajak Melayu.  Dalam kritikan sastera, anda tidak boleh berkompromi tentang nilai sebenar sesebuah karya.

Kemudian K. B. Tan memberi pendapatnya sendiri begini: “… saya juga berpendapat bahawa sumbangan beberapa orang sarjana sastera harus dinilai semula. Kenyataan ini dibuat atas penelitian saya terhadap tulisan mereka yang jelas memperlihatkan ketidakupayaan untuk menulis dengan jelas dan bernas.”  Pandangan ini ditujukan juga kepada Prof. Rahman Shaari. Tetapi kritikan ini lebih jelas ditujukan kepada Mana Sikana dengan menyebut beberapa tulisan beliau dalam Dewan Sastera  dan Utusan Malaysia yang dirujuk oleh K. B. Tan.

Memang bagus sekiranya terdapat orang yang kritis seperti K.B. Tan, kerana ini boleh menghidupkan dialog yang sewajarnya digalakkan dalam perkembangan budaya. Sekarang dialog begini ditakuti oleh para sarjana dan pengkritik, kerana mereka sedar lebih banyak mereka memberi pendapat, lebih terserlah kemampuan akademik mereka yang tidak seberapa dan yang tidak seberapa itu pula cetek. Mengambil sikap “lembu kenyang” tidak akan melindungi kecetekan mereka, malah akan lebih menyerlahkan sikap negatif mereka terhadap ilmu. Nampaknya inilah yang menjadi pertahanan para sarjana dan pengkritik sastera yang sering kali bercakap besar dan bercakap banyak tetapi isinya hanya bullshit.  Anda dipersilakan membaca dengan kritis Pandirisme Dalam Komuniti Dunia yang banyak membicarakan beberapa aspek bullshit dalam sastera Melayu.  Lebih mudah, dan lebih mencabar, bacalah dengan kritis Hikayat Salim Adil untuk melihat bagaimana bullshit ini diperagakan dalam sastera Melayu oleh jaguh sastera yang memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis esei jenis bullshit ini.

Nampaknya pengaruh faham berputar-purat ini sangat besar dalam sastera Melayu, dibuktikan dengan begitu jelas dalam karya para sasterawan negara dan dalam kegiatan para sarjana sastera dan juga para pengkritik yang keliru dan cetek meraba-raba.  Mulai sekarang istilah berputar-purat ini lebih meluas dipakai ketika menilai sumbangan akademik para sarjana dan sumbangan kreatif para sasterawan.  Dengan melihat kegiatan mereka dari perspektif berputar-purat ini kita dapat membuat penilaian yang tepat terhadap kegiatan mereka, lebih-lebih lagi jika dilakukan dalam konteks PB. Tiada siapa pun yang masuk gelanggang ini boleh lari dari dililit dan dibelit oleh faham berputar-purat sekiranya mereka menolak konsep ilmu yang benar dalam kegiatan mereka.


Saya ingin sentuh sedikit tentang peranan Kementerian Pendidikan dalam memajukan faham berputar-purat ini dalam pentadbiran negara di bawah Malaysia Baru yang disogok kepada rakyat oleh kerajaan Pakatan Harapan.  Entri bertarikh 8 September 2018 membincangkan serba sedikit mengenai Pakatan Harapan yang jelas tidak memberi sedikit pun perhatian kepada konsep ilmu yang benar dalam pembinaan kebudayaan ilmu di Malaysia.  Oleh itu tidak hairan jika Kementerian Pendidikan berada dalam kekeliruan tidak dapat membezakan peranan kaki dengan otak, dengan lebih memberi tumpuan kepada kaki seperti yang ditunjukkan oleh Menteri.  Dari beberapa ucapan Menteri, seperti yang dilaporkan, jelas sekali beliau tidak kenal konsep ilmu yang benar, peranan adab dalam pendidikan, dan matlamat pendidikan untuk melahirkan warga negara beretika dan bermoral tinggi, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai warga negara beradab. Kementerian Pendidikan lebih berminat melahirkan para kuli untuk menghadapi tawaran pekerjaan. Matlamat ini sebenarnya boleh dicapai melalui sistem pendidikan yang memberi perhatian kepada konsep ilmu dan peranan adab dalam pendidikan.  Persiapan kemahiran untuk menghadapi pasaran pekerjaan seharusnya diimbangi dengan persiapan intelektual berasaskan konsep ilmu yang benar. Yang berlaku sekarang adalah lanjutan dari kolonialisasi  pemikiran yang terus bergantung sepenuhnya kepada Barat, yang dengan sedar diucapkan oleh Menteri Pendidikan yang mengatakan beliau mahu menjadikan UIA, sebuah universiti Islam, setaraf dengan Oxford atau Cambridge.  Jelas sekali beliau tidak membaca dan memikirkan dengan serius kandungan buku yang diterbitkan oleh USM, Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms.  Prof. Dzulkifli Abdul Razak, VC USM ketika itu, dalam perutusannya, “Reflections on Decolonising Our Universities”, antara lain menulis begini: “Reflecting on my experience of trying to ‘transform’ Universiti Sains Malaysia (USM) where I have been Vice-Chancellor for the last 10 years, I must admit that I am still uncomfortable with the notion of a ‘university’ as it is generally understood. I often question whether this is the ‘right’ university that I am leading.”  (hal. 8).  Dan seterusnya.  Kini belau dilantik sebagai ahli majlis kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA), setelah melepaskan jawatannya sebagai Presiden UIA yang kini disandang oleh Menteri Pendidikan.  Anda nampak ada tidak unsur berputar-purat di sini?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 27 September, 2018.

Thursday, September 20, 2018

TERPELAJAR TAPI TIDAK TERDIDIK, SESAT MERABA-RABA KELIRU DALAM KONSEP ILMU



Isu kali ini diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, yang terkenal dengan isu kasutnya. Dari putih tukar ke warna hitam, jimat belanja kata dia. Ada yang setuju, ramai pula yang berkata mereka geli geman. Itu (yakni kasut, atau kaki) yang jadi isu Menteri. Kataku, lebih elok jika dia mengutamakan otak daripada kaki. Ini pun tidak berlaku.  Sekarang dia dalam kontroversi bila dilantik menjadi Presiden UIA. Dia tak mahu, katanya, tapi Sultan Pahang titahkan minta dia jadi Presiden. Pelajar dan orang ramai suruh dia letak jawatan itu, dia bilang dia nak jadikan UIA setaraf atau lebih hebat daripada Oxford atau Cambridge. Maka masuklah saya dalam perbincangan ini bila dia bilang dia mahu jadikan universiti Islam macam universiti padri di England. Apa sudah jadi? Rupanya tidak sia-sia saya menulis Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Ada saya hadiahkan kepada Menteri ini sebuah sebelum terjadi kontroversi UIA nak dijadikan Oxford atau Cambridge. Ini benar-benar tindakan berasaskan falsafah pandirisme. Wah, tentulah saya happy (?) kerana kritikan saya selama ini terhadap kecetekan dan kepicisan para sasterawan dan sarjana ciritan sangat tepat, dibuktikan sendiri oleh seorang Menteri Pendidikan. Apa lagi yang kita mahu?

Menteri ini dipilih khusus oleh ketua partinya setelah ketua parti beliau ditegur mahu terus jadi menteri pendidikan padahal sudah jadi PM. Nampaknya pilihan PM ini mengecewakan PM sendiri kerana Menteri Pendidikan baru lebih berminat kepada kaki dengan mengubah kasut putih kepada kasut hitam, tanpa memberi perhatian kepada pembinaan intelektual di kalangan pelajar, dan juga pengajar.  Beliau tidak mempunyai apa-apa sumbangan dari segi idea untuk memajukan pendidikan di Malaysia ke arah pembinaan intelektual dan pembentukan nilai-nilai murni yang sering disebut-sebut itu. PM sendiri ada menyebut para pelajar perlu diajar untuk menjadi lebih kritis dan bersedia untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu penting, misalnya tentang peranan belia yang sebenar untuk membangun negara yang mencintai dan memperjuangkan kebenaran. Belia mesti kritis dan berani memberi pandangan mereka dan bertindak rasional untuk memperingatkan sesiapa juga yang bergelar pemimpin supaya tidak bertindak melampau.  Sebagai contoh, baru-baru ini ada ahli politik yang terlalu berani bertindak sehingga menimbulkan kegelisahan dan kebencian di kalangan masyarakat.  Beliau mencadangkan supaya bahasa Inggeris dibenarkan digunakan dalam perbahasan di Parlemen di samping bahasa Melayu supaya ahli parlimen yang tidak cekap berbahasa Melayu boleh memberikan pendapat dengan selesa dalam bahasa Inggeris.  Inilah Malaysia Baru, yang terbuka kepada perubahan tanpa menyinggung peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Cadangan ini baik, tetapi pelaksanaannya adalah biadab dan kurang ajar. Mengapa? Setelah merdeka lebih 60 tahun, masih tidak boleh berbahasa Melayu. Orang-orang begini memang biadab dan kurang ajar, dan jumlah mereka sebenarnya amat besar. Oleh itu, pilihan terbaik untuk Kerajaan Pakatan Harapan ialah membiarkan saja meneruskan kebiadaban dan sifat kurang ajar mereka.  Lagi pula, kata mereka, Malaysia terbuka dan mempunyai tiga aliran pelajaran yang diiktiraf oleh Kerajaan. Jangan ikut Indonesia yang hanya menggunakan bahasa Indonesia; ikut Singapura yang menggunakan tiga bahasa, tetapi menggunakan bahasa Melayu dalam upacara rasmi diikuti bahasa-bahasa lain. Malaysia di bawah Kerajaan Pakatan Harapan sedang menuju ke arah itu, dimulai oleh seorang Menteri kanan yang menggunakan bahasa Mandarin secara rasmi.  Bodohnya, dia minta maaf, tidak sengaja katanya. Andainya lembu boleh bercakap, lembu pun akan membantah dengan cara revolusi, iaitu dengan berhimpun beramai-ramai di kawasan pejabat Pak Menteri sambil mengeboh dan berak merata-rata. Mujurlah Melayu tidak sebodoh itu walaupun bahasa Melayu terus dipermainkan.

Semua perkembangan ini memperlihatkan betapa haru birunya sistem pendidikan Malaysia, yang secara total gagal menyerlahkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Kalau ini bukan kurang ajar dan biadab, apa gelaran yang sesuai?  Pendidikan Malaysia sangat ghairah melatih pelajar menjadi kuli. Para graduan hasil sistem pendidikan yang dilontar oleh BN dan Pakatan Harapan adalah sama, melatih pelajar menjadi kuli.  Kalau sistem ini melahirkan sarjana sastera, kualitinya sangat rendah dan pengetahuan mereka tentang sastera sangat cetek. Anda mahu saya senaraikan siapa mereka? Tak perlu. Kita boleh lihat hasilnya daripada tulisan mereka dan murid-murid mereka. Sekadar memberi gambaran apa yang berlaku, saya lontar kembali tabiat kesarjanaan seorang profesor emeritus yang bangga memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerja yang berlumut, bukan lagi berkarat. Kes ini sangat masyhur, dan menjadi kebanggaan para sarjana sastera.  Itulah hakikatnya. Mahu contoh lain?. Lihat saja betapa cetek dan kelirunya penilaian tentang Naratif Ogonshoto yang picisan dinilai oleh dua orang sarjana picisan, satu dalam bahasa Melayu satu lagi dalam bahasa Inggeris sebagai pendahuluan kepada terjemahan novel itu.  Semua ini bukti betapa tepatnya kesimpulan saya tadi.  Tiada siapa yang sanggup memberi bantahan atau sanggahan, kerana mereka begitu yakin penilaian yang picisan itulah yang betul dan tepat, oleh itu tidak perlu disanggah.  Inilah kesan pandirisme yang  begitu ketara untuk disembunyikan.

Menjadikan pandirisme sebagai benteng intelektual seperti yang dilakukan oleh sarjana sastera, sasterawan dan pengkritik sastera, adalah satu tindakan menghina perkembangan ilmu di Tanah Melayu yang secara sedia kala  disampaikan melalui persuratan Melayu, yang berasaskan konsep ilmu yang benar, bukan berasaskan pandirisme seperti yang dijana dalam kesusasteraan Melayu moden.  Kesusasteraan Melayu berteraskan pandirisme ini juga yang dijadikan asas pengajaran sastera oleh Kementerian Pendidikan dari dulu hingga sekarang.  Semua ini terjadi kerana tugas penggubalan kurikulum kesusasteraan diberikan kepada gerombolan yang anti-ilmu dan yang mencemuh konsep ilmu yang benar sebagai tidak relevan dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, walaupun kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dimaktubkan dalam Perlembagaan.  Menurut mereka yang menentang konsep ilmu yang benar ini, kepelbagaian agama di Malaysia tidak membenarkan hanya sudut ilmu menurut Islam saja yang dijadikan asas dalam pembelajaran sastera; padahal sastera dikembangkan di Malaysia berteraskan teori Barat yang tidak memberi keutamaan kepada nilai-nilai agama, tetapi lebih mementingkan nilai-nilai yang lahir dari naluri manusia. Di sini dipakai beberapa pendekatan teori psikologi untuk membuktikan manusia itu mempunyai kepelbagaian naluri yang telah dihuraikan dengan kemas oleh tiga tokoh psikologi Barat. Tidak semua pandangan tiga tokoh ini salah dan tidak semuanya betul; oleh itu kita perlu tahu bahawa teori mereka diasaskan kepada hawa nafsu manusia dan peranannya dalam pembangunan peribadi mereka. Dalam konteks ini, pandangan Adler lebih sesuai dalam pendidikan kerana teori ini berasaskan dorongan manusia yang positif; tidak seperti yang dikonsepsikan oleh Freud atau Gustav Jung.  Pandangan yang lebih komprehensif tentang manusia diberikan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab-kitab beliau, terutama sekali dalam Ihya’ Ulumid-Din, yang dibicarakan dengan terperinci oleh Dr. Abul Quasem yang diterbitkannya sendiri, The Ethics of al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam (Petaling Jaya, 1975; Central Printing Sdn. Bhd.)

Apakah inti sari yang ingin saya sampaikan dalam entri ini? Sebenarnya saya telah menulis agak panjang dalam entri bertarikh 31 Disember, 2014, bertajuk: “Jangan baca karya sasterawan negara, tetapi baca buku ini.” Anda perlu membacanya kembali dengan kritis dan kreatif tulisan panjang ini, untuk mendapat sedikit gambaran betapa perlunya isu yang saya bangkitkan di sini dilihat dari perspektif ilmu dan diberi pertimbangan jujur, tetapi kritis. Di sinilah para sarjana sastera gagal, begitu juga para sasterawan dan pengkritik sastera. Sudahlah mereka tidak dapat memberikan hasil yang terbaik untuk negara, mereka bertindak biadab pula dengan mengetepikan pandangan kritis yang seharusnya boleh membuka mata mereka kepada persoalan sebenar yang kita hadapi sekarang, jika mereka jujur kepada diri sendiri.  Saya tidak pasti bilakah Kerajaan Pakatan Harapan akan menghentikan projek sasterawan negara yang sia-sia dan menyesatkan ini (saya telah bincang aspek ini cukup banyak dalam blog ini); padahal pada hari pertama (9 Mei 2018) kemenangan Pakatan Harapan, Dr. Mahathir membubarkan Majlis Profesor Negara, yang sepatutnya dipertahankan jika para profesor ini boleh dipercayai dan diperlukan oleh negara. Tentulah aneh jika sasterawan negara yang tidak diperlukan itu terus dibiarkan dan kekeliruan dalam konsep ilmu terus dipertahankan.

Dalam hal ini Kementerian Pendidikan tidak boleh diharapkan, malah tidak boleh dipercayai.  Kementerian ini memihak kepada pandirisme, dengan itu bersikap anti-ilmu. Bagaimana hal ini boleh terjadi dalam sebuah kementerian yang kerjanya memberi pendidikan untuk mencerdikkan rakyat? Persoalan begini tidak diminati oleh Kementerian Pendidikan, oleh itu Penasihat Kepada Menteri Pendidikan dengan sengaja memulangkan surat saya diiringi ucapan terima kasih yang pura-pura. Dia memakai kepala surat Kementerian, tetapi suratnya tiada rujukan, ertinya tidak disenaraikan sebagai surat rasmi.

Mengapa hal ini berlaku? Saya serahkan kepada anda untuk menjawabnya. Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada satu bungkusan besar dokumen mengenai Gagasan Persuratan Baru, jika beginilah sikap pegawai ini dan Menterinya juga. Tentu ini bukan style Malaysia Baru yang diperintah Pakatan Harapan!  “Padan muka,” ujar seseorang dari kalangan sarjana. Inilah hakikat makna peribahasa “meludah ke langit timpa muka sendiri” kalau gerombolan ini faham.  Saya hanya ingin tahu sejauh mana mereka yang menguasai pendidikan negara ini jujur dalam tindakan mereka. Itu saja. Kecik sangat, tak perlu pun disambut dengan “Padan muka!”  Padan muka kamu!

Walaupun Kementerian Pendidikan wajar melahirkan kuli-kuIi yang diperlukan negara dalam pasaran pekerjaan, tetapi ini tidak bermakna mereka boleh dengan sewenang-wenang bersikap anti-ilmu dan menghalang perkembangan intelektual yang sihat dalam masyarakat.

Jika keadaan yang saya paparkan ini benar-benar wujud, apakah tindakan kita seterusnya? Jika tidak wujud, apakah erti bukti-bukti yang saya berikan itu? Tentulah lebih mudah untuk mengatakan perkara-perkara yang saya timbulkan itu tidak wujud dalam Kementerian Pendidikan, tetapi bukti-bukti yang disebut tidak pula boleh ditolak begitu saja.  Apakah yang sebenarnya berlaku? Inilah yang kita mahu tahu dengan pasti.  Perbincangan ke arah ini sangat penting jika kita boleh percaya sudah wujud Malaysia Baru yang dinamik dan menjurus kepada kebenaran dan kebebasan memberikan pendapat.  Jika semuanya tidak benar, kita mahu kepastian bahawa Kementerian Pendidikan tidak bersikap anti-ilmu, dengan itu menerima konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 19 September, 2018.