Friday, March 6, 2015

SEDIKIT NOTA TENTANG MEMBACA DENGAN KREATIF DAN KRITIS



Jika anda membaca entri bertajuk “Keunggulan yang Cacat”, anda akan melihat bagaimana membaca dengan kreatif dan kritis itu telah memberi kesimpulan yang amat berbeza dengan bacaan biasa yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para sarjana yang membicarakan karya para sasterawan negara.  Idea membaca dengan kreatif dan kritis itu patut dipopularkan, kerana sangka saya selama ini mereka membaca dengan kreatif dan kritis. Rupanya tidak. Kalau mereka membaca dengan kreatif dan kritis, saya yakin mereka akan berubah dan akan lebih cerdik serta berhati-hati bila menganalisis dan menilai karya kreatif dan karya akademik. Membaca dalam mod bacaan intelektual atau dalam mod bacaan cerita memberi kesan yang berbeza. Membaca dengan kreatif dan kritis akan menjadikan sarjana dan sasterawan kita berfikir. Tidakkah ini bagus untuk mereka?

Dalam sastera Barat, dalam bidang kritikan dan akademik, anda akan melihat bagaimana kesan membaca dengan kreatif dan kritis ini dalam perkembangan kritikan Barat. Menurut rumusan Terry Eagleton, kritikan Barat mengalami tiga jalur asas: pada permulaannya memberi fokus kepada pengarang; kemudian beralih kepada karya itu sendiri yang autonomous; dan akhirnya memberi fokus kepada pembaca.  Buku-buku kritikan Eagleton wajar dibaca dengan kreatif dan kritis, seperti yang beliau sendiri lakukan ketika membicarakan teori-teori sastera Barat dan tokoh-tokohnya.  Ini boleh kita lihat dalam bukunya, Literary Theory: An Introduction. Andainya para sarjana dan sasterawan kita membaca dengan kreatif  dan kritis, tidaklah kita menjadi seteruk sekarang, menghamburkan segala aspek pandirisme untuk diperagakan sebagai karya kreatif atau hasil penyelidikan akademik. Oleh sebab pandirisme ini sangat penting dalam perkembangan akademik Malaysia, maka anda akan diberi peluang untuk melihat perkembangan pandirisme ini dalam tulisan saya yang berjudul, “Pandirisme dalam komuniti dunia” yang akan disiarkan dalam blog ini tak lama lagi.  Anda perlu membacanya dengan kreatif dan kritis untuk mendapat manfaat daripada analisis itu.

Setiap bulan sejak beberapa tahun ini kita diberi hidangan yang kaya dengan unsur pandirisme yang ditulis oleh para sasterawan negara dalam kolum masing-masing, sehingga bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa Dewan Sastera yang begitu ghairah menyiarkan tulisan itu kini sudah menjadi pendukung pandirisme yang tegar dalam kritikan sastera Melayu. Tulisan-tulisan yang kualitinya hanya ocehan (idle talk) dalam bentuk bullshit yang disalut dengan pretensi intelektual yang palsu, pada umumnya bersikap angkuh kepada pembaca yang mereka anggap masih bodoh dan tidak boleh membuat pertimbangan sendiri secara kreatif dan kritis. Anda bacalah tulisan terbaru mereka dalam dua bulan ini jika anda  meragui kesimpulan saya.  Barangkali  bagi yang membaca tulisan yang bertajuk,  “Mimpi sastera di atas bumbung kilang yang berkarat” (dalam kumpulan kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, Sastera Teras Negara Bangsa), akan berasa hairan bagaimana seorang sasterawan negara boleh berada di atas bumbung untuk berfikir sambil bermimpi?.  Dalam mimpi itulah digesa untuk menjadikan Salman Rushdie sebagai contoh untuk menghasilkan karya yang “gemerlapan” ... Pelikkah jika ada yang menyokong “nasihat” ini dengan hardik yang keras, “Apa salahnya?”  Kerana khalayak sastera di Malaysia berdiam diri, atau memang tidak dilayan untuk mengemukakan bantahan, maka kumpulan Mutual Admiration Club ini seolah-olah digalakkan untuk melontarkan idle talk mereka sebagai bullshit yang penuh pretensi intelektual. 

Jelas bahawa tidak saja pandirisme diberi galakan dan sokongan, malah terdapat sikap toleransi yang berlebihan untuk memberi laluan mudah kepada para sasterawan negara ini menyerlahkan kegemerlapan retorik teh tarik mereka di dalam kolum bulanan mereka. Mungkin inilah yang diaksudkan dengan hegemoni oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya yang dimuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa.  Kata beliau dengan yakin, di bawah tajuk kecil “sastera sebagai tenaga hegemoni”, hal. 21: “Tenaga hegemoni yang dimiliki oleh kesusasteraan melampaui kuasa kententeraan yang keras atau undang-undang yang rigid (huruf condong asal) kerana kesusasteraan beroperasi secara halus, menjinakkan pemikiran dan perlakuan yang liar atau pun mengabsahkan konsepsi yang wujud dalam minda setiap anggota masyarakat. Keberdayaan kesuasasteraan sebagai tenaga hegemoni berkait erat dengan sifatnya yang diskursif.  Bahasa sebagai alat penjanaan idea dalam karya sastera tidak bersifat neutral , sebaliknyha mempunya upaya dan ideologi tertentu. Atau dalam erti kata lain, karya sastera adalah wacana, discourse, yang memiliki ideologi tersirat.”

Suara dan nada Marxisme sangat jelas, menunjukkan betapa kuatnya cengkaman  hegemoni Marxisme dalam kritikan sastera Melayu. Jika anda masih ingat pendapat Terry Eagleton dalam entri bertarikh 3 Mac 2015, tentang pemikiran dalam novel Inggeris terbaru, anda akan mempersoalkan kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang “ilmu” (maksud beliau, pemikiran) dalam novel. Sila rujuk pendapat Terry Eagleton dalam entri itu.

Tetapi andainya anda membaca kutipan ini dengan kreatif dan kritis, dengan menggantikan “kesusasteraan” kepada “pandirisme”, anda akan dapati cengkaman hegemoni pandirisme itu suatu kenyataan (reality) yang amat jelas dalam cara berfikir dan bekerja para sarjana sastera.  Adakah ini bererti kesusasteraan yang difahami di Malaysia sama dengan pandirisme? Sekiranya anda bahaskan soalan ini dengan kreatif dan kritis, anda akan terkejut dan mungkin akan terpelanting ke atas bumbung kilang besi berkarat dan tak boleh turun kecuali dengan pertolongan Bomba! Itulah makna hegemoni daripada perspektif pandirisme. Tetapi pegaruh hegemoni yang kuat yang benar-benar  membelit seluruh anggota sarjana dan sasterawan ialah feudalisme intelektual yang diwarisi dari pengaruh Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Bagaimana hal ini terjadi? Jika anda masih ingat kritikan saya terhadap kedudukan dua hikayat ini dalam “minda” (sekarang saya terpaksa menggunakan istilah ini khusus untuk memerihalkan penjanaan intelektual mereka) para sasterawan dan sarjana ini, anda akan mula faham mengapa mereka  tidak boleh menerima perbezaan pendapat secara terbuka, kerana cengkaman feudalisme intelektual ini membuat mereka berasa selesa kerana dengan kuasa hegemoni yang mereka dapat melalui  feudalisme intelektual ini memberi mereka keuntungan dari segi mental dan dari segi material. Inilah sikap yang kemudiannya membentuk Mutual Admiration Club apabila sekumpulan daripada mereka diberi gelaran sasterawan negara dan ini mereka jadikan benteng untuk tidak boleh dipersoalkan lagi segala tindakan dan tingkah laku mereka. Kedudukan ini memberi mereka peluang dan ruang untuk menyebarkan pengaruh palsu mereka yang mereka bina dengan gigih melalui retorik teh tarik yang disokong dengan kuat menggunakan retorik peragaan yang penuh dengan pretensi intelektual itu. Kini para sasterawan negara ini meletakkan diri mereka sebagai golongan feudal intelektual yang tidak boleh dikritik, kerana ada di antara anggota panel Anugerah Sastera Negara yang pernah menegaskan mereka ini tidak boleh dinilai dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru, kerana ini akan memungkinkan mereka dicampak ke dalam tong sampah!. (Sangat penting jika kita mendapat penafian atau pengakuan tentang perkara ini supaya kita dapat mengetahui dengan jelas kedudukan ilmu yang benar dan khususnya tentang  gagasan Persuratan Baru di kalangan anggota panel Anugerah Sastera Negara.) Kita akan dapati mereka (para sasterawan negara) tidak layak diberi kedudukan yang lebih mulia dan lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan dalam kebudayaan Melayu. Anggapan ini memang benar, dan telah diberi bukti, secara tidak langsung melalui analisis Nur Fatiha Fadila dalam tesis sarjananya, yang membicarakan aspek intelektualisme Anwar Ridhwan dalam novel-novelnya. (Lihat komen saya di akhir tulisan ini).  Hujah paling kuat pernah diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam satu makalah yang membicarakan novel Harga Sebuah Maruah.  Makalah ini merupakan  antara contoh terbaik  bagaimana membaca dengan kreatif dan kritis.  Di sini anda lihat mod bacaan intelektual dan mod bacaan cerita tercantum dalam teknik membaca dengan kreatif dan kritis. (Untuk rujukan, sila lihat entri bertarikh 12 Mei 2012, “Kecelaruan Kognitif dan Kehilangan Hujah ...”).  Demikian juga tulisan beliau untuk Kuliah MASTERA yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka,  Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, terutama sekali ketika beliau menghuraikan makna realisme seperti yang difahami oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia. Analisis beliau terhadap novel Salam Maria (lihat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua) sudah menjadi contoh klasik dalam analisis novel yang didekati dengan pembacaan yang kreatif dan kritis. Dengan contoh-contoh ini, anda kini, saya harap, boleh faham apa maksudnya membaca dengan kreatif dan kritis. Hasil bacaan lurus, dengan tumpuan kepada cerita, yang kini menjadi satu-satunya cara bacaan oleh para sarjana dan sasterawan, ternyata gagal menghasilkan penilaian yang tepat. Ini telah dibuktikan dengan konkrit dalam tesis sarjana Nur Fatiha Fadila, “Intelektualisme dalam Lima Novel Anwar Ridhwan dari Sudut Persuratan Baru” (UPM 2014). Saya tidak ragu-ragu menyatakan bahawa analisis dan penilaian beliau akan menjadi standard dalam cara membaca dan menilai novel-novel Melayu (dan lain-lain novel) serta karya kreatif secara umum; malah boleh juga digunakan untuk menilai karya akademik. Jika kita membandingkan tesis sarjana ini dengan tesis Ph.D. Dr. Mawar Shafie dan Dr. Tengku Intan Marlina yang juga membicarakan novel-novel Anwar Ridhwan, dari segi kualiti analisis dan penilaian, kita dapat melihat dengan jelas kekuatan analisis Nur Fatiha Fadila dan kemampuannya membuat penilaian yang sukar disangkal.  Kini anda berpeluang untuk melihat keterampilan seorang sarjana yang menggunakan kaedah Persuratan Baru dengan para sarjana yang mengenepikan konsep ilmu yang benar dan memilih untuk menggunakan recipe knowledge dalam analisis mereka. Pembaca yang kreatif dan kritis akan dapat melihat dengan jelas kualiti akademik para pengguna recipe knowledge ini.

Semua ini menunjukkan betapa pentingnya pembacaan yang kreatif dan kritis menjadi amalan para sarjana, jika mereka mahu meningkatkan kualiti akademik mereka dalam analisis dan membuat penilaian terhadap karya kreatif dan karya akademik.

Nota hujung.
Disalin rujukan yang relevan daripada makalah Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir tentang novel Harga Sebuah Maruah.

Antara beberapa penilaian berasaskan pandirisme yang dicatat oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya, yang paling cantik ialah huraian beliau mengenai ukuran yang ditetapkan yang dilanggar sepenuhnya dalam penilaian karya. Inilah ukuran atau kriteria yang ditetapkan oleh urus setia sayembara: "Pada peringkat akhir, panel telah meneliti manuskrip berdasarkan tiga kriteria iaitu adanya pemikiran, etika dan visi hidup positif dalam persoalan, penampilan perwatakan positif serta dinamik, dan kemampuan pengarang menggunakan teknik penulisan baharu yang berdaya kreatif dengan gaya dan kebahasaaan yang menarik".  Dan ini pula ulasan Prof. Ungku Maimunah dalam analisisnya: "Analisis Harga Sebuah Maruah jelas menunjukkan teknik penulisannya jauh daripada baharu, malah memperlihatkan pembikinan cerita yang konvensional, yang sangat lumrah kelihatan dalam aktiviti penghasilan novel, dan dalam konteks sekarang, dianggap lusuh, mundur dan ketinggalan zaman.  Ini bererti kriteria teknik penulisan baharu jelas tidak dipenuhi oleh Harga Sebuah Maruah. Ini sekali gus mempertikaikan penilaian yang dibuat dan pengiktirafan yang diberikan itu.  Berdepan dengan analisis ini, adalah sukar untuk mengatakan Harga Sebuah Maruah telah memenuhi kriteria "menggunakan teknik penulisan baharu yang berdaya kreatif." Dalam konteks ini, kemenangan Harga Sebuah Maruah tidak dapat tiada perlu dibaca sebagai kegagalan Laporan mengaplikasikan kriteria yang ia sendiri gariskan".   

Kemudian Prof. Ungku Maimunah mengajukan satu soalan yang sangat penting: "Mengapakah [kegagalan] ini terjadi?  Adalah sukar untuk mengatakan para pengadil tidak arif tentang konsep-konsep sastera, yang dalam konteks plot dan formula di atas itu [beliau merujuk formula E. M. Forster yang terkenal itu], merupakan antara konsep sastera yang paling asas sekali. Sudah barang tentu  sayembara seistimewa Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas DBP menghimpunkan sebagai pengadilnya sarjana atau pakar sastera yang terkemuka, yang tentu sekali tidak mungkin keliru atau mudah dikelirukan oleh pengertian plot dan formula yang sangat asas itu. Atau, adakah kriteria yang digariskan itu lebih merupakan melepaskan batuk di tangga, sebagai memenuhi formaliti yang perlu ada, tetapi tidak mengikat, malah boleh diabaikan. Apa pun jua penjelasannya, analisis menunjukkan dengan jelas kriteria "teknik penceritaan yang baharu" tidak diaplikasikan oleh para penilai, seperti juga Harga Sebuah Maruah tidak memenuhi kriteria berkenaan. Ini sekali gus bererti mempertikaikan penilaian yang dibuat dan pengiktirafan yang diberikan itu bukanlah sesuatu yang tidak wajar, malah ia sesungguhnya perlu diusahakan demi memastikan integriti penilaian itu sendiri, di samping menjaga mutu karya yang diiktiraf." Jika kita melihat "kelemahan" ini dalam konteks pandirisme, maka apa yang terjadi bukanlah sesuatu yang memalukan, atau yang perlu menimbulkan rasa susah hati para penilai dan orang yang dinilai.  Memang itulah yang terjadi dan pasti akan terjadi dalam konteks budaya pandirisme itu. Seperti juga Pak Pandir terselamat kerana memilih padi hampa dan memikulnya menyeberang anak sungai, maka demikianlah juga para anggota panel telah berjaya melaksanakan tugas mereka dengan berjaya, sama ada mereka memilih karya yang tidak bermutu atau menulis laporan yang juga tidak bermutu.  Huraian kritis yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah adalah tepat sekali dengan standard yang terpakai dalam kritikan arus perdana yang berlaku sekarang. Inilah yang saya maksudkan dengan celebrating pandirisme.”


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 6 Mac 2015.



Tuesday, March 3, 2015

MENGHADAPI CABARAN INTELEKTUAL DARI BARAT DALAM PERKEMBANGAN SASTERA MELAYU MODEN



Walaupun kini sudah terdengar istilah yang seolah-olah mempersoalkan  pengaruh Barat dalam pemikiran sarjana Melayu dalam ungkapan “minda tertutup”, namun penggunaan istilah “minda” itu sendiri adalah bukti dan contoh betapa kuatnya belitan pengaruh Barat dalam pemikiran Melayu.  Kalau sudah begitu, bagaimana anda boleh bercakap tentang “minda tertutup” sebagai satu kritikan terhadap pengaruh Barat dalam membina dan membelenggu pemikiran sarjana Melayu?  Inilah satu contoh pandirisme yang selalu saya bicarakan, yang tentu saja tidak disukai oleh para sasterawan, sarjana dan lain-lain.  Kata mereka, semua ini terjadi kerana salah faham tentang peranan pengaruh Barat dalam pembinaan sastera Melayu moden. Menurut mereka, peranan teori sastera Barat sangat besar dalam perkembangan sastera dan kritikan sastera Melayu, oleh itu tidak wajar dikritik atau disangsikan seolah-oleh hanya keburukan belaka yang terjadi, padahal tanpa teori sastera Barat dan tanpa pengaruh sastera Barat, tidak mungkin lahir novel-novel yang ditulis oleh para sasterawan negara sendiri. Bagi mereka, tidak mungkin wujud para sasterawan negara tanpa pengaruh Barat.  Malah, tegas mereka, Panel Anugerah Sastrera Negara sendiri telah menerima dengan baik pengaruh itu dalam semua laporan mereka, oleh itu tidak wajar dicabar kerana dari segi kenyataannya, secara empiris, sastera dan kritikan sastera Melayu memang lahir daripada pengarauh teori dan karya sastera Barat.

Para sasterawan negara dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara sendiri tidak ragu-ragu menerima pegaruh Barat itu sebagai sah, dan amat diperlukan jika sastera Melayu moden ingin maju dan akhirnya akan mendapat perhatian antarabangsa, yang dari situ akan memberi peluang kepada para sasterawan Malaysia dipertimbang untuk dianugerah Hadiah Nobel Sastera. Tidakkah mendapat Hadiah Nobel itu satu projek besar sastera Melayu moden?  Maka apabila Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 mencadangkan supaya sasterawan Malaysia meniru Salman Rushdie, maka yang  terbayang dalam fikiran beliau ketika itu ialah betapa gentingnya kedudukan sasterawan Malaysia sekarang yang terumbang ambing dalam konflik nilai dan dalam kefahanan yang betul tentang the nature of literature, yakni modern literature.  Ketika beliau mencadangkan perkara ini, beliau mungkin sudah lupa kritikan beliau dalam tahun 2005 yang menyatakan dengan tegas betapa silapnya sasterawan dan sarjana Malaysia yang menjadikan teori dan pendekatan sastera Barat dalam membuat penilaian terhadap karya Melayu. Dalam tafsiran saya, tidak ada kontradiksi yang serius dalam dua pandangan yang berbeza ini; sebaliknya kekeliruan begini tidak mungkin terjadi jika sekiranya terdapat kefahaman yang mendalam tentang teori sastera Barat dan tamadun Barat; dan pada waktu yang sama adanya sikap terbuka kepada tamadun Islam dan pengaruhnya dalam pembinaan tamadun dunia. Kerana kekurangan ini, maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa inilah kesan  recipe knowledge  yang tahap pengetahuannya berlegar di sekitar sekumpulan maklumat yang terbatas. Kebenaran kesimpulan ini terbayang jelas dalam tulisan mereka dan dalam penilaian mereka, terutama sekali yang mereka hasilkan untuk memperkatakan “pemikiran” para sasterawan negara. Kepentingan recipe knowledge ini telah diterima oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, oleh itu telah dikanunkan dalam sastera Melayu moden. Dengan itu tidak timbul lagi persoalan tentang pengaruh teori sastera Barat dalam kritikan sastera Melayu.

Namun demikian, peranan sastera Barat masih menjadi persoalan besar yang perlu diselesaikan apabila ditinjau daripada perspektif peranan ilmu yang benar dan kedudukan ilmu dalam sastera Melayu.  Bagi para sarjana dan para sasterawan sendiri, perkara ini bagi mereka bukan persoalan, oleh itu diremehkan begitu saja. Dengan sikap negatif ini, mereka cuba membawa perubahan dalam sastera Melayu moden, tetapi mereka tidak jelas apakah maksud perubahan itu? Bagi mereka, berubah hanya berpidah tempat, atau mencuba apa yang mereka namakan tema baru dalam penulisan kreatif, atau membawa masuk teori baru (yang sebetulnya tidak baru), atau teknik baru (juga bukan baru, jika contoh yang mereka berikan seperti realisme magis, stream of consciousness). Perlukah kita kepada pembaharuan? Pembaharuan yang bagaimana? Ini semua persoalan yang tidak dibicarakan walaupun sangat penting dalam konteks perkembangan ilmu atau dalam konteks budaya ilmu yang ingin kita bina.  Kedudukan ilmu dalam karya sastera itu sendiri tidak jelas, dengan itu maklumat yang dipindahkan dari buku teks atau buku-buku bacaan yang dijadikan sebahagian daripada karya kreatif tadi ditafsirkan sebagai ilmu, yang memberi makna bahawa ilmu dan maklumat adalah sama dari segi makna dan statusnya. Inilah punca kekeliruan yang dijadikan perdebatan yang sia-sia; dan yang lebih mengusutkan perdebatan sia-sia ini dikatakan perdebatan tentang ilmu.  Nampaknya di kalangan sasterawan sudah ada sejenis perlumbaan untuk masing-masing mendakwa karyanya berunsur ilmu kerana di dalamnya disebut teori-teori tertentu atau faham politik tertentu.  Dari segi itu, sudah ada keinginan untuk dikaitkan dengan ilmu, yang dikira akan memberi prestij kepada karya mereka.  Perbuatan ini sebenarnya merendahkan darjat ilmu dan tidak sekali-sekali menaikkan prestij novel yang dikatakan berunsur ilmu itu.  Di sinilah pentingnya konsep ilmu itu dijelaskan.

Salah satu sifat ilmu yang utama, seperti yang dijelaskan oleh Imam Ghazali, ialah kesan ilmu itu terhadap keyakinan manusia kepada kewujudan dan keesaan Allah swt. Tingkat itu tidak akan sampai sekiranya sumber ilmu itu sendiri tidak mengakui adanya Allah swt, dengan itu menolak bulat-bulat peranan wahyu dalam kehidupan manusia. Salah faham yang paling besar dalam perkara ini ialah apabila orang Islam sendiri berkata Islam hanya untuk orang Islam, sedangkan sastera untuk semua manusia, oleh itu universal. Berasaskan premis yang salah ini, maka ada di antara sarjana Melayu yang beragama Islam sendiri yang berpendapat demikian, oleh itu mereka membuat kesimpulan jika kita mahu bersastera,  yang pertama perlu ditolak ialah konsep ilmu seperti yang difahamkan dalam Islam. Mereka menyamakan kebenaran dengan kesejagatan karya sastera sebagai ciptaan kreatif manusia. Dengan sikap ini, bagi mereka tidak wujud kebenaran, apatah lagi keyakinan seperti yang dihuraikaqn oleh Imam
Ghazali. Kesimpulan mereka amat aneh dan boleh dikatakan tidak siuman, kerana tanpa mereka sedari mereka telah menolak adanya iman dalam kehidupan manusia dan betapa pengaruh iman itu dalam mencorak kehidupan manusia beriman. Inilah asas mereka untuk menolak gagasan Persuratan Baru misalnya. Apabila kesimpulan ini dihadapkan kepada mereka, maka mereka menafikan mereka menolak iman dan konsep ilmu yang benar; mereka hanya tidak bersetuju dengan gagasan Persuratan Baru kerana tidak menepati dengan ciri-ciri sastera seperti yang difahamkan seluruh dunia, yang universal sifatnya. Itulah yang membuat ada di antara mereka mencadangkan supaya para sasterawan Melayu meniru, atau belajar daripada Salman Rushdie yang tidak saja menolak wahyu tetapi juga menghina para nabi seperti yang diperlihatkannya dalam novelnya The Satanic Verses. Seterusnyha mereka akan mempertahankan Salman Rushdie dengan berkata novel itu tetap novel yang baik dan tidak kena mengena dengan penghinaan terhadap keluarga Rasulullah SAW!.  Tentulah amat aneh apabila dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 nama Salman Rushdie naik dengan  megah dalam perbincangan setelah diajukan oleh seoranag sasterawan negara. Kini anda faham mengapa saya menolak kewujudan sasterawan negara sejak 1981 lagi, kerana saya sudah dapat melihat dengan jelas hal seperti ini akan terjadi akibat pengaruh teori dan nilai sastera Barat yang amat medalam di kalangan para sasterawan. Penjelasan lebih terperinci telah saya berikan seadanya dalam “Keunggulan yang Cacat”. Lihat di sana.  Contoh ini menjadi bukti yang jelas betapa teori dan pendekatan Barat telah gagal menilai dengan tepat sebuah karya yang sebenarnya menghina nilai-nilai kita sendiri yang menjadi pegangan kita.  Saya tidak tahu sama ada terdapat bantahan atau tidak dalam Sidang Kemuncak itu apabila this kind of bullshit diketengahkan oleh sasterawan negara ini. Adakah semuanya menikus?

Kehadiran teori dan pendekatan kritikan sastera Barat dalam sastera Melayu moden akan terus menerus menjadi persoalan dan masalah besar jika tidak ditangani dengan cermat dengan menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas penilaian sejauh mana teori dan pendekatan itu boleh dipakai dan setakat mana boleh dipercayai. Kesedaran ini sangat penting, jika kita terima kesimpulan Imam Ghazali tentang makna dan maksud ilmu dalam kehidupan manusia beriman, iaitu ilmu yang benar itu seharusnya memberi kita keyakinan yang penuh tentang kewujudan Allah SWT yang menjadi sumber kehidupan dan sumber ilmu yang mutlak.  Sumber-sumber lain dalam Islam ditentukan kedudukannya dari perspektif al-Quran.  Membaca, apatah lagi menggunakan teori Barat tanpa kesedaran ini, akan menjauhkan kita daripada hakikat kejadian insan, dengan itu orang dengan mudah akan hanyut dan sesat dalam belantara “ilmu” dari Barat. Jurang paling mudah membuat seseorang terjatuh ke dalam gaung kekeliruan ialah konsep universalisme, yang menjadi kegemaran para sarjana dan sasterawan Malaysia (lihat di atas tentang aspek ini). Jika anda fikirkan dengan mendalam, konsep ini dalam pengertiannya dalam budaya Barat hanya sejenis bullshit, yang amat mengelirukan. Mendakwa bahawa karya sastera harus mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan yang universal itu betul; tetapi tidak dalam konteks universalisme. Saya ingin memberi satu contoh bagaimana hal ini difahami di Barat.

Dalam bukunya, The Significance of Theory oleh Terry Eagleton, terdapat interview  beliau, “Criticism, Ideology and Fiction.” Inilah kesimpulan beliau yang bagi saya cukup menarik:

“I am horrified by the dearth of ideas in contemporary English fiction, which I think has its roots in a certain ingrown English empiricism and commonsensicality,  and I think that if there is to be a viable fiction of the left, as well as a theory, then it has to find ways of bringing creative and intellectual discourses together.” (hal. 89). (huruf condong ditambah).

Ini pula komen saya selepas membacanya: “Baca interview ini pada 13 Julai 2009. Bagus juga “conclusion” di atas, sokong yang aku buat melalui Gagasan Persuratan Baru!!.”  Jadi, great ideas sudah pun wujud di Malaysia, yang menyatukan yang kreatif dan yang bersifat intelektual dalam Persuratan Baru.

Sebenarnya kita boleh mendapat kebijaksanaan dan manfaat dari mana saja, daripada seorang Marxist atau sesiapa juga sarjana Barat boleh memberi manfaat jika kita membacanya dalam konteks ilmu yang benar. Saya yang sudah membaca begitu banyak buku dan tulisan yang ditulis oleh para sarjana kita dan juga sasterawan, tidak pernah bertemu dengan pendapat sebernas yang diberikan oleh Terry Eagleton tentang “to find ways of bringing creative and intellectual discourses together,”  kerana kita sebenarnya tidak berfikir dengan serius, tetapi terlalu cepat untuk meniru dan menggunakan sesuatu yang belum tentu memberi manfaat kepada kita dan bangsa kita.

Inilah peringatan Prof. Fazlur Rahman yang perlu difikirkan dengan mendalam:

“Given the depth of human self-deception, how important it is that man be ‘awakened’ to his real nature, to be responsible before God, to think thoughts and do deeds that would be consequential,  for upon this depends the whole destiny of man and of God’s purposes for man.” (hal. 33, Major Themes of the Quran).

Sangat mudah ...!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  3 Mac 2015.

Saturday, February 21, 2015

PANDIRISME DALAM KRITIKAN SASTERA MELAYU



Salah satu aspek kecemerlangan dalam kritikan sastera di Malaysia ialah kukuhnya pengaruh pandirisme dalam menganalisis, menggunakan maklumat yang tidak relevan, dan membuat penilaian yang penuh sensasi.  Pengaruh pandirisme telah memberi kesan positif dari segi mempromosi karya para sasterawan, terutama sekali karya sasterawan negara. Keadaan ini dimungkinkan oleh sikap lunak dan menyerah para pembaca Malaysia, yang tidak bersedia untuk mempersoalkan penilaian yang dibuat berasaskan pandirisme itu. Lagi pula, pembaca sangat menghormati para penilai sebagai sekumpulan pakar sastera yang serba tahu dan amat jujur dalam membuat penilaian, sehingga tidak mungkin terjadi salah nilai atau salah sanjung terhadap seseorang yang diberi pujian tinggi.  Tetapi sebaik saja kita meneliti penilaian itu dengan kritis, berasaskan ukuran yang objektif dan jitu berdasarkan konsep ilmu yang benar, misalnya, maka akan muncul beberapa kontradiksi yang tidak disangka-sangka, yang membuktikan penilaian itu tidak tepat dengan nilai yang ada di dalam karya  itu sendiri.  Ketika menganalisis satu keputusan sayembara menulis novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka,  Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir telah membuktikan betapa kriteria pemilihan yang ditetapkan tidak diikuti ketika membuat pilihan, oleh itu karya yang terpilih tidak memenuhi ukuran yang ditetapkan. Beliau memberi contoh yang menarik tentang pemilihan novel Azizi Haji Abdullah Harga Sebuah Maruah, yang tidak langsung memenuhi kriteria atau ukuran yang ditetapkan oleh penganjur sayembara. Analisis beliau terhadap novel Salam Maria, walaupun menimbulkan kemarahan penulisnya dan para penyokong beliau, namun telah berjaya menyerlahkan bagaimana semangat pandirisme itu mendasari penulisan karya ini dan penilaian terhadap novel ini dicacatkan dengan pretensi intelektual, yang hanya berada pada peringkat idle talk.  [Baca ulasan Prof. Ungku Maimunah dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2,  2014, bab 9]. Saya sendiri telah membicarakan dengan kritis keputusan Hadiah Sako II dan pemilihan novel Azizi Haji Abdullah sebagai tidak tepat dan tidak berasaskan nilai yang konkrit. (Lihat Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2, hal. 219-220.)   

Satu kesan yang sangat negatif yang berpunca daripada penilaian berasaskan pandirisme ini ialah kemunculan karya-karya picisan yang diberi penilaian tinggi akibat pandirisme. Contoh paling terkenal dan paling baik ialah pendapat sarjana yang mengatakan novel lucah dan picisan TIVI oleh Shahnon Ahmad sebagai sebuah karya sufi! (Lihat Dewan Sastera,  September 2004, hal. 23-27).  Pandirisme memberi kesan negatif yang amat buruk dalam pendidikan sastera, apabila karya-karya mediocre dijadikan teks untuk dikaji dengan kaedah yang menjurus kepada pandirisme, tidak kritis dan tidak berteraskan kefahaman yang mencukupi dalam penggunaan teori atau pendekatan yang sesuai. Akibatnya ialah kita gagal melahirkan pelajar sastera yang pintar dan berupaya berfikir dengan kritis. Apabila pelajar seumpama ini kemudiannya mendapat gelar doktor, dan mula mengajar, mereka akan meneruskan pandirisme itu dengan lebih tekun, kerana mereka tidak mempunyai standard yang membolehkan mereka mengetahui mana yang bersifat pandirisme mana yang tidak. Dalam keadaan inilah kritikan sastera Melayu dan hasil kajian akademik hanya mengeluarkan bullshit dan idle talk saja. Sebagai contoh, kajian terhadap karya Anwar Ridhwan yang menggunakan pendekatan tertentu, penuh dengan pujian dan kenyataan yang tidak dianalisis dengan kritis. Sekali lagi, entri 24/10/2014 dengan tajuk “Keunggulan yang Cacat”  perlu dibaca dengan kritis untuk memahami kesimpulan ini.

Mengapa Pandirisme Menjadi Pilihan

Pandirisme berkembang subur dalam kegiatan akademik dan kreatif di Malaysia kerana pengaruh teori sastera Barat yang tidak mementingkan matlamat kreatif dan kritikan dalam konteks perkembangan budaya ilmu berasaskan epistemologi Islam yang jelas dan pasti. Sebaliknya, hasil sastera masih lagi dilihat daripada perspektif hiburan berasaskan budaya hawa nafsu (hedonisme) untuk memenuhi tuntutan perdagangan di satu pihak, dan tuntutan kepuasan individu penulis di pihak yang lain.  Kini diperkenalkan konsep industri kreatif yang seluruhnya hedonistik itu, dan para penulis digesa untuk menyokong dan menyuburkan industri kreatif itu dengan menghasilkan karya yang boleh dipasarkan di dalam dan di luar negara (dalam bentuk terjemahan).  Menurut logik golongan ini, tidak ada gunanya mencipta karya kreatif yang tidak boleh dijual dan yang membolehkan penciptanya mendapat faedah ekonomi yang setimpal.  Inilah pendekatan yang diambil oleh Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang diabadikan dalam buku mereka Sastera Teras Negara Bangsa.  Dengan tema persidangan itu “Strategi dan Pendekatan Baru dalam Pemerkasaan Sastera Malaysia,”  seluruh usaha diarahkan kepada sekularisasi sastera sepenuhnya untuk memastikan mendapat tempat dalam pasaran antara bangsa. Kecenderungan kepada apa yang dipanggil mereka “pengantarabangsaan” (buruk betul istilahnya!) sastera Melayu membuat mereka mengalih pandangan dan cita rasa mereka untuk memenuhi budaya hedonisme Barat, dengan gesaan kepada para penulis untuk menulis karya yang dapat dipasarkan di peringkat antara bangsa.  Semua perbincangan diarahkan kepada isu ini. Tidak sepatah pun ditimbulkan peranan ilmu dalam seni kreatif walaupun seluruh peserta Sidang Kemuncak ini beragama Islam. Di sana sini memang disebut perkataan Islam, Muslim, khalifah dan sebagainya, tetapi semuanya dalam konteks sekularisasi sastera. Apa yang disebut sebagai “pemerkasaan sastera” itu terarah sepenuhnya kepada keuntungan  perdagangan dalam dunia baru yang kini mempromosi industri kreatif.  Sebaik saja istilah industri itu dipakai, maka sastera sudah diiktiraf sebagai salah satu komoditi dalam ekonomi kapitalisme yang menjadikan kuasa ekonomi global sebagai alat kolonialisme intelektual.  Seorang penulis muda dalam kertasnya menampakkan sedikit kesedaran kepada pentingnya ilmu, tetapi masih teragak-agak untuk menjadikan ilmu sebagai teras dalam penulisan kreatif dan bidang akademik.  Walaupun  mereka bercakap tentang perubahan dan sebagainya, tetapi mereka masih berada dalam “paradigma lama” yang anti-ilmu, suatu sikap yang sangat pelik kerana selalu diucapkan sastera itu adalah juga ilmu. Kalau begitu, mengapa mesti anti-ilmu? Setelah berbelit-belit merayau ke sana ke mari untuk mencari cara memperkasakan sastera, mereka akhirnya sampai kepada sikap hamba untuk menyokong sepenuhnya Transformasi Ekonomi dan Politik yang dipromosikan oleh kerajaan sekarang (belum tentu, sebenarnya, masih lagi berada di taraf slogan saja) dengan harapan yang berlebihan sikap optimistiknya. Terdapat keangkuhan intelektual yang cukup jelas apabila golongan ini membisu dan membutakan mata akal mereka untuk tidak  melihat dengan kritis satu projek pembangunan persuratan Melayu Abad 21 ini, yang ditawarkan oleh gagasan Persuratan Baru. Dengan meremehkan usaha pembinaan tamadun ilmu menurut Islam ini, maka mereka yang riuh-rendah bercakap tentang “pemerkasaan sastera,”  padahal sebenarnya sedang berseronok dalam kegiatan yang bersifat bullshit dengan memperagakan dengan megah idle talk mereka sehingga sanggup memanjat bumbung kilang berkarat untuk bermimpi mencari  cadangan yang cetek dan amat jauh  ketinggalan zaman. What a humbug indeed!

Sidang Puncak ini lebih tepat jika diklasifikasikan sebagai pesta pandirisme yang hanya mencari kesempatan untuk mendapat faedah diri individu. Semua ini terserlah dalam rumusan yang mereka kemukakan kepada kerajaan.  Dengan rasa tamak yang tidak terbatas, mereka minta itu ini untuk memastikan mereka mendapat faedah peribadi, misalnya dengan pretensi kononnya kehadiran mereka dalam delegasi rasmi adalah perlu untuk mempromosi sastera Malaysia!  Cara berfikir mereka juga terlalu pekat dengan semangat dan kesan kolonialisme budaya yang ingin menyekat “kebebasan memilih” dengan mencadangkan apa yang mereka namakan Dasar Kesusasteraan Negara.  Apakah yang mendorong mereka mengusahakan sebuah dasar untuk mengikat kebebasan berkarya? Yang kita perlukan bukan “dasar kebangsaan” yang gila-gilaan, yang didorong oleh rasa tamak dan kepentingan diri yang berlebihan. (Mereka menegaskan, sebagai syarat, jawatankuasa penggubal mestilah terdiri daripada sasterawan negara dan ahli akademik dalam kelompok Mutual Admiration Club, termasuk wakil dari persatuan penulis dan lain-lain).  Tujuan menubuhkan  Majlis Sastera, Bahasa, dan Kesenian Malaysia ialah untuk membina falsafah, hala tuju penciptaan karya dan promosi karya untuk dilaksanakan dalam  Dasar Kesusasteraan Negara. Motifnya ialah mereka akan mendapat faedah dari segi kewangan, dana untuk kepentingan puak sendiri, penghormatan, dan yang seumpama itu bila berada dalam kandang birokrasi.  Sepatutnya mereka mempermudahkan perkembangan ilmu yang benar dengan mengadakan perbincangan berterusan dalam seminar dan kolokium, kerana yang kita perlukan ialah sedikit penglibatan aktif dalam mewujudkan tamadun ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar. Hanya di sini saja kita mempunyai harapan dan kemungkinan meningkatkan kualiti kreatif dan akademik kita, dan dapat melepaskan diri daripada kincir intelektual yang berpusing-pusing di telaga keruh teori sastera Barat. Kerana telah ditutup mata hatinya begitu lama, seperti keldai ditutup matanya dikincir air, maka nampaknya amat sukar bagi golongan pendukung pandirisme ini untuk berubah. Mereka sering bercakap tentang perubahan itu untuk orang lain.

Faktor yang Menjadikan Pandirisme Sebagai Arus Perdana

Dengan wujudnya sasterawan negara, maka terjadilah perkumpulan yang dikenali sebagai Mutual Admiration Club di kalangan para sasterawan. Sarjana, pengkritik dan sasterawan sendiri menerima para sasterawan negara sebagai tokoh sastera yang tidak boleh dipertikaikan, maka dengan itu terjadilah pemitosan secara besar-besaran terhada para sasterawan negara ini. Alat yang mereka gunakan ialah teori sastera Barat, yang mereka jadikan ukuran untuk mengangkat para sasterawan negara ini. Maka dengan itu kita lihat bermacam-macam teori Barat diperkenalkan dalam seminar khusus untuk membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini. Teori-teori itu diperagakan begitu sahaja, tanpa sebarang analisis yang boleh meyakinkan atau yang cocok dengan kualiti karya yang dibicarakan. Sebagai contoh, apabila teori semiotik dicuba untuk menganalisis sajak-sajak Muhammad Haji Salleh, sarjana yang mengemukakan teori itu buntu kerana tidak dapat menentukan dengan tepat makna dan nilai karya itu. (Lihat kertas kerja Prof. Madya Arbak Othman).  Adakah teori semiotik tidak sesuai, atau sajak-sajak yang dinilai berasaskan teori itu gagal menonjolkan mutu kreatifnya?  Mungkin juga kedua-duannya, yakni sajak-sajak itu memang tidak bermutu dan penggunaan teori itu sendiri hanya pada peringkat recipe knowledge saja.  Bila kesimpulan yang tidak tepat ini dapat kepada pelajar atau pembaca yang tidak tahu menahu tentang semiotik, maka terjadilah perlumbaan untuk memuji sasterawan berkenaan sehinnga kemudiannya menjadi kebiasaan, oleh itu segala kesilapan dan penilaian yang picisan akan diterima sebagai bertaraf ilmiah dan mempunyai nilai akademik yang tinggi. Inilah cerita sebenarnya, yang meletakkan pandirisme sebagai hujah dalam membuat penilaian terhadap karya para sasterawan negara ini.

Dengan meningkatnya pengaruh pandirisme dalam arus perdana  kesusasteraan Melayu, maka kita dapati semakin jelas sikap anti-ilmu dan anti-Islam dalam kegiatan kesusasteraan Melayu. Semua ini timbul dari sejenis ketakutan tidak berasas bahawa jika gerakan memartabatkan peranan ilmu yang benar seperti yang difahami dalam Islam mendapat sokongan, maka para sasterawan negara dan sarjana yang menyokong mereka akan menghadapi masalah kredibiliti mereka dalam mempertahankan kedudukan mereka dalam arus perdana yang diasaskan pada falsafah pandirisme itu. Kita lihat ketakutan ini menyerlah sangat jelas dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, yang sekali sekala menyebut peranan Islam secara kabur dan amat mengelirukan, seperti yang ditunjukkan oleh Anwar Ridhwan dalam kertasnya, dan perihal Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh mempromosikan Salman Rushdie untuk dijadikan ikutan.  Kertas kerja Dr. Mohamad Salleh Rahamad tentang peranan hegemoni bertujuan untuk mengekalkan pandirisme dalam kesusasteraan Melayu. Beliau pernah memberi penegasan yang menyatakan bahawa walaupun gagasan Persuratan Baru “mungkin” mendapat perhatian beberapa orang sasterawan dan sarjana, secara umumnya asas-asas pandirisme yang dikritik oleh golongan taasub (istilah beliau) ini masih terus dijadikan arus perdana ialah kesusasteraan dalam konteks penerapan nilai-nilai Barat dan teori sastera Barat. Dalam tulisannya, Dr. Saleeh Rahamad menafikan peranan wahyu dalam pembangunan tamadun, tetapi menerima peranan sastera melalui ucapannya yang pelik dan tidak berasas, “Keberdayaan kesusasteraan sebagai tenaga hegemoni berkait erat dengan sifatnya yang diskursif. Bahasa sebagai alat penjanaan idea dalam karya sastera tidak bersifat neutral, sebaliknya mempunyai upaya dan ideologi tertentu. Atau dalam erti kata lain, karya sastera adalah wacana, discourse, yang memiliki ideologi tersirat.   … Karya tersebut membawa ideologi, memiliki kuasa yang menentukan apa-apa yang boleh dimasukkan untuk tatapan khalayaknya. Dengan hal yang demikian, setiap perkara dalam karya itu disisipi unsur hegemoni untuk menundukkan masyarakat agar mereka mematuhinya secara sah. Di sinilah berperanannya ideologi dalam karya sastera.” (hal. 21-22).  Inilah mimpi kaum Marxist di Eropah, yang hanya berada dalam teori hegemoni Gramsci.  Adakah idea ini menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana Malaysia? Kalau kita boleh percaya kesungguhan Dr. Saleeh Rahamad itu satu gambaran benar tentang sikap sarjana dan sasterawan Malaysia, maka benarlah andaian saya selama ini bahawa mereka memperjuangkan sekularisasi sastera dan menjadikan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia untuk mencapai maksud mereka.  Tetapi faham ini sebenarnya karut, bullshit saja, kerana sejarah Eropah dan sejarah di tempat-tempat lain juga memberitahu kita bahawa yang dimaksudkan dengan hegemoni itu tidak pernah dalam konteks kebudayaan, sebaliknya ditegakkan dengan kuasa tentera atau perundangan yang keras. Kebenaran andaian ini cukup jelas terlihat dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam Sidang Kemuncak ini, yang menerima hegemoni Barisan Nasional sebagai satu-satunya cara untuk memajukan negara Malaysia. Sasterawan negara Baha Zain menulis satu kertas khusus untuk mewakili Sidang ini bahawa yang diperlukan sekarang ialah sokongan tidak berbelah bahagi para penulis, sasterawan, sarjana dan ilmuwan untuk mencapai cita-cita Barisan Nasional melalui apa yang mereka sebut “Transformasi Negara/Nasional…”  Inilah kali pertama, dalam pengalaman saya berkecimpung dalam kegiatan kesusasteraan, saya melihat para sasterawan dan segala yang menjadi pengikut mereka memberi kepercayaan penuh kepada cita-cita politik BN dengan harapan mereka juga dapat tumpang semangkuk. Bolehkah saya bertanya: Adakah mereka masih bermoral? Jawapan yang akan saya terima cukup senang: sikap negatif Mohd. Affandi Hassan masih tidak berubah, dengan melihat semua usaha orang lain adalah sia-sia kerana beliau tidak bersetuju.  Really, this is humbug of the first order!

Para sarjana, pengkritik sastera dan para sasterawan, jika mereka betul-betul percaya sastera yang mereka anuti itu adalah wacana bersifat ilmu, dengan kefahaman bahawa tidak mungkin muncul wacana dalam paksaan hegemoni, tetapi mesti terbuka untuk didebatkan, seperti yang diajar dan dipraktikkan di kalangan ulama Islam, maka mereka tidaklah akan berada dalam ketakutan akan kehilangan pengaruh dan faedah kebendaan lainnya, terutama dari segi wang dan penghormatan, dengan menolak peranan ilmu yang benar dalam pembangunan tamadun ilmu.  Mereka tidak boleh lagi berdolak-dalik untuk melancarkan penafian kerana semua tulisan yang mereka bentang dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia itu hostile (saya sengaja guna perkataan Inggeris kerana saya seorang pengamal teknik stylization of ideas) kepada wacana ilmu dalam konteks ilmu yang benar. Mereka hanya mempromosikan idea wacana yang totok sekular, untuk dikunyah dan ditelan oleh masyarakat yang mereka tahu masih berpegang kepada ajaran wahyu. Sebenarnya apakah yang diingini oleh golongan ini?

Kesimpulan Tegas

Pandirisme yang menjadi arus perdana dalam kehidupan rakyat Malaysia sekarang, bukan hanya dalam kesusasteraan, perlu ditangani dengan cermat dan dengan penuh sabar, dengan penuh pengertian. Kekeliruan masyarakat dan para pemimpin tentang nilai-nilai murni yang sering mereka sebut-sebut, tidak menjadi pakaian basahan mereka dalam kehidupan seharian, hanya untuk disebut sebagai slogan sahaja. Ini jelas dalam cara kita melaksanakan undang-undang, yang sentiasa menjadi tanda-tanya semua anggota masyarakat, adakah kita telah melaksanakan keadilan seperti yang dituntut dalam Islam, sesuai dengan kedudukan negara ini yang sering disebut sebagai sebuah negara Islam, walaupun undang-undang Islam tidak diterima dalam Perlembagaan yang menegaskan apa-apa juga undang yang dipakai di Malaysia mestilah serasi dengan kehendak Perlembagaan, walaupun bertentangan dengan hukum Islam dan nilai-nilai Islam. Inilah maksud hegemoni yang sebenarnya, seperti yang dipelopori dan difahamkan dalam konteks politik sekular.  Kes Altantuya dan kes Anwar Ibrahim hanya tahi gigi dalam sistem undang-undang kita, tidak menjadi halangan untuk diteruskan dalam keadaan yang ada walaupun semakin ramai yang menjerit mahukan keadilan. Hujah yang digunakan cukup senang: semua undang-undang yang dipakai di negara ini diluluskan oleh Parlimen, dengan persetujuan majoriti Ahli Parlimen, yang mewakili rakyat yang memang meletakkan mereka di Dewan Rakyat untuk menguruskan segala urusan dunia mereka. Khusus dalam kes Anwar Ibrahim, selain kita lihat betapa gigihnya kerajaan berusaha untuk memastikan dia dipenjarakan, satu perkembangan baru telah muncul dalam kehidupan Malaysia. Peguam yang membela kerajaan yang diupah dengan bayaran mahal, muncul di dalam forum yang dianjurkan oleh UMNO untuk mendedahkan segala kejahatan Anwar Ibrahim yang dilindungi Mahkamah selama ini. Adakah ini satu ajaran moral yang baru? Bagi saya yang tidak tahu undang-undang, pendedahan tentang kejahatan beliau yang sudah pun dihukum dengan sempurna adalah pembelaan yang terbaik yang diberikan kepada beliau. Kalau kita masih yakin kepada ajaran Islam, sesiapa juga yang mendedahkan kejahatan orang lain dengan sengaja adalah memfitnahkannya, dan dari segi hukum dia telah melakukan jenayah yang berat dari segi etika Islam. Semua kejahatannya dan kejahatan yang orang yang dituduhnya, akan kembali kepadanya dan kebaikannya, kalau ada, akan kembali kepada Anwar Ibrahim. Tidakkah ini satu cara pelaburan saham yang baik? Tetapi dalam era pascamoden ini orang Islam sendiri pun sudah tidak percaya lagi kepada prinsip ini.

Satu ketika dulu, dalam tahun 1980-an, dalam satu seminar di Dewan Bahasa dan Pustaka membicarakan tentang rasuah, Prof. Syed Hussein al-Attas berkata (lebih kurang, dari ingatan, ambil maknanya saja), “Apabila masyarakat tidak jijik lagi pada kejahatan, sudah menerima korupsi sebagai cara hidup,  dan menerima kezaliman sebagai asas hukum, maka bolehkah kita berkata masyarakat kita masih bermoral?” (Orang yang tahu dan punya dokumen, harap buat pembetulan. Jangan biarkan kesilapan saya berterusan.)

Pada umumnya pandirisme boleh saja digunakan untuk melakukan segala jenis kezaliman dalam masyarakat, seperti mempromosi korupsi dengan menggunakan slogan tertentu untuk memberi harapan palsu kepada masyarakat; di samping itu pandirisme juga boleh menjadi benteng dalam menyuburkan bullshit dalam budaya Malaysia dengan memberinya wajah intelektual dalam bentuk karya sastera picisan yang diberi kedudukan tinggi melalui peraduan atau pemilihan hadiah, dan yang picisan ini akan dijadikan teks di sekolah-sekolah. Baru-baru ini kita diberitahu novel picisan yang menghina kemanusiaan dan yang memberi markah tinggi kepada kejahatan, berjudul Naratif Ogonshoto, telah diberi tempat selesa sebagai sebuah teks untuk dikunyah para pelajar yang melalui novel ini akan melihat bagaimana kejahatan akan membuahkan hasil jika diusahakan bersungguh-sungguh. Tidaklah aneh sekiranya pandirisme mendapat hegemoninya yang tersendiri jika itulah yang diingini oleh sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera. Inilah kejayaan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Tentulah para sastrerawan negara, sasterawan lain-lain, sarjana dan pengkritik sastera berasa bangga kerana kini mereka dilindungi oleh pandirisme yang sentiasa memberi mereka peluang dan sokongan untuk meneruskan budaya pandirisme ini dalam arus perdana.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20 Februari 2015.