Friday, March 9, 2018

MENGAPA HIKAYAT SALIM ADIL MUNCUL DALAM BENTUKNYA YANG ADA?



Kemunculan the poetics of adultery dalam sastera Melayu yang saya bincang dalam entri yang lepas, dipelopori oleh seorang pensyarah di Universiti Malaya (bagaimana Universiti Malaya boleh menerima beliau adalah suatu tindakan tidak siuman), membuktikan betapa karutnya kesarjanaan tentang sastera di negara Malaysia ini; dan lebih teruk lagi diterima dengan begitu bangga sehingga diberi hadiah istimewa. Pastilah yang menilai tulisan sarjana ini tidak ada maruah intelektual sedikit pun, menerima suatu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali oleh manusia Melayu yang mendengar azan paling tidak lima kali sehari.  Bayangkan, seorang sarjana Islam menjadikan perzinaan sebagai sumber puitika sastera wanita Indonesia dan Malaysia. Di mana sifat siuman sarjana ini, atau memang sepatutnya begitu kerana sudah mabuk dengan teori feminisme Barat yang jelas mengarut itu.  Lebih mengarutkan lagi, terdapat pula sekumpulan penilai yang lebih mengarut lagi dalam penilaian mereka, termasuk Universiti Malaya sendiri, yang menerima buku sarjana ini untuk diberi hadiah istimewa.  Kalau anda tidak sensitif kepada persoalan yang begitu jelas berada di depan mata anda, maka anda turut menerima perzinaan sebagai asas puitika sastera wanita Indonesia dan Malaysia. Dalam konteks inilah sangat penting kemunculan Hikayat Salim Adil difahami dengan jelas, kerana inilah sebuah karya yang membawa kembali sifat siuman yang begitu teruk di kalangan sarjana Melayu. Lihat kembali hal. 58-59 Hikayat Salim Adil.  Tidakkah ini tidak siuman?

Entri kali ini tidak dapat dielakkan, kena juga tulis kerana pembaca Hikayat Salim Adil  kebanyakannya memerlukan bantuan untuk memahami karya ini. Mana-mana yang membuat “kritikan” maka pandangan itu sangat berguna untuk mengukur sejauh mana hikayat ini difahami pembaca yang serius. Para sarjana tidak berminat kerana mereka memang bersikap ingkar ilmu, malah terang-terang bersikap anti-ilmu yang benar. Oleh itu penjelasan ini penting untuk membantu pembaca mendapat input intelektual ketika membaca karya ini.

Mengapa karya ini dimulai dengan prakata? Tidak memerlukan penjelasan. Oleh itu kita tinggalkan saja. Terus saja ke Ruang Pertama. Bahagian ini penting kerana huraian dalam bahagian ini boleh dijadikan lonjakan untuk memahami karya ini seterusnya, terutama sekali kutipan penting dari Susan Sontag di halaman 18.  Mengapa kutipan itu penting? Sebenarnya itulah kunci untuk memahami karya ini. Baca baik-baik kutipan itu dan cuba renung dengan mendalam apa yang tertulis di situ.  Apakah yang tersirat dalam kutipan itu?  Apabila anda sampai ke Ruang 2, anda sepatutnya sudah bersedia untuk mula memahami rahsia kreatif seorang pengarang yang berfikir, bukan yang hanya ingin bercerita.

Apakah yang ada dalam Ruang 2 itu?  Inilah asas kefahaman anda bila anda memilih untuk membaca hikayat ini sampai habis. Jika anda faham Ruang 2 ini, anda akan mula merasa cetusan pemikiran yang segar yang akan membolehkan anda menggunakan pengalaman itu untuk membaca karya para sasterawan negara, misalnya.  Ini bererti Hikayat Salim Adil menjadi asas ukuran penilaian anda ketika menilai dengan cermat dan kritis karya para sasterawan negara.  Bagaimana ini boleh berlaku?  Untuk memahaminya, kita perlu lihat kedudukan  “Karya Falsampah” dalam konteks keseluruhan teknik Hikayat Salim Adil.

Kekuatan Hikayat Salim Adil yang tidak ada dalam mana-mana karya para sasterawan negara ialah dalam pembaharuan teknik yang menyatukan tiga komponen: wacana, cerita, dan pemikiran.  Ketiga-tiga aspek ini dijalin dalam teknik stylization of ideas  (siratan makna) yang diperkenalkan oleh Gagasan Persuratan Baru.   Contoh terbaik untuk memahami konsep ini ialah dengan menganalisis “Karya Falsampah” yang termaktub dalam Ruang 2. Ruang 2 mengemukakan satu wacana mengenai teknik bercerita yang  sebelum ini tidak pernah berlaku dalam penulisan kreatif. Mari kita baca bersama Ruang 2 dengan kritis dan kreatif.

“Karya Falsampah” adalah kunci untuk memahami Hikayat Salim Adil keseluruhannya.  Perhatikan bagaimana “Karya Falsampah” ditulis, dan mengapa diberi judul yang mengaibkan.  “Falsampah” adalah singkatan daripada “fasal sampah” dalam sastera atau karya sastera. Sesuatu karya menjadi “karya sampah” jika tidak memenuhi syarat yang paling minimum, terdiri daripada tiga syarat utama yang juga menjadi ciri utama sebuah karya yang bermutu. Dalam konteks kreatif Melayu (atau Malaysia), yang menjadi syarat pertama sesebuah karya bermutu ialah karya itu mesti bertujuan, atau mempunyai matlamat, untuk mencerdikkan bangsa Melayu. Syarat kedua, supaya syarat pertama dapat dipenuhi, maka karya itu perlu jelas konsep ilmunya, yakni karya itu perlu berasaskan konsep ilmu yang benar yang bersumber dari al-Quran. Dengan itu karya yang dimaksudkan perlu diberi teknik yang akan membolehkan karya itu memenuhi dua syarat tadi, yakni menggunakan teknik stylization of ideas. Ini penting kerana pada waktu ini, setelah persuratan Melayu diketepikan, maka yang mengambil tempat para ulama dan cendekiawan ialah para sasterawan yang hanyut dalam ambiguiti nilai, dan ahli politik yang korup. Dua kumpulan inilah yang mewujudkan projek sasterawan negara; oleh itu semua yang  telah dilantik menjadi sasterawan negara terdiri daripada anggota Mutual Admiration Club belaka. Mereka terdiri daripada satu kumpulan sasterawan yang tidak memenuhi tiga syarat utama yang disebut di atas. Hasil karya mereka adalah picisan, anti-ilmu, penuh sensasi, sehingga akhirnya menerima nihilisme sebagai satu unsur baru dalam karya sastera seperti yang kita dapat lihat dengan jelas dalam Naratif Ogonshoto yang nihilistic itu. Di mana terdapat nilai-nilai murni dalam karya teragung itu, walaupun negara, kononnya, mengutamakan nilai-nilai murni dalam masyarakat dan pendidikan negara.  Dalam penilaian karya picisan ini, kita disogok dengan sejenis “teori” yang tidak siuman yang dipanggil “teori kerancuan sastera”, dicetuskan oleh Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad dalam sebuah eseinya yang mendapat Hadiah Sastera Kebangsaan 2005 tajaan Dewan Bahasa dan Pustaka.  Kekacauan dalam penilaian sangat nyata, kerana tiadanya standard yang jelas yang dipakai. Hal ini telah dibicarakan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam banyak tulisan beliau; telah juga dibuktikan dengan jelas dalam tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar yang membicarakan empat buah novel Anwar Ridhwan. Apa lagi bukti yang kita mahu? Yang perlu dilakukan oleh para sarjana dan pengkritik sastera ialah memberi sanggahan paling kritis kepada hasil analisis yang saya sebutkan itu. Mereka harus melakukannya dengan segera supaya mereka tidak kelihatan sebagai golongan yang telah memberi penilaian palsu terhadap karya yang tidak bermutu, yang pada hakikatnya adalah picisan.  Kerja mereka sebenarnya menjadi mudah kerana mereka hanya diperlukan membaca dengan kritis dan kreatif karya saya sendiri untuk disanggah dengan membandingkannya dengan karya para sasterawan negara. Saya telah memberi jalan kepada mereka bagaimana ini boleh dilakukan dengan mudah dalam beberapa entri dalam blog ini.  Cabaran ini perlu mereka sambut dengan berwibawa sesuai dengan kedudukan mereka sebagai sarjana sastera, pengkritik dan sasterawan unggul.  Saya telah bermurah hati memberi jalan kepada mereka melalui Gagasan Persuratan Baru dan penggunaan bahasa berasaskan konsep ihsan (lihat tulisan saya dalam Adab dan Peradaban, bab 19.)  Pendeknya, anda tidak kekurangan bahan untuk menolak dengan tuntas segala cabaran akademik yang saya lontarkan kepada mereka untuk memastikan penilaian saya terhadap para sasterawan negara tidak berasas. Makin lama anda menunda sanggahan anda, maka jelas anda berada dalam keadaan yang disebut oleh Prof. Jeff Mason dalam bukunya, Philosophical Rhetoric (Routledge, 1989) dalam kata-kata berikut ketika mengkritik para ahli falsafah: “All the allusions to high-flown philosophical theories, the quest for truth, the ideals of education, and so on, are nothing but artful ruses” (hal. 17).  Inilah yang kita dapati dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara, dalam tulisan para profesor sastera ketika memuji para sasterawan negara. Paling menonjol, tentu saja, ialah pujian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad terhadap karya nihilistik dan picisan yang berjudul Naratif Ogonshoto, karya Anwar Ridhwan. [Rujukan tentang makna “ruse”, lihat Collins Cobuild Learners Dictionary: “A ruse is an action or plan which is intended to deceive”. Seterusnya Chambers 2-in-1 Dictionary:  “a clever stratagem intended to deceive”. Ini pula terjemahan  dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan:  “helah, muslihat; tipu helah.]  Saya memberi anda peluang seluas-luasnya untuk melihat berapa banyak “ruses” dalam karya kreatif saya dan dalam karya akademik membicarakan Gagasan Persuratan Baru dan dalam penilaian saya terhadap karya para sasterawan negara.

Kembali kepada Hikayat Salim Adil,  kita pergi ke halaman 58-59 tentang satu penipuan akademik paling unggul apabila seorang sarjana yang mendapat hadiah berprestij diberikan oleh Universiti Malaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka mengemukakan the poetics of idultery dalam bukunya  Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik  (Penerit USM 2012), tesis Ph.D. seorang sarjana terkenal, Dr. Norhayati Ab. Rahman.  Dari segi akademik, pembohongan akademik dan penipuan intelektual seumpama ini tidak boleh dimaafkan, apatah lagi diberi hadiah.  Tetapi perkara seumpama ini sering berlaku dalam penilaian di Malaysia, oleh itu dibenarkan dan digalakkan supaya yang palsu begini terus maju dan para sarjana dan sasterawan terus diberi pujian dan sanjungan.  Inilah contoh yang disebut oleh Prof.  Jeff Mason “nothing but artful ruses”.  Oleh itu tidaklah pelik dan menghairankan jika para sarjana sastera, sasterawan dan pengkritik menerima the poetics of adultery yang ditaja oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman melalui bukunya itu sebagai sesuatu perkembangan baru yang membanggakan, yang sesuai dengan retorik Panel Anugerah Sastera sendiri. Buktinya jelas apabila buku itu mendapat hadiah daripada dua organisasi terkenal Malaysia, DBP dan Universiti Malaya.

Kemunculan Hikayat Salim Adil memberi anda peluang melihat dengan jelas bagaimana “artful ruses” yang disebut oleh Prof. Jeff Mason dalam kutipan di atas berleluasa dalam sastera Melayu dalam segenap bidang. Hikayat Salim Adil memberi anda hujah untuk menolak “artful ruses” itu. 

Ada sebuah buku kecil mengenai kegagalan feminisme di Barat sejak 5000 tahun hingga kini, karangan Prof. Mary Beard, Women & Power: A Manifesto  (London Review: Profile Books, 2017).  Buku ini saja pun sudah cukup untuk menjadi bukti betapa palsunya konsep ginokritik yang diperkenalkan oleh Shawalter; apatah lagi jika dirujuk pula karya  Prof. Mimi Marinucci, Feminism is Queer:  The intimate connection between queer and feminist theory  (2nd, edition, Zed Book: London, 2016; edisi pertama 2010).  Dalam buku Prof. Mary Beard, hal. 80, terpampang poster pilihan raya Donald Trump  sebagai Perseus memenggal kepala Hilary Clinton sebagai Medusa.  CNN yang sepanjang masa membelasah Presiden Amerika ini menyiarkan gambarnya bersama seorang pekerja sex, yang diakuinya dilangganinya. Kini di Barat tidak ada pelacur; diganti dengan pekerja sex yang dihalalkan.  Itulah realiti feminisme di Barat, yang dibanggakan oleh sarjana dan sasterawan kita yang buta politik dan buta budaya Barat.  Inilah kumpulan yang menerima the poetics of adultery sebagai satu penemuan dan kemajuan baru dan pembaharuan dalam sastera Melayu.  Jacques Barzun dalam bukunya, The Culture We Deserve (Wesleyan University Press ,1989) menulis sebuah bab, “License to Corrupt”, mengenai perubahan dalam perkembangan bahasa, menyentuh juga tentang sastera, yang memang berlaku dalam sastera Melayu. Hasilnya ialah the poetics of adultery. Tanpa Hikayat Salim Adil anda tidak akan mengerti semua ini. Demikianlah kehebatan karya ini sebagai sebuah karya pemikiran, karya intelektual. Layaklah karya ini menjadi Sebuah Autobiografi Intelektual tokoh yang bernama Salim Adil.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9 Mac 2018.


Saturday, February 24, 2018

HIKAYAT SALIM ADIL SEBAGAI SEBUAH KARYA INTELEKTUAL



Musibah dan kecelakaan paling besar yang dihadapi sastera Melayu ialah apabila muncul the poetics of adultery yang diterima oleh para sarjana sebagai satu perubahan penting dalam penyelidikan sastera dan dalam kritikan sastera. Pada waktu inilah Hikayat Salim Adil muncul untuk mencabar kejahatan intelektual dalam sastera Melayu yang dibawa oleh seorang sarjana yang memperkenalkan the poetics of adultery itu.  Penulis buku the poetics of adultery ini menolak konsep ilmu dalam al-Quran, sebaliknya menerima “teori” feminisme Elaine Showalter yang beliau namakan ginokritik.   Akibatnya karya sastera yang langsung tidak ada kualiti pemikirannya diangkat sebagai karya yang bermutu yang telah memperkenalkan perubahan yang amat penting dalam penulisan kreatif, dipelopori oleh Ayu Utami.  Adakah karya perempuan muda Indonesia ini bermutu dari segi pemikiran dan pengolahan tema yang benar-benar mencabar daya intelek pembaca?  Tidak. Buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik, adalah sebuah karya picisan yang sama sekali tidak ada kualiti akademiknya. Beberapa entri blog ini telah mengupas persoalan ini.  Yang terserlah ialah sikap berani penulis buku ini menolak wahyu sebagai sumber ilmu, dengan itu beliau tidak  ada kemampuan untuk membezakan  perbuatan mungkar dengan makruf. Perzinaan yang diceritakan dalam novel-novel yang dipilihnya dijadikan asas the ethics of adultery itu. Inilah yang dijadikannya sumber kajiannya, kerana menurutnya karya-karya picisan dan lucah itu mengandungi pemikiran yang mendalam dari segi feminisme berasaskan konsep ginokritik itu.  Sedikit catatan telah saya masukkan dalam Hikayat Salim Adil, hal. 57-58.

Apakah yang dimaksudkan dengan karya intelektual, atau sering juga di sebut sebagai karya pemikiran?  Saya cuba mencari jawapannya dalam timbunan karya para sasterawan negara, atau dalam  longgokan kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara. Tidak bertemu. Yang dapat kita lihat di situ ialah penggunaan pelbagai “pendekatan” kritikan Barat yang digunakan untuk memuji karya para sasterawan negara. Tidak sebuah pun dari jumlah kertas kerja yang besar bilangannya itu terdapat satu analisis yang kritis dan kreatif membicarakan sumbangan para sasterawan negara ini dari segi “pemikiran”.  Oleh itu, apakah jenis “pemikiran” yang dilontarkan oleh para penulis kertas kerja ini? Hanya ocehan, atau idle talk, yang bersifat bullshit, atau hogwash, yang semuanya ditulis dalam kerangka pandirisme.  Dewan Bahasa dan Pustaka yang kaya dengan peruntukan untuk memajukan sastera tidak berusaha menerbitkan edited version semua kertas kerja ini, atau sekumpulan pilihan yang disunting secara akademik.  Kita sudah mempunyai beratus profesor sastera; tidakkah salah seorang dari mereka boleh membuat kerja penyuntingan itu? Jika mereka perlu wang, atau upah, beri mereka tiga ratus atau hingga 500,000 untuk menghasilkan kumpulan tulisan itu untuk dikerjakan seorang atau beberapa orang yang boleh dibayar daripada jumlah wang yang besar itu.  Sudah acap kali saya membuat cadangan dalam blog ini supaya karya para sasterawan negara ini dinilai sehabis kritis, sebaik-baiknya dari perspektif ilmu.  Tidak munasabah jika tiada seorang pun para sarjana yang ramai itu boleh mengerjakan projek ini. DBP mesti rajin menghubungi mereka dengan mengemukakan kertas cadangan yang jelas untuk mereka pertimbangkan. Jika dipersetujui, lebih bagus jika dikumpul beberapa orang sarjana dalam satu pertemuan untuk memberi cadangan mereka, supaya projek ini benar-benar mencapai kualiti yang kita harapkan. Perkara yang sama  boleh juga dikerjakan oleh ITBM, jika DBP tidak berminat. Tentulah sangat berguna jika kita dapat pandangan yang betul-betul kritis, yang mengarah kepada penerokaan keistimewaan para sasterawan negara ini daripada perspektif ilmu. Kertas kerja seminar tentang mereka tidak berapa berkualiti jika dinilai dari segi akademik. Pendekatannya terlalu bersifat popular dan hanya ingin memuji. Dengan kemunculan Hikayat Salim Adil, penerokaan yang dimaksudkan itu menjadi lebih mudah kerana sudah ada ukuran yang boleh dipakai dan dijadikan perbandingan. Saya harap ada pihak yang berminat dalam projek penting ini, demi untuk kebaikan sastera Melayu dan untuk para sasterawan negara juga.

Dengan terbitnya Hikayat Salim Adil, perkembangan penulisan kreatif di Malaysia memulai zaman baru yang mencabar para penulis dan para sasterawan untuk menghasilkan karya yang benar-benar bermutu, yang boleh menandingi Hikayat Salim Adil dari segi pemikiran dan pengolahan persoalan semasa. Hikayat Salim Adil kini menjadi batu tanda dari segi kualiti pemikiran dalam karya kreatif yang berbentuk cerita.  Pada waktu ini amat kurang para sarjana yang boleh membicarakan masalah pemikiran dalam karya kreatif, oleh itu sukar untuk mendapat pandangan kritis daripada para sarjana sastera atau pengkritik sastera yang boleh membicarakan Hikayat Salim Adil dengan jujur dan objektif.  Terlalu jelas betapa lemahnya kualiti kesarjanaan mereka ini yang tidak berupaya memberi sumbangan idea apabila sesuatu karya baru yang mencabar diterbitkan, seperti Hikayat Salim Adil ini.  Oleh sebab mereka ini dari segi majoritinya berada dalam Mutual Admiration Club, maka penulis yang mereka anggap tidak layak berada dalam kelab mereka tidak layak pula karya mereka dipilih untuk dibicarakan, walaupun karya yang berada di luar lingkungan Mutual Admiration Club itu jauh lebih bermutu dan lebih baik daripada sebarang karya yang ditulis oleh anggota Mutual Admiration Club ini.  Anggota kumpulan ini lebih berminat untuk melindungi habuan yang mereka perolehi sebagai anggota Mutual Admiration Club, dengan itu mereka menolak dan menyisihkan sesiapa juga yang mereka anggap bukan anggota mereka.  Mereka berusaha gigih untuk mengekalkan kedudukan ini, bukan mengembangkan budaya ilmu yang sah dalam perkembangan intelektual Malaysia. (Catatan: anda perlu baca entri bertarikh 22 November 2017;  1 Disember 2017;  2 Dsember 2017; 6 Disember 2017 dan beberapa entri lagi selepasnya.)

Sumbangan penting, dan paling utama, yang diberikan oleh Hikayat Salim Adil ialah dari segi sumber ilmu berasaskan al-Quran, yang menjadi tunjang karya ini yang dengan itu karya ini termasuk sebuah karya moden persuratan Melayu.  Ini memberi takrif baru dan teknik baru dalam penulisan naratif di Malaysia, barangkali juga di dunia. Hikayat Salim Adil menyerap cerita (naratif) dan kritikan (literary criticism)  dalam satu acuan yang unik, menggunakan konsep ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif, yang belum pernah dicuba oleh mana-mana pengarang dunia. Dilihat dari segi ini pun para sarjana Malaysia sepatutnya berminat untuk menganalisis dan mengkritik karya ini agar lebih terdedah kepada analisis yang seratus peratus berasaskan pemikiran yang bersumber daripada konsep ilmu yang benar. Anda tidak lagi boleh menolak hakikat ini, kerana kini sudah tercokol karya yang mencabar kemampuan intelektual dan kemampuan akademik anda untuk dikritik dan dinilai dengan objektif, sesuai dengan kedudukan anda sebagai para sarjana sastera yang berwibawa dan mempunyai kedudukan akademik yang berprestij pula.  Apakah yang menghalang anda daripada muncul dengan gagah membicarakan perspektif baru dalam perkembangan sastera Malaysia?  Mahu tidak mahu, anda tiada pilihan, melainkan menerima kehadiran Gagasan Persuratan Baru sebagai alternatif kepada konsep sastera yang sudah kehilangan taring dan tidak relevan lagi dengan perkembangan ilmu di Malaysia sekarang.   Peranan PB sebagai alternatif sudah dibincangkan dengan amat jelas oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam tulisan dan analisis mereka; juga dalam tulisan Dr. Zulkarnain Muhammad.  Prof. Emeritus Muhammad Bukhari Lubis dalam syarahan perdana beliau memberi ruang yang agak panjang kepada perkembangan baru ini. (Rujuk syarahan perdana beliau, Kesusasteraan Islami Bandingan: Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir, diberikan di UPSI pada 2 Mei 2017.)  Di bawah tajuk “Fikrah Mohd. Affandi Hasaan” (hal.15-18), beliau membicarakan  beberapa aspek Gagasan Persuratan Baru, yang ditakuti oleh para sarjana sastera itu.

Perkembangan terbaru ini memberi kedudukan yang kukuh kepada konsep ilmu yang benar dalam persuratan Melayu, dengan itu meletakkan konsep sastera di tahap kedua sebagai konsep yang tidak lagi  relevan dengan perkembangan terbaru ini.  Inilah konteks yang melahirkan Hikayat Salim Adil.  Para sarjana dan sasterawan mahu tidak mahu terpaksa menerima perkembangan terbaru ini dan perubahan kedudukan sastera dalam perkembangan intelektual Malaysia.  Cabaran ini cukup besar untuk dinyahkan begitu saja. Cabaran ini mesti dihadapi, kerana itulah yang terjadi di Barat sekalipun apabila sesuatu teori dicabar dan yang tercabar, seperti New Criticism akan terkeluar dari kedudukannya walaupun masih terpakai untuk maksud tertentu yang akan ditentukan oleh para sarjana sendiri.  Tidak patut sarjana dan sasterawan Malaysia sampai lari masuk tandas tergesa-gesa kerana ketakutan apabila PB meletakkan sastera di tingkat kedua dalam perubahan paradigma yang memang amat dikecohkan oleh para sarjana dan sasterawan satu ketika dahulu, yang tidak berapa lama sebenarnya. Lagi pula, Panel Anugerah Sastera Negara memang meneriakkan dengan lantang betapa perlunya perubahan dan pembaharuan dikemukakan oleh para sasterawan dan juga para sarjana. Bacalah laporan mereka, jika anda ragu-ragu.

Walaupun kita tahu pengaruh Mutual Admiration Club sangat kuat dalam sastera Malaysia, namun tidak semua penulis menjadi anggota badan tidak berdaftar yang amat berpengaruh ini.  Kedudukan Mutual Admiration Club dalam sastera Malaysia merupakan satu kecelakaan (bahasa Inggeris, a disaster)  dalam perkembangan intelektual. Dari segi makna dan matlamat kumpulan ini, kemunculan mereka sejak 1973 (dikesan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh) hanya untuk menjaga kepentingan suku sakat mereka, bukan kepentingan sastera.  Pelantikan para sasterawan negara adalah pelantikan daripada kumpulan mereka sendiri. Bukti yang paling jelas ialah pemilihan Baha Zain yang lama tertunda, kemudiannya dilantik setelah tiada lagi calon yang layak, sehingga ditegur oleh Shahnon Ahmad bahawa Baha Zain tidak melahirkan karya yang melayakkannya dijadikan sasterawan negara.  Kalau betul tuduhan yang serius ini, bagaimana dengan tiba-tiba beliau menjadi sasterawan negara?  Jawapannya mudah. Itulah bukti kekuatan Mutual Admiration Club. Sahabat karib tokoh ini menggesa pengkritik sastera Malaysia mencontohi tokoh kecil ini dalam menulis kritikan.  Yang menjadi masalah, beliau tidak menghasilkan buku yang berkualiti, hanya tulisan eceran yang bersifat popular. Beliau tidak mempunyai kaedah tertentu dan tidak juga falsafah (?) kritikan yang hebat. Apabila saya mencabar dua orang tokoh ini belajar dari Gagasan Persuratan Baru, mereka berdua terus menikus. Sepatutnya mereka bangkit dengan gagah perkasa menolak PB berterus terang berasaskan hujah dan bukti yang jelas. Inilah sandiwara anggota Mutual Admiration Club ini, sehingga tidak puas dengan cerita lucu ini, salah seorang dari mereka naik ke bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham untuk menulis kertas kerja dalam satu seminar besar 2014; tetapi hasilnya? Semua orang tahu!

Membaca dengan kritis Hikayat Salim Adil, boleh membantu anda memahami PB dengan lebih mudah.  Saya akan membicarakan beberapa tajuk yang mungkin boleh membantu anda mengenal PB lebih dekat dan bagaimana prinsip-prinsip yang terdapat dalam PB dipakai untuk menulis karya cereka yang memberi  tumpuan kepada pemikiran.  Di kalangan para sasterawan, yang dimaksudkan dengan pemikiran itu hanyalah campakkan (lontaran) nasihat atau kutipan dari al-Quran atau hadis atau daripada kutipan kata-kata tokoh terkenal. Itu bukan pemikiran. Yang kita maksudkan dengan pemikiran itu ialah yang terdapat dalam Hikayat Salim Adil dan Hikayat Buyung Lurus. Cara mengadunnya dijelaskan dalam perbincangan yang terdapat dalam Balai Maqamat.  Tiga buah karya ini perlu dibaca bersama untuk dapat melihat bagaimana “pemikiran” dijelmakan dalam karya kreatif mengikut acuan Gagasan Persuratan Baru.  Balai Maqamat sebenarnya memberi ulasan selari kepada setiap karya yang dimuat dalam buku itu.  Jika anda ikuti perbincangan “pengarang” dengan sahabatnya anda akan mendapat beberapa idea mengenai penulisan kreatif berasaskan PB.  Dua buah hikayat di atas menunjukkan bagaimana ini  dapat dilakukan.

Bagaimana “pemikiran” dijelmakan secara kreatif  mengikut acuan Persuratan Baru? Saya akan bincang secara ringkas dalam tulisan ini. Perbincangan yang lebih menyeluruh sudah diberikan dalam buku-buku mengenai PB, antaranya Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2 (UKM 2014). Anda boleh rujuk di sana untuk mendapat penjelasan lanjut.  Di sini saya akan memberi beberapa petunjuk yang boleh digunakan untuk memahami persoalan ini. 

Pertama sekali, PB membezakan antara peranan wacana dan cerita. Yang utama adalah wacana  yang menjadi wahana kepada pemikiran, yang disampaikan melalui bantuan cerita. Oleh itu cerita berada di tempat kedua, menerima arahan dari wacana dalam membina karya kreatif yang mengutamakan ilmu. Ini dilakukan melalui penggunaan ruang naratif yang dibina sesuai dengan matlamat karya itu sendiri. Maksudnya, ruang naratif memberi fokus kepada persoalan utama. Misalnya, anda mahu bercerita tentang peranan riba dalam perbankan: sejauh mana riba itu memainkan peranan dalam perkembangan ekonomi, dan melihat bagaimana sistem kewangan Islam dibina atau diwujudkan. Kita sampai kepada masalah Baitul Mal. Apakah peranan Baitul Mal dalam sistem kewangan Islam dan bagaimana ini boleh diwujudkan dalam sistem ekonomi modern yang berasaskan kapitalisme? Ini persoalan besar yang belum lagi dibicarakan secara kreatif dalam sebuah novel. Sesiapa yang berminat dan tahu selok-belok sistem ekonomi moden dan tahu pula konsep ekonomi Islam, boleh membantu masyarakat menulis sebuah karya ilmu berasaskan persoalan ini. Jika anda mahu menulisnya, maka persoalan yang amat sukar ialah menampilkan watak yang berilmu dalam konteks ekonomi moden dan ekonomi Islam.  Inilah orangnya yang akan menjadi pembicara persoalan ini.  Pemilihan watak ini sangat penting kerana adanya konsep uswatun hasanah yang akan menjadi fokus kepada perilaku watak tadi.  Bagaimana ini boleh dilakukan tergantung kepada kemampuan bahasa anda, kerana di sini anda akan terikat kepada konsep keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan.   Retorik yang akan anda pakai dalam membina sebuah cerita yang menarik tergantung kepada kefahaman anda tentang konsep keindahan berasaskan ihsan tadi. Semua ini mesti dipelajari dan difahami dengan mendalam jika anda mahu menulis sebuah karya persuratan. Itulah saja beberapa imbasan awal yang boleh anda fikirkan. Yang lebih terperinci terdapat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua; termasuk konsep stylization of ideas yang penting itu.

Adakah Hikayat Salim Adil memenuhi ciri-ciri ini? Sekarang tugas anda menentukannya dengan pertimbangan paling kritis yang anda boleh lakukan sebagai seorang pembaca yang berilmu.  Bagi saya, inilah persoalan yang menakutkan para sarjana, kerana itulah mereka menyisihkan diri dari membicarakan karya kreatif dengan menggunakan pendekatan PB.  Inilah kelemahan para sarjana sastera Malaysia yang amat mereka banggakan, kerana dengan adanya kelemahan ini mereka dengan senang hati memisahkan diri dari memanahi PB. Satu keputusan paling bodoh yang boleh dilakukan oleh kumpulan yang berkecimpung dalam dunia akademik.  Inilah cabaran Hikayat Salim Adil yang ditujukan kepada mereka.

Mohd. Affandi Hassan,
24 Februari 2018.








Sunday, February 18, 2018

TIDAK MAHU BERDEPAN DENGAN PB, TIDAK JUGA BOLEH LARI DARI PB…

Kemunculan the poetics of adultery dalam sastera Melayu memberi wajah baru kepada sastera Melayu,  tetapi pada waktu yang sama kita lihat betapa ceteknya para  sarjana ciritan yang tergila-gilakan sesuatu pendekatan Barat tanpa memahaminya, oleh itu tidak dapat melihat pengaruh buruk yang jahat dibawa masuk dalam sastera Melayu.  Inilah yang terjadi dengan kehadiran tesis Ph.D. yang diterbitkan dengan judul  Puitika  Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik, oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman.  Buku ini menggunakan pendekatan feminisme jenis ginokritik yang mengutuk peranan bapa sebagai ketua keluarga dan tidak menerima kepemimpinan lelaki dalam apa juga keadaan kerana menurut Elaine Showalter, yang memperkenalkan pendekatan ini, kaum lelaki adalah punca kezaliman dalam tamadun manusia dari dulu hingga sekarang.  Menurut beliau, wanita perlu dibebaskan dari sebarang ikatan patriarki yang zalim itu, untuk bebas sebebas-bebasnya dalam sebarang tindakan mereka. Inilah yang dipuja oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam bukunya ini, yang menjadikan perzinaan sebagai cara kaum wanita membebaskan diri mereka dari sebarang ikatan terhadap lelaki. Tetapi amatlah ironik, apabila pengarang wanita Ayu Utami masih memerlukan lelaki untuk melakukan persetubuhan. Dari segi itu, lelaki masih berguna untuk memuaskan nafsu seks wanita.  Itulah makna partriarki dari perspektif feminisme.  Bolehkah bidang kreatif di Malaysia dimajukan dengan mengasaskannya kepada the poetics of adultery yang dihuraikan dengan baik sekali oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman?

Satu-satunya cara berkesan untuk memajukan bidang kreatif di Malaysia untuk memberi maruah intelektual ialah dengan kembali kepada konsep ilmu seperti yang diajarkan dalam al-Quran, seperti yang dijelaskan dalam entri yang lepas. Satu-satunya kaedah yang berkesan untuk digunakan ialah dengan menerima Persuratan Baru sebagai metodologi yang terbaik yang dapat difikirkan oleh manusia ketika ini, jika dibandingkan dengan apa juga teori  Barat yang menjadi candu para sarjana dan sasterawan Malaysia.  Antara pengaruh Barat yang paling  buruk kesannya kepada tamadun kita  ialah kehadiran feminisme dalam sastera Melayu. Seperti yang dijelaskan dalam entri yang lepas, feminisme memecah-belahkan keluarga dan amat bertentangan dengan kepercayaan kepada Tuhan. Ini juga telah dijelaskan dalam entri yang lepas. Keburukan feminisme boleh dilihat dengan jelas dalam buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu bacaan Ginokritik, yang menjadikan perzinaan sebagai asas puitika itu.  Hakikat ini  tidak disedari oleh para sarjana dan sasterawan kerana sensitiviti intelektual mereka telah tertutup rapat oleh pengaruh teori sastera Barat, yang mereka jadikan tempat rujukan dan pergantungan akademik. Pengaruh ini kemudiannya melahirkan pandirisme dalam sastera Melayu.

Cara berfikir Pak Pandir diberi kedudukan istimewa oleh cucunya, Polan Cupan, seorang genius yang menggunakan AI (Artificial Intelligence) untuk mencipta bahan binaan yang mesra alam: ketika musim panas mencurahkan kesejukan yang diperlukan; manakala ketika sejuk memberikan kepanasan yang diperlukan. Persis inilah yang terjadi di Andalus di Masjid Cordoba. Masjid yang indah itu memancarkan cahaya pada waktu malam yang disimpan daripada cahaya siang, cukup untuk para jemaah beribadat dengan selesa sambil membaca kitab; waktu siang pula ketika di musim panas cuaca di dalam masjid menjadi sejuk. Idea itulah yang digunakan oleh Polan Cupan untuk mencipta bahan binaannya, seperti yang diceritakan oleh pencerita dalam kisah “Rumah Impian Polan Cupan”.

Kalau orang Melayu boleh terhibur, sambil mengkritik dan menyindir,  melalui cerita-cerita jenaka mereka, maka demikian itulah yang berlaku kepada Polan Cupan, sang genius yang tidak dikenali oleh para sarjana dan sasterawan kerana kisahnya yang pelik itu tidak diketahui mereka kerana mereka tidak membacanya akibat kebencian mereka kepada watak Polan Cupan yang cerdik itu.  Bezanya, mereka yang moden dan terpelajar itu tidak terhibur dengan kemunculan Polan Cupan; dan setelah mereka tahu Polan Cupan adalah keturunan Pak Pandir, maka mereka menjadi sangat benci kepada teknik bercerita yang kemudiannya melahirkan Hikayat Buyung Lurus dan Hikayat Salim Adil.  Dua orang tokoh besar persuratan Melayu ini melenyapkan sama sekali kemegahan palsu para sasterawan negara yang tidak seorang pun di antara mereka berjaya melahirkan watak agung dalam karya mereka. Adakah seorang pelacur, misalnya, layak dipanggil seorang watak agung, yang menjadi obsesi seorang sasterawan negara? Watak ini mudah diceritakan, kerana tidak memerlukan pemikiran mendalam untuk membinanya seperti yang terjadi terhadap perwatakan Buyung Lurus dan Salim Adil.  Apatah lagi jika diambil watak Polan Cupan yang aneh itu, padahal dia keturunan Pak Pandir. Bagaimana seorang keturunan Pak Pandir muncul sebagai seorang tokoh yang lebih cerdik daripada para sasterawan negara dan sarjana sastera sendiri?  Itulah kekuatan kreatif yang  lahir dari Gagasan Persuratan Baru. Suatu kejadian biasa, yang hanya wujud dalam khayalan, diberi makna baru yang boleh mencetuskan pemikiran kreatif yang segar, yang hanya dapat diterjemahkan dalam karya kreatif oleh seorang pengarang yang mempunyai pengetahuan yang luas.  Inilah yang melahirkan karya hikayat moden seperti Hikayat Buyung Lurus dan Hikayat Salim Adil. Tiga karya ini, tentang Polan Cupan, Buyung Lurus dan Salim Adil, jika dianalisis dengan kritis akan menghasilkan kesedaran peri pentingnya  tentang aspek perwatakan yang kuat dalam karya kreatif.  Antara kelemahan paling besar, yang amat menonjol pula, dalam karya kreatif Malaysia ialah kelemahan dalam perwatakan, seperti yang telah saya huraikan ketika membicarakan karya Anwar Ridhwan.

Bagaimana seorang keturunan Pak Pandir muncul sebagai seorang tokoh yang lebih cerdik daripada para sasterawan negara dan sarjana sastera sendiri?  Sebelum lahirnya Gagasan Persuratan Baru, pertanyaan seumpama ini tidak pernah ditanyakan dalam sastera Melayu kerana keterbatasan ilmu para sasterawan sendiri.  Yang mereka lakukan hanya bercerita, dan ini masih diteruskan dalam karya para sasterawan negara sendiri.  Dengan memberi penekanan kepada cerita dalam konteks penglipur lara, maka karya kreatif tidak mempunyai wacana pemikiran, kecuali hanya cerita. Perbezaan ini sangat jelas jika anda membaca dengan kritis Balai Maqamat, sebuah karya yang dibina daripada dialog yang melatari setiap episod dalam karya itu.  Jika anda membaca dengan kritis dan kreatif Balai Maqamat, anda akan dapati karya itu memberi tumpuan utama kepada pemikiran, tetapi tidak meninggalkan cerita, sebaliknya cerita digunakan untuk menjadi wadah pemikiran yang diwacanakan dalam karya itu.  Contoh terbaik untuk memahami kesimpulan ini ialah “Rumah Impian Polan Cupan”.

Inilah bentuk perkembangan baru yang sering diungkit oleh Panel Anugerah Sastera Negara, tanpa memberi sebarang penjelasan yang konkrit tentang makna dan maksud pembaharuan itu.  Tidak terdapat apa-apa pembaharuan dalam karya para sasterawan negara; sebaliknya yang terdapat ialah peniruan teknik dan gaya yang dikagumi oleh para sasterawan negara ketika membaca karya Barat, lalu mereka tiru dan jadikan asas penulisan karya mereka.  Semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara membuktikan kayanya peniruan ini dalam penilaian mereka.  Saya sudah bincang persoalan ini dalam blog ini, oleh itu saya tidak perlu mengulasnya lagi. Sesiapa yang berminat boleh membacanya sendiri.  Tetapi ada dua persoalan besar yang ingin saya ketengahkan untuk kesekian kalinya, kerana memang sifat manusia pelupa dan tidak peduli walaupun berada dalam khusran.

Perhitungan untung rugi dari perspektif kebendaan telah diberi peringatan oleh al-Quran dalam suatu sedutan ayat yang pendek saja, tetapi dari segi makna mengandungi amaran yang amat besar. Inilah dia: “Nuwallihi ma tawalla”, yang diterjemahkan oleh John Penrice dalam bukunya,  Dictionary and Glossary of the Koran  (London: Curzon Press, 1873; new edition 1971, reprinted 1976), hal. 163), sebagai berikut, “We will put it into his power to follow the bent of his inclination”).

Apa yang jelas daripada kutipan al-Quran ini ialah perihal kebebasan penuh diberikan kepada Dr. Norhayati Ab. Rahman untuk berbuat apa saja yang dia mahu. Jika kita terjemahkan keratan ayat itu dalam loghat Kelantan, kita boleh berkata: “Lah gi lah; buat apa mu nak!”   Cuba kita lihat tafsiran Muhammad Asad:  “him We shall cause to turn to that to which he himself has turned”. Menurut Muhammad Asad ungkapan ini merupakan “a stress on mans’s freedom of choice” (hal. 127, nota 139 Tafsirnya:  The Message of the Qur’an.)  Bagi saya nampaknya lebih jelas ialah tafsiran yang diberikan oleh Penrise. Cuba lihat pula terjemahan  M. Quraish Shihab dalam tafsirnya, Tafsir al-Mishbah, jilid 2, hal. 717:  “Kami arahkan  dia ke arah yang dipilih”.  Nampak macam innocent, tetapi lihat implikasinya: “dan Kami masukkan dia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.”   Cuba kita lihat kembali makna ayat ini dalam konteks ginokritik yang melahirkan buku agung karya Dr. Norhayati Ab. Rahman, yang mendapat hadiah-hadiah “berprestij”.

Barat mencipta dua jenis budaya: budaya betina (feminisme); budaya jantan (humanisme).  Budaya feminisme adalah gambaran penyakit jiwa yang dialami oleh wanita Barat, yang tidak puas hati menjadi betina, tidak pula boleh menjadi jantan, kerana kekangan alat jantina masing-masing yang amat berbeza. Fungsi keduanya juga berbeza: yang betina akan basah ketika mahukan jantan; yang jantan akan keras ketika mahukan betina. Ini benar-benar dunia binatang kerana itulah caranya binatang mengawan. Kenyataan ini digambarkan dengan cukup cantik oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam bukunya. Apa yang dianalisisnya ialah kebinatangan manusia dalam penulisan, yang digambarkan dalam karya Ayu Utami yang menjadi teras huraian Dr. Norhayati Ab. Rahman tentang feminisme.  Adakah Dr. Norhayati Ab. Rahman tidak sedar tentang perkara ini? Jika beliau sedar, tentulah beliau akan dapat melihat kepalsuan konsep feminisme yang kini menjadi penyakit jiwa baru dalam budaya Barat. Anda boleh baca semua ini jika anda meneliti buku-buku tentang feminisme; terutama sekali buku  Prof. Mimi Marinucci, Feminism is Queer.  Dalam konteks inilah para sarjana yang membawa masuk feminisme dalam sastera Melayu sebenarnya membawa mala petaka besar yang mendekati syirik dan ajaran sesat dalam budaya ilmu yang menjadi pegangan kita selama ini. Kita perlu bincang aspek ini dengan mendalam sebelum golongan ini membawa pembacanya yang cetek ilmu pergi lebih jauh dalam mala petaka ajaran sesat dalam budaya Barat ini. Anda boleh melihat semua ini jika anda menelitinya dari perspektif psikologi Freud.  Anda harus sedar, budaya Barat diasaskan kepada konsep pemberontakan yang tidak mahu menerima adanya Tuhan kerana bagi mereka sudah lengkap jika diikuti sifat kebinatangan manusia dengan menghuraikannya secara falsafah modenisme dan pascamodernisme.  Pemberontakan ini adalah bermula dari keengganan Iblis menerima Nabi Adam ‘a.s., walaupun Iblis mengaku adanya Tuhan dan dia sendiri dicipta oleh Allah SWT  daripada api, kerana itulah Iblis menggunakan logik Iblisnya dengan mengatakan api itu lebih tinggi darjatnya daripada tanah yang menjadi unsur manusia. Inilah gerakan yang melahirkan the poetics of adultery yang dihuraikan dengan begitu bergaya oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam bukunya, berasaskan feminisme yang menolak bulat-bulat al-Quran, Surah An-Nisa, ayat pertama (disalin dengan lengkap dalam entri yang lepas dengan huraiannya/tafsirnya sekali).  Apa yang dikembangkan dalam budaya Barat adalah persis seperti yang ditegaskan dalam An-Nisa, ayat 115 yang disalin di atas.  Adakah keadaan inilah yang melahirkan the poetics of adultery itu?

Jawapannya diberikan oleh seorang sarjana terkenal yang menulis  buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik, oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman.  Buku ini serius, kerana inilah sebuah buku yang memperkenalkan the poetics of adultery dalam sastera Melayu, yang sebelumnya tidak wujud.  Tetapi dari perspektif lain, jika kita melihatnya dari perspektif pandirisme, maka buku ini menggambarkan dengan cantik sekali kepalsuan faham feminisme yang menjadi anutan sarjana ini dan para sasterawan dan sarjana sastera sendiri. Apakah yang aneh tentang feminisme? Seperti yang dijelaskan dalam entri yang lepas, yang memakai tajuk the poetics of adultery, kita dapati feminisme menolak konsep ilmu dan asal usul manusia dari Nabi Adam ‘a.s.; sebaliknya feminisme menerima pendapat seorang wanita Amerika yang bernama  Showalter yang mencipta “teori” patriarki yang diberi nama oleh beliau gynocritic.  Kelahiran teori ini mendorong seorang ahli falsafah menulis sebuah buku, Feminism is Queer (dalam bahasa Melayu boleh diterjemahkan, Feminisme Itu Tidak Siuman, yakni gila. Sekiranya anda mempunyai terjemahan yang lebih baik, sila kemukakan untuk diabadikan dalam perbincangan tentang feminisme di Malaysia.)  Mengapa hal ini terjadi? Jawapannya cukup mudah. Para sarjana dan sasterawan yang menolak konsep ilmu yang benar ini dan tidak menerima sumber ilmu dari al-Quran, mempersetankan Gagasan Persuratan Baru yang berasaskan konsep ilmu yang benar, sebaliknya menerima “teori” palsu sarjana Amerika hanya untuk mereka tayangkan kepada teman-teman mereka bahawa pengetahuan mereka tentang kritikan sastera adalah up- to- date, paling terkini. (Sebenarnya idea Showalter itu muncul dalam tahun 1970-an, jadi tidaklah baru!).  Mereka ini ibarat ikan yang sudah masuk tembilai (ejaan dalam kamus “tembilar”, saya pakai loghat Kelantan;  sebelah Kedah dan  daerah utara mereka panggil “bilai”), tidak boleh keluar lagi.  Orang-orang yang terpengaruh dengan sikap “sesat Barat” (ini ungkapan biasa di kalangan orang kampung yang nampaknya jauh lebih cerdik daripada para sarjana ciritan ini) akan berhabisan mempertahankan kekeliruan mereka, kerana dengan itu saja mereka boleh mengekalkan kedudukan mereka yang palsu itu. Kedudukan itu menjadi palsu kerana ketergantungannya kepada teori palsu yang golongan ini jadikan panduan mereka.  Amat aneh apabila golongan ini lebih mempercayai pendapat peribadi sarjana Barat daripada wahyu yang terdapat dalam Quran.  Mengapa hal ini terjadi tidak seorang pun dari mereka yang mahu berterus terang. Kelakuan begini sangat pelik bagi seorang sarjana yang mengaku selalu objektif, tidak ada nada kelentong sedikit pun. Soalnya, mendiamkan diri sebenarnya adalah sejenis kelakuan kelentong yang nyata.

Pendukung  feminisme di Barat jelas terdiri daripada mereka yang menghadapi penyakit jiwa yang teruk. Mereka ingin jadi binatang, tetapi dilahirkan sebagai manusia yang tidak puas hati kerana lahir sebagai perempuan yang terpaksa menghadapi patriarki… Tidakhah ini sejenis kegilaan? Feminis adalah golongan ahli sihir zaman moden. Kerana menolak Tuhan dan etika kemanusiaan, hidup mereka tak tentu arah. Tak tahu makna keadilan, tak tahu konsep ilmu, terlalu kecewa sebagai perempuan dengan mengkritik lelaki yang jahat!!!  Anais Nin, simbol penipuan para feminis dunia (ini kesimpulan penulis biografi beliau dan  pengkritik Anais); yang menulis tentang beliau pun sedar Anais Nin seorang pembohong. Itulah feminisme dalam wajahnya yang sebenar, yang amat jelas ditunjukkan dalam buku  Dr. Norhayati Ab. Rahman itu yang amat jelas beliau begitu terpesona dengan Ayu Utama, seorang Anais Nin di Nusantara.  Apakah sebenarnya yang mendorong Dr. Norhayati Ab. Rahman menulis tesisnya tentang ginokritik ciptaan Elaine Showalter itu? Satu misteri yang perlukan jawapan,  tetapi yang boleh menjawabnya hanya Dr. Norhayati Ab. Rahman sendiri.  Tak mungkin beliau akan memberi penjelasan, kerana ini akan menjadi pengakuan kepada kesilapan akademiknya, yang tidak akan dapat diterima olehnya walaupun beliau telah melakukan kesalahan besar sebagai seorang Islam yang bertaqwa.  Satu-satunya jalan keluar yang terbuka ialah seperti yang saya pernah cadangkan, supaya beliau membawa bukunya untuk dikaji dengan teliti oleh JAKIM.  Sayang, itu pun beliau tidak mahu lakukan.  Pilihan beliau tepat sekali dengan Ayat 115,  Surah An-Nissa’ itu:  “Kami arahkan dia ke arah yang dipilihnya”.

Kesimpulan dan Amaran.

Perhatikan ayat 34 ini yang juga terdapat dalam Surah An-Nissa’:  “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh sebab Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. …”  Kalau anda masih mahu menggunakan istilah “feminisme”, maka inilah “feminisme” dalam Islam, yang menerima kedudukan lelaki sebagai pemimpin kaum wanita.  Andainya Dr. Norhayati Ab. Rahman membaca  Surah An-Nisa’ dan tafsirnya, tetapi masih mahu menjadi pengikut Elaine Showalter, maka seratus persen jelas beliau adalah golongan yang menolak al-Quran sebagai sumber ilmu.  Dan sesiapa juga yang menerima dan memuji buku  Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik,  terutama sekali para juri yang memilih buku ini untuk diberi hadiah “berprestij” itu, maka mereka juga adalah golongan ingkar ilmu, yang dari pandangan al-Quran adalah para pengikut Iblis yang menolak kehadiran Nabi Adam ‘a.s. dan peranan lelaki dalam kehidupan manusia seluruhnya. Rujuk kembali ayat pertama An-nisa’. Dengan itu amat jelas mereka adalah penyokong the poetics of adultery dalam sastera Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18 Februari 2018.