Thursday, December 2, 2010

BERFIKIR SEPERTI KERBAU, MENYALAK SEPERTI SERIGALA, BERTINDAK SEPERTI RAJA-RAJA MELAKA


Bolehkah kerbau berfikir? Sebenarnya kerbau tidak perlu berfikir, kerana semua kemahuannya dan keperluannya sudah sedia ada, tidak ada masalah untuk mendapatkannya.  Kerbau hanya perlu berfikir apabila manusia mula menjadi kerbau, dan mula merampas segala yang dimiliki kerbau untuk keperluannya. Kerbau perlu berfikir apabila manusia mahu menandinginya dalam semua kegiatan kehidupannya sebagai kerbau.  Pada ketika itulah kerbau perlu membina universitinya sendiri, untuk menandingi universiti yang dibina manusia.  Jika ini berjaya dilakukan kerbau, maka mereka juga perlukan pensyarah dan profesor. Tempat mereka bukan lagi kandang kerbau, tetapi fakulti itu dan ini yang ditentukan oleh kerbau sendiri.  Tidak hanya itu yang perlu mereka laksanakan. Mereka harus bersaing di peringkat antara bangsa, untuk menjamin kecemerlangan mereka sebagai kerbau global  berpendidikan tinggi. Tetapi di sinilah mereka akan menghadapi masalah. Jika mereka terus berfikir seperti kerbau, maka mereka akan dimamah serigala yang juga mempunyai universiti mereka sendiri dengan para pensyarah dan profesor yang bengis dan ganas. Kerbau dan serigala tidak mungkin bekerjasama, kerana dalam konteks yang bagaimana sekalipun serigala tidak akan makan rumput atau daun-daun dan kerbau pula tidak akan makan daging. Jadi tidak akan ada persaingan dalam aspek itu, dengan itu hak kerbau untuk mendapatkan rumput terus terjamin. Tetapi serigala tidak boleh berdiam diri hanya melihat kerbau meragut rumput. Serigala perlukan makanan. Seperti yang diketahui kerbau, makanan itu ialah daging kerbau sendiri. Di sinilah akan terjadi pengorbanan yang dipaksakan, kerana kerbau akan memberikan keperluan serigala itu tanpa ada pilihan lain. Pada waktu itulah manusia akan masuk campur, tetapi bukan untuk  memelihara keselamatan kedua-dua makhluk itu. Manusia akan menyembelih kerbau apabila mereka perlukan daging; manusia akan menembak serigala apabila binatang ganas itu mengganggu kerbau milik manusia. Tetapi tidak semua manusia boleh memiliki kerbau. Ramai yang tidak berkerbau. Mereka hanya dibenarkan membeli daging pemilik kerbau. Bukan saja pemilik kerbau menentukan harga daging, tetapi mereka juga menentukan tempat mana mereka akan meletakkan kerbau mereka. Kini kerbau tidak lagi bebas, kerana semuanya akan ditentukan oleh pemilik kerbau. Kerbau dengan itu tidak bebas. Tetapi perlukah kerbau kepada kebebasan? Sebenarnya kebebasan kerbau tidak tergugat walaupun dikawal ketat oleh manusia. Lagi pula kerbau memang tidak memerlukan kebebasan.  Kerbau hanya perlukan makanan, dan  peluang untuk berkelamin sesama kerbau. Kedua-dua keperluan ini tidak diganggu oleh manusia.  Tetapi bagaimana pula dengan serigala? Bila-bila masa saja serigala akan merampas kerbau dari tangan manusia untuk dijadikan makanan mereka. Oleh itu tidak mungkin wujud kerjasama dan persefahaman antara serigala dengan manusia. Tidak mungkin wujud sistem politik yang boleh menyatukan dua makhluk ini.  Manusia, kerbau, dan serigala tahu tidak mungkin wujud demokrasi dan perpaduan di kalangan tiga makhluk ini. Ketiga-tiganya kumpulan rasis yang mementingkan keperluan mereka sendiri. Hanya melalui ketuanan Melayu saja ketiga-tiga makhluk ini boleh disatukan. Jika kerbau melawan, mereka perlu disembelih. Jika serigala memberontak, mereka wajib ditembak dan dimusnahkan. Dengan itu ketuanan Melayu akan kekal, dan manusia boleh berbuat apa saja untuk memastikan ketuanan Melayu itu kekal menjadi hak manusia Melayu dari kumpulan tertentu. Tidak semua Melayu berhak berada dalam lingkungan ketuanan Melayu.  Melayu yang berada di luar lingkungan ketuanan Melayu adalah biadab dan derhaka kepada Melayu yang berada dalam lingkungan ketuanan Melayu, walaupun mereka tidak membunuh dan tidak mengurung makhluk yang berbeza dengan mereka.

Sejak zaman Melaka lagi rakyat sudah belajar dan diberitahu bahawa Raja dan Sultan berhak membunuh sesiapa saja yang tidak disukai Raja atau Sultan, termasuk yang berada dalam lingkungan ketuanan Melayu. Bendahara Tun Perak tahu makna keadilan dan kezaliman ketuanan Melayu apabila anak lelakinya dibunuh kerana sebiji sepakraga terkena kepala seorang anak raja Melaka. Sekarang orang bercakap betapa pentingnya sejarah diajar di sekolah, yakni sejarah ketuanan Melayu. Adakah peristiwa yang dihadapi Tun Perak sebahagian daripada sejarah penting ketuanan Melayu? Atau sejarah itu hanya terhad kepada terbunuhnya Bendahara Seri Maharaja (perhatikan gelaran ini lebih besar daripada gelaran Raja Melaka sendiri) yang keturunan Keling itu? Anda tentu tahu siapa keturunan Bendahara ini. Datuk neneknya dan keturunannya adalah pemberontak yang membunuh raja Melayu dan pembesar Melayu untuk meletakkan Raja Kasim, keturunan Keling, sebagai Sultan Melaka bergelar Sultan Muzafar Shah, iaitu sultan yang menitahkan Hang Tuah dibunuh. Tidak mungkin kerbau dan serigala tahu perkara ini, kerana mereka berada di luar lingkungan ketuanan Melayu. Malah yang berada di dalam lingkungan ketuanan Melayu pun tidak tahu. Sesiapa yang tahu peristiwa ini tidak mahu lagi berada dalam lingkungan ketuanan Melayu itu.



KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM NEGARA KETUANAN MELAYU

Bangsa Melayu, sebagai  bangsa yang suka melatah, memang suka melatah. Kalau yang melatah itu yang bodoh-bodoh, orang tidak bersekolah, orang yang tidak di depan namanya ada gelaran “Profesor” atau “Doktor” something,  maka bolehlah kita tertawa saja sebab melatah adalah sejenis terapi  si pandir yang ingin kelihatan sebagai wira besar. Ternyata yang besar itu cakapnya dan suaranya yang tinggi, bukan isi bicara yang pada hakikatnya lebih tolol daripada sungutan Pak Pandir yang tidak puas hati dengan perintah dan rungutan Mak Andeh.  Jadi apabila orang politik, yang kita anggap cerdik, melatah melalut-lalut seperti ... (anda kena isi sendiri) waktu dinihari, maka kita jadi amat meluat. Apatah lagi jika yang melatah melalut itu sudah memerintah Tanah Melayu yang kemudiannya jadi Malaysia sudah lebih dari setengah abad, yang bergelar dengan gelaran menteri-menteri macam-macam, ada tinggi ada rendah, sebagai penegak “ketuanan Melayu” yang dibisingkan sekarang. Semuanya kerana DS Wan Azizah, Presiden PKR, berkata “ketuanan Melayu mesti dihapuskan” (atau lebih tepat: “Hapuskan ketuanan Melayu yang digunakan oleh elit politik yang korup untuk kepentingan mereka dengan menipu para pengikut mereka”.)

Apakah ketuanan Melayu? Dalam masyarakat dan budaya Melayu, banyak sekali hantu dicipta dan dipuja untuk keperluan tertentu.  Misalnya: hantu toyol untuk mencuri (dua tiga ringgit saja, bukan juta; yang curi berjuta itu hantu-hantu ketuanan Melayu); hantu bungkus; pontianak dan banyak lagi yang terdapat dalam Kamus Dewan.  Dalam politik Melayu, antara hantu yang sangat popular di kalangan orang Melayu yang menjiwai UMNO (kini dipanggil UMCO setelah ada kerjasama dengan Yahudi!) ialah “ketuanan Melayu”. Hantu ini mempunyai dua wajah, wajah politik yang disimbolkan dengan mencium keris tumpul; hantu ekonomi yang disimbolkan dengan bermacam-macam institusi seperti ASN, ASB, AHB (paling baru) dan sebagainya (boleh senaraikan sendiri jika tak puas hati). Simbol ketuanan Melayu dari segi politik sangat penting untuk menaikkan kemarahan orang Melayu bahawa mereka sudah kehilangan kedudukan mereka sebagai “tuan” apabila ketuanan Melayu dipersoalkan; dengan itu mereka tidak nampak tuan-tuan mereka yang korup itu menggunakan institusi-institusi kewangan untuk kepentingan mereka atas nama ketuanan Melayu. Adakah orang Melayu pernah bertanya, siapakah tuan punya Putrajaya? Dengan wang yang didapat dari mana Putrajaya itu dibina? Mengapa semua jabatan kerajaan dipindahkan ke Putrajaya? Adakah Putrajaya itu berwajah Melayu dari segi senibina dan sebagainya? Apakah imej Putrajaya yang sebenarnya? Siapakah di belakang Putrajaya? Berkaitan dengan soalan ini, orang “sangat lupa” untuk bertanya, mengapa tiba-tiba saja Mohd. Khir Toyo dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, dan mengapa Perdana Menteri yang isytiharkan Wilayah Persekutuan Putrajaya? Sebenarnya, soalan-soalan ini tidak boleh ditanya, kerana bertentangan dengan semangat “ketuanan Melayu” sebagai hantu yang mesti dipuja, tetapi tidak boleh didedahkan.  Hantu mesti dipelihara kerahsiaannya.

Bodoh, bukan, orang Melayu nih? Perkara-perkara yang mereka perlu tahu dan wajib tahu mereka tidak mahu tahu, maka kehidupan mereka terus mewah dengan penipuan; dan mereka bangga kerana tidak tahu apa-apa. Sungguh celaka bangsa yang sebodoh ini, tidak layak bergelar manusia merdeka, padahal jiwa dan semangat mereka terbelenggu, diikat oleh hantu “ketuanan Melayu” yang bermaharajalela merompak mereka di sana sini, hatta cacing pun dirompak oleh perompak-perompak politik ini. (Jika anda tidak faham bagaimana cacing boleh dirompak, tanyalah orang yang cerdik; misalnya pengulas politik yang sangat ramai sekarang yang bermuka-muka dengan ketuanan Melayu ini.) Sekarang orang Melayu tidak boleh lagi berbahasa kiasan, kerana mereka tidak membaca Ilmu Mengarang Melayu, kerana mereka tidak diajar Persuratan Melayu, tetapi disumbat dengan Kesusasteraan Melayu yang tidak berharga itu. Maka sampailah kita kepada masalah kedudukan bahasa Melayu dalam negara ketuanan Melayu ini.

Salah satu perkataan yang sangat gemar digunakan oleh manusia Melayu di mana-mana pun pada waktu ini ialah perkataan “biadab”. Jika anda bertanya soalan yang tidak boleh dijawab, maka anda adalah biadab bertanyakan soalan itu. Jika anda merungut mengapa anda terus susah dalam negara ketuanan Melayu, maka anda biadab kerana tidak sedar kita sudah punya Menara Petronas dan LRT yang memudahkan rakyat pergi melihat Menara Petronas dari dekat. Jika anda bertanya mengapa ahli politik mempunyai gaya hidup mewah, banyak harta dan duduk di rumah-rumah besar yang mewah sekali, mewah sungguh, maka anda seorang yang biadap kerana tidak percayakan kejujuran pemimpin sendiri. Apa lagi ...?  Jika anda bertanya mengapa bahasa Inggeris dan Mandarin menjadi bahasa ekonomi di negara ketuanan Melayu, maka anda biadab dan perkauman, jangan-jangan sudah sampai ke peringkat “rasis” (perkataan baru ciptaan ahli politik, yang anti-ketuanan Melayu dan juga yang menyokongnya; kini sudah masuk dalam Kamus Dewan yang akan terbit edisi terbaru tak lama lagi). Sekarang perkataan paling popular ialah biadab dan derhaka. Kerana adanya dua perkataan ini, maka bahasa Melayu masih hidup di negara ketuanan Melayu. Sesiapa juga yang berjaya menghapuskan dua perkataan ini akan berjaya menghapuskan ketuanan Melayu dan segala yang bernama Melayu. Supaya bahasa Melayu terus hidup subur, anda harus mengajar anak-anak anda supaya kerap menggunakan perkataan biadab dan derhaka dan mereka mestilah diajar menjadi kurang ajar, yakni biadab dan derhaka. Ini tidak susah, kerana orang Melayu sudah diberikan sebuah sajak, “Pulang Si Tenggang” yang kaya dengan dua aspek ketuanan Melayu itu. Ajar mereka menghafal sajak ini dan jeritkan sajak ini setiap hari, waktu bangun tidur dan sebelum tidur. Jeritkan di mana-mana saja, dalam jamban, di perhentian bas, di balai polis, di perhentian LRT, di Dewan Bahasa dan Pustaka, di Institut Terjemahan Negara, di Muzium Negara, dan di mana-mana saja kerana semua tempat sesuai untuk dijeritkan sajak keramat ini, kerana inilah satu-satunya sajak yang mempertahankan ketuanan Melayu (bukan ketuat Melayu) kerana telah mengangkat Si Tenggang yang derhaka itu menjadi wira ketuanan Melayu dari segi akademik, seni dan sastera, dan ekonomi. Kata yang empunyia cerita, Si Tenggang baru adalah orang-orang korporat Melayu dan ahli-ahli akademik yang mendapat pelajaran di luar negeri, pulang dengan digri Ph.D. dan lain-lain yang kini ramai di universiti mengajar remaja Malaysia, terutama Melayu, bagaimana menjadi kurang ajar. Zaman dulu, sebelum perang dan sedikit masa selepasnya, guru-guru yang mengajar bahasa Melayu memberitahu murid-murid Melayunya, bahasa Melayu mempunyai hanya dua perkataan asal, iaitu padi dan babi. Dari kitab mana guru bahasa Melayu dapat maklumat ini tidak ada siapa pun yang tahu, tetapi dua perkataan ini sangat terkenal sebagai perkataan asal bahasa Melayu. Adakah ini membuktikan orang Melayu pernah pelihara babi sambil bersawah padi? Betul atau tidak teori ini tidak penting, kerana setiap tanda, kata ilmu semiotik, tidak semestinya wujud dan benar-benar ada. Orang Melayu patut berasa megah kerana babi dijadikan simbol oleh Imam Ghazali dalam kitab-kitabnya untuk mencirikan sifat-sifat jahat manusia yang tamak haloba, mengikut hawa nafsu, menipu, rasuah, suka berkelahi dan sebagainya (rujuk kitab, antara lain, The Ethical Philosophy of Al-Ghazzali, oleh Prof. Muhammad Umaruddin dari Muslim University, Aligarh). Kesan-kesan perangai babi itu masih kekal dan masih segar hingga ke hari ini dalam masyarakat Melayu, terutama sekali di kalangan pemimpin politik, malah juga di kalangan ahli akademik sekalipun. Apatah lagi di kalangan para sasterawan, kerana memang terdapat sasterawan yang tamakkan wang dan gila anugerah, yang jahat perangainya  menyisihkan orang-orang yang jadi penulis yang tidak mereka sukai. Dilihat dari bukti-bukti ini, maklumat yang diberikan oleh guru bahasa Melayu itu rasa-rasanya betul juga.  Atau anda ada maklumat lain yang lebih sahih?

Mengapakah slogan ketuanan Melayu sangat penting? Inilah urat nadi kehidupan/hayat pemimpin UMNO.  Dengan menjeritkan slogan ketuanan Melayu, mereka dapat sokongan rakyat Melayu yang bodoh dan senang ditipu yang terus memberi undi kepada para pemimpin mereka yang mereka tahu sangat korup.  Mereka tahu kerana mereka sendiri diajar menerima wang setiap kali diadakan pilihan raya, besar atau kecil. Bagi para pemimpin UMNO (lebih tepat UMCO), slogan ketuanan Melayu berharga beribu juta bilion ringgit, yang membuat mereka berkuasa dan senang lenang. Orang Melayu tidak keberatan terus menjeritkan slogan itu kerana  mereka tidak ditinggalkan setiap kali diadakan pilihan raya, pasti dapat wang rasuah, atau rasuah jenis-jenis lain seperti basikal, buku sekolah, anak lembu, bola, raket badminton, dan rumah. Kedua-dua belah pihak dapat faedah dengan menjeritkan slogan ketuanan Melayu ini. Ahli-ahli akademik pun senang hati, kerana mereka juga mendapat faedah dengan memuji peri pentingnya slogan ketuanan Melayu dikekalkan terus menjadi milik UMNO (lebih tepat UMCO) sampai kiamat. Dengan menjeritkan ketuanan Melayu, ahli-ahli akademik senang naik pangkat. Pendeknya ketuanan Melyu itu sangat penting, kalau perlu, mesti dipertahankan dengan darah dan nyawa sekalipun. Sebab itulah Perdana Menteri pernah berkata dengan garang, UMNO/BN mesti pertahankan Putrajaya daripada dikuasai pembangkang yang menjadi pengkhianat bangsa, negara dan agama. (Agama disebut kemudian sebagai pemanis.)  Sebagai pemerintah, para pemimpin papa  kedana dari segi adab ini benar-benar bertindak kurang ajar dan derhaka satu ketika dulu dengan mengubah  Perlembagaan untuk merampas kuasa Raja2 Melayu supaya mereka boleh berbuat apa saja tanpa mengira Raja2 Melayu bersetuju atau tidak. Mesti jalan punya. Apa Raja2 Melayu buat?  Membiarkan saja demokrasi berjalan terus asalkan yang berkuasa ialah para penyokong ketuanan Melayu walaupun dengan merampas kuasa, seperti yang berlaku di Negeri Perak Negeri Yang Diridhai.  Sekarang yang biadab boleh siapa-siapa saja; yang derhaka pun begitu juga. Semuanya boleh jalan asalkan atas nama ketuanan Melayu.

Sekarang terjadi huru hara baru di FELDA. Sudah dua kes para penghuni FELDA yang tertipu dan ditipu menang kes di Mahkamah. Banyak juga mereka dapat wang apabila kes mereka menang di Mahkamah. Apa sudah jadi dengan ketuanan Melayu? Menurut laporan daripada penyelidikan rapi di FELDA, terjadi penipuan besar-besaran dari segi penjualan minyak kelapa sawit. Apabila disusurgalur, maka didapati kejadian penipuan 60% penyelewengan minyak bersangkut paut dengan ketuanan Melayu. Tidak ada seorang pun yang faham, apatah lagi mengerti, apa maksud kesimpulan itu. Apa maksudnya ketuanan Melayu menjadi punca pencurian minyak kelapa sawit di FELDA? Cerita sebenar tidak akan terbuka kerana amatlah biadab jika peneroka FELDA menderhaka kepada ketuanan Melayu.  

Bagaimana pula kejadian di FELDA itu berkaitan dengan nasib bahasa Melayu di negara ketuanan Melayu?  Baru-baru ini saman fitnah Anwar Ibrahim terhadap Dr. Mahathir Mohamed ditolak kerana dokumen rayuan dikemukakan dalam bahasa  Inggeris. Keputusan itu dibuat dalam bahasa Inggeris. Satu rayuan dikemukakan supaya keputusan itu dibatalkan kerana ditulis dalam bahasa Inggeris. Dalam keputusannya, hakim-hakim yang arif bijaksana memutuskan keputusan boleh ditulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris, tidak mencacatkan keadilan dan keputusan itu sendiri. Jadi rayuan itu ditolak dan Anwar Ibrahim kena bayar RM70,000.00 kepada yang berkenaan. Harap-harap anda faham apakah yang terjadi sebenarnya. Dalam perkara ini, yang menang bahasa Inggeris. Bahasa Melayu yang tidak didokong oleh ketuanan Melayu jatuh tergolek, nyawa-nyawa ikan. Bolehkah diselamatkan? Siapa yang mahu menyelamatkan bahasa Melayu jika dengan berbuat begitu ketuanan Melayu akan kalah besar. Anda fahamkah tidak? Bodohnya Melayu nih! ...

Mohd. Affandi Hassan, 2/12/2010

Wednesday, December 1, 2010

PERLUKAH SARJANA MENJELASKAN TAKRIF DAN MAKSUD “PEMIKIRAN” SEBAGAI SATU ISTILAH?

[Sekadar Peringatan: Sesiapa juga yang ingin menulis tentang Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh perlu mengambil kira gesaan dan kata-kata hikmah beliau yang berbunyi: “Sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14. Huruf tebal ditambah).  Berapakah jumlah kesalahan itu? Kerana tidak disenaraikan, SEMUA  pendekatan Barat tidak boleh dipakai. Apakah kesalahan yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri? Antaranya menggalakkan penggunaan dekonstruksi Derrida, dan lain-lain pendekatan yang beliau senaraikan dalam Puitika Sastera Melayu.  Dengan peringatan ini, setiap tulisan mengenai beliau tidak boleh lagi menggunakan apa-apa pun pendekatan atau teori Barat. Tetapi dalam seminar tentang pemikiran beliau baru-baru ini, tidak seorang pun penulis kertas kerja mematuhi perintah beliau. Bolehkah orang tulis kertas kerja tentang beliau tanpa menggunakan teori/pendekatan Barat? Boleh, iaitu dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru]

Para sarjana kelas pertama bertaraf dunia yang menulis kertas kerja Seminar Pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, juga seorang sarjana kelas pertama bertaraf dunia, yang telah dinobatkan sebagai Ahli Akademik Negara, tidak seorang pun cuba memberi sedikit penjelasan apa yang  mereka faham tentang “pemikiran” yang menjadi tajuk utama seminar. Malah seorang sarjana bernama Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man memberitahu, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berpesan, “Untuk seminar nanti, kena tulis elok-elok pasai (sic) saya”. Apakah perlunya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berpesan demikian? Adakah beliau takut akan dinilai dengan objektif, jitu dan tepat oleh para murid dan penyokong beliau yang dipilih menulis kertas kerja? Tetapi pesanan itu amat wajar diucapkan oleh beliau, kerana kita sudah dimaklumkan awal-awal lagi betapa perlunya beliau dipuji, disanjung, diangkat, dibelai dengan kata-kata manis memuja dan sebagainya. Itulah yang kita dapat dalam semua kertas kerja yang dibentang pada seminar itu. Seterusnya kata Dr. Siti Hajar: “Maka, terikatlah sudah satu perjanjian yang tidak dimeterai, saya perlu menulis sesuatu yang indah yang menyamankan hati dan perasaan seorang tokoh yang cukup baik dengan saya.” Hasilnya, Dr. Siti Hajar membentang satu kertas yang tidak ada faedah langsung dari segi akademik. Beliau memilih untuk menyukakan hati gurunya dan tokoh yang baik dengannya daripada memberikan analisis dan kritikan yang objektif dan bersifat akademik, sesuai dengan tarafnya sebagai seorang sarjana kelas pertama yang mengajar di USM, universiti paling cemerlang di Malaysia sekarang. Nampaknya maruah akademik boleh diketepikan demi “menjaga hati” seorang tokoh “yang cukup baik dengan saya”. Jika inilah hasil yang kita dapat, maka DBP tidak perlu membuang masa dan wang untuk maksud yang murahan begini.

Permintaan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sangat penting bila dilihat dari perspektif beliau sendiri yang telah memberitahu kita dalam kata-kata hikmah beliau yang cukup bernilai: “Kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri”. (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14). Oleh sebab beliau tidak pernah memberikan senarai kesalahan yang dimaksudkan, maka bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa “pesannya” kepada Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man adalah salah satu kesalahan yang tidak disenaraikan itu. Kesalahan kedua yang tidak disenaraikan itu ialah tiadanya analisis dan penilaian yang objektif dalam kertas kerja Dr. Siti Hajar yang cukup kaya dengan pemerian biasa “kebudak-sekolahan” yang memuji-muji gurunya.

Pada umumnya permintaan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh cukup difahami oleh para penulis kertas kerja, oleh itu mereka mengambil jalan mudah seperti yang dilakukan oleh Dr. Siti Hajar. Tetapi sering kali pula mereka kesasar agak jauh dari kehendak gurunya. Misalnya, mereka masih menggunakan teori-teori Barat yang bercanggah dengan kehendak guru mereka. Kata Prof. Dr. Muhammad Hj. Sallah dalam buku yang sama: “Sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula.” Nampaknya tidak seorang pun di antara sarjana kelas pertama bertaraf dunia itu sedar akan pesan dan amaran guru mereka; oleh itu mereka dengan degilnya menggunakan “teori Barat” untuk menilai guru mereka yang tidak mahu dinilai dengan menggunakan “teori Barat”. Tetapi mana ada “teori Melayu” yang sehebat teori Barat? Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri memperlekehkan “teori Melayu” dalam kata-kata hikmah beliau yang cukup tegas: “Teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.” Ini termasuk apa yang disebut sebagai “teori” beliau sendiri (yang secara akademik seperti yang difahami oleh ahli fikir dan ahli falsafah sebenarnya bukan “teori”, malah amat jauh sekali untuk mencapai taraf “teori” yang sementara sekali pun) yang digahkan oleh murid-murid beliau, iaitu syarahan perdana beliau, Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan. Kita diberitahu oleh murid-murid beliau,  buku itu adalah hasil pemikiran mendalam tuannya; satu pencapaian yang amat tinggi yang setaraf dengan Poetics of Aristotle. Kalau 30 tahun, masa yang digunakan oleh profesor ini untuk menelurkan “teorinya”,  belum cukup untuk menulis sebuah “teori” yang menyeluruh dan mendalam, setelah meneliti 160 teks Melayu lama (di sini Aristotle kelihatan sangat lekeh kerana dia hanya meneliti beberapa buah teks drama, mungkin kurang daripada 20 buah),  maka berapa lamakah masa yang diperlukan? Retorik begini cukup murahan, berselirat dengan keangkuhan  akademik yang diselaputi dengan penyakit hati yang melemaskan akal sihat dan mengetepikan pertimbangan yang saksama terhadap usaha orang lain yang sudah terbentang di depan mata.  Di sinilah gagasan Persuratan Baru keluar dari lubang akademik yang ditutup rapat oleh ahli-ahli akademik yang angkuh dan berpenyakit hati yang tidak akademik sebenarnya, menyerlahkan kepalanya seperti tedung selar yang terbuka lebar menakutkan ahli-ahli akademik kelas pertama bertaraf dunia yang ada masalah itu.

Retorik tentang “teori Barat” ini membuat orang jadi meluat kerana semuanya hanya kata-kata yang enak didengar, tetapi tidak berisi. Kecenderungan untuk menjadi appendix Barat itu amat ketara, dilakukan tanpa segan silu. Dengan itu Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dibincang dengan menggunakan “teori Barat” yang kononnya ditolak oleh profesor itu sendiri.  Contoh paling baik ialah kertas Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, yang membicarakan pengaruh pemikiran Bakhtin dalam “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Dr. Hashim Ismail secara tersirat membuat kesimpulan bahawa tanpa Bakhtin, huraian Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tentang konsep wira Melayu seperti yang dipaparkan dalam Hikayat Hang Tuah hanya dapat dilakukannya dengan menggunakan teori dialogisme Bakhtin. Adakah ini salah satu kesilapan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang mengaku beliau juga “kadang-kadang membuat salah” menggunakan teori Barat untuk menilai karya Melayu (klasik)? Dr. Hashim Ismail tidak berminat dalam persoalan ini, malah ada kemungkinan beliau tidak membaca kata-kata hikmah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu. Tetapi jika kita teliti huraian ini dengan lebih kritis, kita akan dapati kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tentang aspek wira Melayu ini mencerminkan  pengaruh pemikiran feudal yang amat ketara dan tebal yang menjiwai sarjana ini. Apa yang dilakukannya hanyalah meneruskan pandangan hidup feudal itu seolah-olah itulah pilihan terbaik bagi bangsa Melayu. Tidak hairanlah jika beliau digelar “a colonial boy” oleh Prof. Shaharuddin Maaruf, kerana corak  “pemikiran” demikian mencerminkan pemikiran feudal seperti yang diajarkan oleh British kepada raja-raja Melayu, pembesar Melayu, dan para sarjana Melayu seperti beliau. Hikayat Hang Tuah bukanlah karya agung, tetapi hanya sebuah karya warisan yang boleh kita terima seadanya, tetapi tidak mungkin dijadikn cermin untuk memahami makna konsep wira dalam masyarakat Melayu yang telah beragama Islam. Kerana terlalu taksub kepada “Melayunya”, maka Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh melupakan “Islamnya”. Wira sebenar bangsa Melayu, jika kita perlukan wira klasik, bukan Hang Tuah atau Hang Jebat, tetapi Sultan Alaudin dan Tun Perak. Kedua-dua tokoh ini mirip, terutama Sultan Alaudin, dengan Khalifah Islam, khususnya Khalifah Umar Abdul Aziz. Perhatikan, jika kita menerima hakikat ini, kita akan melihat konsep wira itu daripada perspektif yang berbeza sama sekali, bukan lagi sebagai seorang yang gagah perkasa, yang panas baran (Hang Jebat), yang taat melulu (kesetiaan Hang Jebat terhadap sahabatnya, kesetiaan Hang Tuah kepada rajanya), tetapi sebagai seorang pemimpin dan negarawan yang tahu menyelamatkan bangsanya. Perhatikan bagaimana Tun Perak menyelesaikan konflik kerajaan Melaka dengan menyerahkan saudara perempuannya (Tun Kudu) untuk dikahwini oleh seorang pembesar keturunan Keling yang pernah melancarkan pemberontakan untuk melantik anak saudaranya, Raja Kasim, menjadi raja Melaka.  Jika hal ini difikirkan kembali, jelas pengaruh Bakhtin telah membawa Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menerima feudalisme Melayu dengan memberikan kepada bangsa Melayu dua orang watak yang merusakkan bangsa Melayu sehingga ke hari ini. Kesimpulan ini perlukan perbahasan lanjut, yang tidak perlu dilakukan di sini. Cukup sekadar difikirkan saja dahulu.

Prof. Madya Dr. Hashim Ismail telah membuktikan penggunaan “teori Barat” seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah berjaya mengelirukan tafsiran profesor itu, yang telah menyempitkan dirinya dalam anggapan popular tentang makna wira dengan menerima pandangan popular itu tanpa meneliti dengan lebih mendalam konsep wira yang lebih tepat dan lebih bercorak kepemimpinan dan peribadi besar dua orang tokoh kerajaan Melaka yang disebut di atas. Tetapi dari segi lain, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah membuktikan beliau membuat kesimpulan yang betul dalam kata-kata hikmahnya yang tidak dipedulikan oleh mana-mana sarjana yang menulis kertas kerja seminar ini. Tidakkah ini sangat ironik?

Saya fikir kertas kerja paling mencabar dalam seminar ini ialah yang ditulis oleh Prof. Madya Dr. Arbak Othman, “Penstrukturan Intelektual Dalam Puisi Muhammad Hj. Salleh: Suatu Penelitian Semiotik”. Kesungguhan Dr. Arbak Othman menghuraikan kejempolan intelektual Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebagai pensajak mengaburkan lagi kedudukan pensajak ini. Awal-awal lagi beliau menegaskan bahawa  dari segi semiotik, sebaik saja pengarang  selesai menulis karyanya, dia telah mati serta-merta, dengan itu tidak mempunyai kesempatan untuk membela karya sendiri walaupun pengarang sebagai manusia masih hidup. Hanya pembaca atau penafsir sahaja yang diberikan hak untuk menilai karya berkenaan.  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah menolak bulat-bulat andaian ini, walaupun beliau menggalakkan sarjana dan sasterawan Melayu menerima dekonstruksi Derrida sebagai satu kaedah yang baik dan sesuai digunakan.  Derrida adalah di antara sarjana Barat yang menerima andaian Dr. Arbak Othman. Pendirian Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ini telah disebut oleh Prof. Dato’ Dr. Salleh Yaapar dalam sebuah kertas kerja 1991, yang dimuat dalam koleksi tulisannya Ziarah ke Timur (DBP, 2002), kini diterjemahkan dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara dengan judul, Pilgrimage to the Orient (2009, rujuk hal. 30). Dalam kertas kerjanya Prof. Salleh Yaapar berkata: “Di negara kita sendiri bukti bahawa pengarang tidak mati baharu sahaja sama-sama kita saksikan. Iaitu apabila Muhammad Haji Salleh mengatakan Mohd. Affandi Hassan memberi gambaran yang salah tentang tulisannya dan pendiriannya, dan justeru itu Mohd.  Affandi perlu memohon maaf daripadanya. Adalah menarik  dicatat di sini bahawa Muhammad Haji Salleh pernah mengajak pemikir sastera di Malaysia belajar daripda Derrida. (Kertas kerja Seminar Pemikiran Masa Kini, DBP 26 Ogos 1991, berjudul “Cabaran Pemikiran Dekonstruktif”, hal. 15).  Adakah Dr. Arbak Othman terselamat daripada kemurkaan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh?  Beliau (yakni Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh) terima tafsiran Dr. Arbak kerana sajak-sajak beliau diangkat begitu tinggi oleh Dr. Arbak Othman.  Di sinilah terletaknya kekaburan yang dimaksudkan.  Dengan persetujuan yang tidak dinyatakan, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menerima hakikat bahawa beliau telah mati di tangan Prof. Madya Dr. Arbak Othman yang telah melapah karyanya sesuka hatinya. Bagaimana jika Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tetap menolak tafsiran Dr. Arbak Othman?  Ini bererti segala ucapannya tentang kesilapan yang sudah lama terjadi dalam kritikan sastera Melayu kerana menggunakan dan memakai teori Barat, tidak bererti apa-apa, hanya sejenis retorik yang tidak boleh dipercayai. Oleh hal yang demikian,  kita boleh membuat kesimpulan dengan selamat bahawa Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tetap seorang pengikut dan pengamal teori sastera Barat tidak saja dalam kritikan, malah lebih-lebih lagi dalam menulis sajak. Kesimpulan ini perlu sedikit penjelasan.

Jika kita biasa membaca sajak-sajak Inggeris moden, kita akan dapati apa yang dibuat oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ialah menulis sajak-sajak Inggeris dengan menggunakan bahasa Melayu. Dia berfikir dalam bahasa Inggeris, kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Bukti terbaik ialah sajak “Pulang Si Tenggang”, yang dalam bahasa Inggeris menjadi “Si Tenggang Homecoming”. Versi Inggeris lebih enak dan lebih lunak dibaca, tidak kedengaran biadap dan mengada-ada seperti yang terdapat dalam bahasa Melayu. Bukti paling baik ialah baris Melayu yang berbunyi “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar”, diterjemahkan menjadi “I’ve  learnt/ the ways of the rude”. Dalam bahasa Melayu, baris itu tentang dirinya yang “kurang ajar” setelah mendapat pelajaran di Barat; tetapi dalam versi Inggeris, baris itu mengenai orang lain, the Other, mungkin penjajah, lebih tepat orang Barat yang kurang ajar yang ditemuinya ketika belajar sastera di Barat. Dua keadaan ini tidak sama. Oleh itu, siapakah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebenarnya? Dalam versi Melayu, dia seorang “pemberontak” tradisi Melayu yang dianggapnya lemah, lembap, tidak maju dan lain-lain. Dalam versi Inggeris, dia menyalahkan orang lain yang membuat dirinya jadi biadab. Siapa sebenarnya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? Ternyata Prof. Madya Dr. Arbak Othman tidak dapat menyelesaikan persoalan ini, kerana kaedah semiotik yang dipakainya tidak berupaya menjawab persoalan penting ini.  Dalam sajak “baris-baris dari muzium goethe” (Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 5), kita dapat baris-baris ini: “sepertimu aku terlantar/ pada sungai takdir/ sekali murung sebagai sarjana/ tetapi sering bercermin kaca rusuh/ dan memihak pada pintar mephistopheles”.  Apa maksud Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang berkata “dan memihak pada pintar mephistopheles”?  Tidak mungkin Prof. Madya Dr. Arbak Othman tidak membaca kedua-dua buah sajak ini. Sudah jelas bahawa kaedah yang dipakainya tidak dapat mengesan sesuatu yang aneh dan mengejutkan dalam dua buah sajak ini. Kita ingin mendengar tafsiran beliau supaya keanehan dua buah sajak ini dapat dihuraikan dengan memuaskan. Adakah begini caranya orang yang berfikir membentangkan pemikirannya?  Jika inilah pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, apakah untungnya bangsa Melayu dihidangkan dengan corak pemikiran yang seperti ini? Dan tentang Raja Iblis itu, bolehkah Syaitan itu dikagumi seperti dalam baris itu? Semua soalan ini memerlukan jawapan yang jelas dan bernas, yang sehingga kini belum diberikan. Adakah ini bererti kita sedang berada dalam kekeliruan besar, kalau tidak pun kesesatan? Kita perlukan penjelasan, bukan alasan.

Dalam kertasnya, Prof. Madya Dr. Arbak Othman tidak berminat memberi sedikit penjelasan apa yang dimaksudkan dengan “pemikiran”. Dalam tafsiran dan ulasannya terhadap sajak-sajak yang dipilihnya, tidak wujud apa-apa jenis pemikiran pensajak, tetapi cukup kaya dengan andaian yang berlebihan yang dikemukakan oleh penulis kertas.  Tidak  ada satu pun tafsiran itu boleh diterima kerana terlalu personal, dicari-cari, ditambah-tambah sendiri oleh penulis kertas ini. Kadang-kadang beliau seolah-olah bercakap dengan yakin, tetapi sering kali penuh keraguan, tidak pasti, tidak yakin bahawa tafsirannya itu betul. Misalnya, di halaman 37-41 kertasnya, beliau menyatakan kebingungannya sama seperti yang dirasakan pembaca lain, ketika cuba membuat tafsiran sajak “batu alam”.  Kata Dr. Arbak: “Apakah sebenarnya yang dimaknakan oleh penyair [lebih tepat pensajak] dengan tanda batu itu? Kita mungkin tidak tahu, tapi jika kita menggunakan konsep “keras” [adakah “keras” satu konsep atau sifat batu?] dan objek lain yang takut kepadanya kerana kekerasan itu [adakah maksudnya kayu takutkan batu, atau harimau takutkan batu, atau manusia yang tidak kenal batu takutkan batu seperti mereka takutkan hantu kerana tidak kenal hantu?], tanda batu boleh saja dikaitkan dengan “kuasa Tuhan”, tetapi  jika dikaitkan dengan dunia yang manusia bentuk dan corakkan, ia boleh saja dimaksudkan sebagai “kuasa budaya” atau jika dikaitkan dengan kedudukan manusia di dalam alam, maka tanda batu dapat sahaja dikaitkan dengan “kuasa politik” --- wallahu a’lam.” (hal. 38-39 kertas).  Jelas sekali semiotik tidak boleh berbuat apa-apa, kecuali mengusutkan lagi perkara-perkara yang sudah jelas.

Walaupun semiotik dikatakan sudah wujud sejak beribu tahun, sejak zaman Greek tua lagi, namun sebagai sejenis “sains” tentang tanda (sign), kemunculannya dalam bentuk moden masih baru, dan dengan itu secara tabii masih disangsikan kewajarannya. Kata seorang sarjana Barat: “Semiotics is concerned with everything that can be taken as a sign. A sign is everything which can be taken as significantly substituting  for something else. This something else does not necessarily have to exist or actually be somewhere at the moment in which a sign stands in for it. Thus semiotics is in principle the discipline studying everything which can be used in order to lie. If something cannot be used to tell a lie, conversely it cannot be used to tell the truth: it cannot in fact be used ‘to tell’ at all. I think that the definition of a ‘theory of the lie’ should be taken as pretty comprehensive program for  general semiotics.” (Umberto Eco, A Teory of Semiotics, hal. 7.  Indiana University Press, Bloomington, 1979. Cetakan asal 1976. Italics dalam tulisan asal). Mungkin Prof. Madya Dr. Arbak Othman boleh memberi pandangan beliau apakah yang dimaksudkan oleh Umberto Eco tentang semiotics dalam kutipan ini. Kita ambil pandangan Umberto Eco dalam bukunya yang lain pula: “The double metaphor of the world as a text and a text as a world has a venerable history. To interpret means to react to the text of the world or to the world of the text by producing other texts. To explain the way the solar system  works by uttering Newton’s laws or to utter a series of sentences to say that a given text means so and so are, at least in Peirce’s sense, both forms of interpretations. The problem is not to challenge the old idea that the world is a text which can be interpreted, but rather to  decide whether it has a fixed meaning, many possible meanings, or none at all.” (The Limits of Interpretation, 1994, hal. 23).  Dalam kutipan ini nampaknya terdapat kemungkinan sesebuah sajak boleh jadi tidak bermakna apa-apa, hanya sebagai sejenis permainan kata, sejenis mantra moden dalam bahasa Melayu. Apakah pandangan Umberto Eco ini boleh dipakai dalam menghuraikan makna sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh?  Daripada analisis Prof. Madya Dr. Arbak Othman, nampaknya terdapat sajak-sajak yang mungkin tidak bermakna apa-apa seperti yang dimaksudkan oleh Umberto Eco itu. Wallahu a’lam.

Sukarnya sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ditafsir dan diberi makna ialah kerana sajak-sajak itu bukan hasil renungan mendalam terhadap sesuatu masalah, dengan itu bukan hasil pemikiran yang boleh dibaca dan ditafsirkan dengan mudah. Beliau bukanlah seorang pemikir, tetapi hanya seorang pensajak biasa dan penyelidik yang kerapkali ditegur oleh ahli-ahli akademik lain kerana ketidaktelitiannya. Apakah maksud pemikiran? Seseorang boleh dikatakan seorang pemikir jika dia mengenal pasti sesuatu masalah, menghuraikannya, dan memberi jawapannya berasaskan analisis tadi. Contoh yang jelas: Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah seorang pemikir yang mengenal pasti masalah kelemahan dan kemunduran orang Islam kerana keliru dalam memahami  konsep dan makna ilmu yang benar, yang membawa hilangnya keadilan dalam masyarakat dan dalam kehidupan peribadi dan hilang pula adab, dengan itu lahirlah para pemimpin palsu dalam semua bidang kehidupan orang Islam (termasuk bidang sastera dan bidang kesarjanaan/akademik mengenai sastera). Huraian beliau tentang masalah adab, ilmu, dan segala yang berkaitan, sangat mendalam dan amat jelas menuju ke arah penyelesaian yang teratur, yakni dalam bidang pendidikan. Pada Iqbal pula kita dapat lihat pemikirannya dalam judul syairnya yang terkenal, Asrar-i Khudi  (Rahsia-rahsia Peribadi). Dia ingin membina kembali peribadi Muslim yang tulen, yang merdeka dan bukan pak turut Barat. Kerana dia seorang ahli falsafah, dia menulis dengan selesa tentang mereka, berdialog dengan mereka. Inti daripada pemikirannya ialah cinta Ilahi.  Di situlah kekuatan Muslim dibina, dan ini harus dibina kembali dalam zaman moden ini.  Maka itulah ditulisnya huraiannya yang terkenal, The Reconstruction of Religous Thought in Islam.  Orang sastera di Malaysia rasanya tidak ramai yang membaca karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Iqbal, kerana itu apabila mereka berbicara tentang pemikiran,    maka pembicaraan mereka sangat cetek, tidak cukup hujah, tidak ada analisis yang tajam, malah terlalu menyanjung seseorang tokoh yang digemari, padahal tokoh itu mungkin tokoh foni saja. Standardnya rendah, oleh itu apabila ditegur, mereka jadi marah.

Sebagai seorang pensajak, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menulis sajak-sajak yang tidak mesra pembaca.  Sajak-sajak beliau tidak mempunyai unsur kerohanian, tidak juga unsur intelektual yang boleh mendorong dialog yang boleh menyedarkan masyarakat tentang masalah bangsa seperti yang kita dapat dalam sajak-sajak Kassim Ahmad atau Usman Awang. Sajak-sajak itu terlalu dibuat-buat, dengan penggunaan bahasa yang kering, kontang dari pemikiran bernas yang boleh menginsafkan. Malah yang terjadi adalah sebaliknya, seperti sajak “Pulang Si Tenggang” dan “baris-baris dari muzium goethe”. Perlukah sajak mesra pembaca? Jika maksud dan tujuan sajak-sajak itu ditulis untuk membina pemikiran pembaca, membina negara seperti yang ditegaskan oleh Prof. Madya Dr. Arbak Othman, maka sajak-sajak itu sewajarnya mesra pembaca, dalam erti boleh difahami oleh pembaca tanpa terkial-kial mencari tafsiran seperti yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Arbak Othman dalam kertas kerjanya. Pembaca tidak perlu membuang masa begitu banyak untuk “memberi” makna kepada sajak-sajak yang tidak mesra pembaca ini, seperti yang dilakukan dengan tekun oleh Dr. Arbak Othman.  Hanya penulis sajak yang egoist saja yang sengaja menyukarkan karyanya supaya dia boleh tertawa apabila orang yang membacanya tidak boleh memahami sajaknya, dengan itu bermutu tinggi. Tetapi penulis yang menyukarkan karyanya pada hakikatnya tidak boleh berbahasa dengan baik, tidak menguasai bahasanya, dan cetek pula ilmunya. Sajak-sajak T. S. Eliot kadang-kadang amat  sukar kerana terlalu banyak allusi (rujukan fakta budaya dan sejarah), tetapi bagi pembaca Barat hal itu tidak menjadi perkara yang menekan, kerana mereka dibesarkan dalam budaya yang dicerminkan oleh sajak-sajak itu. Mereka boleh memahaminya, kadang-kadang dengan pertolongan buku-buku kritikan.  Di Malaysia sajak-sajak yang mesra pembaca ini ditulis oleh T. Alias Taib, seorang pensajak yang jauh lebih berbakat  daripada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri.

T. Alias Taib mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak dimiliki oleh sasterawan negara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.  Beliau seorang pensajak rakyat yang dengan jujur mengangkat kehidupan rakyat jembel sebagai tema penting dalam sajak-sajaknya. Dalam tangannya, rakyat jembel ini  seolah-olah mendapat pembelaan yang jujur daripada seorang pensajak yang tidak saja menerima kewujudan mereka dengan penuh simpati, tetapi dengan penuh simpati meletakkan mereka sebagai tokoh-tokoh yang dihormati di dalam sajak-sajaknya. Dia berbicara tentang kehidupan seorang tukang gunting (dalam Puisi Baharu Melayu 1961-1986, DBP 1990, hal. 312), yang secara khusus dilukiskannya dalam sajak “Tukang Gunting” (Gurindam Alam, 1994) dalam bahasa yang sederhana, tetapi menyentuh kalbu:
              Dengan sebilah gunting
                Sebuah cermin sompek
                Sebuah sisir rongak
                Dan bangku kaki tiga
                Ia ukir nafkah keluarganya.

                                Tidak saja tukang gunting itu sudah tua, tetapi alat-alatnya juga sudah tua, tetapi dari alat yang tua itu dia mengukir nafkah keluarganya.  Ungkapan “ia ukir nafkah keluarganya” tidak saja cantik, tetapi  begitulah kehidupan rakyat jembel, begitu bersungguh-sungguh mencari rezeki, seperti seorang pengukir yang tekun dengan ukirannya. Tetapi hasilnya belum tentu boleh dijual dengan harga mahal, seperti rakyat jembel yang begitu tekun mencari rezeki, belum tentu mendapat pendapatan yang cukup untuk keluarganya. T. Alias Taib ternyata mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak dapat diragui lagi dalam “mengukir” kehidupan rakyat jembel ini. Tepat sekali dia menggambarkan dirinya sebagai pensajak dalam rangkap berikut:
                Aku pembeli masalah orang
                Menyusunnya menjadi kata-kata
                Dan menjualnya kepada pemikir.
                Aku juga kadang-kadang pembeli
                Masalah dan masa sudah sendiri.
                Tidak seperti ikan dan sayuran
                Masa sudahku lebih mahal
                Sesudah senja dan murah
                Di sebelah pagi.
                                                (“Pembeli Masa Sudah”, Utusan Zaman, 28 November 1993)

                                Sindiran dan ejekan yang tajam dalam ungkapan “dan menjualnya kepada pemikir”  adalah cabaran pensajak ini kepada para sarjana, pengkritik dan para sasterawan sepertinya. Siapakah yang telah membeli sajak-sajak beliau dengan menerima cabarannya? Nampaknya tidak seorang pun menyahut cabarannya itu, dengan itu T. Alias Taib sebagai seorang pengukir kata-kata dalam sajak-sajaknya yang mesra pembaca, tidak muncul dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari sebagai seorang pengukir sajak yang handalan.  Sebaliknya T. Alias Taib dibicarakan sebagai seorang pensajak yang menulis “sajak-sajak konfesi” (hal. 44-45),  sama seperti Baha Zain dan  lain-lain, padahal sebagai pensajak yang begitu serius dan tekun mengukir sajak-sajakya, beliau jauh lebih maju dan lebih berbakat daripada Baha Zain atau Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Hanya silapnya, T. Alias Taib tidak termasuk ke dalam kumpulan yang disebut oleh A. Samad Ismail sebagai kumpulan mafia sastera, dengan itu beliau tidak muncul sebagai seorang pensajak yang hebat. Jadi bukan tukang guntingnya saja yang menerima nasib malang, malah beliau sendiri menghadapi nasib yang sama.  T. Alias Taib yang layak diangkat menjadi Sasterawan Negara diketepikan, semata-mata kerana beliau tidak  termasuk dalam kumpulan mafia sastera  yang disebut oleh A. Samad Ismail itu.

Sajak-sajak sukar (yakni lanjutan daripada sajak-sajak kabur Noor S.I., M. Ghazali dan lain-lain) yang tidak dapat difahami ini bertentangan dengan falsafah penulisan dalam Islam. Dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam  Kesusasteraan: Teori dan Praktis,  perkara ini dibincangkan oleh beberapa orang penulis yang pakar dalam bidang pengajian Islam dan kesusasteraan Islam.  Pendeta Za’ba sendiri sejak tahun 1934 lagi telah mengingatkan, dalam kitab Ilmu Mengarang Melayu, supaya bertindak bijaksana dengan menjauhkan diri daripada memakai bahasa kiasan yang “terlampau jauh terpelanting perbandingannya atau maksudnya”; juga menjauhi daripada memakai  “kiasan yang tiada bererti kepada pembaca atau pendengar kerana perbandingannya tiada pernah dilihat atau diketahui mereka”; apatah lagi “kiasan yang terpaksa dihuraikan terang-terang baharu orang mengerti.”  Pendeknya, “tiap-tiap bahasa kiasan itu hendaklah kena tentang memakainya, bukannya boleh bila suka dan di mana suka sahaja.” Za’ba juga mengingatkan, “jangan bersengaja hendak memakai bahasa kiasan, biar ia datang sendiri jikalau alun tujuan yang dikarangkan itu membayangkan kepada hati kita sesuatu kiasan yang munasabah, pakailah itu; tetapi jika tidak demikian nescaya kiasan itu kelak kelihatan mengada-ada sahaja.” (Hal.  230, versi Jawi 1956). Tidakkah ini peringatan yang tepat dan  bagus?  Tetapi penulis  zaman sekarang menidakkan yang baik dengan berkata semuanya sudah ketinggalan  zaman, tidak sesuai lagi, kerana terlalu “mengajar” (tidak bagus diajar-ajar, kerana ‘aku sudah belajar/ jadi kurang ajar’!) padahal penulis zaman baru mahu bebas sebebas-bebasnya.  Tetapi kebaikan tidak mengenal zaman, boleh dipakai sepanjang masa. Adalah karut untuk mengatakan nasihat begini menyekat kebebasan menulis, kerana jika dipandang dari segi positifnya, ia mendorong penulis menjadi lebih kreatif dan lebih berhati-hati.  Oleh itu, seorang penulis yang merendahkan Za’ba tidak layak dipanggil pengarang; dia hanya layak digelar sasterawan saja.  Ya. Hanya seorang sasterawan.

Mohd. Affandi Hassan, 24/11/2010.

Thursday, November 25, 2010

Perlukah Bahasa dan Sastera Melayu Ditangisi?

Akhir-akhir ini banyak sekali kita dengar rintihan, rungutan, kesalan, kemarahan, dan entah apa-apa lagi mengenai bahasa Melayu. Perlukah kita tangisi nasib bahasa Melayu? Saya kira bahasa Melayu masih hidup dan semakin baik kedudukannya sebagai bahasa negara. Cuma akhir-akhir ini saja terdapat sedikit kekeliruan daripada ahli-ahli politik, di kalangan UMNO atau UMCO (nama baru yang agak popular sekarang) terutama sekali. Kekeliruan itu timbul daripada kelemahan bahasa Melayu mereka, yakni mereka tidak boleh bercakap Melayu dengan fasih dan tidak boleh berfikir dalam bahasa Melayu. Oleh itu mereka campur-campur bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam percakapan dan ucapan mereka. Masalahnya ialah, bahasa Inggeris mereka juga tidak lancar, menyebabkan mereka tergagap-gagap mencari nafas ketika ingin menyampaikan sesuatu. Mengapa jadi begini? Mereka adalah hasil pendidikan Malaysia yang telah gagal melahirkan manusia yang cekap berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dalam sistem pendidikan yang kita ada, terjadi jungkir-balik dari segi memahami keperluan ilmu dan kemahiran berfikir. Sepatutnya kita perkuatkan (sekarang orang kata, perkasakan) kemahiran berbahasa ini sebagai teras utama dalam sistem pendidikan, diikuti dengan pengajaran matematik. Dua mata pelajaran ini adalah teras kemajuan, teras pembinaan tamadun. Apa yang kita buat ialah menjadikan anak-anak kita bodoh dengan tidak memberi mereka peluang menjadi pengguna bahasa yang kompeten, yang boleh berfikir dengan teratur dalam berbahasa dengan menguatkan kemahiran mereka dalam ilmu matematik. Dua mata pelajaran ini berkaitan rapat: ilmu matematik memberi kita sistem untuk berfikir; bahasa pula memberi kita kebolehan untuk menyuarakan secara sitematis apa juga yang ingin kita ucapkan. Kita menjadi bisu dan bodoh apabila kerajaan mengutamakan sains dan teknologi. Itulah punca kelemahan kita berbahasa dan berbicara dengan sistematik. Dasarnya (bahasa dan matematik) tidak kita perkuatkan, yakni bahasa dan matematik. Kecelakaan ini terjadi kerana para pembuat dasar pelajaran tidak mengenal tamadun dunia secara dekat, terutama tamadun Islam. Jika mereka kenal tamadun Islam secara dekat, mereka akan tahu bahawa sebelum lahirnya Al-Farabi, Ibn Sina dan ahli sains Islam yang lain-lain, termasuk ahli matematik, sudah dikanunkan terlebih dahulu bahasa Arab dan sastera Arab dan nahu Arab. Pada waktu yang sama mereka mempelajari logik dan matematik. Dua ratus tahun kemudian barulah lahir tokoh-tokoh besar dalam berbagai jenis ilmu sains ini. Tak bolehkah kita jadikan ini panduan kita?

Mengenai sastera Melayu. Mengapa mesti ditangisi? Jika anda tahu bagaimana sejarah kesusasteraan Melayu moden dilahirkan, anda akan rasa bahagia dan gembira sekiranya sastera Melayu moden itu sedikit demi sedikit hapus. Tamadun kita mementingkan persuratan, yang melaluinya kita lahirkan pendita, ulama, para pengarang. Tamadun kita tidak kenal sasterawan dan tidak menghargai sasterawan. Hanya akhir-akhir ini saja kita tersasul jauh daripada dunia persuratan itu dan tenggelam dalam dunia sastera yang tidak memberi apa-apa yang istimewa jika dibandingkan dengan dunia persuratan yang telah melahirkan ribuan ulama dan cerdik pandai kita. Jika anda tidak kenal mereka, maka itulah tandanya anda sudah mabuk, betul-betul mabuk dalam sastera dan sasau dalam dunia yang tidak memberi apa-apa faedah dari segi intelektual. Fikirkanlah. Kita harus berbangga jika kita akhirnya akan kembali kepada persuratan dan meninggalkan sastera. Tidakkah kita telah silap besar? Kalau anda masih keras kepala, maka ketahuilah anda telah ditipu oleh faham sastera yang merugikan anda, tetapi anda tidak tahu atau terlalu degil untuk menerimanya. Anda perlu tahu, sebaik saja sastera Melayu moden diajarkan di universiti, maka bermulalah kebodohan umat Melayu tentang tamadun mereka. Bermulalah juga penggunaan bahasa Melayu yang tidak bersifat ilmah, tidak berciri intelektual, apabila bahasa Melayu dikaburkan dengan bahasa-bahasa "sastera" (kononnya) yang mengutamakan hawa nafsu, emosi, dan kebebasan menulis yang tidak berasaskan ilmu. Sesiapa juga yang mahu pertikaikan kesimpulan ini, silakanlah. Kemukakan hujah anda secara ilmiah, bukan mengikut perasaan. Kita harus ajar kembali rakyat kita mencintai ilmu, bukan lagi diri sendiri seperti yang diutamakan dalam karya sastera.

Mohd. Affandi Hassan, 25/11/2010.

Monday, November 22, 2010

Membina Generasi Persuratan Dengan Kesedaran Taklif Yang Tinggi


Mengapa taklif penting dalam kehidupan manusia?  Seperti yang dijelaskan oleh Shah Waliullah al-Dahlawi, tersirat di dalam konsep taklif itu tiga rahsia yang menjadi asas kehidupan semua manusia. Tiga rahsia taklif itu ialah ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar. Tentang rahsia pertama, secara fitrah manusia dibekalkan dengan kemampuan untuk memahami kewujudan Allah Ta’ala, dengan itu manusia diberi kemampuan untuk membaca ayat-ayat Allah di dunia. Dari situlah tercipta semua jenis ilmu dan kemahiran yang dipunyai manusia sekarang. Tetapi lama-kelamaan manusia memisahkan dirinya daripada sumber ilmu yang sebenar, yakni Allah Ta’ala, sehingga dia menjadikan dirinya ukuran nilai-nilai kehidupannya. Pada ketika itu dia tidak lagi sedar akan hakikat taklif yang secara tabi’i menjadi asas kejadiannya sebagai manusia. Walaupun dia mungkin seorang Muslim, beragama Islam, namun kesedaran taklifnya begitu rendah sekiranya dia tidak lagi mempelajari ilmu tauhid, dengan itu memisahkan dirinya daripada sumber ilmu yang benar. Dia mungkin tahu sesuatu daripada pengalamannya sebagai manusia (yang beriman atau tidak), tetapi tidak kenal hakikatnya. Inilah yang terjadi kepada Ratu Balqis, ketika beliau menemui Nabi Sulaiman ‘a.s. lalu melihat kolam pada lantai berkilat. Pengalaman empirisnya telah membuat dia melihat realiti semu di depan matanya. Apabila diberitahu Nabi Sulaiman ‘a.s. hakikat sebenarnya, barulah dia sedar dia telah menzalimi dirinya, dan dengan kesedaran itu dia menerima ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Sulaiman ‘a.s.            

Kerana adanya tiga rahsia taklif yang dihuraikan oleh Shah Waliullah tadi, maka barangsiapa yang benar-benar sedar dan faham akan hakikat taklif ini akan muncul sebagai seorang manusia yang kuat peribadinya, seperti yang ditekankan oleh Iqbal dalam syair-syairnya.

Mengapa taklif penting dalam seni mengarang dan penulisan? Taklif seperti kemudi kepada perahu dan kapal. Semua orang yang siuman tahu apa yang akan terjadi kepada perahu dan kapal jika tidak dikemudi dengan bijak dan betul. Bila perahu atau kapal sampai di pengkalan, taklif seperti tali sauh atau tali pengikat untuk menambat perahu supaya tidak hanyut dan selamat di perhentian. Bila kapal di tengah lautan, taklif seperti nakhoda yang cekap, mengelak dari  batu karang, membawa muatan yang berguna untuk semua manusia, yang diridhai Allah Ta’ala.   Taklif membina ilmu yang benar, membina peribadi takwa, menemukan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Semua ini terkandung dalam hakikat taklif.  Dengan kesedaran takif, jika anda seorang sasterawan atau sarjana, anda boleh baca apa juga karya. Tak akan terpesona. Anda boleh membezakan realiti semu dengan realiti hakiki. Ini penting, kerana ramai orang yang hanyut dalam realiti semu ini.   Apabila para sasterawan dan sarjana berasa selesa berada dalam realiti semu, menganggap lantai berkilat yang dipijaknya sebuah kolam yang dalam seperti yang terjadi kepada Ratu Balqis, maka mereka akan terus khayal dalam keselesaan palsu dan terus keliru dalam penilaian mereka. Orang-orang seperti ini sangat gigih mempertahankan kepalsuan itu bukan kerana mereka tidak tahu yang benar, tetapi kerana mereka berpihak kepada Mephistopheles seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam sajaknya, “baris-baris dari muzium goethe”. (Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 5). Dalam konteks ini, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah menyuarakan pendapatnya begini:  “Kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14).  Apakah kesalahan itu? Masih dirahsiakan. Berapa ratus jumlahnya? Belum lagi dihitung.  Siapa yang melakukannya? Belum ada kepastiannya.  Adakah Panel Anugerah Sastera Negara termasuk dalam senarai yang belum disiapkan?  Pertanyaan ini tidak perlu kerana Panel Anugerah Sastera Negara telah diisytiharkan tidak melakukan apa-apa kesilapan dan kesalahan.  Kesimpulan ini memang logik dan semestinya begitu: kerana kalau tidak, pelantikan Sasterawan Negara oleh Panel Anugerah Sastera Negara tentulah boleh dipersoalkan dan mungkin juga silap, oleh itu terdapat sasterawan negara yang tidak layak telah dilantik oleh Panel.  Semua ini menjadi masalah apabila konsep ilmu yang benar dan konsep taklif ditolak, tidak boleh dipakai dalam kritikan dan penilaian sastera yang diasaskan kepada teori dan nilai-nilai Barat, yang kini menjadi pegangan para sasterawan, pengkritik, sarjana dan ahli Panel Anugerah Sastera Negara.

Dua kekeliruan mesti dijelaskan: kemunculan generasi persuratan tidak bererti golongan sasterawan akan terhapus. Golongan sasterawan akan naik pangkat bila menyertai generasi persuratan, tetapi tidak sebaliknya.   Kedua: kemunculan generasi persuratan memang ditunggu-tunggu dalam persuratan Melayu, untuk mengembalikan nilai-nilai Islam dalam persuratan dan kebudayaan Melayu yang telah dirosakkan dan dipinggirkan oleh golongan sasterawan selama kira-kira 80 tahun, yang sampai ke kemuncaknya apabila Panel Anugerah Sastera Negara ditubuhkan. Panel inilah yang melanjutkan nilai-nilai sekular Barat dalam sastera Melayu moden dan dalam kebudayaan Melayu. Jika kita dapat percaya ucapan beberapa orang tokoh sasterawan yang mengatakan kita perlukan perubahan, atau kata mereka, kita perlukan anjakan paradigma, atau seperti kata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh kita telah lama membuat salah dalam penilaian kita, maka jalan keluar yang paling wajar dan selamat ialah dengan kembali kepada taklif, menjadikan taklif sebagai asas dalam seni mengarang.  Tetapi para sasterawan dan sarjana sastera menolak taklif, kerana menurut mereka jalan satu-satunya yang boleh membawa sastera Melayu moden mencapai taraf antarabangsa ialah dengan meniru dari Barat, seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika menilai karya A. Samad Said. Jadi sebenarnya mereka yang menyalakkan perubahan ini tidak mahu berubah. Malah yang berubah ialah sikap mereka yang tidak mahu lagi bercakap tentang perubahan, kerana di depan mata mereka berdiri gagasan Persuratan Baru mencabar kejujuran dan sikap lapang dada mereka yang selama ini mereka sering jeritkan sebagai kepunyaan mereka. Bagi mereka, orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka adalah biadab, tidak beretika, tidak bertamadun, cetek dan angkuh. Hanya orang-orang yang bersifat seperti yang mereka katakan itu saja yang menerima gagasan Persuratan Baru. Siapakah mereka ini sebenarnya?

Dalam seminar pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh baru-baru ini, pensyarah dan pensajak muda Shamsuddin Othman, Imam Madrasah al-Johori (maaf jika maklumat ini salah!) menulis satu kertas kerja yang banyak memetik ayat Al-Quran. Yang menarik ialah beliau mengemukakan “teori” (?) beliau yang beliau namakan Model Rasa Insaniah (MRI). Pada mulanya saya fikir sejenis mesin pengesan yang canggih, MRI yang dipakai di hospital. Rupanya MRI Shamsuddin ini meneropong tiga unsur, (1) penulis sebagai makhluk, (2) penulis yang bersifat kerasulan (?), (3) penulis dan karya. Bila saya fikir-fikir, saya kira konsep taklif yang dihuraikan oleh Shah Waliullah lebih tepat. Gerun juga membaca prinsip kedua itu. Dalam novel  Jejak Warisan saya catat, pengarang adalah tokoh penting dalam kehidupan manusia bertamadun dalam Islam, selepas ulama, kerana ulama adalah waris para nabi.  Ulama besar adalah pengarang terkenal pula, dan dari kitab-kitab mereka kita belajar tentang hakikat Islam. Urutannya jelas. Tidak pasti mengapa Shamsuddin Othman mengemukakan MRI. Mungkin kerana beliau ingin berteori-teorian. Kalau itu tujuannya, memang tidak perlu, kerana yang anda kemukakan itu boleh membawa kekeliruan. Kita sudah ada istilah kita sendiri, pakai saja supaya mengelak dari kekeliruan. Oleh itu saya ingin peringatkan kepada generasi persuratan, mereka tidak harus mengusutkan yang telah dijelaskan oleh para ulama, misalnya dengan mengemukakan idea “realisme magis Islami” yang mengelirukan itu. Jika kita berpegang kepada Surah al-‘Asr, kita tidak akan keliru; malah kita akan jadi lebih berani dan jujur untuk menyatakan kebenaran yang diajarkan kepada kita oleh para nabi. Tepat sekali pandangan Imam Shafi’i bahawa Surah al-Asr itu sepertiga daripada al-Quran. Pendek, tetapi huraian dan maknanya panjang seluas angkasa; dalamnya lebih dalam daripada tujuh lautan; tingginya lebih tinggi daripada semua gunung yang di darat dan di dalam laut. Kalau anda mahu tahu, itulah hakikat taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Waliullah: ilmu pengetahuan; keadilan; usaha ikhtiar. Terjemahan (A. Hassan Bandung): “Perhatikan masa; sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; kecuali orang yang beriman dan beramal baik dan berpesan-pesan pada (menjalankan) kebenaran, dan berpesan-pesan pada manjalankan kesabaran.”  Para sasterawan, sarjana, ahli akademik, pengkritik sastera, tidak suka dinasihati;  sebab itulah mereka anti-khutbah kerana di dalam khutbah itu terkandung nasihat yang baik. (Untuk mendapat huraian dan penjelasan lanjut, lihat kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009), hal. 122-124).

Mohd. Affandi Hassan, 22/11/2010.