Saturday, September 8, 2012

MENGHADAPI KERUGIAN YANG SENGAJA DIUSAHAKAN


Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera akan terus berada dalam kerugian besar jika mereka terus meremehkan pentingnya peranan ilmu yang benar dalam penulisan yang bersifat kreatif mahupun yang bersifat akademik.  Dalam beberapa posting yang lalu, persoalan ini telah dibahaskan dengan memberi penekanan kepada kesan negatif dan merugikan jika aspek ilmu ini tidak diberi perhatian utama. Kesan pertama ialah kecelaruan kognitif (cognitive dissonance); yang kemudiannya melahirkan kekeliruan estetik (aesthetic confusion). Contoh kecelaruan kognitif ini dapat dilihat dengan jelas dalam kontradiksi penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dengan contoh terbaik dapat dibaca dalam Laporan 1985, Laporan 1991, Laporan 2009, dan Laporan 2012. Contoh-contoh kecelaruan kognitif telah diberi dan dibincangkan dalam beberapa posting yang lepas. Lihat terutama sekali posting bertarikh 21/2/2011 dan 12/3/2011; lihat juga posting bertarikh 14 Jun, 2012; 19 Mei, 2012; dan 8 Julai, 2012.

Laporan 2012 adalah contoh terbaik, paling jelas, tentang kekeliruan estetik. Perhatikan contoh ini: “Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam” (Laporan 2012, hal. 20). Satu lagi: “Kemala ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa kini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani” (hal. 21). Seterusnya satu lagi: “Wajar dicatatkan bahawa kejayaan Kemala dalam menghasilkan puisi yang bernafaskan cinta dan kerinduan mistikal mungkin tidak direka-reka. Ia mungkin banyak disebabkasn oleh kecenderungan kerohanian penyair sendiri dan oleh upaya pembersihan jiwa yang dijalankannya. ... Ini semua menjadikan puisinya tulen, sesuatu yang sukar dicapai pada zaman moden yang amat cemburukan amalan kerohanian” (hal. 17). Tentu saja pujian ini sangat hebat dan benar-benar menjentik keinginan kita untuk mengetahui betul tidaknya, tepat tidaknya pujian yang tinggi ini dengan karya pensajak istimewa ini. Hampir tidak ada contoh yang “menyeronokkan” yang diberikan di dalam laporan, kecuali dua buah sajak di halaman 16 dan 17. Sekiranya anda membaca sajak-sajak ini dengan kritis, anda tidak bertemu apa-apa yang istimewa, kecuali permainan kata yang bersifat egois yang bombastik. Misalnya: “Akulah laut/ Gadis cantik tidur di peraduannya/ Sisik-sisik riak di tubuhku/ Lukisan detik dan tarian angin/ Bersatu di gemersik  ingin/ Saujana ketenangan ini. ... Apakah yang mistikal dan spiritual dalam gambaran bombastik ini? Bandingkan dengan gambaran waktu senja dalam sanjak Amir Hamzah, “Berdiri Aku.” Pasti anda akan melihat kekerdilan sajak Kemala ini dibandingkan dengan sanjak Amir Hamzah. Contoh di halaman 16 laporan pun biasa saja, tidak lebih dari permainan kata-kata yang amat ketara dibuat-buat, bukan lahir dari tekanan kerohanian tulen yang memerlukan ekspresi khusus seperti dalam sajak “Doa” oleh Chairil Anwar.  Inilah kekeliruan (dan seterusnya kecelaruan) estetik yang dimaksudkan: pujian dari segi estetik amat tinggi; tetapi buktinya tidak terdapat dalam sajak yang dipilih. Sudah jelas para penilai ini menghadapi kecelaruan kognitif yang teruk, tidak dapat memadankan pujian dengan bukti yang dikemukakan (lebih-lebih lagi buktinya amat kurang dan tidak bermutu pula).

Sekarang kita lihat pula bagaimana seorang pakar persajakan Melayu melihat Kemala. Prof. Rahman Shaari dalam syarahan perdana beliau (2004) tentang kemantapan sajak-sajak Melayu, tidak melihat apa-apa yang bersifat kerohanian yang harum semerbak dalam karya Kemala, sebaliknya beliau hanya bertemu sebuah sajak patriotik tentang kemerdekaan (ulang tahun hari kemerdekaan).  Prof. Rahman Shaari telah dijadikan seorang profesor sajak (atau kritikan sastera) kerana kepakarannya, oleh itu beliau tidak mungkin berbuat silap dalam menilai Kemala sebagai pensajak. Jika beliau silap, bagaimana universiti tempat beliau bekerja boleh menerima beliau sebagai seorang profesor? Saya lebih cenderung untuk membuat kesimpulan bahawa Prof. Rahman Shaari telah melakukan tinjauan yang agak teliti tentang sajak-sajak Melayu yang dikategorikan beliau sebagai “sajak-sajak mantap”. Jika kesimpulan ini boleh diterima, maka kehadiran pensajak Kemala dalam “persada persajakan Melayu” bukanlah istimewa, seperti yang didakwa dalam Laporan 2012.  Adakah Panel Anugerah Sastera Negara telah tersalah baca? Adakah mereka telah melakukan kesilapan dalam penilaian mereka? Inilah yang “mistikal” yang disebut oleh laporan, bukan sajak-sajak Kemala yang biasa saja tetapi memang kaya dengan kata-kata bombastik terapung-apung di permukaan baris sajak-sajaknya, seperti buih yang kelihatan bergaya di lautan atau di sungai yang baru diserang banjir. Tidak mungkin Panel Anugerah Sastera Negara melakukan kesilapan dalam penilaian mereka, kerana semua mereka adalah profesor yang senior pula kedudukannya. Inilah yang mistikal itu, dan inilah yang dimaksudkan dengan kecelaruan estetik dan kekeliruan kognitif (anda boleh guna kecelaruan dan kekeliruan dalam bentuk yang anda suka: kekeliruan estetik, kecelaruan kognitif ..., tidak jadi masalah!).

Sebenarnya yang terjadi bukanlah sesuatu yang mistikal, tetapi amat logikal.   Baik Prof. Rahman Shaari yang mencari “kemantapan” sajak, mahu pun Panel Anugerah Sastera Negara yang “mencium” kewangian sajak-sajak kerohanian Kemala, kedua-duanya sedang menghadapi masalah yang dinamakan “kekeliruan dalam konsep ilmu”.  Kedua-duanya tidak menilai karya Kemala (dan lain-lain karya) berasaskan konsep ilmu yang benar yang melahirkan pemikiran yang mendalam yang jelas terserlah dalam karya yang mereka nilai.  Anda tidak boleh lari dari hakikat ini, jika anda membaca karya-karya penyair agung dalam Islam (disebut oleh Panel dalam laporan mereka, hal. 18; bandingkan dengan sindiran A. Samad Said ini: “Makanya, kita tahu Jalaluddin Rumi, Hamzah Fansuri atau Syed Naquib tidak bererti kita langsung sahaja sudah menjadi pujangga Islam” (Dewan Sastera, Julai 1997, hal. 52). Kekusutan dalam memahami konsep ilmu ini telah melahirkan kecelaruan kognitif dan kekeliruan estetik yang dihadapi oleh Prof. Rahman Shaari dan Panel Anugerah Sastrera Negara. Inilah golongan yang menghadapi kerugian yang disengajakan dalam kegiatan akademik mereka. Walaupun Laporan 2012 cuba mendekati sajak-sajak Kemala dari perspektif Islam, namun kerana adanya kekeliruan dalam memahami konsep ilmu, menyebabkan mereka tidak dapat memberikan penilaian yang saksama, kecuali hanya melantunkan pujian yang tidak diiringi bukti dan analisis yang mendalam, sesuai dengan kedudukan pensajak yang cuba diangkat itu. Yang ingin diangkat tidak terangkat, kerana karyanya tidak melayakkannya untuk diangkat. Dalam hal ini, kesimpulan Prof. Rahman Shaari lebih boleh diterima dan agak tepat.

Perkara yang dibincangkan di sini tidak dianggap penting dalam pandangan arus perdana, yang secara langsung meremehkan saja persoalan yang dibincangkan di sini sebagai sengaja di ada-adakan, disalah tafsir dan tidak berkaitan langsung dengan teori kritikan sastera yang diterima di Malaysia dan di seluruh dunia. Bagaimana anggapan begini boleh timbul adalah satu perkara mistikal (meminjam istilah Laporan 2012) yang bertentangan dengan semangat akademik tulen yang juga menjadi amalan seluruh dunia. Dengan meremehkan konsep ilmu sebagai tidak relevan, maka para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera telah meletakkan diri mereka dalam dunia pandirisme yang memang menjadi arus perdana di Malaysia, sepanjang mengenai sastera. Dalam dunia pandirisme itu, semuanya ditentukan mengikut kepentingan peribadi atau puak, maka itulah timbul kekangan tak ketara (?) supaya para sasterawan negara tidak dikritik dan dinilai semula jika dengan berbuat demikian kedudukan mereka akan terancam. Seterusnya kedudukan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri ditakdiskan, tidak boleh disentuh, kecuali untuk memuji. Kritikan adalah hasil perasaan hasad dengki dan permusuhan. Sejahat itukah dunia akademik kita?  Saya tidak fikir begitu, kerana mustahil dunia akademik yang telah melahirkan ramai sarjana dan profesor demikian sifatnya. Lebih tepat dan lebih munasabah untuk kita membuat kesimpulan bahawa semua ini timbul dari salah faham yang berpunca dari keengganan untuk mendebatkan persoalan ini secara tuntas dan ilmiah. Hal ini terjadi kerana kurangnya sifat terbuka di kalangan sarjana kita, akibat tidak meletakkan standard yang tinggi dalam dunia akademik. Standard ini dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan ahli akademik yang lahir di ISTAC di bawah bimbingan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang boleh dilihat dengan jelas dalam tesis sarjana dan kedoktoran yang dihasilkan di ISTAC. Jika anda tidak dapat menerima standard yang tinggi yang ditetapkan di ISTAC sewaktu Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menjadi Pengarahnya, yang dapat dibuktikan dari hasil tulisan pelajar yang mendapat pendidikan di sana, maka anda harus membuktikan dari karya anda sendiri bahawa karya dan pemikiran anda adalah jauh lebih canggih dan lebih tinggi kualitinya. Kita harus berlumba untuk mencapai mutu yang tinggi, bukan berlumba untuk mempertahankan pandirisme dalam dunia akademik kita. Termasuk juga di sini ialah piawaian yang kita perlu tetapkan untuk dijadikan ukuran. Misalnya, jika kita ingin menentukan kualiti sebuah syarahan perdana dalam kesusasteraan, maka contoh yang kita ambil ialah Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Jika anda tidak bersetuju, anda harus mengemukakan contoh yang lebih baik untuk dijadikan ukuran. Mana-mana syarahan perdana dalam kesusasteraan yang tidak mencapai standard itu, bukanlah syarahan perdana yang tinggi mutu akademiknya. Dengan adanya garis panduan ini, kita dapat mengukur dengan lebih mudah pencapaian akademik dalam bidang ini. Jika semuanya sama atau lebih tinggi kualiti akademiknya daripada standard yang kita tetapkan, maka itulah yang dinamakan kemajuan dan perubahan yang membanggakan kita dalam bidang akademik ini.  Dengan itu kita boleh mengelak dari berada secara berterusan untuk mengusahakan sesuatu yang sia-sia, yang tidak boleh dibanggakan. Untuk memudahkan anda memahami penghujahan ini, sila baca buku terbaru dalam pasaran sekarang, Adab dan Peradaban: Pengi’tirafan Untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, dan sebuah lagi buku yang diterbitkan lebih awal, dalam bahasa Inggeris: Knowledge, Language, Thought and The Civilization of Islam: Essays in Honor of Syed  Muhammad Naquib al-Attas (2010).






Friday, September 7, 2012

APAKAH JENIS PERUBAHAN DAN KEMAJUAN YANG KITA MAHU?


Kesusasteraan Malaysia mesti berubah jika mahu maju dan mempunyai identiti sendiri. Dua perkara ini disepakati oleh hampir semua sasterawan dan sarjana sastera. Mesti berubah untuk maju, kata mereka. Satu ketika dulu mereka bercakap tentang perlunya perubahan paradigma. Kini suara itu sudah hilang.  Adakah ini bererti paradigma baru itu sudah ditemui dan sedang dipraktikkan? Sebenarnya tidak. Yang dikatakan paradigma baru itu lesap entah ke mana, dan perubahan yang diseru dengan lantang itu lesap bersama keengganan untuk berubah supaya satu kemajuan yang benar-benar dapat dipanggil kemajuan boleh dimulai, atau diteruskan dengan bersungguh-sungguh jika sudah dimulai.

Adakah ini satu teka-teki? Tidak juga satu teka-teki. Lebih tepat jika kita berkata satu perubahan telah terjadi untuk menolak apa juga perubahan jika perubahan itu tidak dalam konteks status-quo yang ada sekarang. Para sasterawan dan sarjana sastera bercakap tentang perubahan dan kemajuan dalam konteks peniruan dalam pendekatan yang dimajukan dalam teori dan praktik sastera Barat.  Mereka tidak bercakap tentang perubahan dari segi pemikiran berasaskan  sistem falsafah penulisan yang boleh kita tegaskan sebagai milik kita, yang lahir dari pemikiran dan kekuatan daya kreatif kita sendiri.  Kemungkinan ini menakutkan para sasterawan dan sarjana kita, kerana mereka sangat yakin bahawa mereka belum dan tidak mahu berubah jika dengan berbuat begitu mereka harus mempelajari  sesuatu yang baru, yang tidak mereka temui dalam keghairahan mereka mempelajari sistem sastera Barat. Ketakutan ini amat real, kerana mereka anggap mereka akan kehilangan semua milik mereka yang mereka tiru dan ambil dari Barat. Mereka akan bangkrap, bisu dan benar-benar tergamam kerana tidak dapat berbicara tentang sastera jika milik mereka yang ada sekarang diusik dan dicuba untuk dipindah. Inilah keadaan pergolakan  intelektual di kalangan para sasterawan dan sarjana apabila mereka dicabar untuk meninggalkan sastera (kesusasteraan) untuk kembali kepada warisan mereka sendiri yang membina tamadun persuratan yang kukuh dan boleh dibanggakan, yang sepatutnya diwarisi oleh mereka.

Mereka enggan dan menolak perubahan yang benar-benar membawa kemajuan berfikir dan mencipta dengan kembali kepada persuratan, kerana mereka sudah terputus dari tradisi tamadun mereka sendiri. Walaupun mereka ini masih bercakap tentang perlunya tradisi dan tamadun Melayu diberi tempat sewajarnya, malah tempat utama, dalam pembinaan “tamadun” moden, namun mereka enggan berbuat demikian kerana wujudnya ketakutan akan menjadi bisu sekiranya pendekatan dan teori sastera Barat yang melahirkan kesusasteraan Melayu moden itu diganti dengan persuratan, dengan alasan yang paling tidak masuk akal, iaitu tamadun persuratan itu sukar dan tidak dapat dilaksanakan dalam zaman moden kerana untuk melakukannya orang harus kembali ke zaman silam yang sudah berlalu. Mereka tidak menegaskan bahawa mereka menolak konsep ilmu yang benar, yang menjadi asas tamadun persuratan itu. Sebenarnya itulah dasar penolakan mereka, iaitu mereka tidak mahu persuratan Melayu diasaskan kepada konsep ilmu yang benar kerana selain akan menyukarkan kegiatan mereka, konsep ilmu yang benar itu tidak wujud dalam sastera Barat, oleh itu tidak wajar dijadikan asas  penulisan kreatif selagi teori dan pendekatan Barat itu masih dijadikan arus perdana dalam kegiatan sastera dan kegiatan akademik di Malaysia. Inilah hakikat sebenar, yang telah dibayangkan dalam posting yang lepas (bertarikh 29/8/2012).

Jika anda membaca laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, anda akan dapat melihat betapa kuatnya pengaruh nilai-nilai sastera Barat dalam cara berfikir, cara menganalisis dan cara menilai karya kreatif berbahasa Melayu. Anda akan berasa hairan, apakah sebenarnya yang mendorong mereka begitu jauh tenggelam dalam sistem sastera Barat, sehingga semuanya mesti ditentukan oleh nilai-nilai Barat. Seperti yang diperlihatkan dalam posting 29/8/2012, pengaruh itu, yang mendatangkan kesan yang begitu besar, adalah pengaruh yang merugikan jika dilihat dari perspektif Islam. Seperti yang telah ditunjukkan di dalam posting itu, karya khayal Anwar Ridhwan yang kononnya berbicara tentang “roh”, mendapat sanjungan daripada Panel Anugerah Sastera Negara, demikian juga cerita pendek beliau tentang perzinaan manusia moden dalam “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dianggap telah melahirkan jalur besar dalam cerita pendek Melayu. Semua kesimpulan ini bertentangan dengan konsep ilmu yang benar yang cuba dihidupkan kembali dalam gagasan Persuratan Baru. Apakah yang mendorong Panel Anugerah Sastera Negara membuat kesalahan dan kesilapan begitu besar, yang begitu menonjol?  Semuanya terjadi kerana dalam sistem yang mereka guna tidak terdapat definisi ilmu dan peranan ilmu dalam pemikiran manusia, apatah lagi jika mereka meletakkan semuanya dalam konteks teknik dan struktur, yang bagi mereka tidak ada kaitannya dengan konsep ilmu. Kerana itu anda boleh menulis tentang “alam roh” dengan selesa, walaupun anda tidak langsung mempunyai pengetahuan tentangnya, apatah lagi pengalaman kerohanian tulen yang sekira-kira membolehkan anda hanya mengimbas sepintas lalu pengalaman kerohanian anda sendiri. Sekiranya Anwar Ridhwan mempunyai pengalaman kerohanian seumpama itu, bagaimana dia hanya berupaya menulis sebuah cerita pendek yang begitu crude? Sekiranya Panel Anugerah Sastera Negara mempunyai pengetahuan tentang pengalaman kerohanian ahli sufi tulen (bukan sufi mainan atau sufi palsu), dan memahami kedudukan persoalannya dalam konteks Islam, tentulah mereka tidak akan begitu terpesona dengan sebuah cerita pendek yang begitu crude!  Semua ini menunjukkan betapa palsunya ukuran yang mereka gunakan dalam menilai karya berkenaan.  Contoh ini boleh dijadikan hujah untuk menunjukkan betapa hebatnya kesilapan Panel Anugerah Sastera Negara yang dibiarkan  berlalu begitu saja, berleluasa mencengkam para sasterawan dan sarjana yang tidak sedikit pun melihat apa-apa kesilapan dan kesalahan kerana mereka tidak mempunyai ukuran yang boleh digunakan untuk menilai kesilapan dan kesalahan itu.  Andainya mereka mempunyai hujah, kita bersedia mendengarnya dan memberi perhatian serius kepada hujah-hujah itu. Anda mempunyai tanggungjawab intelektual yang besar untuk membetulkan kesilapan orang lain jika kesalahan dan kesilapan yang anda lakukan bukanlah kesilapan dan kesalahan, hanya anggapan tidak berasas semata-mata. Anda harus tampil menjelaskannya. Kesalahan begini dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan seorang sasterawan negara, bukan satu kesalahan kecil yang boleh dibiarkan berlalu tanpa penjelasan.

Kita lihat satu lagi kes, tentang Shahnon Ahmad. Inilah pengakuan beliau:
“... saya berkesimpulan bahawa amat perlunya perjalanan kreativiti itu berlandaskan juga alam di luar alam syahadah iaitu alam metafizik, alam roh ataupun yang dikatakan alam malakut. Persoalan alam metafizik ini sebenarnya menuntut cabaran yang lebih khusus lagi luas dan tidaklah niat saya untuk menghuraikannya di sini. Mungkin akan saya huraikannya dalam suasana yang lain. Namun setakat ini dalam perjalanan kreativiti hingga kini, saya telah melahirkan cerpen bertajuk ‘Tumbuh Lagi Tunggu Lagi’ (dalam Unting Kasih, Majlis Kebudayaan Kedah 1997). Cerpen ini keseluruhannya berlatarbelakangkan alam malakut; khususnya alam Hari Kiamat yang banyak saya kutip dalam kitab suci al-Quran.  Dan sekarang saya sedang mengarang sebuah novel yang khusus berlandaskan alam roh yang setakat ini masih bertajuk Pararuhi (The Souls). ...” (Dewan Sastera, Oktober 1998, hal. 98).

Kutipan ini perlu dibaca bersama kutipan daripada Dr. Zulkarnain Mohamed dalam posting 29/8/2012 yang memberitahu kita,  “Dalam konteks karya fiksyen, penerokaan dan gambaran dimensi ghaib ini boleh bercanggah dengan akidah Islamiah. ... Perbuatan itu boleh menafikan hakikat sebenar alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT.”  [Sila baca kutipan penuh di sana.]

Perkara ini menjadi lebih menarik jika kita membaca komen A. Samad Said ini. Satu ketika dahulu Shahnon Ahmad dilaporkan oleh A. Samad Said sebagai berikut, “Empat lima tahun dahulu, kerana Realisme Magis, Shahnon Ahmad pernah menegur Hujan Pagi sebagai karya yang tergelincir dari landasan akidah” (Dewan Sastera, Julai 1997, hal. 51). Isunya ialah, bagi Shahnon Ahmad, menulis tentang perkara ghaib tidak menggelincir akidah (seperti yang ditegaskan oleh Dr. Zulkarnain), tetapi menggunakan teknik realisme magis boleh menggelincirkan akidah.  Adakah pendirian Shahnon Ahmad ini hanya berdasarkan fikiran peribadi beliau, tidak disandarkan kepada Islam?  Inilah bentuk perubahan dan kemajuan yang sangat disanjung oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan dijadikan prinsip kreatif oleh para sasterawan. Jika prinsip ini betul-betul diyakini dan dipraktikkan (contoh dari Shahnon Ahmad dan Anwar Ridhwan boleh dijadikan bukti), maka bukan kemajuan dan perubahan yang mereka capai, tetapi kesesatan arah yang membahayakan mereka dan pembaca mereka. Ini satu isu besar yang perlu dibahaskan dengan mendalam, supaya para sasterawan tidak lagi berlagak pandai dengan menulis tentang perkara ghaib yang mereka tidak tahu. Menggunakan al-Quran sebagai hujah, seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad (dalam kutipan itu), tidak boleh diterima kerana caranya bertentangan dengan maksud al-Quran. Al-Quran memberitahu tentang syurga dan neraka, tentang kiamat dan mahsyar, tentang perhitungan amal dan lain-lain, bukan untuk dijadikan bahan kreatif, tetapi diambil iktibar sebagai satu peringatan bahawa terdapat realiti hakiki yang tidak boleh dijangkau oleh akal manusia, tetapi penting sebagai maklumat  agama untuk mereka imani. (Lihat posting 29/8/2012 untuk melihat mengapa persoalan ini penting dalam kehidupan manusia berakal). Sekali lagi peringatan dan amaran Ustaz Dr. Zulkarnain Mohamed dalam makalahnya perlu diberi perhatian serius.

A. Samad Said memperlihatkan kejengkelannya yang agak berlebihan dengan menyindir dan mengejek Shahnon Ahmad dan seorang lagi sebagai “kritikus agama atau ulama” yang tidak rasional, sebaliknya hanya menurut emosi (hal. 52) ketika mempersoalkan penggunaan teknik realisme magis di dalam karyanya yang menurutnya realisme magis kini sudah diterima sebagai teknik arus perdana dan dipakai dalam karya para sasterawan dunia, oleh itu apa yang dilakukannya tidak lebih daripada sejenis “pemindahan teknologi” dalam penulisan. Baginya, itulah makna dan matlamat pembaharuan dan kemajuan, dengan itu dia tidak menerima perubahan ke arah kesedaran Islam dalam penulisan, yang dilihatnya tidak lebih daripada sebagai suatu “trend” sahaja: “Secara berdikit sebenarnya saya sudah mengesan trend yang menjurus kepada arus kesedaran agama ini. Saya cuba mengerti, malah cuba berdamai dengannya. Akan tetapi, saya berfikir, ada ketikanya trend itu terasa seperti sengaja dipaksakan, sesuatu yang mungkin serasi oleh iklim atau kesedaran agama” (hal. 50). 

Jelas sekali dia tidak melihat apa yang disebutnya sebagai “trend” itu sebagai perubahan yang akan membawa kemajuan; berbanding dengan peniruan yang dilakukannya dengan menggunakan realisme magis itu yang dilihatnya sebagai satu kemajuan yang jelas dalam membawa unsur “teknologi” dalam teknik penulisan.  Menurut A. Samad Said, kemunculan pengkritik yang “agamais dan ulamais “ (istilah beliau untuk melonjakkan kejengkelannya) tidak akan membawa perubahan dan kemajuan, berbanding dengan usahanya membawa “teknologi” baru dalam penulisan dengan membawa masuk reslisme magis dalam karyanya.  Menarik untuk dibandingkan pandangan dua orang “tokoh besar” sastera Melayu ini, antara Shahnon Ahmad yang mengembara ke alam roh dengan A. Samad Said yang merayau di alam realisme magis. Adakah kedua mereka ini pada dasarnya berada dalam standard yang sama, hanya berbeza dari segi istilah saja?  Jika anda membaca dengan teliti teguran dan amaran Ustaz Dr. Zulkarnain yang saya kutip dalam posting bertarikh 29/8/2012 itu anda akan mendapat jawapannya. Tidakkah kedua-duanya menuju ke satu arah yang sama dengan menggunakan berlainan jalan?

Jika anda faham maksud pertanyaan di atas, anda akan melihat betapa hebatnya Panel Anugerah Sastera Negara dalam membuat penilaian mereka terhadap para sasterawan negara yang mereka pilih dan ketengahkan dalam laporan mereka. Anda akan melihat mereka sedang menuju ke satu arah yang sama, iaitu ke arah kekeliruan kognitif yang kemudiannya melahirkan kekeliruan estetik dalam penilaian mereka yang amat tempang jika dinilai dari perspektif ilmu yang benar. Jika anda menilai kesimpulan ini dengan kritis, anda akan dapat menentukan dengan pasti mengapa kita harus menolak konsep kesusasteraan yang berasaskan pendekatan dan teori Barat yang begitu kuat mencengkam sasterawan dan sarjana Malaysia, dengan meletakkan persuratan sebagai alternatif terbaik untuk mencapai cita-cita kita membina tamadun Melayu/Malaysia yang berteraskan ilmu.

Oleh itu: Apakah jenis perubahan dan kemajuan yang kita mahu?  Pertama sekali, perlu ditegaskan sekali lagi, atau beberapa kali, bahawa para sasterawan, sarjana sastera, dan para penilai seperti Panel Anugerah Sastera Negara tidak mahukan perubahan dan kemajuan kecuali dalam konteks pendekatan dan teori Barat yang mereka cukup selesa berada di dalamnya.  Ini bermakna, kumpulan ini menentang sebarang perubahan dan kemajuan yang menyimpang dari kedudukan yang ada sekarang; dengan itu mereka tidak mahukan persaingan sebab ini akan menggugat kedudukan selesa mereka; akhirnya mereka menentang sebarang usaha untuk mewujudkan satu alternatif dalam perkembangan persuratan Melayu. Oleh itu, sikap meghalang kemajuan dan enggan melihat perubahan ini perlu ditolak dengan tuntas, untuk memberi isyarat kepada kumpulan ini bahawa mereka telah melakukan dua kesalahan besar dari segi moral dan akademik. Dari segi moral, sikap mereka terus mempertahankan teori  Barat dalam kegiatan mereka bertentangan dengan nilai-nilai tamadun Melayu yang menjadikan nilai-nilai Islam sebagai asas pembinaan tamadun negara ini. Dari segi akademik pula, pegangan mereka terhadap teori Barat tidak berasaskan konsep ilmu yang betul, yang dari segi epistemologi adalah bertentangan dengan pandangan Islam yang menjadi anutan mereka. Ketergantungan mereka kepada retorik dalam penilaian mereka tidak boleh dijadikan hujah untuk mempertahankan penilaian mereka, oleh itu semua penilaian mereka tidak dapat dipertahankan apabila diuji dengan menggunakan konsep ilmu yang benar yang diajar di dalam Islam. Jika mereka masih mahu meneruskan kekeliruan mereka, maka menjadi kewajipan kita semua untuk menghalang kekeliruan ini daripada diteruskan dan kita semua berada dalam keadaan “cetek meraba-raba” selama-lamanya. Ini adalah satu dosa intelek yang tidak boleh dibiarkan berterusan.

Jadi, apakah pilihan terbaik untuk kita? Tentu saja bukan meneruskan era sastera yang amat lesu dan terlalu terikat kepada kiblat Barat dalam cara berfikir, cara menulis, cara mencipta, cara menganalisis, cara menilai,  dan cara mempromosikan kekeliruan kognitif dan kekeliruan estetik seperti yang sudah jelas dilakukan dan diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam keseluruhan laporan yang mereka terbitkan. Di manakah kita berdiri sebenarnya dalam keghairahan para sasterawan dan sarjana sastera mempertahankan pendekatan dan teori sastera Barat itu? Kita telah melihat dinamisme yang kita harapkan daripada kumpulan ini tidak ada, malah yang diberikan kepada kita ialah peniruan dan pemerkasaan teori dan pendekatan Barat, sehingga dengan secara langsung dinafikan munculnya pendekatan alternatif yang bersifat mandiri yang boleh kita klaim sebagai milik kita.  Tidakkah inilah perubahan dan kemajuan yang kita mahu? Sekiranya selepas hampir satu abad kita menjadi pengekor setia teori sastera Barat, maka kini kita dituntut untuk membebaskan diri dari belenggu keaiban intelektual ini dengan terus menjadi pengekor Barat. Kita harus mengemukakan dan mempercayaai alternatif yang kita sendiri wujudkan. Itulah makna sebenar perubahan dan kemajuan yang selalu dilaungkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara itu.

Agak ironis kesimpulan tentang masalah ini diberikan oleh A. Samad Said sendiri yang mengakhiri tulisannya, Dewan Sastera, Julai 1997 (hal. 52) begini:  “Singkatnya dalam kekacauan pegangan dan teori yang dihebohkan itu kita perlu menjadi manusia bijaksana dan damai. Sebab, seboleh-bolehnya saya juga tidak mahu masuk neraka kerana Realisme Magis”.

Mohd. Affandi Hassan,
5 September 2012.



Wednesday, August 29, 2012

Kubur, sasterawan, dan kesudahan hidup manusia


Apabila seorang sasterawan meninggal dunia, ke manakah perginya karyanya?  Sudah pasti bukan dikuburkan bersamanya. Tetapi pasti ada sesuatu dari hasil karyanya yang akan mengikutnya. Apakah sesuatu itu? Mungkin Salina yang akan membawa bersamanya TIVI yang bercerita tentang Kuala Lumpur Kita Punya dengan bangunan apartmen yang banyak dan mewah pula, kerana Dunia Adalah Sebuah Apartmen.  Dapatkah kita berkata Laporan Anugerah Sastera Negara menjadi jaminan kehidupan bahagia seorang sasterawan negara ketika berada di dalam kubur? Semua persoalan ini tidak timbul dalam kritikan sastera dari pendekatan Barat, kerana realisme yang menjadi dasar dan prinsip utama teori sastera Barat  tidak pernah dan tidak mungkin membicarakan dengan serius peri hidup seorang sasterawan di dalam kubur dan selepasnya. Bagi teori sastera Barat, persoalan begini hanya timbul dalam kepala seorang penulis gila yang tidak siuman dan tidak berbakat. Tetapi tidak demikian bagi Panel Anugerah Sastera Negara. Ini komen mereka terhadap sebuah karya Anwar Ridhwan: “Cerpen ‘Hati’ pula meneroka kejujuran manusia yang langka. Watak narator yang mati dibunuh diberikan keupayaan menelah bagaimana hati tunangnya boleh berubah setelah kematiannya, dan ibu bapanya tidak lagi bersedih. Cerpen ini cuba meneropong kehidupan manusia dari alam roh, yang barangkali lebih jujur dan tepat dalam penilaiannya berbanding dengan alam dunia yang palsu, seperti yang dibisikkan oleh protagonis ini: ‘Perjalanan rohku malam ini tak ketentuan. Di sana ada cahaya terang, barangkali Yang Esa’” (Laporan 2009, hal. 9).

Apa yang anda dapat dari komen Panel dan dari cerita pendek ‘Hati’ itu? Ini pandangan Dr. Zulkarnain dalam sebuah tulisannya: “Al-Quran menegah akal  untuk bertanya tentang roh pada ayat (17: 85), menegahnya bertanya tentang masa berlaku hari Kiamat (7: 187) dan lain-lain lagi. Ini dengan jelas menunjukkan keterbatasan akal, secara khusus akal terbatas daripada meneroka alam ghaib, seperti zat Tuhan, roh, hari kiamat, ... dan juga soal malaikat, jin dan sebagainya. Adalah penting keterbatasan ini difahami dan diakui. Dalam konteks karya fiksyen, penerokaan dan gambaran dimensi ghaib ini boleh bercanggah dengan akidah Islamiah. ... Perbuatan itu boleh menafikan hakikat sebenar alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Umpamanya, gambaran alam Barzakh yang berdasarkan kepada khayalan semata-mata tidak menepati hakikat sebenar, dan dengan itu ia mempermainkan, menempelak dan menolak pengetahuan Allah Ta’ala”.  (Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, hal. 127). 

Sejauh mana Panel dan sasterawan negara yang dipuji mereka “melanggar” keterbatasan akal itu?  Jawapan yang diberikan oleh Laporan 2009 adalah menarik: “Cerpen-cerpen Anwar Ridhwan beralih angin kepada bentuk eskperimen dengan menggunakan pendekatan simbolik, yang berteraskan lambang seperti dalam cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ ...  Cubaan bereksperimen  ini sudah mula maju ke arah yang matang. ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’  mengemukakan apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia. Apartmen adalah dunia yang sempit, panas, seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata” (hal. 10). Lalu Panel membuat kesimpulan ini: “Cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ mengemukakan persoalan filosofikal” (hal. 10).  Apakah jenis “keterbatasan” yang ditonjolkan dalam cerita pendek ini dan pujian Panel terhadapnya? Inilah tahap kekeliruan tentang konsep ilmu yang sampai ke kemuncaknya, yang akibatnya hanya memperlihatkan kecelaruan estetik (aesthetic confusion) penulis cerita pendek dan Panel yang tenggelam dalam dunia bombastik akibat dari kecelaruan kognitif (cognitive dissonance) kerana kedua-duanya, penulis dan penilai, berada dalam keadaan yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai keadaan yang “cetek meraba-raba”, oleh itu tanpa disedari, mereka telah menempelak kreativiti dan kekuasaan Allah Ta’ala yang mencipta dunia dalam bentuk sebuah apartmen yang panas dan sebagainya itu!. Kalau itulah falsafahnya, maka kesusasteraan Melayu tidak perlukan falsafah. Inilah jenis karya sastera yang dilahirkan oleh teori dan pendekatan sastera Barat yang ditiru dan dipraktikkan dengan gigih oleh para sasterawan dan penilai mereka (Panel Anugerah Sastera Negara).  Betapa megahnya sasterawan dan Panel diberi kesimpulan begini dalam Laporan 2009:  “Pencapaian kreativiti Anwar Ridhwan dalam menghasilkan cerpen meletakkannya sebagai satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen” (hal. 17). Kesimpulan ini tidak mempunyai makna sama sekali, bertentangan dengan bukti yang diberikan oleh cerita pendek sasterawan ini yang tidak memperlihatkan apa-apa jenis jalur, jika ada. Sebaliknya, inilah contoh kekeliruan estetik yang menjadi ciri utama laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Kekeliruan begini sampai ke kemuncaknya dalam Laporan 2012, yang cukup kaya dengan pujian bombastik, tetapi tidak dibuktikan melalui contoh yang konkrit.

“Anwar Ridhwan satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen”?  Kenyataan ini sangat penting dalam kritikan sastera, dan perlukan penjelasan terperinci dengan membandingkannya dengan “jalur-jalur lain” yang sudah ada dalam perkembangan cerita pendek Malaysia. “Jalur besar” dari segi apa? Dari segi tema, “jalur pelacur” dan perzinaan dalam “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” tidak dapat mengatasi “jalur agung” yang telah dijadikan “jalur gemilang” dalam tema pelacuran dan perzinaan oleh A. Samad Said melalui Salina dan Langit Petang, dua buah novel yang mendapat sanjungan Panel Anugerah Sastera Negara (anda perlu baca laporannya). Tanpa sebarang perbandingan dengan meletakkannya dalam konteks sejarah perkembangan cerita pendek di Malaysia, maka pujian tidak bertanggungjawab begini mesti ditolak, tidak boleh dipakai. Dalam perkara seperti ini kita harus berhati-hati dan tegas, supaya penilaian songsang begini tidak terus dijadikan rujukan oleh sarjana dan sasterawan yang malas membaca dan yang tidak mempunyai maklumat yang tepat.  Jika anda membaca cerita pendek A. Samad Ismail, “Rumah Kedai di Jalan Seladang” (Dewan Sastera, September 1988; dimuat semula dalam kumpulan Ingin Jadi Pujangga: Kumpulan Cerpen 1944-1991 (DBP, 1995) oleh A. Samad Ismail), dan membandingkannya dengan “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, anda akan dapat melihat kedewasaan kreatif dalam karya A. Samad Ismail yang juga memperihalkan tentang pelacuran dan perzinaan wanita Melayu di zaman perang, tetapi para “pelacur” itu masih menyebut nama Allah dengan rasa takut. Adakah “jalur besar” Anwar Ridhwan ini telah mengatasi “jalur lebar” A. Samad Ismail dalam cerita-cerita pendeknya? Jika anda membuat perbandingan begini, anda akan lebih berhati-hati membuat penilaian dan lebih-lebih lagi berhati-hati menggunakan istilah yang boleh mengelirukan seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporannya. Sebagai satu catatan kecil, A. Samad Ismail cukup sedar penilaian songsang begini dalam permainan politik sastera, lalu mengkritik golongan ini sebagai Mafia Sastera! (dalam suratnya kepada Leo AWS, yang menyebutnya dalam salah sebuah kumpulan sajaknya, 2003).

Peringatan (yang juga sebenarnya berupa amaran) Dr. Zulkarnain Mohamed dalam kutipan di atas wajar diberi perhatian serius oleh para sarjana sastera dan para sasterawan, dan tentu saja oleh para penilai karya kreatif seperti Panel Anugerah Sastera Negara. Peringatan (dan amaran) itu meletakkan kedudukan akal pada tempatnya yang wajar, seperti fitrah kejadiannya, oleh itu pengguna akal (jika digunakan dengan wajar) seperti para sasterawan tidak wajar melampaui batas akal hanya kerana hendak berkhayal sebebas-bebasnya hingga terbabas jauh dalam kesesatan berfikir (jika mereka berfikir).  Inilah adab dalam seni mengarang karya kreatif, yang perlu dijaga. Dalam teori sastera Barat, adab ini tidak diperlukan, oleh itu sasterawan boleh menulis tentang apa saja mengikut imaginasi mereka. Ini memudahkan mereka untuk menulis, dan juga memudahkan para penilai menilai karya itu mengikut hawa nafsu mereka. Dalam adab penulisan Islam, imaginasi diletak di bawah kawalan akal sihat yang tahu batas-batasnya dan tidak akan melanggar batas-batas itu kerana karya yang ditulis secara biadab pasti akan gagal, walaupun digemari oleh pembaca yang juga bersikap biadab. Di Malaysia contoh terbaik dalam kes ini ialah novel TIVI  dan Shit oleh Shahnon Ahmad; novel Kuala Lumpur Kita Punya oleh Abdullah Hussein. Ketiga-tiga novel ini adalah novel picisan yang ditulis mengikut teori sastera Barat sepenuhnya, tanpa sebarang tanggungjawab ilmu, tetapi bergantung sepenuhnya kepada kemahuan hawa nafsu manusia yang paling rendah, yakni nafsu kebinatangan yang dikawal oleh pengaruh syaitan. Sasterawan yang menulis seperti ini menulis di bawah kawalan hawa nafsu tadi.  Bagi yang berasa sukar hendak mengikuti penghujahan ini, bolehlah melihat masalah ini dalam konteks pertandingan/pertentangan antara kebaikan dengan kejahatan. Dalam Islam, penulis diberi kebebasan penuh untuk menulis tentang kebaikan, walaupun bahannya tentang kejahatan manusia; sebaliknya, para sasterawan yang menulis mengikut teori sastera Barat, diberi kebebasan sepenuhnya untuk menulis tentang kejahatan, walaupun tema utama dikatakan mengenai kebaikan (misalnya pengakuan Shahnon Ahmad tentang tujuannya menulis TIVI). Dalam konteks inilah gagasan Persuratan Baru dapat membantu para penulis, sarjana, dan penilai sastera mengenal pasti kebaikan dan kejahatan dan bagaimana kedua-duanya diletak pada tempatnya dalam penulisan kreatif, dalam analisis karya, dan dalam penilaian yang dilakukan terhadap karya kreatif. Kekacauan dan kekeliruan dalam aspek ini akan melahirkan penilaian seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang menerima karya picisan sebagai karya bermutu, yang menyanjung karya liar sebagai karya bermutu yang kononnya mencipta jalur baru dalam penulisan. Jika anda tidak dapat menerima penggunaan akal seperti yang dimaksudkan dalam Islam, maka anda bebas berbuat apa saja. Ketika itu anda harus bersedia menerima kritikan keras dari pelbagai sudut. 

Apakah yang akan terjadi ketika anda, sebagai sasterawan, masuk kubur nanti? Soalan ini tidak relevan, seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Zulkarnain dalam kutipan di atas. Tiada siapa pun yang tahu. Tetapi semua sasterawan dan sarjana sastera tahu, penggunaan teori dan pendekatan Barat, tanpa pengetahuan tentang Islam dan kedudukan akal dalam Islam, adalah kerja sia-sia, suatu usaha yang merugikan, kerana secara sedar menolak pendekatan Islam sambil mempertahankan pendekatan Barat yang sia-sia itu.  Adakah ini masalah pilihan? Jika anda percaya alternatif Islam itu lebih baik, malah yang terbaik, maka inilah masalah keyakinan dan komitmen.  Akhirnya anda sendirilah yang menentukan siapa anda, dan jalan mana yang anda ikuti untuk kesudahan kehidupan anda sebagai manusia.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
28/8/2012.




Saturday, August 18, 2012

SELAMAT HARI RAYA 'IDUL FITRI 1433

Kepada semua pembaca blog ini, diucapkan Selamat Hari Raya 'Idul Fitri 1433. 


Maaf Zahir Batin


Mohd. Affandi Hassan

Sunday, July 8, 2012

GAYA PERSURATAN BARU


Pendahuluan

Terdapat dua tajuk  penting tentang gagasan Persuratan Baru yang masih memerlukan penjelasan dan huraian. Saya harap para penulis dan sarjana sastera akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang PB melalui perbincangan tentang dua tajuk penting ini, dengan itu mereka lebih bersedia untuk memberikan pandangan kritis mereka. Saya yakin dua tajuk penting ini akan berupaya mengangkat kekuatan kreatif para penulis dan memberi alat analisis kepada para pengkritik dan sarjana sastera untuk memudahkan mereka membuat penilaian yang lebih objektif. Kaedah lama yang dipakai pada waktu ini, yang diambil dari teori sastera Barat, tidak lagi berkesan  untuk menyerlahkan kekuatan hujah dalam kritikan sastera, seperti yang telah dibuktikan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr Mohd Zariat dalam tulisan akademik mereka. Dalam posting yang lepas, saya telah menghujahkan bahawa feminisme dan semiotik telah menimbulkan banyak masalah dalam kritikan sastera Malaysia. Sama ada hal ini terjadi kerana pengamal kedua-dua teori ini belum menguasai betul-betul teori yang mereka gunakan, atau memang kedua-dua teori itu bermasalah, hanya para sarjana dan pengkritik saja yang dapat menjawabnya. Pemakaian kedua-dua teori ini oleh sarjana Malaysia  nampaknya lebih banyak menyerlahkan kekeliruan estetik daripada menjelaskannya.  Baru-baru ini pula kita mendapat laporan baru oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang dalam penelitian saya membuktikan wujudnya kekeliruan estetik dalam penilaian sastera di peringkat paling tinggi. Semua ini memerlukan penelitian kita. Dalam posting kali ini saya memberikan jawapan saya bagaimana masalah ini boleh diselesaikan.

1. Stylization of ideas: Mencari keindahan dan makna melalui stylization of ideas.

Bayangkan anda seorang pemanah yang cekatan, yang betul-betul handal. Setiap kali anda melepaskan anak panah dari busurnya, pasti tepat mengenai matlamatnya.  Jadikan ini satu perbandingan dalam seni menulis. Matlamat anda ialah untuk mencapai tingkat karya yang “indah dan bermakna”.  Indah dari segi keterampilan anda sebagai penulis yang berjaya mengolah pemikiran anda dengan jelas dan logik; bermakna dari segi kebijaksanaan sebagai matlamat yang ingin anda capai melalui karya itu. Bagaimana anda boleh melakukannya, untuk menjamin maksud “indah dan bermakna” itu tercapai? Dalam gagasan Persuratan Baru, teknik yang dipakai dipanggil stylization of ideas, atau siratan makna yang dijalin melalui wacana dan cerita yang ingin disampaikan.  Biarlah saya berikan contohnya dari cara saya menggunakan teknik stylization of ideas ini.  Cara anda tentu saja berlainan, mungkin juga lebih baik dan lebih “menyengat” dari segi pemikiran dan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan pemikiran itu.  Saya ambil dua contoh yang paling mudah difahami, yang akan membolehkan seseorang yang belum biasa dengan teknik saylization of ideas dapat memahaminya, mungkin tidak mendalam, tetapi sekurang-kurangnya dapat melihat makna dan cara makna itu diperolehi melalui taknik ini.  Contoh pertama daripada novel Aligupit. Saya salin bahagian yang dimaksudkan:

“Sekeliling bangunan itu terdapat longkang yang besar dan dalam, untuk mengalirkan segala kekotoran dari bukit-bukit berdekatan. Longkang-longkang gergasi itu dibina dengan kuat untuk menahan hakisan. Longkang-longkang itu ditutup dengan padang rumput dan pokok bunga beraneka warna, sehingga tiada siapa pun yang menyangka di bawahnya air kotor dan kekotoran sedang mengalir dengan deras untuk dibawa keluar dari kawasan itu. Longkang gergasi itu mengeluarkan desingan yang halus berirama ketika hujan lebat dan air mengalir deras. Longkang-longkang itu seolah-olah sebuah orkestra tersembunyi yang sedang memainkan berbagai lagu halus tajam, tetapi sedap didengar, terdiri daripada para pemainnya air hujan yang deras menerpa dari atas bukit, kotoran berupa kayu-kayu kecil, tin-tin minuman yang tersesat, atau batu-batu kecil yang berlumba di dalam longkang untuk terjun ke lembah-lembah. Ketika air, batu dan kayu kecil itu merempuh dan menempuh konkrit longkang-longkang itu, terdengarlah bunyi orkestra yang halus tajam dan sedap didengar itu. Kerana hari perbicaraan itu hujan agak lebat sejak awal pagi lagi, maka muzik longkang itu menjadi lebih merdu dan jelas kedengaran. Orang yang tidak mengetahui menyangka di bawah tanah itu terdapat mata air yang jernih bersih deras mengalir menuju ke lembah, untuk bertakung menjadi kolam air minuman penduduk kota raya itu.
Di tempat yang indah dan penuh dengan suara muzik itulah perbicaraan Salim Adil diadakan.” (Hal. 155-156)

Jika anda masih ingat, anda akan teringat bagaimana istana cantik Nabi Sulaiman ‘a.s. begitu mempesonakan Ratu Balqis, sehingga lantai berkilat yang akan dijejakinya itu dilihat seperti kolam yang dalam airnya. Dia menyingkap  pakaiannya. Ketika itulah dia ditegur oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. bahawa yang disangkanya kolam itu hanyalah lantai berkilat untuk ditapaki. Itulah yang memberi kesedaran kepada Ratu Balqis, lantas terus memeluk agama Islam yang dibawa oleh Nabi Sulaiman ‘a.s.  Dalam episod di atas, anda diberitahu satu perbicaraan besar akan berlangsung di Mahkamah Pentas Negara. Anda perlu membaca Tirai 10 untuk mengetahui mengapa perbicaraan itu sangat penting. Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana anda yang mendengar orkestra longkang itu tidak perasan bahawa sumber air yang melahirkan muzik yang indah itu ialah air longkang yang kotor.  Jika anda berada dalam Dewan Keadilan untuk mendegar perbicaraan terhadap Salim Adil, anda akan mendengar semua jenis kutukan terhadap terdakwa yang sebenarnya tidak berada di dalam mahkamah, hanya cerita tentangnya saja yang dibentangkan di situ. Jika anda sudah membaca Aligupit, anda tentu akan perasan bahawa novel itu mengenai kecanggihan penipuan dalam kehidupan manusia yang berkuasa, yang tidak sedikit pun nampak sebagai penipuan, tetapi semuanya kebaikan dan keadilan semata-mata. Tirai 10  mengakhiri novel ini, memberitahu pembaca bagaimana Salim Adil yang tidak wujud itu telah dihukum dengan adil dalam suasana yang penuh dengan bunyi muzik yang indah dan dikelilingi taman-taman indah. Pernahkah anda ke Putrajaya? Saya tidak tahu apakah pemandangan yang paling menarik bagi anda di Putrajaya itu.  Mengapa saya bawa perkara ini adalah sebahagian daripada indicator (saya sengaja menggunakan perkataan Inggeris!) bagaimana stylization of ideas itu digunakan sebagai teknik untuk menyampaikan idea tentang penipuan, keadilan, kezaliman, semuanya dirangkum sekali gus. Anda harus tahu keadilan adalah bertentangan dengan kezaliman. Bolehkah keadilan ditegakkan dengan penipuan? Mungkinkah kezaliman dan penipuan diberi wajah keadilan? Semua persoalan ini cuba dijawab, melalui stylization of ideas, dalam novel Aligupit itu. Siapakah yang bersikap adil di sini? Adakah watak-watak tidak bernama di dalam novel itu? Atau andalah yang bersikap adil itu, kerana dapat memahami novel itu daripada perspektif yang dimaksudkan oleh pengarangnya. Tidak mungkinkah pengarang sendiri bersikap adil dengan memberi peluang kepada pembacanya untuk memahami maksudnya dan matlamatnya melalui penggunaan teknik stylization of ideas itu? Sekarang anda berpeluang untuk mengkritik Aligupit dengan menggunakan teknik stylization of ideas pula: Adakah Aligupit membayangkan dengan jelas tentang penipuan, keadilan, dan kezaliman sekali gus? Adakah anda mendapat kebijaksanaan selepas membacanya dan menilainya dengan kritis?  Semua ini menjadi tugas anda untuk memberi jawapannya, setelah pengarang menyediakan segala motif dalam siratan makna yang dianyamnya dengan kata-kata biasa tanpa rimbunan “bunga bahasa”, tetapi sebaliknya kaya dengan “buah makna”, sesuai dengan matlamat gagasan Persuratan Baru untuk menghasilkan karya persuratan yang indah dan bermakna.  Jika anda seorang pembaca yang kritis dan barangkali mempunyai jiwa seni, anda akan dapati kata-kata biasa itu (seperti dalam kesimpulan ini) sebenarnya kaya dengan makna. Itulah antara maksud pemikiran dalam karya kreatif.  Jika anda seorang sasterawan, dan yakin akan ketinggian mutu karya anda, anda tidak sepatutnya berasa takut dan ragu untuk dinilai dengan adil menggunakan kaedah yang disarankan oleh gagasan Persuratan Baru. Jika anda seorang ahli akademik, seorang sarjana dan pengkritik sastera, anda akan lebih peka meneliti kemungkinan yang selama ini tidak pun terlintas di fikiran anda kerana tidak mempunyai alat, konsep dan kaedah untuk menilai sesebuah karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar; dengan itu anda sepatutnya lebih terbuka untuk menerima dan melakukan perubahan. 

Ini satu lagi contoh, kali ini saya ambil daripada Pujangga Melayu (hal. 282) yang membicarakan perihal penamaan rumah Prof. Awang, dalam suatu dialog yang biasa tetapi maknanya agak luar biasa, baik bagi watak dalam novel itu mahu pun dalam konteks novel itu sendiri.  Pada asasnya dialog kecil ini merumuskan seluruh falsafah yang ingin dibina dalam novel ini. Saya telah membicarakan perkara ini dalam beberapa posting dalam blog ini, jadi saya harap pembaca yang berminat boleh mencarinya jika mereka mahu. Saya tidak akan membicarakannya dalam posting ini, kerana episod kecil ini telah diulas dengan memuaskan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009, hal. 121-123). Sila rujuk di sana jika anda berminat.  Dalam episod itu terdapat konflik antara faham materialisme, faham kebendaan, dengan faham kerohanian yang ingin dijadikan asas kehidupan Prof. Awang dan keluarganya. Konflik itu tidak kelihatan, tetapi dapat dirasakan jika episod itu diteliti dengan cermat. Perbualan antara Prof. Awang dan isterinya biasa saja, dalam keadaan santai, berupa sejenis tarbiah tidak langsung seorang suami kepada isterinya. Semuanya biasa saja, jika anda membacanya sebagai sebahagian daripada cerita; tetapi sebaik saja anda membacanya dalam konteks wacana, anda akan mula berfikir, adakah munasabah menjadikan peristiwa menamakan sebuah rumah satu perkara penting? Di sini anda diuji dari dua jurusan: dari jurusan pembinaan struktur novel itu sendiri, sama ada episod itu penting atau tidak; dari jurusan anda sendiri sebagai pembaca yang kritis, adakah episod itu memberikan anda sedikit imbasan kebijaksanaan dalam konteks nilai peribadi anda, atau jika anda tidak percaya dan meremehkan saja episod itu sebagai episod yang hanya remeh-temeh, adakah paksi naratif dan ruang naratif novel itu akan terjejas? Jika anda membacanya dalam mod bacaan intelektual, anda mungkin mendapat kesimpulan novel Pujangga Melayu tidak memberi apa-apa makna kepada anda sebagai pembaca; atau anda mungkin ingin meneliti dengan lebih cermat pembinaan struktur novel itu dengan melihat aspek paksi naratifnya dan bagaimana ruang naratif dipergunakan dalam membina novel itu.  Jika anda sampai ke tahap itu, anda akan mengerti apakah yang dimaksudkan dengan stylization of ideas. Jika tidak, anda boleh menelitinya lagi dengan lebih hati-hati sebagai satu cabaran intelektual. Atau terus meninggalkannya dan membuat kesimpulan bahawa semua ini karut saja. Apa pun pilihan anda,  dengan membuat pilihan itu anda telah menyatakan sejauh mana anda sebenarnya seorang pembaca yang kritis dan mempunyai sikap positif atau negatif.  Pilihan itu benar-benar menguji kejujuran anda sebagai seorang pembaca yang kritis, pembaca yang dewasa, yakni pembaca yang berfikir, bukan pembaca yang pandir, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Awang kepada anak perempuannya: “Karya-karya ayah untuk orang yang berfikir, bukan untuk si pandir.” Di mana pun anda meletakkan diri anda, peringatan Awang kepada anaknya tetap bermakna dalam konteks novel itu sebagai sebuah novel persuratan. Di sinilah terletaknya kekuatan teknik stylization of ideas. Sama ada anda bersetuju atau tidak dengan kesimpulan ini tergantung kepada sejauh mana anda telah memahami teknik stylization of ideas itu sebagai satu aspek teknik yang penting dalam penulisan novel yang mementingkan wacana. Pendeknya, anda boleh merobohkan gagasan Persuratan Baru dengan menolak konsep (sebagai satu idea dalam seni penulisan) stylization of ideas sebagai karut semata-mata; atau anda boleh menggunakannya dengan berkesan dalam kerja-kerja kreatif anda yang bersifat cerita. Pilihan itu ditentukan seratus peratus oleh anda sendiri, untuk mencerminkan kebijaksanaan, kejujuran intelektual anda atau sebaliknya.

Ini sebuah cerita sufi yang mungkin boleh dijadikan iktibar, agak lucu tapi bermakna.  Dikabarkan, ada seorang Si Lurus Bendul berjumpa seorang tokoh sufi yang terkenal dan popular, meminta nasihat. “Tuan guru, beri saya amalan dan bacaan/wirid yang boleh saya buat untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala”, kata Si Lurus Bendul. Sang Tokoh sufi terkenal itu dengan berjenaka berkata, “Kamu gantungkan kaki kamu dengan kepala di bawah, bacalah wirid yang aku berikan ini.” Maka pulanglah dengan gembira Si Lurus Bendul ke rumahnya kerana mendapat petua yang mudah itu. Lalu dilakukannya betul-betul apa yang disuruh Sang Tokoh. Betahun-tahun lamanya. Allah Ta’ala Yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat, Yang Maha Mengasihani,  kasihan melihat hamba Nya yang ikhlas, lalu memberinya kebijaksanaan dan perasaan kasih sayang anggota masyarakat. Maka hairanlah Sang Tokoh Sufi melihat Si Lurus Bendul bertukar menjadi tokoh sufi. Dia mendapatkannya, bertanya apa yang diamalkannya. Dengan bangga Si Lurus Bendul memberitahu, “Saya amalkan ajaran Tuan Guru.” Bukan main terkejut dan malu Sang Tokoh Sufi, lalu beredar dari situ dan terus mengembara memohon ampun daripada Allah Ta’ala di atas keterlanjurannya mempermainkan ilmu.  Saya harap saya bukan tokoh sufi itu; dan anda pula bukan si lurus bendul! [Harap versi yang saya catat ini tidak lari jauh dari versi asal]. Wallahu a’lam.

2. Keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan: perlukah bahasa terlalu rimbun dengan bunga bahasa? Adakah sama keindahan bahasa dengan bunga bahasa? Atau bunga bahasa itu ciri keindahan bahasa? Di Malaysia, inilah pengertian umum tentang konsep “keindahan bahasa”, iaitu mestilah dinilai dan diukur daripada penggunaan “bunga bahasa”, berapa banyak yang dipakai, tanpa mengira sesuai atau tidak atau asli atau pun tidak.  Satu masa dahulu, H. B. Jassin memuji Idrus yang banyak menggunakan perbandingan dalam karyanya, yang oleh Jassin dianggap sesuatu yang cukup istimewa. Tetapi jika anda membaca karya Idrus, anda akan terasa penulis ini amat melampau menggunakan “bunga bahasa”, dalam hampir setiap ayat. Kesannya cukup membosankan dan mengganggu pembacaan. Panggunaan “bunga bahasa” yang begitu banyak akhirnya menjadi sejenis “gila bahasa” (tidak dalam maksud simpulan bahasa yang terkenal di Malaysia; tetapi dalam konteks keghairahan menggunakan perbandingan/kiasan dsb. sebagai bunga bahasa).  Usman Awang pula mempunyai penyakit “gila bahasa” yang berbeza, seperti yang dapat kita lihat dalam sajak-sajaknya, dengan puncaknya dalam sajak beliau berjudul “Cinta”.  Shahnon Ahmad pula lagi berbeza, dengan “kegilaan bahasa” yang jelas dalam kesukaannya menggunakan perulangan, iaitu sejenis “ratib bahasa” yang kosong makna, tidak seperti ratib biasa. Bagi Shahnon Ahmad, perulangan adalah aspek utama, atau kunci, keindahan bahasa. Ini dibuktikannya dalam novelnya Ranjau Sepanjang Jalan. Komen Prof. Dr. A. Wahab Ali tentang perulangan ini cukup menarik (tentang novel Tunggul-tuggul Gerigis):   “Novel ini amat sukar untuk dinikmati kerana terlalu banyak pengulangan menyebabkan kita loya dan muntah. Bayangkan, saya sebagai seorang pengkaji novel mengambil masa yang amat lama untuk menghabiskan novel ini. Malah sering pula saya melontarkan buku itu setiap habis membaca 5-6 halaman”. (Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, hal. 111.)  Apakah yang istimewa tentang novel ini? Keistimewaannya ialah kerana novel ini berjaya membuat seorang profesor sastera “loya dan muntah”.  Novel ini adalah salah sebuah novel terbaik, novel agung Malaysia versi DBP, karya terbaik Abad 20 menurut pilihan Dewan Bahasa dan Pustaka. Adakah pengulangan yang begitu banyak dalam karya Shahnon Ahmad bukti kekuatan kreatif beliau, atau bukti yang cukup jelas tentang kemampuan kreatif beliau yang tidak seberapa? Kita mesti ingat, beliau adalah seorang sasterawan negara, oleh itu apa juga yang beliau buat mesti bagus; tetapi kita jangan lupa bahawa beliau hanya seorang penulis, seorang sasterawan yang berdiri teguh dimercu mitos yang dibina dengan gigih oleh pihak-pihak yang menyanjung beliau. Pembaca yang lebih kritis melihat Shahnon Ahmad hanya seorang sasterawan picisan saja, itu pun sudah cukup baik.  Tetapi beliau telah diisytiharkan sebagai “Raja Novelis Malaysia”, bagaimana pula seorang sasterawan picisan diberikan gelaran itu? Di situlah kaedah memainkan peranan dalam analisis dan penilaian: mana satu penilaian yang lebih tepat akan ditentukan oleh hujah dan pembuktian yang dikemukakan, bukan menurut hawa nafsu penilai semata-mata. Itulah peranan pengkritik sastera dan peranan teori sastera, untuk menentukan kaedah terbaik dalam membuat penilaian yang paling tepat. Jika tidak, gelaran “Raja Novelis Malaysia” itu akan kekal sebagai satu “mockery”, bukan diasaskan kepada analisis yang cermat menggunakan ukuran yang boleh diterima oleh akal sihat. Dalam konteks inilah kita boleh persoalkan pemilihan novel Tunggul-Tunggul Gerigis sebagai salah sebuah karya besar Abad 20. Pilihan telah dibuat, kini terpulang kepada kita untuk menerima atau menolaknya. Itulah peranan sebenar seorang pengkritik yang berwibawa.  Oleh hal yang demikian, penerimaan atau penolakan harus dianalisis dan dinilai dengan objektif, berasaskan ukuran tertetu yang boleh diuji ketepatannya. Hakikat ini tidak diterima oleh para sasterawan dan sarjana sastera, yang menganggap setiap penilaian yang dibuat oleh autoriti yang dilantik kerajaan adalah muktamad, tidak boleh diungkit lagi. Inilah budaya pandirisme yang perlu ditolak. Tentulah sangat aneh apabila pendirian begini menjadi bahagian penting dalam kehidupan akademik seorang sarjana sastera.

Konsep keidahan bahasa yang dipakai sekarang tidak cukup jelas  untuk dijadikan landasan kukuh dalam membuat penilaian sama ada sesebuah karya kreatif itu bermutu atau tidak. Kecenderungan yang berlebihan untuk menggunakan “bunga bahasa” yang sengaja dicari-cari dan ditonjol-tonjol seolah-olah itulah ciri penting dalam konsep “keindahan bahasa” ini, telah melahirkan kekeliruan estetik yang parah. Aspek ini telah dibincangkan dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2008, hal. 19-38), oleh itu tidak perlu diulang lagi di sini. Lihat juga tulisan saya dalam Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, eds. Mohd. Zaidi Ismail dan Wan Suhaimi Wan Abdullah (MPH, 2012). Dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari tentang sajak-sajak Melayu, kekeliruan estetik ini dijadikan ciri penting dalam menilai sesebuah sajak. Inilah pendapat Prof. Rahman Shaari yang menyaring pendapat Subagio Sastrowardojo: “Subagio Sastrowardojo dalam bukunya Bakat Alam dan Intelektualisme menyebutkan bahawa kekuatan puisi moden amat bergantung pada keaslian pengucapan penyair. Penyair tidak mengulang pengucapan yang sedia ada. Isi tidak akan dapat menghasilkan kemantapan karya jika tidak dibantu  keaslian yang memikat.

Kemantapan akhirnya akan terlihat bergantung kepada keupayaan penyair mengeksploitasi bahasa hingga menghasilkan puisi yang tebal dengan unsur estetika. Penyair mungkin mengaplikasikan  pengetahuan psikologi (terutama psikoanalisis) dan falsafah, seperti yang diamalkan oleh Subagio Sastrowardojo sendiri. ... Bagi penyair yang kukuh dengan pegangan satu-satu ideologi, kemantapan boleh dicapai dengan menggunakan ilmu daripada ideologi berkenaan, asalkan penyair tidak mengizinkan ideologinya menguasai pengucapan. Penguasaan ideologi ke atas karya secara yang ketara akan menyebabkan pengungkapan karya menjadi tiruan  pemikiran dari dogma atau doktrin (Subagio, Simphoni, hal. 42. Dikutip daripada syarahan perdana Rahman Shaari, hal. 10)”.

Apakah yang anda dapat dari kutipan ini? Inilah contoh “cetek meraba-raba” yang dikritik oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau.  Siapakah sebenarnya yang menyuarakan pendapat ini? Jika anda biasa membaca buku-buku teori sastera Barat, bau tengik  keju Barat itu sangat kuat, lebih kuat daripada bau masam durian yang nampaknya tidak digemari oleh penanam durian sendiri, orang Melayu yang diajar berfikir dalam konteks tauhid. Jika anda uji pendapat “cetek meraba-raba” ini dengan syair-syair Iqbal, anda akan melihat betapa karutnya pendapat yang menegaskan “penyair tidak mengizinkan ideologinya menguasai pengucapannya.” Apa salahnya jika hasil karya itu “menjadi tiruan pemikiran dari dogma atau doktrin” yang dipegang oleh pengarang? Jika pendapat Prof. Rahman Shaari ini diterima, anda tidak mungkin menghasilkan karya yang bercorak  Islam, kerana menurut pendapat ini karya yang mantap mestilah yang bersifat “aesthetic”!  Ke mana  anda hendak meletakkan Rumi, Sa’di, Iqbal dan lain-lain penyair besar Islam?  Syair-syair mereka digemari oleh pembaca pelbagai agama dan faham falsafah, kerana itu karya mereka masih terus hidup dalam tamadun dunia moden. Jadi apakah sebenarnya yang dimaksudkan “kemantapan” atau “keindahan bahasa” dalam karya kreatif?  Pandangan kerdil dan cetek profesor ini akhirnya berakhir dengan kesimpulan yang pelik ini:  “Di Malaysia, Baha Zain berkebolehan dalam mencipta karya bertolak daripada ilmu tersebut (ie. psikoanalisis Freud). Yang terhasil ialah pengucapan jujur berupa konfesi yang dapat menjadi cermin  kepada khalayak” (hal. 10).   Saya tidak perlu mengulas kesimpulan yang aneh ini; biarlah anda sendiri membiasakan diri membaca pendapat yang sangat aneh ini (aneh kerana terlalu jelas kekeringan maknanya, seperti pokok durian yang sudah ranggas daunnya dan tidak dapat mengeluarkan buahnya lagi kerana sudah mati. Apa guna durian yang tidak berbuah? Apa guna ucapan yang tidak bermakna?)

Perlukah kita membezakan apa yang disebut konfesi dengan pemikiran atau renungan yang bercorak kerohanian?  Apakah yang membuat sesuatu konfesi itu begitu berharga, sehingga “menjadi cermin kepada khalayak”?  Jika anda membaca sajak-sajak yang diberi pujian tinggi oleh profesor ini, yang dianggapnya sajak-sajak mantap, anda akan dapati sajak-sajak itu tidak “menyentuh kecapi kalbu” anda, kerana tidak ada apa-apa yang membolehkan anda mengenal diri anda yang hakiki, kerana sajak-sajak demikian ditulis berasaskan hawa nafsu penulisnya, bukan berupa renungan mendalam tentang kehidupan kerohanian manusia. Kita harus dapat membezakan sanjungan palsu untuk memuji karya yang palsu pula. Demikianlah parahnya kekeliruan estetik yang tidak berlandaskan taklif dan ilmu yang benar.  Setiap hari kita disogok dengan sanjungan palsu untuk memuji karya tidak bermutu yang juga palsu, membuktikan betapa parahnya kekeliruan estetik ini dalam penilaian sastera di Malaysia.  Prof. Ungku Maimunah telah menunjukkan, dalam sebuah makalahnya, bagaimana kekeliruan estetik terjadi dalam keputusan sayembara  novel sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, apabila novel Azizi Hj. Abdullah, Harga Sebuah Maruah, terpilih untuk memenangi sayembara itu.  Isunya di sini bukanlah kemenangan novel itu, tetapi bagaimana novel itu dinilai tidak seperti yang diiklankan dalam syarat  sayembara. Demikian juga novel Kawin-kawin, yang saya berikan kritikan terperinci dalam sebuah kertas kerja (2003).  Nampaknya kekeliruan estetik ini berterusan dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara, terakhir dalam Laporan 2012.

Laporan 2012 adalah yang terburuk, dan paling lemah, di antara sekumpulan laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang telah diterbitkan.  Dari segi memberi pujian dan sanjungan laporan ini adalah yang terbaik dan paling rimbun dengan pujian dan sanjungan, tetapi tidak diiringi bukti serta analisis yang menarik. Masih bertaraf klise yang kaya dengan kenyataan (statements) tanpa hujah (arguments) yang cukup kemas diikat dengan bukti yang tepat. Pujian dan sanjungan itu tidak seiring dengan contoh yang diberikan. Membaca laporan ini mengingatkan kita kepada laporan Hadiah Sako II tentang novel Kawin-kawin oleh Azizi Hj. Abdullah, seolah-olah ditulis orang yang sama. Perhatikan beberapa contoh, dengan memberi tumpuan kepada kesimpulan utama laporan ini bahawa Kemala adalah seorang pensajak mistik/kerohanian.  Kata Laporan 2012:  “Pada hakikatnya, Kemala ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa kini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.”

Dalam laporan yang lepas, kita tidak menemui pujian dan sanjungan setinggi ini, paling tinggi Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dipuji hanya sebagai seorang pensajak intelektual, tetapi sajak-sajaknya tidak “semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.”  Secara langsung dan tegas Laporan 2012 telah meletakkan Kemala sebagai seorang “Maharaja Pensajak Melayu dan Nusantara”, mengatasi gelaran “Raja Penyair Malaysia” yang diberikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man kepada Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Dari segi memberi pujian, Laporan 2012 muncul sebagai pembina mitos paling unggul dan tegas dalam usaha Panel Anugerah Sastera Negara menjadikan tokoh-tokoh yang mereka pilih sebagai sasterawan negara itu muncul begitu hebat dan “memeranjatkan” kerana sebelum diangkat menjadi sasterawan negara mereka hanya manusia biasa saja. Begitu biasanya Kemala dalam pandangan Prof. Rahman Shaari, yang tidak langsung memberi sedikit pun pujian dan sanjungan kecuali hanya untuk memetik sebuah sajak beliau, “Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” (hal. 66) yang dianggapnya hanya “merupakan salah sebuah sajak tentang kemerdekaan yang cukup bertenaga serta puitis” (hal. 65, huruf condong ditambah); sehingga beliau mencadangkan kerajaan Malaysia menerbitkan sebuah kumpulan sajak patriotik yang memakai judul “Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” untuk dibaca oleh semua pelajar dan remaja Malaysia supaya bersemangat patriotik.  Mujurlah buku itu tidak diterbitkan, kerana jika tidak kerajaan Malaysia akan membuat pembetulan yang memalukan seperti dalam kes Interlok. Kini hari kemerdekaan tidak lagi dirayakan pada 31 Ogos, sebaliknya pada 16 September (dikemudiankan dua minggu supaya menepati kemahuan politik pihak berkuasa masa kini). Barangsiapa yang tidak tahu sejarah perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan, tidak akan mengerti bahawa dengan perubahan ini, kemerdekaan tidak lagi satu perjuangan, tetapi satu strategi politik untuk terus berkuasa. Aspek ini penting diketahui oleh para pelajar dan remaja yang “patriotik”, supaya mereka sedar bahawa sebenarnya tidak ada “pahlawan” kemerdekaan” atau “pejuang” kemerdekaan, oleh itu “hari untuk mereka” boleh diubah-ubah mengikut cita rasa semasa. Dalam sejarah “kemerdekaan” Tanah Melayu daripada belenggu Inggeris, ahli politik dan ahli sejarah yang dilahirkan oleh ahli politik memberi tumpuan yang berlebihan kepada perunding kemerdekaan yang diangkat oleh penjajah, diwakili oleh para pemimpin feudal yang menamakan gerakan mereka UMNO, satu akronim daripada perkataan Inggeris. Jiwa dan semangatnya tetap Inggeris kerana mereka ini memang dicipta dan dipelihara oleh penjajah Inggeris. Demikian juga dalam penilaian sastera yang direka oleh para juri pemilihan, semuanya disesuaikan untuk kelihatan sesuai dengan matlamat pemilihan itu. Lihat bagaimana Prof. Rahman Shaari membayangkan hal ini: “Sesiapa yang meneliti sajak-sajak Kemala akan menemukan sebuah sajak patriotik ciptaannya” (hal. 65).  Sungguh aneh, mengapa Prof. Rahman Shaari menemui benda lain yang boleh membuat orang serabut (kerana Ogos tidak lagi hari patriotik), bukan sajak-sajak yang “semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.” Sekiranya penulis Laporan 2012 seorang profesor (semua ahli Panel adalah profesor), maka mereka ternyata sudah silap, menemui sesuatu yang tidak pun wujud bagi seorang pakar persajakan Melayu seperti Prof. Rahman Shaari, yang menyebut perkara itu dalam syarahan perdana beliau, suatu dokumen ilmiah yang cukup penting, berupa kajian seumur hidup yang serius. Walau apa pun ramalan anda, sambil menggaru kepala (jika anda gemar berbuat demikian), anda tentu akan berasa taajub bagaimana parahnya “kekeliruan estetik” yang dihadapi oleh para sarjana sastera Melayu ini, di pihak mana pun anda berada, sama ada bersama seorang pakar persajakan atau bersama ahli Panel Anugerah Sastera Negara.  Adakah mereka pemain songlap, pemain silapmata, yang unggul?. Begitu unggulnya mereka sebagai pemain silapmata akademik sehingga dapat memukau seluruh khalayak sastera Malaysia untuk mempercayai mereka (sama seperti UMNO memukau rakyat Malaysia selama lebih setengah abad), untuk menerima penilaian mereka, padahal mereka hanya bermain silapmata, bukan pemain handalan dalam dunia pemikiran.  Masalah ini boleh diatasi, saya kira, jika nasihat “bernas” (perkataan ini digunakan oleh sebuah syarikat menjual beras)  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ketika mengherdik dan menempelak saya bagaimana cara menulis kritikan sastera yang berkualiti diikuti, permainan songlap akademik ini mungkin boleh dikurangkan. Dalam tulisannya (Berita Minggu 25 Disember 1983 dan 1 Januari 1984)   Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mencadangkan supaya setiap kritikan dimulai dengan “langkah kaedah” (sejenis “langkah sembah” dalam bidang akademik).  Beliau sendiri tidak pernah berbuat demikian; oleh itu walaupun beliau menjadi ahli Panel Anugerah Sastera Negara, “langkah kaedah” itu tidak kelihatan kerana tidak digunakan. Saya telah bermurah hati membantu beliau supaya beliau boleh memahami cadangan beliau sendiri walaupun saya tidak termasuk di antara 4000-5000 murid beliau, dan bagaimana cadangan beliau itu  boleh digunakan, dengan membicarakannya agak panjang dalam makalah saya yang terbit dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis  (2010; diselenggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir; lihat bab 4, mulai hal. 289, khususnya hal. 328-331).  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menulis tentang perkara ini dalam tahun 1983; tetapi beliau sendiri menerima hakikat bahawa cadangannya itu sebenarnya agak “lekeh” kerana tidak dihuraikan dengan “teliti”, oleh itu beliau sendiri tidak berasa perlu menggunakan apa-apa “langkah kaedah” untuk menulis laporan Penal Anugerah Sastera Negara yang beliau sendiri menjadi ahlinya.  Adakah beliau juga seorang pemain silapmata dalam bidang akademik? 

Naifnya mereka dapat dilihat dalam contoh yang mereka berikan ini.  Laporan 2012 memberitahu kita, dalam kata-kata bombastik yang menjadi ciri penting laporan Panel Anugerah Sastera Negara, betapa pentingnya alusi dalam sajak Kemala. Inilah dia: “Sebagai penyair yang berjiwa besar, Kemala juga berani  menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Anthony dan Cleopatra. Perkara ini dilakukan bukan kerana tidak ada tokoh dalam kalangan penduduk tempatan, sebaliknya, penggunaan alusi asing ini memupuk renungan tentang hukum hidup yang universal dan lumrah. ... Justeru, alusi daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair ini universal. Namun demikian, Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu dan ajaran Islam” (hal. 20).  Kita boleh menulis sebuah makalah 50 halaman untuk membahaskan pendapat aneh dan melucukan penulis laporan ini; tetapi di sini akan disentuh satu (atau dua) perkara saja, yang agak melucukan.  Di sini Kemala menjadikan dirinya seorang Mark Anthony dan kekasihnya Cleopatra, untuk (agaknya) “meuniversalkan” percintaannya yang agung dengan kekasihnya, seperti percintaan Mark Anthony dan Cleopatra, Richard Burton dan Elizabeth Taylor yang melakonkan dua watak itu dalam filem mereka.  Inilah jenis wangian Barat yang cukup harum untuk mewangikan percintaan pensajak ini.  Bercinta memang universal, tak perlu diberitahu oleh Panel pun sudah diketahui orang;  tetapi di mana “wangian kerohaniannya” dalam alusi ini? Tidak lain hanya sejenis ilusi. Inilah satu contoh salah contoh untuk mencontohkan suatu contoh yang tidak perlu dicontohi.  Satu lagi bukti betapa parahnya kekeliruan estetik di kalangan para sarjana yang membicarakan sastera.

Dalam Laporan 2012 kita tidak saja bertemu kekeliruan estetik yang bersepah di sana sini; lebih teruk lagi ialah begitu jauh sekali jarak estetik yang cuba dicapai oleh Laporan 2012 dengan contoh yang diberikan. Tidak ada contoh yang boleh dianggap sajak kerohanian yang wangi itu diberikan dalam laporan ini; yang agak sipi-sipi ialah sebuah sajak yang ditulis tahun 1972 bertajuk “Laut”, yang dipetik bersandarkan pandangan Braginsky yang memuji sajak itu (hal. 16) sebagai percubaan pensajak mendekatkan diri dengan Hamzah Fansuri dan sufi-sufi Melayu yang menggunakan lambang laut dalam pengalaman kerohanian mereka.  Tidak sedikit pun terbayang ruh kerohanian tulen dalam sajak-sajak yang diberi sebagai contoh, kecuali jika kita boleh gunakan istilah “pseudo-sufi” untuk sajak-sajak buatan yang menggunakan ungkapan yang berbelit-belit yang lebih jelas sifat mengada-ada daripada gambaran pengalaman kerohanian yang tulen. Sajak-sajak yang dicontohkan kononnya berciri “kesufian” itu sebenarnya sajak-sajak ekspresif yang menggambarkan keinginan penulis yang sangat tegas mahu diterima sebagai pensajak sufi, padahal tidak mencerminkan pengalaman kerohanian yang tulen. Jauh lebih autentik sajak Chairil Anwar “Doa” yang benar-benar timbul dari kegelisahan dirinya yang disisih keluarga sendiri, dan dengan itu  memaksanya menulis rintihan kalbunya. Perbuatan membandingkan dan mendudukkan Kemala sejajar dan setaraf dengan Amir Hamzah adalah amat keterlaluan, apatah lagi tidak diberikan walau sebuah sajak yang dapat mencapai taraf, walaupun sipi-sipi, seperti sajak “Berdiri  Aku” Amir Hamzah; lebih melampau lagi apabila Kemala disetarafkan dengan Hamzah Fansuri. Kekeliruan estetik ini adalah akibat masalah kognitif yang dihadapi oleh penulis Laporan 2012, yang nampaknya terlalu ghairah ingin meletakkan Kemala sebagai pensajak sufi, kononnya.  Jikalau Laporan 2012 benar-benar percaya Kemala adalah pensajak sufi moden terbesar di Alam Melayu, laporan itu sepatutnya memberi perhatian khusus kepada perkara ini, dengan mengemukakan analisis dan penilaian teliti sajak-sajak sufi itu. Tidak ada, padahal peluang untuk berbuat demikian cukup terbuka dan inilah masanya  Panel Anugerah Sastera Negara mengemukakan secara tuntas seorang tokoh pensajak Islam tulen dalam sastera Melayu. Adakah Panel juga bermain songlap? Jika tidaklah kerana terdapat keangkuhan akademik yang begitu ketara (maksud saya: lontarkan apa saja pujian tanpa bukti dan analisis dengan memaksa pembaca menerimanya tanpa bantahan), kita mungkin dapat membaca sebuah laporan yang kemas dan betul-betul tinggi kualiti akademiknya.  Mengapa ini tidak dilakukan adalah suatu misteri, padahal para anggota Panel boleh melakukannya. Adakah kerana mereka sebenarnya tidak menghormati pensajak yang mereka laporkan, oleh itu boleh saja berlaku sambil lewa?  Sifat sambil lewa ini sudah dijadikan standard dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kerana mereka mengandaikan mereka adalah pakar yang tidak boleh dipersoalkan, oleh itu pembaca harus menerima keputusan mereka tanpa sebarang perasaan curiga. Jika hal ini terjadi 50 tahun dahulu mungkin usaha mereka diterima bulat-bulat; tetapi tidak sekarang  di kalangan pembaca yang mahukan kualiti pemikiran dan analisis yang lebih baik.  Sekali lagi kita berdepan dengan kekeliruan estetik yang parah.

Ketika membicarakan sumbangan Kemala dalam cerita pendek, Panel memberikan satu contoh yang cukup menarik, yang mungkin mereka tidak sedar contoh itu melambangkan kehidupan kerohanian Kemala yang paling autentik. Panel memilih cerita pendek “Sebuah Masjid Buat Hari Tua”. Ini komen mereka: “Dengan memfokuskan kepada cerpen “Sebuah Masjid Buat Hari Tua” dalam laporan ini, penelitian ditumpukan pada pencapaian Kemala dari segi penggunaan teknik satira. Kemala menyatirakan mereka yang menggunakan agama demi kepentingan sendiri (huruf condong ditambah). Menurut cerita ini, dalam kalangan AJK masjid pun terdapat perbalahan dan keadaan yang berpecah-belah. Golongan penyokong Tuan Haji Semilang Laut menentang pelantikan Cikgu Akmal, protagonis cerpen ini sebagai nazir masjid baru yang berharga RM6.5 juta itu” (hal. 29).  Cerita pendek ini menarik kerana Kemala sendiri pernah manjadi nazir Masjid Abdul Rahman Auf selama 10 tahun; dalam janga waktu itu beliau mencadangkan (yakni meminta) AJK masjid mengurniakan sepersalinan baju Melayu dari kain songket berharga mahal, kira-kira RM5,000. Beliau diberi persalinan itu oleh AJK yang “terhutang budi” di atas jasanya sebagai nazir yang tegas.   Menarik sekali pandangan Laporan 2012 yang berbunyi:  “Puisi Kemala dengan jelas membayangkan perjuangan dan pencapaian kerohaniannya dengan ungkapan-ungkapan mistikalnya yang tersendiri. Pencapaian ini tidak mudah diraih dalam lingkungan kehidupan moden yang di dalamnya terdapat banyak tarikan fizikal dan material” (hal. 15).  



3.  Kesimpulan:  Demikianlah parahnya kekeliruan estetik dalam kritikan sastera di Malaysia.  Akibat kekeliruan estetik telah saya huraikan dalam makalah saya mengenai novel Kawin-kawin, juga dalam makalah Prof. Ungku Maimunah yang membahaskan tentang kepincangan penilaian novel Harga Sebuah Maruah. Jika anda masih ingat, kekeliruan estetik ini diceritakan di dalam al-Quran dalam kisah Ratu Balqis yang mengadap Nabi Sulaiman ‘a.s.  Di situ ditunjukkan bagaimana  hasil seni (di sini seni bina) yang betul-betul tinggi mutunya, boleh memukau indera manusia sehingga menjadikan ilusi yang dilihatnya/dialami sebagai realiti seolah-olah terbentang sebuah kolam yang dalam.  Dalam konteks kritikan dan penilaian sastera di Malaysia, kekeliruan estetik itu timbul akibat ceteknya pengalaman seni, sehingga apa juga yang disebut “eksploitasi bahasa” (seperti anggapan Laporan 2012) dianggap sebagai “pencapaian kerohanian dalam ungkapan-ungkapan mistikal”, walaupun yang terjadi ialah tidak lebih daripada permainan bahasa dalam rimbunan bunga bahasa.  Jalan keluar yang dicadangkan oleh gagasan Persuratan Baru ialah melihat  keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan, dengan mengembalikan keindahan itu kepada taklif, tidak kepada kemahuan hawa nafsu seperti yang diamalkan dalam kesusasteraan. Dengan itu keindahan bahasa tidak lagi dilihat dari perspektif sejauh mana bahasa itu digunakan untuk merayau-rayau dalam belantara bunga bahasa dengan sengaja mencari perbandingan, kiasan dan lain-lain “bunga bahasa” (retorik) dengan maksud membawa seberapa banyak kelainan penggunaan bahasa, tanpa memikirkan aspek ilmu dan makna yang dikandung oleh permainan bahasa melalui penggunaan bunga bahasa tadi, atau dengan istilah Barat, dinamakan eksploitasi bahasa. Keindahan bahasa dapat dicapai dengan penggunaan bahasa yang tepat, sebagai contoh penggunaan bahasa Amir Hamzah dalam sanjaknya. Lihat bagaimana bahasa Melayu dalam tangan Amir Hamzah menjadi cantik dan memukau bukan kerana eskploitasi bahasa, tetapi lahir dari kemampuan kognitif yang tinggi untuk mengadun kata-kata dalam ungkapan yang istimewa. Sebagai contoh (antara banyak contoh), perhatikan bagaimana  perkataan “pulang” digunakan oleh Amir Hamzah dalam sanjak “Berdiri Aku”:  Angin pulang menyejuk bumi/ Menepuk teluk mengempas emas/ Lari ke gunung memuncak sunyi/ Berayun alun di atas alas.  Bandingkan kesimpulan Amir Hamzah dalam bait akhir sanjaknya: Dalam rupa maha sempurna/ Rindu-sendu mengharu kalbu/ Ingin datang merasa sentosa/ Menyecap hidup bertemu tuju.  Jika anda membaca “pulang” dalam konteks “rupa maha sempurna” menuju matlamat hidup “bertemu tuju”, anda akan melihat makna kewujudan manusia dan matlamat hidupnya, untuk “pulang” menemui Tuhannya.  Jika anda tidak percaya adanya Tuhan Yang Maha Esa dan adanya Akhirat, anda tetap akan “pulang” tetapi kepulangan anda sebagai manusia sesat: lihat betapa indahnya angin yang pulang menyejuk bumi dan tahu tempat yang ditujunya, yakni pulang ke gunung memuncak sunyi. Kepulangan yang sungguh indah dan digambarkan dengan indah sekali. Inilah contoh keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan yang dimaksudkan oleh gagasan Persuratan Baru. Inilah bentuk stylization of ideas yang dimaksudkan dalam gagasan Persuratan Baru. Semoga dengan penjelasan ini anda akan mengerti mengapa gagasan Persuratan Baru  dikatakan memberi kemahiran intelektual yang baru dalam memahami karya seni yang tinggi atau yang bermutu.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7/7/2012.