Peringatan: Entri ini hendaklah dibaca bersama tiga entri sebelumnya, untuk memudahkan anda memahami isu-isu yang dibangkitkan dan jika perlu memberi sanggahan anda jikalau anda mempunyai pandangan lain. Kita perlu dialog dalam perkembangan ilmu.
Pertanyaan yang menjadi tajuk entri ini menjadi semakin penting dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru memberi arah yang jelas yang hendak dituju dan hasil yang hendak dicapai di samping menyediakan kelengkapan intelektual yang mencabar untuk dipergunakan secara kreatif dalam pembinaan karya baru yang berbeza dan lebih canggih daripada yang pernah dihasilkan oleh para sasterawan. Dalam huraian saya dalam beberapa entri mengenai persoalan ini, anda mungkin sudah dapat melihat bahawa terdapat tiga cabaran yang harus anda hadapi. Pertama, yang tidak boleh dielak, ialah persoalan tentang konsep ilmu yang akan menjadi asas penulisan kreatif masa depan. Kedua, pembentukan genre baru dalam konteks karya persuratan dengan meninggalkan karya sastera reput sendiri kerana sifat anti-ilmu yang mendasari penulisannya. Ketiga, anda akan berhadapan dengan khalayak yang lebih cerdik dan lebih canggih berfikir dan cukup bersedia membuat penilaian yang tepat, kukuh dan mantap dihujahkan berasaskan bukti yang jelas daripada kewujudan karya itu sendiri, bukan khayalan penilai yang karut-marut seperti yang terjadi sekarang, yang telah dihuraikan dengan tepat dalam tulisan Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dan saya sendiri. Untuk rujukan, sila lihat Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua (2014); Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan, (UKM 2016), disunting oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir; Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM 2016), suntingan Prof. Ungku Maimunah; Gender Dalam Sastera Melayu (UKM2013), suntingan Prof. Ungku Maimunah; Islam, Feminisme Barat dan Sastera Melayu (UKM 2013) suntingan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.
Dengan perkembangan baru ini, yang tidak dapat dielakkan, hegemoni palsu yang bersumber daripada idea Marx dan Gramsci tidak boleh dipertahankan lagi oleh ITBM dan DBP yang menjadi promoter idea itu untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara yang sudah jelas tidak dapat dipertahankan selagi tidak dibicarakan dengan kritis dari perspektif Gagasan Persuratan Baru. Sasterawan negara hanya boleh dipertahankan secara akademik dengan dialog yang kritis, bukan dengan memaksa hegemoni palsu untuk menutup sebarang perbincangan kritis. Memahami kedudukan sebenar para sasterawan negara adalah penting untuk memastikan kemunculan mereka berfaedah dalam perkembangan intelektual Melayu. Dialog ini mesti dilakukan dengan kritis, bukan dengan memberi sanjungan seperti yang dibuat Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Dr. Mawar Shafei, Prof. Mokhtar Abu Hassan, dan lain-lain sarjana ciritan yang mengangkat tinggi para sasterawan negara ini sehingga sumbangan negatif mereka dalam perkembangan ilmu dan penerapan nilai murni dalam masyarakat dilupakan. Kemunculan Gagasan Persuratan Baru mengubah sama sekali cara mereka melihat sastera. Mereka tidak boleh lagi berasa selesa bercakap tentang apa saja tentang sastera dalam konteks kefahaman mereka yang cetek tentang teori sastera Barat, tidak ada siapa pun yang akan mempersoalkan kesiumanan pendapat mereka. Walaupun mereka sering bercakap tentang perubahan paradigma, tetapi perubahan itu bukan perubahan dalam pengertian epistemologi; yang mereka maksudkan hanya perubahan sikap, misalnya dengan mengatakan sasterawan itu propagandis zamannya tanpa sebarang penjelasan bagaimana hal itu boleh berlaku. Sekarang semua ini dipersoalkan dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru. Mahu tidak mahu, PB menjadi sejenis puaka intelektual bagi para pemuja teori sastera Barat ini. Tanpa mereka sedari, mereka sedang menghadapi satu perubahan paradigma yang hebat, sesuatu yang mereka canangkan dahulunya supaya dilakukan. Sekarang? Mereka menentang sebarang perubahan, apatah lagi perubahan paradigma, kerana perubahan akan merugikan mereka dan akan hanya menempatkan mereka di pinggiran walaupun merekalah, kononnya, yang mencipta sastera arus perdana sejak kira-kira 80 tahun ini.
Saya sudah sering menyebut satu perkara, malah telah pun menulis Hikayat Salim Adil (mungkin akan diterbitkan dalam masa terdekat), ia-itu mengenai kualiti kreatif kita dalam masa 80 tahun itu. Berapa banyakkah sampah yang telah kita hasilkan dalam sastera Melayu? Soalan ini tidak dapat dijawab kerana kita tidak mempunyai ukuran yang sekira-kira membolehkan kita membuat anggaran kasar, kecuali jika kita menggunakan ukuran yang dicadangkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Kita boleh membuat anggaran dari perspektif ilmu, kualiti pemikiran dalam karya, kemampuan mengemukakan persoalan dan teknik baru dalam penulisan, dan pemilihan tema berasaskan kepentingan ilmu dan perwatakan dalam konteks uswatun hasanah (memberikan contoh teladan yang baik). Menarik juga pendapat yang dikemukakan oleh Prof. Emeritus Abdul Rahman Embong dalam bukunya, Sastera, Politik, dan Masyarakat (DBP 2014), Bab 4, “Kecenderungan yang Berat Sebelah: Kita Terlalu Banyak Bersastera.” Menurut beliau, kecenderungan untuk bersastera itu 60%, dan untuk lain 40%. (hal. 54).
Ada dua perkara di sini yang kita perlu beri perhatian. Pertama, apakah kualiti “bersastera” itu. Kedua, adakah kegiatan “bersastera” itu mendorong ke arah kemajuan berfikir, atau sebaliknya. Untuk yang pertama, yang kelihatan jelas kegiatan “hu-ha hu-ha” membaca sajak, saling memuji satu sama lain dalam mutual admiration club yang memang anti-ilmu (ini pendapat Muhammad Haji Salleh sejak tahun 1973 lagi; mungkin kini berbeza). Sajak-sajak yang dibaca pula adalah jenis sajak celoteh, yang langsung tidak ada pemikiran yang solid. Tentu saja yang kedua tidak mungkin tercapai, tiada apa-apa pun yang boleh mendorong seseorang berfikir sambil membahaskan aspek pemikiran tadi. Hanya kegiatan sorak-sorai. Jika itulah bentuk kegiatan yang 60% itu, memang amat sia-sia. Kita boleh lihat kesannya dalam hasil sastera sendiri. Terlalu banyak sampah yang ditonjolkan; malah karya para sasterawan negara sendiri pun tidak sepenuhnya memperlihatkan kualiti berfikir dan kualiti kreatif yang tinggi. Terdapat sejenis ketakutan untuk tidak dinilai dengan kritis, berasaskan konsep ilmu yang diajarkan oleh al-Quran. Memang penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara adalah penilaian yang sangat naif, seperti yang telah saya bahaskan di sana sini dalam tulisan saya. Sehingga ini belum terdapat sanggahan, kerana mereka tidak mahu pendedahan kepalsuan intelektual seterusnya jika dibahaskan dengan kritis. Oleh hal yang demikian, karya para sasterawan negara itu sendiri pun belum lagi dinilai sewajarnya berasaskan ukuran yang boleh diuji ketepatannya seperti yang diperlihatkan oleh karya itu sendiri. Inilah corak sastera yang 60% itu, yang memang sia-sia dan tidak berkualiti. Walaupun kesimpulan saya agak kritis, saya yakin itulah keadaan sebenarnya. Badan-badan penulis sendiri tidak mahu membicarakan aspek ini, kerana mereka tahu keadaan sebenarnya yang memang amat menghampakan, andainya anda menghargai ilmu dan kejujuran intelektual.
Sindiran saya dalam entri 9/7/2017 bahawa badan-badan/persatuan penulis ditubuhkan bukan untuk memajukan budaya intelektual, sebaliknya untuk kepentingan mutual admiration club sendiri, nampaknya dipersetujui oleh persatuan penulis. Kata mereka, tidak sebuah pun badan penulis di negeri, apatah lagi di daerah, mempunyai dana yang akan membolehkannya aktif dalam gerakan intelektual; dengan keadaan daif yang dialami sekarang, badan-badan negeri dan daerah hanya mampu mengadakan pertemuan para pensajak atau pertemuan sesama sendiri sahaja, yang tidak memakan belanja yang besar. Lain halnya dengan GAPENA dan PENA, yang mendapat bantuan kewangan yang amat generous daripada kerajaan. Badan penulis yang banyak dana ini boleh menggunakan dana mereka untuk melawat sambil belajar di luar negeri, menerbitkan buku kelompok sendiri, mengadakan perbincangan sesama sendiri sambil bersantai. Saya masih menunggu kedua-dua badan penulis ini bermurah hati mengadakan perbincangan ilmiah dan kreatif tentang Gagasan Persuratan Baru, yang tidak boleh diketepikan lagi. Kita memerlukan dialog yang kritis untuk melihat segi-segi baru dalam pemikiran baru tentang seni mengarang dan yang berkaitan dengannya. Gagasan Persuratan Baru boleh memberikan anda modal intelektual yang sangat terbuka untuk dibahaskan, atau kalau mahu ditolak sebagai satu idea subversive dalam sastera Melayu. Why not? Paling tidak, mari kita bicarakan sumbangan para sasterawan negara dari perspektif PB. Kalau sarjana kita dapat buktikan karya sasterawan negara boleh dengan mudah mematahkan hujah PB, maka kita tentulah sangat gembira kerana PB boleh saja digantikan dengan “teori kerancuan sastera” para sasterawan negara! Tunggu apa lagi? Saya bersetuju “teori kerancuan sastera” memang tepat menggambarkan keadaan sebenar sastera Melayu moden yang hambar dan anti-ilmu. Seperti biasa dalam persoalan akademik, perkara ini perlu dihujahkan dan dibuktikan. Tunggu apa lagi?
Sekiranya PENA tidak berminat dalam dialog ilmiah, PENA mungkin berminat untuk menerbitkan sejarah pemikiran dalam kesusasteraan Melayu. DBP telah gagal membicarakan aspek ini dalam sejarah kritikan sastera tajaan mereka, yang bukan berupa analisis, hanya sejenis cerita biasa untuk memberi peluang menyebut beberapa nama yang tidak penting, yang sumbangannya kepada aspek pemikiran ini sangat cetek dan keliru. Tetapi jika sekiranya DBP berminat dalam projek ini, saya cadangkan projek ini diketuai oleh Prof. Ulung Shamsul Amri dari UKM. Dalam suatu lawatan ke pejabatnya 1999, beliau menunjukkan saya sebuah buku penting yang secara kebetulan saya juga mempunyainya, sambil berkata, “Aku boleh tulis buku seumpama ini, jika ada geran yang mencukupi.” Kita memang mempunyai tokoh yang layak yang boleh mengerjakan projek penting ini.
Buku yang saya maksudkan berjudul, The Sociology of Philosophies: A Global Theory of Intellectual Change (Harvard University Press, 1998), oleh Randall Collins. Tebalnya 1098 muka surat. Kita pun perlukan buku jenis ini, yang belum lagi ditulis, kerana terlalu memberi perhatian kepada penerbitan sampah seperti yang dibayangkan oleh Prof. Emeritus Abdul Rahman Embong dalam bukunya. Kedudukan para sasterawan negara perlu diberi pemulihan baru setelah ditolak oleh PB, dengan membuktikan penilaian berasaskan konsep ilmu seperti yang dianjurkan oleh PB adalah keliru. Jika perkara ini tidak diselesaikan, maka arah tuju perkembangan baru menjadi lebih kabur dan keliru; dan ini bererti kita akan membuang masa lebih setengah abad lagi untuk menyedari bahawa yang diberikan oleh para sasterawan negara adalah karya picisan yang tidak ada kualiti pemikiran dan keunggulan kreatif. Anda perlu sedar mulai sekarang bahawa Abad 21 adalah kepunyaan PB yang sudah bersedia untuk mengisinya dengan karya persuratan, meninggalkan karya sastera dan karya picisan menjadi lumut sastera. Ini bukan lagi ramalan, tetapi realiti yang wujud dan boleh dilihat dengan jelas dalam karya sastera yang ada sekarang.
Ada dua buah buku Peter Watson yang boleh dijadikan panduan projek yang dimaksudkan. Buku beliau The German Genius ( 964 halaman) membicarakan semua aspek perkembangan pemikiran di Jerman yang boleh dijadikan model untuk penulisan buku kita sendiri tentang pemikiran “genius” Melayu pula. Sebuah lagi buku beliau yang lebih umum ialah Ideas: A History of Thought and Invention, from Fire to Freud (2005). (822 halaman).
Kita perlu tulis buku seperti ini, untuk memahami dengan mendalam apa yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu, dan apa yang sebenarnya difikirkan ( ?) dan ditulis oleh para sasterawan. Dan… mengapa para sasterawan negara ini menjadi masalah yang begitu menggugat sifat siuman para sarjana dan pengkritik sastera? Ingat saja betapa peliknya penilaian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad terhadap Naratif Ogonshoto? Adakah itu merupakan contoh yang paling siuman, atau sebaliknya? Kita mesti jelas dalam perkara ini, kerana kita berbicara tentang sumbangan para sasterawan negara yang istimewa itu. Kita perlu kembalikan sifat siuman itu di kalangan para sarjana dan pengkritik sastera, kerana persoalan ini menjadi masalah besar dalam sastera Melayu. Lihat saja bagaimana Mana Si Kana memberi penilaian yang tidak saja palsu terhadap para sasterawan negara ini, tetapi juga tidak bertanggungjawab. Saya telah membahaskan aspek ini ketika menulis tentang tiga buah buku beliau, termasuk bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan yang mengarut itu. I’m using strong words indeed, tetapi pada hakikatnya masih belum mencukupi. (Kalau anda faham maksud saya.) (Antara lain rujuk entri 28 Oktober, 2014).
Sekiranya anda melihat persoalan ini dalam konteks masa depan persuratan Melayu, atau sastera Melayu, maka anda tidak dapat mengelak daripada memastikan dengan pasti bahawa arah yang kita tuju dan jenis karya yang kita mahu tidak meneruskan kegagalan dan kekeliruan selama 80 tahun yang saya sebut banyak kali dalam entri blog ini. Sekiranya anda masih ragu-ragu tentang kesimpulan ini, anda perlu menjelaskannya; maka itulah perlunya buku yang saya maksudkan itu ditulis sekarang, tanpa berlengah lagi. Saya kira masalah dana bukan halangan, kerana kita memang mempunyai dana yang mencukupi; masalah siapa yang boleh melakukan tugas ini juga tidak perlu dijadikan alasan, kerana kita sudah mempunyai sarjana yang mempunyai keupayaan akademik dan intelektual yang tinggi untuk membuat kerja berat ini. Tunggu apa lagi?
Salah sebuah buku yang sudah lama kita tunggu untuk ditulis ialah mengenai Ilmu Balaghah Melayu, yang Za’ba menjadi pelopornya seperti yang tertulis dalam Ilmu Mengarang Melayu (1934). Kerja ini sudah dimulai oleh seorang pensyarah di UPSI, yang fasih berbahasa Arab. Za’ba tidak mungkin dapat dibicarakan dengan adil tanpa pengetahuan bahasa Arab untuk meneliti rujukan beliau dalam buku-buku Arab ketika menulis Ilmu Mengarang Melayu. Za’ba juga mempunyai pengaruh dalam perumusan Gagasan Persuratan Baru melalui bukunya itu. Dalam satu entri dalam blog ini, saya telah menggariskan perkembangan sastera Melayu dapat dibahagikan kepada tiga jalur, salah satunya jalur yang dipelopori Za’ba. Sila rujuk di sana.
Memerhatikan analisis ringkas di sini, kita dapat bayangkan persuratan Melayu akan mengambil tempatnya yang hak sebagai pelopor perkembangan baru dalam penulisan kreatif dan penilaiannya seperti yang dicadangkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Inilah pilihan terbaik, yang kini sudah mula disedari oleh generasi muda yang ingin membina semula kecerdikan bangsa Melayu setelah dipudarkan menjadi gelap oleh perkembangan sastera yang tidak tentu arah, yang keliru dan cetek meraba-raba. Kemuncak kekeliruan itu ialah pemilihan sasterawan negara. Perbincangan saya yang dikumpulkan dalam dokumen berjudul, “Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara” (2015) menghuraikan dengan jelas kesimpulan ini.
Kesimpulan dan Rumusan
Konsep sastera yang menjadi pegangan para sasterawan, sarjana dan pengkritik, sudah bergelimpangan di arena akademik, tidak dapat diselamatkan lagi, sudah menjadi sejarah yang memalukan dunia intelektual Melayu. Konsep sastera yang dicontohi sepenuhnya daripada teori sastera Barat, ternyata bertentangan dengan warisan persuratan Melayu yang berteraskan konsep ilmu yang benar. Para sasterawan ini sudah gagal menyerlahkan keunggulan karya mereka dan pemikiran mereka dari segi kreatif dan pengolahan tema. Semua ini menyerlah dengan terang di dalam karya mereka sendiri; malah karya terbesar sepanjang zaman, yang tiada taranya dalam sastera Melayu, Naratif Ogonshoto, hanya sebuah karya picisan dari segi pemikiran dan penerokaan teknik. “Teori kerancuan sastera” yang dicetuskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk menyelamatkan karya ini gagal sama sekali dari segi pemikiran kerana yang dipanggilnya “teori” itu hanya ocehan, idle talk, yang memang kaya dari segi unsur-unsur pandirisme tetapi kering dari segi ilmu. Anda perlu menyanggah kesimpulan ini untuk membuktikan para sarjana kita bukan sarjana ciritan yang mengarut dalam bidang akademik. Tidak seorang pun daripada kumpulan sarjana ciritan ini yang berupaya menyanggah mana-mana aspek Persuratan Baru, walaupun mereka melekehkannya sebagai sejenis angan-angan, bukan suatu kenyataan. Kata mereka, PB adalah sesuatu yang amat ideal, yang tidak masuk akal, yang hanya menjelma dalam impian tetapi tidak dapat dilaksanakan dalam realitinya kerana bertentangan dengan konsep sastera yang difahami di seluruh dunia. Apabila dikemukakan kepada mereka Pujangga Melayu sebagai bukti yang tidak boleh ditolak keunggulannya dari segi pemikiran dan pengolahan tema tentang kehidupan manusia yang siuman, mereka terdiam seperti kucing dibawakan lidi. Mungkin ada di antara mereka yang terkencing kerana terlalu marah, atau malu! Kerana itu mereka berusaha gigih untuk menggagalkan perubahan paradigma yang dibawa oleh PB, walaupun mereka terpaksa menjadi kumpulan peneroka kemusnahan kreatif dalam sastera Melayu. Walau apa pun kesimpulannya, mereka tetap golongan yang kalah; dan PB akan terus mara memberi arah baru yang cemerlang kepada dunia kreatif dan kritikan dalam persuratan Melayu abad 21. Dan seterusnya.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 13/7/2017.