Monday, April 1, 2019

MAJUKAN MALAYSIA, PERKASAKAN BAHASA MELAYU, JADIKAN BAHASA ARAB BAHASA KEDUA MALAYSIA



Tajuk saya kali ini mungkin akan membuat ada orang muntah kedarah kerana terlalu marah atau benci.  Melayu sebenarnya sangat bertolak ansur, kesan positif daripada ajaran Islam. Tetapi ada golongan yang biadab mahu menggunakan toleransi Melayu untuk kelentong dalam politik perkauman mereka. Contoh pertama: setelah 60 tahun merdeka, sepatutnya semua rakyat Malaysia sudah boleh berbahasa Melayu dengan fasih; tetapi jika kita mengikuti perbincangan di Dewan Rakyat, kita akan berasa amat hairan bagaimana ahli Dewan Rakyat tidak fasih berbahasa Melayu, padahal mereka mengaku bahawa mereka adalah contoh keunggulan peribadi dalam politik untuk memberi contoh yang konkrit tentang kefasihan berbahasa Melayu. Tetapi ini tidak terjadi. Adakah ini satu pengkhianatan sosial yang disengajakan? Mungkin. Kalau tidak pun, sesuatu penjelasan yang tegas dan positif diperlukan mengapa terdapat penderhakaan kepada bahasa rasmi Malaysia, bahasa Melayu. Sebaliknya, dengan terjadinya perubahan kerajaan, sudah kelihatan keberanian untuk merombak persetujuan yang dimaterikan dalam Perlembagaan dengan menuju ke arah multingualisme. Baiklah persoalan ini dijawab oleh Kementerian Pendidikan yang seperti yang kita tahu memperjuangkan bahasa Melayu baku.

Kali ini saya mahu perkenalkan satu idea yang memang dituntut dalam Perlembagaan Negara, iaitu penggunaan bahasa Arab sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan Quran yang jadi ikutan umat Islam dalam bahasa Arab yang fasih.  Bilakah Menteri Pendidikan yang cerdik akan lahir untuk memperjuangkan bahasa Arab dalam pendidikan negara?  Menteri Pendidikan yang ada sekarang dikenali sebagai Menteri Kasut Hitam, kerana baginya kaki lebih penting daripada otak. Tiada kelihatan sedikit kelibat pun Menteri Pendidikan PH ini menyerlahkan kecerdikannya. Kalau Menteri tidak cerdik, gimana pelajar akan jadi cerdik? Kita perlukan penjelasan tuntas tentang perkara ini. Jika kita betul-betul diberi kebebasan untuk menyuarakan kebenaran (the truth), maka kita tidak boleh menerima seorang menteri yang mengutamakan kaki (kasut hitam) daripada perkembangan otak yang dididik untuk menjadi kritikal dan cerdik yang boleh diharapkan akan membina budaya intelektual di Malaysia.  Pelajar kita tidak pernah didikan untuk menjadi golongan yang tahu berfikir dengan kritis, kerana mereka tidak diajar untuk maksud itu. Inilah kelemahan sistem pendidikan kita yang paling asasi. Sistem pendidikan seperti ini menolak konsep ilmu yang benar yang diajarkan dalam al-Quran; oleh itu orang Islam sendiri sangat takut, malah ada yang menggelentar, bila disebut al-Quran adalah asas semua jenis ilmu. Lihat tentang hal ini di bawah.

Gerakan menguasai bahasa Arab di Malaysia sangat penting dan perlu dimulai dari sekarang.  Ramai yang berkata lidah Melayu amat fasih menuturkan pelbagai bahasa, termasuk bahasa Arab. Kata mereka, tidak hairan jika yang menang pertandingan bacaan Quran selalunya dari Malaysia, atau sekali sekala Indonesia, dari Thailand, dari Singapura, dan ada juga dari Filipina. Fakta ini sepatutnya dijadikan dorongan untuk mempelajari bahasa Arab dengan maksud untuk memahami al-Quran dari berbagai-bagai perspektif. Baru-baru ini saya bertemu video yang membicarakan mi’raj dari perspektif sains dan matematik. Kata pakar, isi al-Quran itu amat saintifik bagi siapa yang tahu ilmu sains, lantas mereka dapat menggunakan al-Quran sebagai sumber kajian sains. Pengalaman saya sendiri adalah unik, bila saya hendak menulis novel terbesar dalam sastera Melayu, yang dapat menandingi mana-mana novel agung Barat sekalipun, saya tidak dapat menulisnya kerana saya perlukan teori untuk menjadi asas novel itu. Kira-kira 20 tahun saya mengumpul bahan, tetapi setiap kali hendak menulisnya, tidak dapat kerana tidak ada teori yang boleh dijadikan sandaran yang kemudiannya dijadikan asas untuk menilainya. Akhirnya saya bertemu teori yang saya inginkan itu dalam cerita Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s.  Anda semua sudah tahu ini, tak perlu saya ulang. Yang penting, berasaskan ilham yang saya dapat itu, maka terbentuklah dua konsep realiti seperti yang anda semua tahu jika anda membaca buku Gagasan Persuratan Baru, yang membezakan antara wacana dan cerita dan menghuraikan mengapa perbezaan itu penting dalam penulisan karya berasaskan ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran. Untuk sampai ke tahap ini, anda perlu tahu sedikit sebanyak bahasa Arab, kerana sumber itu berasal daripada al-Quran.  Maka itulah pentingnya bahasa Arab dikuasai oleh orang Melayu supaya mereka akan muncul sebagai golongan ilmuwan seperti yang telah kita saksikan dalam sejarah Islam.  Tidakkah kita berminat untuk menjadikan Malaysia pusat tamadun Islam zaman moden ini? Istilah zaman moden ini saya gunakan hanya untuk menjadi rujukan semata-mata, bukan untuk ditiru. Anda kena faham ini supaya anda tidak hanyut dalam khayalan ciptaan anda yang tidak bertunjangkan konsep ilmu. Sarjana Islam bukan peniru, tetapi yang ditiru. Itulah yang kita dapat dalam sejarah pemikiran Islam. Sila rujuk buku yang diterbitkan oleh UNESCO di Mesir, berjudul  Islamic and Arab Contribution to the European Renaissance.  (Cairo 1977). Buku ini wajar menjadi bacaan wajib kepada setiap sarjana dalam bidang apa pun, dengan penekanan kepada sarjana sastera yang pada dasarnya tidak ada ilmu, hanya mempunyai sejemput maklumat yang tidak masak.  Kalau DBP di bawah KP baru benar-benar mahu memajukan pemikiran ahli bahasa dan ahli sastera, buku ini wajar didebatkan dalam satu seminar peringkat kebangsaan. Kita mempunyai ramai sarjana dalam semua bidang ilmu yang dibincangkan dalam buku ini. Gunakanlah kesempatan itu untuk menyebarkan ilmu. Harap KP DBP baca blog ini dan beri pertimbangan di atas cadangan ini.

Apabila saya mengemukakan gagasan PB dan konsep stylization of ideas, para sarjana dan sasterawan hampir pengsan kerana mereka tidak mempunyai hujah untuk mempertahankan kepalsuan mereka, yang kini terdedah dengan jelas yang selama ini tertutup kerana tidak ada sebarang pendekatan yang boleh memberi hujah yang tepat dan kemas tentang kepalsuan karya dan “pemikiran” mereka. Rahsia kepalsuan mereka terbuka dan terdedah begitu jelas sehingga mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Jika didiamkan saja, mereka mengiakan kepalsuan mereka. Jika ditentang dan dibahaskan, mereka tidak mempunyai hujah untuk menangkis hujah-hujah PB. Apakah yang mereka boleh buat? Mereka hanya mempunyai satu pilihan, iaitu mengaku dengan tegas bahawa penilaian PB terhadap karya dan kegiatan mereka adalah tepat dan berasaskan ilmu, bukan hanya tuduhan tidak berasas. Apakah hujah yang mereka boleh kemukakan apabila menghadapi cabaran dari hujah yang begitu mantap yang dikemukakan oleh PB?  Inilah kali pertama kedudukan mereka dicabar begitu rupa, yang membuat mereka menjadi bisu kerana tidak mempunyai hujah untuk menolak cabaran PB. Masalah paling besar ialah semua karya mereka, terutama yang ditulis oleh para sasterawan negara, tidak dapat mempertahankan kedudukan mereka kerana karya-karya itu apabila dinilai dari perspektif ilmu menjelma sebagai karya picisan; dan para penulisnya juga adalah penulis picisan.  Keadaan ini menjadi begitu perit untuk ditangkis kerana semua tangkisan mereka telah ditolak secara tuntas dalam penilaian yang dibuat oleh PB berasaskan konsep ilmu itu. Apakah pilihan mereka? Biarlah mereka sendiri yang memberi jawapannya.

Dengan pengetahuan bahasa Arab yang akan membawa kepada kefahaman tentang ajaran al-Quran tentang konsep ilmu yang benar,  para sasterawan dan sarjana sastera akan berusaha untuk menghasilkan karya yang berteraskan ilmu, bukan hanya khayalan yang diberi berbagai-bagai gelaran dan nama yang mengelirukan kerana semua ini telah didedahkan kepalsuannya oleh gagasan PB. Mereka tidak boleh bergantung kepada teori Barat yang dengan tuntas telah ditolak oleh PB melalui konsep ilmu yang benar itu. Apa yang mereka boleh lakukan ialah dengan membuktikan bahawa konsep ilmu yang benar yang dikemukakan oleh gagasan PB adalah konsep palsu, yang tiada asas ilmunya. Itulah saja peluang yang ada kepada mereka. Sanggupkah mereka mendedahkan diri mereka sebagai jaguh pandirisme dengan menolak konsep ilmu yang benar itu?  

Di sinilah pengetahuan bahasa Arab mungkin boleh membantu mereka untuk memahami cabaran intelektual itu, dan dari situ mengemukakan hujah mereka pula bahawa yang mereka lakukan itu tidak tergelincir daripada konsep ilmu yang benar yang diajar oleh al-Quran.  Pengetahuan bahasa Arab akan memberi peluang kepada para sasterawan picisan ini melihat dengan jelas sifat picisan karya mereka, dan ini akan memberi kesempatan kepada mereka untuk menulis karya baru berasaskan konsep ilmu yang benar, seperti yang dicadangkan oleh gagasan PB. Mereka tidak boleh melakukannya jika mereka tidak memahami bahasa Arab yang sekali gus memahami maksud konsep ‘iwajan yang disebut di dalam al-Quran (ayat pertama Surah al-Kahfi.)  Tanpa pengetahuan bahasa Arab, konsep-konsep penting tentang ilmu dalam al-Quran tidak dapat dibahaskan dengan mendalam dan dijadikan sandaran kepada semua jenis ilmu. Sila lihat YouTube ini untuk mendapat sedikit gambaran tentang persoalan ini. Tajuk YouTube: Quantum Physics and God (by Sabreen Syeed) published April 29, 2018.  Lihat juga YouTube ini: What has the Quran got to do With Science (September 27, 2018) dan serangkaian perbincangan, termasuk tentang Israk dan Mi’raj.

Gagasan PB dapat difahami dengan lebih mudah jika orang Melayu, terutama sekali para sasterawan dan sarjana, memahami dan menguasai bahasa Arab yang sekali gus memberi mereka peluang untuk memahami al-Quran yang menjadi sumber konsep ilmu yang benar itu. Oleh itu bahasa Arab mesti dipelajari jika kita benar-benar jujur untuk memajukan pemikiran orang Melayu, menjadikan mereka cerdik dan tahu membezakan yang palsu dengan yang benar. Adakah anda mempunyai pilihan lain?  Orang Islam di China, Taiwan, Hong Kong, Vietnam dan lain-lain boleh berbahasa Arab dengan baik dan fasih. Mengapa tidak di Malaysia?  Semua ini terjadi kerana kementerian pendidikan kita anti bahasa Arab. Orang Islam yang berada di Malaysia sepatutnya bangkit menentang sikap anti bahasa Arab ini.

“Selamatlah jiwa yang sempurna”, kata Tok Mindok.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 30 Mac 2019.

No comments:

Post a Comment