Sudah tiba
masanya kesusasteraan Melayu bertukar haluan menjadi persuratan Melayu sebaik
saja para penulis mula mendalami aspek ilmu dalam penulisan kreatif. Ada sasterawan berkata, bertukar haluan itu
keterlaluan, seolah-olah mahu menyinkirkan langsung golongan sasterawan, jadi
cukuplah jika persuratan hanya
diberi laluan tanpa halangan, dengan itu golongan sasterawan tidak terlalu
terkilan dan berasa tersisih dalam pertandingan merebut pengaruh. Sebenarnya
bagi saya tidak ada dan tidak perlu pertandingan; yang ada ialah pilihan.
Sesiapa pun boleh memilih laluan yang disenanginya. Tetapi perubahan tetap akan berlaku. Perubahan
ini tidak dapat dielakkan, sekiranya anda mengikuti kesedaran masyarakat kini
kepada kepalsuan yang sekian lama disogokkan kepada kita melalui konsep sastera. Dalam posting yang lepas, dilakar dengan
ringkas (rujuk buku UNESCO untuk keterangan lanjut) bagaimana pengaruh
Andalusia memasuki dunia kreatif Eropah sehingga bermulalah penulisan kreatif
bentuk baru. Satu aspek pengaruh ini perlu diulang berkali-kali untuk tidak
dilupai oleh para sasterawan Malaysia, iaitu perihal unsur Islam dan falsafah
yang dibawa dari Andalusia itu. Eropah mendapat tapak yang baik ketika memulai
kesusasteraan moden mereka. Sebaliknya, para sasterawan Melayu/Malaysia
menerima pengaruh tokoh-tokoh mulhid seperti Marx dan Freud untuk mengubah gaya
penulisan kreatif di Malaysia. Maka lahirlah karya-karya seperti Salina, Langit Petang dan lain-lain yang ditulis di bawah pengaruh
psikologi Freud dan realisme di bawah pengaruh Marx. Apa yang sudah terjadi? Para sasterawan Melayu telah berjaya
menghancurkan persuratan Melayu, menggantikannya dengan kesusasteraan yang
bercorak kreatif sepenuhnya, untuk menyatakan cerita mereka atau versi “baru”
yang mereka ambil dari Barat. Tumpuan
kepada cerita dan pandangan peribadi berjaya menyisihkan aspek ilmu dalam
persuratan, yang diberi nama baru sebagai kesusasteraan dengan kemunculan para
sasterawan ini. Maksud menyisihkan ilmu
di sini ialah tidak menjadikan wacana ilmu sebagai asas penulisan kreatif,
sebaliknya menjadikan cerita sebagai asas penulisan kreatif. Kenyataan ini amat
penting kerana perbezaan ini memberi kesan yang jelas dalam hasil kreatif dan
dalam pendidikan. Sekiranya seni penulisan kreatif diasaskan kepada wacana
ilmu, maka cerita masih tetap diberi tempat yang wajar, malah wacana ilmu itu
sendiri bertujuan untuk menjadikan cerita lebih cermat ditangani kerana cerita
tidak lagi diberi kebebasan untuk merayau, tetapi berada dalam ruang naratif,
dan melalui ruang naratif itulah maksud dan tujuan cerita itu ditakrif melalui
penggunaan wacana dan teknik stylization
of ideas. Sebaliknya, jika hanya cerita dan bercerita saja diutamakan, ilmu
akan dipinggirkan dan hasilnya ialah karya-karya yang hanyut, tidak terfokus,
dan tidak menyerlahkan pemikiran penulisnya. Contohnya banyak, dan telah
dibicarakan dengan menyakinkan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr.
Mohd. Zariat dalam karya akademik mereka.
Dari segi
pendidikan pula, kita kehilangan tokoh besar dalam dunia persuratan apabila
hanya karya kerdil dan cetek para sasterawan yang dibawa ke dalam bilik darjah
untuk dikaji dan dipelajari. Inilah kelemahan paling besar dan paling merugikan
dalam pendidikan negara. Para pelajar kita dipaksa untuk menerima dan mengenal
para sasterawan yang “cetek meraba-raba” ini untuk dipuji dan dikaji. Ini semua
telah menumpulkan daya berfikir para pelajar ini, lebih-lebih lagi apabila
mereka dipaksa menerima dan menggunakan pendekatan Barat untuk mengkaji dan
menilai para sasterawan yang “cetek meraba-raba” itu. Bilik darjah dan bilik
kuliah kehilangan para pemikir, pendeta dan tokoh intelektual yang begitu ramai
dilahirkan dalam tamadun kita. Ke mana
mereka pergi? Kita telah membuat pilihan yang paling merugikan dengan membawa
masuk para sasterawan untuk dijulang di dalam bilik-bilik darjah dan di dalam
dewan-dewan kuliah. Beribu orang sarjana
telah dilahirkan untuk membicarakan para sasterawan yang “cetek meraba-raba”
ini, yang hanya melesukan daya berfikir para pelajar dan sarjana yang
dilahirkan dari sistem yang memberi perhatian kepada para sasterawan ini. Para
pelajar kita tidak mengenal dan tidak membaca karya tokoh-tokoh persuratan kita
yang jauh lebih cerdik dan lebih berfaedah untuk dipelajari. Inilah dosa paling besar dalam sistem
pendidikan kita, apabila kita dengan sengaja melesukan daya berfikir para
pelajar dan mahasiswa yang begitu tumpul pemikirannya sehingga tidak dapat
membezakan antara karya picisan dan karya bermutu, dan menerima tokoh-tokoh
picisan ini sebagai tokoh-tokoh penting. Jelaslah kita perlukan perubahan,
tidak hanya laluan seperti yang dicadangkan oleh setengah sasterawan yang ingin
mengekalkan kekeliruan dan kelesuan berfikir ini. Kesusasteraan yang ditiru
oleh para sasterawan ini telah melahirkan budaya pandirisme dalam tamadun kita,
dan inilah yang perlu kita ubah dengan kembali kepada persuratan.
Seorang
penulis yang berbakat besar dan menguasai ilmu akan memilih untuk menghasilkan
karya persuratan, kerana beliau akan dapat menyerlahkan pemikirannya dan juga
bakat kreatifnya. Tentu saja pengarang jenis ini, yang menghasilkan karya
persuratan, tidak ramai; tetapi mereka memberi darjat yang tinggi kepada
pemikiran bangsanya. Penulis yang memang pandai menulis, akan memilih untuk
menulis karya sastera, kerana ini lebih mudah dan dia juga akan berasa lebih
bebas untuk berhanyut dalam ceritanya. Penulis jenis ini tentulah ramai,
menjadi kumpulan majoriti, tetapi mutu tulisan mereka terbatas kepada kemampuan
intelektual dan bakat penulis itu sendiri. Jika dia berbakat besar dan
menguasai ilmu pula, dia akan meningkatkan dirinya untuk menulis karya
persuratan. Untuk kategori ketiga, nampaknya inilah golongan yang paling rajin,
kerana mereka mempunyai pembaca yang ramai yang memang menyukai budaya
hedonisme yang menjadi panduan penulis kategori ketiga ini. Mereka tidak akan
teragak-agak untuk menggunakan nama Islam untuk menulis karya picisan, seperti yang
dilakukan oleh Shahnon Ahmad. Oleh sebab dalam dunia akademik sendiri terdapat
ramai pula sarjana (ahli akademik) yang menggemari tulisan kategori ketiga ini,
maka kategori ketiga ini akan terus mendapat pembelaan daripada ahli akademik
jenis ini.
Kumpulan
sasterawan ini berjaya melakukan dua perkara penting: menghapuskan tulisan
Jawi, dengan itu sekaligus melontarkan Islam keluar dari perspektif penilaian
yang kini ditentukan seluruhnya oleh teori realisme Barat. Kedua, mereka berjaya menjadikan kegiatan
sastera itu bersifat sekular sepenuhnya, dengan menjadikan teknik dan teori
Barat sebagai panduan dan pegangan seluruhnya. Manusia yang menjadi penghuni
dalam karya mereka adalah manusia yang berwajah Barat, dengan tata kelakuan
kebaratan. Semua ini akan dilengkapkan dengan cara analisis dan penilaian oleh
para sarjana yang menggunakan ukuran Barat sepenuhnya. Inilah yang dilakukan
oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang menjadi pelindung dan penguatkuasa sistem kesusasteraan Barat
dalam bahasa Melayu.
Apakah
kesannya kemunculan golongan sasterawan ini terhadap perkembangan kesusasteraan
Melayu moden? Kesan yang paling besar ialah hilangnya kecerdikan dalam karya
dan dalam penilaian karya. Hakikat ini dibuktikan dengan begitu meyakinkan oleh
Prof. Ungku Maimunah dalam kertasnya yang membicarakan novel Azizi Hj.
Abdullah, Harga Sebuah Maruah. (Lihat
kertas beliau, “Novel Harga Sebuah Maruah Oleh Azizi Haji
Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”. Dibentangkan dalam
Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII), Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 29-23 November
2011. Lihat juga kritikan saya terhadap
novel Kawin-kawin yang menang Hadiah
Sako II: “Unsur Jenaka dalam Novel Kawin-kawin:
Kegagalan Intelektual Seorang Sasterawan”.
Kertas kerja dalam Seminar Jenaka Melayu Nusantara, anjuran DBP, Universiti
Malaya, 21-23 September 2003). Sekali imbas kesimpulan ini kedengaran
agak aneh dan barangkali tidak tepat dan tidak objektif. Tetapi jika anda
meneliti persoalan ini dengan mendalam dan kritis, anda akan dapati sastera
Melayu moden itu hanya berbicara tentang kemahuan para sasterawan, bukan
tentang kesedaran ilmu yang akan membawa pembaca untuk mengenal dirinya sebagai
manusia dan sedar apakah matlamat hidupnya. Semua aspek ini tidak diberi
perhatian kerana bertentangan dengan konsep sastera yang hanya mempunyai satu
matlamat, iaitu untuk bercerita. Dari segi ini, sastera Melayu memang tidak
berbeza dengan sastera negara lain yang juga memberi perhatian kepada aspek
cerita. Dengan penekanan kepada realisme, sastera Melayu moden dikatakan
menjadi jurubicara kepada masalah rakyat, oleh itu pada umumnya hasil sastera
Melayu moden berbentuk protes, sesuai dengan faham sastera yang menjadi anutan
para sasterawan bahawa sasterawan adalah propagandis zamannya. Kesan dari
kepercayaan kepada sifat sastera seperti ini, maka sastera Melayu moden memang
kaya dengan karya yang bersifat propaganda dan protes, tetapi sangat miskin dengan
pemikiran. Beberapa seminar yang
dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membicarakan “pemikiran” para
sasterawan negara, pada umumnya gagal membicarakan aspek “pemikiran” itu, malah
para penulis kertas kerja sendiri mengaku tidak ada “pemikiran” dalam karya para
sasterawan negara sendiri. Adakah ini terjadi dengan kesedaran para sasterawan
sendiri, bahawa tidak menjadi matlamat sastera untuk membicarakan soal
“pemikiran”, kerana secara tabii sifat sastera
untuk bercerita semata-mata. Kata para pembela sasterawan negara, itulah
kekuatan para sasterawan negara. Tiadanya “pemikiran” dalam karya tidak
mencacatkan karya mereka, kerana mereka menulis bukan sebagai “pemikir”, hanya
sebagai propagandis zamannya. Dari segi itu, kata para pembela sasterawan
negara, mereka sangat berjaya. Semua mereka adalah propagandis zamannya.
Apakah
maksud “propagandis zamannya”? Idea ini
sebenarnya adalah idea Asas 50, yang menggunakan slogan “sastera untuk
masyarakat” atau “sastera untuk rakyat”.
Inilah kesan dari ajaran Marx dalam sastera Melayu moden, dan Asas 50
adalah jurubicara kepada “sosialisme sastera”, yang mereka kaitkan dengan
“perjuangan politik”, dengan itu memberi erti bahawa sasterawan adalah pejuang
kemerdekaan. Mungkin benar ada di antara mereka boleh dikategorikan sebagai
pejuang kemerdekaan, tetapi penglibatan mereka tidak secara langsung, kecuali
penulis seperti Ishak Hj. Muhammad dan Ahmad Boestamam. Dilihat dari perspektif
ini, maksud “sasterawan sebagai propagandis zamannya” merujuk kepada gerakan
sosialisme dalam politik Malaysia pada peringkat awal, selepas para pejuang
yang terdiri daripada golongan ulama dan orang agama diketepikan kerana dituduh
tidak cukup radikal dalam cita-cita politik. Pada peringkat awal dalam perkembangan sastera
Melayu moden, slogan ini mungkin boleh diterima, dan peranan sasterawan sebagai
seorang propagandis tidak perlu dipersoalkan. Tetapi selepas 1981, apabila
Anugerah Sastera Negara dimulai, slogan ini ditolak oleh Panel Anugerah Sastera
Negara, walaupun mereka menerima para propagandis dari golongan sasterawan ini
untuk dinobatkan sebagai sasterawan negara. Dalam laporannya, Panel menolak
karya yang bersifat propaganda dan yang bercorak didaktik. Penegasan ini
disebut dalam Laporan 1985 ketika
membicarakan karya A. Samad Said. Berasaskan pandangan itu, bolehkah kita
berkata, slogan “sasterawan sebagai propagandis zamannya” sudah ketinggalan
zaman, tidak sesuai lagi dengan suasana masyarakat pada waktu ini?. Tetapi
kesimpulan ini nampaknya tidak diterima oleh para sasterawan dan sarjana
sastera, yang masih menganggap slogan
itu masih boleh dipakai untuk sekian lama di masa hadapan, mungkin juga sampai
hari kiamat! Hujah mereka, sasterawan
mempunyai tugas sosial yang tidak dibataskan oleh masa, dengan itu tugas itu
untuk sepanjang zaman. Malangnya pandangan ini bukanlah pandangan asli
sasterawan Melayu, kerana yang menyuarakan pandangan ini ialah seorang tokoh Perancis
yang terkenal, yang juga diminati di Malaysia, iaitu Hippolyte Taine, yang memberikan formula race-milieu-moment. Berasaskan formula Taine, novel-novel picisan
dan erotik yang ditulis oleh Abdullah Hussein, Shahnon Ahmad, Azizi Hj.
Abdullah dan lain-lain dipertahankan sebagai karya yang mencerminkan
perkembangan masyarakat dalam sesuatu masa tertentu.
Menurut Rene
Wellek (A History of Modern Criticism 1750-1950. Jilid
4. Yale University Press, 1965.) yang memberi pendapatnya begini: “Today the
name Taine almost compulsively evokes three words: race, melieu, and moment. He
is known as the founder of a sociological science of literature. But one has
the impression that at least outside of France he is not read any more. Writers
on English literature hardly ever refer to his History of English Literature. Even in France his reputation is
under a cloud. Except for specialists his peculiar, highly complex position in
a history of criticism seems to be unknown or misunderstood” (hal. 27). Nampaknya para sarjana di Malaysia mempunyai
pendapat berbeza, kerana Taine sering disebut dalam konteks tiga perkataan
(bukan konsep?) tadi. Adakah sarjana Malaysia membaca Taine atau hanya mendapat
maklumat mudah dan ringkas dari buku-buku panduan tentang kritikan? (Di Malaysia
buku-buku begini sangat popular; di kalangan pelajar pula buku-buku begini
memberi nafas kepada pelajar yang malas membaca! Buku-buku jenis inilah yang
memundurkan pelajar dan guru/pensyarah mereka). Analisis dan penilaian Rene Wellek tentang teori
Taine ini perlu dibaca dengan kritis oleh para sarjana Malaysia, supaya mereka
dapat melihat betapa ceteknya pengetahuan mereka tentang teori Taine ini. Tidak
pantas bagi seorang sarjana untuk terus berada dalam keadaan “cetek
meraba-raba” selama-lamanya!
Adakah
sarjana Malaysia sudah jauh ketinggalan zaman apabila mereka masih berpegang
kepada rumusan Taine yang sebenarnya tidak membantu untuk memahami keadaan
sebenar dalam kesusasteraan Melayu? Apakah yang dimaksudkan dengan “keadaan
sebenar” itu? Pertama sekali, kesusasteraan Melayu tidak menyerlahkan
“pemikiran”, sehingga karya para sasterawan negara sendiri pun dikatakan tidak
mempunyai “pemikiran” itu. Kita perlukan kaedah dan teori yang menjurus kepada
analisis tentang pemikiran ini; dan ini tidak dapat diberikan oleh teori Taine.
Kedua, teori Taine tidak tepat untuk digunakan bagi mengukur kemajuan yang
telah dicapai, kerana matlamat teori itu bukan untuk itu, tetapi hanya untuk
memperihalkan beberapa aspek dalam persoalan kemasyarakatan yang menarik minat
penulis. Tetapi ini pun tidak tepat, kerana kecenderungan penulis untuk memilih
sesuatu persoalan tidak semestinya didorong oleh kesedarannya terhadap
persoalan yang dihadapi masyarakat. Sebagai contoh: sering dikatakan munculnya
novel-novel picisan yang bercorak erotik adalah hasil pergolakan dalam
masyarakat pada tahun-tahun 1960-an dan sebelumnya yang dikaitkan dengan
keruntuhan moral. Tahun-tahun tersebut adalah tahun-tahun awal selepas
kemerdekaan. Bolehkah kita berkata, tahun-tahun awal selepas kemerdekaan
merupakan masa keruntuhan moral masyarakat kerana kemiskinan yang dihadapi
rakyat? Jika ini benar, kemunculan novel picisan dan erotik tidak dapat
dikaitkan dengan kemiskinan, kerana keruntuhan moral tidak berpunca daripada
kemiskinan, walaupun memang terdapat kes perempuan Melayu, terutamanya janda,
yang memilih menjadi pelacur kerana desakan hidup. Tetapi pelacuran seringkali
dikaitkan dengan keinginan untuk mendapat kemewahan hidup dengan mudah dan
serta merta. Di dalam novel-novel picisan dan erotik yang dihasilkan oleh para
penulis Melayu, aspek ini memang dibayangkan sepintas lalu; tetapi dorongan
untuk menulis novel-novel jenis ini ialah kemahuan penulis sendiri untuk
melariskan karyanya, kerana terdapat andaian bahawa pembaca memang sukakan
karya seperti itu. Inilah pandangan umum para penulis tentang sastera, seperti
yang diakui oleh Azizi Hj. Abdullah dalam bukunya Kuras-kuras Kreatif (DBP, 2007). Antara lain, kata Azizi: “Pada
masa itu (merujuk tahun 1960-an) karya kreatif berunsur lucah sering
tersiar. ... Saya cuma nampak dunia
kejahatan sahaja yang perlu ditulis jika mahu menjadi seorang penulis” (hal.
8). Ini sebenarnya timbul dari kesilapan
memahami konsep realisme, kerana bagi pengarang Melayu, kejahatan adalah
realisme yang mesti didedahkan. Tetapi seringkali pendedahan yang dikatakan
bersifat realistik itu hanya alasan untuk menulis karya lucah, seperti yang
diakui dan dilakukan oleh Shahnon Ahmad dalam novelnya, TIVI. Jika semua aspek ini diberi pertimbangan dan dianalisis, kita
akan dapati teori Taine tidak boleh digunakan untuk menilai kegiatan yang
bersifat lucah dalam karya para sasterawan Melayu. Oleh itu, percubaan seorang
sarjana untuk membela Abdullah Hussein yang menulis novel picisan dan lucah, Kuala Lumpur Kita Punya (1967) dengan
menggunakan teori Taine amat mengelirukan, kerana teori ini tidak dapat
mengesan (malah tidak penting pun diberi penilaian) aspek picisan dan lucah
itu, kerana kedua-duanya adalah wajar kerana “itulah realiti pun” (ini ungkapan
Shahnon Ahmad ketika membela karya lucahnya).
Pengguna
teori Barat di Malaysia harus sedar dan dapat mengesan bahawa teori Barat
telah mengaburkan banyak perkara dalam memahami karya sastera Melayu
moden. (Saya telah bincang aspek ini dalam posting yang lepas.) Kekeliruan yang paling dasar dan paling besar
ialah teori Barat menolak pentingnya dibezakan antara ilmu dengan pengetahuan,
kerana mereka menolak epistemologi sebagai asas penting dalam pembinaan teori.
Teori Barat hanya berminat melihat aspek luaran sesebuah karya (walaupun dalam
pendekatan psikologi, yang lebih tepat membicarakan hawa nafsu, bukan bersifat
kerohanian); dengan itu tafsiran mereka terbatas kepada perilaku watak-watak
dan perilaku penulis sendiri yang memilih sesuatu persoalan atau tema. Ini
dapat dilihat dengan jelas dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Contoh
terbaik ialah laporan terhadap karya A. Samad Said. Di situ Panel memberi
penekanan berlebihan kepada teknik bercerita, bukan kepada makna cerita itu.
Oleh itu, mereka memuji A. Samad Said yang menurut mereka memberikan perincian
yang detail dari segi latar dan peristiwa (misal: lihat contoh cerita pendek
“Longkang” yang menggambarkan longkang dengan begitu terperinci). Panel
mengutamakan “penelitian” maklumat yang dapat dilihat, dengan itu “maklumat”
disamakan dengan “ilmu”. Inilah kesilapan besar yang membuat Panel menerima
sebuah karya picisan seperti Salina
sebagai sebuah hasil sastera yang bermutu tinggi. Inilah juga kelemahan teori
Taine yang menjadi ikutan sarjana Malaysia. Inilah kesilapan Balqis ketika
baginda mengangkat kainnya waktu dia memasuki istana Nabi Sulaimkan ‘a.s.
kerana lantai berkilat itu disangkanya sebuah kolam. Balqis terpesona dengan
hasil seni bina yang begitu tinggi mutunya, samalah seperti Panel terpesona
kepada perincian dalam karya A. Samad Said. Tetapi Balqis beruntung kerana
beliau dibetulkan oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. dan terus sedar akan kesilapannya;
manakala Panel Anugerah Sastera Negara terus terpesona dengan gambaran luaran
yang pada hakikatnya tidak memberi apa-apa makna yang penting walaupun
diperincikan begitu rupa. Menjadikan “perincian” suatu ukuran penting dalam
penilaian, samalah dengan menjadikan sampah berlonggok yang tersusun sebagai
barang berguna yang perlu dihargai. Anda hanya dapat membezakan dua penilaian
ini jika anda dapat membezakan antara maklumat dengan ilmu. Jika anda tidak
dapat membezakannya, maka anda akan jadi seperti Fatimah Busu yang menulis
sebuah novel yang tebal yang penuh dengan maklumat (yang tidak semestinya tepat
dan berguna, misalnya keghairahannya kepada sajak Rendra yang telah memberinya
“inspirasi” untuk dijadikan judul kepada novelnya dan nama watak utamanya). Semua ini akan dapat anda kesan jika anda
menggunakan mod bacaan intelektual yang
dibezakan dengan mod bacaan cerita. (Penjelasan lanjut diberikan oleh Prof.
Ungku Maimunah dalam banyak tulisan beliau.)
Dengan menggunakan mod bacaan intelektual, anda akan dapat melihat
“realiti” mutu sebenar sesebuah karya, yang anda tidak dapat lihat jika anda
membacanya dalam mod bacaan cerita. Inilah kekuatan gagasan Persuratan Baru
yang membezakan dengan jelas antara wacana, yang berasaskan ilmu yang benar,
dengan cerita (yang hanya berasaskan peristiwa yang tidak semestinya bermakna;
untuk memahami kesimpulan ini anda harus teliti maksud “khusran” yang
ditekankan oleh Al-Quran tentang kehidupan manusia.) Tetapi jika anda sebagai seorang sarjana yang
benar-benar menguasai bidang anda, seperti ahli sihir Firaun menguasai ilmu
sihir, maka anda akan dapat melihat “kebenaran hakiki” (atau realiti hakiki)
berasaskan konsep ilmu yang benar. Masalah
kita ialah para sarjana (sastera) kita masih berada, dari segi kemahiran dalam
bidang pilihannya, pada peringkat “kemahiran” seorang ahli silap mata yang
menghiburkan anak-anak waktu menyambut hari jadi mereka. Memang menyeronokkan,
tetapi sia-sia. Di mana pula letaknya
Panel Anugerah Sastera Negara sendiri?
[Jika anda telah membaca makalah saya, “Persuratan Baru dan Cabaran
Intelektual: Menilai Kembali Kegiatan Kreatif dan Kritikan” (1998), anda akan
mengerti mengapa saya menggunakan ungkapan “tabiat berfikir pascatadika” ketika
mengkritik golongan sarjana “ahli silap mata” ini.]
Abad 21
merupakan era perubahan dari kesusasteraan kepada persuratan dalam bidang
kreatif dan kritikan di Malaysia. Walaupun perubahan itu berlaku agak perlahan,
dan banyak pula halangan daripada para sasterawan dan sarjana sastera sendiri,
namun tanda-tanda yang menunjukkan perubahan itu telah bermula sudah agak jelas
kelihatan. Kini para penulis mula berminat untuk memahami konsep ilmu seperti
yang difahami dalam Islam; di samping itu mereka juga sudah dapat melihat
mengapa wacana sangat penting dalam penulisan kreatif, sambil tidak
meninggalkan aspek cerita. Kini cerita tidak lagi dibiarkan merayau tanpa arah,
kerana cerita kini dilihat dari perspektif kedudukannya dalam ruang naratif
yang dibina oleh pengarang. Dengan menggunakan ruang naratif, seorang pengarang
akan lebih mudah mengawal karyanya daripada tersasul ke arah yang boleh
melemahkan (yakni membikin karya itu tidak bermutu) karya kerana tidak seimbang
dari segi teknik penulisan. Penggunaan ruang naratif yang cekap dan kemas akan
memudahkan seorang penulis/pengarang menyerlahkan kemampuannya berfikir, suatu
kelemahan yang amat jelas dalam praktik yang dibuat selama ini yang menggunakan
teknik lama yang sudah menjadi klise.
Melalui proses ini, kita dengan mudah dapat membezakan sesebuah karya
itu berupa karya persuratan, atau karya sastera biasa dalam bentuk lama,
atau pun karya lucah/erotik dan picisan.
Perubahan ini penting kerana ketiga-tiga kategori itu mempunyai kedudukan
masing-masing dalam penilaian yang dibuat oleh sesiapa saja yang meneliti, atau
sekurang-kurangnya membaca karya itu. Ini
adalah sejenis kemahiran baru yang perlu dipelajari oleh semua pembaca, baik
pembaca yang biasa mahu pun yang
bertaraf akademik. Selama ini kemahiran ini tidak jelas, tidak terarah
untuk mencapai sejenis kesempurnaan kefahaman berasaskan ukuran yang dapat diuji
ketepatannya. Melalui proses pemilihan ini, pembaca akan didedahkan kepada
aspek pemikiran dalam pembinaan karya, tidak seperti dulu pembaca hanya
berminat untuk mendapat cerita semata-mata.
Karya besar Malaysia akan lahir dalam era perubahan ini, dan genius kita
yang sebenar akan muncul dalam era perubahan ini. Proses pemantapan sedang
berlaku, sama ada secara sedar melalui usaha gigih untuk membina tamadun
persuratan yang canggih; atau secara tidak langsung melalui proses penolakan
dan cemuhan, yang akan berakhir dengan
kematangan berfikir dan dengan itu bersedia untuk ikut serta memberi
sumbangan dalam era perubahan itu. Mereka
yang degil, yang tidak mempunyai hujah, akan tersadai di karang kejahilan untuk
disapu ombak besar Persuratan Baru, terus dihanyutkan sebagai sampah. Tidak pernah berlaku dalam sejarah tamadun
manusia bahawa sampah itulah yang menentukan nilai-nilai tamadun tersebut. Dengan
berpandukan kaedah analisis yang ditawar oleh gagasan Persuratan Baru, anda
akan dapat melihat dengan jelas berapa banyak sampah yang telah dihasilkan oleh
para sasterawan, termasuk oleh para sasterawan negara; di samping itu anda juga
dapat mengesan dengan mudah karya-karya bermutu yang layak dijadikan warisan
dalam tamadun persuratan yang kita ingini. Tamadun persuratan yang kita ingini
itu berasaskan konsep ilmu yang benar, dengan kekuatan kreatif yang menonjol
melalui stylization of ideas (siratan
makna pemikiran kreatif) yang diperolehi daripada kefahaman yang mendalam
tentang peranan wacana dan cerita dalam pemikiran kreatif. Semua ini tidak diberi perhatian sebelum
munculnya gagasan Persuratan Baru, kerana tidak ada ukuran yang boleh dipakai
untuk membolehkan seseorang menentukan kedudukan sesebuah karya di tempatnya
yang sesuai dengan mutu karya itu.
Tempat yang sesuai itu boleh dihujahkan dengan mendalam dan jelas
pembuktiannya apabila seorang pembaca yang kritis berupaya meletakkan sesebuah
karya dalam kategori tertentu yang dibincangkan di atas. Sesiapa juga yang
beroleh kemahiran ini, terutama para pelajar dan pembaca yang terpelajar, akan
dapat menikmati keindahan sesebuah karya kreatif yang ditulis oleh penulis yang
berilmu dan tinggi pula kemampuan kognitif dan kemampuan inteleknya. Dalam konteks ini, bukan hanya sang pengarang
yang diberi peluang untuk mengajak pembacanya memikirkan dengan objektif
persoalan yang dikemukakannya; pembaca juga berhak memberi kritikan untuk
memberitahu sang pengarang bahawa karyanya itu mencapai atau tidak mencapai standard yang diingini oleh
pembaca yang kritis. Melalui proses yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan
Baru, kedua-dua pihak ini akan mendapat faedah; dan pengarang akan lebih
berhati-hati menulis karyanya kerana kini pembaca sudah mencapai standard yang
agak tinggi untuk menilai dengan kritis sesebuah karya yang diterbitkan. Semua
proses ini akan berjalan dengan lebih cepat dan meluas jika para sarjana yang
tidak bersetuju dengan gagasan Persuratan Baru memberi peluang kepada para
pelajar mereka untuk mengenal apakah gagasan Persuratan Baru itu dan apakah
yang ingin dicapainya. Pendeknya,
diperlukan kejujuran dan perasaan cintakan ilmu di kedua-dua belah pihak.
Saya yakin
gagasan Persuratan Baru akan muncul sebagai satu pendekatan paling berkesan
untuk meningkatkan kemahiran berfikir, menulis, menganalisis, dan menilai karya
kreatif dan akademik yang dihasilkan oleh para pengarang dan sarjana kita. Satu hari nanti yang telah ditentukan oleh
Allah Ta’ala (kerana semuanya hanya akan terjadi dengan izin Nya) akan membawa
Persuratan Baru ke dunia ilmu seluruh dunia, sekurang-kurangnya untuk
difikirkan dengan lebih mendalam oleh ahli-ahli ilmu Islam. Permulaannya telah
berlaku, apabila Pendidikan Estetika
Daripada Pendekatan Tauhid dimasukkan dalam senarai antara buku penting
abad 20/21 dalam projek “Institute for the Study of Muslim Civilizations: The
Annotated Bibliography Project.” (Maklumat ringkas dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (Penerbit UKM,
2008), hal. 150. Dalam konteks ini,
sesiapa juga yang meremehkan PB akan menghadapi penyakit jiwa yang berpunca
daripada perasaan hasad dengki yang memakan dirinya sendiri. Seperti yang
selalu diperingatkan, manusia bebas untuk melakukan kebaikan; tetapi tidak
dibenarkan untuk mengkhianati dirinya sendiri dengan menzalimi dirinya sendiri
dengan bertindak mungkar untuk mengkhianati sesuatu usaha yang makruf. Puncanya mudah saja: mereka ini, walaupun
mendakwa mereka peganut Islam, masih ragu dan berkelakuan seolah-olah tidak
percaya kepada hari Akhirat; oleh itu apa juga anjuran untuk membawa mereka ke
arah kebaikan ditentang bukan kerana tidak betul, tetapi kerana mereka berasa
pendapat merekalah yang sepatutnya menjadi ikutan, kerana mereka mewakili
golongan beradab dan berilmu, mewakili apa yang mereka sebut sebagai aliran
perdana. Mereka tidak sedar itulah
puncak kebiadaban dan keangkuhan yang merosakkan semua kebaikan yang dibuat
oleh mereka dan oleh orang lain juga. Mereka bangga kerana tetap meneruskan
kekeliruan yang ada. Persuratan Melayu tidak mungkin dibina berasaskan
kekeliruan dalam memahami konsep ilmu, yang hanya melahirkan golongan yang “cetek
meraba-raba”. Wallahu a’lam.
Mohd.
Affandi Hassan,
18 Jun 2012.