Dua
entri tentang “ingkar ilmu” sudah saya
bicarakan, tanpa menggunakan istilah itu, dalam beberapa tulisan di majalah Widya 1982, dan sebuah dalam Mastika 1991 tentang peranan ilmu yang
benar. Kini saya baru saja menyiapkan sebuah hikayat, dalam siri “hikayat” yang
sedang saya usahakan untuk membicarakan isu-isu masyarakat secara kreatif. Saya
baru saja selesai menulis “Hikayat Salim Adil” yang khusus membicarkan “budaya
sampah” dalam masyarakat Malaysia. Saya menjadikan “sampah” sebagai paksi
naratif suatu pembicaraan tentang budaya sampah ini dan bagaimana budaya ini
diberi kedudukan tinggi dalam masyarakat, terutama melalui kesusasteraan. Hikayat itu ditulis seluruhnya dalam konsep stylization of ideas, untuk menambah lagi contoh tentang peranan
ilmu dalam karya kreatif, yang amat galak dijadikan isu oleh para pembicara
yang anti-ilmu, dan kini yang kita sebut sebagai yang “ingkar ilmu”. Mereka yang galak mengutuk kehadiran ilmu
dalam karya kreatif sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang konsep ilmu, tidak
pernah memikirkannya, dan tidak mahu memikirkannya. Kerana ilmu itu menjadi
asas kepada adab dan pembinaan peradaban, maka mereka yang keliru dan anti ilmu
ini adalah golongan biadab yang kini sudah muncul sebagai golongan yang
berkuasa, yang mempunyai hegemoni, dalam menentukan wajah kesusaseraan Melayu
moden. Merekalah yang menjadi juara budaya sampah yang saya jadikan paksi
naratif dalam “Hikayat Salim Adil”. Mereka telah berjaya mengadakan satu
pertemuan penting anjuran ITBM, yang mereka gelar Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia 2014. Dalam sidang itulah hegemoni budaya sampah itu dirasmikan dengan
penerbitan sebuah buku berjudul, Sastera
Teras Negara Bangsa (ITBM 2014).
Dalam
pemikiran Barat, isu-isu kesampahan ini dibicarakan dengan mendalam dan
terperinci oleh Pitirim Sorokin dalam buku-bukunya, antara yang terkenal ialah The Crisis of Our Age (terbit pertama
kali 1941), dan The Basic Trends of Our Times (1964). Sorokun berbicara tentang keruntuhan nilai
dalam budaya hawa nafsu Barat (the
sensate culture) yang seluruhnya berasaskan materialisme. Sejauh mana
budaya hawa nafsu ini menguasai kesusastreraan Melayu moden? Bayangkan konsep
kesusasteraan itu sendiri adalah penjelmaan daripada budaya hawa nafsu, maka
sudah wajar dan munasabah jika karya sastera Melayu yang kita panggil sastera
moden itu adalah hasil budaya hawa nafsu ini. Jika anda mahu contoh, bacalah
karya para sasterawan negara. Karya terbesar sastera moden, menurut para
sarjana sastera, ialah Salina oleh A.
Samad Said, sebuah karya yang pertama kali diiktiraf sebagai yang bertaraf
antarabangsa oleh Teeuw. Hebat. Apakah asas karya ini? Saya tidak perlu
menjelaskannya, kerana telah dibicarakan dengan riuh dan geger oleh para
sarjana yang memuji tinggi kemunculan seorang pelacur berjiwa murni (?) dalam
budaya sampah Melayu. Berasaskan andaian
itu, para sarjana ciritan dan sasterawan picisan bangkit mempertahankan
kedudukan Salina sebagai sebuah karya besar Malaysia, yang
melayakkan penulisnya, A. Samad Said, dicalonkan sebagai penerima Hadiah
Nobel. Usaha ini sangat bagus kerana
Sweden sekarang adalah sebuah negara yang tidak mempunyai sampah, oleh itu
mengimpot sampah dari luar negeri di sekitar negara Eropah. Sebaliknya Norway,
sebuah negara yang kaya sampah, memohon kepada Sweden untuk menerima sampahnya,
dengan membayar kepada Sweden sebagai royalti untuk membawa sampahnya masuk ke
Sweden. Sekarang Malaysia, melalu
beberapa badan penulis dan organisasi
kerajaan seperti ITBM dan DBP, ingin membawa karya-karya sampah ini untuk
dinilai kesampahannya sama ada sudah layak atau tidak diberi Hadiah Nobel.
Dengan mencontohi Norway yang membayar Sweden untuk mengekspot sampahnya ke
Sweden, Malaysia juga boleh berbuat demikian dengan membayar Sweden sekian
banyak wang untuk memberi tempat kepada karya sampah dari Malaysia dinilai
dalam jawatankuasa Hadiah Nobel. Idea ini munasabah dan patut sangat
dilaksanakan oleh Malaysia kerana contohnya telah ada dalam konteks Norway
tadi. Badan penulis, terutama PENA dan GAPENA,
perlu membuat keputusan untuk mendesak kerajaan melaksanakan idea ini,
jika belum lagi dibuat atau tidak dijadikan resolusi dalam SKPM.
Kehadiran
karya sampah ini penting dalam perkembangan budaya dan perkembangan intelektual
di Malaysia dan telah dirasmikan oleh kerajaan sendiri yang memberi sumbangan
kewangan yang besar kepada badan penulis yang disebut di atas, masing-masing
mendapat 5 juta. Sekiranya Sweden bersetuju menerima 100 juta untuk maksud
membeli Hadiah Nobel, maka sumber kewangannya sudah tersedia di dalam 1MDB yang
telah memberi sumbangan kepada jemaah haji terpilih untuk naik haji. Mereka
telah pun pergi dan sudah pun balik. Contoh telah ada, tinggal melaksanakannya
saja. Para sarjana dan sasterawan boleh membuat desakan kepada kerajaan supaya
menerima cadangan ini, demi kebaikan sastera moden Malaysia.
Dari
segi akademik, belum lagi terdapat penyelidikan yang secara khusus menganalisis
karya sampah ini pada peringkat MA dan Ph.D.
Oleh hal yang demikian, kehadiran karya sampah dalam sastera dan juga
dalam bidang akademik masih agak kabur. Tetapi adakah ini bererti tidak ada
karya sampah? Saya telah menulis tentang persoalan ini dalam beberapa entri,
mempersoalkan kemenangan beberapa penerbitan akademik yang amat diragui
kualitinya sebagai karya akademik. Saya memberi contoh buku Dr. Norhayati Ab.
Rahman dan Dr. Mawar Shafie yang mendapat pengiktirafan yang amat tinggi dari
universiti (UKM untuk buku Dr. Mawar Shafie) dan dari DBP (untuk buku Dr.
Norhayati Ab. Rahman). Kedua-duannya
menerima hadiah istimewa peringkat negara. Bagaimana dan mengapa ini terjadi
sudah juga saya jelaskan dalam beberapa entri, juga telah dipersoalkan dalam
beberapa buah buku sastera. Sarjana sastera dan sasterawan tahu judul buku-buku
itu, tidak perlu saya sebut satu persatu.
Berasakan bukti-bukti yang dibincangkan dalam entri dan dalam buku-buku
berkenaan, sudah jelas memang terdapat karya sampah. Apakah sikap kita terhadap
karya sampah ini?
Pertanyaan
di atas boleh diberi jawapannya dengan mudah dan jelas jika anda menerima
konsep “ingkar ilmu” yang dibicarakan dalam dua entri yang lepas.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 23/10/2016.
No comments:
Post a Comment