Semua kamus
Melayu/Indonesia yang saya rujuk memberi makna “patik” sebagai hamba, budak
belian, sahaya (kemudiannya diringkaskan menjadi saya). Saya diberitahu oleh
pakar bahasa Melayu yang juga fasih bahasa Jawa perkataan “patik” itu asal
Jawa. Dalam bahasa Jawa, “patik” bermaksud anjing. Dalam bahasa Melayu “patik” bermakna hamba
sahaya, hamba tebusan (bahasa Indonesia budak tebusan). Saya harap pakar bahasa Melayu dan Jawa tampil
memberi penjelasan yang tepat. Saya berpegang kepada maklumat yang diberikan
kepada saya bahawa “patik” itu bermakna anjing.
Sekarang
saya mahu seret persoalan ini dari perspektif hukum. Bolehkah orang Islam yang
siuman membahasakan dirinya anjing walaupun dia bercakap kepada keturunan
raja-raja? Jika dibenarkan, maka yang membenarkannya ialah agama Hindu. Saya
tidak fikir Islam menjatuhkan maruah manusia dengan memberi gelaran dirinya
anjing. Walaupun ada perspektif urf
(adat kebiasaan) dalam undang-ndang Islam, adakah penggunaan bahasa yang
menghinakan kemuliaan kejadian manusia itu dengan membahasakan dirinya anjing
itu dibenarkan oleh akhlak Islam?
Persoalan
ini timbul apabila Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, seperti yang
dilaporkan oleh Dr. Fatimah Busu dalam bukunya, dalam sastera Melayu terdapat
“anjing kurap”. Inilah penjelasan Dr. Fatimah Busu: “Benar seperti kata Sasterawan Negara
Profesor Muhammad Haji Salleh, situasi seumpama ini samalah seperti kita dikerkah oleh seekor
anjing kurap. Justeru kita tidak mungkin dapat menendang anjing itu bagi
membalas kerkahannya pada waktu itu juga kerana kulitnya yang berkurap. Untuk
itu kita kena cari alternatif yang lain. Dan bagi saya inilah saja jalannya untuk
menjelaskan jawapan balas atas segala kutukan terhadap Salam Maria dan diri saya. Sekurang-kurangnya jalan yang saya ambil
ini tidak sampai mengaibkan UMT (Ungku Maimunah Mohd. Tahir) di hadapan khalayak pada hari itu. Ada Hadis yang berbunyi Allah SWT akan
menutup 10 keaiban seseorang di akhirat
sekiranya dia menutup satu keaiban orang lain di dunia. Justeru edaran artikal
ini untuk sekelompok kecil para sarjana yang hadir pada hari itu saja dan para
sahabat yang menelefon, setelah tersiarnya artikal dalam Berita Harian pada 26-1-06 dan artikal dalam Utusan Malaysia 2/2/06. Ini bukan bererti saya seorang yang dayus,
bacul, pengecut. Menikam dari belakang. Akan tetapi saya tidak dapat berdiam
diri lagi dengan segala macam provokasi seperti ini. Lebih-lebih lagi mengikut
cerita beberapa orang teman ini adalah kali ketiga si UMT mengulangi perbuatan
yang sama terhadap Salam Maria. Kali
pertama dibentangkan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) diikuti
pembentangan kali kedua di Hotel Shareton, KL”. hal 162 (Nyanyi Sunyi Salam Maria VS Sarjana Nasi Dingin, oleh Fatimah Busu;
diterbitkan oleh Univision Press Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2007). [ejaan dalam
original].
“Anjing
kurap” adalah simpulan bahasa dalam bahasa Melayu, tetapi dalam penggunaan dua
tokoh besar sarjana sastera ini ungkapan itu dirujuk kepada manusia tertentu.
Secara
khusus nama anjing kurap itu Mohd. Affandi Hassan, Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir, Prof. Madya Dr Zariat, dan mungkin seorang dua lagi. Dari mana Dr. Fatimah Busu dan Profesor
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dapat
maklumat bahawa kami keturunan anjing hanya mereka berdua saja yang tahu. Yang
saya tahu, keturunan saya sebelah ibu adalah golongan ulama dan intelektual.
Menurut maklumat dari famili, tiada pula terdapat anjing dalam keluarga kami.
Bagaimana Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu boleh
dapat maklumat yang aneh itu mereka tidak pula beritahu kami. Mungkin keluarga
mereka sukakan anjing, jadi tentulah mereka tahu keturunan anjing yang
baik-baik. Apa pun, kepastian diperlukan daripada mereka. Sesuai dengan kedudukan
terhormat mereka sebagai ahli akademik yang “tersohor” (aku tak suka benar guna
perkataan ini, tapi terpaksa!), menjadi kewajipan mereka memberitahu keluarga
kami.
Kalau
betullah maklumat mereka kami dari keluarga anjing, adakah ini bermakna setiap
kali kami bertegur sapa dengan mereka, kami diwajibkan menggunakan bahasa
patik? Contoh: Patik ada pertanyaan kepada tuan profesor, mengapa terdapat
hanya tiga ekor anjing saja dalam sastera Melayu? Anjing-anjing lain
bersembunyi di mana? Kami pun hendak tahu jawapan mereka sesuai dengan
kedudukan akademik mereka yang “tersohor” (wah, kena pakai lagi!).
Yang paling
memeranjatkan saya ialah, yang menyalak dalam sastera Melayu bukan kami, tiga
ekor anjing itu, tetapi para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera yang
marahkan kehadiran kami walaupun kami tidak menyalak seperti mereka. Tentu ada penjelasan mengenai perkara ini;
rasanya yang boleh memberi penjelasan ialah Prof. Dato’ Rahman Shaari dan Baha
Zain, yang dekat dengan tokoh-tokoh tersebut. Sekiranya mereka tidak dapat
memberi penjelasan, tidak mengapa. Kami faham…
Prof. Dato’ Rahman Shaari saya
fikir lebih tahu mengenai perkara ini, kerana beliau telah memberikan
pendapatnya yang bernas mengenai kepalsuan Gagasan Persuratan Baru ketika memperlekeh
syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah. (Sila lihat beberapa entri yang lepas
mengenai perkara ini.)
Sekiranya
anda biasa membaca tulisan saya, anda akan dapati saya banyak menggunakan
retorik yang pelik-pelik gayanya, untuk memberi sedikit rasa terkejut kepada anda yang diulit oleh pandirisme yang
diarus-perdanakan itu. Dalam dunia pandirisme, pandangan kritis tidak disukai,
malah tidak dibenarkan. Yang digalakkan ialah sikap keanjingan dalam kesopanan
baru yang diajarkan oleh sastera, seperti yang dibuktikan dalam buku Dr.
Fatimah Busu mengenai dialognya dengan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji
Salleh. Saya fikir pengaruh mereka
besar, oleh itu kita dapati komen-komen berupa salakan, dalam bentuk cacian dan
gosip, tetapi tidak menyentuh persoalan pemikiran yang terdapat dalam tulisan
kami bertiga. Apa salahnya jika anjing
boleh menulis lebih baik daripada anda? Buktinya cukup jelas, yang anda boleh
lihat dari buku-buku tulisan kami. Waktu pihak sebelah lagi asyik menyalak,
kami hasilkan karya kami. Terbaru, saya sudah terbitkan Hikayat Salim Adil, sebuah karya terbaik dalam sastera Melayu pada
waktu ini. Jika anda ada pandangan bernas untuk menyanggah kesimpulan itu,
silakan. Tidak ke mana jika anda hanya terus menyalak walaupun anda bukan dari
kumpulan anjing. Tidak semestinya anda perlu menjadi anjing terlebih dahulu
sebelum boleh menyalak. Anda sendiri telah membuktikannya.
Para
sarjana, pengkritik sastera, dan sasterawan, mengelak dari melihat Hikayat Salim Adil, apatah lagi
membacanya. Sikap itu terlalu negatif dan tidak sesuai dengan tugas kesarjanaan
seseorang, yang perlu mengetahui yang terbaru dalam bidangnya. Saya telah memberi cadangan yang praktik: Hikayat Salim Adil perlu dibaca dalam
tiga mod. Pertama, untuk mendapat ceritanya. Kedua, untuk memahaminya. Ketiga,
untuk mengkritiknya. Kalau anda boleh
buat sekali gus tentulah lebih baik. Saya cadangkan tiga peringkat itu kerana
saya yakin sarjana dan pengkritik Malaysia, serta para sasterawan, tidak ramai
yang pintar dan mampu memahami sesuatu yang agak sukar dan luar biasa, seperti Hikayat Salim Adil. Karya ini
betul-betul menguji kemampuan akademik dan kemampuan intelektual serta kemampuan kreatif anda. Dakwaan ini bukan
main-main. Jika anda tidak mengakuinya, malah menolaknya, maka anda secara
berterus terang memperlihatkan anda tidak jujur dan berniat jahat dengan tujuan
untuk mengabui masyarakat bahawa andalah yang dipermainkan, bukan
sebaliknya. Kalau inilah hakikatnya,
maka memang patut anda bertindak seperti sekarang, secara individu atau satu
kumpulan, yang tidak jujur dan tidak boleh dipercayai. Namun saya masih positif
ada di antara anda yang jujur, cuma anda menghadapi masalah kognitif dan
masalah intelektual, yang boleh diatasi jika cadangan saya tadi (membaca dalam
3 mod) diikuti. Ini hanya cadangan, yang tidak menjadi masalah kepada Hikayat Salim Adil sebagai sebuah karya yang utuh dan luar biasa. Sebenarnya jika anda menerima hakikat bahawa Hikayat Salim Adil adalah luar biasa,
anda akan lebih mudah memahaminya kerana cabaran itu memberi anda kepuasan
intelektual jika disambut. Saya berasa
pelik juga bila diberitahu ada sarjana yang tidak membaca Hikayat Salim Adil memberi segala macam komen yang bukan-bukan.
Harap tidak benar, kerana ini membuktikan mereka ini tidak beradab dan tidak
menghormati ilmu. Hikayat Salim Adil
adalah sebuah karya intelektual.
Dalam
bukunya yang menghamun Prof. Ungku Maimunah, Dr. Fatimah Busu menyerlahkan dirinya yang
sebenar sebagai seorang tokoh yang kebulur pengiktirafan dan kemaruk pujian
serta sanjungan. Tiada siapa pun boleh mengkritik beliau, kerana menurut beliau
dalam bukunya itu dia adalah sasterawan paling jujur dan berterus terang. Satu
tabiat buruknya yang jelas dalam buku itu ialah kutipan dari al-Quran dan Hadis
di sana sini yang jelas dikhususkan untuk membela dirinya, seolah-olah
ayat-ayat al-Quran menjadi pendinding sebarang kritikan terhadap dirinya. Semua
ini masih boleh difahami, tetapi apabila beliau menghamun Gagasan Persuratan Baru
sebagai sesuai untuk karya Mohd. Affandi Hassan saja, maka dia bertindak
sebagai Hakim Yang Maha Agung bahawa tiada sebarang teori yang boleh menyentuh
karya picisannya seperti Salam Maria. Tidak ada salahnya untuk menerima hakikat
bahawa novel itu sebuah novel picisan, walaupun menurutnya telah mendapat pujian
daripada H. B. Jassin. Saya selalu menegaskan, biarlah novel itu sendiri
mempertahankan dirinya, bukan penulisnya. Pendirian ini adalah tepat kerana
yang kita baca karya Fatimah Busu, bukan riwayat hidupnya. Prof. Ungku Maimunah telah memberi penilaian dan
analisis yang sangat cermat tentang novel ini, yang anda boleh baca dalam
makalah beliau yang dimuat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2 (Penerbit UKM 2014). Penilaian beliau tentulah berbeza daripada
pandangan sarjana lain yang menggunakan pandangan peribadi mereka, bukan
diasaskan kepada teori tertentu. Nasib
baik Dr. Fatimah Busu bukan dari keturunan raja-raja yang memerintah, jika
tidak beliau akan memancung kepala sesiapa saja yang mengkritiknya. Beliau
menulis novel bukan untuk dibaca dengan kritis dan dikritik, tetapi untuk dipuji. Apa guna jadi
pendekar, jika takut masuk gelanggang. Itulah keadaan Dr. Fatimah Busu dalam
sastera Melayu. Sesiapa juga sarjana sastera yang ingin menolak pendirian saya
bahawa kita mesti membiarkan karya itu sendiri membela dirinya, mesti tampil
untuk memberikan hujah anda. Jika anda memang mempunyai hujah, pendapat anda
mungkin boleh mendamaikan sedikit Dr. Fatimah Busu, tetapi hakikat bahawa yang
paling berhak mempertahankan diri karya itu sendiri masih tetap terpakai dan
itulah pendirian yang paling akademik. Kalau karya anda tidak dapat bertahan
apabila dinilai dengan objektif dalam sebarang perspektif yang dipilih oleh
penilai, maka sahlah karya itu bukan sebuah karya yang baik. Hanya sebuah karya
picisan. Apabila seorang penulis atau sasterawan memaksa penilai untuk menerima
pendirian peribadinya, maka dia tidak lagi berdiri sebagai seorang penulis yang
berwibawa. Beliau hanya seorang penjual
cendol masam yang sudah basi. Dunia penulisan adalah dunia intelektual, dan
anda mesti bersedia untuk dinilai sebagai seorang intelektual. Dunia kritikan pula adalah dunia akademik,
oleh itu anda mesti bersedia untuk dinilai secara akademik. Kalau karya akademik anda picisan, maka anda
harus berjiwa besar untuk menerima penilaian itu. Inilah yang berlaku kepada
buku Dr. Norhayati Ab Rahman.
Sangat jelas
ketika menulis tesis Ph.D. beliau, beliau menulis dalam keadaan seperti orang
buta menilai seekor gajah. Dia terpegang ekor gajah, lalu membuat kesimpulan
gajah itu seperti tali. Pengalaman akademik beliau dalam teori sastera sangat
jelas tidak memadai untuk beliau membuat penilaian yang saksama apabila memilih
sesebuah “teori” untuk dijadikan asas tesisnya. Baik saya beri anda satu contoh
mudah apa yang saya maksudkan. Buku Novel
Intertekstual Melayu oleh Dr.
Mawar Shafei dapat hadiah “berprestij”,
tetapi ini tidak menjadikan itu tidak termasuk dalam buku picisan. Konsep interteks
dan intertekstualiti adalah konsep yang
tidak boleh dijadikan asas untuk menilai novel Melayu, menurut Prof. Emeritus
Dr. Muhammad Haji Salleh, kerana karya Melayu mempunyai ciri-ciri tersendiri
dan bersifat kemelayuan, sedangkan konsep intertekstualiti direka-reka oleh
Julia Kristeva untuk menjadikan peniruan dan ciplakan sebagai perkara biasa
dalam penulisan kreatif, bukan sesuatu yang dicuri. Kedua, intertekstualiti
yang dipakai dalam buku ini merujuk kepada ambilan daripada cerita dongeng dan
karut untuk dijadikan hiasan dan teknik
bercerita dalam Naratif Ogonshoto. Maka terjadilah pembohongan ilmu dan
kekeliruan yang menyesatkan apabila konsep itu disetarafkan dengan peristiwa
Banjir Besar dalam al-Quran. Kaedah yang
sama berlaku dalam buku Dr. Norhayati Ab.
Rahman yang menjadikan perzinaan sebagai asas puitika wanita Indonesia dan
Malaysia. Lihat komen saya dalam Hikayat
Salim Adil, hal. 57-59 tentang pembohongan ini. Pembohongan paling besar
ialah kecetekan pengetahuannya tentang Islam. Untuk memudahkan beliau faham apa
yang saya maksudkan, ketika beliau berkahwin, siapakah yang menjadi wali beliau?
Siapakah imam yang menikahkan beliau?
Siapakah yang menjadi saksi perkahwinan itu. Dalam pembahagian harta pusaka,
mengapa al-Quran meletakkan pembahagian
yang menyebelahi kaum lelaki? Jelaslah
tidak ada jenis binatang budaya yang dimanakan patriaki itu dalam Islam. Semua
nabi adalah lelaki. Yang pertama dijadikan ialah Nabi Adam ‘a.s.; selepas itu
baru dijadikan Hawa. Kalau begitu, di mana pentingnya menulis sebuah tesis yang
menentang hukum Islam? Konsep patriarki itu
sendiri tidak ada dalam Islam, tetapi diada-adakan dalam budaya bukan Islam.
Dalam konteks inilah tesis Ph.D. sarjana ini memperjuangkan ajaran sesat yang
wajib dihukum sewajarnya. Ini kerja JAKIM sebagai satu organisasi yang
melindungi kesucian Islam.
Adil dan Tertib
Buku Dr. Norhayati Ab. Rahman, Puitika Sasterawan Wanita
Indonesia dan Malaysia (2012, USM)
dan buku Dr. Fatimah Busu, Nyanyi
Sunyi Salam Maria VS Sarjana Nasi Dingin yang kini menjadi bacaan para
pelajar di Universiti Malaya, perlu dilihat semula dan dikaji dengan teliti
oleh JAKIM untuk memastikan tiada unsur yang bertentangan akidah Islam dan
akhlak Islam. Buku Norhayatie menggalakkan perzinaan dengan mengambil contoh
novel yang menggalakkan perzinaan sebagai salah sebuah novel utama dalam
kajiannya tentang kelakuan seks wanita. Unsur sensasi dan sikap berlebihan
mempropagandakan perubahan di kalangan wanita tanpa memelihara nilai-nilai
Islam tidak wajar diajar di peringkat universiti di kalangan pelajar yang belum
tentu tahu dengan mendalam aspek akidah dan nilai akhlak dalam Islam. Persoalan ini disebut dalam Hikayat Salim Adil, hal. 57-58 untuk
perhatian pembaca. Buku Dr. Fatimah Busu juga penuh dengan sensasi dan kelakuan yang tidak serasi dengan nilai-nilai
Islam. Buku ini juga perlu dikaji oleh JAKIM untuk mengelak salah faham dan
unsur fitnah dalam ajaran Islam, terutama sekali mengapa penulis novel ini
memberi penekanan begitu rupa kepada unsur-unsur agama Kristian dalam novel
berunsur Islam (menurut pengakuan beliau). Perkara ini dibangkitkan di sini
kerana kedua-dua sarjana ini mendakwa mereka berdakwah untuk menegakkan
nilai-nilai Islam, padahal buku-buku mereka tidak mempunyai nilai-nilai Islam
yang sebenar. Adalah lebih baik jika mereka sendiri menemui JAKIM untuk
menjelaskan duduknya perkara yang sebenar. Beri peluang kepada JAKIM untuk
meneliti isi buku ini supaya tidak ada ajaran salah dan bertentangan dengan
akidah dan akhlak Islam diajar kepada para pelajar universiti. Sekiranya kedua
mereka enggan menghubungi JAKIM, satu laporan rasmi perlu dikemukakan untuk
menjernihkan keadaan dan menghalang berlakunya fitnah terhadap agama Islam. Yang wajib membuat laporan itu ialah universiti
yang membenarkan kedua-dua buku anti-Islam ini dijadikan rujukan di universiti
itu. Memandang persoalan ini amat serius, elok jika kedua-dua sarjana ini
memberi penjelasan kepada JAKIM dengan segera.
Kementerian Pendidikan Tinggi juga perlu dimaklumkan, sesuai dengan
polisi kerajaan menggalakkan nilai-nilai murni dalam Islam yang tidak terdapat
dalam kedua-dua buku ini. Dalam hubungan ini, penggunaan Naratif Ogonshoto sebagai teks sastera perlu dikaji semula kerana
novel itu bersifat nihilistik (menentang nilai-nilai baik) dengan memberi
penekanan kepada kejahatan, terutama sekali dalam konteks gerakan Mafia. Semua
ini perlukan penjelasan dan pihak yang berkenaan (JAKIM dan Kementerian
Pendidikan Tinggi) perlu mengambil berat kepada apa juga yang bersifat ingkar ilmu dan menolak sumber ilmu daripada
al-Quran.
Bagaimana
pula kedudukan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan sahabat baiknya Dr.
Fatimah Busu yang menganjingkan sarjana yang tidak sehaluan dengan mereka? Sekiranya tidak ada hukuman yang setimpal
untuk mereka yang biadab ini, maka JAKIM pun wajar memanggil mereka supaya
mereka sebagai ahli akademik, tidak berkelakuan biadab terhadap agama, ilmu dan
orang yang mereka tidak sehaluan. Kita tidak boleh membiarkan kebiadaban seumpama
ini berterusan, dilakukan dengan begitu tidak bertanggungjawab oleh para
sarjana.
Peranan Ilmu Yang Benar Dalam
Perkembangan Kreatif dan Akademik
Kesusasteraan
tidak dapat dipisahkan daripada konsep ilmu yang benar. Apa juga kritikan,
penilaian, penjelasan yang dibuat terhadap karya sastera perlu dilihat daripada
perspektif ilmu yang benar supaya kedudukan karya itu jelas dari perspektif
nilai murni yang ditekankan dalam pendidikan negara Malaysia. Pada waktu ini
persoalan ini diketepikan, seolah-olah kemunculan nilai-nilai nihilistic dalam
karya seperti Naratif Ogonshoto tidak
penting. Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai kepakaran untuk meneliti
dengan cermat persoalan yang dikemukakan ini, supaya pengarang dan pelajar tidak
dianiaya dan dizalimi dari segi kedudukan ilmu yang benar. Penentangan para sasterawan, sarjana sastera
dan pengkritik sastera terhadap Gagasan Persuratan Baru tidak sepatutnya
berlaku, sekiranya mereka memahami
konsep ilmu dalam Islam dan tidak terikut-ikut dengan pengaruh teori sastera
Barat yang mereka jadikan pegangan tanpa memahami implikasinya daripada
perspektif ilmu yang benar.
Pada waktu
ini sastera Melayu menjadi semakin keliru akibat pengaruh ajaran pascamodenisme
yang kini dijadikan asas penilaian karya kreatif. Kemunculan novel Naratif Ogonshoto dan penilaian yang
salah tentangnya merupakan satu perkembangan yang paling keliru dan sesat dalam
kritikan sastera Melayu, dilihat dari perspektif ilmu yang benar. Nampaknya
para sasterawan, sarjana sastera, dan pengkritik mahu dan berdegil ingin
meneruskan kekeliruan dan kesesatan ini kerana dengan ini saja para sasterawan
negara dapat diselamatkan. Ini
menjadikan cabaran Gagasan Persuratan Baru semakin relevan dan semakin urgent.
Catatan Penting: Para sarjana yang ciritan terutamanya kena ingat Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh telah mengutuk sesiapa juga yang menggunakan teori Barat untuk menilai karya sastera Melayu yang mesti dinilai dari perspektif Melayu, menggunakan teori Melayu, terutama "teori" beliau sendiri. Tetapi jangan gunakan PB kerana PB bukan teori, tetapi sejenis omongan yang akan merosakkan sastera Melayu jika diberi perhatian. Amaran dari Sarjana Ulung ini mesti diberi perhatian serius. Harap maklum.
Catatan Penting: Para sarjana yang ciritan terutamanya kena ingat Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh telah mengutuk sesiapa juga yang menggunakan teori Barat untuk menilai karya sastera Melayu yang mesti dinilai dari perspektif Melayu, menggunakan teori Melayu, terutama "teori" beliau sendiri. Tetapi jangan gunakan PB kerana PB bukan teori, tetapi sejenis omongan yang akan merosakkan sastera Melayu jika diberi perhatian. Amaran dari Sarjana Ulung ini mesti diberi perhatian serius. Harap maklum.
Mohd. Affandi
Hassan
Petaling
Jaya, 21/12/2017.
Patik itu asal sanskrit "pattha", bukan Jawa. Hindi dan Punjabi masih guna perkataan ni. Maknanya "anak" tapi mmg biasa merujuk pada binatang. Terjumpa blog ni masa search mengenai isu patik dan duli. Dua-dua serapan sanskrit.
ReplyDelete