Thursday, September 29, 2016

SARJANA SENTENG/SINTING (bahasa Indonesia) DALAM KRITAKAN SASTERA MELAYU

Apabila saya memberitahu seorang sahabat, saya akan menulis tentang “sarjana senteng” dalam kritikan sastera Melayu, dia tertawa seperti orang hilang akal, benar-benar telah “senteng”. Bila saya bertanya, apakah yang menggelikan hatinya, dia terus tertawa, sehingga saya terpaksa menunggu agak sejenak sebelum dia “siuman” balik. Katanya, “Lucunya, baru sekarang kau sedar ada sarjana senteng di kalangan sarjana sastera. Tapi tak mengapa, kau telah gelar mereka sarjana ciritan dan lain-lain gelaran yang penuh sindiran tajam. Apa kau nak tulis tentang mereka?” Saya beritahu dia supaya tunggu sehingga saya siap menulis tentangnya. Dia masih tertawa bila kami berpisah.

Kamus Dewan meminjam perkataan “senteng” itu daripada bahasa Indonesia, yang dieja “sinting”. (Ejaan “senteng” juga dipakai).  Menurut Kamus Dewan, dalam bahasa percakapan, “senteng” bererti sudah tidak menentu lagi ingatannya, cacau.  Kamus Besar Bahasa Indonesia pula memberi makna “sinting” (bahasa Jawa)  sedeng, miring; tidak beres fikirannya; agak gila. Dalam bahasa Melayu, kita selalu sebut  “mereng” untuk “miring” dalam bahasa Indonesia; misalnya dalam ungkapan “otaknya sudah mereng”.  Ala kulihal, semua anak-beranak ini mengarah kepada “kesihatan mental” yang tidak teruk sangat, tetapi sekali sekala nampak teruk juga (contohnya akan diberikan kemudian). Dalam bahasa Inggeris lebih dikenali dengan panggilan  “schzophrenia,”  yang menurut kamus psikologi  diberi takrif “Schizophrenia:   a type of mental disorder, inclusive of what formerly  called demencia praecox, characterised by dissociation, particularly the intellectual processes and the affective, the later being also to a great extent disorganized, with many varieties.”  (Prof. James Drever, A Dictionary of Psychology.   Penguin Reference Books, 1st published 1952; 6th edition 1960. Dibeli pada 16/9/1961.)

Mengapa konsep ini peting dalam kritikan sastera Melayu? Semuanya bermula daripada pengakuan Profesor Muhammad Haji Salleh yang berbunyi,  “I was a linguistic and cultural schizophrenic. English colonized me, yet it was my lifeblood” (hal 21).  Rupanya inilah bukti paling jelas dan paling kukuh akan peri wujudnya sarjana ciritan dalam kritikan sastera Melayu.  Kita telah bertemu pelopornya yang memberi pengakuannya yang jujur. Tidak hairan lagi apabila beliau naik bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerja untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Dalam kertas itu juga kita bertemu kata-kata beliau yang tajam:  “Seminar cukup banyak  -  tapi sering umum  -  berulang tajuknya. Biasanya kertas daripada falsafah baru  -  iaitu semuaya dikitar semula...” (hal. 246). Sebelum itu dia melepaskan tempelaknya dengan penuh autoriti seorang sarjana besar yang genius:  “Kritikan ialah satu sayap sastera yang sudah patah - - sebahagiannya dipatahkan orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat terhadap penulis lain. ...” (hal. 246.)

Seorang pembaca  yang siuman, dan normal, akan bertanya, “Adakah itu ucapan yang siuman?” Jawapannya diberikan oleh James Drever dalam definisinya tentang “schizophrenia” (dikutip di atas.) merujuk kepada “a type of mental disorder  particularly the intellectual processes ...”  Tidak ada sebab, tiada alasan langsung untuk Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (seterusnya Prof. Emeritus)  membelasah apa yang disebutnya pengkritik “gasang” yang tidak beretika dan tidak beradab itu. Kita tidak tahu siapa orangnya, apa yang dia ucapkan yang biadab dan tidak beretika itu.  Ucapan begini, bila tersembur daripada mulut seorang Prof. Emeritus, terasa sangat aneh, sehingga kita terpaksa bertanya, “Inikah taraf akademik seorang Prof. Emeritus?”  Apa maknanya kata-kata beliau, “Criticism with kindness” itu, sekiranya beliau sendiri sangat celupar, biadab dan tidak beretika membuat tuduhan melulu tanpa sebarang hujah dan pembuktian? Jadi “orang gasang” itu beliau sendiri, Sang Prof. Emeritus ini.  Kesimpulan ini amat menggusarkan kita sebenarnya, kerana di kalangan sarjana utama kita tercokol seorang tokoh besar yang pada dasarnya mengidap a kind of mental disorder, yang diakuinya sendiri. Apa sudah jadi dengan dunia akademik kita? Ini yang menggusarkan kita yang siuman ini, yang berusaha bersungguh-sungguh membina persuratan Melayu abad 21 yang dinamik berasaskan konsep tauhid dan taklif. Nyatalah beliau tidak tahu menahu adanya perkembangan ini, yang sudah pun dimulai lama dahulu dan bukunya terbit 1992 dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, yang telah diterima sebagai salah sebuah buku yang penting dalam pemikiran Islam peringkat global. Keselekehan begini tidak cocok dengan kedudukan tinggi seorang Prof. Emeritus yang begitu terhormat, yang sangat aneh apabila orang ini memperlihatkan sikap negatif dan kebenciannya terhadap ilmu. Belajarlah daripada orang yang lebih bijak daripada kamu, jika kamu dapati diri kamu memerlukan input ilmu yang akan membolehkan kamu berbicara tentang ilmu sebagai seorang sarjana yang siuman. Itu tuntutan akademik yang normal, dan juga tuntutan agama sendiri.

Kita perlukan dialog yang siuman dan berlandaskan ilmu, bukan saja-saja mahu tunjuk angkuh seolah-olah kamulah yang memegang gedung ilmu, walaupun kamu sebenarnya amat jahil dalam subjek yang sedang dibincangkan ini.  Kritikan sastera Melayu sudah jauh maju, sudah jauh berubah, tidak lagi seperti zaman kamu yang ternyata begitu jauh ketinggalan zaman. Sekarang kita berbicara tentang konsep ilmu dan peranan ilmu dalam pembinaan tamadun, tentang adab dan kehilangan adab dalam kebudayaan dan dalam perkembangan intelektual di negara kita. Semua sarjana kita harus memberi sumbangan ke arah itu; dan jika mereka tidak berupaya, maka mereka perlu belajar. Sudah ramai yang boleh memberi kuliah kepada mereka yang akan membolehkan mereka meneroka dunia ilmu yang luas yang disediakan oleh tamadun Islam. Tidakkah kamu ingin ikut sama dalam intifadah ilmu ini? Sekiranya kamu baru kali ini dengar istilah intifadah, kamu harus tahu sudah beribu para syuhada gugur dalam intifadah di Palestin. Sekarang kita bawa konsep dan gerakan intifadah itu dalam bidang akademik, dalam bidang ilmu. Marilah ikut kami memperjuangkan peranan ilmu dalam pembinaan tamadun negara kita, Malaysia.

Para sarjana dan sasterawan kita sepatutnya sudah keluar dari kandang kejahilan  mereka, berada di pinggiran warisan budaya mereka sendiri sebagai golongan yang cetek meraba-raba.  Fi’il Prof. Emeritus ini sangat aneh, kita disuruhnya masuk hutan untuk mendapat cerita-cerita lisan di Sarawak dan Sabah; atau mengenali cerita lisan Jepun, China, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, Turki dan Parsi. Mengapa mesti masuk hutan jika yang kamu perlukan ialah khazanah intelektual yang amat kaya dalam tradisi keilmuan dalam tamadun Islam? Lebih baik kamu pergi ke Andalus, atau ke negara-negara bekas Soviet di Asia Tengah (mungkin boleh tidur di rumah bisan Najib Tun Razak di salah satu negara itu), yang memang kaya dengan khazanah intelektual Islam. Bertemulah dengan para ulama dan ahli ilmu Islam, bukan manusia bercawat di dalam hutan yang banyak nyamuk malaria itu. Apa yang kamu hendak sebenarnya? Apa yang kamu cari?

Sesiapa juga yang tidak tahu keutamaan yang diperlukan bukanlah seorang intelektual, tetapi hanya seorang penjual tuak tua, yang masam dan sudah pun jadi cuka, tidak boleh diminum sebagai air tuak yang manis lazat itu. (Di Kelantan air tuak ialah nira kelapa; bukan tuak todi Sarawak dan Sabah.)  Berapa ramai sarjana sastera dan sasterawan Malaysia mabuk tuak todi teori sastera Barat. Kita boleh lihat ini dengan jelas dalam tiga buah buku Mana Sikana yang diterbitkan oleh ITBM dan DBP. (Buku-buku ini sudah banyak kali saya sebut dalam blog ini.)  Tetapi yang paling menarik ialah sekumpulan karangan/kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara, yang dari segi kualiti ilmiah adalah contoh tuak todi teori sastera Barat yang ditiru dengan begitu geram; sehingga seminar “pemikiran” sasterawan negara itu bertukar menjadi pesta tuak todi teori sastera Barat. Kesimpulan ini tidak dapat dinafikan, kerana setiap tajuk kertas kerja yang ditulis semuanya dipadankan daripada teori sastera Barat. Teori sastera Barat itu digunakan untuk “membuktikan” karya para sasterawan negara adalah hebat, boleh dianalisis daripada teori apa juga yang diminati penulis kertas kerja.  Tetapi hasilnya sangat menghampakan anda jika anda membaca kertas kerja itu dengan kritis dan kreatif. Dua contoh sudah cukup. Bacalah kertas kerja Arbak Othman yang menganalisis/tafsir sajak-sajak Muhammad Haji Salleh dari perspektif semiotik. Diakuinya sendiri dia gagal memahami sajak-sajak itu. Lihat pula teori tekstualiti Dr. Mawar Shafie membicarakan Naratif Ogonshoto, hanyut dibawa tsunami pretensi intelektual yang cetek dan kaya dengan unsur iwajan, sehingga sanggup dia meredaksi Kisah Banjir Nabi Nuh ‘a.s. yang disamakannya dengan tsunami khayalan Anwar Ridhwan yang dibawa oleh Penyu Gergasi yang keluar dari pertapaan di gua besar. Tekstualiti yang dibanggakannya itu hanyalah pembohongan yang diutarakan oleh cerita-cerita penglipur lara yang diadaptasi oleh Anwar Ridhwan. Adakah itu “pemikiran”? Inilah contoh “orang gasang” yang telah mematahkan sayap kritikan sastera Melayu, yang disumpah oleh Prof. Emeritus sebagai “salakan anjing kurap” semata-mata. Kertas kerja seumpama ini tidak memberi sumbangan intelektual yang sebenarnya, tidak lebih dripada retorik peragaan (di sini keghairahan menggunakan istilah dan konsep sastera Barat yang dicedok begitu saja, tidak kritis pula dan jauh sekali dari bersifat kreatif.) 

Apakah isunya di sini? Isunya ialah terdapat kerenggangan yang amat jauh/lebar antara kualiti sebenar karya dengan pujian yang dilemparkan ke atasnya.  Dalam contoh Arbak Othman tadi, dia telah memutuskan, sebelum menilainya, bahawa sajak-sajak Prof. Emeritus itu bernilai intelektual yang tinggi. Tetapi apa yang terjadi? Dia mengaku dia gagal memahami sajak-sajak berkualiti intelektual tinggi itu. Mengapa beliau memberi pujian terhadap karya yang dia sendiri tidak pasti dia faham atau tidak? Dia dengan berani membuat kesimpulan, para penilai mesti mengorek makna sajak-sajak intelektual Muhammad Haji Salleh walaupun dia sendiri sudah gagal memberi interpretasi yang memuaskan, yang cocok dengan sajak itu. Kerana beliau menggunakan teori semiotik, teori tanda, kesimpulan beliau amat aneh. Dia mengatakan semiotik tidak dapat memahami sajak-sajak Prof. Emeritus yang amat tinggi nilai intelektualnya. Terdapat tiga keadaan yang perlukan penjelasan: betulkah sajak-sajak Prof. Emeritus itu bernilai tinggi? Tidak pasti, kata Arbak Othman. Ini bererti teori semiotik tidak berguna, tidak dapat membantu kita memahami sajak yang begitu tinggi nilai intelektualnya. Ketiga, adakah Arbak Othman membuat pilihan yang betul ketka memilih teori semiotik? Inilah masalah ilmu yang tidak sampai atau belum sampai kepada beliau walaupun jawapannya ada dalam istilah ayat yang terpakai dalam nahu Melayu. Ayat adalah berupa rangkai kata-kata yang bertujuan untuk memberi atau menyampaikan makna tertentu. Ada matlamatnya, dapat diketahui maksudnya, boleh difahami maknanya. Itu fungsi ayat. Apakah ayat?  Ayat adalah tanda wujudnya sesuatu yang dengan memahaminya dia (seseorang) menjadi tahu akan sesuatu. Saya ulang hujah ini kerana sangat penting dalam kritikan sastera, oleh itu mesti difahami betul-betul.  Apakah matlamat akhir ayat, atau tanda itu? Memberi maklumat yang tepat, betul, dan berguna kepada semua manusia. Tempat kembalinya yang sah dan pasti ialah kepada sumber asal yang melahirkan ayat-ayat itu, yang dalam kritikan sastera kita panggil konsep ilmu yang benar, yang sumbernya ialah al-Quran, dan al-Quran itu wahyu Allah kepada semua manusia. Bolehkah kita meletakkan “puisi” dalam konteks itu? Itulah yang dibuat oleh Rumi, Iqbal, dan lain-lain penyair Islam. Itulah makna pemikiran yang sebenarnya. Berkali-kali saya ulang isu ini kerana tidak difahami oleh sarjana dan sasterawan yang mengidap penyakit mental schizophrenia!  Anak-anak muda berkata, mereka adalah sarjana dan sasterawan poyo.

Apakah bukti yang paling jelas peri wujudnya penyakit mental schizophrenia  dalam sastera Melayu?  Buktinya boleh kita lihat dalam sikap dan tindakan mereka terhadap konsep ilmu yang benar, terutama sekali jika dikaitkan dengan gagasan Persuratan Baru. Ada di antara mereka yang berkata, mereka tidak menolak konsep ilmu yang benar itu, mereka hanya menolak gagasan Persuratan Baru sebagai satu alternatif dalam teori sastera Melayu. Hujah paling kerap yang mereka lontarkan ialah sastera Melayu tidak perlu kepada karya persuratan yang diperjuangkan oleh gagasan Persuratan Baru. Jika saranan itu diterima, kata mereka, maka kedudukan para sasterawan negara akan terjejas, malah tidak relevan lagi kerana mereka bukan menulis karya persuratan, padahal para sasterawan negara ini memberi sumbangan besar dalam perkembangan naratif moden dalam sastera Melayu, yang dahulunya dikuasai oleh sastera hikayat dalam persuratan Melayu. Inilah cara berhujah yang menjadi bukti bahawa para sarjana dan sasterawan sebahagian besarnya adalah sedang menderita penyakit mental yang dijelmakan dalam sikap schizophrenic mereka terhadap konsep ilmu. Inilah yang membuat mereka selesa berada dalam dunia “sinting” yang menjadi wadah penulisan kreatif dan kritikan sastera yang dipopularkan oleh mereka.

Isu paling besar tentang dunia “sinting” yang menjadi pegangan mereka ialah kecelaruan kognitif yang menjadikan mereka pengidap penyakit mental yang bersifat schizophrenic yang boleh dilihat dengan jelas fi’il mereka sebagai  kumpulan yang “characterised by dissociation, particularly the intellectual processes and the affective,” dalam cara mereka menilai sesuatu idea.  Contoh-contohnya telah disebut banyak kali dalam blog ini, oleh itu tidak perlu diulang lagi. Isunya ialah sama ada anda faham atau tidak.  Sastera Melayu yang dikuasai golongan schizophrenic yang “sinting” ini hanya berjaya melahirkan karya picisan dari segi muatan ilmu dan picisan pula dari segi penggunaan ruang naratif dalam membina karya kreatif mereka, yang seluruhnya dikuasai oleh teknik penglipur lara yang melahirkan karya yang hanyut dalam khayalan realiti semu yang mereka anggap sebagai satu-satunya realiti yang realistik. Itu mereka namakan realiti kemanusiaan sejagat. Itulah nilai tertinggi konsep sastera yang menjadi pegangan mereka.  Dengan munculnya kegilaan baru di Barat yang mereka panggil pascmodernisme,  mereka tolak universalisme. Tetapi kaum pascamodern celup di Malaysia masih hanyut dalam universalisme palsu itu. Adakah ini kesan sikap dan fi’il mereka yang dijangkiti schizophrenia?  Yang menariknya, mereka tidak pasti, satu tanda yang jelas mereka sudah berada dalam kandang schizophrenia. Di sinilah istimewanya Prof. Emeritus kita, kerana dia tahu dia mengidap linguistic and cultural schizophrenia, dan dia amat bangga kerana menurut tradisi Barat, orang seperti ini adalah genius. Kesimpulan Prof. Emeritus Muhamad Haji Salleh yang dia seorang genius sebenarnya saya setuju, sekurang-kurangnya saya terhibur dengan keberaniannya menonjolkan sifat schizophrenic-nya dengan mengaku berterus terang. Dr. Muhamad Saleeh Rahamad tidak mempunyai keberanian itu, tidak juga Baha Zain. Saya tidak keberatan menerima Baha Zain juga seorang genius in his own way, kerana dia memang pandai bermain kata-kata yang sebenarnya hanya retorik teh tarik saja bagi yang faham konsep ilmu.  Tidak hairanlah jika mereka mempunyai ramai pengikut yang sering kali dengan membuta-tuli mempertahankan mereka. Bagi tokoh schizophrenia, keadaan itu biasa saja, bukan sesuatu yang harus disensasikan walaupun mereka sebenarnya mempunyai perangai dan fi’il laku yang amat sensational.

Siapakah tokoh yang paling sensasional dalam Sejarah Melayu? Saya yakin Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tahu tokoh itu.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29 September 2016.








Saturday, September 24, 2016

BEGITU SENANGKAH MEMBOHONGI KEBENARAN?

Bila saya baca seorang profesor membohongi pelajarnya, atau pengikutnya, perihal “makna” selalu berubah, lalu dia dengan sewenangnya memberitahu kita dia sudah punya satu teori yang diberinya nama “teori anjakan makna”, saya tidak jadi tertawa, walaupun pengakuannya itu amat lucu, dan sekali gus lucah. Lucu kerana bohongnya, seperti semua kelucuan yang kita dapat daripada Raja Lawak  atau ahli politik yang selalu mengubah pengakuannya bila dia sedar orang tidak mempercayainya. Contoh paling baik dalam kes 1MDB. Lucah kerana yang diucapkan oleh profesor ini, dalam konteks ilmu, samalah dengan mencarut tentang kemaluan manusia, jantan atau betina. Bezanya, jika anda mencarut tentang ilmu, orang tidak beri perhatian kerana mereka jahil. Sebaliknya, jika anda mencarut tentang seseorang, semua orang jadi marah atau tertawa lucu kerana semua mereka tahu benda yang dicarutkan itu. Mengaku adanya “teori anjakan makna” adalah sejenis carutan dalam ilmu, hanya anda akan sedar sekiranya anda tahu tentang konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam.  Saya telah menyalin satu kutipan agak panjang daripada tulisan/analisis Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas mengenai sifat bahasa Melayu yang telah ditarbiah oleh bahasa Arab, bahasa al-Quran. (Entri bertarikh 16 September 2016.)

Maknakah yang berubah, atau sikap kita terhadap sesuatu konsep?  Dalam teori sastera Barat, kita lihat seluruh perkembangan teori mereka hanya berpusat kepada tiga entiti saja: pengarang, karya, pembaca.  Era Romantisisme, penekanan kepada pengarang; kemudian berubah kepada karya dalam Era Kritikan Baru (New Criticism), selepas itu berubah kepada pembaca dalam Era Hermeneutik. Kita ambil satu contoh yang amat terkenal dalam kritikan sastera Barat: perihal T.S. Eliot mengkritik drama Shakespeare, Hamlet.  Reaski yang diterimanya sangat keras, berupa bantahan dan sampai kepada maki hamun dalam kritikan terhadap beliau. Bagaimana jika anda gunakan “teori anjakan makna”, sekiranya teori itu benar-benar ada.  Adakah makna drama itu yang berubah atau sikap anda terhadap drama Hamlet itu?  Hal yang sama dialami oleh Salina; pada mulanya dianggap karya lucah; kemudian jadi karya paling berjaya setelah Prof. Teeuw memujinya. Kedudukan Salina menjadi semakin kukuh apabila mendapat sanjungan dan pujian daripada Panel Anugerah Sastera Negara. Selepas itu, apabila diperkenalkan gagasan Persuratan Baru, Salina menerima kritikan paling tajam daripada gagasan Persuratan Baru. Masih karya yang sama, tetapi dalam penilaian PB, Salina adalah sebuah karya picisan: dari segi teknik, bahasa, tema, gaya dan “makna” sebagai sebuah karya kreatif.  Gagasan Persuratan Baru meletakkan karya ini dalam neraca yang diberikan oleh konsep ilmu yang benar. Sekarang anda harus membuat pilihan: adakah ini bermakna sudah berlaku “anjakan makna”? In a crude way, ya. Memang berlaku, iaitu anda tidak lagi menilai dari kejahilan anda tetapi kini berasaskan konsep ilmu yang benar.  Cabaran paling besar, sebagai pengguna bahasa Melayu, ialah: Adakah tidak konsep ilmu yang benar itu? Jika anda baca kembali penjelasan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, anda mungkin ... Saya biarkan anda membuat pilihan. Dengan berubahnya sikap anda terhadap ilmu, makna kehadiran Salina dalam sastera Melayu kini boleh diberi definisi yang tepat, berasaskan konsep ilmu yang benar.  Tugas anda sekarang ialah menolak konsep ilmu yang benar itu. Bersedialah untuk menghadapi akibatnya, yang memang anda tidak boleh mengelak. Apakah “makna” dalam kehidupan intelektual dan akademik anda? Pertanyaan ini sangat penting; jika anda tidak menghadapinya dengan kesedaran ilmu, anda mungkin termuntah hingga keluar tali perut untuk memastikan berlaku pembersihan dalam perut anda. Jika anda tidak berubah, maka sudah jelas anda berada dalam salah satu empat kategori yang dihuraikan oleh Shah Waliyullah itu.  Lihat kitabnya, al-Fauzul Kabir, terjemahan bahasa Inggeris (Book Trust, Kuala Lumpur).

Menurut pemerhatian saya, sastera Melayu moden juga mengalami perubahan sikap ini. Sekarang sudah ada orang tidak lagi menerima kedudukan Asas 50 sebagai pelopor sastera Melayu moden, setelah orang mula sedar betapa golongan Asas 50 menidakkan peranan Islam dalam perkembangan bahasa Melayu dan persuratan Melayu. Kita mempunyai rekod yang jelas tentang perkara ini. Berasaskan rekod itu, kini kedudukan para sasterawan negara tidak lagi dapat dipertahankan, setelah kita semua tahu bagaimana Asas 50 mempermainkan peranan Islam dalam perkembangan kebudayaan, bahasa dan persuratan Melayu.  Sebagai ahli waris Asas 50, atau paling kurang yang menerima kesan muntah pembohongan Asas 50, maka para sasterawan negara ini berada dalam lubuk pembohongan intelektual yang sengaja diterjuni mereka dengan segala usaha dan pemalsuan ilmu yang begitu ketara. Di mana hendak diletakkan muka? Hanya dengan menggunakan pembohongan yang disediakan oleh “teori anjakan makna” yang sama karutnya dengan kemunculan para sasterawan negara sendiri. Pembohongan membela pembohongan. Sungguh menarik drama Melayu ini. Perkembangan yang amat “bermakna” dalam Plot 1MDB sastera Melayu moden. Yang selaras dengan perkembangan politik. Tidakkah anda tahu bagaimana Tun Razak diperdayakan oleh puak Asas 50 untuk menerima cadangan mereka supaya kumpulan mereka diberi gelaran “sasterawan negara”? Plot 1MDB bukanlah baru, yang baru pelakonnya. Kira anak-beranak, untuk establish betapa besarnya jasa mereka dalam melaksanakan konsep “anjakan makna” cetusan sang profesor.

Untuk makluman anda, saya telah mengkritik Asas 50 sejak tahun 1970-an lagi. Pengarang Berita Minggu, almarhum Sutan Shahril Lembang menulis dalam rencana pengarang bertarikh 17/8/80 begini: “Dua orang intelektual yang disegani – Prof Ismail Hussein dan Mohd. Affandi Hassan – pernah mengecamnya sepedas mungkin.”

Kini anda sudah bersedia untuk menilai dengan kritis Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Mereka telah menerbitkan Sastera Teras Negara Bangsa.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 24/9/2016






Friday, September 16, 2016

MENGEMBALIKAN KEHILANGAN ARAH DAN MARUAH SASTERA MELAYU: PENGARUH GERAKAN ‘IWAJAN DALAM KEBUDAYAAN, BAHASA DAN KESUSASTERAAN MELAYU

Kesan negatif yang amat buruk dalam persuratan Melayu, yang dibawa oleh kumpulan Asas 50, belum lagi diberi analisis yang kritis berasaskan perilaku para anggota Asas 50 sendiri dan para pengikut mereka.  Mitos yang dibina ke atas mereka begitu kuat, seolah-olah sastera Melayu tidak wujud tanpa Asas 50; padahal  yang sebenarnya terjadi adalah sebaliknya. Asas 50 telah mencemarkan imej Islam dengan melemparkan fitnah, tanpa pengetahuan yang tepat, bahawa bahasa Melayu menjadi lembap dan mundur kerana menggunakan tulisan Jawi, yang menurut Asas 50 tidak kena mengena dengan Islam, kerana itulah hakikatnya, kata mereka tanpa pengetahuan, yang  berlaku di Turki. Kata mereka, tulisan Arab (di sini tulisan Jawi) tidak kena mengena dengan perkembangan Islam di Turki. Ini suatu kesimpulan yang amat jahat, yang cukup celaka dalam konteks perkembangan agama Islam, kerana tuduhan ini tidak berasas sama sekali.  Seperti yang kita ketahui,  di mana saja Islam berkembang, bahasa Arab atau bahasa al-Quran itulah yang menjadi asas perkembangan bahasa-bahasa moden Islam seluruh dunia. Dalam kata-kata Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas:

“Bilamana Islam menyebarkan diri pada bangsa-bangsa insani maka yang pertama menerima kesan keislaman tertayang pada bahasa bangsa-bangsa itu, kerana pengislaman sesuatu bangsa nyata terjelma dalam rencana bahasanya. Maka di sisi kebudayaan pengislaman bahasa merencanakan pengislaman pemikiran. Dan pemikiran yang diislamkan itu merencanakan pandangan alam yang ditayangkan oleh peristilahan-dasar Islam menerusi bahasa Arab.  Maka dengan ini nyatalah bahawa Islam sedari awal-mulanya memang mengenali sifat sesuatu bahasa itu sebagai merupakan suatu rencana pandangan terhadap alam dan hakikat semesta, yang masing-masing berbeza mentafsirkan hakikat pengalaman dan keadaan sekeliling menerusi tapisan bahasa jua; memang mengenali bahawa bahasa itu seakan-akan suatu tabir tipis beraneka-warna yang senantiasa berada di hadapan wajah akali si pemandang alam, baikpun yang dipandangnya itu alam zahir mahu alam batin. Maka warna dan corak, sifat dan bentuk alam yang dipandang itu akan terpengaruh juga oleh sifat bawaan tabir tipis bahasa yang merupakan alat akali bagi mengawal merencana-bentukkan corak gambaran serta pengertian dan pentafsiran yang berlaku menerusinya itu. Dengan ini kita lihat jelas bahawa bahasalah jua yang menimbulkan masalah yang paling rumit dalam ilmu falsafah. Dapat juga direnungkan bahawa sesungguhnya nahu sesuatu bahasa itu merupakan bagi kebudayaan suatu rencana penerokaan terhadap hakikat kejadian semesta yang difahami serta difahamkan oleh kebudayaan, dan perbendaharaan-katanya mencorakkan faham-faham yang membina rencana penerokaan  itu.  Kesimpulannya sangat jelas bahawa pengislaman bahasa itu merupakan unsur utama bagi kefahaman terhadap Islam dan kebudayaan serta tamadun Islam pada keseluruhannya. Sekiranya rencana ma’nawi serta penisbahannya yang terdapat dalam peristilahan-dasar bahasa-bahasa orang Islam itu dikacau-kelirukan maksudnya, dan disaru-samarkan dengan rencana ma’nawi serta penisbahannya yang dibawa masuk dari sumber-sumber asing, maka sudah barang tentulah akan berlaku apa yang digelar di sini sebagai penafian keislaman dalam pemikiran dan fahaman; sebab keadaan demikian menafikan pengislaman yang telah dikenakan pada pemikiran orang Islam menerusi peristilahan-dasar bahasanya. Dan keadaan demikian ini memang kini sedang pesat berlaku di kalangan Kaum Muslimin.”  (Himpunan Risalah, 2015:  hal. 113-114).

Kutipan panjang ini penting difahami kerana inilah yang terjadi dalam kebudayaan, bahasa dan kesusasteraan Melayu, sebagai kesan malapetaka yang dibawa oleh Asas 50, yang kemudiannya diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang menjadi inti-sari semua karya para sasterawan negara.

Mengapakah hanya Malaysia mempunyai sasterawan negara? Apakah keistimewaan Malaysia dan apa pula keistimewaan sasterawan negara? Dua perkara ini saling bergantung, sebagai kesan negatif perkembangan politik feudal di Malaysia. Kemunculan UMNO dengan usaha pemerintah Inggeris adalah malapetaka besar kepada bangsa Melayu. Mereka dikandangkan dalam projek  pembukaan tanah baru, FELDA, oleh Tun Razak bin Hussein dari Pahang selepas Tanah Melayu merdeka tiga tahun. Orang Melayu menyambut projek perhambaan moden ini dengan amat ghairah, kononnya mereka akan mendapat tanah mereka yang mereka teroka sendiri. Betul mereka diberi tanah enam ekar, tetapi mereka tidak sedar mereka telah dikandangkan dalam kawasan tanah baru itu untuk menjadi kuli kepada para pemimpin UMNO. Apabila FELDA sudah maju, para peneroka dijadikan hamba untuk memberi input kepada perniagaan, yang memang diwujudkan untuk kepentingan politik dan untuk memberi faedah kepada ahli politik. Apabila timbul kesedaran di kalangan para peneroka bahawa mereka telah ditipu, yang timbul di kalangan peneroka Kelantan, mereka bawa kes penipuan ini ke Mahkamah. Mereka menang, dan selepas itu semakin ramai peneroka membawa kes mereka ke Mahkamah dan menang. Tiba-tiba kini menjadi sepi? Apa yang terjadi? Satu sejarah perjuangan rakyat perlu ditulis tentang penipuan politik dan ekonomi di FELDA  ini. Kita perlu tahu mengapa mereka tidak dibenarkan mengurus harta benda mereka sendiri, dilatih dan diberi kemudahan daripada hasil titik peluh mereka sendiri. Mengapa mesti diambil orang politik untuk mentadbir syarikat FELDA yang begitu besar sekarang? Mengapa peneroka masih terus miskin? Inilah cerita yang ada kaitannya dengan kemunculan sasterawan negara. Cerita ini hanya boleh difahami jika dilihat dalam konteks gerakan bercorak iwajan  dalam perkembangan bahasa dan sastera, dalam politik dan kebudayaan Melayu. Apabila Asas 50 menjatuhkan hukum bahawa bahasa Melayu tidak perlukan tulisan Arab jika mahu maju, maka terjadilah rangkaian kehilangan arah dan maruah dalam kebudayaan Melayu yang selama beratus tahun menggunakan tulisan Jawi dalam persuratan Melayu. Bagaimana ini berkait dengan FELDA? Sekarang tidak saja rakyat tertipu dan ditipu dalam bidang politik dan ekonomi, dikandangkan dalam tanah-tanah FELDA, malah para penulis dan sasterawan pun sudah dikandangkan dalam sistem penilaian kejayaan penulisan yang diberi tafsirannya oleh pekerja kebudayaan yang mendapat faedah daripada ahli politik. Kerjasama sasterawan dan ahli politik inilah yang melahirkan sasterawan negara. Dengan kerjasama ini, maka para sasterawan dengan rela hati dan bangga dimasukkan ke dalam kandang feudalisme budaya, yang diberi nama ITBM. Hasil pengandangan budaya ini boleh dilihat dengan jelas dalam kertas kerja yang dicernakan oleh para penulis kertas kerja untuk SKPM 2014. Itulah yang terjadi, maka dengan itu kedudukan para sasterawan negara diperkukuhkan dalam program yang berunsur iwajan ini.

Kemunculan sasterawan negara adalah kemenangan besar Asas 50 yang kemudiannya merosakkan arah dan maruah persuratan Melayu. Projek iwajan Asas 50 berjaya cemerlang dengan sokongan dan dukungan ahli politik UMNO yang berjaya mengandangkan para penulis, sasterawan dan ahli akademik untuk meneruskan feudalisme budaya yang dicipta oleh ahli politik UMNO. Walaupun kumpulan Asas 50 dan para pengikut mereka sering bercakap tentang adab dan kesopanan, mereka tidak dapat dimasukkan ke dalam golongan orang beradab kerana hanya satu sebab: mereka tidak menerima konsep ilmu yang benar yang menjadi asas adab dalam Islam, oleh itu mereka menggunakan ukuran mereka sendiri untuk menilai karya kreatif dan akademik tanpa dikaitkan dengan adab seperti yang difahami dalam Islam. Oleh itu, apabila mereka mengadakan peraduan menulis, mereka pilih yang menang itu dari kumpulan mereka sendiri, tidak berasaskan kepada sumbangan dalam meningkatkan adab dalam masyarakat dan dalam dunia ilmu. Dalam SKPM 2014, Prof. Ulung Tan Sri Mohd. Kamal Hassan telah diberi tugas untuk memberi ucaputama (keynote address) kepada perhimpunan itu; tetapi dalam edisi kemas kini buku ITBM yang mengandungi kertas kerja SKPM, tidak terbayang sedikit pun adanya perbincangan mengenai ucaputama itu. Adakah ini sebahagian daripada adab kesarjanaan untuk tidak membahaskan kandungan ucaputama itu?  Ucaputama itu sebenarnya mempunyai perutusan yang amat penting dalam pembinaan tamadun yang dikatakan menjadi minat ITBM yang menganjurkan SKPM itu, iaitu tamadun berteraskan moral. Terkandung di dalamnya ialah aspek ilmu, sebagai teras pembinaan tamadun Malaysia.  Kerana ucaputama itu tidak dibincangkan, maka kedudukan moral dan adab dalam pembinaan tamadun diketepikan dan tidak diutamakan walaupun hanya sebagai satu idea.  Oleh hal yang demikian, apakah asas ITBM menjadikan sastera “teras negara bangsa”?  Empat orang sasterawan negara yang menulis dan membentangkan kertas dalam SKPM tidak menyebut di mana-mana dalam tulisan mereka bahawa sastera layak dijadikan teras negara bangsa, sebagai satu slogan baru.  Sebaliknya, tulisan mereka sendiri adalah gambaran jelas betapa kuatnya pengaruh pandirisme dan ciri-ciri iwajan dalam kegiatan sastera mereka. Mereka adalah “tukang cerita” kritik sastera, bukan mengemukakan idea konkrit yang boleh dijadikan asas perkembangan intelektual yang sihat. Semua tulisan  empat orang sasterawan negara ini  memperjuangkan ciri-ciri iwajan dalam bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu.  Oleh sebab saya telah banyak menulis tentang perkara ini dalam blog ini, anda hanya perlu membaca entri blog berkenaan untuk mendapat gambaran yang lebih jelas.  Tulisan mereka dalam SKPM ini menjadi bukti betapa mereka  bukanlah golongan pemikir seperti yang  digembar-gemburkan oleh DBP dalam seminar tentang pemikiran para sasterawan negara ini.  Jika anda faham maksud iwajan dalam perkembangan kebudayaan, bahasa dan sastera, anda akan melihat betapa suburnya aspek iwajan ini dalam tulisan empat orang sasterawan negara ini.  Saya harap kutipan panjang daripada Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas di atas memberi anda gambaran apa yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan ciri-ciri iwajan itu dalam perkembangan kebudayaan, bahasa dan sastera yang dibawa oleh Asas 50 dan dikemaskinikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Pemahaman ini sangat penting kerana ini ada kaitannya dengan kedudukan mereka  sebagai sasterawan negara, yang dilihat dari sudut yang menjadi pokok perbincangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu cukup jelas membuktikan mereka tidak layak diberi gelaran itu. Sila semak dengan kritis kefahaman anda tentang perkara ini.

Sebagai kumpulan yang kehilangan adab, seperti yang dihuraikan dengan jelas dan mantap oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam banyak tulisannya, maka para sasterawan negara ini  sudah jelas termasuk dalam kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972 di UKM, yang sudah tentu tidak layak dan tidak sewajarnya diangkat menjadi sasterawan negara kerana mereka sebenarnya tidak layak diberi kedudukan itu.  Karya merekalah yang menjadi saksi dan bukti hilangnya kelayakan itu.  Ini suatu kesimpulan penting yang perlu dinafikan oleh mereka dan para pengikut mereka, yang hingga kini belum lagi dikemukakan oleh mereka.

 Kehadiran Persuratan Baru dalam kritikan sastera Melayu menjadi saingan dan cabaran besar kepada teori sastera Barat yang masih digunakan dengan meluas oleh para sarjana dan sasterawan, walaupun teori sastera Barat sudah diisytiharkan oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dalam ucapan pentingnya 2005 di DBP sebagai punca kepada penilaian yang salah dan tidak tepat ke atas karya kreatif dalam sastera Melayu. Tetapi Profesor Muhammad Haji Salleh tidak berupaya menjelaskan dengan terperinci tesis beliau itu, oleh itu pendapat yang bagi saya tidak matang itu mati beragan. Dengan munculnya gagasan Persuratan Baru sebagai teori alternatif, kebenaran pedapat Profesor Muhammad Haji Salleh boleh diuji dengan menggunakan pendekatan yang dikemukakan oleh Persuratan Baru, tetapi kemungkinan ini telah ditolak oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan para pengikutnya sebagai tidak lebih daripada “salakan anjing kurap” dalam kritikan sastera Melayu, seperti yang ditegaskan dengan bergaya oleh Dr. Fatimah Busu dalam bukunya yang terkenal dan dijadikan bacaan wajib di Universiti Malaya di kalangan para pelajar sastera.  Adakah penilaian Profesor Muhammad Haji Salleh dan para penyokong beliau berasaskan pertimbangan ilmiah dan akademik? Saya belum lagi melihat apa-apa buku yang secara serius diterbitkan untuk menolak gagasan Persuratan Baru. Oleh itu, kehadiran gagasan Persuratan Baru jelaslah tidak boleh dicabar secara ilmiah dan akademik oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan para pengikut beliau. Kalau andaian ini benar, maka tepatlah kemunculan gagasan Persuratan Baru memang ditunggu-tunggu dalam kritikan sastera Melayu. Walaupun gagasan Persuratan Baru ditentang oleh kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba yang diwakili oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan para penyokong beliau, termasuk ITBM sendiri dan kumpulan yang berada di bawah pengaruhnya seperti PENA dan GAPENA,  namun belum ada lagi sanggahan ilmiah dikemukakan oleh mana-mana sarjana sastera. Dengan itu kehadiran gagasan Persuratan Baru sebagai pendekatan yang paling canggih pada waktu ini dalam kritikan sastera, belum lagi mampu dicabar oleh mana-mana sarjana, sama ada yang telah mengemukakan “teori” (sebenarnya bukan teori) mereka sendiri atau pun daripada para sarjana sastera secara umumnya.  Selama mana para sarjana sastera ini sanggup membodohkan diri mereka sendiri untuk tidak menerima cabaran gagasan Persuratan Baru sebagai kaedah alternatif yang paling canggih yang wujud ketika ini dalam kritikan sastera Malaysia? Mereka dijemput dengan segala hormat sebagai kumpulan sarjana yang berwibawa untuk menolak gagasan Persuratan Baru sebagai  satu-satunya “teori” sastera yang boleh digunakan dengan meyakinkan untuk menilai karya sastera di Malaysia.  Apakah yang menghalang mereka daripada menyahut cabaran yang biasa dalam perkembangan ilmu ini? Dengan mengambil sikap “lembu kenyang” (satu istilah Kelantan yang terkenal), sastera Melayu telah dikhianati oleh mereka ini yang kononnya menganggap Persuratan Baru hanya “salakan anjing kurap” saja. Tidakkah ini amat memalukan? Serendah itukah standard akademik kita?  Jadi mereka tidak ada pilihan, melainkan menghadapi secara ilmiah kehadiran gagasan Persuratan Baru ini.  Hanya inilah saja caranya mereka dapat melepaskan diri mereka dari kutukan sebagai “golongan pinggiran yang cetek meraba-raba”, yang tidak kenal kebudayaan sendiri dan berada di pinggiran sahaja dalam teori sastera Barat yang mereka tiru. Keadaan ini amat memalukan bagi golongan akademik yang mendakwa merekalah yang menentukan ukuran dalam penilaian karya kreatif dan dalam bidang kesarjanaan.  Sehingga mereka membuktikannya, maka kedudukan mereka sebagai “golongan pinggiran yang cetek meraba-raba” akan kekal, menjadi gerakan pandirisme yang telah mengkhianati perkembangan intelektual di Malaysia. Tentu saja ini merupakan satu cabaran yang amat besar, yang tidak boleh didiamkan sebagai “lembu kenyang” dalam ungkapan Kelantan yang terkenal itu.

Satu keistimewaan gagasan Persuratan Baru ialah pendekatan ini telah memberi takrif “pemikiran” dalam sastera, dengan mengemukakan konsep stylization of ideas. Inilah konsep yang dianggap oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu sebagai “salakan anjing kurap” dalam kritikan sastera Melayu.  Tuduhan ini menarik kerana ia menggambarkan dengan jelas sekali kualiti akademik  sarjana sastera yang mendakwa mereka mempunyai murid yang ramai dan pandai-pandai pula.  Seperkara lagi, tuduhan ini memberi perakuan tinggi kepada pandirisme yang dimiliki oleh mereka, namun mereka tidak sedar kerana terlalu asyik memantul kehebatan mereka sebagai golongan pinggiran yang cetek meraba-raba. Penjelasan lanjut yang agak mencukupi telah diberikan dalam Gagasan Persuratan Baru (edisi 2, 2014; hal. 330-336). Sebelum itu, ketika membicarakan pemikiran dalam Aligupit, saya telah menghuraikan stylization of ideas  dalam novel itu (Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan, hal.  149-151).        Kedua-dua rujukan ini penting diberi perhatian kerana di situ ditakrif makna “pemikiran” dan bagaimana pemikiran itu dijelmakan dalam karya kreatif.  Berasaskan penjelasan ini, anda boleh dengan mudah melihat “pemikiran” para sasterawan negara dalam karya mereka, untuk menentukan adakah mereka golongan pemikir atau hanya golongan penglipur lara sahaja. Menentukan perbezaan ini penting untuk menentukan kualiti karya mereka dan kualiti “pemikiran” mereka.  Jelaslah bahawa Gagasan Persuratan Baru berupaya membantu anda dalam membuat penilaian yang tepat kepada karya kreatif para sasterawan negara ini; di samping itu dapat pula melihat bagaimana para sarjana (ciritan) menghuraikan aspek pemikiran ini dalam kertas kerja mereka. Semua ini tidak akan berlaku jika sekiranya anda masih berada dalam kandang Mutual Admiration Club atau terus terikat kepada laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang langsung tidak berbicara tentang pemikiran, hanya memberi tumpuan kepada peniruan para sasterawan negara terhadap teknik dan teori sastera Barat yang telah gagal membaca dengan objektif karya para sasterawan negara ini.  Lihat juga penggunaan ruang naratif dalam konteks stylization of ideas yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir sewaktu beliau mengulas peristiwa kecil Prof. Awang memberi nama rumahnya (Pujangga Melayu, hal. 282), yang dihuraikan dengan cantik sekali dalam bukunya Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009, hal. 122-125); dan ulasan saya dalam Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM 2016, hal. 370.)  Kesemua rujukan ini perlu dibaca dengan kritis dan kreatif untuk mendapat manfaatnya, dan makna stylization of ideas dalam Persuratan Baru.  Jika anda betul-betul memahami makna stylization of ideas anda akan dapat memahami dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan pemikiran dalam karya kreatif. Dan anda akan mengerti mengapa saya membuat kesimpulan para sasterawan negara ini adalah kumpulan penglipur lara moden, bukan jenis penulis yang berfikir.  Sekarang anda boleh berhujah dengan menyakinkan untuk menolak Persuratan Baru sebagai hanya “salakan anjing kurap” seperti yang dibuat oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan disokong oleh Dr. Fatimah Busu.  Gelanggang sudah terbuka luas untuk anda masuki. Masuklah sebagai ahli akademik yang berwibawa, yang memahami dengan mendalam konsep ilmu dan betapa pentingnya konsep ilmu yang benar itu menjadi asas penulisan kreatif dan akademik.

Anda perlu memasuki gelanggang ini untuk membawa kembali arah dan maruah persuratan Melayu Abad 21, di samping mengembalikan arah dan maruah anda sendiri yang sudah amat teruk bergelimpangan di lembah kekeliruan dan sesat dalam belantara ambiguiti teori sastera Barat. Naiklah ke tebing kebenaran dengan mencapai tangan Persuratan Baru yang dihulurkan kepada anda. Jangan malu untuk kembali kepada kebenaran.

@@@@

Cabaran yang saya kemukakan dalam entri ini, setelah memberi peluang kepada anggota Mutual Admiration Club yang berada di pinggiran dan cetek meraba-raba untuk menolak Gagasan Persuratan Baru dengan tuntas sebagai sarjana yang berwibawa dan mempunyai maruah akademik yang tinggi, perlu disambut dengan serius oleh sarjana handalan sastera Melayu seperti Profesor Muhammad Haji Salleh dan sahabat beliau Profesor Zawiyah Yahya yang meremehkan Persuratan Baru sebagai “contrived and closed” (hal. 65 bukunya),  juga oleh tokoh besar kritikan sastera Melayu seperti Prof. Dato’ Rahman Shaari, Baha Zain (yang mahu dijadikan model oleh Muhammad Haji Salleh tentang pencapaian tertinggi dalam kritikan sastera),  oleh “Raja Kritikan Sastera Melayu”, Prof. Madya Dr. Rahman Napiah atau Mana Sikana yang mengajar sasterawan dan sarjana melanggar semua peraturan untuk menjadi unggul dan layak berada di takhta keunggulan seperti semua sasterawan negara, termasuk juga Dr. Fatimah Busu yang bengis itu. Dan lain-lain sarjana besar atau sasterawan  yang anda lebih tahu siapa mereka.  Mereka tidak ada pilihan, melainkan berdepan dengan kebenaran. Mereka perlu bersifat murah hati untuk mendedahkan kehebatan akademik mereka sebagai sarjana yang menjadi ikutan, supaya tiada lagi di kalangan para pengikut mereka sarjana yang cetek meraba-raba.  Keaiban intelektual yang mereka perlihatkan selama ini memberi gambaran buruk kepada sastera Melayu dan sasterawan negara yang tidak diberi pembelaan ilmiah, sebaliknya dijadikan bahan ejekan dan bahan jenaka dengan memuji mereka begitu tinggi, seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan Mana Sikana dalam bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan, padahal mereka sebenarnya berada di atas tong kosong daripada kayu gabus yang banyak didapati di Pasar Chaw Kit.  Yang boleh mengembalikan maruah sastera Melayu dan para sasterawan dan sarjana hanya gagasan Persuratan Baru.

Quote:


“If you are irritated by every rub, how will your mirror be polished?”
― Rumi

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 15 September 2016.




Monday, September 12, 2016

KEMUNCULAN TOKOH JENAKA MELAYU MODEN: Memahami Kemunculan Pandirisme Dalam Perkembangan Intelektual dan Sastera Malaysia

Dalam rangkain cerita penglipur lara Melayu, terdapat sekumpulan tokoh besar dalam sastera lisan yang menghuni dunia jenaka Melayu, lantas mereka dikenali sebagai tokoh-tokoh cerita jenaka Melayu. Siapakah mereka? Nama-mana mereka lebih terkenal daripada nama-nama para sasterawan negara yang muncul mulai tahun 1981 sebagai hasil usaha kumpulan Asas 50 yang berhijrah ke Malaysia untuk memitoskan golongan mereka dan penyokong mereka dengan memilih beberapa orang di antara mereka untuk diberi gelaran “sasterawan negara”.  Mereka adalah tokoh-tokoh penglipur lara Melayu moden yang menggelarkan diri mereka “sasterawan”, mengaku mereka adalah pembina budaya intelektual moden dalam sejarah kebudayaan Malaysia.  Kedudukan mereka dalam kebudayaan Melayu sebagai golongan pinggiran yang cetek meraba-raba telah dihurai dan dibincangkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau yang diucapkan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur dalam tahun 1972.  Sebuah buku telah diterbitkan dengan judul, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.  Untuk beberapa ketika yang pendek saja selepas syarahan itu dilakukan, timbul bantahan yang dikepalai oleh Prof. Ismail Hussein, mewakili GAPENA, yang menolak syarahan pengukuhan itu.  Keangkuhan reaksi mereka, di kalangan sasterawan yang mendakwa mereka adalah “ahli waris sastera dunia”, menjadi suatu jenaka intelektual yang terkenal dalam sejarah cerita jenaka Melayu.  Bantahan itu tidak pernah ditolak secara ilmiah atau secara akademik baik berupa buku, mahupun berupa tesis sarjana dan Ph.D.  Tidak seorang pun pelajar sastera berminat untuk mengupas dengan kritis kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, mungkin kerana mereka tidak mempunyai hujah, atau lebih munasabah ialah kerana tidak ada penyelia yang mahu menjadi penyelia membahaskan tesis itu. Mana  Sikana, seorang tokoh terbesar jenaka intelektual Melayu yang telah menulis buku khusus dalam usahanya memitoskan para sasterawan negara, tidak pernah mencadangkan kepada para pelajarnya yang ramai supaya membahaskan kesimpulan analisis Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hasilnya, jenaka penglipur lara moden yang dibina oleh Asas 50 dan suku sakat mereka, cuba diberi  wajah oleh Panel Anugerah  Sastera Negara dengan menulis laporan Panel untuk memitoskan para sasterawan negara pilihan mereka; tetapi laporan itu ditulis dan disusun begitu rupa untuk tidak menyerlahkan kualiti akademik dalam  kritikan sastera, hingga tiada siapa pun menerimanya sebagai sumbangan penting dalam bidang kritikan sastera Melayu. Oleh itu, sumbangan mereka tidak disebut dan tidak dianalisis oleh sekumpulan (3 orang) penulis sejarah kritikan sastera Melayu yang diketuai oleh Prof. Hashim Awang (dengan dua orang pembantu daripada DBP, termasuk Kemala yang kemudiannya dilantik menjadi seorang sasterawan negara) yang menulis buku,  Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan   (2003).  Komen ringkas saya tentang buku ini terdapat dalam buku, Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM. 2016;  suntingan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir,  hal. 313):  [Prof. Hashim Awang dan rakan-rakannya] “tidak pun menjeling laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau sendiri anggotai, suatu keputusan yang amat dikesali  kerana dokumen yang begitu penting diketepikan begitu saja,  padahal banyak perkara yang boleh dibahaskan. Nampaknya Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri tidak menganggap dokumen yang diterbitkannya itu penting dalam bidang kritikan.  ... Bagi saya keputusan itu tidak wajar dan tidak akademik, mengingat betapa besarnya kesan negatif laporan Panel Anugerah Sastera Negara itu terhadap perkembangan kritikan dan perkembangan ilmu di Malaysia.” 

Kesan paling negatif laporan itu ialah memberi wajah palsu kepada para sasterawan negara, kerana karya mereka tidak mencapai tahap pujian setinggi langit ketujuh  yang diberikan kepada mereka oleh Panel.  Dengan wajah palsu ciptaan Panel Anugerah Sastera Negara inilah para sasterawan negara mendapat penghormatan yang tidak layak diberikan kepada mereka, kerana amat jelas laporan itu ditulis begitu rupa untuk tidak meyakinkan kita bahawa para sasterawan ini adalah  “pemikir” sastera yang telah mengangkat darjat perkembangan intelektual Malaysia, sebaliknya yang ditekankan oleh laporan ialah betapa  mereka hanya terserlah sebagai para peniru teknik sastera Barat, seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam semua laporan mereka.  Para sasterawan negara, dan Panel yang menilai mereka, mungkin secara sedar memperlihatkan mereka sebagai kumpulan pinggiran dalam kebudayaan Melayu, yang kedudukannya “cetek meraba-raba” dalam warisan persuratan mereka sendiri dan dalam teori sastera Barat yang mereka tiru. Inilah penegasan yang dibuat oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau di UKM 1972, yang hingga kini belum disanggah dan tidak disebut dalam buku Prof. Hashim Awang.

 Buku Prof Hashim Awang ini, yang sepatutnya menjadi sebuah buku penting dalam sejarah pemikiran sastera, dengan sengaja dijadikan hanya sejenis penglipur lara dalam kritikan sastera, yang penuh dengan cerita-cerita di sekitar beberapa orang penulis “kritikan sastera” yang tidak penting tetapi dijadikan penting untuk sekadar menerbitkan sebuah buku tentang kritikan.  Begitu besar pengaruh penglipur lara ini dalam sastera Melayu moden sekalipun, sehingga sebuah buku tentang kritikan sastera ditulis dalam bentuk kritikan cerita (atau cerita tentang kritikan sastera), yang membolehkan para penulis ini menyebut beberapa nama “pengkritik” yang dianggap oleh mereka sebagai “pelopor kritikan” sastera Melayu. Dua perkara penting yang dapat kita lihat dalam konteks ini: (1) betapa ceteknya idea tentang kritikan di kalangan para sarjana sastera;  (2) betapa miskinnya kritikan sastera Melayu dengan idea bernas yang boleh membina tradisi pemikiran tentang penulisan kreatif dan  penilaian tentang hasil penulisan kreatif itu.  Keadaan ini sebenarnya disedari oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan, tetapi mereka memilih untuk mengambil sikap “lembu kenyang” (lihat entri bertarikh 27 Ogos 2016) dengan membiarkan saja dua keadaan ini berterusan kerana mereka mendapat faedah dari keadaan ini.  Kedudukan mereka sebagai kumpulan  “lembu kenyang” tidak tergugat, oleh itu mereka berasa lebih selamat kerana tidak dibicarakan dengan kritis oleh teman-teman mereka yang berada dalam Mutual Admiration Club yang menjadi kandang mereka. Mereka berada di bawah naungan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, yang membuat mereka berasa selamat.  Buku yang membicarakan perkara ini sudah banyak ditulis, misalnya oleh Dr. Zulkarnain Mohamad, Islam, Feminisme Barat dan Sastera Melayu (bersama Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir; UKM, 213), Kesusasteraan Islami: Analisa Teori dan Aplikasi (2002).  Dua buah buku suntingan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir banyak membicarakan perkara ini: Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan (UKM, 2016); dan Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM, 2016.  Pendahuluan beliau kepada Gagasan Persuratan Baru (edisi kedua) oleh Mohd. Affandi Hassan (UKM 2014) juga menjadi rujukan utama.   Bacaan wajib yang utama ialah syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas 1972, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.

Satu projek besar untuk memperkasa sastera Melayu (?) telah diadakan oleh ITBM dengan menganjurkan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 (SKPM). Membaca makalah yang dibentangkan, memberitahu kita tanpa ragu-ragu tiada perancangan teliti dibuat dalam pembaziran wang untuk sastera ini. Tajuk-tajuk yang dipilih pada umumnya sangat “koman” (perkataan ini saya dapati mula digunakan oleh Pendeta Za’ba sendiri), klise, tidak menyerlahkan pembentangan tajuk yang tersusun. Paling selekeh ialah perbincangan tentang kritikan sastera, yang hanya disebut dalam satu perenggan pendek oleh Prof. Muhammad Haji Salah dalam kertasnya yang sangat puitis tajuknya, “Mimpi sastera di atas bumbung kilang yang berkarat”.  Apakah motif Profesor Muhammad Haji Salleh memilih tajuk yang digemari oleh budak-budak Tadika ini?  Sekiranya ini dimaksudkan untuk menimbulkan satu kejutan, maka makalah ini memang mengejutkan kerana tidak lebih daripada “a kind of ramblings” tanpa sebarang isian akademik yang memang kita amat harapkan daripada Tokoh Akademik Negara ini, yang juga seorang sasterawan negara dan bagi Mana Sikana satu-satunya “Raja Penyair Malaysia”.  Beliau menyentuh dalam satu perenggan pendek tentang kritikan sastera, sebagai seorang maharaja dalam dunia akademik. Perhatikan kata-katanya yang angkuh tidak bertempat: “Kritikan sastera ialah satu sayap sastera yang sudah patah – sebahagiannya dipatahkan orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat  terhadap penulis lain”.  Ucapan ini, kerana terbit dari hati nurani seorang yang amat jujur dalam sastera Melayu, menjadi sangat pelik dan biadab kerana tidak dibincangkan dengan mendalam apakah sebenarnya yang menjadi masalah dalam kritikan sastera Melayu. Muhammad Haji Salleh sangat bangga dengan kata-kata puitis beliau, “aku sudah belajar, jadi kurang ajar”.  Tetapi ucapan ini, walaupun penting, tidak cukup untuk membicarakan persoalan kritikan sastera Melayu. Satu-satunya usaha terancang dan dilaksanakan dengan kesungguhan akademik ialah usaha saya memperkenalkan Gagasan Persuratan Baru, yang pada waktu Profesor Muhammad Haji Salleh menulis kertasnya, sudah mempunyai dokumen yang lebih dari mencukupi untuk dijadikan perbincangan akademik yang menarik, terutama sekali penegasan saya terhadap pentingnya konsep ilmu dalam sastera, dan bagaimana ini diwujudkan dalam Persuratan Baru telah dihuraikan dengan panjang lebar dalam banyak tulisan saya dan tulisan sarjana lain yang berminat dalam bidang ini.  Jelaslah Profesor Muhammad Haji Salleh tidak mempunyai maruah akademik dan maruah intelektual yang sepatutnya ada pada dirinya sebagai seorang Tokoh Akademik Negara, meskipun beliau sangat bangga telah “belajar jadi kurang ajar.”  Kita boleh terima “kekurangan-ajaran” beliau dalam bentuk yang paling ekstrim sekalipun, asal saja dikemukakan secara akademik dan objektif. Apakah yang menghalang beliau untuk menerima hakikat bahawa kemunculan gagasan Persuratan Baru adalah satu perkembangan paling bermakna dalam bidang kritikan sastera Melayu?  Beliau diberi  ruang dan peluang yang sangat luas untuk membincangkan dengan kritis Persuratan Baru, atau lebih baik lagi jika beliau mengemukakan hujah-hujah beliau mengapa Persuratan Baru perlu ditolak dan diperangi habis-habisan secara total dan terang-terangan. Ini yag kita tunggu dari tokoh-tokoh besar seperti beliau, Mana Sikana, Baha Zain, Prof. Dato’ Rahman Shaari dan lain-lain yang memang tokoh-tokoh akademik yang hebat di Malaysia, malah Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri menyuruh penulis lain belajar daripada Baha Zain yang hebat itu.  Apa salahnya jika mereka sendiri belajar daripada Persuratan Baru tentang peranan ilmu yang benar dalam bidang kreatif dan akademik. Saya yakin mereka akan mendapat manfaat besar, dan jika mereka benar-benar jujur dari segi akademik, mereka akan memperjuangkan Persuratan Baru sebagai satu alternatif dalam teori sastera yang boleh menghadapi pengaruh teori sastera Barat, apatah lagi Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri pernah mengemukakan rintihan beliau betapa beliau dan rakan-rakannya telah banyak berbuat kesalahan dalam menilai karya sastera Melayu dengan menggunakan teori sastera Barat. (Jika anda berminat, sila rujuk ucaputama beliau yang diterbitkan dalam buku,  Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP 2005).  Lihat juga makalah saya dalam Ilmu Teras Persuratan Melayu (edisi 2, UKM 2016) untuk mendapat sedikit maklumat yang amat berguna tentang aspek ini dalam persuratan Melayu.)  Beliau dan teman-temannya tidak perlu berasa rendah diri untuk mempelajari tentang sesuatu yang relevan kepada kritikan sastera yang jelas mereka tidak tahu. Dalam pengalaman  pembacaan saya yang agak luas, saya tidak pernah bertemu dengan mana-mana sarjana yang bangga menjadi seseorang yang jahil. Tidak patut jika terdapat sarjana Malaysia bangga menjadi seseorang yang jahil, padahal peluang untuk belajar luas terbuka. Bacalah tentang Persuratan Baru, untuk memberikan anda pengalaman intelektual yang sangat menarik dan mencabar.

Bagi Profesor Muhammad Haji Salleh dan rakan-rakannya, menyahut cabaran seumpama ini adalah biasa baginya, oleh itu dalam tahun 1983, selepas 10 tahun Seminar Kritik Sastera diadakah di Johor Bahru, maka Universiti Kebangsaan Malaysia, di bawah kepemimpinan Prof. Muhammad Haji Salleh, mengadakan “Simposium Kritikan Sastera” 1983, kertas-kerjanya diterbitkan dengan judul, Kritikan: Situasi Mutakhir dan Arah Masa Depan (DBP, 1985).  Buku ini diselenggarakan oleh Prof. Sahlan Mohd. Saman.  Profesor Muhammad Haji Salleh sangat marah dan kecewa membaca kritikan saya terhadap kertas kerja simposium  ini, kerana katanya semua kertas itu adalah kertas yang tidak dikemaskini, hanya berupa draf sahaja. Tetapi apabila kita membaca buku yang diterbitkan, semua teguran saya dalam kritikan saya masih tercokol di situ, tidak diadakan pembetulan dan kertas yang berupa draf itu disiarkan sepenuhnya. Malunya saya membaca buku ini, kerana sedar saya telah memberi penghargaan yang tinggi dengan membuang masa saya membicarakan kertas kerja simposium itu, padahal para penulis, editor dan penyelenggara simposium itu sendiri tidak peduli sedikit pun kualiti akademik mereka. Oleh itu, apabila Profesor Muhammad Haji Salleh menulis kertas kerja untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 di atas bumbung kilang berkarat, maka kita dapat bayangkan siapa sebenarnya “orang gasang”  yang dimaksudkan oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dalam kertas kerjanya yang amat selekeh itu.  Di sinilah terletaknya kejujuran beliau yang tidak boleh kita persoalkan.  Beliau dan rakan-rakannya telah ketinggalan zaman terlalu jauh dalam dunia akademik ini, oleh itu sangatlah sukar untuk beliau dan rakan-rakannya menghadapi cabaran baru dalam dunia intelektual dan akademik dalam sastera Melayu terkini. Sungguh malang bagi sastera Melayu yang telah dimundurkan dan dikelirukan oleh mereka ini.  Jikalau saya dengan keras menolak kemunculan sasterawan negara, maka penolakan itu berasaskan unsur pandirisme yang begitu ketara dalam karya mereka.  Pandirisme adalah kemuncak pencapaian para sasterawan picisan dan para sarjana ciritan dalam sastera Melayu, suatu keadaan yang amat jelas dalam kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ini, yang diterbitkan dengan judul yang amat mengelirukan,  Sastera Teras Negara Bangsa.

Simposium kritikan dan SKPM ini nampaknya tidak dapat mengatasi Seminar Kritik Sastera 1973 yang telah meletakkan asas perbincangan serius tentang kritikan sastera.  Jasa paling besar Profesor Muhammad Haji Salleh dalam seminar 1973 itu ialah menimbulkan peri wujudnya Mutual Admiration Club dalam  sastera Melayu.  Pemerhatian beliau yang tajam itu akhirnya menjadi kenyataan dengan wujudnya para sasterawan negara yang sekali gus adalah ahli Mutual Admiraton Club yang menurut para sasterawan diketuai oleh Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri. Mereka memberi contoh paling konkrit tentang andaian ini dalam kertas kerja beliau untuk SKPM 2014. Selain dari itu, kata qaul yang sahih, kemunculan para sasterawan negara sendiri membuktikan betapa kuatnya pengaruh Mutual Admiration Club ini, sehingga Shahnon Ahmad membantah keras pemilihan Baha Zain sebagai sasterawan negara padahal beliau adalah penulis sajak-sajak kontot saja. Kemudian Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri menggesa para sasterawan dan pengkritik sastera menjadikan Baha Zain guru dan contoh ikutan mereka. Ini semua adalah bukti betapa kuatnya pengaruh Mutual Admiration Club ini dalam sastera Melayu. Dalam konteks inilah lahirnya pandirisme, dan terbitnya buku Pandirisme Dalam Komuniti Dunia (2016).  Idea tentang pandirisme ini saya kemukakan dalam kertas kerja panjang yang saya bentang di UKM (di bawah Projek DAMAI anjuran ATMA) tahun 2004. Kertas itu kemudiannya diringkaskan dan disiarkan dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi 2 (2014, bab 5). Pentingnya pandirisme perlu dilihat dalam konteks stylization of ideas, yang dijelaskan dengan agak terperinci dalam Gagasan Persuratan Baru edisi kedua, hal. 330-336. Kedua-dua dokumen ini penting dalam konteks seminar tentang pemikiran sasterawan negara yang dianjurkan oleh DBP. Kini kita sudah mempunyai tidak kurang dari 200 makalah tentang sasterawan negara, membicarakan “pemikiran” mereka. Tetapi benarkah kertas yang begitu banyak ditulis membicarakan aspek “pemikiran” para sastrerawan negara ini?  Dalam penelitian saya, setelah mengikuti beberapa buah seminar yang sempat saya hadir, saya tidak menemui sebuah pun makalah itu membicarakan aspek “pemikiran” ini. Kesemuannya adalah  kertas kerja biasa yang cetek meraba-raba, yang hanya menggunakan beberapa pendekatan Barat yang tidak semuanya relevan. Saya pernah bertanya Prof. Dato’ Rahman Shaari dalam seminar pemikiran A. Samad Said (2003) adakah  A.  Samad Said seorang pemikir?  Beliau menjawab tidak. Saya tidak pasti sama ada beliau sudah mengubah pendiriannya pada waktu ini.  Sebenarnya Panel Anugerah Sastera Negara sendiri lebih banyak berbicara tentang para sasterawan negara ini sebagai tukang cerita, atau penglipur lara, bukan golongan pemikir. Kalau kita masih berminat tentang aspek “pemikiran” ini, kita perlu memberikan beberapa kriteria yang boleh digunakan ketika menilai karya mereka dari perspektif “pemikiran”. Jika kita bersetuju dengan saranan ini, kita perlu melihat mereka dari perspektif ilmu, dan tidak boleh tidak perlu menggunakan konsep ilmu yang benar sesuai dengan kedudukan mereka sebagai seorang “pemikir” yang kenal dan tahu sumber ilmu. Siapakah di antara mereka yang dapat memenuhi ukuran ini? Maka itulah pentingnyaq konsep stylization of ideas seperti yang dijelaskan dalam Gagasan Persuratan Baru, di samping itu memahami dengan agak mendalam aspek pandirisme dalam karya para sasterawan negara ini. Jika mereka lulus ujian ini, maka mereka bolehlah digelar seorang “pemikir”.  Jika tidak lulus, maka mereka tetap sasterawan negara, tetapi pada peringkat penglipur lara saja, sekumpulan tukang cerita yang mewarisi cerita-cerita penglipur lara Melayu. Yang paling jelas dalam aspek ini ialah Anwar Ridhwan, yang diakui oleh para sarjana sebagai seorang “pencerita” bukan seorang “pemikir”.  Bagaimana dengan sasterawan yang lain? Anda sendiri perlu membuat keputusannya.  Kita mahu dengar keputusan anda dan ukuran yang anda pakai, suatu permintaan biasa dalam dunia akademik, atau dalam kritikan sastera yang diamalkan di Barat sekalipun.  Saya tidak fikir permintaan ini melanggar tatasusila akademik yang dipraktikkan di Malaysia.

Di sinilah anda perlu mendekati dengan kritis dan kreatif gagasan Persuratan Baru, menggunakannya dalam analisis dan penilaian anda supaya apa yang anda faham tentang “pemikiran”  itu terserlah dengan jelas dalam karya para sasterawan negara ini. Kerja ini bukannya sukar, hanya bergantung pada sikap anda saja, sama ada positif atau negatif.   Sebenarnya anda tidak perlu membuat pilihan pun, hanya membetulkan sikap anda saja.  Jika ini pun anda tidak boleh buat, lebih baik anda panjat bumbung kilang yang berkarat dan bermimpi di atas bumbung tentang pemikiran sasterawan negara. Kalau hasilnya bagus, kita wajib terima dengan senang hati dan perasaan bangga, sekurang-kurangnya anda membuktikan tempat baru pilihan anda itu adalah yang terbaik untuk tempat berfikir!

Untuk saya sendiri, saya hanya membiarkan kucing saya saja naik bumbung mengejar tikus. Itu kerja dia. Biarlah diteruskannya.

Kesudahannya ...

Mengapakah badan-badan penulis di daerah, negeri, wilayah dan peringkat nasional tidak berminat dalam kegiatan intelektual seperti yang dibincangkan dalam entri ini? Badan-badan penulis daerah dan negeri hanya berminat membaca sajak-sajak celoteh sesama mereka, dalam satu kumpulan Mutual Admiration Club mereka sendiri; jadi mereka memang tidak berminat kepada aspek pemikiran ini kerana mereka tidak tahu apa-apa, kecuali menulis sajak celoteh dan membacakannya sambil memuji sesama sendiri.   PENA dan GAPENA mempunyai wang yang banyak dalam tabung mereka. Ke mana perginya wang itu?  Sekali sekala patut juga diadakan persidangan, atau apa saja nama yang anda suka berikan,  untuk berbincang dengan serius tentang pekembangan intelektual dan perkembangan pemikiran dalam sastera kerana kita pun sudah mempunyai tokoh-tokoh besar dalam bidang teori sastera. Jika persidangan seumpama ini diadakan, untuk teksdealisme saja boleh dicerna paling kuang 10 kertas kerja, manakala teori-teori lain boleh saja mengemukakan 10 buah kertas kerja juga sesuai dengan kedudukan teori itu dalam bidang akademik Malaysia. Untuk gagasan Persuratan Baru, diperlukan hanya satu kertas kerja yang boleh menganalisis dengan mendalam aspek utama PB, untuk diperkenalkan kepada para sarjana dan sasterawan yang tidak tahu menahu PB sudah lama wujud dan sudah pun diterima di luar negeri.  Tetapi belum lagi bertaraf antarabangsa seperti teori-teori Mana Sikana, Muhammad Haji Salleh,  Hashim Awang dan lain-lain tokoh besar teori sastera Melayu yang kini sudah agak ramai, tetapi tidaklah bising kecuali teksdealisme.  Kita mempunyai ramai ahli akademik yang pakar dalam bidang masing-masing, oleh itu tentu saja boleh memberi sumbangan yang amat diperlukan pada waktu ini dalam bidang pemikiran ini.  Usaha yang dibuat di UPSI baru-baru ini amat dialu-alukan. Itulah yang kita mahu. Kita sudah banyak berbicara tentang pemikiran para sasterawan negara; sudah tiba waktunya kita berbicara dengan serius tentang pemikiran para pengkritik dan sarjana  kita sendiri, terutama yang telah mencernakan teori mereka masing-masing. Semoga saranan ini diberi sokongan positif.


Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 8 Ogos 2016.

Note: In English this post should read:  "The emergence of clowns in modern Malay literature  - the function of mediocrity (pandirisme) in the intellectual development of Malay literature."

Tuesday, September 6, 2016

KEGAGALAN PENGAJARAN SASTERA DI UNIVERSITI DAN DI SEKOLAH

Salah satu kecelakaan yang dihadapi oleh pelajar universiti dan pelajar sekolah menengah yang mengambil mata pelajaran sastera ialah mereka dipaksa  – untuk  lulus periksa – membaca karya-karya picisan berupa novel, sajak, drama dan sebagainya yang ditulis oleh para sasterawan  (tentunya termasuk karya sasterawan negara) yang cetek meraba-raba, yang tidak berilmu dan anti-ilmu. Persoalan ini sudah lama disedari di Amerika Syarikat selepas terjadi serangan Amerika ke atas Vietnam dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Vietnam oleh Amerika Syarikat, pengganas dunia yang mendakwa menjadi simbol kebebasan manusia sejagat dan yang mengamalkan demokrasi.  Seorang tokoh yang berpengaruh di Amerika Syarikat, Lionel Trilling dalam bukunya Beyond Culture membahaskan bagaimana pengajaran sastera moden mendatangkan masalah kepada kehidupan intelektual Amerika.  Catatan tentang pengalaman beliau di Amerika, yang menjadi orang pertama memperkenalkan subjek ini, amat menarik untuk diikuti dan dijadikan peringatan bagi para sarjana sastera.  Bagi beliau, masalah paling besar ialah kedudukan karya moden sebagai sumber pedagogi: Adakah karya yang begitu individualistik mempunyai nilai moral yang tinggi dan sesuai untuk diteladani? 

Nilai murni yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tidak selalunya berasaskan ajaran moral, tetapi lebih untuk memperkuat kedudukan kerajaan supaya para pelajar tetap setia setelah keluar sekolah dan bekerja. Apa yang disebut oleh Kementerian Pelajaran sebagai nilai-nilai murni sebenarnya adalah nilai-nilai palsu. Jika anda ragu-ragu membaca kesimpulan saya, biarlah saya ceritakan sedikit tentang kumpulan cerita pendek Angin Dari Gunung yang diselenggarakan oleh Prof. Madya Abdullah Tahir (al-Marhum) dan diterbitkan oleh DBP.  Buku itu pada mulanya dicadangkan akan dijadikan salah sebuah buku teks dalam pengajaran sastera, tetapi tidak dibenarkan kerana di dalamnya terdapat cerita pendek “Angin Dari Gunung” yang menjadikan seorang guru di pedalaman menentang General Orders dengan memberi cuti kepada murid sekolah supaya mereka mengiringi jenazah seorang pemimpin kampung yang terkenal. Perbuatan itu melanggar Perintah Am.  Bila saya memberitahu pegawai Kementerian bahawa tuduhan itu tidak betul, dan menjelaskan tujuan Cikgu Mansur ialah untuk menghormati seorang tokoh yang berjasa di kampung, yang seluruh hidupnya mengamalkan nilai-nilai murni untuk diteladani oleh masyarakatnya, maka pegawai tersebut memberitahu, nilai murni dalam konteks Kementerian tidak berunsur ingkar perintah seperti yang dilakukan oleh Cikgu Mansur. Maksudnya, nilai murni itu ialah nilai rasmi yang ditetapkan oleh Kerajaan. Apakah bezanya ini dengan yang berlaku di universiti? Para sarjana sastera sendiri menerima versi nilai murni Kementerian Pelajaran dengan mempertahankan kesesuaian novel Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan kerana beliau seorang sasterawan negara, walaupun novel itu memperagakan segala kejahatan manusia yang bernama pemimpin dan manusia yang menjadi pengikutnya, sebuah novel sensasi yang tidak ada nilai intelektual dan nilai moralnya yang murni. Anda dijemput membaca analisis mengenai persoalan ini dalam tulisan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, dalam analisisnya, “Kritikan Sastera Melayu: Konteks dan Praktik”, dalam Islam dan Pengaruh Barat dalam Kirtikan (2016).  Makalah ini penting diberi perhatian kritis kerana di situ dibincangkan dengan penghujahan yang mantap betapa kelirunya penilaian yang dipakai oleh para sarjana sastera sewaktu mereka meletakkan sesuatu karya sasterawan sebagai karya bermutu.  Bagaimana penilaian itu dibuat dianalisis oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam makalahnya,  dalam bab 10, buku yang sama, sewaktu beliau membicarakan penilaian para juri ketika memilih novel Azizi Haji Abdullah untuk diberi hadiah satu peraduan mengarang anjuran DBP. Penganjur menetapkan beberapa kriteria; para juri pula menetapkan kriteria mereka sendiri dengan tidak memberi perhatian kepada ukuran yang diberikan kepada mereka.  Hasilnya agak melucukan apabila satu kumpulan juri  yang menilai buku saya Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid mendapati buku itu tidak diplomatik (hal. 24).  Dengan demikian, walaupun juri mengakui isi buku itu “agak baik”, menjadi tidak bernilai kerana tidak diplomatik!  Sebaliknya, buku yang “tidak bernilai akademik” diberi hadiah kerana berada dalam kumpulan Mutual Admiration Club mereka.  Saya maksudkan buku Dr. Norhayati Ab. Rahman dan Dr. Mawar Shafie, yang juga dianalisis oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya.

Nampaknya kedudukan para sasterawan negara amat goyah sekarang,  kerana para sarjana tidak mahu lagi mereka diusik, pemilihan mereka adalah muktamad, walaupun penilaian yang dibuat oleh Panal Anugerah Sastera Negara amat banyak kelemahannya, seperti yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya. Saya sendiri menolak penilaian Panel, kerana sangat bertentangan dengan sifat sebenar karya yang dinilai oleh mereka. Saya tetap dengan pendirian saya bahawa karya para sasterawan negara memang tidak mempunyai kualiti kreatif yang hebat, dan tidak ada sedikit pun pemikiran yang boleh dibanggakan. Saya telah menjelaskannya dalam banyak tulisan. Kedudukan para sasterawan negara tidak boleh dipertahankan, hatta dengan menggunakan teori sastera Barat sekali pun.  Saya boleh cabar sesiapa juga yang menjadi ahli Panel untuk berbahas tentang ukuran yang mereka pakai dan kualiti karya para sasterawan negara sendiri, sekali pun dilihat dari perspektif teori sastera Barat. Sekiranya karya para sasterawan negara ini dinilai dari perspektif Persuratan Baru, tidak sebuah pun karya itu boleh berdiri sendiri menghadapi kriteria penilaian bersandarkan konsep ilmu yang benar.  Inilah persoalan besar dalam pendidikan sastera di Malaysia, apabila para sarjana bersikap seperti kumpulang samseng untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara ini berasaskan ukuran yang keliru, cetek meraba-raba.  Inilah ajaran mereka di universiti, dan inilah yang menyebabkan sastera mati beragan, tidak boleh hidup dalam dialog ilmiah yang benar-benar memperihalkan hakikat karya para sasterawan negara.  Secara intrinsik, karya mereka tidak boleh dipertahankan dari segi kreatif dan tidak juga dari perspektif intelektual. Jadi, apa gunanya disimpan para sasterawan negara ini. Saya tidak bermaksud menarik balik gelaran mereka. Tidak. Saya hanya berharap mereka dinilai dengan kritis dan kreatif, sesuai dengan kedudukan mereka. Mereka tidak perlu takut untuk dinilai, kerana memang mereka diberi gelaran untuk dinilai dari masa ke semasa sesuai dengan perkembangan ilmu dalam masyarakat Malaysia. Ini proses biasa dalam dunia akademik, oleh itu tidak perlu dijadikan isu.  Kategori karya persuratan bukanlah satu kategori baru yang sengaja dicari-cari untuk menafikan kehadiran para sasterawan negara yang berada di luar kategori itu.  Kategori itu sudah ada, seperti yang dibuktikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani yang membicarakan karya Abdul Kadir Adabi,  Melati Kota Bharu.  Apa yang boleh dibuat oleh para sarjana ciritan sekarang ialah menolak analisis Dr. Mohd. Zariat sebagai tidak tepat, sengaja diada-adakan. Nanti penilaian mereka, terutama oleh Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, akan dibuktikan dengan hujah  dan bukti yang  diambil daripada hujah mereka sendiri adalah penilaian yang sengaja dicari-cari dan diada-adakan. Malah hal ini telah dibayangkan dengan jelas dalam analisis Prof. Ungku Maimunah sendiri dalam  dua buah buku yang disunting beliau itu.  Para sasterawan negara ini patut dikasihani kerana telah diterbangkan ke langit ke tujuh oleh Panel Anugerah Sastera Negara, sehingga mereka tidak boleh turun lagi. Sampai berapa lama mereka boleh berada di angkasa pujian Panel?  Musibah ini tidak patut ditimpakan ke atas para sasterawan ini.  Mereka tidak saja sasterawan sensasi yang menggunakan sensasi sebagai gaya; tetapi mereka sendiri disensasikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para penilai lain, seperti yang dapat kita saksikan dalam kes Naratif Ogonshoto dan “Pulang Si Tenggang”.  Kita perlu bantu mereka untuk membawa mereka kembali ke dunia nyata, dengan memberi mereka tempat dan kedudukan yang layak untuk mereka. Ini hanya boleh dilakukan oleh Persuratan Baru. Nampaknya mereka tidak ada pilihan lain.

Satu-satunya pilihan yang ada pada para sarjana sastera ini ialah memahami dan menggunakan konsep “underlabouring” yang diperkenalkan kembali oleh Prof. Wilkinson dalam bukunya A Fresh Look  At Islam ....  Dalam tamadun ilmu Islam, konsep ini telah dipraktikkan beribu tahun dahulu lagi, apabila setiap ulama besar mempunyai murid masing-masing yang menghuraikan setiap pendapat dan ijtihad mereka, sehingga mereka sendiri muncul sebagai ulama besar pula. Demikianlah ilmu diperkembangkan dalam tamadun Islam, yang kemudiannya merebak ke Eropah dan seluruh dunia. Dalam negara kita, praktik ini dilakukan oleh para murid Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Saya fikir  persuratan Melayu Abad 21 akan muncul sebagai gerakan intelektual yang kuat jika konsep ini dijadikan ikutan oleh para sarjana kita. Apa salahnya menghidupkan kembali tradisi ilmu yang baik, sambil membina kembali warisan persuratan Melayu.  Di sinilah ITBM dan DBP boleh memainkan peranan mereka masing-masing.  Saya sangat optimis akan muncul di kalangan anak muda yang cintakan ilmu untuk kembali kepada tradisi persuratan Melayu sambil menjadi ahli waris tradisi keilmuan Islam yang sangat hebat itu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  6 September 2016.


Thursday, September 1, 2016

SARJANA CIRITAN DAN SASTERAWAN PICISAN YANG MENGHALANG KEMAJUAN BERFIKIR DALAM SASTERA MELAYU

Kehadiran sarjana ciritan dan sasterawan picisan dalam sastera Melayu telah menghalang kemajuan berfikir dalam perkembangan sastera Melayu. Apabila saya bertanya beberapa orang pelajar sastera di universiti, apakah yang mereka pelajari tentang sastera di universiti, dengan agak keberatan mereka menjawab, “Tak ada apa-apa yang menarik. Kami ambil kertas sastera kerana senang lulus. Hafal apa yang diberikan oleh pensyarah, dapat markah tinggi.”  Bila saya bertanya, Mengapa sampai begitu sekali?  Tidak ada yang mahu menjawab, semuanya mengangkat bahu menyatakan keengganan mereka.  Bagus jika ada pensyarah memberi sedikit penjelasan, sama ada pelajar sastera berbohong atau memang benar pengajaran sastera gagal di universiti.  Apakah faktornya?

Saya akui dengan senang hati, saya memang amat kritis bila berbicara tentang persoalan ini. Setelah 59 tahun cerita pendek saya “Kapitalis Kecil” diterbitkan oleh Ahmad Boestamam dalam akhbar mingguan Pedoman, yang menjadi asas kepada pemikiran saya tentang sastera, yang masih hidup dan diteruskan hingga kini, maka pengalaman dengan pelajar sastera itu tentulah amat mengecewakan. Apa sudah jadi?  Membaca beberapa percubaan sarjana sastera untuk menjawab persoalan ini, seperti yang dicuba oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan (yang cukup dengan statistiknya), memberi sedikit gambaran mengapa hal ini terjadi, tetapi gambaran itu adalah mencukupi untuk meyakinkan saya masalahnya ialah masalah ilmu. Sastera Melayu yang diajar di universiti adalah sastera yang anti-ilmu, yang tidak membenarkan pelajar berfikir dan membicarakan dengan kritis karya atau tajuk yang diberikan kepada mereka. Terus terang, bagi saya ini merupakan satu pengkhianatan dalam pendidkan. Memang perkara ini sudah saya tegur dan kritik sejak 1970-an lagi, dengan menulis bagaimana para sarjana ini mengajar pelajar mereka menjadi bodoh, bukan menjadi cerdik dan terbuka kepada perbincangan ilmiah. Kualiti pengajaran sastera menjadi rendah dan akhirnya membunuh minat pelajar apabila para pensyarah yang mengajar sastera cetek meraba-raba, berlagak sebagai sarjana poyo yang banyak bercakap tentang perkara yang tidak mereka kuasai dengan meyakinkan. Saya amat yakin inilah yang terjadi, setelah meneliti kerjaya dua orang sarjana besar sastera Melayu yang amat terkenal dan popular, Mana Sikana dan Profesor Muhammad Haji Salleh.

Pengaruh negatif yang mereka lempar dalam dunia akademik adalah hasil dari kecetekan mereka dan keengganan mereka untuk berbicara dengan mendalam tentang konsep ilmu dalam pengajaran sastera.  Tahap perbincangan mereka masih di peringkat maklumat mentah yang tidak tepat pula, seperti yang saya tunjukkan dalam kritikan saya tentang mereka.  Tentulah amat menghairankan apabila seorang sarjana besar seperti Mana Sikana yang memang banyak menulis, hanya sekadar mencurahkan maklumat cetek yang tidak difahami dengan mendalam. Inilah yang terjadi dalam tiga buah buku beliau yang saya bicarakan dalam blog ini. Kekeliruan beliau tentang konsep teori dan sikap beliau terhadap perkembangan teori sastera di Barat yang menjadi ikutan beliau,  menjadi saksi betapa ceteknya kefahaman beliau tentang sastera dan pemikiran dalam sastera. Malah seorang sarjana besar yang dihormati seperti Profesor Muhammad Haji Salleh tiba-tiba, dengan tidak semena-mena, bertindak begitu lucu penuh lawak murahan apabila beliau mengaku telah memanjat bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham untuk menulis kertas kerjanya untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Mengapa sampai begitu sekali? Kalau tajuk itu dimaksudkan untuk berpura-pura dalam permainan bahasa seorang pensajak, maka cara dan tempatnya sangat awkward, tidak cocok dengan kedudukan beliau sebagai sasterawan negara dan Tokoh Akademik Negara. Adalah biadab sekiranya ada orang yang mengaku berilmu cuba berjenaka tentang ilmu, dan meremehkan ilmu sampai serendah itu seolah-olah bukan seorang ahli akademik, sebaliknya seorang pelawak sahaja, a kind of academic comedian yang hanya boleh muncul dan dibenarkan muncul dalam dunia akademik Malaysia saja. Cheap thrill seperti ini mesti ditolak, jika kita benar-benar serius tentang sastera.

Sekarang apa yang perlu kita buat? Pertanyaan ini sebenarnya tidak perlu, kerana yang perlu kita buat ialah menolak sikap anti-ilmu di kalangan sarjana sastera; dan kita dengan tegas harus kembali kepada konsep persuratan seperti yang dikembangkan oleh para ulama dan cendikiawan kita ketika membina tamadun ilmu di negara ini. Pada waktu ini konsep persuratan dan konsep sastera disamakan oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan, yang akibatnya telah membuntu perbincangan tentang peranan ilmu yang benar dalam kegiatan kreatif dan akademik.  Mereka telah menghidangkan ayam bakar yang tidak masak yang disalut santan masam sebagai ayam percik yang asli dan tulen. Bagi mereka kedua-duanya sama kerana pengalaman budaya pemakanan seumpama itu tidak ada pada mereka. Mereka sangat gembira apabila penipuan ilmiah ini diterima dengan baik sekali oleh para pengguna, sehingga apabila ada orang yang tahu membuat teguran, mereka menjadi sangat marah kerana mereka pun, saya fikir, ada juga rasa malu kerana mereka pun tahu kesilapan mereka. Cuma, kata mereka dengan bengis, tegurlah dengan sopan, jangan sampai memalukan mereka yang terhormat itu. Ini pun satu perkara yang saya bangkitkan sejak tahun  1970-an, apabila saya merungut mengapa mesti ada golongan Brahmin dalam sastera Melayu. Inilah dia, tercokol di depan mata kita menjadi masalah besar kepada perkembangan ilmu dalam budaya kita.  Ketika saya bangkitkan perkara begini tiada siapa pun di antara kalangan sarjana dan sasterawan ambil peduli, kerana ketika itu mereka sudah berada, dalam ungkapan yang masyhur di Kelantan,  dalam kalangan “lembu kenyang”.  Mereka telah masuk kandang “lembu kenyang” itu.  Ungkapan ini, jika anda banding dengan ungkapan dari Minangkabau yang diberitahu kepada saya oleh Umar Junus, “kentut berebus”,  anda akan dapati sangat tepat mencirikan perilaku manusia yang bersikap seperti itu. Untuk makluman, ungkapan “kentut berebus” telah dibuktikan benar apabila laporan tentang pembohongan kerajaan British dalam Perang Iraq adalah sejenis “kentut berebus” di peringkat global. Tetapi Presiden George Bush mengambil sikap “lembu kenyang” walaupun  dia tahu itulah yang terjadi. Now you see the point mengapa saya menggunakan ungkapan yang anda sendiri, walaupun ahli dalam bidang anda, tidak tahu atau tidak pernah dengar. Luaskan sedikit pengalaman budaya anda, sebagai seorang ahli akademik, supaya anda tidak salah faham apabila saya menggunakan ungkapan “lagu bertabuh” dalam konteks pendahuluan sesuatu tindakan, atau dalam sesuatu perbincangan. Ada sarjana telah salah faham, menuduh saya mengajaknya bertumbuk! Gila betul bila kejahilan dijadikan hujah.

Sastera telah mati di Malaysia, dibunuh oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan yang anti-ilmu.  Mereka inilah yang mengkhianati tradisi persuratan Melayu dengan melantik sasterawan negara untuk mengambil alih peranan para ulama dan cendekiawan dalam perkembangan intelektual dan pembangunan tamadun moden berteraskan konsep ilmu yang benar. Usaha ITBM dan PENA untuk menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa, dilihat dalam konteks perkembangan ilmu melalui persuratan Melayu, adalah suatu usaha yang bertentangan dengan warisan persuratan yang kita terima. Maka dengan itu usaha ITBM dan PENA untuk meletakkan sastera sebagai teras negara bangsa adalah satu pengkhianatan kepada tradisi keilmuan melalui persuratan yang kita warisi daripada para ulama dan cendekiawan kita sendiri, yang menjadikan konsep ilmu yang benar seperti yang dikehendaki dalam Islam sebagai asas perkembangan intelektual.  Perbuatan melantik sasterawan negara telah memutuskan tradisi persuratan dari ikatannya dengan Islam, yang berakhir dengan miskinnya pengetahuan para sasterawan dan sarjana sastera dalam budaya ilmu yang dibangunkan oleh para ulama dan ilmuan Islam sejak beratus abad.  Sikap anti-ilmu yang masih boleh diawasi, akhirnya menjadi gerakan anti-Islam apabila manusia tidak lagi dilihat dari perspektif Islam, walaupun mereka beragama Islam. Semua ini menjadi punca kepada kebodohan orang Melayu sendiri, terutama dari kalangan terpelajar, yang tidak lagi boleh berfikir dengan bebas dan jelas mengenai peranan mereka dalam pembinaan tamadun mereka sendiri. Inilah yang diigini oleh orang-orang seperti Mana Sikana, yang menjadikan faham pascamodenisme sebagai ukuran dalam kemajuan kreatif dan akademik seperti yang saya bincang dalam entri yang lepas. Apabila Mana Sikana meletakkan Islam di bawah pascamodenisme, seperti yang saya tunjukkan dalam entri yang lepas, maka pengajaran sastera di sekolah dan universiti diberi status liberalisme sepenuhnya, tidak lagi untuk mendidik bangsa Melayu menjadi pembina tamadun ilmu yang benar, tetapi sebaliknya mengandangkan mereka (yakni:  memasukkan ke dalam kandang)
dalam kandang sekularisme total yang berpaut sepenuhnya kepada teori sastera Barat (saya bercakap tentang kegiatan kreatif) untuk mengejar kemajuan yang  kononnya diilhamkan oleh faham pascamodenisme. Jika anda perhatikan, pada mulanya teksdealisme terdapat sedikit unsur Islam dari pengakuan Mana Sikana sendiri, tetapi kemudiannya dan hingga sekarang unsur itu dibuang terus. Kita perlu mendapat penjelasan Mana Sikana mengapa unsur Islam itu dibuang, tidak diperlukan dalam teksdealisme.  Adakah untuk menyelamatkan teksdealisme supaya serasi dengan pacamodenisme?

Dolak-dalik seperti ini biasa kita temui dalam tulisan dua orang tokoh besar sastera Melayu, Mana Sikana dan Profesor Muhammad Haji Salleh. Jelas sekali mereka tidak bermiant dan tidak memberi perhatian kepada konsep ilmu, hanya sekadar mengulang maklumat yang selalunya tidak tepat, maka dengan itu tulisan mereka merayau tak tentu arah, tidak ada fokus yang boleh dirumuskan sebagai “pemikiran” yang jelas matlamatnya.

Penyelesaian kepada kemelut yang sia-sia dan sengaja dicari-cari ini mudah sahaja, iaitu dengan kembali kepada konsep ilmu yang benar. Melalui pendekatan yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru, atau apa-apa juga pendekatan  yang berteraskan konsep ilmu yang benar, akan mengembalikan semula maruah tamadun Melayu yang berteraskan ilmu. Oleh itu, usaha Profesor Muhammad Haji Salleh membawa tamadun Melayu ke zaman animisme seperti yang dicadangkannya dalam kertas kerjanya dalam SKPM 2014, harus ditentang dan ditolak dengan tegas. Membawa orang Melayu dan masyarakat Malaysia ke dalam kandang animisme dengan alasan itulah yang dilakukan oleh Salman Rushdie yang hasilnya bergemerlapan adalah satu pembohongan intelektual yang tidak boleh diterima.  Kalau anda perhatikan tabiat dua orang sarjana besar ini, anda akan lihat Mana Sikana terlalu tergilakan pascamodernisme yang menolak kebenaran itu dan menganggap merekalah yang benar; manakala Profesor Muhammad Haji Salleh pula tergilakan zaman lampau, sehinggga dia sanggup mencadangkan supaya diwujudkan benda-benda ini: “Saya cadangkan diadakan suatu Kerusi Sastera Lisan dan Suatu Kerusi Sastera Lama di Universiti dan juga Jabatan Folklor atau Sastera Lisan. Tanpanya dua bidang ini biasanya tidak diberi ruang atau makna yang hak padanya, dan hak pada jati diri kita.” (hal. 207-208). Maju untuk kembali ke zaman silam, kepada animisme, oleh itu sesuailah perkara-perkara ini dicadangkan oleh beliau diwujudkan di Sabah dan Sarawak. Itukah caranya sarjana kita berfikir?  Kalau itulah caranya, tentulah mereka ini tidak layak menentukan bagaimana membina negara bangsa dengan konsep sastera yang begitu cetek dan keliru.

Pelajar Melayu yang mengambil mata pelajaran sastera tidak harus menjadi mangsa kumpulan yang keliru ini.   Mereka, para pelajar ini, dipaksa menjadi keliru dengan tidak memberi mereka peluang mengenal konsep ilmu yang benar, dan bagaimana ilmu yang benar itu menentukan pembinaan peradaban Islam.  Tidak mungkin kumpulan pensyarah yang anti-ilmu dapat memberikan kepada para pelajar ini cara berfikir dan bertindak yang kritis untuk memastikan mereka membuat keputusan yang tepat dan berfaedah kepada semua. Salah satu punca kelemahan bahasa Melayu para pelajar ini, yang dikatakan mengambil mata pelajaran sastera yang diajar dalam bahasa Melayu, ialah kerana mereka tidak diajar berfikir dengan kritis dan ditunjukkan bagaimana bahasa yang kritis itu boleh membina peribadi mereka. Saya tidak pernah dengar mana-mana pensyarah sastera bercakap tentang perkara ini seperti yang kita semua harapkan. Kegagalan pengajaran sastera di universiti terjadi kerana para pensyarah yang mengajar subjek ini tidak saja cetek meraba-raba, tetapi juga bersifat anti-ilmu. Anda boleh lihat semua ini jika anda membaca dengan kritis dan kreatif tulisan Mana Sikana dan Profesor Muhammad Haji Salleh, dan sarjana lain yang mengajar sastera. Inilah kenyataannya, yang cuba disembunyikan dengan menjadikan gagasan Persuratan Baru sebagai seteru mereka yang utama, yang mesti disekat daripada digunakan dalam pengajaran sastera. Satu pengkhianatan terhadap ilmu yang tidak boleh dimaafkan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1/9/2016.