Tuesday, September 11, 2018

MENGAPA HIKAYAT BUYUNG LURUS DIKETEPIKAN PENGKRITIK DAN SARJANA?



Apabila organisasi seperti DBP dan ITBM dikendalikan oleh pentadbir yang tidak sensitif kepada ilmu dan pemikiran, maka karya sastera yang bermutu disisihkan dengan angkuh. Itulah yang terjadi kepada Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu, dan novel terbesar Malaysia yang boleh menandingi mana-mana novel agung dunia, Pujangga Melayu. Dua buah novel ini muncul sebagai penanda aras nilai novel sebelum dan selepasnya. Jangan berdiam diri, sebagai sarjana atau sasterawan, jika anda tidak bersetuju dan meremehkan dua buah novel agung dalam bahasa Melayu ini. Tampilkan novel Melayu yang lebih baik dengan memberikan analisis dan penilaian yang dihujahkan secara akademik. Permintaan ini adil dan munasabah. Tidak pantas jika kita tidak mempunyai sarjana sastera yang jujur kepada bidangnya dan tajam analisisnya sebagai sarjana. Tampil ke depan dengan hujah anda untuk menolak dua buah novel ini dan kemukakan novel yang lebih bermutu daripada dua buah karya ini.  Kalau anda perlukan bayaran, saya akan membayar setiap makalah yang dimaksudkan dua atau tiga ribu setiap satu yang tersiar dalam Dewan Sastera. Saya boleh buat surat peguam dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memastikan bayaran itu dibuat seperti yang dijanjikan. Anda tidak perlu masuk peraduan untuk mendapat bayaran setinggi itu. Percuma. Saya tunggu cabaran saya disambut dengan kontan dan jujur.  Jikalau DBP mahu saya deposit sepuluh ribu saya boleh depositkan wang itu  dengan disaksikan oleh peguam.  Jangan takut, saya hanya mahu membuktikan anda berani menyahut cabaran ini. Jangan malu, kita semua tahu harga diri dan maruah anda yang tinggi, sehingga membuat anda tidak berani menyahut apa-apa cabaran untuk kebaikan sastera Melayu, walaupun anda sepatutnya melaksanakan tugas yang diberi itu dengan jujur dan cekap. Ini cabaran dan janji saya, apa lagi yang anda mahu?

Saya tidak bermaksud menjatuhkan maruah intelektual dan maruah akademik anda dengan cabaran ini.  Semua kita dapat melihat dengan jelas sastera Melayu sangat lesu dan penuh dengan kemunculan karya picisan yang ditulis oleh para sasterawan yang juga picisan. Saya telah memberi anda peluang yang begitu luas untuk menafikan kesimpulan ini. Jika anda pandang cabaran ini remeh dan kebudakan, maka tunjukkan anda sendiri lebih baik dengan mengemukakan  bukti yang tepat dan objektif. Anda boleh periksa kemampuan intelektual dan pemikiran saya dengan mengkritik apa juga isu dan kesimpulan yang saya kemukakan dalam blog ini sejak 2010.  Selain dari itu, saya dedahkan karya kreatif dan karya akademik saya untuk anda lapah dengan menggunakan apa juga teori sastera yang anda mahu dan anda kuasai dengan memuaskan. Mahu apa lagi, gelanggang sudah terbuka. Masuklah ke dalam gelanggang itu sebagai pendekar tulen, bukan berdiam diri sebagai pendekar palsu yang tidak silu menjaja kepalsuan itu dalam gosip murahan seperti yang anda sering lakukan.  Seperti yang diucapkan oleh Buyung Lurus, “Kita mesti selamatkan kebenaran di negara kita.” Di mana salahnya penegasan itu jika anda tidak bersetuju. Kemukakan versi anda pula.

Sekiranya anda tidak selesa  dengan gaya saya, kemukakan gaya yang selesa dan indah yang anda miliki.  Itulah caranya kita membina budaya intelektual dalam perkembangan ilmu, yang memang diperlukan ketika kita sedang mengalami krisis budaya yang parah akibat merebak dan menularnya pandarisme dalam masyarakat kita.  Saya telah menulis sebuah buku penting membicarakan aspek ini, Pandirisme Dalam Komuniti Dunia  (2016).  Masalahnya anda tidak membaca buku itu kerana anda sendiri berada dalam kandang pandirisme dan seronok berada di situ.  Bilakah anda mahu keluar dari kandang itu?  Terdapat  satu episod sisipan yang penting dalam Pujangga Melayu, berjudul “Lembu Masuk Universiti”.  Jika anda seorang yang bijak dan tajam pemikirannya, anda akan baca sisipan ini bersama Balai Maqamat untuk memahami mengapa karya seumpama ini ditulis. Saya hanya memberi cadangan, tidak sekali-kali bermaksud hendak mengajar sesiapa. Itu bukan kerja saya pun…

Kemunculan Gagasan Persuratan Baru memberi makna baru kepada kegiatan kreatif dan kritikan yang kini tidak lagi hanyut dalam kekeliruan penilaian, sebaliknya diganti dengan kepastian ukuran dalam membuat penilaian terhadap sesebuah karya kreatif mahu pun karya akademik. Untuk karya kreatif, kita tidak lagi terikat kepada cerita, tetapi beralih kepada wacana yang bersifat keilmuan. Untuk karya akademik, kita memberi perhatian yang utama kepada konsep ilmu kerana akhirnya yang ingin dicapai dalam apa juga penulisan akademik seharusnya bertujuan untuk mendaulatkan ilmu, bukan hanya melonggokkan maklumat mentah yang tidak berupaya diterjemahkan dalam analisis yang mendalam yang memberi makna yang jelas kepada persoalan yang dibicarakan dan kepada pembaca yang akan mendapat manfaatnya dengan munculnya maklumat atau pengertian baru yang membawa kepada penjelasan yang diingini.   Adakah ini bermakna penulisan bersifat akademik selama ini hanya berupa longgokan maklumat mentah yang tidak dianalisis dengan memuaskan berasaskan konsep ilmu yang benar?  Jika kita ambil contoh daripada buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, kita dapat melihat kepalsuan judul itu sendiri kerana sastera tidak pernah menjadi teras pembangunan tamadun, malah dalam tamadun Melayu yang menjadi teras itu ialah persuratan yang membicarakan tentang ilmu dan sebagainya.

Apabila saya berkata, Hikayat Buyung Lurus dan Pujangga Melayu adalah dua buah novel terbaik pernah ditulis dalam bahasa Melayu, mengatasi semua karya para sasterawan negara, anda perlu bertanya: Siapakah yang menentukan penilaian itu, apakah asasnya, apakah ukurannya?  Bahawa anda tidak berani bertanya membuktikan anda tidak pasti, atau lebih tepat tidak tahu, apakah ukuran yang dipakai dan mengapa ukuran itu boleh memberikan penilaian yang tepat dan objektif.  Sepatutnya inilah persoalan yang perlu dijawab apabila anda menilai sesebuah karya kreatif. Dengan kontan dan yakin anda harus tampil memberi senarai ukuran yang anda pakai, yang telah diuji, yang membolehkan anda membuat penilaian yang tepat dan objektif.  Kita ambil contoh ini, seperti yang sering diberikan apabila dibuat penilaian terhadap sebuah cereka. Yang biasa digunakan ialah tema, teknik, latar, perwatakan, dialog, gaya, dan lain-lain yang biasa digunakan. Perbincangan mengenai perkara ini dihuraikan dengan terperinci oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya,  Dinamika Pemikiran Sastera Melayu  (DBP 2009) dan dalam tulisannya ketika membicarakan penilaian yang dibuat oleh juri dalam Sayembara Mengarang Sempena Sambutan Jubli Emas DBP.  (Rujuk tulisannya dalam,  Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan (UKM 2016, Bab 10).  Terdapat tiga jenis kelemahan yang menjadi kemegahan palsu dalam novel Melayu. Pertama, kelemahan dari segi perwatakan. Kedua, kelemahan dari segi persoalan yang dipilih. Ketiga, kelemahan dari segi bahasa. Saya telah menulis banyak kali dalam blog ini mengenai tiga persoalan ini (antaranya anda boleh baca dalam entri tahun 2017), membuktikan bahawa sasterawan bukanlah pemikir dan pembina teknik baru dalam penulisan. Mereka, semua sekali, adalah peniru yang tidak tahu memilih dan tidak kreatif.  Kita ambil yang ketiga, penggunaan bahasa. Di sini terserlah konsep keindahan bahasa yang palsu, tidak diasaskan kepada kekuasaan dan kekuatan bahasa sebagai penyampai ilmu. Bagi sasterawan, bahasa adalah indah jika terdapat metafora yang melampau, atau perbandingan yang tidak masuk akal, atau khayalan yang hanyut dalam ungkapan picisan. Dalam PB, bahasa yang indah dan bermakna dicapai melalui konsep ihsan (sudah dijelaskan dengan terperinci dalam  Adab dan Peradaban (MPH, 2012), Bab 19: “Keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan.”

Keseluruhan tiga perkara yang saya maksudkan boleh anda perhatikan dalam Hikayat Salim Adil.  Novel yang kecil ini (155 halaman; berbanding Pujangga Melayu, edisi baru 2016 setebal 735 halaman), namun sebagai sebuah karya persuratan, novel ini membicarakan persoalan yang luas meliputi segala aspek perkembangan intelektual bangsa Melayu. Biarlah anda sendiri mencarinya, jika anda benar-benar seorang pembaca intelektual yang cerdik. Sebagai bayangan untuk membantu anda, saya sebut satu persoalan besar yang disentuh secara ringkas pada halaman 136, mengenai cita-cita Cina untuk membelah Semenanjung menjadi dua, satu untuk Melayu bahagian yang paling mundur; satu lagi untuk Cina bahagian yang paling maju. Kata Cina, yang memajukan Semenanjung ialah orang Cina. Tanpa Cina, tiada kemajuan.  Baru dua tiga hari lepas bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, memberitahu dalam tahun 1969 Lim Kit Siang dimasukkan ke dalam tahanan kerana mengemukakan cadangan untuk membelah Semenanjung. Jadi idea ini memang ada dalam kepala orang Cina. Melayu diam mengeram di kampung-kampung mereka dan mewah dalam kemiskinan dan mereka menerima itu sebagai takdir. Tanpa Cina, tiada kemajuan. Ini nampaknya diterima oleh orang Melayu, malah dipersetujui oleh PM Mahathir. Tun Dr Mahathir, kini PM rekon kali kedua, sangat bangga menyelar dan menghina Melayu sebagai pemalas, korup dan lain-lain keburukan. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden UMNO Baru yang diberinya nama  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).  UMNO adalah United Malays National Organisation, nama yang diberi oleh penjajah Inggeris. Parti baru yang ditubuhkan Mahathir adalah terjemahan ke bahasa Melayu akronim UMNO, diringkaskan menjadi BERSATU.  Memang inilah UMNO Baru ciptaan Mahathir ketika dia mengharamkan UMNO lama, setelah UMNO diharamkan akibat perebutan kuasa antara beliau dengan Tengku Ghazaleigh yang kalah setelah UMNO Kelantan berpaling tadah. Ceritanya sangat menarik, anda perlu tahu perkara ini. Penting. Sebagai catatan, kalimah “Bersatu” adalah slogan UMNO asal yang selalu mereka jeritkan dalam perhimpunan mereka, dijadikan akronim parti peribadi Tun Dr. Mahathir Mohamad. Very (clever, shrewd, smart) indeed!  Anda boleh pilih salah satu daripada tiga perkataan itu atau ketiga-tiganya, yang dikira tepat mencirikan peribadi Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya pilih shrewd, dalam bahasa Melayu dipanggil kelentong. Perebutan kuasa dalam UMNO berlaku 1987, pada ketika itulah saya mengemukakan pandangan saya supaya UMNO menerima hakikat UMNO mesti dikalahkan jika parti itu benar-benar berjuang untuk orang Melayu. Rupanya benar-benar berlaku dalam PRU 2018. Tepat sekali ramalan saya, walaupun ketika saya kemukakan idea itu saya dituduh sebagai pengkhianat bangsa Melayu kerana mencadangkan UMNO perlu dikalahkan untuk menyedarkan Melayu dalam dan di luar UMNO. Ironinya, yang menang adalah UMNO rekon pimpinan Tun Dr. Mahathir. Adakah betul Melayu bodoh, atau pemimpin Melayu memang tidak boleh diharap? Saya serahkan kepada penganalisis politik mengupasnya dengan kritis.

Mengapa saya bawa perkara ini dalam entri mengenai Buyung Lurus? Saya fikir tidak perlu saya jawab. Anda tentu lebih tahu dan tak perlu diberitahu. Ingat saja kata-kata Buyung Lurus yang membina PUPEN.  Dalam politik Malaysia, PUPEN tidak diperlukan.  Kebenaran, kata ahli politik, bukan istilah politik, tetapi istilah agama, khususnya istilah sufi.  Kata mereka, agama adalah soal peribadi, bukan masalah politik.  Hanya penjual agama yang menjadikan agama sebagai matlamat politik mereka. Kata mereka, dalam Islam tidak ada politik seperti yang difahami dalam demokrasi. Yang ada syura. Di Malaysia syura itu berada di Parlimen. Di Amerika Syarikat terdapat 5 jenis demokrasi yang berbeza penekanannya dan kesannya dalam masyarakat. Demokrasi adalah alat kapitalisme, oleh itu demokrasi dikuasai oleh kaum kapitalis atau kaum peniaga. Bagaimana di Malaysia? Sama saja. Syarikat besar dan berkuasa memerlukan demokrasi versi mereka untuk memperkuat kedudukan ekonomi mereka. Sekarang saya kemukakan satu pertanyaan bodoh yang memerlukan jawapan yang cerdik. Apakah yang berlaku dalam politik Malaysia selepas pilihan raya 2018? Jawapan itu ada di dalam Hikayat Buyung Lurus; anda hanya perlu mencarinya.  Teka teki ini perlu untuk mencerdikkan anda, dan membuat anda lebih peka kepada penipuan dalam politik demokrasi. 

Semua isu dan persoalan yang saya bangkitkan ini membuktikan betapa pentingnya pendekatan baru dalam penulisan; dan pendekatan itu dipakai dengan penuh kesedaran bahawa hasilnya nanti akan menyerlahkan kecerdikan penulisnya dan mengemukakan persoalan penting yang memerlukan perbahasan untuk mendapatkan kesimpulan terbaik bagi kita semua. Itulah yang dilakukan dalam Hikayat Salim Adil.  (Lihat penjelasannya dalam entri bertarikh 22 November 2017;  1 Disember, 2017;  2 Disember, 2017; 4 Disember, 2017; dan 6 Disember, 2017.)  Keistimewaan paling menonjol Hikayat Salim Adil ialah keupayaannya merangkai tiga genre dalam satu karya kreatif yang bersifat intelektual, yang tidak pernah terlintas dalam fikiran para sasterawan negara untuk menulisnya, malah mereka tidak dapat menulisnya kerana kecetekan pengetahuan mereka dan kelemahan daya kreatif mereka sendiri.  Cabaran Hikayat Salim Adil dapat dilihat dalam dua perspektif. Pertama, sebagai sebuah karya yang merangkum tiga genre sekali gus. Kedua, sebagai karya kreatif yang sekali gus juga sebuah karya akademik. Apakah implikasinya? Jelaslah Gagasan Persuratan Baru memberi ruang yang amat luas untuk sesiapa juga yang mahu menulis karya kreatif menggunakan tekniknya untuk menulis karya kreatif yang bercorak akademik. Inilah makna pembaharuan yang sebenarnya, yang bertunjangkan faham ilmu yang benar. Anda boleh gunakan Hikayat Salim Adil untuk menilai karya sastera Melayu dari dua perspektif yang disebutkan.

Saya ingin menegaskan, sekiranya para sarjana, sasterawan dan pengkritik membaca Hikayat Salim Adil sehabis kritis yang mereka mampu, mereka akan menerima sepenuh hati Gagasan Persuratan Baru kerana itulah yang terbaik bagi mereka. Dengan menguasai PB, mereka akan dapat menguasai teori sastera Barat dengan mudah, dan ini akan membantu mereka menulis karya akademik dengan lebih cermat dan lebih teratur dari segi logik dan analisis.  Tidakkah ini sesuatu yang diperlukan dalam bidang akademik?  Nampaknya anda tidak ada pilihan. Satu-satunya pilihan yang ada untuk menyelamatkan diri anda dalam dunia akademik ialah dengan memasuki kandang pandirisme dan kekal di situ. Tetapi itu pilihan yang sangat bodoh dan sia-sia. Sekali lagi saya memberi contohnya, sebagai bukti, buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Buku ini hanyut dalam kekeliruan tentang konsep dan peranan ilmu dalam pembinaan tamadun. Tidak terdapat sebuah pun makalah yang membincangkan masalah ilmu dan peranan ilmu dalam pembinaan tamadun. Wang yang banyak telah dibelanjakan, masa yang digunakan adalah sia-sia, resolusi yang dipersetujui memperlihatkan sikap tamak dan ghairah untuk mendapat faedah kebendaan.  Tanpa kesedaran taklif, kehidupan manusia adalah sia-sia, sebagai penderhaka yang menolak hakikat bahawa mereka telah berjanji di alam alastu sebagai janji azali yang tidak dapat dinafikan, kerana yang mengaku dan berjanji itu adalah ruh yang suci. Alangkah celakanya manusia beriman jika dia menolak hakikat ini padahal dia tahu. Demikianlah kehadiran Gagasan Persuratan Baru akan terus diperingatkan, sebagai tugas taklif yang tidak dapat dielakkan.

Walaupun bagi anda Buyung Lurus dan Pak Pandir dua tokoh jenaka yang bodoh yang tidak wujud, tetapi kedua-duanya muncul dalam dunia sastera Melayu, dengan itu kewujudan mereka tidak dapat dinafikan.  Buyung Lurus mencipta PUPEN (Pusat Pengesan Penipuan Negara) untuk mempertahankan kebenaran, Pak Pandir pula memberikan kita konsep pandirisme.  Kini kedua-duanya sudah sah boleh dijadikan ukuran dalam membuat penilaian karya sastera, mengikut ukuran yang anda pakai dalam membuat penilaian dalam kritikan.  Jangan-jangan kedua mereka yang anda  anggap bodoh itu jauh lebih cerdik daripada anda, walaupun anda seorang sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera.  By the way, tidakkah Kerajaan Pakatan Harapan menentang rasuah dan penipuan?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 Muharram 1440/ 11 September 2018.

Saturday, September 8, 2018

APAKAH HARAPAN YANG DIBERIKAN OLEH PAKATAN HARAPAN KEPADA RAKYAT?



Kumpulan (mungkin lebih tepat gerombolan) Pakatan Harapan (seterusnya PH) dikatakan telah mengubah pemerintahan negara dengan kemenangan PH 9 Mei 2018. Betulkah begitu? Kalau kita melihat gaya dan beberapa tindakan yang boleh disifatkan biadab yang dilakukan oleh wakil-wakil dalam kerajaan PH, misalnya memulai berita Cina dan Tamil di BERNAMA, dan permintaan seorang wakil DAP yang dilantik sebagai menteri pekerjaan supaya membawa sekolah Tamil dari kebun getah ke bandar-bandar besar dan bahasa Tamil diiktiraf sebagai bahasa rasmi, maka perubahan yang dijanjikan itu memang dilakukan, tetapi dilakukan dengan biadab dan menentang semangat yang dipersetujui bersama ketika membentuk Perlembagaan Negara. Manusia jenis ini tidak fasih langsung berbahasa Melayu, yang mereka tahu adalah bahasa kebangsaan Malaysia dan termaktub dalam Perlembagaan.

Siapakah PH dan siapa pula UMNO/BN?  Yang jadi PM selama 22 tahun Dr. Mahathir Mohamad; dialah juga yang jadi pemimpin PH sekarang. Hanya nama yang berbeza, isi dan semangat tetap sama. Ini sangat jelas dalam ucapan terbaru Dr. Mahathir di perhimpunan untuk membelasah Melayu kesekian kalinya sebagai tidak kreatif, korup, berharapkan bantuan, dan lain-lain yang masih diulang oleh Dr. Mahathir dalam ucapan terbarunya. Bolehkah Melayu berubah dengan menyumpah dan menyeranah mereka sambil menghina mereka? Selama lebih dari 60 tahun  UMNO kononnya memperjuangkan Melayu, kononnya mahu menghapuskan kemiskinan. Yang terjadi sebaliknya. UMNO memang berjaya besar dalam membina para pemimpin yang kaya dan mewah. Mana ada pemimpin UMNO yang papa kedana? Melayu memberi kesempatan kepada pemimpin UMNO untuk membolot kekayaan melalui program membasmikan kemiskinan. Sudah 60 tahun, masih belum mendatangkan hasil?  Kalau ini satu fakta yang terang jelas, adakah ini membuktikan kegagalan Dr. Mahathir Mohamad “membasmikan” kemiskinan Melayu dalam masa 22 tahun jadi PM. Dia sedar kegagalannya, maka kali kedua dia jadi PM, dia mesti salahkan Melayu yang memang seronok menjadi miskin dan membenarkan dengan rela hati para pemimpin mereka menjadi kaya raya dan hidup mewah. Apa bezanya UMNO/BN dengan PH bekas pemimpin UMNO yang memang kaya raya itu? Orang-orang ini nampaknya tidak ada perasaan malu untuk mengaku kegagalan mereka.  Kalau anda mahu tahu makna sebenar politik Melayu, anda mesti baca novel Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu.

Pelbagai kutukan dilemparkan oleh pemimpin Melayu terhadap orang Melayu yang mereka marah (betulkah begitu?) kerana miskin dan bangga menjadi miskin.  Hingga era yang mereka panggil Malaysia Baru ini pun para pemimpin Melayu, lebih tepat ahli politik, semakin galak menghamburkan seranah mereka kepada rakyat Melayu yang tertinggal di belakang segala-galanya. Semua ini terjadi, kata Dr. Mahathir dari dulu hingga kini, kerana Melayu malas, mengutamakan akhirat dan mengambil mudah kehidupan duniawi, dan Melayu tidak cerdik. Saya tertarik betul bila dikatakan Melayu tidak cerdik itu. Tepat. Mereka telah memilih para pemimpin yang tidak boleh dipercayai, yang giat mengumpul harta dan kemewahan. Orang miskin ini sangat pemurah, tidak mahu memarahi pemimpin mereka yang telah menipu mereka, dengan tegas berkata pemimpin mesti kaya, barulah dia boleh memberi makan percuma sekali sekala kepada rakyat, boleh memberi hadiah dan sebagainya. Sungguh beruntung menjadi pemimpin Melayu kerana mereka tetap disayangi rakyat walaupun mereka korup dan didapati menipu dalam pilihan raya. Mereka tidak bersalah, kata mereka (maksudnya rakyat) memberi hujah yang dipelajari daripada para pemimpin mereka, tidak bersalah jika tidak dihukum bersalah. Bila telah dihukum bersalah, maka bersalahlah. Mudah. Dan mereka percaya kepada sistem kehakiman negara! Kata mereka, tidak mungkin hakim pun boleh menipu. Memang betul Melayu memang baik hati.  Dalam konteks ini sungguh cantik pembebasan Menteri Kewangan, yang juga Setiausaha Agung DAP, daripada tuduhan rasuah. Cuma di sini dia tidak dibicarakan, kerana pihak yang mendakwa tokoh besar DAP ini  berkata kalau didakwa pun mesti kalah. Baik tidak dibicarakan, buang masa saja.  Andainya Pak Pandir ada bersama kita, tentu dia tertawa berguling-guling membaca keputusan tokoh yang membebaskan Lim Guan Eng sebelum dibicarakan.  Lebih menarik lagi, Timbalan Menteri di JPM, seorang Melayu (?), berkata memang tidak ada kes untuk dibicarakan. Dengan itu dia membodohkan sebodoh-bodohnya para pegawai Suruhan Pencegah Rasuah Malaysia  yang membantah keputusan hakim yang bijaksana itu. Nampaknya dunia yang dibikin oleh PH betul-betul tidak siuman. Bukti? Tun Mahathir Mohamad sendiri menyatakan dia terkejut Menteri Kewangan yang dilantiknya dibebaskan! Kita semua terkejut benda ini berlaku dalam kerajaan yang anti rasuah, yang memberikan kita Malaysia Baru melalui Kerajaan Pakatan Harapan.  Tidak sia-sia Buyung Lurus menjelaskan mengapa PUPEN penting: “PUPEN ini akan jadi pusat orang-orang pandai kita membuat penyelidikan tentang penipuan yang berlaku di negara kita.”  Siapa sangka Buyung Lurus yang bodoh itu lebih cerdik daripada semua ahli politik Melayu dan bukan Melayu yang tidak pun terfikir untuk membina PUPEN. Sebabnya? Sukarlah mereka sendiri hendak menipu rakyat.

PH adalah kemuncak pandirisme dalam politik Melayu, yang disembunyikan di sebalik slogan kosong Malaysia Baru. Kalau kita kira secara kasar, Melayu telah diberi slogan tak kurang dari 5000 slogan. Kerana terlalu banyak, rasa hendak termuntah jika dibilang satu persatu. Saya serahkan kepada anda untuk membilangnya satu persatu jika anda mahu. Slogan sangat penting dalam konteks penipuan politik, kerana semua slogan dipercayai dan diterima oleh masyarakat. Misalnya slogan Malaysia Baru, sangat popular sekarang dan boleh dikatakan masyarakat sudah dipukau dengan slogan ini. Di mana saja orang bercakap tentang Malaysia Baru yang memberi kebebasan kepada rakyat menyuarakan apa saja yang mereka ingin perkatakan, termasuk mengejek dan mengkritik Agong yang pernah diselar oleh seorang wartawan terkemuka Malaysia, yang kini diberi kedudukan istimewa sebagai penasihat komunikasi seorang Perdana Menteri, manusia inilah yang menyelar Agong boros dan tidak segan silu lagi membelanjakan wang rakyat untuk keseronokan peribadi. Perbuatan begini tidak lagi dianggap kurang ajar dan biadab, malah dipuji sebagai sejenis keberanian memberikan pendapat yang bernas.  Dalam Era Malaysia Baru, konsep dan perilaku kurang ajar tidak lagi relevan, kerana semua orang digalakkan untuk menyatakan apa saja tanpa sebarang risiko, kecuali jika melampaui  batas yang dibenarkan undang-undang.  Dengan gaya hidup biadab ini, Malaysia Baru memberi  makna baru kepada istilah kesopanan, yang kini bererti kelangsungan kekurangan ajaran (sorry guna ungkapan gila ini!)  dalam komunikasi secara umum. Anda mahu contoh?  Seorang bekas Ketua Polis Negara (terlalu jijik hendak menyebut namanya, walaupun beliau kenalan saya dan pernah saya bergurau bahawa satu hari nanti dia akan jadi Ketua Polis Negara; ketika itu dia Ketua Polis Selangor) baru-baru ini dilantik oleh Perdana Menteri mewakili Malaysia menyertai rundingan damai di Siam (selatan Siam).  Bila dibantah, sedap-sedap saja jawabnya dia ada pengalaman luas dan telah berjaya besar kepada Malaysia; termasuk menumbuk Anwar Ibrahim hingga jatuh terlentang. Pemilihan beliau adalah satu strategi yang jahat untuk “mengajar” Anwar Ibrahim secara sindiran! Saya kira ramai yang tahu makna pelantikan ini dari segi politik, untuk menampar Anwar Ibrahim dengan sindiran yang menikam rasa.) Kalau kes ini bukan satu kebiadaban, apakah nama yang boleh kita berikan?

Allah yarham Ustaz Fadzil Noor, Yang di Pertua PAS, pernah berkata, dia memohon kepada Allah SWT supaya usia Mahathir Mohamad dilanjutkan, supaya dia sendirilah yang akan membicarakan tentang kejahatannya. Itulah yang terjadi kini, boleh kita lihat dengan mata kepala kita sendiri dihamburkan dengan megah dan sombong oleh Dr. Mahathir Mohamad. Yang paling jahat ialah peristiwa Anwar Ibrahim dibelasah, atas arahan Mahathir Mohamad sendiri, dilakukan oleh Ketua Polis Negara, yang kini dihormati menjadi utusan rasmi Kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi wakil Malaysia dalam satu perundingan di Selatan Siam.  Rupanya orang ini belum puas mengajar orang yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri beliau sendiri. Maka bermulalah Reformasi 1998, yang kononnya kini ditegakkan dengan nama Kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad. Kerajaan hasil dari perjuangan reformasi 1998 diketuai oleh Mahathir Mohamad? Begitulah politik, yang matlamatnya hanya untuk mendapat kuasa, cara mana sekali pun.

Ketika menulis entri ini, saya terbaca sesuatu yang menarik dalam Hikayat Buyung Lurus.  Rupanya novel persuratan ini memang hebat, walaupun kecil. Cili api paling pedas, baka Mexico gamaknya. Yang menghairankan saya ialah mengapa novel ini tidak dibicarakan oleh sarjana sastera, pengkritik dan sasterawan sendiri, padahal inilah jenis karya yang perlu dikritik. Dunia pandirisme dalam sastera Melayu begitu kuat pengaruhnya, oleh itu karya picisan dikupas secara picisan oleh sarjana picisan.  Hikayat Buyung Lurus memberikan anda kepuasan intelektual dan kepuasan estetik sekali gus, dua perkara yang tidak ada di dalam mana-mana karya sasterawan negara. Ini satu cabaran yang perlu disambut dengan kritis oleh para sarjana sastera, juga pengkritik sastera. Saya tidak akan berhenti mencabar para sarjana, pengkritik dan sasterawan kerana bagi saya mereka masih berada terlalu jauh di pinggiran dari segi pemikiran dan keupayaan kreatif.  Kedegilan mereka untuk berada dalam kandang pandirisme  amat memalukan, lebih-lebih lagi mereka dengan angkuh dan bangga mendakwa bahawa mereka adalah golongan intelektual terpilih yang unggul. Penilaian yang salah, berasaskan ukuran yang palsu, telah saya bincang banyak kali dalam blog ini; terbaru bertarikh 26 Ogos 2018.  Saya cabar sesiapa juga untuk menolak analisis saya sebagai longgar dari segi penghujahan, tidak berasaskan kedudukan sebenar persoalan yang ditimbulkan. Saya membawa contoh dengan menonjolkan Hikayat  Buyung Lurus kerana keseluruhan isi novel itu mengenai kebenaran. Contoh: “Kita mesti selamatkan kebenaran di negara kita.” (hal. 127).  Hebatnya Buyung Lurus kerana dialah yang pertama menubuhkan PUPEN (Pusat Pengesan Penipuan Negara).  Inilah pusat yang kita perlukan sekarang. Anda perlu baca Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu dengan kritis dan kreatif. Saya anjurkan anda baca baik-baik, dan kritis, hal. 139.  Sekarang sudah banyak kali disebut semua pemimpin politik yang berkuasa isytiharkan harta mereka. Perdana Menteri James Callaghan dari England telah buat ini sejak tahun 1976 lagi!  Bacalah Hikayat Buyung Lurus dengan kritis dan kreatif, anda nanti akan jadi lebih terbuka kepada intelektualisme dalam kesusasteraan.

Kata-kata Buyung Lurus “kita mesti selamatkan kebenaran di negara kita” nampaknya tidak dipersetujui oleh para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera. Bagi mereka yang penting bukan kebenaran, tetapi kemenangan dan kekuasaan untuk memastikan mereka terus relevan dan mendapat faedah berpanjangan. Ini mengingatkan saya kepada cerita pendek “Bukan Orang Jahat” yang saya masukkan dalam kumpulan cerita pendek Biarlah Orang Tahu  (DBP 2005, cerita pendek ke 16). Kerana saya sudah sebut banyak kali tentang cerita pendek ini, saya tidak akan ulang di sini.  Saya hanya ingin menegaskan, yang diperjuangkan oleh sasterawan, sarjana dan pengkritik ialah kemenangan dan faedahnya kepada mereka. Jadi bukan hanya dalam politik kebenaran itu tidak penting; dalam sastera pun sama juga. Kerana itulah mereka ini menolak kehadiran PB, kerana penerimaannya akan memberi kemenangan kepada kebenaran dalam konteks taklif dan prinsip ilmu yang benar. Sampai bila penolakan ini akan berterusan? Semua ini akan berakhir, saya fikir, sekiranya Kementerian Pendidikan menerima PB sebagai sebahagian (dan bahagian yang penting atau utama) yang penting dalam pendidikan sastera. Saya telah cuba mendekati Kementerian Pendidikan untuk menjadikan PB sebahagian daripada pembelajaran dalam sastera; tetapi dengan senang hati saya ingin memberitahu anda, usaha itu tidak diterima kerana sebab-sebab yang tidak mahu dijelaskan. Ini bererti, jika terdapat pelajar menyebut PB dalam jawapan mereka, maka mereka tidak akan diberi markah, malah akan dipotong markah.  Sebagai satu sisipan menarik, saya ingin beritahu anda bahawa saya telah mengirim satu bungkusan agak besar mengandungi segala maklumat  tentang PB. Setelah lama tiada berita, saya mengirim beberapa dokumen untuk pengetahuan Menteri Pendidikan. Akhirnya saya menerima jawapan pendek saja daripada Penasihat Khas Menteri Pendidikan menyatakan kiriman itu sudah diterima, bersekali dengan surat asal saya dikembalikan. Maksudnya, kiriman itu ditolak, begitu juga PB, dengan mengembalikan surat asal saya. Walaupun perkara ini agak aneh, dan pelik, bahawa ini dilakukan pada zaman Pakatan Harapan bercerita banyak sekali tentang kewujudan PH. Anda faham maksud saya?  Penasihat ini menulis surat peribadi dengan memakai logo rasmi. Surat itu tidak ada rujukan, tidak difailkan.  Ke mana dibuangnya bungkusan dokumen mengenai PB? Ini lebih teruk daripada perangai para sarjana, sasterawan dan pengkritik, termasuk institusi sastera seperti DBP dan ITBM,  yang memberi layanan yang sama dengan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan. Anda faham apa makna perilaku begini? Ini semua sebenarnya telah disebut dengan kritis oleh Buyung Lurus, terutama dalam konteks  “Kita mesti selamatkan kebenaran di negara kita” (hal. 127). Mengenai tajuk ini, tentang makna kebenaran dalam Islam, dibincangkan oleh seorang ustaz dalam ceramahnya di TV. Kebenaran menurut beliau adalah inti perilaku manusia beragama, yang dikaitkan dengan nahi mungkar yang berkait rapat dengan ilmu yang benar. Apa kesimpulan kita jika perilaku mereka yang di Kementerian Pendidikan, ITBM dan DBP dinilai daripada perspektif ini?  Dirgahayu Buyung Lurus, anda seorang genius yang setaraf dengan Pak Pandir, genius Melayu pertama itu!

Oleh itu, para sasterawan, sarjana dan  pengkritik sastera tidak usah gusar kerana saya diberitahu dengan santun dan penuh simpati bukan masanya untuk kita menerima konsep kebenaran itu dalam pendidikan negara. Itulah kedudukannya secara rasmi, yang dibayangkan kepada saya. Sama ada akan berubah atau tidak, terpulang kepada sesiapa juga yang membuat keputusan akhir. Yang penting, projek sasterawan negara akan diteruskan, walaupun Dr. Mahathir Mohamad telah membubarkan Majlis Profesor Negara, yang lebih penting daripada Panel Anugerah Sastera Negara yang tidak akan diusik.

Sorry Buyung Lurus, PUPEN anda tidak laku!

Dalam entri bertarikh 23/8/2018 saya bercakap tentang bebelan seorang tokoh intelektual terkemuka; entri kali ini adalah sambungan kepada bebelan itu. Maksud saya, entri ini tidak serius, hanya sejenis bebelan saja, walaupun perkara-perkara yang disentuh di sini adalah isu-isu yang menarik untuk difikirkan dengan siuman.  Satu isu besar yang perlu difikirkan dengan siuman ialah Tun Razak Exchange, yang sudah siap dibina. Bangunan ini saya fikir akan menjadi legacy Dato’ Najib Tun Razak yang akan kekal dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Sekali imbas ini satu perkara aneh, tetapi tidak. Kompleks bangunan ini adalah jawapan Najib kepada Putrajaya, yang dari segi strategi jauh lebih hebat daripada Putrajaya. Mungkin anda tidak tahu bahawa pada mulanya Putrajaya dicadang dinamakan Taman Firdausi. Masa saya bekerja dulu, saya lihat petanya. Taman itu kemudiannya menjadi Putrajaya, tentang seorang “putera” yang berjaya. Pada mulanya Sang Putera meminta MB Selangor ketika itu, Abu Hasan Omar, supaya memohon izin Sultan Selangor untuk mendapat  izin baginda supaya mengisytiharkan pembukaan Putrajaya. Baginda menolak, dengan itu Ahli Exco tidak bersetuju dengan permintaan itu. Menteri Besar dipecat; dilantik Mohd. Khair Toyo yang masih muda untuk jadi MB Selangor yang baru. Di bawah pentadbiran beliau, Exco bersetuju dengan permintaan itu dan meluluskannya, walaupun Sultan menentang.  Akhirnya yang mengisytiharkan Putrajaya ialah PM ketika itu; dengan itu Putrajaya adalah negeri beliau yang secara de facto dan de jure  milik beliau atas nama PETRONAS yang menyediakan dananya. Kita perlukan pandangan ahli undang-undang untuk menafi atau mengesahkan pandangan ini.  Kembali kepada kedudukan Tun Razak Exchange, orang-orang yang tahu menegaskan inilah jawapan Najib kepada Mahathir; dan nampaknya kejayaan Najib dari segi ini jauh lebih megah daripada kejayaan Dr. Mahathir membina Putrajaya. Itulah ceritanya, yang tidak tertulis dalam Hikayat Buyung Lurus walaupun sebaiknya begitulah; tetapi tidak menjadi masalah kerana Hikayat Buyung Lurus ditulis 2004. Dicetak oleh sebuah syarikat Cina 2014 setelah ditolak oleh ITBM. Sejarah, begitulah liku-likunya. Sebenarnya membebel adalah satu seni, jika anda tahu melaksanakannya. Aneh atau lucu? Jika anda membaca dengan teliti Pujangga Melayu, khususnya sisipan “Lembu Masuk Universiti”, anda mungkin faham maksud saya.

Saya cadangkan PENA dan GAPENA menghubungi Najib untuk mendapat tempat di Tun Razak Exchange untuk dijadikan pejabat organisasi penulis ini. Najib sudah beri 5 juta kepada setiap satu organisasi penulis ini. Sudah habiskah wang itu? Saya fikir bolehlah beli ruang pejabat di bangunan gagah itu. Kalau Najib beri percuma, tentu lebih baik; lebih baik lagi jika dibeli dengan wang derma itu. Harap masih ada baki yang mencukupi untuk maksud ini.  Semua sasterawan Malaysia akan bangga nanti mendapat  tempat yang istimewa.  Rumah PENA dan GAPENA yang ada sekarang boleh dijadikan tempat penginapan (home stay) untuk para penulis yang datang ke Kuala Lumpur. Idea ini sangat baik dan wajar dilaksanakan segera.  Dua badan penulis ini wajar mengambil faedah daripada projek 1MDB (baca One MDB, sebutan rasmi kerana sebutan dalam bahasa Melayu sangat buruk).  Salah satu, atau kedua-dua badan penulis ini patut benar ke Mesir bertemu dengan organisasi penulis Mesir yang berjaya. Di Mesir para penulis diwajibkan menjadi anggota pertubuhan penulis, dan setiap bayaran buku yang diterbitkan, 10 persen dibayar kepada badan penulis ini. Badan penulis Malaysia pun patut buat seperti para penulis Mesir. PENA dan GAPENA bolehlah ke Mesir sekarang untuk mendapat maklumat lanjut. Dalam keadaan sekarang, kedua-dua badan penulis yang besar ini tidak berguna kepada penulis/sasterawan, tiada faedahnya yang mereka dapat. Yang jelas, aktivis penulis yang menjadi ketua atau anggota jawatan kuasa mendapat faedah dari perdampingan mereka dengan ahli politik yang berkuasa. Faedah itu sepatutnya didapati oleh semua sasterawan melalui perancangan teratur dan kemas badan-badan ini seperti yang dibuat oleh para penulis Mesir.

Nampaknya badan-badan penulis Malaysia tidak boleh lari dari bergantung pada kerajaan untuk mendapat dana.  Semakin banyak dana diterima, semakin naik tagan badan penulis yang mendapatnya dan ahli JK yang mengendalikannya. Keadaan ini amat menarik. Tidak saja penduduk luar bandar mengharapkan bantuan dari kerajaan; badan-badan penulis sama juga, kedua-dua kumpulan ini seronok menjadi pengemis.  Tetapi ini tidak boleh dianggap sebagai satu kelemahan. Kerajaan PH sudah membentuk satu tabung khas untuk mengemis dana daripada rakyat kerana menurut mereka Malaysia sudah bankrap, tidak ada wang kerana terlalu banyak penyelewengan. Kalau tak salah nama tabung itu Tabung Harapan Malaysia, sekarang sudah banyak juga diterima kutipan. Ini yang menyeronokkan: yang memberi derma adalah rakyat yang cintakan Malaysia; yang tidak beri apa-apa agaknya apa pula panggilan yang diberikan kepada mereka. Sandiwara di mana-mana, sama saja dengan yang dialami 61 tahun di bawah UMNO/BN. Kini bukan sesuatu yang aneh, kerana semua TV di Malaysia memang terkenal menyediakan hiburan melalui drama picisan yang boleh kita tonton (kalau mahu) setiap jam disediakan oleh semua stesen TV.  Adakah Kerajaan PH juga sejenis drama? Tidak adil untuk membuat tuduhan demikian, kerana kerajaan Malaysia Baru diwujudkan dengan kehendak rakyat, kata mereka.  Itulah harapan yang diberikan oleh kerajaan PH kepada rakyat, yang sebenarnya tidaklah membanggakan sama sekali. Tidak mengapa, kerana kerajaan ini masih baru, oleh itu mereka berhak bercakap besar untuk memujuk rakyat bahawa tidak lama lagi satu keajaiban akan berlaku yang akan membolehkan semua rakyat bersorak gembira. Bila? Tidak penting. Yang penting akan datang juga!!!

Mengapa saya agak kritis menghadapi kerajaan PH ini? Saya banyak belajar daripada Buyung Lurus, yang memperingatkan Dr. Adi Bahari supaya memperjuangkan kebenaran yang mesti diselamatkan daripada dikhianati.  Saya sendiri menghadapi pengkhianatan intelektual ketika cuba mendekati pihak yang saya kira mempunyai tugas besar untuk mencerdikkan masyarakat Melayu terutamanya, di samping menegakkan kebenaran dalam semua tindakan.  Mereka tidak berminat, kerana perkara yang saya cadangkan memerlukan keberanian intelektual dan komitmen yang tinggi kepada kebenaran itu. Saya mengajak mereka menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas pendidikan negara, yang mereka tolak kerana kata mereka Malaysia adalah multi-racial dan multi-religious. Islam tidak sesuai dijadikan asas atau diberi penegasan yang boleh menakutkan etnik bukan Islam. Tentu saja pendapat atau pandangan ini sangat bodoh, dan menentang terang-terangan konsep uswatun hasanah yang dibawa oleh Nabi kita SAW. Sejarah tamadun Islam tidak menjadikan ini satu halangan, kerana pembinanya mempunyai otak kelas par excellence yang dihormati seluruh dunia. Tamadun Islam menetapkan nilai-nilai keilmuan dan sebagainya untuk diikuti oleh semua manusia, dan mereka menerimanya kerana mereka tahu itu yang mereka mahu. Mengapa tidak masyarakat Malaysia?  Siapa mahu dan boleh jawab soalan ini jawablah, saya tidak berminat membuang masa.

Setelah meneliti apakah yang boleh saya sumbangkan dalam kerajaan PH, saya positif tidak ada apa-apa yang boleh saya sumbang, kerana mereka pun tidak mahu perkara-perkara yang saya hargai. Mereka mahu melihat “kemajuan” kebendaan semata-mata, sambil membiarkan pemikiran mereka bantut, kusut, serabut, dan tidak berminat kepada kebenaran kerana kebenaran tidak boleh dijadikan panduan untuk membuat duit. Yang penting bagi mereka ialah teknologi, semua jenis teknologi. Itulah yang memperkayakan bangsa, kata mereka. Tentu saja pandangan begini tidak siuman, kerana Islam ditegakkan di atas ilmu, bukan kemahiran semata-mata. Orang yang terdidik dalam epistemologi Islam dapat membezakan dua perkara ini. Jelaslah kerajaan PH tidak berminat kepada aspek ilmu, hanya memberi tumpuan dan perhatian kepada teknologi kerana itu boleh membawa kekayaan. Dalam masyarakat yang begini kemahuannya, sukar  mendapat orang-orang berilmu, cendekiawan dan ulama yang budiman. Kerana itu, tak mungkin kerajaan PH akan kekal dan boleh membawa kemajuan kepada bangsa Melayu, seperti gagalnya kerajaan UMNO/BN yang gagal total untuk memajukan manusia Melayu yang terus miskin. Sekarang  orang Melayu membawa pula kemiskinan ke bandar-bandar besar. Apakah gelaran untuk kehidupan begini? Anda carilah sendiri istilahnya.

Selamatlah jiwa yang sempurna.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 6 September 2018.



Sunday, September 2, 2018

DR. MOHAMAD SALEEH RAHAMAD DAN PENDAPATNYA YANG BERNAS?


“Kreativiti memang memerlukan keluarbiasaan, dan itu terbit daripada keberanian keluar daripada lingkaran konvensi.”   Kutipan ini diberikan kepada saya kononnya pendapat   Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Setelah merenung beberapa ketika kerana tidak yakin ini pendapat beliau, saya akhirnya mengambil keputusan untuk mempercayai kata-kata itu memang daripada sarjana terkenal ini.  Anehnya ialah, jika itulah pendapat beliau, mengapa beliau dengan kontan menolak PB sebagai karut dan tidak boleh dipakai dalam analisis dan penulisan kreatif.  Jika beliau percaya kepada ucapannya yang bernilai itu, tentulah beliau welcome  PB sebagai satu kaedah analisis dan panduan menulis karya kreatif yang “luar biasa” yang terbit daripada seorang pemikir yang mempunyai “keberanian keluar daripada lingkungan konvensi.” So?

Teka-teki begini sering kita temui dalam ucapan dan tulisan para sarjana kita, seperti yang saya paparkan sudah banyak kali dalam blog ini. Untuk meneliti mana satu entri yang membicarakan aspek ini, sila rujuk senarai yang tersiar pada … (maaf, saya tak dapat kesan tarikhnya.)  Barangkali lebih baik anda rujuk saja buku Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang diterbitkan oleh DBP 2009, berjudul  Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Juga rencana beliau dalam bahasa Inggeris,  “Persuratan Baru: An Alternative Paradigm to Western Literary  Methodologies” (Journal ASIATIC, Vol. 9, No. 1, June 2015).

Saya pasti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak membaca tulisan Prof. Ungku Maimunah kerana menurut perhitungannya pendapat Prof. Ungku Maimunah tidak boleh dipakai, terlalu taksub kepada PB sehingga menonjolkannya sepanjang masa. Walaupun kesimpulan ini tidak bertanggungjawab dan amat aneh untuk dilontarkan oleh seorang sarjana terkenal sepertinya,  namun itulah kenyataannya jika anda belum tahu. Pelik tetapi benar, tidaklah pelik tetapi benar terdapat di kalangan para sarjana sastera yang terror seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini.  Bagusnya pula, kita tidak ada terrorist dalam kritikan sastera Melayu, hanya sarjana yang pendapatnya sangat terror kerana keberaniannya yang luar biasa menolak keunggulan pemikiran dan tulisan orang lain yang tidak dihormatinya kerana beliau sudah terpengaruh oleh Tiga Qul dalam konteks peranan Iblis yang disebut dalam Tiga Qul itu.  Kalau anda seorang sarjana Islam, dan menolak Tiga Qul dalam kritikan sastera, bagaimana kedudukan anda sebagai seorang yang beragama?  Menurut hemat saya, di kalangan para sarjana bukan suatu kejelikan, tetapi satu kekuatan dan keberanian yang luar biasa. Kejelikan itu jelas, tetapi kekuatan akademik dan keberanian memberikan pendapat yang songsang adalah luar biasa.

Mungkin anda hairan mengapa kita selalu mengambil contoh daripada tokoh terkenal ini. Dua sebab. Pertama, beliau seorang profesor sastera di sebuah universiti, dengan itu beliau mengajar sastera kepada para pelajar. Adakah beliau memberi pengajaran yang lengkap? Tidak. Ada perkara yang beliau tidak tahu, tidak faham, dan tidak suka, maka tidaklah beliau sebut walaupun sepintas lalu kepada para pelajar. Salah satu yang beliau tidak suka ialah gagasan Persuratan Baru, yang beliau anggap menghalang kebebasan kesarjanaannya. Jika anda cerdik, dan tahu makna kebebasan, anda akan dapati PB memberikan anda kebebasan penuh berasaskan konsep ilmu yang benar. Anda bebas membicarakan kebaikan; tetapi anda tidak bebas membicarakan sesuatu yang merugikan masyarakat, terutama para pelajar. Walaupun kebebasan itu dihargai, tetapi anda tidak bebas untuk berak dan kencing di merata tempat. Ada peraturan tertentu yang mesti diikuti. Dalam kritikan sastera pun begitu. Walaupun anda pengamal teori sastera Barat, sebagai sarjana anda harus tahu alternatif lain, apatah lagi jika anda itu seorang penganut agama, maka wajib anda tahu kerana itulah tuntutan agama dan anda pun boleh betulkan sesuatu pendapat jika tidak betul. Dengan bersikap lembu kenyang, anda tidak membantu perkembangan ilmu dan perkembangan intelektual dalam pengajaran sastera. Anda terus mengajar pelajar anda menjadi bodoh, dan cetek walaupun dalam mata pelajaran yang anda lecture pelajar itu mungkin dapat A untuk memborakkan kembali syarahan anda yang mungkin juga cetek. Ini persoalan penting yang tidak ingin dibincangkan oleh para sarjana yang sedia keadaannya dalam keadaan cetek meraba-raba.  Hanya PB yang bertegas di mana anda betul dan di mana pula anda silap. Dua perkara ini penting dalam pengajaran ilmu. Adakah anda pasti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad telah melakukannya? Bukti dari tulisannya terang jelas beliau tidak berbuat seperti yang diharapkan, seperti yang dapat kita baca dalam tulisannya mengenai Naratif Ogonshoto, yang diberi hadiah oleh DBP itu. Tulisan itu cetek dan picisan, memberi gambaran salah terhadap sebuah karya picisan yang tidak bermutu.  Kalau anda cerdik, anda telah membaca ulasan kritis saya dalam blog ini.  Sekarang mungkin sudah jelas mengapa kita terus berbicara tentang tokoh ini. Kita mahu yang terbaik daripada beliau, yang hingga kini belum lagi beliau berikan kepada kita. Kita tidak boleh membiarkan kekeliruan dan kebodohan berterusan, sekiranya kita dapat membezakan dengan jelas antara keduanya. Salah satu tugas utama seorang sarjana ialah keupayaannya mengetahui perbezaan itu, dengan itu dia berhati-hati dan tidak meneruskan kesilapan dan kebodohan dalam kerjayanya. Tidak ada sesiapa pun yang akan membantah kesimpulan mudah dan tepat ini.

Keadaan yang berlaku dalam dunia akademik kita sungguh amat memalukan. Saya telah mengulas perkara ini dalam entri yang lepas, tentang kekeliruan seorang profesor yang menghina profesor lain dalam ejekan yang sangat biadab. Ini bukan caranya seorang sarjana, yang bertaraf profesor pula, membicarakan tentang soal ilmu dan soal akademik. Tidak ada kebaikan langsung untuk berlaku biadab dalam dunia akademik, dan dalam dunia ilmu. Ini mesti diketahui oleh seorang sarjana, bukan perkara main-main seperti yang ditunjukkan oleh profesor berkenaan.

Sekiranya anda membaca tulisan saya dengan kritis dan kreatif, anda akan dapati setiap isu yang saya kemukakan bertujuan untuk membuka dimensi baru dalam memahami masalah  kekeliruan dalam konsep ilmu yang sedang kita hadapi sekarang. Dalam konteks inilah saya mengkritik sarjana yang selekeh keupayaan akademiknya, tetapi berlagak angkuh mempamerkan kecetekan ilmunya seolah-olah dialah yang menentukan arah dalam perkembangan intelektual Malaysia. Inilah yang kita lihat dalam tulisan yang memuji Naratif Ogonshoto, sebuah karya picisan yang dangkal dan menyesatkan, tetapi diberi pujian tinggi yang tidak pada tempatnya hanya kerana yang memberi pujian itu sama dangkalnya dengan penulis novel itu sendiri. Sampai bila kita harus membiarkan keadaan ini berterusan? Apa untungnya menjadikan kekeliruan sebagai panduan dan kemegahan akademik? Anda tidak sedar akan perkara ini kerana anda tidak mempunyai alat analisis untuk menyedarkan anda akan kebodohan analisis anda; di sinilah PB boleh membantu anda kembali kepada kebenaran dan kekuatan hujah berasaskan konsep ilmu yang benar. Bagaimana anda boleh memusuhi PB jika itulah matlamatnya? Anda boleh menguji sampai tidaknya matlamat yang dituju itu dengan membuat perbandingan yang kritis antara penggunaan kaedah sastera Barat dengan kaedah berteraskan konsep ilmu yang benar yang diajukan oleh PB.  Anda harus mengetahui dengan mendalam kedua-dua pendekatan ini, sebelum anda boleh membuat kesimpulan yang tepat dan objektif.  Inilah yang ingin kita capai dalam perkembangan pemikiran dalam penulisan kreatif dan dalam kritikan sastera. Kita tidak akan dapat mencapainya jika kita memakai kaedah yang keliru yang dipakai oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Sekarang anda faham mengapa saya mengkritik tokoh ini. Kita tidak mahu kekeliruan dan keadaan cetek meraba-raba ini diwarisi oleh para pelajar sastera di peringkat universiti. Ini suatu pengkhianatan ilmu yang amat nyata yang mesti ditentang habis-habisan.

Jika anda membaca kritikan saya ini dalam konteks kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kutipan yang saya ambil pada permulaan tulisan ini, anda akan dapati matlamat saya lebih jelas dan cara mencapainya cukup objektif, tidak seperti yang cuba diberikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang masih keliru dan cetek itu. Anda perlu bahaskan dengan kritis kesimpulan ini jika anda mempunyai pandangan yang berbeza, dan mungkin juga yang terbaik untuk kita semua. Kemukakan pandangan anda yang terbaik itu untuk kita fikirkan bersama dengan kritis. Inilah tuntutan akademik yang tidak boleh didiamkan. Tidak ada sebab sama sekali untuk anda terus berada dalam kandang pandirisme.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 September 2018.