Ada
usaha pihak establishment sastera
untuk meletakkan penulis dari kumpulan avant-garde Melayu yang diberi gelaran
sastera indie sebagai kumpulan pinggiran, dengan menggelarkan mereka penulis
“sastera pinggiran”. Perlukah kita
meletakkan para penggiat avant-garde Melayu ini ke dalam tong sampah sastera
dengan menggelarkan mereka penulis pinggiran? Istilah pinggiran adalah satu
istilah yang relatif. Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan
pengukuhan beliau 1972 (Islam alam
Sejarah dan Kebudayaan Melayu) mengkritik
para sasterawan, yang kini sudah dinaikkan taraf sebagai sasterawan negara,
sebagai kumpulan pinggiran yang tidak mendalam pengetahuannya dalam kebudayaan
atau tamadun Melayu dan tidak juga mendalam tentang kebudayaan Barat yang
ditiru mereka. Mereka adalah “kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba.”
Itulah kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang hingga kini tidak
pernah disanggah oleh mana-mana sarjana dan sasterawan sekalipun, termasuk yang
sudah bergelar sasterawan negara. Para sasterawan ini adalah kumpulan pinggiran
yang cetek meraba-raba yang menulis karya yang lebih mirip kepada karya picisan,
bukannya karya berunsur ilmu dan pemikiran. Saya telah menulis tentang isu ini
dalam banyak entri di dalam blog ini, paling penting ialah “Keunggulan yang Cacat”.
Sekarang
timbul persoalan yang perlu diselesaikan secara tuntas. Adakah benar para
sasterawan ini, termasuk sasterawan negara, adalah golongan pinggiran yang
cetek meraba-raba? Kita tidak boleh
mempunyai dua kumpulan pinggiran dalam sastera Melayu moden. Kita harus
selesaikan isu ini setelah begitu lama diutarakan oleh Prof. Syed Muhammad
Naquib al-Attas. Satu hakikat yang tidak dapat ditolak oleh para sarjana
sastera dan sasterawan ialah perihal mereka semuanya berada dalam kandang
sastera yang dipanggil Mutual Admiration Club. Kandang ini menjadi tempat
berkumpul para sasterawan dan sarjana untuk menentukan tidak ada perubahan
dalam perkembangan intelektual dalam dunia penulisan kreatif dan akademik.
Sikap mereka yang anti-ilmu membawa
mereka menjadi lalang budaya yang mengikut saja di mana angin bertiup dalam
sastera Barat. Ini mereka buktikan dalam kertas kerja mereka ketika
membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara. Para sarjana ciritan ini begitu gelojoh
menggunakan teori sastera Barat untuk dijadikan pendekatan ketika membaca dan
menilai karya para sasterawan negara, tetapi hingga kini mereka tidak dapat
membuktikan para sasterawan negara itu golongan pemikir yang unggul yang menggunakan bidang kreatif untuk membina
budaya intelektual yang sihat dalam bidang kreatif. Kesimpulan yang saya dapat
setelah meneliti karya mereka ialah bahawa mereka golongan yang menjadi
pendukung falsafah pandirisme yan g tertutup kepada perubahan dan bersikap
anti-ilmu. Ini mereka buktikan dengan amat jelas dalam Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia 2014, dengan membentang kertas kerja yang picisan dan bersifat
anti-ilmu. Mereka meremehkan begitu saja
ucap utama Prof. Mohd. Kamal Hassan tentang kedudukan tamadun moden sekarang
dan peranan penulis Malaysia dalam
pembinaan tamadun berasaskan ilmu dan moral yang terpuji. Ini sudah semestinya,
kerana laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri mengejek apa juga usaha
untuk membina budaya ilmu dengan mengatakan sastera tidak perlukan ajaran
moral, tidak perlukan unsur didaktik dalam karya kreatif, kerana yang mereka
perlukan ialah meniru daripada Barat dengan mengadakan perubahan dan
sebagainyanya dalam konteks teori sastera Barat. Inilah kesimpulan mereka, yang
diterima dengan ghairah oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Mereka telah
meletakkan kumpulan mereka lebih tinggi kedudukannya daripada para ulama dan
cendekiawan yang telah membina tamadun Melayu dengan menggunakan persuratan
untuk membina tamadun berasaskan ilmu yang benar.
Kemunculan
para penulis avant-garde yang menggelar diri mereka golongan indie, memberi
kemungkinan baru dalam perkembangan intelektual dalam bidang kreatif. Kelebihan
beberapa orang dari mereka menimbulkan rasa tercabar kepada kumpulan Mutual
Admiration Club kerana anak-anak muda ini tidak berada dalam kandang Mutual
Admiration Club, oleh itu mereka bebas menulis dan tidak perlu menjadi pengemis
seperti anggota Mutual Admiration Club yang berada dalam persatuan penulis,
yang setiap masa menunggu bantuan daripada kerajaan dan menjadi sangat kecewa
jika tidak diberi bantuan. Tetapi
apabila bantuan terlalu banyak, mereka menjadi angkuh dan hilang daya kreatif,
diganti dengan keinginan untuk membahagi-bahagikannya sesama sendiri; sehinga
suatu masa itu terdapat kumpulan berkuasa dalam persatuan ini menggunakan
kemudahan kewangan itu untuk “melawat
sambil belajar”, satu program untuk bersenang-senang di luar negara yang
menjadi pilihan mereka. Kata mereka, mereka hanya menjalankan daya kreatif
mereka untuk menulis karya perjalanan, yang kini kononnya menjadi kegilaan
penulis seluruh dunia sehingga telah diteorikan oleh ahli akademik di Barat dan
teori itu telah digunakan untuk membicarakan karya para sasterawan negara yang
melawat dunia.
Kita
tidak melihat apa-apa perubahan daripada kekayaan baru ini. Siapakah yang
mendapat faedah? Saya masih menunggu
kumpulan ini menggunakan sedikit wang untuk mengadakan seminar ilmiah
membicangkan peranan ilmu dalam penulisan kreatif. Mereka tidak mahu kerana
menurut mereka tidak diperlukan, kerana kegiatan mereka adalah kegiatan
bertaraf ilmu global, dengan mengadakan majlis baca sajak yang dihadiri oleh
penulis seluruh dunia; di samping itu sentiasa saja diadakan majlis baca sajak
ini sebagai satu kegiatan ilmiah bertaraf tinggi. Perhatikan bagaimana tabiat
mereka berubah seperti ahli politik yang menabur wang untuk mendapat pengaruh,
maka kumpulan ini pula memanggil kawan-kawan untuk memuji mereka. Kegiatan ini disergah oleh para penulis indie
sebagai sejenis kepura-puraan untuk mendapat pujian, bukan untuk mengembangkan
ilmu dan perbincangan ilmiah. Hasil
perbincangan “ilmiah” itu, kalau ada,
amat mengecewakan kita. Inilah yang terbukti dalam Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia 2014, yang sangat hebat dari segi mengulang segala macam klise
yang telah diulang berkali-kali, terutama sekali dalam membuat cadangan supaya
mereka mendapat faedah besar kononnya untuk sastera, padahal mereka tujukan
supaya karya mereka sendiri diberi promosi besar-besaran dan diterjemahkan ke
dalam bahasa-bahasa utama dunia. Hanya untuk lingkungan mereka saja. Kecekapan
mereka ialah menelurkan resolusi untuk menentukan faedahnya mereka perolehi.
Orang yang pernah ikut serta dalam program seperti ini tahu sangat siapa yang
mendapat faedah itu, hanya anggota kandang Mutual Admiration Club, bukan yang
berada di luar club mereka.
Kemunculan
penulis dan penerbit indie ini adalah satu protes yang wajar yang kemudiannya
menimbulkan ketakutan di kalangan para anggota kandang Mutual
Admiration Club, yang kini terdedah kepada pertanyaan yang paling menakutkan mereka: Apakah yang telah kamu buat dengan wang yang banyak berupa bantuan kerajaan itu? Karya-karya yang diterbitkan oleh DBP dan ITBM masih lagi dalam bentuk lama, yang mengulang klise yang sudah difosilkan dalam sastera Melayu. Tidak ada perubahan pun, mereka masih tetap bersikap anti-ilmu. Tetapi mereka telah berjaya melontarkan kembali karya para sasterawan negara dengan edisi baru yang menarik, tetapi dari segi isi masih nasi basi yang dihangatkan semula. Panas, tetapi tetap nasi basi.
Admiration Club, yang kini terdedah kepada pertanyaan yang paling menakutkan mereka: Apakah yang telah kamu buat dengan wang yang banyak berupa bantuan kerajaan itu? Karya-karya yang diterbitkan oleh DBP dan ITBM masih lagi dalam bentuk lama, yang mengulang klise yang sudah difosilkan dalam sastera Melayu. Tidak ada perubahan pun, mereka masih tetap bersikap anti-ilmu. Tetapi mereka telah berjaya melontarkan kembali karya para sasterawan negara dengan edisi baru yang menarik, tetapi dari segi isi masih nasi basi yang dihangatkan semula. Panas, tetapi tetap nasi basi.
Para
penerbit dan penulis indie ini diberi cabaran besar dan kesempatan yang luas
untuk mengubah keadaan ini. Mahukah mereka lakukan? Bolehkah mereka buat? Soalan ini tidak perlu, kerana anda sebagai
seorang yang berani dan yakin, akan insaf betapa kura-kura pun sanggup berlumba
lari dengan arnab. Ada rahsia dan kebijaksanaan
dalam cerita kana-kanak itu untuk difikirkan oleh orang dewasa yang cerdik.
Gelanggang terbuka di depan anda. Sama
ada anda kura-kura atau arnab tidak penting. Yang penting anda mempunyai
ketegasan untuk mencapai cita-cita, dan berani dikalahkan untuk mencuba lagi.
Itulah tanda-tanda orang yang cerdik. Tetapi
sebagai orang Islam, anda diberi kelebihan yang sangat besar, yang tidak
diberikan kepada orang lain, walaupun terbuka untuk mereka tetapi mereka telah
menolaknya dengan angkuh. Kelebihan itu
ialah anda diberitahu apakah sumber ilmu yang sebenarnya. Jika anda seorang
pembaca buku-buku falsafah Barat, anda akan mendapat kesan betapa menderitanya jiwa
mereka, kerana mereka menolak hakikat bahawa mereka dijadikan Allah SWT dan
dilahirkan ke dunia dari tiada untuk kembali kepada tempat yang kekal. Mereka
tidak terima ini, inilah punca penderitaan mereka yang melahirkan segala macam
faham falsafah dan teori sastera. Anda perlu mengetahuinya, dan memahaminya
dengan mendalam supaya anda tidak menjadi sesat seperti mereka padahal anda
telah diberi pertunjuk dalam Kitab yang
diwahyukan. Apa lagi yang anda mahu? Andainya anda perlukan cahaya di rumah
anda, maka anda sudah diberi cahaya itu untuk memandu anda dalam perjalanan
yang aneh ini, perjalanan seorang manusia yang tetap angkuh kerana
kejahilannya, kerana itu menolak dengan angkuh pula jalan keluar yang tersedia
di depannya. Jangan jadi seperti itu, anak-anakku. Engkau tidak akan bebas
lagi. Sia-sialah kamu berada dalam kumpulan indie jika kamu menolak kebenaran
dan kebebasan hakiki.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 28,5/2015.