Thursday, November 6, 2014

MENILAI KARYA KREATIF DARI PERSPEKTIF PERBANDINGAN BERASASKAN KONSEP ILMU YANG BENAR



Bagus juga saya diperingatkan oleh beberapa orang, yang dikenali dan yang tidak, supaya bersedia untuk dinilai dengan sehabis kritis. Tetapi saya optimis tidak ada sesiapa pun di antara sarjana atau sesiapa saja yang bersedia membuang masa untuk mengkritik saya; kerana itu saya tidak perlu bersedia untuk menjawab kritikan itu, kerana memang tiada siapa pun akan membuang masa dan tenaga mereka menjawab cabaran saya. Tidak ada faedahnya bagi mereka. Bagaimana pula  pendirian saya? Saya akan terus menulis kerana saya tidak mahu dinista oleh generasi akan datang yang melihat dengan rasa kecewa yang berat kerana membiarkan mereka berada dalam kekeliruan, padahal ada kemampuan untuk membetulkannya, dan ada pula ruang yang boleh digunakan untuk maksud itu. Itulah makna amanah yang sebenarnya, yang mesti ditunaikan dengan gembira. Tidak melakukannya bererti telah mengkhianati amanah itu. Tidak mahu membetulkan kesilapan pun satu pengkhianatan juga, kerana membiarkan kekeliruan berpanjangan dan berasa selesa pula berada dalam kekeliruan itu, maka itu pun pengkhianatan terhadap ilmu yang tidak wajar diteruskan oleh orang-orang yang menggelar diri mereka ilmuwan atau ahli akademik, atau sarjana. Di Malaysia nampaknya orang memilih yang kedua, supaya kekeliruan itu terus tersembunyi dan hanya diketahui oleh segelintir manusia yang peka kepada persoalan itu. Tetapi posisi ini sangat bahaya dan amat menghinakan, kerana seseorang yang tahu dia silap tetapi tidak mahu membetulkannya, maka dia tidak lagi mempunyai kelayakan untuk menyebarkan ilmu di universiti, di kalangan pelajarnya sendiri, untuk memberi contoh di kalangan ahli akademik. Saya yakin orang seperti itu tidak ada di Malaysia, apatah lagi di universiti, tempat yang paling cermat dan teliti menjaga kewibawaan ilmiahnya. Oleh itu saya terselamat dari sebarang kritikan! Terima kasih.

Tetapi ini tidak bererti saya harus berdiam diri.  Masyarakat kita perlu dicerdikkan dan dibijaksanakan kembali melalui persuratan yang terasnya ilmu yang benar. Kita telah memberi peluang yang begitu luas dan lama kepada para sasterawan untuk bermaharajalela mengembangkan nilai-nilai Barat, sama ada yang bercorak kapitalis mahupun yang bernafas sosialis dan Marxis, yang akhirnya menjadi begitu liar dengan memakai nama kemanusiaan untuk membenarkan segala kejahatan berleluasa dalam karya sastera kita, tanpa sebarang perasaan malu lagi mengangkat karya anti-ilmu dan anti-kebenaran ini, yang disebut karya kemanusiaan itu, untuk dijulang sebagai karya besar dalam sastera Melayu moden. Kezaliman ilmu begini tidak boleh dibiarkan lagi, kerana akhirnya kita disogok dengan karya picisan dengan memakai nama karya popular Islami, yang paling aneh ditulis pula oleh penulis yang mempunyai pendidikan agama (dikenali sebagai ustaz dalam masyarakat Melayu), yang menghidangkan cerita-cerita cinta asmara yang dangkal dan dibuat-buat dengan watak wanita muda yang sepanjang masa menangis mengejar cinta daripada lelaki yang sentiasa mencari kesempatan, untuk mengkhayalkan pembaca muda yang sepatutnya dibimbing secara intelektual, tetapi dengan  perkembangan baru ini mereka diseret ke alam imaginasi yang amat infantile.

Kalau anda ikuti perkembangan novel Melayu, anda akan dapati sekitar tahun 1950-an banyak sekali novel lucah dan  picisan diterbitkan, kerana terdapat pasaran di kalangan pembaca Melayu. Sekitar masa itulah juga Kuala Lumpur Kita Punya diterbitkan, dan setelah sasterawan yang menulisnya diangkat menjadi sasterawan negara, kita dapati novel picisan dan lucah ini mendapat sorotan dalam seminar “pemikiran” sasterawan negara berkenaan; dan yang menarik ialah novel picisan ini mendapat pembelaan daripada sarjana yang menulis tentangnya. Jadi benarlah anggapan orang selama ini yang mengatakan, karya-karya tidak bermutu para sasterawan negara dibicarakan dalam pretensi intelektual untuk dijadikan karya  bermutu kerana penulisnya sudah diberi gelaran sasterawan negara. Kalau dalam masyarakat biasa, kita dengan mudah mengutuk sesiapa juga yang biadab atau berkelakuan biadab yang misalnya bercakap kasar dan lucah dalam forum atau dalam interview; tetapi dalam sastera kita tidak boleh mengutuk karya lucah dan picisan kerana sudah diangkat darjatnya apabila penulisnya diberi anugerah dengan gelaran sasterawan negara. Bandingkan ini dengan apa yang berlaku sekarang. Kini muncul dengan banyaknya karya-karya popular dan picisan dari segi idea yang dipasarkan atas nama Islam, dipanggil novel popular Islami. Kalau dulu kelucahan dan picisan bersifat seks, maka kini kelucahan itu bersifat idea dan perilaku, dibungkus dengan ciri Islam berupa kutipan daripada al-Quran dan hadis. Apakah bezanya? Ada. Orang dulu, penerbit dan penulis buku- buku jenis itu, menerbitkannya untuk mendapat sedikit habuan sambil memberi sedikit hiburan kepada pembaca yang menggemarinya. Tetapi kini agama dijual-beli dan dijadikan iklan dalam penulisan novel popular Islami ini. Antara dua kumpulan ini, mana satukah yang boleh kita terapkan gelaran sebagai pengkhianat? Rasanya tidak sukar untuk membuat pilihan.

Kalau kita kembali kepada karya yang serius, keadaannya tetap sama, cuma dimensinya diperlunak untuk dapat diterima oleh masyarakat. Kes terbaik ialah sajak “Pulang Si Tenggang”. Sajak ini menjadi bukti bagaimana nilai negatif dijadikan positif oleh sarjana sastera melalui penghujahan berdasarkan pretensi intelektual. Watak Si Tenggang terkenal dalam legenda Melayu menggambarkan anak derhaka yang berjaya dalam hidupnya, menjadi orang kaya, tidak dapat menerima ibunya yang miskin dan hina. Ibu yang kecewa dan terlalu sedih melihat anaknya tidak lagi mengenalinya, memohon kepada Tuhan untuk menunjukkan bahawa dia adalah ibu Si Tenggang dan jika ini benar, biarlah Si Tenggang menjadi batu bersama kapal dan harta bendanya. Permohonan si ibu dikabulkan dan Si Tenggang dan kapalnya menjadi batu. 

Dalam tangan Muhammad Haji Salleh, seorang sasterawan negara kemudiannya, Si Tenggang dijadikan ikon oleh pensajak ini untuk menunjukkan kegigihan Si Tenggang berusaha hingga mendapat kejayaan. Cerita Si Tenggang tidak dihabiskan, ditamatkan setakat dia memperoleh kejayaan dan menjadi seorang nakhoda yang kaya raya.  Apakah alasan pensajak untuk berbuat demikian? Dia, pensajak ini, ingin menunjukkan bahawa hanya dengan usaha gigih saja seseorang akan  beroleh kejayaan. Setakat ini anggapan ini betul, sama seperti Muhammad Haji Salleh sendiri memperoleh ijazah kedoktoran kerana usahanya, dan itu diperolehinya di luar negeri, dengan mengembara seperti Si Tenggang. Mengapa pensajak ini tidak menghabiskan ceritanya? Inilah yang dilunakkan itu, untuk mencapai hasrat pensajak sendiri bahawa dia yang menjadikan Si Tenggang sebagai model kehidupannya boleh berjaya, seperti Si Tenggang dalam legenda. Tetapi ada perbezaan, katanya. Dia bukan penderhaka, dia masih Melayu dan masih berjiwa Melayu asli. Di sinilah masalah itu menjadi amat rumit buat dirinya, kerana segala perilakunya menunjukkan sebaliknya. Dia adalah seorang penderhaka kepada budayanya, dan tidak menerima hakikat kebudayaan Melayu itu berteraskan ajaran Islam yang melahirkan persuratan Melayu. Adakah beliau seorang yang terkutuk? Pertanyaan ini tidak dapat dijawab dengan pasti pada waktu ini, tetapi apabila seorang profesor menulis membela Si Tenggang, maka kekacauan dan kekeliruan nilai itu seolah-olah sudah dikanunkan dalam sastera Melayu moden dan tafsiran profesor ini diterima dan dipakai  dalam pengajaran sastera di sekolah. Itulah pengakuannya dan itulah yang dibuktikannya dalam kertas kerjanya. Saya telah menyalin bahagian berkenaan dalam blog ini, sila lihat pos bertarikh 13 Ogos, 2014, berjudul “Kritikan Sastera yang Naif, Keliru dan Anti-Ilmu”.

Dalam kutipan itu, Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan melenyapkan aspek moral (penderhaka kepada ibu) untuk memberi penekanan kepada kegigihan Si Tenggang merancang kehidupannya untuk menjadi kaya raya dan akhirnya menjadi menantu raja. Dia menyebut sepintas lalu tentang penderhakaan Si Tenggang, “Lazimnya para peneliti, para pengkaji sastera mahu pun para pelajar ditekankan supaya jangan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Jika derhaka, maka anak-anak akan mendapat balasannya seperti mana berlaku kepada Si Tenggang. Di sebalik unsur moral dan pengajaran yang ditekankan, kisah Si Tenggang juga memperlihatkan nilai positif. Akibat kemiskinan Si Tenggang bercita-cita hendak jadi kaya dan terkenal. Di sini memperlihatkan bahawa Si Tenggang ada matlamat, iaitu ingin menjadi kaya dan terkenal.” (dalam kertas kerja beliau, “Kesusasteraan Melayu mutakhir: antara realiti dan harapan”, Seminar Sasterawan Negara II, 26 April 2014, UPM).  Kertas kerja ditulis untuk menghidupkan pengajaran sastera di kalangan pelajar dengan memasukkan unsur pengurusan.

Sebagai  catatan kecil, dalam filem Malin Kundang yang dibuat di Indonesia, Malin Kundang dibawa ke dunia moden, masih kekal perwatakannya, dan mati tertimbus simen.  Dia kaya dan berpengaruh, yang didapatnya secara khianat dan kejam. Nampaknya pembikin filem Indonesia itu masih lagi berpegang kepada konsep asal, yang ditolak oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan.  Dalam cerita asal yang menekankan soal moral dan nilai murni yang menjadi pegangan masyarakat, diubah oleh dua orang profesor ini untuk memberi penekanan kepada kejayaan kebendaan semata-mata. Inilah ajaran yang ingin disampaikan oleh pengajaran sastera yang telah disusun semula untuk menarik minat para pelajar. Disuntik unsur motivasi dalam perubahan itu, dengan meninggalkan unsur moral dalam cerita asal. Adakah ini cara pengajaran sastera yang kita mahu? Kekeliruan  begini tidak akan terjadi jika konsep ilmu yang benar dijadikan asas dalam pendidikan sastera. Kita tidak perlukan profesor yang menderhaka kepada nilai-nilai kebudayaan tradisi yang berasaskan konsep ilmu yang benar itu. Pretensi intelektual yang menjadi peragaan profesor ini hanya dapat dikesan jika konsep ilmu yang benar itu dijadikan asas untuk menilai pendapat mereka yang tidak berasas itu.

Dalam konteks ini, saya ingin mencadangkan satu perkara yang saya fikir akan menarik minat para pelajar sastera untuk berfikir dengan kritis, supaya mereka dapat membicarakan dengan mantap dan ilmiah erti kejayaan dari perspektif ilmu. Saya cadangkan sajak “Pulang Si Tenggang” itu dikaji bersama sajak “Al-Andalus” yang terdapat dalam novel Pujangga Melayu (hal. 106-108). Melalui kajian perbandingan ini, aspek apa juga yang ingin diserlahkan dalam kedua-dua sajak ini dapat dilihat dengan lebih jelas, oleh itu para pelajar diberi peluang untuk membahaskan dengan mendalam aspek ilmu dalam karya kreatif. Hanya dengan berbuat demikian saja para pelajar ini akan diberi peluang untuk menjadi cerdik dan kritis dalam membuat pertimbangan dan pemilihan. Inilah yang kita perlu dedahkan kepada mereka, bukan mengajar mereka untuk menjadi kaya dan terkenal, tetapi untuk menjadi cerdik dan bermoral tinggi. Saya fikir cadangan ini lebih siuman daripada mengajar para pelajar bagaimana hendak berjaya dan terkenal seperti Si Tenggang. Masalahnya, dalam keadaan sekarang, idea untuk mencerdikkan pelajar dan membimbing mereka menjadi pelajar yang kritis tidak laku, tidak akan mendapat sokongan para sarjana yang menurut kalangan mereka sendiri mempunyai agenda tertentu.

Rasanya tidak salah untuk mengemukakan cadangan yang kerdil saja seperti di atas. Saya harap para perancang kurikulum pendidikan sastera di Kementerian Pendidikan Malaysia bermurah hati untuk menjeling sahaja dahulu cadangan ini, sebelum memberi perhatian serius. Terima kasih.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 6/11/2014.






Wednesday, November 5, 2014

SAMAKAH RETORIK TEH TARIK BAHA ZAIN DENGAN PRETENSI INTELEKTUAL MUHAMMAD HAJI SALLEH DAN IDLE TALK MARTIN HEIDEGGER?



Tidak sia-sia Jalaluddin Rumi memperingatkan kita:

Joking is teaching. Don’t be fooled by the lightness,
or the vulgarity. Jokes are serious.
                        (Coleman Barks, Delicious Laughter, hal. 83)

Ada orang bertanya, apa maksud “retorik teh tarik” Baha Zain? Mana definisinya? Apabila kita berkata, dalam percakapan, atau dalam tulisan kita, perbicaraan itu seperti borak di kedai kopi, perlukah kita minta definisi? Sekarang banyak kedai mamak yang menyediakan teh tarik sambil makan roti canai dan lain-lain hidangan mamak, tentu keadaannya berbeza dengan kedai kopi Melayu yang menghidangkan kueh Melayu atau nasi lemak atau kalau di Kelantan tidak kurang dari 15 hidangan, termasuk nasi kerabu, laksam, nasi dagang, pulut dakap, pulut lepa, nasi kapit dengan kuah kacang, pulut pagi, apam, putu halba ubi kayu, dan banyak lagi… Sambil makan sambil berceloteh, kalau di Kelantan tentang Wak Long dalam politik; kalau di Kuala Lumpur tentang jalan rosak, kekotoran bandar raya, kesesakan yang menggila (hingga mendorong saya menulis sajak, “Kuala Lumpur Kota Gila” dalam Pujangga Melayu), mewahnya cakar ayam di ‘sign boards’ dan ‘the Elegance of English’ dalam nama-nama bangunan, kedai dan sebagainya. Borak kedai kopi, tidak dapat mengubah semua kegilaan yang kita lihat di bandar raya Kuala Lumpur itu.  Kini kita sudah maju dari segi akademik, pengurusan persidangan kecil atau besar, nasional atau bertaraf internasional, yang kita panggil seminar, kongres, muktamar (jika anda berjiwa Islam!), dialog, dan sebagainya. Macam juga hidangan di kedai kopi dari segi banyaknya jenis pertemuan itu, yang bercorak kebangsaan atau antarabangsa, atau sekadar perbincangan ringan di sudut-sudut tertentu, di dewan-dewan atau bilik seminar di hotel-hotel. Kerana kita sudah maju, maka setiap persidangan dipastikan kejayaannya dengan meminta tokoh-tokoh tertentu memberi “ucap utama” yang brilliant, seperti misalnya yang disampaikan oleh sasterawan negara sebagai tamu kehormat yang sangat dan amat dinantikan kata-kata yang penuh bijaksana dan mententeramkan  jiwa yang dahagakan ilmu!  Tetapi kerana banyaknya persidangan, seminar, Sidang Kemuncak penulis dan sasterawan dan sarjana, maka sekali sekala kita berhadapan dengan borak kedai kopi yang ditingkatkan martabatnya untuk menjadi dialog atau seminar kebangsaan tentang sastera Melayu, misalnya. Kini dengan popularnya kedai-kedai mamak, maka borak kedai kopi yang kampungan tadi menjadi retorik teh tarik yang sofistikated. Tetapi isinya tetap sama, hanya sejenis ocehan yang sudah diberi baju akademik, tetapi dari segi makna sama juga dengan pakaian baju kertas yang cantik yang dipakai oleh Pak Kadok! Sekarang anda tahu mengapa retorik teh tarik tidak perlukan definisi. Kita tidak boleh berkata “borak di kedai mamak” kerana tidak manis, seolah-olah tidak menghormati tokoh yang kita dituntut menghormatinya kerana penghormatan itu diterima terus daripada Yang Dipertuan Agong sendiri. Dengan menggunakan ungkapan retorik teh tarik, maka kita memberi wajah yang sofistikated terhadap percakapan biasa di samping memelihara keindahan estetik dalam ucapan dan dalam isi yang diborakkan. Kita gunakan bahasa sastera, bukan percakapan orang kampung seperti dalam “borak kedai kopi.”

Tetapi kita perlukan definisi untuk “pretensi intelektual”. Walaupun dari segi kedudukannya sama dengan retorik teh tarik, namun pretensi intelektual telah diberi prestij dengan munculnya perkataan intelektual itu.  Beza yang lain ialah terdapat unsur akademik taraf rendah tetapi cukup untuk dijadikan bahan tayangan di negeri yang tak ada helang maka di situlah belalang menjadi helang melompat ke sana sini dengan megahnya. Maka itulah yang saya jadikan haiku Melayu:

Belalang melompat
Padang luas kosong
Helang di gunung

Walaupun belalang ramai, dalam bahasa sastera dipanggil “kumpulan arus perdana,” namun tetap belalang, tak mungkin menjadi helang. Hanya dalam sastera Melayu moden saja belalang boleh menjadi helang. Demikian hebatnya sasterawan dalam budaya pandirisme. Maka timbul soalan yang agak nakal dan mungkin juga mischievous:  “Sasterawan negara itu jenis belalang atau jenis helang?”  Seseorang menjawab dengan bijak sekali: Bukan helang bukan juga belalang, tetapi dari kumpulan yang ilmunya cetek meraba-raba dan  para penilainya pula daripada golongan yang tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu. Lalu semua mereka terdiam, tiba-tiba menjadi bisu dan dalam ketakutan yang maha besar: takut ditelanjangkan terus dan takut disita wang yang mereka dapat selama ini padahal sumbangan mereka, dalam konteks ilmu yang difahami oleh para ulama dan ahli falsafah Islam, hanyalah tidak lebih daripada permulaan mengenal alif ba ta, belum lagi mencapai taraf pemikiran unggul yang boleh menyejahterakan masyarakat sejagat dan terutama sekali berguna untuk manusia yang ingin mencari kebahagiaan dunia akhirat. “Apa dunia akhirat?”, bantah mereka. “Sastera bukan khutbah yang diucapkan di masjid setiap Jumaat. Sastera adalah manifestasi kemanusiaan sejagat tanpa mengira manusia itu berdosa atau terselamat dari dosa. Mana ada manusia yang terselamat dari dosa? Maka dengan itu kami para sasterawan tidak berhak menentukan ajaran moral kepada manusia, juga terhadap diri kami. Kebebasan yang  ditetapkan menjadi hak milik sebagai sasterawan membenarkan kami menulis tentang apa saja tanpa sebarang gangguan. Conscience kami hanya kepada sanubari kami, tidak kepada yang lain.  Tidak juga kepada pembaca kami, sama ada pembaca itu sarjana, pengkritik, atau manusia yang tahu membaca. Itulah definisi sasterawan dan kandungan yang menjadi tanggungjawab kami untuk dimasukkan ke dalam karya kami.”

Dengan definisi itu, maka berjalanlah gerakan untuk memilih “sasterawan negara” yang memenuhi syarat yang disebut oleh mereka seperti di atas. Semua syarat di atas sudah dilaksanakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, dengan itu tidak timbul persoalan sama ada pilihan itu tepat atau tidak. Dari segi logik dan kemunasabahan, semua yang terpilih sudah jelas memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh para sasterawan sendiri, seperti di atas. Oleh itu tidak timbul  sama sekali kemusykilan tentang kelayakan mereka, kerana semua syarat dipastikan memenuhi ukuran yang sesuai dengan mereka. Demikianlah lahirnya gelaran sasterawan negara itu. Saya tidak pasti berapa ramai di antara rakyat Malaysia yang sedar akan kepalsuan ini, tetapi yang pasti saya seorang saja yang dermakan satu ringgit sebagai protes. Derma itu memberi isyarat kepada  orang-orang cerdik Malaysia supaya mereka tidak berasa terlalu diperlekehkan, dengan terdapatnya sekurang-kurangnya satu orang yang menolak secara total kepalsuan pretensi intelektual yang begitu murah.

Mengapa konsep (atau panggil saja ungkapan) pretensi intelektual ini penting dalam kritikan sastera Melayu?  Konsep ini penting kerana dua sebab. Pertama kerana kepalsuan yang diterima sebagai sesuatu yang betul. Kedua, kerana konsep itu meletakkan para sarjana dan sasterawan pada suatu kedudukan yang melenakan mereka, yang kemudiannya membuat mereka terkejut besar apabila mereka sedar mereka sedang memakai baju kertas yang dijentik pun akan koyak rabak. Mereka mewarisi mentaliti Pak Kadok, bersorak kerana kononnya menang  menggunakan ayam tambatan dari luar yang bukan kepunyaan mereka, dan tiba-tiba menjadi amat kecewa bila ayam terlepas, tangan berbau tahi (ayam).  Anda patut baca berkali-kali seloka “Sarjana Ciritan” dalam Balai Maqamat, kerana seloka itu menggambarkan makna yang mendalam tentang konsep pretensi intelektual itu.

Anda mungkin menghadapi masalah untuk memahami aspek lucu yang serius dalam kritikan sastera Melayu, kerana anda tidak mengikutinya sejak awal. Saya yang mengikutinya sajak awal, berasa amat kasihan kepada budak-budak sekolah dan sarjana yang baru lahir yang tanpa mereka sedari, mereka pun terikut-ikut berlagak dalam dunia fantasi akademik dengan sombong pula menayangkan pretensi intelektual mereka pula. Lama dahulu, saya pernah mengkritik Baha Zain yang menulis pendahuluan kepada kumpulan sajak Latiff Mohidin, menggunakan perkataan yang bombastik dan pujian yang melampau ketika membaca sajak-sajak Latiff Mohidin.  Ketika itu Baha Zain yang marah dan kecewa, menggunakan peluang yang ada padanya untuk menyerang peribadi saya. Walaupun perkataannya kasar dan sangat tidak pantas diucapkan oleh seorang intelektual yang begitu dihormati, saya tertawa melihat kemarahannya itu, yang dengan bijak sekali disokong oleh Rahman Shaari, sebagai peminat Baha Zain yang agak taksub. Biarlah beliau ceritakan sendiri peristiwa ini. Maksud saya menimbulkan cerita lucu dan lucah ini untuk memberitahu anda semua betapa benarnya pemerhatian kritis saya 50 tahun dulu, yang masih diteruskan oleh Baha Zain hingga waktu ini. Biarlah saya berikan satu contoh, yang sudah saya sebut sebenarnya dalam blog ini, tetapi perlu diulang di sini kerana nada pretensi intelektual itu masih pekat, seperti pekatnya retorik teh tarik beliau. Dalam satu pertemuan para penulis muda di Johor tahun 2005, beliau diberi amanah untuk memberi ucap utama, key note address, kepada pertemuan itu. Banyaklah cerita beliau, tetapi kesimpulan beliaulah yang menarik perhatian saya, yang membenarkan “teori” (maaf kerana pakai perkataan teori di sini!) tentang pretensi intelektual itu. Inilah kata-kata hikmat Baha Zain untuk anak-anak muda yang ingin atau sudah menjadi penulis:

“Meskipun penulis berada di luar lingkaran kekuasaan politik yang menentukan arah dan perkembangan kebudayaan negara, sumbangan penulis sangatlah penting untuk menghidupkan dinamika persuratan itu sendiri. Justeru itu, dia harus faham dan hormat akan tugas serta tanggungjawabnya sebagai penulis kreatif; mempunyai idea yang baik serta imaginatif bagi memperluas pengalaman dan fikiran pembaca. Tulisannya memperkaya budaya estetik dan intelektual, dan membijaksanakan masyarakatnya. Dia bukan pemikir konvensional, dia mampu memberikan idea alternatif di samping memiliki keberanian untuk menyatakan apa yang diyakininya. Jadi, penulis percaya pada kepentingan peranannya dan berusaha menyumbangkan karya serta fikirannya dalam pelbagai keadaan. Dia bukan apologis, pembela yang pragmatik dan licik; bukan juga untuk mendewakan tokoh tertentu;  penulis itu kritis-kreatif yang faham akan risiko panggilan hidupnya. Menulis bukanlah kerja main-main dan untuk bermegah-megah, tetapi adalah suatu amanah. Hanya dengan pegangan yang sedemikian baharulah masyarakat hormat akan penulis, dan penulis dapat meningkatkan martabat persuratannya. Inilah cabaran besar yang memanggil Penulis Muda Nasional: iaitu memartabatkan dirinya, memartabatkan BM dan memartabatkan PM.” (Memartabatkan Persuratan Melayu: Ucap Utama Baha Zain, pada perhimpunan Penulis Muda Nasional, 3-6 Jun 2005, Kukup Golf Resort & Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor. Kuala Lumpur: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), 2005; halaman 42-43.)

Ya. Bagus. Penulis muda akan terlena mendengarnya, leka dalam retorik teh tarik yang mempesonakan emosi mereka.  Hanyut dibawa pretensi intelektual yang berayun dalam alunan ombak retorik peragaan tentang peranan dan amanah para penulis muda (hairan mengapa penulis tua, seperti umpamanya sasterawan negara, dikecualikan) yang dibumbui fatamorgana bahasa yang amat tinggi nilai estetiknya, tetapi tetap fatamorgana realitinya. Apakah yang diceritakan oleh kutipan ini? Inilah contoh idle talk yang dikritik oleh Martin Heidegger, yang kemudiannya dijadikan bullshit oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit (2005). Bagaimanakah anda, wahai penulis muda, akan menunaikan amanah itu, jika anda tidak tahu makna amanah dan orang yang meminta anda melaksanakan amanah itu pun tidak tahu makna amanah, oleh itu beliau sendiri tidak amanah kerana cuba bermain dan mempermainkan konsep amanah yang telah ditolak oleh gunung, langit dan bumi kerana beratnya tanggungan amanah itu. Amanah itu dalam dirimu, wahai manusia, ialah taklif. Itulah yang membuat kamu menjadi manusia dan berhak dipanggil manusia, makhluk yang berfikir tetapi sering terlupa akan amanah itu, seperti yang berlaku ke atas penyampai amanah sendiri, Baha Zain. Cara Baha Zain bermain-main dan mempermainkan konsep amanah mengherankan saya, kerana dia tahu konsep taklif dan dia pernah menulis sajak tentang azan, yang mendengungkan dengan lantang makna taklif dalam kehidupan manusia berakal dan beriman. Sungguh hairan! Kini anda nampak kepalsuan pretensi intelektual yang hanya mempesonakan anda jika anda tidak tahu apa-apa tentang pretensi intelektual ini. Demikianlah pentingnya difahami konsep pretensi intelektual ini.

Jika itulah kedudukannya, maka apakah yang dapat diharap oleh para penulis muda? Mereka tetap berada dalam kekeliruan tentang konsep ilmu yang sedikit pun tidak menarik minat Baha Zain sejak dulu hingga kini. Dia ingin dikenali sebagai jaguh serba tahu dan serba boleh, seorang yang disenangi oleh semua orang. Mana komitmen beliau terhadap ilmu yang benar? Apakah risiko yang ditakutinya hingga dia terus berdolak-dalik dalam isu ini? Jika kehadiran gagasan Persuratan Baru menghalang beliau untuk menerima konsep ilmu yang benar, maka beliau boleh terus menentang Persuratan Baru hingga ke akhir hayat, jika itulah komitmen beliau dalam dunia ilmu yang beliau fahami. Tetapi jangan kelirukan anak muda dengan sentimen kamu terhadap ilmu. Dengan tiadanya komitmen terhadap peranan ilmu yang benar dalam kritikan dan kreativiti, maka usaha beliau memanggil penulis muda supaya komited adalah sia-sia, malah akan mengelirukan lagi para penulis muda yang memang tetap ragu-ragu akan peranan ilmu yang benar dalam perkembangan tamadun. Kata mereka, apa perlunya konsep ilmu yang benar, jika Barat menjadi lebih maju dan begitu kuat dengan menolak konsep ilmu dalam Islam? Tidakkah teori sastera Barat menguasai ilmu sastera dunia kerana menolak konsep ilmu yang difahami dalam Islam? Apakah jawapan dan penyelesaian Baha Zain terhadap pertanyaan biadab anak-anak muda ini? Tentulah sangat aneh jika beliau akhirnya termangu-mangu kehairanan bagaimana wawasan intelektual beliau menjadi buntu, kelu dan bisu apabila dihadapkan dengan realiti pandirisme yang sedang mencengkam dunia sastera Malaysia? Jalan keluar sebenarnya sudah diberikan, tetapi kerana begitu mendalam terhunjam keangkuhan intelektual puak-puak ini, maka jalan  keluar itu diremehkan; dan mereka berasa sangat bangga terus berada dalam kekeliruan seperti yang mereka sedang berada sekarang. Inilah bentuk kemajuan yang ingin mereka capai, yang menurut mereka telah pun dicapai oleh semua sasterawan negara.

Dalam konteks inilah penting dibawa ke dalam perbincangan ini pandangan ahli falsafah Jerman, Martin Heidegger.  Tokoh ini telah diterima sebagai ahli falsafah terbesar abad 20 di Barat; tetapi ditolak bulat-bulat oleh ahli falsafah Inggeris yang menganggap beliau seorang gila yang mabuk dalam kata-kata rekaannya sendiri. Mengapa anggapan ini berlaku cukup mudah: kerana tiada ahli falsafah Inggeris yang sampai ke tahap Martin Heidegger dari segi pemikiran; menurut mereka Ludwig Wittgenstein, yang juga menulis dalam bahasa Jerman, lebih besar daripada Heidegger dan berhak mendapat kedudukan itu, kerana pernah menjadi ahli falsafah di universiti terkenal di England dan sahabat baik B. Russell. Kedua-dua ahli falsafah ini memberikan sumbangan besar dalam kritikan sastera Barat: Heidegger mempengaruhi Derrida  yang membina teori dekonstruksi;  Wittgenstein melalui teori bahasa/linguistik, the language games and family resemblances, mempengaruhi Morris Weitz yang menggunakan teori beliau dalam kritikan sastera, dengan makalah beliau yang terkenal, “Reasons in Criticism” (dalam Problems in Aesthetics, ed. Morris Weitz; juga dimuat dalam bukunya, Hamlet and the Philosophy of Literary Criticism, Part 2.)  Bagi tujuan makalah ini, konsep idle talk yang dikemukakan oleh Martin Heidegger adalah penting, terutama sekali dalam konteks pretensi intelektual yang menjadi gaya para sarjana dan pengkritik sastera Malaysia. Penjelasan tentang konsep ini telah diberikan dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, hal. 46-50. Huraian yang diberi di situ rasanya mencukupi untuk difahami. Bagi yang berminat, sila rujuk buku Stephen Mulhall, Heidegger and Being and Time dalam siri “Routledge Philosophy Guidebook”, dan Hubert L. Dreyfus, Being-in-the-World: A commentary on Heidegger’s Being and Time, Division I. Buku ini disemak setiap tahun dalam masa 20 tahun untuk memastikan kandungannya tidak menyeleweng daripada yang dimaksudkan oleh Heidegger dalam bukunya, satu usaha yang gigih yang hanya boleh berlaku dalam dunia akademik Barat.

Mengapa idle talk penting dalam kritikan sastera Melayu? Mudah saja, kerana kritikan sastera Melayu memang ditulis dalam gaya idle talk yang kaya dengan retorik teh tarik, atau pretensi intelektual yang diiringi fatamorgana bahasa. Melalui gaya inilah karya Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan dan Baha Zain diisytiharkan sebagai karya intelektual yang kaya dengan pemikiran unggul. Tetapi semua ini telah ditolak dalam pos bertajuk, “Keunggulan yang Cacat”, bertarikh 28/10/2014. Sila lihat di sana untuk penjelasan lanjut. Inilah gaya Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Seperti yang ditegaskan berkali-kali dalam blog ini dalam tulisan yang lain, kehadiran idle talk dalam kritikan sastera Malaysia melahirkan budaya pandirisme yang telah diangkat menjadi budaya arus perdana. Inilah punca kesilapan dalam penilaian yang berlaku sewenang-wenangnya dalam kritikan sastera Malaysia. Kritikan sastera Malaysia kaya dengan penghujahan bertaraf bullshit seperti yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt dalam bukunya, On Bullshit. Saya sendiri telah menghuraikan masalah ini dalam sebuah kertas kerja yang panjang, “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis” (Seminar: Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Arah Perkembangan Sastera Kebangsaan, Dewan Seminar, Tingkat 2, Dewan Bahasa dan Pustaka, 25 Mei 2006).

Kesimpulan:

Apakah kemajuan yang telah kita capai dengan munculnya sasterawan negara?  Tidak ada kemajuan. Karya-karya yang diulas oleh Panel adalah karya-karya lama. Mengenai karya baru, nampaknya Panel telah membuat pilihan yang salah, kerana selepas diberi anugerah, sasterawan negara ini tidak menghasilkan karya yang lebih baik. Malah dalam kes Shahnon Ahmad, karya-karya selepas bergelar sasterawan negara sama atau lebih rendah kualitinya daripada yang terbit sebelum diberi anugerah. Untuk Baha Zain, satu perkara yang sangat aneh yang memerlukan penjelasan sekretariat Anugerah ialah mengapa anugerah kepada Baha Zain dilewatkan  begitu lama? Padahal  beliau telah layak 30 tahun dulu lagi, jadi mengapa hanya baru sekarang diberi kelayakan itu. Seolah-olah pemilihan beliau dipengaruhi Mutual Admiration Club yang sangat aktif sekarang, selepas anugerah sastera diwujudkan.  Sukar hendak dipercayai Baha Zain memerlukan masa 30 tahun untuk diselidik sebelum keputusan dibuat, satu jangka masa yang sangat lama, seolah-olah pemilihan beliau ada kaitannya dengan politik sastera yang menjadi tajuk ucapan penerimaan Keris Mas. Sepatutnya perkara ini tidak wajar ditimbulkan, tetapi tidak dapat dielakkan bahawa kesangsian itu membuktikan anugerah ini tidak diberikan kerana kelayakan kreatif dan intelektual, tetapi kerana berkaitan dengan lingkungan dan persekitaran tertentu yang mempengaruhi pemilihan. Ini telah terjadi kepada Shahnon Ahmad, yang mengetepikan Usman Awang, yang diberi peluang tahun berikutnya. Kini tidak ada lagi calon lelaki yang layak,  kecuali beberapa orang calon wanita yang nampaknya terus menerus disisihkan, padahal kelayakan bukanlah unsur utama dalam pemilihan, jika dilihat dari pemilihan yang lepas-lepas. Semua ini kesan daripada politik sastera yang menjadi tema ucapan penerimaan Keris Mas.

Ini memberi  kita satu kesimpulan yang sangat penting, iaitu perihal gagalnya Panel Anugerah Sastera Negara memberi arah yang betul dalam kritikan dan penilaian karya sastera; dengan itu kewujudan Panel itu dan pemilihan sasterawan negara oleh mereka hanya sejenis sandiwara, dalam konteks family resemblance yang diutarakan oleh Ludwig Wittgenstein. Oleh itu tidaklah terlalu menghampakan, kerana sekurang-kurangnya kita dapat mengaitkan anugerah ini dengan salah seorang tokoh besar falsafah dunia. Kita harus berbangga kerananya.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 5/11/2014.








Sunday, November 2, 2014

KESILAPAN MEMALUKAN YANG PERLU DIHAPUSKAN



Nampaknya para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia tiada pilihan melainkan menerima dengan baik kritikan saya terhadap kemunculan gelaran baru yang memalukan kita semua, “Sasterawan Negara”.  Anda semua belum berupaya menafikan kesimpulan  Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972), yang menegaskan dengan lantang dan cukup dengan analisis yang dibarengi hujah dan bukti yang kuat, bahawa golongan sasterawan itu golongan pinggiran yang “cetek mera-raba” yang dinilai oleh “mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu” (ha. 55).  Laporan Panel Anugerah Sastera Negara membuktikan betapa tepatnya kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu, seperti yang saya bahaskan dalam banyak tulisan di blog ini. Kekeliruan dan kelesuan “pemikiran” para sasterawan negara menunjukkan hanya satu perkara: betapa sia-sianya pemilihan sasterawan negara ini yang pada keseluruhannya merugikan masyarakat kerana sumbangan mereka dalam pemikiran terlalu kecil, atau tidak signifikan sama sekali.  Dalam peribahasa Melayu, indah khabar dari rupa; atau satu peribahasa yang amat digemari dalam cerita-cerita lama, hikayat Melayu misalnya: cakap berdegar-degar, tahi lekat di gelegar!

Dalam budaya Melayu, perbezaan pandangan tidak digalakkan,  apatah lagi diraikan. Walaupun di kalangan sarjana yang bangga memeluk teori sastera Barat dan beribu kali bercakap tentang dialogic imagination, deconstruction, new historicism dan sebagainya, yang di Barat lahir dari intellectual dialogues yang sengit, para pemeluk teori sastera Barat di Malaysia boleh dikatakan anti-dialog dan anti-perbahasan kritis. Penulis yang kritis ditohmah mereka sebagai biadab, tidak beretika, sentiment, ego, angkuh dan sebagainya, oleh itu tidak perlu dilayan dan biarlah anjing menyalak bukit. Dengan sikap akademik yang terbuka begini untuk mengutuk orang-orang yang tidak bersetuju dengan mereka, maka sastera Melayu menjadi lesu dari segi pemikiran, bertambah keliru dalam membuat penilaian kerana tidak berasaskan konsep ilmu yang benar, dan terlalu angkuh berlindung di bawah payung Mutual Admiration Club, kerana mereka ini sebenarnya tidak menguasai dengan mendalam teori yang mereka tiru dan cedok itu. Di antara “teori” yang paling terkenal (?) di Malaysia dan kononnya (mengikut dakwaan tuannya sendiri) banyak (?) digunakan ialah teksdealisme, hampir seratus peratus dicedok daripada idea Harold Bloom, termasuk segala konsep dan istilah  yang dipakai sarjana itu. Orang pertama yang menyedari kepalsuan sarjana ini ialah seorang yang memakai nama K. B. Tan, yang menulis di ruangan “Reaksi” dalam Dewan Sastera 1998,  memakai judul “Antara Ilmu dan Retorik Kosong”. Dalam tulisan itu disenaraikan sejumlah kata-kata, konsep, istilah dan sebagainya yang digunakan dalam teksdealisme, yang memang menyerlahkan penciplakan idea daripada Harold Bloom. Kita akan dedahkan seterusnya buku-buku mana  yang dicedok ideanya, dan apakah istilah yang dikutip dengan ghairahnya dalam tabiat buruk retorik peragaan dan sikap infantile dalam praktik pretensi intelektual yang kosong, tetapi kaya dengan segala pendapat bercorak bullshit (menggunakan istilah Prof. Harry G. Frankfurt yang terkenal itu). Seorang sarjana sastera Inggeris yang fasih bahasa Inggeris dan mendalam pengetahuannya dalam teori sastera Barat, dalam bukunya  Reading Approaches in Malay Literature (UKM 2010) tidak menyebut teksdealisme bersumber daripada karya Harold Bloom, walaupun beliau tahu! Saya maksudkan Prof. Dr. Zawiah Yahya, yang dalam tulisannya ingin menghumban semua teori Barat ke dalam laut!  Mengapa beliau bersikap sekeras itu tidak jelas bagi saya, walaupun beliau ada mengatakan kita mesti membina teori kita sendiri yang bebas dari pengaruh Barat. Adakah teksdealisme bebas dari pengaruh Barat? Hingga sekarang belum ada lagi sebarang usaha beliau untuk mewujudkan teori yang beliau maksudkan itu. Sebaliknya, beliau adalah salah seorang ahli Panel Anugerah Sastera Negara yang amat selesa menggunakan teori sastera Barat dan memakai ukuran sastera Barat dalam penilaian karya para sasterawan negara.  Adakah sarjana seperti beliau, termasuk Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, hanya bermain sandiwara?  Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh terang-terang mengatakan penggunaan teori Barat adalah salah; tetapi beliau mahu karya beliau sendiri dinilai mengikut teori sastera Barat, menggunakan ukuran dari nilai-nilai Barat. Apakah tafsiran yang boleh kita berikan terhadap sikap begini? Bagi saya inilah bukti betapa tepatnya kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya itu, tentang kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba.” Inilah pencapaian akademik paling tinggi para sarjana kita, yang kemudiannya menilai para sasterawan negara. Dalam cerita pendek saya, Pak Pandir pun tidak mahu ketawa membaca episod ini, kerana dia juga berasa bangga mempunyai cerdik pandai bangsanya, kerana dia sendiri sangat insaf akan kebodohannya. Tetapi kebodohan itulah yang melahirkan falsafah pandirisme, yang dengan tepat menggambarkan kedudukan kebudayaan Melayu moden, terutama sekali dalam bidang sastera modennya. Dirgahayu Pak Pandir yang mengilhamkan falsafah pandirisme itu. Kini konsep bullshit yang diperkenalkan oleh Prof. Harry G. Frankfurt di Amerika Syarikat mendapat teman, atau saingan, dalam falsafah pandirisme yang diilhamkan oleh Pak Pandir, intelektual Melayu pertama yang kemudiannya melahirkan cucunya yang terkenal, Polan Cupan, ahli sains seni bina dan pemikir Melayu terulung. Sayangnya mereka tidak layak menganggotai Panel Anugerah Sastera Negara, walaupun dari segi kemampuan intelektual mereka jauh lebih superior daripada anggota panel yang pernah menjadi anggota dan yang masih menjadi anggota Panel. Pendirian saya sendiri dalam persoalan pengaruh Barat ini saya pernah jelaskan dalam makalah berjudul, “Konsep Ilmu Dalam Kritikan Sastera” (Mastika, Oktober 1991, hal. 21-24). Dalam tulisan itu, saya tegaskan begini: “Kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya; tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu.” (hal. 24).

Sudah jelas yang kita perlukan pada waktu ini, dan menggunakannya, ialah satu kaedah analisis dan penilaian yang dapat melihat dengan jelas kepalsuan yang sedang kita bina dengan gigih dengan memperkenalkan manusia yang cetek meraba-raba itu sebagai “sasterawan negara”, yang dinilai oleh mereka yang berada di pinggiran kebudayaan Melayu dan kebudayaan Barat yang mereka pegang, iaitu kumpulan pinggiran yang tidak dapat membezakan yang benar dari yang palsu.  Semua ini tertera jelas dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Tetapi kerana kaedah analisis dan penilaian yang kita pakai selama ini gagal untuk mengenal pasti kepalsuan penilaian itu, maka kita telah terseret ke dalam lembah kekeliruan, dengan mengajak semua orang mengikut mereka ke dalam lembah itu. Pengalaman dan pandangan mereka yang berada di dalam lembah tidak sama dengan pengalaman mereka yang berada di atas gunung, atau paling kurang yang berada di atas muka bumi tempat manusia membangunkan tamadunnya.  Saya tidak perlu mengulas satu persatu pengalaman dan pandangan dari lembah kekeliruan ini, kerana tertera dengan jelas dalam semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Sebahagian daripadanya saya sebut dalam tulisan berjudul “Keunggulan Yang Cacat” yang disiarkan dalam blog ini.

Mengapa kita membiarkan perkara ini begitu lama, dengan memperkukuhkannya pula dengan melantik “sasterawan negara” padahal mereka terdiri daripada  kumpulan pinggiran baik dalam budaya kita sendiri, mahu pun dalam budaya Barat yang mereka tiru dan sanjung.  Inilah kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya (1972) di Universiti Kebangsaan Malaysia:

“Di Malaysia tiada terdengar langsung apa-apa pembicaraan yang menyelami masalah-masalah kebudayaan. Menurut hemat saya, unsur-unsur baru yang telah timbul dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia yang boleh dikatakan membayangkan kesan kebudayaan Barat adalah sebenarnya mendakyahkan suatu pandangan hidup yang mengutamakan nilai tragedi, nilai kesengsaraan dalam lakonan hidup insan. Dalam kebudayaan Barat sejak zaman Purbakala, tragedi mengambil peranan besar dalam mitos, dan kemudian dalam menilai luhurnya watak keperwiraan dalam sesuatu lakonan. Dari Oedipus ciptaan Sophocles; dari Hamlet dan Macbeth dan lain-lain ciptaan Shakespeare; dari Faust ciptaan Goethe, dan seterusnya hingga Sisyphus rekaan Camus, terus mengalir darah dan keluih-kesah tragedi, berulang-ulang menjelma merangkap abad beribu tahun. Justeru sesungguhnya pandangan hidup yang berdasarkan nilai demikian bukanlah baru, akan tetapi memang menepati bawaan jiwa Barat dan kebudayaannya; membayangkan tragedi yang senantiasa dialami oleh  jiwa Barat yang sejak zaman purbakala lagi tiada mengenal iman; yang sejak zaman purbakala lagi asyik berpandu kepada keraguan dan falsafah sebagai punca menuntut Kebenaran; yang dari itu terkecewa dalam pengalamannya beragama; yang seolah-olah dikutuk supaya terus mencari Kebenaran yang tiada dicapainya – yang tiada dapat dan tiada akan dapat dicapainya. Nasibnya demikian laksana nasib dewa Prometheus yang buta terbelenggu terseksa pada batu tunggal di tengah lautan!  Dan segala nilai kebudayaan Barat, segala konsep utama mengenai kehidupan, segala hasrat – dalam agama, falsafah, kesusilaan, dan kesenian – mengandung jiwa tragedi. Renungan mengenai perwatakan dalam sesuatu lakonan, novel, cerita pendek, berpunca kepada tragedi kehidupan semesta. Kerana kehidupan pendek,  kerana dunia tiada kekal, kerana akhirat luput, kerana dalam pengetahuan demikian masih tetap juga asyik melulu kepada kehidupan dunia, maka timbul dalam jiwa ketegangan dan kesunyian mahadahsyat, sedih pilu mengenangkan nasib insan yang terbelenggu pada dunianya, yang riwayat akhirnya diselubungi kegelitaan mahahebat.” (Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, hal. 54).

Inilah gambaran yang begitu tepat mencirikan karya sasterawan negara yang diberi kedudukan istimewa dalam kebudayaan Melayu yang hanyut dalam nilai-nilai Barat itu. Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka memuji tinggi karya para sasterawan negara yang demikian sifatnya, yang bercerita tentang tragedi petani Melayu atau penglipur lara yang berserah kepada nasib malang dan para sasterawan dengan bangga mensensasikan kehidupan yang kosong  hampa itu. Inilah watak yang mendapat pujian dan sanjungan para penilai dan yang menjadi kemegahan para sasterawan sendiri. Sekadar memberi sedikit gambaran untuk membantu anda memahami kemelut yang dihadapi oleh sasterawan yang “cetek meraba-raba” dan para penilai “yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”, perhatikan contoh-contoh ini:  

“Hari-hari Terakhir Seorang Seniman  mengisahkan seorang penglipur lara tradisional yang dilanda berbagai-bagai tragedi dalam keluarganya: … dan hakisan terhadap fungsi seni tradisional dalam sebuah masyarakat yang mula mengalih perhatiannya kepada radio. … Arus pula membawa kisah permusuhan antara seorang pawang buaya … dengan seorang lebai yang mengkafirkannya. … Kedua-dua watak seni tradisional ini gagal mempertahankan seninya dan akhirnya menemui maut dalam keadaan yang tragik.  Jika wujud pun kelainan dari segi tema dengan karya-karya semasa yang lain, mungkin hal ini dimanifestasikan dalam bentuk perjuangan yang sedikit berbeza. Konsep perjuangan yang diutarakan oleh Anwar Ridhwan bukan pergelutan  politik, tetapi perjuangan untuk menghidupkan kembali dan memartabatkan budaya tradisional yang mula disisihkan.”  (hal. 35, Laporan 2009).

Kedua-dua buah novel ini diiktiraf oleh Panel sebagai novel intelektual, novel pemikiran. Perbuatan Panel “membacakan” sesuatu yang tidak terdapat di dalam teks merupakan tabiat biasa dalam laporan Panel, dengan kepercayaan bahawa  pembaca akan menerima apa saja yang diperkatakan oleh Panel. Sebaik saja pandangan Panel dianalisis, maka terpampang  pembohongan intelektual yang begitu ketara, kerana sesungguhnya dua orang watak ini sangat lemah dan bodoh, tidak mungkin mereka diberi taraf pejuang seni. Kedua watak ini disensasikan begitu rupa untuk menjadikan mereka watak yang tragik, dengan itu diharapkan akan mendapat simpati pembaca. Sila baca dengan kritis “Keunggulan Yang Cacat” untuk mendapat gambaran sebenar tentang novel picisan ini. Kita lihat kutipan daripada Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas seterusnya untuk memahami mengapa pembohongan akademik ini terjadi. Kata Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas seterusnya:

“Pandangan hidup demikian, sedikit demi sedikit dengan tiada disedari telah mula mendekati jiwa yang disebut ‘baru’ tadi itu. Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan Barat dan sifat-sifat asasi kebudayaan sendiri; orang-orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas, tiada mendalam. Penganut-penganut golongan ini pun mereka yang terkeliru, yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguh pun terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahu pun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai-nilai kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu.”

“Bahawa sesungguhnya, kesusasteraan Melayu-Indonesia yang disebut ‘baru’ atau ‘moden’ itu belum cukup dewasa bagi diberi gelaran ‘kesusasteraan’ sebab belum dapat merangkum seluruh bidang kebudayaan yang mencerminkan jiwa dan hasrat masyarakat Melayu-Indonesia; belum berdaya merantau ke alam falsafah dan agama, ke alam fikiran luhur; belum menyelami lautan rasa-cita masyarakat seluruhnya; belum mengenal sentuhan rohaniah pada kecapi kalbunya. Yang ‘baru’ atau ‘moden’ itu hanya baru sedang menguji sayap dalam bidang sajak,  cerita pendek, dan novel. Bentuk luarnya sahaja tampak baru, akan tetapi yang sebenarnya baru dalam sejarah kebudayaan itu tiada hanya tampak baru pada bentuk luar belaka, kerana bentuk luar bukan syarat yang sah bagi penilaian pembaharuan.

“Jiwa ‘baru’ yang kononnya terbayang dalam kesusasteraan kita sekarang, pada pendapat saya ditinjau dari segi falsafah, tiada selaras dengan sifat persendirian bangsa dan kebudayaan kita yang berdasarkan kebudayaan Islam. Maka dari itu yang kononnya ‘baru’ inilah yang membahayakan, yang ‘baru’ inilah yang mengandung nilai-nilai bibit kekeliruan yang membawa kepada mewujudkan satu masyarakat perpinggiran, yang tiada akan dapat merangkum hasrat Timur mahupun Barat; yang tiada dapat menyelami jiwa ketimuran mahupun kebaratan; yang cetek meraba-raba. Dan bukan yang demikian laku yang akan dapat memimpin ke arah nasib gemilang masa hadapan, menetapkan dengan teguh bentuk-corak sejarah kemudian hari bagi membela bangsa dan sifat persendirian bangsa itu. …” (hal. 54-56).

Kutipan pajang ini penting kerana di sini dijelaskan dengan mendalam, tepat dan jelas sifat sebenar kesusasteraan Melayu moden yang dihasilkan oleh para sasterawan, sehingga tidak mungkin mereka diberi gelaran “sasterawan negara” jikalau kita benar-benar faham akan kedudukan mereka dan sumbangan mereka dalam pembinaan tamadun bangsa kita. Perbuatan yang gopoh dan tidak bertanggungjawab memberi gelaran “sasterawan negara” kepada beberapa orang sasterawan yang tidak layak ini adalah merupakan satu keaiban intelektual yang sepatutnya tidak berlaku jika sekiranya kita faham akan kedudukan mereka ini sebagai golongan yang cetek meraba-raba itu.

Syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, adalah sebuah dokumen penting dalam kritikan kesusasteraan Melayu moden, yang sekian lama diabaikan padahal inilah sumbangan paling penting dalam sejarah dan praktik kritikan kesusasteraan Melayu moden, yang mendalam analisisnya dan kejap kukuh penghujahannya. Tetapi seperti yang dirumuskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sendiri, oleh sebab sastera Melayu itu dinilai oleh golongan pinggiran yang cetek meraba-raba, terdiri dari mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu, maka dokumen ini seolah-olah diharamkan daripada dibahaskan dengan terperinci dalam kuliah kesusasteraan Melayu moden. Sikap inilah yang mencirikan budaya pandirisme, yang kini menjadi pegangan yang  begitu kukuh di kalangan para sarjana dan sasterawan Malaysia.  Budaya pandirisme inilah yang menjadi asas penilaian yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, yang tujuan matlamatnya hanya satu, untuk memitoskan para sasterawan negara sehingga kelihatan kehebatan palsu mereka melalui retorik peragaan yang diiringi dengan fatamorgana bahasa yang bombastik, yang setiap penilaian palsu itu gugur bertaburan sebaik saja dikenakan ujian berasaskan konsep ilmu yang benar. Pemitosan para sasterawan negara ini akhirnya menjadi jenayah akademik yang amat memalukan apabila sasterawan negara  yang ditakdiskan itu menyerlahkan wajah sebenar mereka jika ujian berasaskan konsep ilmu yang benar dikenakan ke atas mereka, yang sekali gus mendedahkan wajah sebenar laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang penuh dengan ciri-ciri keaiban intelektual apabila setiap hujah mereka gugur bertaburan seperti manik perempuan Iban yang disentap putus talinya. 

Apakah pilihan kita? Sejak tahun 1981 lagi saya telah menolak kepalsuan ini, dengan harga satu ringgit tunai yang saya dermakan kepada Sekretariat Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam pasaran wang yang ada sekarang (tahun 2014 bulan November), satu ringgit dalam tahun 1981 itu kini sudah menjadi paling besar hanya 30 sen sahaja!  Dalam istilah kritikan sastera dulu-dulu, novel picisan itu dipanggil demikian kerana harganya hanya dua atau tiga kupang saja. Tetapi dalam perkembangan sekarang, yang digalakkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara kerana kelainannya, novel picisan yang sangat maju sekarang (termasuk novel picisan Islami) sama mahalnya dengan Edisi Khas Sasterawan Negara, yang  diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka;  manakala sajak-sajak kontot yang dikritik oleh SN Shahnon Ahmad, diterbitkan oleh ITBM sebagai edisi istimewa khas sasterawan negara, berharga tidak kurang dari RM250.00 sebuah. Siapa kata yang picisan itu tidak berharga? Inilah perubahan dan kelainan yang amat disanjung oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Mereka telah berjaya!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 November 2014.