Tuesday, August 11, 2015

WAJAH-WAJAH PANDIRISME DI SEBALIK BAJU INTELEKTUAL PALSU




Kepercayaan melampau kepada sastera/karya sastera adalah tinggalan dari daki puaka realisme dalam sastera Melayu. Daki-daki puaka realisme ini mempersendakan realisme hakiki  seperti golongan Jahiliah dahulu mempersendakan isra' dan mi'raj. Golongan puaka realisme ini tidak saja biadab, tetapi berusaha keras untuk menjadikan kebiadaban itu budaya arus perdana sebagai asas pembentukan nilai dalam masyarakat beragama. Inilah yang akhirnya melahirkan pandirisme dalam kesusasteran Melayu moden, dalam politik, kebudayaan, pendidikan, bahasa, dan dunia akademik. Kata pengampu (ampu berarti sokong; pengampu=pendukung) pandirisme, ujian sebenar harga diri manusia ialah kemanusiaannya. Menurut mereka, kemanusiaan adalah konsep bumi, yang menjadi realiti kehidupan manusia, oleh itu tidak kena mengena dengan semangat "alien" dari angkasa (ukhrawi).  Itulah inti-pati faham sastera yang menjadi pegangan para sasterawan di Malaysia. Mereka menolak adanya konsep ilmu yang benar, kerana penerimaan kepada konsep itu secara automatis mengikat mereka kepada nilai-nilai yang bersifat ukhrawi, yang kata mereka tidak berakar di bumi, oleh itu merupakan nilai-nilai asing yang tidak perlu diberi perhatian oleh manusia yang mempunyai sifat kemanusiaannya. Mereka tidak sedar, pendirian begitu adalah puncak pandirisme yang tidak layak diberi perhatian kerana hanya akan membuang masa. Dalam konteks inilah disiarkan kembali dua posting lama untuk difikirkan kembali.

I

Perubahan Nilai Yang Merugikan Tamadun Melayu

Ketika menulis latihan ilmiahnya yang bertajuk “Pengarang-pengarang Melayu di Saingapura Selepas Perang Dunia II (1946-1958)” (Bahasa, no. 7, akhir 1965; hal. 3-55), Ismail Hussein (kini Tan Sri Prof. Emeritus) menunjukkan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” tidak terkenal/popular sehingga pertengahan (?) tahun 1950-an. Beliau menggunakan istilah “pengarang” untuk judul latihan ilmiahnya dan dalam analisisnya. Apa yang disebut golongan tua yang menulis novel, cerita pendek dan lain-lain, tidak memanggil diri mereka “sasterawan”, tetapi pengarang. Hanya penulis-penulis muda seperti Keris Mas, A. Samad Ismail, Usman Awang, Hamzah, MAS (Mohammed Ariff Singapura), dan lain-lain yang mendapat dan menerima pengaruh dari Indonesia, yang menganggap diri mereka maju atau progresif, dengan bangga menggelar diri mereka sebagai “sasterawan”, sebagai tanda terputusnya mereka dengan “golongan tua” yang mereka anggap sudah ketinggalan zaman, bukan golongan progresif. Maksud progresif itu ialah kecenderungan kepada faham sosialis, atau golongan kiri, dalam politik dan kebudayaan, sedangkan golongan tua lebih dekat kepada Islam. Maka apabila mereka menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (seterusnya Asas 50), mereka dengan lantang meneriakkan slogan “sastera untuk masyarakat”. Selepas Tanah Melayu merdeka 1957, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (yang ditubuhkan 1956 di Johor Bahru) dipindahkan ke Kuala Lumpur, para sasterawan Asas 50 memainkan peranan penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu baru. Mereka juga rapat dengan ahli-ahli politik UMNO, dan berjaya mempengaruhi ahli politik itu untuk memberi hadiah “Pejuang Sastera” kepada sasterawan golongan kiri dari kumpulan Asas 50. Dalam tahun 1981, Keris Mas, tokoh Asas 50 yang terkenal sebagai penulis cerita pendek dan penulis esei sastera, dinobatkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebagai Sasterawan Negara pertama. Selepas itu berturut-turut sasterawan Asas 50 atau yang bersimpati dengan mereka diberi anugerah yang sama; terakhir ialah Anwar Ridhwan yang banyak membantu dan membela golongan ini dalam tulisan-tulisannya dan dalam kuliah sasteranya di Jepun. Dengan terlantiknya Anwar Ridhwan sebagai Sasterawan Negara ke-10, maka berakhirlah pengaruh Asas 50. Bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa dengan kehadiran 10 orang Sasterawan Negara ini istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” yang dipopularkan oleh Asas 50 dan diterima untuk dirasmikan oleh Kerajaan Barisan Nasional akan kekal dan tidak boleh dicabar lagi? Perkara ini akan dibincangkan kemudian.

Kemunculan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” menandakan berakhirnya tradisi persuratan yang kaya dalam tamadun Melayu. Malah istilah “persuratan” itu sendiri tidak disukai dan dimomokkan sebagai mencerminkan kemunduran, sedangkan “kesusasteraan” itu mencerminkan kemajuan, sifat progresif para “sasterawan”. Bagi Asas 50, usaha mereka yang pertama ialah menghapuskan tulisan Jawi, meskipun terdapat di antara mereka yang menjadi editor akhbar dan majalah yang bertulisan Jawi. Akhbar Warta (Bil. 58, bertarikh 6 April 1954) menggunakan tajuk berita yang besar dan panjang untuk menarik perhatian orang Melayu tentang matlamat sebenar Asas 50 dalam perjuangannya. Inilah tajuk berita itu: “Memorandum Asas 50: Sebabnya Pertubuhan Mereka Menyokong KGMS (Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura) Mencadangkan Rumi Menjadi Tulisan Rasmi Melayu. Tulisan Jawi tidak ada hubungannya sama sekali dengan Agama Islam. Bahasa Melayu Tidak Perlukan Tulisan Jawi. Orang Turki Telah Menyingkirkan Tulisan Arab.” Menurut pandangan Asas 50, hanya dengan tulisan Rumi saja “kesusasteraan” Melayu baru dapat dimajukan. Pada ketika itu, pendirian Asas 50 amat mengejutkan orang Melayu, dengan itu akhbar Warta menyiarkan sepenuhnya Memorandum Asas 50 untuk diteliti oleh orang Melayu. Walaupun pendirian Asas 50 tentang bahasa Melayu dan tulisan Jawi itu karut, bertentangan dengan fakta sejarah perkembangan bahasa Melayu sendiri, namun dengan pendirian itu mereka telah membuktikan kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya di Universiti Kebangsaan Malaysia 1972 yang mengatakan, “Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan Barat dan sifat-sifat asasi kebudayaannya sendiri; orang-orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas, tiada mendalam. Penganut-penganut golongan ini pun mereka yang terkeliru, yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguh pun terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai-nilai kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”.

Kita lihat nanti bagaimana para pengasas Asas 50 membuktikan sekali lagi kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu, dalam tahun 1981, apabila mereka mewujudkan Sekretariat Anugerah Sastera Negara, dengan Keris Mas muncul sebagai penerima gelaran “sasterawan negara” yang pertama. Dengan tertubuhnya sekretariat itu dan terpilihnya sasterawan negara dari kalangan mereka, maka kesusasteraan dan sasterawan diberi kedudukan istimewa, dengan itu tidak saja meminggirkan tulisan Jawi, tetapi juga meminggir dan mengetepikan persuratan Melayu yang telah berjasa besar dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu itu. Yang muncul dengan megah dan bergaya sekarang ialah para sasterawan dan karya mereka yang diberi sanjungan tinggi, walaupun pada hakikatnya mereka adalah dari kumpulan orang yang “keliru” seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya. Adakah perubahan dari persuratan kepada kesusasteraan memberi keuntungan kepada orang Melayu?

Dalam makalahnya, Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman menjelaskan bagaimana konsep al-adab dalam persuratan Arab berubah makna, sehingga disempitkan menjadi “kesusasteraan” dalam zaman moden. Persis inilah yang terjadi dalam persuratan Melayu sendiri. Sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an, majalah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, terutama di Kelantan, menggunakan istilah “al-adib” untuk memperkenalkan seseorang penulis, atau istilah pengarang yang sama maksudnya. Penggunaan istilah “al-adib” memperlihatkan kepekaan para editor majalah dan akhbar ketika itu kepada tradisi penulisan dalam Islam yang berasaskan al-adab itu. Sebaliknya, ketika Asas 50 ditubuhkan, para pendukung pertubuhan itu tidak lagi mengenal istilah itu, oleh itu dalam tulisan-tulisan mereka tidak wujud sama sekali kesedaran kepada wujudnya tradisi penulisan dalam Islam. Asas 50 mengambil contoh dan teladan dari Barat sepenuhnya, dengan itu memutuskan sama sekali apa juga ikatan dengan warisan persuratan Melayu yang berasaskan ilmu dan nilai-nilai Islam. Apabila mereka memperkenalkan sajak dan cerita pendek dalam karya-karya mereka, mereka membebaskan diri mereka daripada apa juga pengaruh Islam. Demikianlah akhirnya sebuah novel Salina yang pada mulanya ditolak oleh juri peraduan kerana dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Islam, menjadi karya besar setelah diiktiraf oleh seorang sarjana Belanda sebagai sebuah karya bertaraf antarabangsa. Maksudnya, sebagai sebuah karya yang tidak lagi bercorak Islam yang dianggap mundur dan menghalang kemajuan itu. Kini nilai-nilai Islam yang menjadi panduan dalam penilaian para juri itu disisihkan sepenuhnya, dengan itu Salina muncul sebagai karya besar sastera Melayu moden dan diletakkan sebagai sebuah karya unggul sehingga memungkinkan penulisnya dilantik menjadi sasterawan negara. Demikian cepatnya perubahan nilai berlaku dalam masyarakat Melayu: sesuatu yang mereka tolak pada mulanya, mereka terima dengan bangga setelah diiktiraf oleh sarjana Barat, dan mereka dengan itu tidak lagi berasa janggal memisahkan diri mereka dengan tradisi persuratan Melayu yang berasaskan nilai-nilai Islam itu. Dalam penilaian mereka terhadap karya itu, mereka memakai nilai-nilai sastera Barat sepenuhnya, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1985.

II

Beban Intelektual, Beban Akademik, dan Beban Moral Dalam Kesusasteraan Melayu Moden

Masalah tiga beban besar dalam kesusasteraan Melayu moden tidak pernah dibincangkan, kerana selama ini masalah ini tidak disedari, sehinggalah ditimbulkan oleh gagasan Persuratan Baru dalam analisis dan penilaian tentang karya kreatif  para sasterawan dan sasterawan negara. Ketiga-tiga beban ini saya rangkum dalam ungkapan “keaiban intelektual” yang menjadi masalah besar dalam kesusasteraan Melayu moden. (Rujuk Peradaban Melayu Timur Laut, DBP Wilayah Timur 2005, hal. 209-226). Secara tidak langsung persoalan ini telah ditimbulkan oleh dua orang sarjana yang kedua-duanya menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah membangkitkan perkara ini dalam kata-kata beliau seperti berikut:  “... sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14). Puluhan tahun itu berapa tahun? Tiga puluh tahun? Paling kurang dua puluh tahun, tidak mungkin dalam masa sepuluh tahun ini. Saya lebih cenderung untuk memulai tarikhnya tahun 1981, apabila Panel Anugerah Sastera Negara ditubuhkan. Sejak itulah secara rasmi teori Barat digunakan sepenuhnya untuk menilai karya kreatif para sasterawan Melayu yang dilantik menjadi “sasterawan negara”.  Sejak itulah bermulanya, secara rasmi dan dengan pilihan sendiri, penggunaan teori Barat dalam kritikan dan penilaian karya sastera. Sebelum itu tidak rasmi, kerana belum dikanunkan. Mulai tahun 1981, Panel Anugerah Sastera Negara mengkanunkan teori kritikan sastera Barat sebagai satu-satunya teori yang sah digunakan dan perlu digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara. Inilah yang mereka namakan aliran perdana dalam sastera Melayu moden. Turut mengkanunkannya ialah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri, yang hingga sekarang masih menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Perkembangan yang menarik ini telah dianalisis dan dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam Kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009).  Seorang anggota Panel yang lain, Prof. Dr. Zawiah Yahya, secara radikal (mungkin lebih tepat secara sinikal) berkata, “we have to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe and  replace them with the centrality of our own country and our own region ...”, maka dengan itu, “we will approach a text with our own cultural schema to interpret.”  Bagaimana hendak dilakukan? Masih kabur, malah masih sangat gelap, tiada penjelasan sedikit pun yang boleh membantu kita untuk melaksanakan gesaan yang radikal (atau sinikal)  ini.  Supaya perkara ini boleh dilihat dengan lebih terperinci, sila rujuk posting bertarikh 25 Mei 2011, bertajuk “Fitnah dalam politik dan fitnah dalam sastera”.  Dua orang anggota Panel Anugerah Sastera Negara ini dengan jelas menggambarkan betapa beratnya beban intelektual, beban akademik, dan beban moral dalam kritikan sastera Melayu.  Orang yang kita harapkan akan menjelaskan yang kacau, membetulkan yang salah (mereka sedar akan kesalahan itu, tetapi tidak tahu apakah kesalahan itu), sebaliknya menambahkan lagi beban itu dengan ucapan yang langsung tidak bermakna kerana tidak dapat dijelaskan secara akademik. Inilah jenis “pemikiran” yang dijadikan aliran perdana dalam kritikan sastera Melayu.  (Catatan: maksud ‘fitnah’ di sini ialah ‘musibah’.)

Beban intelektual ini terlihat jelas dalam cara Panel Anugerah Sastera Negara menulis laporan mereka. Jika anda baca laporan itu secara kritis, anda akan berasa hairan bagaimana sekumpulan sarjana yang dikatakan pakar dalam kesusasteraan, tidak menampakkan keaslian mereka dalam membuat analisis dan penilaian.  Seluruh konsep dan istilah yang mereka gunakan diambil bulat-bulat dari buku-buku teori kritikan Barat. Mereka memuji para sasterawan yang pandai meniru, seperti A. Samad Said yang meniru teknik Barat, kerana mereka sendiri adalah peniru yang paling unggul. Apakah yang mereka tiru dan pakai tanpa kefahaman yang wajar tentang teori sastera Barat? Paling jelas ialah kekeliruan mereka dalam memahami konsep realisme, yang mereka puji dijadikan asas penulisan oleh para sasterawan. Mereka tidak jelaskan mengapa realisme itu bagus dan dari segi apa realisme itu perlu dijadikan ukuran dalam kemajuan penulisan novel, cerita pendek dan lain-lain.

Apakah kesan beban intelektual ini? Pertama sekali, kesan paling buruk ialah pemikiran tentang sastera menjadi mandul, ketinggalan zaman, dan diikuti dengan sikap negatif kepada perubahan, yakni orang-orang ini menjadi golongan yang anti-perubahan. Kemandulan intelektual ini tidak dapat dielakkan, kerana mereka tidak berupaya menghadapi pengaruh Barat itu secara akademik, kecuali hanya untuk menjadi peniru. Sebagai peniru, mereka ketinggalan zaman. Sebagai contoh, mereka ini masih menggunakan kaedah Kritikan Baru (New Criticism) dalam analisis mereka, walaupun kaedah itu telah diambil-alih oleh dekonstruksi sejak pertengahan 1960-an di Amerika Syarikat. Mengapa mereka masih menggunakan kaedah lama? Kerana hanya itulah saja yang memikat minat mereka kerana lebih senang difahami (adakah mereka benar-benar faham?) dan lebih senang digunakan dalam analisis. Mereka sebut dekonstruksi, tetapi tidak berminat kerana mereka dapati agak sukar difahami. Ada usaha daripada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mendorong pengkritik sastera menggunakan dekonstruksi, tetapi dia sendiri terkejut apabila karyanya dianalisis daripada perspektif itu, yang hasilnya tidak menyenangkan beliau. Contoh ini perlu diberi perhatian, kerana dari contoh ini kita dapat lihat bagaimana para sarjana kita menggunakan pendekatan tertentu untuk memuji, bukan untuk mengkaji dengan kritis sesebuah karya atau sumbangan sebenar seorang sasterawan.  Kita boleh lihat kebenaran kesimpulan ini dalam kertas kerja yang membincangkan “pemikiran” para sasterawan negara dalam seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Khusus mengenai Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, anda boleh lihat bagaimana kesemua kertas kerja ditulis untuk memuji beliau. Tidak terdapat kertas yang agak kritis. Sebabnya ialah kerana Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri telah meletakkan syarat, setiap kertas kerja mestilah ditulis untuk hanya memuji, bukan mengkritik. Menurut DBP, tidak ada gunanya dilantik sasterawan negara, jika mereka kemudiannya dikritik dan dinilai semula. Inilah kemuncak kemandulan intelektual yang saya maksudkan, yang menjadi beban kepada kesusasteraan Melayu moden.  Kemandulan intelektual ini mengakibatkan lahirnya sikap negatif kepada apa juga perubahan untuk memajukan pemikiran dalam persuratan Melayu moden. Keyakinan golongan ini kepada teori Barat menjadikan mereka tidak boleh menerima sebarang cabaran terhadap teori yang mereka pegang. Dalam program Akademi Sastera yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Universiti Malaya dan lain-lain, ditekankan bahawa hanya pendekatan Barat saja boleh digunakan dalam menganalisis karya yang ditandingi. Di ASWARA, yang dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan etc., pengelola bahagian sastera menekankan hanya pendekatan Barat saja yang boleh digunakan; semua teori tempatan diharamkan dengan alasan belum diuji kesesuaiannya. Strategi ini bagus kerana ada alasan untuk menyekat gagasan Persuratan Baru masuk ke ASWARA!.  Sikap anti-ilmu  begini adalah kesan langsung daripada pengaruh Barat dalam sastera Melayu.  Kesan langsung ini akhirnya menyemarakkan perasaan hasad dengki yang berlebihan di kalangan segolongan sarjana dan sasterawan, untuk mempertahankan kedudukan mereka daripada dicabar oleh pendekatan yang berbeza daripada yang mereka pegang. 

Beban akademik pula menimbulkan kegersangan pemikiran dalam penyelidikan sastera di universiti dan dalam penerbitan. Ini terdapat dalam kegiatan akademik “pakar” sekali pun. Saya ingin sebut dua contoh kerana kedudukan mereka agak “istimewa” dalam kesusasteraan Melayu moden. Contoh pertama saya ambil dari Prof. Rahman Shaari. Saya akan bincangkan syarahan perdana beliau (2004): Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan. Saya juga akan bincang syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (1989): Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan.  Kedua-dua contoh ini penting kerana mereka telah diterima oleh teman-teman mereka dan diakui sebagai pakar sastera Melayu moden yang unggul dan cukup berwibawa oleh murid-murid mereka.

Syarahan perdana Prof. Rahman Shaari dan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bagi saya mengecewakan, terlalu jauh terkebawah daripada standard yang saya jadikan ukuran, yakni syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972). Saya telah memberi pandangan kritis terhadap syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad dalam sebuah risalah panjang, Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahana Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (Sarjana dan Sasterawan Negara) (1994). (Disiarkan pertama kali dalam Dewan Sastera, Mac-Julai 1991).  Walaupun Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mempunyuai pelajar 4000-5000 yang pengetahuan sasteranya jauh lebih mendalam daripada pengetahuan Mohd. Affandi Hassan  sendiri, namun hingga kini beliau dan para pelajarnya itu tidak pernah menyanggah kembali pandangan dan kritikan Mohd. Affandi Hassan. Saya diberitahu, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berkata,  Mohd. Affandi Hassan tidak layak mengkritik syarahan perdana beliau, kerana tidak mempunyai kedudukan akademik yang setaraf dengan beliau, bukan seorang profesor dan tidak pula seorang sarjana sastera yang diakui. Agak menarik apabila Prof. Rahman Shaari juga mempunyai sikap dan pandangan yang hampir serupa, malah bagi saya terasa sangat aneh mengapa beliau memilih untuk menunjukkan sikap tidak sopan apabila beliau  menujukan komennya untuk merendahkan kedudukan akademik saya dan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, tanpa memberikan sebarang hujah dan analisis secara akademik,  ketika beliau mengulas syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah. (Lihat komen beliau dalam Mingguan Malaysia, 16/12/2007). Inilah kesimpulan beliau: “Kandungan buku ini [Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu] merupakan salinan (carbon copy) pandangan pengkritik itu [Mohd. Affandi Hassan]. Sukar sekali untuk kita menemukan pandangan Ungku Maimunah sendiri, malah kelihatannya Ungku Maimunah memang berhasrat membiarkan ketiadaan pandangannya. Mungkin beliau berpendapat, eloklah beliau menyampaikan pandangan Mohd. Affandi Hassan melalui satu syarahan perdana, kerana Mohd. Affandi tidak mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian.” (Huruf condong ditambah).

Jelas sekali beliau tidak mempunyai pengetahuan dan maklumat yang paling asas sekalipun tentang Gagasan Persuratan Baru untuk membolehkan beliau memberikan komen yang objektif, oleh itu beliau tidak dapat mengesan pembaikan dan tambahan (tentang gagasan PB) yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam syarahan perdananya.  Apa yang dibuat oleh Prof. Ungku Maimunah ialah menganalisis dan menilai pandangan saya tentang gagasan Persuratan Baru, sambil menambah pendapat beliau sendiri yang membolehkan sarjana seperti Prof. Rahman Shaari lebih senang memahami PB. Misalnya, beliau mengemukakan konsep ruang naratif,  konsep mod bacaan intelektual dan mod bacaan cerita, isian ilmu dan isian cerita, untuk menyebut beberapa sumbangan beliau yang cukup berguna untuk membantu sesiapa juga yang ingin memahami gagasan Persuratan Baru.  Tetapi kelemahan Prof. Rahman Shaari paling menonjol ialah beliau tidak pun membaca syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah. Jika kita andaikan beliau membacanya, maka jelaslah beliau tidak faham, oleh itu kesimpulan beliau tadi tidak berasas sama sekali, kecuali untuk merendah dan mempersendakan saja. Dari halaman pertama hingga halaman 58, Prof. Ungku Maimunah memberikan maklumat dan analisis yang mendalam tentang faham sastera yang dipegang para sasterawan dan faham kritikan yang menjadi ikutan para sarjana dan pengkritik sastera, termasuk Prof. Rahman Shaari sendiri. Kedua-duanya menjadikan aspek cerita sebagai tunjang penghujahan mereka, dengan meminggirkan ilmu atau apa-apa aspek yang bersifat ilmu. Huraian Prof. Ungku Maimunah  memberi kita gambaran yang sangat berguna untuk kita memahami mengapa kita menghasilkan karya sastera seperti yang kita terima dan cara kritikan yang juga meletakkan cerita sebagai aspek utama dalam kesusasteraan (karya kreatif). Hanya mulai bahagian akhir halaman 58 hingga seterusnya beliau berbicara tentang gagasan Persuratan Baru sebagai alternatif. Di sini pun beliau tidak menyalin tulisan Mohd. Affandi Hassan seperti yang dituduh oleh Prof. Rahman Shaari. Sebaliknya, Prof. Ungku Maimunah menjelaskan dalam analisis beliau mengapa gagasan Persuratan Baru itu dapat diterima sebagai alternatif yang lebih baik daripada fahaman sastera yang dipegang sekarang, kerana PB mengutamakan ilmu yang benar, dengan itu meneruskan warisan persuratan Melayu yang sudah beratus tahun dikembangkan oleh para pujangga Melayu dan Islam, yang hasilnya belum lagi dapat ditandingi oleh mana-mana sasterawan negara sekali pun. Jadi jelas tidak timbul langsung perkara carbon copy yang ditohmah oleh Prof. Rahman Shaari.  Prof Ungku Maimunah memberikan kesempatan yang begitu luas kepada pembacanya, termasuk Prof. Rahman Shaari, untuk mempertikai secara ilmiah analisis beliau. Mengapa ini tidak dilakukan oleh Prof. Rahman Shaari? Jawapannya cukup jelas: beliau tidak membaca buku Prof. Ungku Maimunah; dan andainya beliau membacanya, beliau tidak faham. Terdapat dua kelemahan beliau di sini: pertama, kemampuan kognitifnya menjadi halangan untuk beliau memahami analisis Prof. Ungku Maimunah. Kedua, dari segi adab akademik dan etika penulisan, beliau tidak berasa penting memberi perhatian kepada dua perkara itu, oleh itu beliau memilih untuk berbicara sebagai pembicara yang tidak membaca dan tidak memahami persoalan yang begitu penting yang diketengahkan oleh Prof. Ungku Maimunah.  Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam dua aspek: pertama dalam kesimpulan beliau tentang PB; kedua dalam syarahan perdana beliau yang secara persis membuktikan dengan meyakinkan betapa kecenderungan kepada cerita itu tidak saja menjadi amalan para sasterawan, tetapi juga menjadi tabiat para ahli akademik seperti Prof. Rahman Shaari yang seluruh syarahan perdananya itu adalah pembebelan sebuah cerita biasa tentang sajak Melayu, tanpa sebarang analisis dan tiada pula penghujahan yang membolehkan kita memahami perkembangan sajak-sajak Melayu sejauh ini. 

Mengenai kesimpulan beliau tentang PB, inilah kata-kata beliau: “Gagasan ini mudah, iaitu ringankan cerita dan beratkan ilmu. Pelaksanaannya juga tidak sukar, kerana sebarang karya yang dipenuhi hujahan yang mantap adalah karya yang dikehendaki.  ... saya masih yakin saya dapat menghasilkan karya yang berpadanan dengan kehendak Affandi, Ungku Maimunah dan Zariat itu, jika nanti saya terdorong.” Kesimpulan ini tidak saja mengarut, tetapi jelas timbul dari  seorang profesor yang tidak membaca buku yang dinilainya, atau jika sekiranya beliau baca, tidak memahaminya. Jika beliau seorang ahli akademik yang menulis dalam konteks adab akademik dan etika perbahasan yang menjadi amalan dalam dunia akademik, beliau akan terlebih dahulu membahaskan beberapa perkara utama dalam syarahan Prof. Ungku Maimunah (beliau harus tahu apakah isu-isu utama itu jikalau beliau tidak menghadapi masalah kognitif), kemudian memberikan pendapat kritis beliau. Contoh paling jelas: adakah beliau faham konsep stylization of ideas dan bagaimana konsep itu dapat dikaitkan dengan matlamat karya persuratan untuk sampai ke tahap “indah dan bermakna”?  Tidakkah ini satu cabaran akademik dan kreatif sekali gus? Ketika itu barulah beliau boleh berkata, “gagasan ini mudah, iaitu ringankan cerita dan beratkan ilmu”. Sebagai seorang profesor yang sudah memberikan syarahan perdananya, beliau tidak boleh lagi berkata sesuka hati sebagai seorang pelajar tahun pertama yang baru ingin mengenal sastera!

Dari perspektif inilah saya akan bicarakan syarahan perdana Prof. Rahman Shaari.  Jika kita gunakan istilah “syarahan perdana” dalam konteks kematangan penyelidikan dan penguasaan “ilmu” seseorang profesor dalam bidangnya, maka “syarahan perdana” yang diberikan oleh Prof. Rahman Shaari tidak boleh digolongkan dalam kategori itu. Ini hanya syarahan biasa, mungkin satu kuliah biasa saja tentang “cerita” sajak-sajak Melayu moden. Di dalam syarahan ini tidak ada analisis dan penghujahan yang mantap, sesuatu yang tidak mungkin terjadi kerana tajuknya begitu umum, tidak dikonsepsikan dalam konteks satu syarahan ilmiah yang bertujuan meneroka dengan mendalam bidang yang dipilih. Hasilnya ialah sejenis resensi biasa tentang apa yang berlaku dalam sajak-sajak Melayu dari zaman permulaan hingga yang terkini. Hanya sebuah cerita, yang tidak memberi apa-apa “insight” tentang sajak Melayu. Apa yang dilakukan oleh Prof. Rahman Shaari tidak lebih dari menderetkan beberapa kategori sajak menurut penjenisan subjektif yang dibuatnya: ada jenis sajak patriotik, ada sajak imaginatif (?), ada sajak sukar, dan lain-lain kategori. Apakah yang hendak ditunjukkan oleh profesor ini? Beliau sendiri tidak jelas, oleh itu setiap kategori yang dikemukakannya tidak dapat membantu kita memahami mengapa sajak-sajak Melayu ditulis dalam bentuknya yang kita terima sekarang, mengapa tiadanya pemikiran yang mendalam dalam sajak-sajak itu, mengapa sajak-sajak itu lebih merupakan sajak-sajak peristiwa yang berbentuk topikal, dan “mengapa” yang macam-macam lagi.  Sekiranya beliau seorang yang tajam pemerhatiannya dan mempunyai kebolehan menganalisis yang tangkas bermain dengan idea, dia mungkin dapat melihat beberapa pola dalam penulisan sajak-sajak Melayu. Misalnya, benarkah terdapat sajak-sajak intelektual, dan siapakah pensajaknya? Apakah persoalan yang mereka kemukakan dalam sajak-sajak intelektual itu? Mengapa begitu banyak sajak-sajak protes ditulis, apakah persoalannya dan mengapa persoalan itu menjadi pilihan pensajak? Adakah semua pensajak Melayu bersifat suka mamprotes melalui sajak-sajak mereka? Kita selalu dengar wujudnya sajak-sajak romantis. Apakah ciri sajak romantis? Mengapa ditulis dan oleh siapa? Tetapi yang lebih penting, yang akan benar-benar membuat kita tidak berasa malu menggunakan istilah “penyair” dan puisi, ialah penemuan kita nanti siapakah tokoh yang dapat digelar penyair itu? Apakah sumbangannya dari segi pemikiran dan pemuisian? Kita sepatutnya sudah boleh menulis dalam konteks yang dibayangkan di sini, mengingat kita mempunyai beribu-ribu pensajak dan semua mereka menggelarkan diri mereka “penyair”. Dalam konteks ini, adakah istilah “penyair” itu tepat dan saksama untuk digunakan?  Berkaitan dengan persoalan ini juga ialah persoalan mengapa tidak terdapat sajak falsafah, sajak keagamaan yang membicarakan falsafah Islam dan ajaran Islam, atau sajak-sajak jihad. Di dalam cerita tentang sajak yang dipaparkan oleh Prof. Rahman Shaari ini, tidak ada langsung dikemukakan sajak-sajak keagamaan. Adakah ini membuktikan kesusasteraan Melayu moden, dan sajak-sajak moden, meminggirkan persoalan ilmu dan persoalan agama ini? Padahal para pensajak ini semuanya beragama Islam. Apa sudah jadi terhadap mereka? Kita mahu tahu kerana ini akan membuktikan kepada kita sifat dan hakikat sastera Melayu moden itu sendiri, sejauh mana dekatnya dengan Islam dan sedekat mana pula jauhya dengan Islam? Semua ini perlu dibahaskan, kerana dari perbahasan bercorak begini saja baru kita dapat berkata: sajak-sajak Melayu moden telah memberi sumbangan yang besar dalam pembinaan tamadun bangsa Melayu moden. Kerana ini tidak dianalisis dan dinilai dengan teliti dan objektif, kita tidak sekali-kali boleh berkata sajak-sajak dan para pensajak telah memberi saham yang besar dalam pembinaan tamadun kita, kerana kita tidak mempunyai bukti yang dihujahkan dengan mendalam. Oleh itu, apa yang disebut syarahan perdana tentang sajak-sajak moden yang mantap itu sebenarnya hanyalah sebuah esei biasa yang layak ditulis oleh seorang pelajar tahun pertama yang baru belajar tentang sastera, atau paling baik ditulis oleh pelajar tahun empat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.  Tetapi tidak sekali-kali boleh diterima sebagai sebuah syarahan perdana seorang profesor.

Kita agak keras dalam membuat penilaian ini, tetapi ini tidak dapat dielakkan, kerana kita kini berdepan dengan perkembangan ilmu di universiti. Adakah “ilmu” itu hanya sejenis cerita biasa tentang sesuatu tajuk yang kita pilih, atau terdapat ciri-ciri lain yang menjadikan tajuk itu satu tajuk yang penting dalam perkembangan ilmu, yang mesti dihuraikan dengan mendalam dalam satu analisis yang cermat dan benar-benar untuk menyumbang dalam bidang ilmu.  Dari perspektif ini, istilah “syarahan perdana” yang kita pakai seharusnya mencerminkan kecanggihan berfikir dan menganalisis sesuatu persoalan besar dalam bidang ilmu yang kita pilih, bukan hanya sejenis ocehan biasa seperti yang dikritik oleh Martin Heidegger.  Dalam pengertian yang sepatutnya kita gunakan untuk istilah “syarahan perdana” itu, kita dapat menerima “syarahan perdana” yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah sebagai “syarahan perdana” kerana ciri-ciri ilmiahnya sangat ketara, dan syarahan itu benar-benar memberi sumbangan yang besar dalam usaha memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu moden. Tetapi ciri-ciri ini tidak ada dalam “syarahan perdana” Prof. Rahman Shaari. Oleh itu, tidak perlulah beliau “berasa terkilan” kerana Mohd. Affandi Hassan tidak berpeluang mengucapkan “syarahan perdana” beliau, jika yang akan beliau lakukan hanya meluahkan sejenis ocehan dengan pretensi akademik yang sebenarnya tidak akademik. Kita tidak perlukan “syarahan perdana” selak kain seperti yang dilakukan oleh Ratu Balqis, yang tidak dapat membezakan antara realiti semu, atau ilusi, dengan realiti hakiki bahawa air yang dilihat Balqis bukanlah air, tetapi hanya lantai berkilat untuk dipijak, bukan kolam untuk direnangi. Barangsiapa yang tidak faham ibarat ini, maka orang itu tidak layak memberikan syarahan perdananya walaupun dia sudah jadi profesor seratus tahun!

Kelemahan paling besar dan paling menonjol dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari ialah aspek teori dan kaedah yang digunakan. Pertama sekali, seperti yang telah saya sebut, tajuknya terlalu umum dan tidak mengarah kepada “tujuan terakhir semua kajian”, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, “ialah menemukan suatu teori untuk bidangnya, yang dalam liputan dan perbincangannya dapat menerangkan, sekurang-kurangnya dengan wawasan terbaru, makna bidang itu sendiri.” Petua Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah tepat dan perlu dijadikan panduan, walaupun beliau sendiri gagal melakukannya dalam syarahan perdana beliau sendiri.   Kita sebenarnya tidak mendapat apa-apa yang berguna atau yang luar biasa setelah membaca syarahan perdana Prof. Rahman Shaari, kecuali menemui beberapa buah sajak yang menurutnya “mantap”, yang telah kita temui lebih awal daripada beliau. Definisi “mantap” itu sendiri pun tidak jelas, hanya mengutip pendapat atau pandangan beberapa orang sarjana, penulis sajak, dan kupasan ringkas (terlalu ringkas) beliau sendiri yang tidak jelas. Daripada H. Coombes diambil idea “poetic thought” (diterjemahkan sebagai “pemikiran puitis”): “Puisi yang memuatkan pemikiran tinggi yang dibaluti teknik dan stail yang indah” (hal. 9). Sekejap kemudian Prof. Rahman Shaari memberikan sanggahan kecil: “Kemantapan puisi tidak ditentukan oleh ciri yang di atas saja.” Lalu beliau mengutip pendapat Subagio Sastrowardoyo (ejaan Ensiklopedi Sastera Indonesia, hal. 760) yang menurutnya kekuatan puisi moden amat bergantung pada keaslian pengucapan penyair (hal. 10). Penyair tidak mengulang ucapan yang sedia ada. “Isi tidak akan dapat menghasilkan kemantapan karya jika tidak dibantu keaslian yang memikat”. Dan inilah kesimpulan beliau: “Kemantapan akhirnya terlihat bergantung pada keupayaan penyair mengeksploitasikan bahasa hingga menghasilkan puisi yang tebal dengan unsur estetika”.  Entah bagaimana kita membaca kesimpulan yang aneh ini: “Penyair mungkin mengaplikasikan pengetahuan psikologi (terutama psikoanalisis) dan falsafah ...” untuk menulis sajak yang mantap, lalu disebut nama Baha Zain dan Subagio Sastrowardoyo sebagai  contoh penulis yang menggunakan psikologi. (Sekadar catatan kecil: Baha Zain sebenarnya terpengaruh oleh Subagio, atau sekurang-kurangnya mendapat ilham daripada penulis Indonesia itu. Prof. Rahman Shaari menegaskan, dua orang penulis ini terpengaruh oleh psikoanalisis!).  Dengan berkata, isi tidak menentukan kemantapan sesebuah sajak, tanpa keaslian bahasa yang memikat, maka beliau telah menafikan sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh yang menurut beliau, “Penekanan terhadap pemikiran dalam sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh tidak terlalu mencabar fikiran pembaca, kerana pengutamaannya bukanlah aspek itu, sebaliknya dia bersajak dengan perasaan yang ditipiskan. Baginya, sajak-sajak tidak boleh terlalu emosional, kerana ketebalan emosi akan dengan sendirinya menipiskan pemikiran” (hal. 35).  Apakah maksud Prof. Rahman Shaari dengan kesimpulan ini? Dia mengatakan sajak “Pulang Si Tenggang” menggoncangkan fikiran (hal. 31). Sajak itu tidak mempunyai pemikiran apa-apa, hanya sebuah naratif peribadi penulisnya yang berasa bangga menjadi kurang ajar (bukan terpelajar) setelah lama belajar di Amerika Syarikat; bahasanya juga biasa saja, malah ada yang berkata agak “prosaik”, bukan bahasa “puisi”. Jadi di mana kemantapan sajak ini? Sajak ini menjadi terkenal kerana pensajak menggunakan Si Tenggang sebagai model manusia Melayu baru sepertinya; dan model ini ditentang kerana tidak mencerminkan nilai-nilai tamadun Melayu yang baku, yang menentang penderhakaan dan perangai yang biadab, terutama sekali terhadap ibu bapa.  Inilah contoh beban intelektual dan beban moral yang paling baik yang diberikan kepada kita oleh seorang pensajak Melayu.  Sajak ini tidak boleh dianggap sajak intelektual kerana nialai-nilai intelektualnya tidak ada, tetapi kaya dengan faham individualisme Barat  yang meletakkan diri individu, terutama seorang pengarang, sebagai ukuran baru (?) dalam menilai kemajuan diri peribadi dan masyarakat. Faham ini telah ditolak oleh tamadun Melayu yang berteraskan Islam. Jadi di mana istimewanya sajak ini? Jika kita memakai ukuran yang dicadangkan oleh Prof. Rahman Shaari sendiri sekali pun, sajak ini bukanlah sebuah sajak yang mantap, tetapi boleh diterima sebagai sebuah sajak naratif yang menarik yang menceritakan kehilangan peribadi seorang penulis Melayu yang tidak kenal budayanya sendiri, dan dalam pencarian itu dia menemui Si Tenggang yang dikutuk oleh masyarakatnya.  Adalah malang bagi Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri apabila percubaannya untuk menonjolkan dirinya sebagai Si Tenggang moden tidak diterima oleh masyarakat, kecuali oleh segelintir kecil peminat sajak yang cita rasanya dalam seni berada di tahap rendah (crude). Untuk melihat kejituan kesimpulan yang objektif ini, anda dipersilakan untuk menggunakan gagasan Persuratan Baru untuk menganalisis dan menilai sajak ini dengan kritis.  Pilihan ini tepat, kerana anda tidak boleh “menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula” (Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14).

Prof. Rahman Shaari telah mensia-siakan peluang yang baik melalui syarahan perdananya untuk mengenal pasti siapakah tokoh sebenar persajakan Melayu yang layak digelar “penyair”.  Kita mempunyai ramai pensajak (yakni penulis sajak), tetapi belum ada seorang penyair yang boleh dibanggakan.  Dalam konteks ini, adalah lebih bermanfaat dan lebih munasabah untuk membuat kajian mendalam bidang persajakan ini dengan matlamat untuk mencari, jika ada, pensajak yang layak digelar “penyair”.  Prof. Rahman Shaari terlepas peluang ini kerana beliau tidak membuat kajian menyeluruh, oleh itu beliau tidak merujuk dua buah buku penting oleh Prof. Dr. Ali Ahmad, Perintis Sajak-Sajak Melayu (Penerbit Fajar Bakti, 1971), dan Tema Sajak-Sajak Melayu 1933-1969 (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974).  Dalam buku pertama, Prof. Ali menyenaraikan sejumlah nama pensajak yang dikenal pasti olehnya layak dipanggil “pelopor sajak-sajak Melayu”. Berapa orang di antara mereka yang masih hidup dalam dunia persajakan? Apakah sumbangan mereka? Siapa di antara mereka yang menonjol dan layak digelar “penyair”?  Dengan meneliti, mengkaji, menganalisis dan menilai pensajak terkemuka di antara mereka, kita mungkin akan bertemu dengan seorang (atau lebih) tokoh yang benar-benar layak digelar “penyair”. Pada waktu ini, istilah “penyair” sama tarafnya dengan air suling, atau tinggi sedikit tarafnya air mineral semula jadi. Berapa ribu “penyair” yang ada di Malaysia? Di antara beribu jumlahnya itu, tidakkah terserlah seorang dua yang benar-benar layak digelar “penyair”? Jika jalur penyelidikan ini yang diambil oleh Prof. Rahman Shaari, yang ternyata lebih sukar tetapi berguna untuk kepuasan akademik, maka kita mungkin akan bersua dengan seorang atau dua pensajak yang boleh dipertahankan sebagai “penyair”.  Panel Anugerah Sastera Negara telah memilih beberapa orang, tetapi adakah mereka benar-benar layak digelar “penyair”?  Nampaknya sukar, kerana setiap sasterawan negara telah diseminarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dari perspektif “pemikirannya”, tetapi tiada seorang pun yang muncul sebagai “pemikir”. Malah Prof. Rahman Shaari sendiri, bila ditanya oleh Mohd. Affandi Hassan, adakah A. Samad Said seorang pemikir, menjawab secara negatif. Tetapi beliau, menurut Prof. Rahman Shaari dalam syarahannya, adalah di antara pensajak mantap yang berjaya menghasilkan beberapa buah sajak “mantap”. Jadi apanya yang mantap jika beliau tidak boleh dianggap seorang “pemikir”?  Atau memang sifat “penyair” tidak perlu berfikir dan tidak wajar dinilai dari segi pemikirannya? Semua persoalan ini perlu dijawab secara akademik. Tidak cukup dengan hanya menggunakan retorik peragaan seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam syarahan perdananya.  Sebenarnya huraian Prof. Ali Ahmad dalam dua buah bukunya itu jauh lebih sistematik dan lebih akademik dan lebih bermanfaat daripada syarahan perdana Prof. Rahman Shaari yang salah fokus itu.


Matlamat yang ditetapkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bahawa “tujuan semua (huruf tebal ditambah) kajian ialah menemukan suatu teori untuk bidangnya” saya kira tepat dan wajar dijadikan panduan. Saya pasti Prof. Rahman Shaari membaca syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan bertemu dengan petua itu, dan saya kira beliau tidak menolaknya. Beliau mempunyai peluang lagi untuk mengemukakan syarahan perdana beliau lagi. Saya dimaklumkan, di Papua New Guinea, seorang profesor boleh mengemukakan tiga syarahan perdana, di universiti yang berlainan, sekiranya beliau dijemput untuk mengemukakan penemuan terbaru dalam bidang penyelidikannya. Saya fikir universiti di Malaysia patut mencontohi Papua New Guinea. Saya sendiri pernah bertemu dengan seorang tokoh dari Papua New Guinea di Washington 1994 ketika menghadiri seminar berkenaan peranan etika dalam pentadbiran awam. Beliau mengepalai satu organisasi penting, “The Ombudsman Institute/ Organization” (nama yang tepat sudah lupa).  Sebarang jawatan politik di negara itu perlu mendapat pengesahan dari jabatan ini bahawa tokoh politik itu tidak rasuah; hanya setelah disahkan barulah beliau boleh dilantik sebagai seorang Perdana Menteri. Tidakkah ini baik? Malaysia pun sepatutnya mencontohi Papua New Guinea dalam aspek rasuah ini; dan tentu saja dalam dunia akademik pula untuk memberi peluang kepada sesiapa juga profesor yang gagal dalam syarahan perdana pertamanya boleh mengemukakannya sekali atau dua kali lagi di universiti yang berlainan dalam bidang yang sama dengan tajuk yang berbeza. Jika pelajar dibenarkan mengulang sekiranya gagal dalam peperiksaan akhir, tidaklah mengaibkan sekiranya seorang profesor pun dibenarkan untuk mengulang memberikan syarahan perdananya sekali lagi untuk memastikan kualiti penyelidikannya tidak memalukan universiti.  Orang seperti saya, yang tidak berpeluang memberikan syarahan perdana, tidak perlu mengulang, hanya perlu menulis dan menerbitkan tulisan yang tidak memalukan dunia akademik dan layak diterima sebagai sumbangan kecil dalam dunia ilmu yang luas ini.  Nampknya saya agak berjaya, walaupun dari segi akademik tak ada glamor langsung!

Jika kita terima petua Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, dan tak ada sebab kita tidak boleh menerimanya, maka apakah “teori” yang ditemui oleh Prof. Ungku Maimunah dalam syarahan perdananya?  “Teori” itu, jika kita mahu menamakannya sebuah teori, mempunyai manfaat besar kepada para sasterawan dan pengkritik sastera, termasuk sarjana sastera. Prof. Ungku Maimunah telah menunjukkan tanpa ragu-ragu, dan begitu meyakinkan, bahawa cerita memainkan peranan utama dalam sastera dan kritikan sastera di Malaysia. Buktinya ialah dua syarahan perdana yang dibicarakan di sini, yang totok berkisar soal cerita dan bagaimana cerita itu disampaikan. Teknik yang dipakai oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Rahman Shaari ialah teknik retorik peragaan.  Dalam tangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh retorik peragaan itu dilakukan dengan memberi senarai teori Barat dan nama-nama teoris (istilah Prof. Siti Hawa Salleh); dalam tangan Prof. Rahman Shaari pula retorik peragaan itu disampaikan dalam bentuk senarai jenis-jenis sajak “mantap”, tanpa analisis yang meyakinkan. Dalam tangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, senarai “konsep keindahan” terlalu lewat sampai diujung syarahan, sehingga tinggal bisu tidak sempat berbicara dengan fasih dan lancar mengenai aspek keindahan dalam sastera tradisional Melayu.  Dengan itu “teori” Puitika Sastera Melayu tinggal tergantung, hingga kini belum tahu bila akan diturunkan dari tali gantung supaya dapat digunakan.  Mujurlah dalam syarahan perdananya Prof. Ungku Maimunah berjaya merumuskan apa yang saya namakan, buat sementara waktu, sebagai Teori Beban Akademik (atau mungkin juga boleh dipanggil Teori Keaiban Intelektual) dalam kesusasteraan Melayu moden. Nama ini tidak diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah, tetapi diberikan oleh saya untuk dipakai oleh para sasterawan dan pengkritik serta sarjana sastera dalam pembicaraan mereka tentang sastera Melayu moden.  Dengan adanya Teori Beban Akademik ini, saya kira para sasterawan dan sarjana sastera akan lebih mudah memahami mengapa terdapat perbezaan besar antara konsep persuratan yang melahirkan karya persuratan dan konsep kesusasteraan yang melahirkan karya sastera, yang termasuk di dalamnya karya lucah, picisan dan erotik seperti novel TIVI oleh Shahnon Ahmad, seorang sasterawan negara.

Jika kita meneliti syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, kita pasti akan bersetuju dengan kesimpulan Prof. Siti Hawa Salleh ini: “Muhammad, yang pada satu ketika dituduh ‘tersungkur di kaki Sejarah Melayu’ ini, seperti seorang tunanetra yang berada di taman pada malam yang gelap gelita, tersembam pula di lereng dunia sastera tradisional. Tidak berdaya lagi beliau membezakan melur biasa dengan melur susun, mawar kecil dengan mawar besar, mawar merah dengan mawar putih, dan kenanga dengan cempaka. Kita dibawa sekejap ke Barat, sekejap ke timur, dilayur dengan berbagai-bagai nama teori dan teoris sambil diberitahu, betapa amat rumit masalah sastera Melayu tradisional itu. Dan apa yang dilakukannya tidaklah lebih daripada mengujar sahaja.” (Budi Kencana, hal. 255). 

Tepat dan jitu sekali kesimpulan Prof. Siti Hawa Salleh ini: “Apa yang dilakukannya tidaklah lebih daripada mengujar sahaja”.  Inilah yang dimaksudkan dengan “idle talk” oleh Martin Heidegger; yakni omongan dan ocehan yang tidak menyerlahkan pemikiran dan analisis, tidak meneroka pemikiran baru yang diberi huraian menarik untuk membuat kita lebih memahami persoalan yang dikemukakan.  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak mampu melakukannya, oleh itu beliau mengambil jalan mudah dengan bercerita tentang sastera tradisional, terutama sekali tentang sastera lisan, tetapi memakai istilah moden seperti teks, khalayak, genre, dan sebagainya, yang kesudahannya tenggelam dalam retorik peragaan yang dipanggil idle talk oleh Heidegger, tanpa menghasilkan sebarang kesimpulan dalam bentuk teori. Padahal itulah yang dicarinya: “Tujuan terakhir semua kajian ialah menemukan suatu teori untuk bidangnya, yang dalam liputan dan perbincangannya dapat menerangkan, sekurang-kurangnya dengan wawasan terbaru, makna bidang itu sendiri” (hal. 10).  Apakah yang beliau capai? Hanya sederet senarai tentang ciri-ciri kesusasteraan Melayu tradisional, yang disenaraikannya di bawah tajuk, “Konsep Keindahan” (hal. 34-38), tanpa sebarang analisis. Padahal itulah yang kita tunggu-tunggu.  Syarahan perdana ini tidak lebih daripada retorik peragaan semata-mata, seperti yang disebut oleh Prof. Siti Hawa Salleh dalam kata-katanya: “Kita dibawa sekejap ke Barat, sekejap ke timur, dilayur dengan berbagai-bagai nama teori dan teoris sambil diberitahu, betapa amat rumit masalah sastera Melayu  tradisional itu.” Retorik peragaan ini sudah menjadi trade mark  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Dalam tahun 1984, beliau memberi petua bagaimana menulis kritikan sastera yang bermutu  dengan memberi petua yang memang bernas, tetapi tidak diikutinya. Prinsip penting kritikan, menurut beliau, ialah “menimbulkan apa yang sebenarnya terdapat dalam karya yang dikajinya”. Untuk melakukannya, seorang pengkritik (juga seorang penyelidik) mestilah menyediakan “langkah kaedah” (istilah beliau sendiri) yang tepat dan sesuai untuk mencapai matlamat kritikan atau penyelidikan itu. (Lihat tulisan beliau dalam Berita Minggu, 25 Disember 1983 dan 1 Januari 1984; dan ulasan saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, hal. 327-331).  Dalam syarahan perdana beliau, kita tidak melihat adanya usaha menyediakan “langkah kaedah” yang dipetuakannya itu, kerana beliau terlalu terikat kepada retorik peragaan yang dipaparnya dalam bentuk latar belakang yang terlampau rimbun dengan cerita yang dimaksudkan oleh Prof. Siti Hawa Salleh tadi, memakan halaman yang begitu banyak, dari permulaan syarahan, hal. 10 hingga hal. 34. Kita tidak boleh menerima latar belakang yang begitu panjang sebagai sejenis “langkah kaedah” yang beliau maksudkan dan yang kita fahami, kerana apa yang dilakukannya hanyalah satu pemerian biasa dalam konteks retorik peragaan tadi. Kita tidak dapat menerimanya sebagai langkah kaedah kerana pada halaman 34 dengan tiba-tiba beliau melompat kepada tajuk “Konsep Keindahan” (dalam sastera tradisional?) yang sekali lagi hanya berupa “kesimpulan” yang tergantung daripada retorik peragaan yang panjang itu. Di sini tidak ada analisis, penghujahan dan pembuktian yang kita tunggu-tunggu, untuk melihat dengan konkrit apakah sebenarnya yang dikatakan “puitika sastera Melayu” (tradisional?) itu. Senarai yang beliau berikan tinggal sebagai satu senarai yang bisu, yang terasing daripada pendahuluan panjang dalam retorik peragaan yang merayau-rayau dari Barat ke timur untuk akhirnya tenggelam di Selat Melaka, dihanyutkan ke Laut China Selatan! (Ulasan saya seterusnya boleh dibaca dalam buku Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu.)

Dalam dua syarahan perdana ini kita lihat bagaimana beban intelektual, beban akademik, dan beban moral saling membebankan satu sama lain untuk melahirkan syarahan perdana yang kualitinya sebagai hasil penyelidikan mendalam amat diragui.  Kedua-dua profesor ini hanya berjaya memperagakan retorik peragaan yang berlebihan, tetapi gagal memberikan analisis yang mendalam dalam bidang atau tajuk yang mereka pilih.  Timbul persoalan: Apakah yang menghalang tercapainya kualiti yang kita harapkan yang sepatutnya ada di dalam syarahan perdana? Halangan pertama ialah dari segi konsep ilmu yang keliru. Akibatnya, kedua-dua profesor ini tidak bertemu subjek yang sepatutnya menjadi tumpuannya. Dalam kes Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, beliau hanyut dalam retorik peragaan kerana terlalu terpengaruh dan bergantung sepenuhnya kepada teori sastera Barat untuk membicarakan sastera tradisional Melayu. Beliau tidak bertemu dengan subjeknya, yang jauh lebih cerdik daripada beliau sendiri. Sekiranya beliau mempunyai konsep ilmu yang mantap, yang tidak keliru, beliau tidak akan hanyut begitu jauh hingga terantuk teruk ke era animisme, kemudian terpelantun ke era pascamodernisme tentang makna dan peranan pengarang, dan di sinilah beliau terpinga-pinga tidak dapat memahami apakah yang ingin dicarinya, lalu dengan tiba-tiba seolah-olah terkejut dari mimpi aneh, beliau memberikan “kesimpulan” yang bukan kesimpulan, kerana tergantung di pancang “langkah kaedah” yang begitu janggal dan longgar, lantas terlucut dari tali akademik lalu lemas dalam retorik peragaan tanpa memberikan kita makna yang jelas apakah sebenarnya “puitika sastera Melayu” yang dicarinya itu.  Kelemahan ini amat ketara apabila apa yang dinamakan oleh beliau “teori” puitika sastera Melayu tidak dapat digunakan untuk menganalisis karya sastera.  Yang diberikan oleh beliau bukannya “teori” sastera, tetapi hanya sebuah penglipur lara akademik, seperti kesimpulan Prof. Siti Hawa Salleh.

Dalam kes Prof. Rahman Shaari pula, beliau bertindak sebagai seorang pelawat Muzium Seni atau Art Gallery, yang ingin melihat lukisan cantik, lalu memilih beberapa buah lukisan yang disukainya, lantas memberi pendapatnya yang amat subjektif dengan berkata, “Wah, lukisan ini cantik. Lukisan ini mantap. Saya suka lukisan ini!”  Itulah yang dilakukannya terhadap sajak-sajak yang menjadi pilihannya, yang dikelompokkannya dalam kategori yang tidak semestinya mencerminkan sifat dan ciri sajak tersebut. Sebagai contoh, sajak “yang menggoncang fikiran” (sebagai satu kategori) tidak dapat diterima dalam konteks kategori yang dinamakannya: Sajak “Pulang Si Tenggang” tidak menggoncangkan fikiran, sebaliknya hanya menimbulkan kontroversi yang tidak perlu akibat menjadikan Si Tenggang sebagai seorang wira. Inilah sikap seorang romantis dalam pengertianya yang terdapat dalam sastera Barat, yang ingin mencari kelainan semata-mata untuk mencari kelainan, tetapi tidak memberi makna yang sepatutnya. Apakah makna yang sepatutnya itu? Bagi masyarakat Melayu, Si Tenggang adalah simbol perderhakaan seorang anak terhadap ibunya, tidak boleh diterima sebagai wira dalam betuk yang bagaimana sekali pun kerana perbuatan itu dianggap kurang ajar, biadab dan dengan sengaja menentang nilai-nilai yang telah diterima sebagai baku dalam kebudayaan Melayu. Tetapi persis itulah yang ingin dilontarkan oleh Muhammad Hj. Salleh: dengan melontar nilai tamadun yang sudah baku itu keluar dari sifat asasinya sambil melontarkan nilai songsang masyarakat moden yang individualistik, yang sumbernya tulen dari nilai-nilai Barat yang asing itu.  Pembaca yang tidak melihat sajak ini dalam konteks yang sepatutnya seperti yang dijelaskan di sini, akan memuji sajak ini bukan kerana keindahannya, tetapi kerana “kelainannya” semata-mata. Kelainan itu ditafsirkan dalam konteks “intelektualisme” palsu berasaskan kemahuan peribadi penulis, bukan gambaran sebenar nilai-nilai yang sudah baku  dalam kebudayaan yang diwarisi oleh si pensajak. Untuk menguji kebenaran kesimpulan ini, kita boleh mengemukakan soalan ini, dan cuba menjawabnya dengan jujur: Adakah kita berasa bangga menerima sajak/karya seperti ini? Jawapannya terpulang kepada kejujuran anda sendiri, dan sejauh mana anda mengetahui nilai-nilai budaya anda sendiri, dengan itu sejauh mana pula anda sudah terpesong atau masih menerima nilai-nilai tamadun anda sendiri.

Dalam budaya akademik di Malaysia, kita mempunyai dua istilah untuk syarahan ilmiah seseorang profesor: Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menggunakan istilah “syarahan pengukuhan”, manakala selepas beliau istilahnya “syarahan perdana”. Dari segi ilmu, istilah yang digunakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itulah yang tepat, kerana dalam syarahan itu sang profesor mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang ahli ilmu, seorang ahli akademik, dengan mengemukakan hasil pemikiran dan penyelidikan beliau yang terbaik dalam bidangnya, yang boleh dijadikan ukuran dalam pencapaian ilmiahnya dan juga dalam pencapaian ilmiah dalam bidangnya.  Tetapi tidak demikian halnya dengan istilah “syarahan perdana”, yang tidak semestinya mencirikan pencapaian ilmiah yang tinggi  dan unggul seperti dalam konteks “syarahan pengukuhan”. Sering kali syarahan perdana itu lebih tertumpu untuk bercerita, dalam bentuk tersendiri yang dipilih oleh ahli akademik yang mengucapkannya. Sebaliknya, dalam syarahan pengukuhan seperti yang diucapkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, amat jelas di situ beliau mengemukakan  wacana pemikiran beliau yang lengkap dengan penghujahan yang kuat, seperti terbukti tiadanya sebarang cabaran ilmiah untuk menolak kesimpulan beliau dalam syarahan pengukuhan itu. Di sini sekali lagi huraian yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam syarahan perdana beliau (yang sebenarnya lebih tepat dipanggil syarahan pengukuhan) tentang cerita dan wacana dalam pemikiran sastera Melayu dapat membantu kita melihat sifat hakiki syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Rahman Shaari yang hanya bercerita, dengan pretensi cerita itu bersifat akademik; samalah seperti para sasterawan mendakwa mereka juga menerapkan ilmu dalam karya mereka kerana kesusasteraan, kata mereka, memang bercerita untuk menyampaikan ilmu. Tetapi anggapan ini ditolak bulat-bulat oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang menegaskan dalam laporan mereka bahawa karya sastera tidak perlukan ilmu. Lebih penting lagi, Prof. Rahman Shaari sendiri menerima kesimpulan itu sebagai sifat hakiki karya sastera. Dalam kata-kata beliau sendiri: “Dalam karya kesusasteraan, jika ada pendidikan atau ilmu, itu bukanlah syarat. Karya kesusasteraan yang menekankan ilmu secara yang ketara dianggap karya didaktik.” (Lihat tulisan beliau, “Dorongan dalaman dan karya”, Sinar Harian, 5  Jun 2011). Tidak hairan beliau menerima dengan baik, dengan pujian, sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh seperti “Pulang Si Tenggang” yang bertentangan dengan budaya Melayu baku yang menolak sikap angkuh dalam sajak tersebut; malah Prof. Rahman Shaari tidak keberatan juga menerima sajak “Baris-baris dari Muzium Goethe” yang antara lain mengagumi kepintaran penipuan Iblis dalam karya Goethe yang terkenal, Faust. Jika kita boleh terima kategori sajak yang mengggocangkan fikiran, maka nyatalah sajak ini memang menggoncangkan iman penulisnya yang berkata: “Dan memihak pada pintar Mephistopheles”! Apakah maksud Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam baris sajaknya ini? Prof. Rahman Shaari ternyata tidak membaca sajak ini, oleh itu tidak menyebutnya sebagai sajak yang mantap. Sekiranya beliau membacanya, apakah yang membuatnya tidak peka kepada baris yang benar-benar “menggoncangkan” ini?  Beliau tidak sedar tentang perkara ini kerana faham sastera yang dianutnya tidak cukup sensitif untuk mengesan kesongsangan baris yang pelik ini.

Beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang paling berat dan paling besar ialah konsep kesusasteraan itu sendiri, seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, dan diperkukuh oleh dua orang profesor dalam syarahan perdana mereka yang kita bicarakan di sini. Penilaian kembali beberapa karya para sasterawan negara membuktikan penegasan Panel Anugerah Sastera Negara adalah betul dari segi beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu. Tidak seorang pun di antara para sasterawan negara ini muncul sebagai penulis yang tidak keliru konsep ilmunya dan jelas pula konsep seninya. Semua mereka terbelenggu oleh pengaruh teori dan nilai-nilai Barat dalam memahami konsep sastera yang menjadi panduan mereka. Dari segi itu mereka masih terjajah dan agak selesa dalam penjajahan pemikiran dari Barat itu. Dalam konteks inilah kita boleh berkata bahawa Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan yang mereka nilai dan pilih sebagai sasterawan negara akan bisu tanpa teori sastera Barat; kesimpulan ini juga boleh ditujukan kepada sebahagian besar sarjana sastera sendiri. Walaupun sering kali disebut adanya usaha menghasilkan apa yang dinamakan “sastera Islam” atau pendekatan kritikan berunsur Islam, namun usaha itu masih dilihat dalam konteks teori sastera Barat. (Rujuk  syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah yang membincangkan isu ini dalam pelbagai aspek dan konteks.) Konsep sastera ini tidak menjurus kepada kebaikan, terlalu pekat dengan emosi dan kemahuan untuk berlebihan dalam mengemukakan cerita (contoh: Ranjau Sepanjang Jalan, Salina, dalam sajak “Pulang Si Tenggang” etc);  tidak mendorong penulis dan pembaca ke arah kecerdikan kerana yang diutamakan bukan wacana, tetapi cerita sekadar untuk bercerita, apatah lagi apabila khutbah dikutuk dan diremehkan kerana kononnya sastera harus bebas lepas dari sebarang unsur didaktik untuk dinamakan sastera; dari segi moral sudah jelas, apabila perbezaan antara  kebenaran dan keindahan tidak ditonjolkan; dalam persuratan Islam keindahan itu berkait rapat dengan kebenaran, dan sesuatu yang benar itu tetap indah kerana dapat meningkatkan kesedaran manusia mengenal dirinya, bukan menjadikannya lebih jauh tersasar seperti yang berlaku  dalam sastera yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera di Malaysia.  Contoh betapa jauhnya satu penilaian tersasar dari hakikat sebenar karya, terdapat dalam penilaian seorang sarjana, murid Shahnon Ahmad,  yang secara mengaibkan memuji karya Shahnon yang picisan, erotik dan kaya adegan seks, TIVI, sebagai sebuah karya yang berciri “sufistik” yang indah!  Karya ini telah dianalisis dan diberi penilaian yang objektif oleh Prof. Madya Mohd. Zariat Abdul Rani dalam sebuah makalahnya yang diterbitkan dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (lihat hal.  354-379).  Supaya kekeliruan yang telah mencapai taraf  tidak siuman ini dibendung dengan tegas, maka konsep persuratan dan kesusasteraan harus dibezakan dan dihurai dengan mendalam. Perbezaan antara persuratan dan kesusasteraan adalah perbezaan yang asasi, yang perlu difahami oleh para penulis dan sarjana supaya beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang mereka tanggung pada waktu ini boleh dilepaskan dan mereka akan menjadi penulis yang bebas dari ikatan ketiga-tiga beban yang disebutkan itu, supaya dengan itu mereka betul-betul bersedia untuk menulis dan berhujah dalam konteks taklif, yang di dalamnya tersembunyi tiga rahsia taklif, iaitu ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar. Rahsia ketiga, usaha ikhtiar, merujuk kepada kemampuan membuat pilihan terbaik dan tepat berasaskan ilmu yang benar, dengan itu barulah para penulis dan sarjana ini dapat berlaku adil dalam usaha mereka.  Pengertian yang mendalam tentang hakikat taklif itulah yang akan membebaskan mereka daripada beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang kini membelenggu mereka.  Tepat sekali peringatan Prof. Ungku Maimunah: “Dalam konteks ini warisan yang mengajak kita menjulang ilmu sewajarnya dipelihara dan dibudayakan dengan penuh bangga, bukan diremehkan dengan nada sinis atau jenaka, khususnya apabila tidak berupaya untuk menyanggahnya.” (Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu, hal. 67).

Wallahu a’lam.

1 comment:

  1. Nota:

    Entri ini sudah disiarkan 2010 dan 2011. Bahagian pertama entri bertarikh 16/6/2010; bahagian kedua bertarikh 9/11/2011. Disiarkan kembali dalam satu entri sebagai peringatan kepada isu-isu penting yang dibangkitkan dalam dua entri tersebut. Harap maklum. Terima kasih.

    ReplyDelete