Thursday, February 23, 2017

KEUNGGULAN YANG CACAT DARI SUDUT MARUAH DAN SUDUT INTELEKTUAL

Dalam entri yang lepas, saya akhiri dengan satu kisah benar mengenai seorang tokoh besar  sastera Melayu yang begitu bangga bercerita dia menulis kertas kerjanya di atas bumbung kilang berkarat.  Ini orang yang terkenal dengan keanehannya, yang paling besar keanehannya bila ini orang menjadikan Si Tenggang sebagai wira Melayu baru. Semua sarjana dan sasterawan dan pengkritik sastera memuji keanehan tokoh ini, kecuali sebahagian kecil dari mereka yang lebih kritis dan kenal makna adab dalam kegiatan intelektual. Ini orang jugalah (yakni pengikut tokoh besar ini) yang kasi tahu sama kita semua betapa silapnya menggunakan teori Barat untuk menilai karya berbahasa  Melayu yang mempunyai ciri khas. Tetapi semua ucapan ini tidak bermakna apa-apa, apabila ini orang terus mahu karyanya dinilai mengikut teori sastera Barat. Bagusnya pula, dengan pengakuan seumpama ini, maka kritikan saya (sejak 1981) terhadap kemunculan para sasterawan negara dibuktikan oleh mereka sendiri sebagai tidak perlu dan satu perbuatan yang salah. Ini kerana pemilih mereka, Panel Anugerah Sastera Negara, menggunakan teori sastera Barat sepenuhnya untuk memilih para sasterawan negara ini. Kesimpulan seterusnya saya serahkan kepada anda yang lebih cerdik dan lebih tahu kisah sebenar Naratif Ogonshoto yang menjadi maha karya dalam sastera Melayu itu. Karya itu berasaskan pengetahuan tentang Machavelli korup .... Ungkapan “matlamat menghalalkan cara” tidak terdapat dalam tulisan dan ucapan Machiavelli, tetapi novel agung itu telah menjadikan dirinya sebagai simbol ungkapan itu seperti yang  digunakan oleh sasterawan Melayu dan diterima oleh para sarjana. Novel agung itu adalah penjelmaan ungkapan “matlamat meghalalkan cara” dalam sastera Melayu, khususnya dalam penulisan kreatif. Jika anda membaca laporan Panel tentang Anwar Ridhwan, anda akan menemui kebenaran ungkapan itu yang memang tertampang dalam karya Anwar Ridhwan. Baca laporan itu dan faham implikasinya. Saya sudah memberikan contohnya dalam blog ini. Bolehlah anda korek di mana-mana entri yang anda suka.  Bagi para sasterawan ini, apa juga cara yang dibuat oleh para sasterawan negara adalah istimewa dan original, apatah lagi jika melampau seperti yang terdapat dalam Naratif Ogonshoto. Menjadikan kejahatan sebagai tema pokok, dan memberinya sanjungan sebagai hasil “karya adab” seperti yang ditegaskan oleh Dr. Noriah Taslim, adalah dua jenis sikap melampau yang hanya mencerminkan kerendahan maruah intelektual sasterawan dan sarjana.  Semua ini terjadi kerana mereka menolak konsep uswatun hasanah sebagai tidak relevan dalam karya kreatif dan dalam penilaian karya kreatif.  Dengan itu mereka mengaku slogan “matlamat menghalalkan cara” adalah asas penulisan kreatif dan penilaiannya. Contoh paling jelas ialah bagaimana Shahnon Ahmad menjadikan novel lucahnya, TIVI, sebagai sastera Islam yang murni, malah sebagai sastera sufi! (Dewan Sastera 1997, cari tulisan beliau di sana.)  Pendirian ini disokong oleh Dr. Rahman Napiah sebagai sesuai dan serasi dengan nilai-nilai postmodernism. Inilah contoh Machiavelli korup yang dimaksudkan, “matlamat menghalalkan cara” yang tidak pun pernah disebut oleh Machiavelli sendiri.  Ungkapan ini hanya menjadi kebanggaan sarjana korup dan sasterawan korup yang mendapat penyakit itu kerana mereka tidak pun kenal siapa sebenarnya Machiavelli. Kalau anda tidak tahu siapa Machiavelli, anda tidak patut memberi gambaran yang begitu buruk terhadap tokoh ini, kemudian meniru pula keburukan itu untuk dibanggakan dalam novel teragung Malaysia, Naratif Ogonshoto. Tindakan ini didorong oleh dua jenis penyakit rohani:  rendah harga diri dan hilang pula maruah intelektual. Semua ini terjadi kerana menolak konsep uswatun hasanah, walaupun semua mereka beragama Islam yang dituntut untuk menjadikannya panduan. Sebaliknya mereka memilih Machiavelli korup untuk dijadikan contoh. Dalam konteks inilah ada di antara mereka yang memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis makalah mereka. Seburuk itukah akibat mempercayai Machiavelli korup?

Sepatutnya mereka menyelamatkan diri mereka dari terjebak dalam keadaan yang mereka alami dengan menerima peranan ilmu yang benar dalam sastera. Mereka tidak menerimanya untuk mengelak daripada berdepan dengan Gagasan Persuratan Baru. Lama dulu saya pernah berkata sastera Melayu hanya membawa nilai-nilai baru yang palsu. Kini mereka sendiri telah membuktikannya. Adakah ini satu kemenangan bagi mereka? Yang pasti, sastera Melayu menjadi mundur dan kering dari pemikiran yang bernas. Sikap anti-ilmu telah menghanyutkan sastera Melayu moden ke dalam lautan ambiguiti dalam nilai-nilai palsu yang mereka perkenalkan dan pertahankan. Rujuk tulisan saya dalam Berita Minggu bertarikh 18/3/2001 mengenai nilai-nilai palsu ini.

Menurut mereka, Gagasan Persuratan Baru bukanlah teori sastera Islam, hanya sejenis khayalan intelektual untuk menolak konsep sastera dan pelantikan para sastrerawan negara. Itu bukan cara Islam, kerana matlamatnya, menurut mereka, memang berniat jahat. Sebaliknya merekalah pembela nilai-nilai Islam dalam sastera dengan menggunakan pendekatan teori Barat kerana kemantapan teori sastera hanya terdapat dalam teori sastera Barat. Kita boleh melihat “kebenaran” ucapan atau pengakuan mereka dengan membaca makalah mereka ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara. Semuanya bermodelkan teori sastera Barat. Mereka percaya mereka berada di sebelah pihak yang benar  kerana mereka terpengaruh dengan logik “bumbung kilang berkarat” yang diketengahkan oleh tokoh besar mereka dan diterima dengan baik dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Berasaskan logik “bumbung kilang berkarat” inilah mereka memberi judul buku mereka Sastera Teras Negara Bangsa (ITBM 2014).  Dalam buku itu mereka bercakap tentang hegemoni sastera sebagai pembentuk nilai-nilai baru dalam masyarakat yang melancarkan revolusi dalam perkembangan intelektual Malaysia. Atas dasar itulah mereka menolak Gagasan Persuratan Baru dan sekali gus menolak peranan ilmu yang benar dalam tulisan kreatif dan penilaian karya kreatif. Belum ada lagi perbahasan tentang keputusan ini, kerana kuatnya hegemoni sastera yang diwakili DBP, ITBM dan seluruh badan penulis yang dikepalai oleh GAPENA dan PENA.  Dengan mengelak daripada mengadakan perbahasan ilmiah tentang konsep ilmu, maka mereka berasa bebas untuk meneruskan kekeliruan mereka sebagai kumpulan pinggiran yang keliru dan cetek meraba-raba. Itulah kelebihan para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera. Songlap sastera yang dimainkan oleh tokoh-tokoh inilah yang saya gelar pelesit sastera yang menjadi ikutan sekarang.  Mengapa pelesit sastera muncul dihuraikan dalam entri bertarikh 17/10/2016 mengenai “ingkar ilmu”, yang mencapai pageviews tertinggi sepanjang tulisan saya di blog ini, terkini 718 pageviews.

Dalam satu tulisan bertarikh 18/3/2001 yang disiarkan oleh Berita Minggu, saya memberi komen berikut terhadap satu perbincangan di Pulau Pinang (disiarkan dalam Berita Harian 8/2/2001) mengenai nilai-nilai murni yang dibawa oleh sasterawan. Inilah komen saya:

“Benarkah Prof. Dr. Muhammad Haji  Salleh seorang pemikir sastera? Apakah yang difikirkannya? Apakah hasilnya? Bagi sekumpulan sarjana yang berbincang di Pulau Pinang baru-baru ini, beliau adalah “seorang pemikir teliti lagi kreatif” yang membawa masuk “intelektualisme bagaikan satu revolusi” dalam puisi Melayu moden. Kesimpulan ini amat menarik, apalagi jika pujian itu diucapkan dalam satu seminar yang tujuannya, antara lain untuk “menerapkan nilai murni yang membawa kepada perubahan sikap dan perkembangan mentaliti generasi muda” dengan menjadikan Muhammad Haji Salleh sebagai tokoh yang patut dicontohi. Sesuai dengan tujuan besar tadi, saya ingin memberi pandangan yang kritis supaya “mentaliti generasi muda” tidak terbelenggu dalam kekacauan nilai dan penilaian yang salah daripada orang yang mendakwa mereka boleh memberi nilai murni  dan mengubah mentaliti generasi muda.”

Kutipan ini hendaklah dibaca bersama tulisan tokoh ini yang menulis di atas bumbung kilang berkarat untuk melihat bagaimana perubahan “mentaliti generasi muda” itu diasuh secara revolusi intelektual oleh tokoh ini.


Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 23/2/2017.

Tuesday, February 21, 2017

RENDAH HARGA DIRI DAN HILANGNYA MARUAH INTELEKTUAL DI KALANGAN SARJANA DAN SASTERAWAN

Bagaimana kita boleh mengukur harga diri seseorang dan maruah intelektualnya?  Kita jawab secara mudah, begini saja: Orang yang tinggi harga dirinya, tidak peduli dengan kritikan yang dilemparkan kepadanya. Orang yang mantap maruah intelektualnya, tidak terusik oleh kritikan yang diterimanya.  Katalah kita boleh terima andaian ini, kita boleh bertanya lagi: Siapa agaknya orang yang demikian?  Pengalaman saya memberitahu, hanya sasterawan negara dan penyokongnya saja yang layak dikategorikan sebagai mempunyai harga diri yang tinggi, begitu juga maruah intelektualnya.  Mereka telah dikritik, tetapi kerana pujian terhadap mereka bertimbun-timbun, sebarang kritikan tidak sedikit pun menggugat kedudukan mereka.  Dalam istilah budaya intelektual Kelantan, inilah yang mereka namakan “sikap lembu kenyang”.  Cuba anda perhatikan bagaimana gembala lembu menjaga lembu-lembunya. Disediakannya makanan lembu melebihi daripada keperluan lembu, oleh itu lembu-lembu itu duduk rehat  sambil mengunyah rumput di hadapannya. Itulah perangai lembu kenyang, yang dijadikan peribahasa dalam budaya intelektual Kelantan. Siapakah yang seperti itu pula sikapnya dalam budaya intelektual kita? Pertanyaan ini anda mesti jawab sendiri.

Sekiranya rumput untuk lembu itu kita beri makna kiasan dalam kritikan sastera, dalam erti sudah banyak buku yang ditulis mengenai Gagasan Persuratan Baru, tetapi masih belum disedari wujudnya di kalangan para sarjana dan sasterawan. Mereka tidak sedar rumput intelektual itu sudah banyak disediakan untuk mereka kunyah; tetapi kerana sikap mereka memandang tinggi rumput kering dari Eropah, Amerika dan lain-lain dari luar Malaysia, maka mereka lebih gemar mengunyah rumput kering itu. Mereka tidak tahu memilih makanan yang mereka perlukan.

Kita lihat beberapa contoh yang boleh membantu kita memahami mengapa knsep “lembu kenyang” ini penting dalam budaya ilmu kita, yang menjadi halangan kepada perkembangan budaya ilmu yang sihat.

Prof Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pernah sebut dalm ucaputmanya bahawa kita belum lagi mempunayai teori sastera yang lengkap (Teori dan
Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005; hal. 14). Adakah ini berasaskan maklumat terkini yang dibacanya? Kerana beliau tidak membaca, dan terlalu memperkecil usaha orang lain yang diremehkannya sebagai tidak perlu dijeling pun, apatah lagi membacanya dengan kritis, maka beliau tidak sedar teori yang dimaksudnya itu sudah lama wujud, yakni Gagasan Persuratan Baru. Sudah banyak buku tentangnya diterbitkan; dan sudah beratus makalah tentangnya ditulis dan diterbitkan. Tesis berupa latihan ilmiah, tesis sarjana, malah sampai ke peringkat kedoktoran, sudah ditulis dan sudah diterbitkan. Mengapa Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh memilih untuk berbohong kepada masyarakat sastera Malaysia adalah satu misteri yang amat misterius. Adakah beliau sedang menghadapi masalah low self esteem seperti yang dibicarakan oleh ahli psikologi? Bagi seorang profesor sastera yang tidak membaca latest development dalam kritikan dan teori sastera Malaysia, tetapi ingin membuat kesimpulan hanya untuk merendahkan usaha orang lain, maka sikap negatif ini sounds like sikap Presiden dalam Naratif Ogonshoto. Saya ingin bertanya Dr. Mawar Shafei, pakar novel agung Malaysia ini, adakah perbandingan ini tepat? Saya fikir Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tahu episod mana yang boleh dijadikan bukti. Permainan akademik ini penting diteruskan, kerana both Dr. Mawar Shafei dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah penganut ajaran Machiavelli korup yang saya huraikan dalam entri yang lepas. Ini pengakuan mereka sendiri, yang saya dapat dalam tulisan mereka.  Kelakuan mereka ini amat misterius.

Saya gunakan perkataan misterius itu dalam konteks yang dipakai oleh Baha Zain ketika memuji sajak-sajak Latif Mohidin, jadi penggunaan perkataan itu amat positif, satu pujian. Tetapi saya tidak bersetuju dengan cara beliau, dan nampaknya Prof. Rahman Shaari (waktu itu hanya Rahman Shaari, belum ada gelaran lagi) nampaknya bersetuju dengan teguran saya, sambil berkata Baha Zain agak melampu ketika memuji Latif Mohidin. Kita lanjutkan lagi permainan akademik ini, dengan membawa Dr. Mawar Shafei dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ke dalam permainan ini, kerana mereka pun nampaknya terikut-ikut juga dengan style Baha Zain, ketika mereka memuji Anwar Ridhwan yang menggunakan falsafah Machiavelli korup, seperti yang saya jelaskan dalam entri yang lepas.  Sebenarnya, Baha Zain adalah serumpun dengan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, oleh itu mereka saling memuji satu sama lain. Kita lihat ini.

Dalam Seminar 6 Orang Sasterawan Negara tempoh hari, Baha Zain ada menulis sesuatu. Perenggan pertama kertas beliau, ayat pertama berbunyi: “Dari waktu ke waktu penulis dan sasterawan perlu menilai zamannya; dan menaksir kedudukan dan tanggungjawab kebudayaannya.” Saya setuju seratus peratus dengan beliau; tetapi adakah beliau sendiri bersetuju dengan pendapat beliau ini? Saya fikir tidak. Keseluruhan tulisannya ini tidak sedikit pun memperlihatkan beliau sedar tentang perkembangan terbaru dalam kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, dalam pemikiran bernas yang boleh membawa kita ke arah pembentukan (atau pertumbuhan) budaya ilmu di negara kita. Adakah beliau tidak membaca karya-karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan usaha beliau melahirkan sarjana Malaysia yang betul-betul dan benar-benar berkualiti? Sudah pasti tidak, kerana jika beliau membacanya dan benar-benar jujur seperti yang diucapkannya, dia tentulah akan tercabar untuk menyebut perihal kehilangan adab di kalangan para sasterawan yang dipanggil oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai golongan pinggiran yang “cetek meraba-raba”.  Faham ilmu yang dibawa oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas amat wajar diberi perhatian serius oleh para sarjana dan sasterawan, jika benar mereka berminat tentang “pemikiran”. Dilihat dari segi ini, amatlah jelas Baha Zain hanya bermain “retorik teh tarik” saja, bukan benar-benar ikhlas tentang “sasterawan perlu menilai zamannya”.  Jika beliau sendiri tidak mampu melakukan sarannya yang hebat itu, beliau sekurang-kurangnya berani untuk membuat kesimpulan: “kita belum lagi mempunyai sasterawan atau penulis seperti itu”. Dengan itu beliau memperlihatkan  keprihatinan beliau tentang perkara ini, dan dengan ikhlas serta berani memberi sedikit pandangan kritis beliau tentang persoalan ini. Tetapi kerana beliau tidak membaca, dan sudah jauh ketinggalan zaman, beliau tidak dapat melihat apa-apa perubahan yang cuba dilakukan oleh tokoh-tokoh yang saya fikir beliau tidak iktiraf sebagai pemikir. Sekurang-kurangnya beliau mempunyai Muhammad Haji Salleh, yang diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara (yang Baha Zain sendiri pernah menjadi anggotanya) sebagai satu-satunya pensajak atau sasterawan intelektual di Malaysia. Apakah yang istimewa tentang Muhammad Haji Salleh? Tentulah kita mahu tahu, kerana kita memang tahu Baha Zain sangat rapat dengan tokoh besar ini.  Tidak mungkin selama berinteraksi dengan tokoh besar ini, beliau tidak pernah mendengar pemikiran yang dimaksudkan oleh beliau itu. Kita mahu tahu, misalnya, mengapa tokoh besar ini menjadikan Si Tanggang ikon bangsa Melayu, seorang tokoh yang perlu dihormati dan diikuti jejak langkahnya. Apa pendapat Baha Zain apabila saya sendiri menjadikan Pak Pandir sebagai ikon bangsa Melayu dan menulis sebuah cerita pendek tentangnya?  Sudah jelas “retorik teh tarik” tidak mungkin sampai ke situ!  Pendeknya apa yang saya sebut sebagai budaya pandirisme benar-benar menjadi ciri kegiatan intelektual di Malaysia.  Dalam konteks ini, yakni keberanian untuk mengaku kekurangan diri, nampaknya Prof. Muhammad Haji Salleh jauh lebih berani, seperti yang kita lihat dalam pengakuan beliau tentang betapa silapnya menggunakan teori dan pendekatan sastera Barat untuk menilai “diri kita yang bukan Barat”.  Tokoh besar ini juga tidak teragak-agak untuk membuat kesimpulan bahawa “kita belum lagi mempunyai teori sastera kita sendiri yang lengkap”.  Sebagai seorang ahli akademik yang cukup unggul  dan dihormati, serta diberi gelaran tertentu oleh para sarjana peminat beliau,  kita boleh maafkan beliau jika kita dapati beliau juga sudah ketinggalan zaman, oleh itu memberi pendapat, atau kesimpulan, tidak berasaskan fakta, tetapi hanya prasangka semata. 

Kita lihat “pemikiran” Baha Zain seterusnya. Tegas beliau: “Bangsa kita juga masih sangat memerlukan pemikiran yang hebat, dan semangat yang besar bagi membangunkan kebudayaan rohaniah, bahasa kebangsaan, persuratan, ilmu pengetahuan, seni dan budaya yang menjurus kepada pemersatuan penduduk, dan jati diri bangsa.”  Saya tidak perlu mengulas pandangan beliau ini, cukup hanya tersenyum sambil menghirup teh tarik yang sekali sekala saya minum. Saya hampir mengatakan ucapan seperti ini hanyalah sejenis bullshit, dalam pengertian yang diberikan oleh Prof. Frankfurt dalam bukunya.

Bagaimanakah pemikiran yang hebat itu diucapkan? Kedua-dua tokoh besar ini tidak mempunyai jawapan, hanya sekadar bermain dengan retorik. Jawapan itu diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru dalam buku-buku yang telah diterbitkan atau makalah yang dibentangkan dalam seminar kebangsaan dan antarabangsa; juga dalam tesis yang sudah dikerjakan dengan teliti untuk memastikan kualiti akademiknya terjamin. Kerana mereka berdua tidak pun tahu akan kemunculan Gagasan Persuratan Baru, dan sudah pula bertapak kukuh dalam bidang akademik dan bidang kreatif, maka mereka agak bangga untuk meremehkannya, padahal mereka sendiri tidak mempunyai apa-apa alternatif kecuali untuk melancarkan perang retorik teh tarik. Akhirnya terjadilah satu drama yang paling lucu dalam sastera Melayu, apabila Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh naik bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerja yang diterbitkan oleh ITBM 2014. Such a great achievement!

Itulah kisah Naratif Ogonshoto sastera Melayu. Dirgahayu pandirisme!

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 21/2/2017

Monday, February 20, 2017

WATAK DAN PERWATAKAN DALAM SASTERA MELAYU: Penggunaan ruang naratif dan Kesannya Dalam Perwatakan

Sudahkah sastera Melayu mempunyai watak yang kuat, cerdik, dan memenuhi konsep uswatun hasanah dalam perwatakan Islam?  Jenuh saya mencarinya dalam karya para sasterawan negara, belum lagi bertemu. Adakah belum ditulis? Atau memang tidak perlu dalam karya para sasterawan negara kerana sasterawan negara itu sendiri adalah watak yang kuat sebagai uswatun hasanah di kalangan sasterawan.  Dr. Mohamad Saleeh Rahamad cuba mengemukakan Presiden, tokoh besar dalam Naratif Ogoshonto, sebagai contoh uswatun hasanah dari perspektif kejahatannya, tetapi belum lagi meyakinkan saya inilah watak uswatun hasanah yang kita cari. Saya tidak dapat agak pendirian Anwar Ridhwan tentang persoalan ini.  Pentingkah pandangan beliau diambil-kira? Bagaimana dengan Salina? Dalam karya A. Samad Said, watak yang kuat tidak diperlukan, kerana beliau hanya menulis tentang “orang kecil” yang tertindas. Tidak bolehkah “orang kecil” yang tertindas itu muncul sebagai watak uswatun hasanah?  Ada sarjana mengatakana watak unggul dalam  Salina ialah anak muda yang bernama Hilmi, iaitu gambaran A. Samad Said sendiri.  Ada sarjana mengemukakan Pak Hasan, seniman yang bukan seniman, sebagai tokoh “orang kecil” terbesar dalam sastera Melayu, seorang tukang cerita yang mewarisi Pawang Ana dan Pak Mahmud Awang Batil. Seperti yang kita tahu, dan diakui oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, tokoh uswatun hasanah yang menjadi model unggul dalam kehidupan intelektual dan contoh akademik beliau ialah Pak Mahmud Awang Batil. Sarjana besar ini duduk bertimpuh dalam majlis Syarahan Perdana beliau, menghormati tokoh uswatun hasanah dari Perlis itu. Nampaknya kita tidak kurang watak-watak unggul yang layak diberi gelaran uswatun hasanah dalam sastera Melayu.

Oleh itu, apakah yang menjadi masalah? Sebelum soalan ini diberi jawapan yang memuaskan anda, atau yang paling tepat memberi gambaran sebenar kedudukan persoalan ini dalam sastera Melayu, saya ingin mengemukakan watak Polan Cupan sebagai watak paling jempul dalam sastera Melayu. Tujuan saya hanya untuk memberi anda peluang membantah, atau menolaknya dengan hujah dan analisis yang masuk akal. Pada mulanya saya ingin membawa watak Presiden, ciptaan Anwar Ridhwan, yang mendapat pujian tinggi daripada Dr. Mawar Shafei seperti yang dipaparkannya dalam bukunya yang berpengaruh itu, sebuah kajian yang mendapat beberapa hadiah untuk membuktikan kualiti akademiknya yang tinggi.  Tetapi apabila saya membandingkan watak ini dengan penjahat Mafia, dan kualiti “pemikirannya” seperti yang digambarkan oleh Anwar Ridhwan, adalah mustahil untuk menjadikan watak Presiden ini watak paling unggul dalam sastera Melayu, walaupun telah disepakati oleh para sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera ketika membentangkan kertas kerja pada “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Anwar Ridhwan” bahawa inilah dia orangnya yang boleh dijadikan watak paling unggul dalam sastera Melayu kerana kehebatannya sebagai seorang pemimpin yang kejam. Menurut Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kertas kerjanya, Anwar Ridhwan telah memperlihatkan  ketangkasan intelektualnya menyusun sebuah novel besar yang hanya menceritakan bagaimana kejahatan dirancang dengan teliti oleh seorang pemimpin agung yang tidak kurang pula liciknya seperti pengarang novel ini sendiri. Kita seolah-olah sedang menghadapi dua tokoh besar: penulis novel yang begitu kaya dengan imaginasi yang pelik-pelik; manakala wataknya pula berjaya menggunakan imaginasi sang pengarang untuk mencapai cita-cita politiknya. Keselarian dua gerakan ini melahirkan sebuah novel yang luar biasa, menurut para penilai. Tetapi bagi saya terdapat satu kemusykilan kecil, mengapa Anwar Ridhwan begitu serius bercerita tentang kejahatan. Adakah kejahatan itu, dalam makna terbalik, sejenis uswatun hasanah kepunyaan manusia tidak bermoral seperti Presiden?  Kalau inilah tafsirannya, maka memang munasabah jika semua penilai novel ini telah tertipu untuk memuji karya ini “beyond imagination”!  Walaupun begitu, saya masih tidak dapat menerima watak Presiden itu watak paling unggul; tetapi yang jelas Anwar Ridhwan itulah yang unggul dalam usahanya menjalin sebuah novel yang penuh dengan sensasi dan kejahatan yang luar biasa yang dalam kehidupan manusia biasa tidak akan terjadi walaupun dia seorang Botak Chin yang jahat, tetapi baik itu (dia seorang hero seperti Robin Hood).  Oleh itu, saya masih mempertahankan Polan Cupan sebagai watak yang mempunyai perwatakan paling unggul yang pernah diwujudkan dalam sastera Melayu.

Jika anda mambaca “Rumah Impian Polan Cupan” dengan kritis, anda akan dapat mengesan tiga perkara yang menjadi ciri perwatakan Polan Cupan. Pertama, dia seorang genius yang luar biasa ketika masa budak-budak sekolah lagi, seperti yang diakui oleh guru matematiknya. Kedua, dia seorang watak yang amat jujur dalam kehidupannya. Ketiga, dia seorang pencipta yang berjaya mencipta bahan binaan. Seterusnya, setelah dia akhirnya hendak digunakan oleh pihak penguasa untuk mendapat faedah daripada ciptaannya dan menjadikan mereka kaya raya, maka dia dengan tegas memberitahu isterinya bahawa dia akan membina satu cip komputer yang akan ditanam dalam setiap manusia yang berniat jahat supaya cip komputer itu membetulkan niat jahat itu. Polan Cupan menggunakan nano technology yang digunakan dalam Artificial Intelligence (AI) untuk membina bahan binaan dan cip komputernya.  Jika anda baca dua karya ini, satu oleh
Anwar Ridhwan, dan satu lagi “Rumah Impian Polan Cupan”, anda akan melihat kontras yang sangat jelas dari segi pemikiran seorang pemikir tulen dengan seorang yang pura-pura menggelar dirinya pemikir (seperti Pak Hassan menjadikan dirinya “seniman” penglipur lara.)  Bagaimana hal ini boleh terjadi?  Rahsianya mudah saja. Rahsia itu berada dalam penggunaan “ruang naratif” untuk membina sebuah karya persuratan; manakala Anwar Ridhwan menggunakan sepenuhnya aspek sensasi dalam sastera yang boleh difikirkannya untuk menulis novel agungnya. Oleh itu, apabila novel agung ini dinilai dari perspektif “ruang naratif”, novel ini hanyalah sebuah novel picisan yang tidak menonjolkan pemikiran yang mendalam tentang makna “kejahatan” dalam kehidupan manusia seperti yang disebut di dalam Surah at-Tin. Sila baca tafsirannya dalam Tafsir al-Misbah oleh M. Quraish Shihab. Saya bawa perkara ini kerana Anwar Ridhwan mengatakan novelnya adalah sebuah novel berciri Islam.

Pada umumnya, para sarjana, pengkritik sastera dan para sasterawan menolak konsep uswatun hasanah itu, yang menurut mereka hanya khusus untuk Nabi SAW sahaja. Hanya baginda saja yang berhak mendapat gelaran itu, tidak para pengikut baginda. Saya sebenarnya tidak tahu adanya fatwa ini, tetapi jika inilah pendirian mereka (sarjana, pengkritik sastera, para sasterawan),  maka ini tidak bererti para sasterawan boleh sewenang-wenang menulis sesuka hatinya dengan mengetepikan aspek moral dan kebaikan kerana mereka juga faham maksud mana satu yang makruf mana pula yang mungkar. Dalam karya mereka, saya lihat mereka lebih cenderung mengambil yang mungkar itu untuk dijadikan tema agung mereka, seperti yang dibuktikan oleh Anwar Ridhwan dalam Naratif Ogonshoto. Oleh itu, tepatlah penolakan mereka terhadap aspek uswatun hasanah itu, yang mereka sendiri tidak perlukan.  Tetapi ini menimbulkan satu persoalan besar, seperti yang disebut dengan tegas oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh ketika mengkritik penggunaan teori Barat untuk menilai karya sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu. Kata beliau: “Sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14.) Saya tidak fikir Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh percaya dengan apa yang diucapkannya. Semua kertas kerja yang dibentangkan dalam “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh” 2013, menggunakan teori sastera Barat, dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sangat gembira kerana hanya melalui teori sastera Barat saja karya beliau akan “kelihatan” bernilai tinggi. Contoh terbaik ialah kertas kerja Arbak Othman yang menggunakan teori semiotik, yang menurutnya berjaya mengangkat karya tokoh besar ini sebagai karya yang bermutu intelektual. Oleh sebab tidak ada kertas yang ditulis berasaskan pendekatan Gagasan Persuratan Baru, kesimpulan Arbak Othman tidak dapat diuji dalam konteks yang berbeza, yang memang diminta oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri dalam kutipan di atas.

Implikasi ucapan profesor ini cukup besar terhadap dirinya sendiri dan teman-temannya para sasterawan negara. Mereka dipilih oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang menggunakan sepenuhnya teori sastera Barat untuk memilih mereka. Jika perbuatan itu salah, maka pemilihan mereka sebagai sasterawan negara adalah salah, batal, tidak sah. Tidak seorang pun di antara sasterawan negara peduli akan hakikat ini; begitu juga para sarjana sastera, pengkritik sastera, dan para sasterawan seluruhnya. Jika demikian keadaannya, maka yang salah, yang silap, dalam memberikan pendapat, ialah sasterawan negara dan profesor pencen Dr. Muhammad Haji Salleh. Apakah kaitannya keadaan ini dengan konsep watak dan perwatakan dalam sastera Melayu?  Kita tidak saja tidak mempunya watak yang kuat dalam karya sastera; kita juga mempunyai watak yang rapuh di kalangan para sasterawan. Kerana itulah konsep watak dan perwatakan ini hanya digunakan ketika membicarakan novel atau cerita pendek, tetapi tidak sikap penulisnya. Kita tidak saja mempunyai watak yang klise dalam karya kreatif; kita juga mempunyai watak yang klise di kalangan para sasterawan sendiri. Keadaan ini menjadi salah satu sebab mengapa kesusasteraan tidak memberi inspirasi kepada para pelajar, yang membuat mereka bosan membacanya, dan ini akhirnya menjadikan pengajaran sastera lesu kerana penuh dengan klise yang membosankan. Para sasterawan, sarjana dan guru-guru sastera telah membunuh pengajaran sastera dan membuatnya tidak relevan. Dalam keadaan inilah ketibaan Gagasan Persuratan Baru memberi harapan dan makna baru setelah kaedah ini mengajar para pelajar dan guru-guru mereka juga untuk menjadi cerdik dengan memberi penekanan kepada konsep ilmu, dan seterusnya kepada konsep stylization of ideas dalam penulisan kreatif. Tetapi inilah yang ditentang hebat oleh para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera kerana mereka terdedah kepada kritikan yang tidak boleh mereka tangkis kerana keadaan mereka yang cetek meraba-raba.

Siti Aisyah binti Mohamad Salim dalam tesis sarjananya telah menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya konsep “ruang naratif” dalam penulisan kreatif. Ketika membicarakan novel Isa Kamari Duka Tuan Bertakhta, sebuah novel yang mendakwa ingin menulis kembali sejarah Singapura mengikut pandangan orang Melayu, menjadi “huru hara” kehilangan arah yang dimaksudkan kerana tidak memperdulikan aspek “ruang naratif” itu dalam membina novel ini. Siti Aisyah telah mengemukakan beberapa contoh untuk membuktikan kebenaran kesimpulannya (rujuk entri khusus untuk tajuk ini), yang wajar mendapat perhatian Isa Kamari dan menerimanya dengan hati terbuka. Aspek ini penting kerana novel ini boleh ditulis semula dengan memberi perhatian kepada penggunaan ruang naratif untuk mencapai maksud tertentu. Hal yang sama juga berlaku kepada novel paling ulung di Malaysia, Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridwan, yang menghadapi masalah yang sama seperti yang ditunjukkan di atas, dan dibuktikan dengan jelas oleh Nur Fatiha Fadila binti Abu Bakar dalam tesis sarjananya. Pengajaran yang paling penting di sini ialah konsep watak dan perwatakan itu memainkan peranan penting dalam kejayaan sesebuah novel yang serius.  Seperti yang ditunjukkan di atas, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad juga menghadapi masalah yang sama, apabil beliau merayau-rayau dari satu bab ke satu bab untuk membuktikan kehebatan Naratif Ogonshoto, tetapi terjadi sebaliknya apabila yang dipaparkannya itu hanya peristiwa sensasi yang menjadi tunjang novel terbesar Malaysia ini, yang kini telah menguasai dunia menurut para sarjana dan sasterawan sendiri.  Klaim seperti ini, yang pada mulanya lucu kemudiannya menjadi lucah apabila novel ini, dilihat dalam konteks penggunaan ruang naratifnya, hanya sebuah novel picisan yang kering dari segi pemikiran, malah menjadi beban kepada pembaca yang serius yang merasa mereka diperbodohkan dengan sensasi yang tidak masuk akal dan tidak diperlukan dalam sebuah karya serius yang didakwa menyerlahkan intelektualiti yang tinggi di samping unsur Islam. Kedua-duanya tidak ada, malah pengaruh sensasi itu begitu ketara hingga kisah Nabi Nuh ‘a.s. juga disensasikan dalam novel ini, seperti yang didakwa dengan bangga oleh Dr. Mawar Shafei dalam “kitabnya” tentang aspek tekstualiti dalam karya Anwar Ridhwan.  Sekiranya hal-hal begini berlaku atau dilakukan oleh orang bukan Islam, sudah lama dikutuk bila orang Islam tahu tentang perkara ini. Tetapi kerana yang melakukannya orang Islam sendiri, maka dibiarkan saja.

Mengapa ruang naratif itu penting dalam pembinaan watak dan perwatakan?  Kita lihat persoalan ini dengan membandingkannya dengan konsep plot kerana konsep ini sudah lama dikenali di kalangan sasterawan; tetapi mereka baru sahaja mendengar konsep “ruang naratif”, setelah muncul Gagasan Persuratan Baru. Dalam konsep plot itu selalu disebut adanya urutan peristiwa, sama ada secara kronologi, imbas kembali dan sebagainya. Plot berguna untuk bercerita, dan manipulasi plot boleh melahirkan cerita yang bermacam-macam ragam, yang sensasi (biasanya inilah yang menjadi pilihan), yang khurafat, yang segala macam.  Tidak ada ini semua dalam teknik menggunakan “ruang naratif”, yang lebih terarah kepada pemikiran, perbahasan, penjelasan, dan lain-lain yang semuanya tertumpu pada pembinaan wacana. Tidak seperti penggunaan plot untuk bercerita, penggunaan ruang naratif untuk mewacanakan sesuatu tesis atau persoalan utama, umpamanya mengapa korupsi dibudayakan dalam politik dan pentadbiran. Untuk menulis tentang perkara ini, anda perlukan pengetahuan dan ilmu, seperti ilmu ekonomi, ilmu sains politik dan lain-lain. Dari perspektif pembangunan ekonomi, ada teori pembangunan yang membenarkan korupsi. Dalam politik, seperti dalam pelaksanaan sistem demokrasi, terdapat ekonomi kapitalis yang seluruhnya diasaskan kepada keuntungan (profit). Untuk mendapat keuntungan itu, dibenar, malah kadang-kadang digalakkan korupsi. Bagaimana anda melihat 1MDB? Di mana anda mahu letakkan projek 1MDB ini? Inilah antara persoalan yang perlu diwacanakan dengan teliti untuk memastikan karya anda adalah karya yang serius, membicarakan persoalan itu dengan menggunakan daya kreatif anda sebagai seorang pengarang. Jika anda bijak, dan tajam pemikirannmya, novel anda akan menjadi tumpuan pembaca lebih daripada analisis secara ekonomi atau politik tentang 1MDB.

Persoalan tentang watak dan perwatakan tiba-tiba menarik perhatian setelah novel Naratif Ogonshoto diisytiharkan sebagai novel teragung dalam sastera Melayu, walaupun watak yang menjadi tumpuan dalam novel itu ialah seorang Mafia (Melayu? Islam?) yang tidak mempunyai nama, hanya gelaran sebagai Presiden, seorang tokoh yang amat zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bagaimana seorang penjahat, yang diakui oleh semua pengulas dan pentafsir novel ini, dijadikan watak penting dalam sastera Melayu? Apakah ukurannya, yang sebenarnya tidak dikemukakan dalam mana-mana ulasan dan analisis tentang novel ini, hatta dalam kertas kerja tentang “pemikiran” Anwar Ridhwan sekali pun.  Yang sering ditonjolkan ialah novel ini sebagai penjelmaan Hikayat Sejarah Melayu, menjadikannya sebuah hikayat moden yang membicarakan tentang kezaliman seorang “ketua negara”. Anehnya, Dr. Noriah Taslim melihat novel ini dalam konteks  “sastera adab” yang menurutnya menjiwai hikayat-kihayat Melayu yang penuh dengan nasihat untuk berbuat baik. Pertanyaan saya yang masih berdengung dalam telinga sensitiviti saya ialah: Adakah Noriah Taslim membaca dirinya sendiri dan “pengetahuannya” tentang sastera adab dalam hikayat Melayu? Lihat contoh ini: “Pelbagai kelibat amaran dibayangkan – penampilan ikan paus biru, penyu besar, riak-riak gunung berapi, tetapi kerana terlalu tenggelam dalam nafsu kuasa dan kekayaan, watak-watak ini menganggap semua itu adalah dongeng rakyat. Akhirnya, kemurkaan maha kuasa sudah tidak dapat dibendung lagi dan dilontarkan sekali gus melalui episod tsunami yang melenyapkan seluruh pulau Ogonshoto. Hatta balasan Allah berlangsung tanpa tolak ansur dan tanpa belas kasihan-Nya lagi. Tragedi legenda pendosa silam seperti cerita bahtera nabi Nuh, cerita kota tenggelam dan legenda kejadian laut hitam yang terdapat dalam tradisi Islam dihidupkan semula Tajus Salatin (kitab adab Melayu yang tulen), diulang lagi dalam naratif ini sebagai amaran kepada raja-raja yang zalim.””  Seterusnya tegas beliau: “Naratif Ogonshoto sama seperti karya-karya adab Melayu, menjadi sebuah cerita masa silam yang membawa muatan moral politik yang arkaik dan berulang-ulang dalam sejarah manusia. Novel ini melihat huru hara alam sebagai manifestasi balasan Allah terhadap dosa-dosa manusia yang melampau, manusia diberi pelbagai peringatan, diberi peluang untuk membersihkan dosanya, pun mereka memilih untuk kekal dalam kemungkarannya, justeru wajar menerima balasan.” .... Dan seterusnya ...

Bacaan dan tafsiran sarjana “sastera adab” ini adalah bacaan yang luar biasa, yang amat pelik, dan tidak masuk akal. Apakah asas tafsiran beliau yang memuji karya picisan ini begitu tinggi sampai menggelarkannya karya warisan “sastera adab”?  Seolah-olah pelesit sastera telah menguasai imaginasi!  Bagaimana nama Allah SWT dikaitkan dalam sebuah novel picisan? Tragedi legenda pendosa silam seperti cerita bahtera nabi Nuh, ... diulang lagi dalam naratif ini? Apa jenis bacaan yang ditonjolkan  kepada kita oleh Dr. Noriah Taslim, yang memanggil peristiwa banjir besar itu “legenda” silam?  Tepat sekali andaian saya bahawa keadaan yang pelik begini hanya mungkin apabila sudah dirasuk pelesit sastera. Dalam sastera adab pun konsep pelesit ini dibayangkan juga dalam karya-karya adab yang berupa hikayat yang disebut oleh Dr. Noriah Taslim sendiri.

Satu tragedi dalam tafsiran telah berlaku, gara-gara terlalu ingin menyanjung karya picisan ini begitu berlebihan, sama berlebihannya kejahatan para watak dalam karya ini. Dalam konteks inilah kita perlu memahami peranan watak dan perwatakan dalam karya kreatif.  Tetapi kerana sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera menolak konsep ilmu yang benar sebagai asas penilaian, maka mereka pun terjebak dalam kehidupan seperti yang dialami oleh para pelakon dalam Naratif Ogonshoto, tetapi dalam perspektif mereka sebagai “ahli ilmu” yang tamak dengan pujian setelah menolak konsep ilmu yang benar sebagai asas penilaian mereka. Sekali lagi, saya ingin mengulang saranan saya supaya mereka ini membaca tafsiran Surah at-Tin.

Begitulah duduknya perkara.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20/2/2017.





Saturday, February 18, 2017

Al-Farabi, Kanun, Umm Kulthum, dan Musik Malaysia

Catatan:  Entah macam mana, ketika saya merindui Umm Kulthum dan lagu/musik Rubayat al-Khayam oleh Al-Suntabi pemusik yang hebat itu, saya bertemu tulisan ini ketika merayau-rayau melihat fail lama. Saya siarkan tulisan lama oleh Arslan Zamin Ambar ini untuk anda fikirkan, kerana isunya sama saja dengan beberapa entri terbaru saya. Yakni, memberi makna intelektual setiap usaha kita membina persuratan atau apa juga kesenian. Rubayat al-Khayam kira-kira 30 minit, sanggup saya tunggu selama itu hanya untuk mendengar satu ayat terakhir yang diucapkan oleh Umm Kulthum hanya sekali saja, di akhir lagu yang hebat itu.  Cubalah dengar, sekiranya anda mahu tahu mengapa saya begitu terpesona dengan satu ayat yang disebut seperti satu cantasan pedang samurai yang tajam, yang membuat anda tegamam kagum. Seni yang tinggi, itulah dia. Kata-kata dan pedang itu, dan ucapan seorang SENIMAN sebenarnya.  Kehebatan hanya kepunyaan para genius!



Al-Farabi, Kanun, Umm Kulthum, dan Musik Malaysia



Oleh Arslan Zamin Ambar

Ketika saya menulis rencana ini, pada 4 Mei 2002, tarikh lahir Umm Kulthum, Saluran 5 ART (ASTRO) telah menyiarkan 27 siri daripada 37 siri riwayat hidup Umm Kulthum (1904-1975), yang digelar oleh orang Arab “Kaukab al-Sharq” (Bintang Kejora atau Bintang Timur). Siri ini memakan masa dua tahun untuk difilemkan, dengan belanja yang besar. Kita tidak tahu berapa ramaikah penonton Malaysia memilih saluran 5 jam 5.00 petang tiap-tiap Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat untuk menonton siri yang hebat ini, tetapi kita pasti bahawa Umm Kulthum masih ada peminatnya di Malaysia, kerana sejak awal 1930-an beliau menjadi pujaan para qari dan qariah Malaysia. Puan Hajjah Che Yam, ibu kepada Hajjah Faridah, terkenal di Kelantan kerana suaranya yang hampir sama dengan suara Umm Kulthum ketika mendendangkan lagu “Ala Baladi Mahbub” yang terkenal itu. Di Kelantan juga terdapat seorang seniman buta yang digelar Abdul Rahman Ala Baladi. Rasanya cukuplah dua contoh untuk meletakkan kedudukan Umm Kulthum di Malaysia.

Tetapi tujuan saya menulis ini untuk membicarakan perkara lain, walaupun ada kaitannya dengan Umm Kulthum. Saya ingin memberitahu ahli musik dan peminat musik di Malaysia bahawa orang Arab mempunyai tradisi musik yang sangat lama, terukir dalam syair-syair mereka sejak zaman Jahiliah lagi. Tetapi selepas Islamlah musik menjadi ilmu khusus, diceburi sebagai pakar oleh ahli falsafah, ahli nahu, ahli matematik, dan ahli bahasa. Yang menjadi asas kepada musik Islam dan Arab ialah ilmu tajwid, ilmu membaca Quran dengan betul. Pendeknya, Umm Kulthum dan Muhammad Abdul Wahab, dengan bangga memberitahu kita bahawa mereka berdua adalah penyanyi paling baik dan berwibawa kerana kedua-duanya terlatih dalam ilmu tajwid. Dalam satu perbincangan di ART tidak berapa lama dahulu, seorang ahli panel, seorang profesor musik perempuan, ditanya mana satukah antara Umm Kulthum dan Asmahan yang lebih baik. Beliau menegaskan Umm Kulthum kerana beliau menguasai ilmu tajwid. Di Malaysia, di kalangan ahli musik ghazal di Johor, pelajaran tajwid ini terlebih dahulu diajarkan sebelum seseorang menjadi penyanyi ghazal. Ini pernah ditegaskan oleh Fauziah Idris dalam satu temuramah di TV3 tak lama dulu. Nah, kita telah melihat bagaimana eratnya agama (Islam) dengan musik dalam tamadun Islam, hatta yang dipraktikkan di Malaysia sekalipun. Adakah ini satu tradisi yang perlu kita pertahankan atau hanyutkan sahaja di laut musik moden untuk ditenggelam oleh musik Barat yang hedonistik sepenuhnya? Hanya ahli musik Malaysia saja yang layak memberi jawapannya.

            Saya menyebut al-Farabi, ahli falsafah Islam yang terkenal dengan gelaran “Al-Mu’allim Thani” (Guru Yang Kedua, selepas Aristotle yang digelar Guru Pertama), kerana beliaulah yang mencipta alat musik kanun, sejenis alat musik bertali yang mempunyai 81 tali, dimainkan dengan meribanya atau diletakkan di atas meja kecil, dipetik dengan jari. Bezanya dengan santur ialah kerana santur menjadi kebanggaan Iran, dimainkan dengan mengetuk tali khusus. Pada prinsipnya kedua-dua alat musik ini anak-beranak. Kanun mengiringi setiap nyanyian Umm Kulthum, yang secra tidak langsung memberi makna bahawa di belakangnya berdiri ahli falsafah Islam yang besar dan berpengaruh di Eropah pada Zaman Pertentangahan. Dan ini memang benar, kerana antara lagu-lagu Umm Kulthum yang terkenal ialah syair-syair penyair besar Islam, termasuk syair Muhammad Iqbal (lagunya "Hadith al-Ruh” yang indah senikatanya dan indah pula lagunya), rubaiyyat Umar Khayam (diterjemahkan oleh Ahmad Rami ke dalam bahasa Arab dengan judul “Rubaiyyat al-Khayam”, yang menurut saya adalah lagu terindah Umm Kulthum, ciptaan Riad Al-Sunbati. Cara Umm Kulthum mengakhiri lagu ini amat indah dan berkesan, satu pengalaman seni dan intelektual yang menakjubkan). Adalah menjadi kemegahan Umm Kulthum untuk didampingi oleh penyair-penyair Mesir terkenal seperti Shawqi, Ahmad Rami dan lain-lain, di samping pencipta lagu terkenal seperti Zakariya Ahmad, Muhammad al-Qasabji, Riad al-Sunbati, Muhammad Abdul Wahab dan lain-lain. Umm Kulthum yang berasal dari desa, tidak berpelajaran tinggi, akhirnya menjadi seorang seniman Mesir yang fasih dengan syair-syair Arab, seorang wanita yang sofistikated, witty, dan keras hati. Pendeknya, seorang penyanyi yang terpelajar  di samping bakat semulajadinya yang mencapai taraf genius. Muhammad Abdul Wahab, yang digelar oleh orang Arab “Piramid Keempat”, mencipta sepuluh buah lagu khusus untuk Umm Kulthum. Keberuntungan begini belum lagi singgah di kalangan penyanyi kita, kecuali secara kecil-kecilan dan sederhana oleh P. Ramlee. Jikalau kita melihat keistimewaan P. Ramlee, kita tidak dapat menolak hakikat bahawa beliau didampingi oleh penulis lirik yang berbakat seperti Jamil Sulung dan Rohaizat, di kekelilingi oleh pemusik terkenal seperti Ahmad Wan Yet, Yusuf B, Zubir Said dan lain-lain. Tokoh-tokoh yang saya sebut ini bertapak dalam tradisi Melayu, walaupun mereka memainkan dan mencipta musik moden. Yang terjadi di Malaysia, apabila saja ada seseorang yang berbakat muncul, maka banyaklah skandal dan fitnah ditabur di sekeliling pinggangnya, untuk meruntuhkannya supaya beliau tidak dapat naik setinggi-tingginya. Dalam aspek ini, contoh yang diberikan oleh Umm Kulthum barangkali patut kita bangunkan dalam pembinaan budaya kita. Sukarkah melakukannya? Atau sudah menjadi tabiat orang Melayu selalu iri hati, hasad, dan cemburu apabila melihat seseorang yang agak istimewa muncul dalam bidang masing-masing? P. Ramlee, ketika hidupnya, hanya menjadi pujaan di kalangan peminatnya, tetapi tidak dihargai  seperti ketika dia sudah meninggal dunia berpuluh tahun. Dalam budaya begini, tidak mungkin kita melahirkan Umm Kulthum atau Muhammad Abdul Wahab. Malah untuk mendapat ganti P. Ramlee pun amat sukar. Pada fikiran saya, kebanyakan orang Melayu adalah munafik besar, terikut-ikut memuji seseorang apabila orang itu diberi pengiktirafan, padahal sebelumnya tidak dipandang pun. Budaya munafik adalah budaya masyarakat yang berjiwa kecil, yang rendah harga dirinya (low self-esteem),  yang angkuh, sombong, dan suka berkhianat. Adakah gambaran ini adil, atau kerana sudah dibudayakan, kita lekas tersinggung apabila  hakikat ini diketarakan?
           
            Saya tidak bermaksud hendak mengutuk bangsa  Melayu dengan menyebut kelemahan-kelemahan ini. Saya hanya ingin menarik perhatian bahawa dalam apa juga kegiatan seni yang ingin diceburi oleh orang Melayu, paksi keagamaan itu tidak boleh ditinggalkan. Setelah itu selesai, maka aspek intelektualnya juga perlu diberi perhatian. Kita akan malu besar apabila anak-anak kita menyanyikan lagu-lagu yang senikatanya begitu rendah kualiti ilmu dan tatabahasanya, begitu pincang sebutannya, dan begitu lekeh pula peribadi yang membawanya. Tidakkah boleh kita tingkatkan sedikit kualiti seni musik kita? Saya harap ASTRO, dengan gesaan rakyat Malaysia, dan terutama sekali dengan gesaan Utusan Melayu, akan menyiarkan semula siri riwayat hidup Umm Kulthum dengan sari kata dalam bahasa Melayu. Jika dapat dialihbahasa tentu lebih baik, tetapi ini hendaklah dibuat dengan sungguh-sungguh, untuk melahirkan hasil yang berkualiti. Janganlah kualiti yang ditunjukkan oleh Umm Kulthum dan mutu penerbitan sirinya itu kita persetankan, jika andainya kita mahu bikin sari kata atau alihbahasa terhadap siri ini. Saya fikir sesuatu harus dilakukan, untuk dipelajari oleh para seniman kita. Saya serahkan tugas ini kepada Utusan Melayu dan ASTRO.

Petaling Jaya,
4 Mei 2002.
           


            


Thursday, February 16, 2017

SIAPA YANG LEBIH CERDIK: BUYUNG LURUS ATAU PAK HASSAN DALAM HARI-HARI TERAKHIR SEORANG SENIMAN?

Pertanyaan ini sangat bagus untuk dijadikan bukti sejauh mana Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, karya seorang sasterawan negara yang hebat seperti Anwar Ridhwan, penulis novel teragung negara Malaysia yang berjudul Naratif Ogonshoto, jika dibandingkan dengan Hikayat Buyung Lurus? Antara dua watak ini, Buyung Lurus dan Pak Hassan, mana satu yang cerdik; mana satu yang pura-pura cerdik pun bukan, tetapi dijadikan cerdik dengan menggelarkannya “seniman”. Benarkah Pak Hassan seorang “seniman”, atau hanya seorang penglipur lara kelas rendah yang hidup dalam dunia angan-angan yang membingungkannya? Dua pertanyaan yang akan membezakan sejauha mana hebatnya karya seorang sasterawan negara, penulis novel teragung, jika dibandingkan dengan karya biasa seorang pemikir sastera Melayu yang telah mencetuskan ketakutan intelektual di kalangan para sasterawn dan sarjana dengan mengemukakan Gagasan Persuratan Baru?  Sesiapa juga yang membaca dengan cerdik Hikayat Buyung Lurus, akan bertanya: mengapa penulis ini menulis dalam gaya Muhammad Ali, seorang peninju? Apa kaitannya seorang peninju dengan seorang pujangga?  Anda mesti ingat, menurut sarjana Dr. Mawar Shafei, Anwar Ridhwan menulis novelnya Naratif Ogonshoto untuk mencabar Machiavelli. Siapa yang lebih hebat antara Machiavelli dan Muhammad Ali? Tentu saja pertanyaan ini bodoh, tetapi jawapannya akan menentukan sejauh mana cerdiknya seorang peneliti sastera dengan seorang peminat tinju Muhammad Ali yang menjadikan teknik bertinjunya sebagai teknik penulisan novelnya.  Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan pembaca blog ini, belum ada pengkritik, sarjana, atau sasterawan bertanya mengapa saya memakai teknik tinju Muhammad Ali, sedangkan Shahnon Ahmad memakai teknik realisme magis, orang Asas 50 memakai teknik realisme sosialis, Anwar Ridhwan saya tidak tahu teknik apa yang dia pakai, tapi kalau mengikut sarjana peneliti sastera Dr. Mawar Shafei, yang diakui di Malaysia sebagai pakar Anwar Ridhwan,  teknik yang dipakai oleh Anwar Ridhwan ialah intertekstualiti. Panjang ceritanya dihuraikan oleh Dr. Mawar Shafei dalam “kitab”nya mengenai Anwar Ridhwan, sehingga begitu hebatnya teknik itu dalam tangan Anwar Ridhwan, sampai dia berani “sunting” kisah Nabi Nuh ‘a.s. untuk disesuaikan dengan cerita tsunami dalam novel agungnya. Tentulah teknik intertektualiti ini amat hebat, mengatasi al-Quran yang tidak memakai teknik itu (kerana tidak perlu, kerana yang mencipta semua perkara Allah Ta’ala sendiri, yang mewahyukan al-Quran.)  Wah, sampai begitu sekali hebatnya teknik intertekstualiti, yang direka oleh Julia Kristeva. Itulah teknik yang melahirkan novel teragung di Malaysia, yang disepakti oleh semua sarjana sastera seluruh dunia, oleh itu  mestilah betul. Setahu saya, hanya Nur Fatiha Fadila binti Abu Bakar saja yang tidak bersetuju dengan penilaian itu, seperti yang tertulis dalam tesis sarjananya. Kerana hanya dia seorang saja yang tidak setuju, tentulah penilaiannya salah!  Antara lain kata beliau, menolak penilaian yang begitu “pemurah” (generous) sehingga menjadi “murah” (cheap):  “Analisis ini dengan sendirinya mencabar pandangan Umar Junus, Saleeh Rahamad dan Mawar Shafei tentang adanya nilai keislaman dalam Naratif Ogonshoto.” (hal. 178 tesis).  Beliau sebut mengenai nilai Islam kerana Anwar Ridhwan sendiri mengaku novelnya adalah sebuah novel berciri Islam!  Bagaimana  Anwar Ridhwan mendapat ilham daripada Machiavelli, untuk menulis novel bercirikan Islam?   Anwar Ridhwan sendiri tidak perlu menjelaskannya, kerana kemusykilan ini menjadi tanggungjawab Dr. Mawar Shafie menjelaskannya.  Saya hanya boleh mengagak, yang mungkin tidak betul, bahawa kesimpulan seperti ini adalah hasil dari penggunaan pendekatan intertekstual, yang merangkum semua perkara dari angkasa (cerita dewa dewi) hingga ke lembah ngarai (cerita para jin dan hantu) yang semuanya boleh dijalin dengan selamat sebagai sebahagian daripada aspek intertekstualiti kehidupan manusia dalam cerita penglipur lara mereka.  Jika andaian saya betul, ternyata intertekstualiti tidak berguna, hanya mengusutkan lagi kekaburan nilai dalam masyarakat sastera yang sudah begitu teruk sekarang. Nampaknya mereka mahu kembali ke alam animisme, seperti yang begitu jelas dapat kita kesan dalam novel tentang seniman Pak Hassan. Ini sangat munasabah kerana Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam kertas kerja beliau yang ditulis di atas bumbung kilang berkarat mencadacangkan cetera penglipur lara dijadikan satu jabatan di mana-mana universiti, untuk mengembalikan nilai kemelayuan (jangan salah baca menjadi kemaluan Melayu) sebagai asas sastera moden. Ini disebutnya dalam ucaputama beliau dalam Seminar Pemikiran Anwar Ridhwan (2013) seperti berikut:  “Sastera sering menjadikan pengarangnya manusia yang dirundung kegelisahan. Sastera juga menjadikannya pencari titik-titik samar, dalam bentuk hablur yang lebih kekal, namun menyimpan makna kehidupan itu sendiri. Kegelisahan ialah jalan rusuh untuk dia sampai ke sana. Tetapi makna saja bukan sastera, itu ruang falsafah. Dalam pencarian makna harus diiringi oleh muzik bahasa dan sekumpulan metafora dan kias, kerana dalam sastera kenyataan itu harus berupa bahasa di atas kertas.  Sebagai pengarang Anwar Ridhwan selalu mencari – dan mencari melalui waktu, tahap hidup dan ruang geografi  yang berlainan. Dalam gaya dan naratifnya beliau sering berdiri di depan anak tangga yang memanjat ke atas, ke arah kelainan dan ke arah dunia yang masih belum dikenali atau diperiksa. Inilah langkah pengarang yang baik, dan Anwar Ridhwan ialah seorang pengarang yang saya anggap baik -   dan oleh itu selalu dirundung persoalan penciptaan, masalah gaya  yang saksama dan tema yang menyetuh pada jantung kewujudan.”  Inilah falsafah sastera menurut Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, falsafah orang hanyut yang tidak tahu ke mana hendak dituju di tengah gelombang kehidupan, tetapi begitu degil tidak mahu kembali saja ke pantai, ke tempat selamat.  Kalau inilah falsafah sasterawan,  dan dia seorang Islam, dia sudah melepaskan agamanya untuk berhanyut tanpa tujuan, kerana agama tidak lagi bermakna kepadanya. Apa jenis manusia namanya ini? Falsafah Barat ada namanya, tetapi saya tidak mahu sebut, terlalu keji dan hina. Adakah Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sedar apa makna dan maksud  yang dia cuba sampaikan? Kalau inilah yang dikatakan sastera itu, maka kita tidak perlukan sastera. Mengapa kita tergila-gila untuk disesatkan setelah mendapat hidayah dan petunjuk yang benar?

Semua benda yang “weird” akan menjadi jelas jika anda bandingkan kecerdikan Buyung Lurus dalam Hikayat Buyung Lurus dengan “senimannya” Pak Hassan dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman.  Di situ anda akan bertemu makna persuratan, dan menolak sastera yang hanyut di tengah lautan pura-pura yang diucapkan dalam bahasa  orang hanyut yang tidak tahu ke mana hendak dituju, kononnya sedang berfalsafah, tetapi  sebenarnya sedang hanyut bersama sampah sarap  bersama  buih sampah yang sedang menari dibawa alun. Sampah dan buih ini akan tenggelam, untuk membersihkan kembali laut yang dikotori sampah dan buih tadi. Pilihan para ulama dan cendekiawan dulu untuk berkecimpung dalam persuratan, yang berasaskan ilmu, adalah tepat. Pilihan para sasterawan untuk berhanyut bersama sampah adalah ... (anda boleh menambahnya sendiri untuk melengkapkan ayat ini mengikut kehendak anda!)

Jika anda mahu satu istilah untuk segala kegiatan ini, maka itulah intertekstualiti.

Ini dibuktikan oleh Dr. Mawar Shafei dalam “kitab” beliau mengenai Novel Melayu Intertektual  yang digunakannya untuk membicarakan karya Anwar Ridhwan. Siapakah Anwar Ridhwan yang menjadi pilihan Dr. Mawar Shafei?.  Beliau ialah seorang penglipur lara yang amat disenangi oleh para sarjana dan pengkritik sastera, kerana dunia penglipur lara itu tidak memerlukan mereka berfikir secara kritis.  Hasrat Anwar Ridhwan untuk menaik taraf penglipur lara kepada “seniman” gagal sama sekali, kerana Pak Hassan yang dipanggil “seniman” itu terlalu bodoh untuk berfikir, tetapi tidak sukar baginya untuk menuturkan cerita penglipur lara yang diwarisinya. Jika tuan-tuan dan puan-puan mahu membaca pandangan kritis saya tentang perkara ini, sila rujuk entri bertajuk “Keunggulan yang cacat”.  Karya terbesar Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto, yang mendapat pujian tinggi para sarjana dan pengkritik sastera, bukanlah karya intelektual hasil pemikiran yang mendalam, dan original daripada seorang intelektual yang memberikan kita satu karya politik yang canggih, yang di dalamnya terdapat falsafah politik dan falsafah kepemimpinan yang ideal. Anda boleh menguji ketepatan kesimpulan ini dengan meletakkan semua “peristiwa” dalam karya ini dalam ruang naratif dengan membicarakannya dari perspektif wacana ilmu dalam karya kreatif. Apakah yang anda dapat dalam ruang naratif itu? Anda hanya akan bertemu dunia sensasi yang melampau, bukan pemikiran. Sensasi paling besar ialah tentang Machiavelli, yang mendapat sorotan istimewa daripada Dr. Mawar Shafei yang pengetahuannya tentang Machiavelli terlalu cetek untuk berbicara tentang ketokohan seorang ahli falsafah politik seperti Machiavelli. Kita dengar celoteh Dr. Mawar Shafei: “Begitulah antara lain, gambaran corak kepimpinan Presiden Ogonshoto. Rata-rata segala tindakan dilakukan hanya bagi memastikan pengekalan kuasa. Apa yang jelas, daripada kenyataan yang diajukan, falsafah Nicollo Machiavelli ‘matalamat menghalalkan cara;’, jelas dipindahkan pengarang dalam novel ini (i.e. Naratif Ogonshoto). Presiden mengamalkan prinsip Machiavellianisme iaitu denies the revelance of morality in political affairs and holds that craft and deceit are justified in mainting political power. (Kutipan ini dari tulisan Anwar Ridhwan sendiri dalam bahasa Inggeris? Atau tulisan Dr. Mawar)  ... Rujukan terhadap pemikiran ini secara langsung diperlihatkan apabila Anwar Ridhwan menyatakan pada prinsip kepimpinan Presiden ke-iv, bahawa Presiden pernah mengkaji pemikiran Nicollo Machiavelli.” (hal.  168). Seterusnya: “Menghubungkaitkan saringan ciri-ciri dalam The Prince ini dengan sepuluh bab dalam Naratif Ogonshoto, rata-rata ada hubungan makna  yang sama dalam diri seorang ‘penguasa’; ada gerak pemindahan ciri penguasa yang digariskan Machiavelli dengan diri watak Presiden Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan” (hal. 171). Seterusnya: “Ciri ketenteraan yang banyak disentuh Machiavelli rata-rata dibaiki Anwar Ridhwan melalui pegawai-pegawai bawahannya. Namun apa yang menyerlah ialah slogan ‘matlamat menghalalkan cara’ yang diajukan Machiavelli ditemui pada sepanjang bab-bab Naratif Ogonshoto berlangsung. Persis hujah Machiavelli juga, mana-mana penguasa yang menyalahi ciri-ciri yang dinyatakan, akan menerima hukuman.” (hal. 174).

Ini bukan Machiavelli yang saya kenal ketika mengikuti kuliah sarjana dalam bidang Political Behaviour  di Universiti Essex 1975, yang dibicarakan dengan mendalam oleh Sheldon S. Wolin dalam bukunya yang terkenal, Politics and Vision (1960), yang memberi ruang yang begitu besar untuk membicarakan Machiavelli dengan begitu terperinci. (Lihat perincian ini pada halaman 521 Index, dan teliti tajuk-tajuk yang dibincangkan tentang tokoh ini.)  Saya tidak pernah dengar mana-mana pensyarah menyebut “matlamat menghalalkan cara”, kerana ini bukan ucapan Machiavelli dan tidak terdapat dalam mana-mana karya beliau. Dari mana Dr. Mawar Shafei mendapat slogan ini?  Kita perlukan rujukan sesuai dengan kedudukan Dr. Mawar Shafei sebagai seorang sarjana terkemuka yang telah memenangi beberapa hadiah akademik, termasuk dari UKM. Tentang Anwar Ridhwan, perlukah beliau bertenggek di bahu Machiavelli untuk mendapat pengiktirafan sebagai sasterawan dunia? Barangkali perkara ini tidak berapa penting. Lebih penting ialah hakikat beliau bertenggek di bahu Machiavelli tanpa sebarang alasan yang masuk akal; lebih-lebih lagi tidak mungkin beliau boleh mengaitkan Machiavelli dengan nilai-nilai Islam dalam novel Naratif Ogonshoto, yang diklaimnya sebagai novel berunsur Islam dan sebuah novel intelektual. Machiavelli sendiri anti-agama Kristian; tidak pernah menyebut nama Jesus (Nabi Isa ‘a.s.) dalam mana-mana karya beliau; baginya semua pemimpin agama adalah penipu dan korup; katanya dia lebih suka masuk neraka kerana di situ dia akan bertemu ramai ahli falsafah, untuk berdialog; lagi pula katanya neraka pastilah lebih mencabar daripada syurga yang sepi dari sebarang konflik; dan macam-macam lagi. Adakah Anwar Ridhwan dan Dr. Mawar Shafei tahu hakikat ini? Apa sudah jadi? Baik Dr. Mawar Shafei mahupun Dr. Anwar Ridhwan, kedua-duanya telah memberi maklumat salah kepada pembaca Malaysia, sesuatu yang amat mengaibkan untuk dilakukan oleh sarjana bergelar Doktor!  Jelaslah mereka tidak membaca literature tentang Machiavelli, kerana itu maklumat yang diberikan kepada kita hanya berupa gosip semata-mata. Tidak wajar ahli akademik mengabui pembaca padahal terdapat beribu buku rujukan yang boleh dipilih untuk dijadikan sandaran dalam penulisan akademik.  Tidak wajar Anwar Ridhwan dinilai  berdasarkan gosip tentang Machiavelli seperti yang dilakukan oleh Dr. Mawar Shafei.  Dalam istilah yang saya selalu gunakan bila menghadapi situasi begini, inilah contoh pandirisme par excellence!

Siapa sebenarnya Machiavelli diberi penilaian oleh Wolin begini:  “There exists a persistent image of Machiavelli as a clear-eyed realist, devoted to ridding political thought of fuzzy ideals, and possessed of no more moral passion than is found in the scientist’s dedication to objective method. Admittedly Machiavelli supplies ample material for this portrait. His defiant announcement that he intended to blaze a “new route” in political analysis, one which would “get at the practical truth (verita  effectuale) of the matters,” has been accepted as the core of his system.” (hal. 203).

Seterusnya kita lihat pula The Encyclopedia of Philosophy, jilid 5, tentang Machiavelli, tulisan Felix Gilbert.  Apa yang ditulis beliau adalah standard yang sudah diakui bagi setiap orang yang menulis tentang Machiavelli. Sekadar memberi sedikit imbasan, untuk menguatkan kesimpulan Wolin di atas, saya peturunkan beberapa bahagian tulisan Gilbert untuk makluman anda. Antara lain menurut Gilbert, “ It is of some importance to distinguish between the shocking novelty of Machiavelli’s particular recommendations and his general concepts of politics from which his practical counsels arose. Such a distinction helps to explain the contradictory reception his ideas found in the following centuries. ... Although nobody in the 16th century dared publicly to express but abhorrence, a school of political writers arose in Italy who explained that the criteria of a statesman’s or ruler’s  actions were the interests of the state.  These advocates of the doctrine of “reason of state” – even if they did not acknowledge their obligations to Machiavelli – followed the course Machiavelli had chartered. ... Some 18th century thinkers recognized truth in Machiavelli’s approach to politics. For instance, Mably and Rousseau admired Machiavelli because he had realized that the strength of a political organization depends on the existence of a collective spirit which is more than a summation of individual wills..” (hal. 121).  Seterusnya Gilbert membuat kesimpulan: “Thus, in the 19th century Machiavelli became respectable as the prophet of the idea of the national state.”

Kita tengok satu lagi pandangan kritis tentang Machiavelli, kali ini diberikan oleh Alison Brown dalam artikelnya yang dimuat dalam The Blackwell Encyclopaedia of Political Thought (Blackwell Reference, 1987).  Kita mulai dengan pernyataan yang mengejutkan ini: “In the mid-twentieth century, there were more than twenty leading theories about Machievalli’s political writings, with a bibliography of over three thousand items.” (hal. 304).  Pada mulanya saya fikir cukuplah pernyataan itu untuk memberi imej sebenar tentang Machiavelli, tetapi bila melihat banyak sekali pendapat  Alison Brown yang menarik, saya salin beberapa yang saya fikir bagus untuk puan-puan dan tuan-tuan renung, jika perlu.  Misalnya ini, “Machiavelli’s method has been called inductive or scientific in drawing conclusions from practical or historical experience of human nature that is unchanging in political regimes experiencing a natural cycle of growth and decay.” (hal. 304). Seterusnya: “Machiavelli did not subordinate moral standards to political ones, recognizing ‘how praiseworthy it is for a prince to keep his word and to live by integrity and not deceit’ and that ‘it is wrong noty only accorrding to Christian standards but by any human standards’ to treat people as inhumanly  as Philip of Macedon did in moving them from province to province...” Dan seterusnya.

Kita lihat dengan jelas bahawa versi Machiavelli yang dibawa oleh Dr. Mawar Shafei dan sasterawan negara Dr. Anwar Ridhwan adalah versi Machiavelli yang korup, yang tidak terdapat dalam perbincangan ilmiah yang standard tentang tokoh ini. Berasaskan ini, bolehkah kita bertanya, adakah sastera Melayu mempunyai versi Machiavelli yang korup ini? Bolehkah kita bertanya, terdapatkah di antara mereka Machiavelli versi Dr. Mawar Shafei dan Dr. Anwar Ridhwan?  Paling tidak, mereka berdua mungkin cocok dengan versi Machievelli yang korup itu, melihat hasil perbincangan mereka tentang Machiavelli. Kalau begitu, terdapatkah juga Machiavelli yang korup, yang mengamalkan “matlamat menghahalkan cara” dalam kehidupan atau “perjuangan” mereka? Mana-mana anggota kumpulan penulis mungkin tahu siapa mereka, yang menggunakan kedudukan mereka untuk keperluan mereka seperti yang diajarkan oleh Dr. Anwar Ridhwan melalui watak Presiden dalam novelnya yang terkenal itu.  Walau apa pun pendirian anda, nampaknya anda tidak boleh menolak kemungkinan besar sastera Melayu memang kaya dengan tokoh Machiavelli korup ini. Buku Segar dan Mekar bolehlah kita jadikan bukti. Di situ tidak ada Hamzah Hussein. Apa sudah jadi? Beliau adalah kurban pertama dalam sastera Melayu hasil usaha Machiavelli versi Dr. Mawar Shafei dan Dr. Anwar Ridhwan. Adakah anda ingin menafikannya? Saya ada kes lain, yang saya tidak mahu sebut buat sementara waktu, takut nanti ada di antara yang terlibat menjadi schezophrenik, sasau, kerana terkejut!

Di sinilah hebatnya watak Buyung Lurus, kerana inilah satu-satunya watak intelektual tulen yang tidak boleh memalsukan dirinya kerana beliau tidak sepandai tokoh-tokoh yang tidak mahu membicarakan perwatakannya dan tidak pun mahu membaca kisahnya dalam Hikayat Buyung Lurus.  Demikian hebatnya pengaruh Machiavelli versi Dr. Mawar Shafie dan Dr. Anwar Ridhwan yang menerima ajaran Presiden dalam Naratif Ogonshoto sebagai perilaku standard dalam versi Machiavelli ajaran Dr. Mawar Shafei dan sasterawan negara Dr. Anwar Ridhwan.  (Anda perlu ulang membaca ayat ini untuk memahaminya.)

Berasaskan ajaran Machiavelli korup yang dikonsepsikan oleh Dr. Mawar Shafei dan Dr. Anwar Ridhwan, anda akan melihat dengan jelas betapa perlunya projek yang saya huraikan dalam entri bertarikh 9/2/2017  dilaksanakan dengan segera. Tidak mahu melakukannya adalah kesan ajaran Machiavelli korup yang dianjurkan oleh  dua orang sarjana sastera Melayu ini. Jalan keluar kebuntuan intelektual ini ialah dengan menghasilkan penyelidikan dalam tajuk-tajuk yang dicadangkan itu. 

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16 Februari 2017.

Catatan: Sila ke YouTube untuk mendapat maklumat selanjutnya, terutama tentang Machiavelli mahu masuk neraka!


Saturday, February 11, 2017

MENGEMBALIKAN MARUAH INTELEKTUAL DALAM SASTERA MELAYU

Sekiranya benar andaian para sarjana, yang disokong oleh para sasterawan sendiri, sastera Melayu moden tidak wujud tanpa teori sastera Barat,  maka timbul kemusykilan: di manakah hebatnya sastera tiruan Barat itu? Yang lucu, dan kemudiannya menjadi lucah, persoalan ini tidak pernah ditimbulkan, kerana meniru dan mengambil dari Barat adalah satu kemajuan yang diakui dengan yakin oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang memilih para sasterawan negara. Dalam laporan mereka, perihal meniru dan menjadikan Barat sebagai acuan dan ikutan adalah satu keistimewaan yang tidak perlu dipersoalkan.  Apabila Panel menggunakan beberapa “istilah” dalam laporan mereka, seperti kelainan, eksperimen, pembaharuan, teknik dan stail baru, dan lain-lain (anda boleh baca semua ini dalam laporan Panel), maka tersirat di situ ialah penerimaan yang penuh dengan kebanggaan bahawa sastera Malayu juga tahu meniru dan pandai juga menggunakan teknik Barat dalam karya mereka, yang bagi Panel adalah satu “achievement” yang hebat. Jika itulah keadaannya, dan hakikatnya dalam sastera Melayu, maka bagaimana pula kita boleh berbicara untuk mengembalikan maruah intelektual mereka? Mereka, para sasterawan ini, mendapat maruah intelektual mereka dari peniruan yang mereka banggakan sebagai “achievements” yang tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa Barat. Kalau begitu, apakah yang hilang itu, padahal mereka mendapat maruah  mereka dari peniruan Barat.  Tidak ada apa-apa yang hilang, malah bertambah tinggi maruah mereka adalah, yang mereka tidak dapat jika mereka tidak meniru daripada Barat.

Tetapi jika kita melihat persoalan ini dalam konteks projek-projek yang dicadangkan dalam entri lepas, kita akan dapati para sasterawan dan sarjana sastera perlu membuktikan maruah intelektual mereka tidak hilang, dengan mengerjakan projek-projek penting yang dicadangkan itu. Apa pun juga klaim yang mereka buat memerlukan pembuktian yang dihujahkan dengan objektif. Itulah maksud projek yang dicadangkan dalam entri lepas, untuk meyakinkan kita bahawa para sasterawan dan sarjana ini bertambah tinggi maruah mereka setelah mereka meniru dan menggunakan teori sastera Barat. Mereka telah memberikan kita sastera baru yang canggih (?) melalui peniruan dari Barat itu. Tentulah tidak mudah untuk membuat pengakuan tanpa sebarang pembuktian; dalam konteks inilah kita harus meneliti semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara, untuk menghilangkan segala keraguan kita bahawa laporan itu adalah objektif.  Tidak ada sebab untuk kita menerima bulat-bulat laporan itu, apabila pembacaan kita yang kritis dan agak teliti memberikan cerita lain, kesimpulan yang lain sama sekali.  Inilah yang ingin kita bahaskan, demi menjaga maruah para sasterawan negara sendiri. Jangan hendaknya timbul keraguan bahawa satu penipuan intelektual telah berlaku dalam pemilihan itu, yang disonglap dengan agak lihai dalam laporan Panel. Sekarang anda faham mengapa projek yang dicadangkan dalam entri lepas perlu diusahakan oleh DBP dan ITBM, atau lebih baik lagi dijadikan salah satu projek penyelidikan sesebuah universiti yang memilih tajuk-tajuk yang mereka minati.  Sehingga dibuktikan sebaliknya secara akademik, maka kesimpulan yang popular pada waktu ini bahawa projek sasterawan negara itu tidak boleh dipertahankan secara akademik jika karya para sasterawan negara dinilai dari perspektif ilmu yang benar. Ini suatu kesimpulan yang amat memalukan, yang menegaskan bahawa satu kesilapan besar telah diwujudkan untuk hanya memuaskan hawa nafsu beberapa orang sasterawan. Keadannya menjadi lain sama sekali jika kedudukan mereka sama dengan para Brahmin, yang tidak boleh dipersoalkan. Jika anda faham mengapa mereka terima ini, maka anda akan faham mengapa mereka mempermainkan kisah Nabi Nuh ‘a.s. dalam al-Quran (lihat tafsiran Dr. Mawar Shafie dalam “kitabnya” yang membicarakan keistimewaan novel-novel Anwar Ridhwan, terutama  Naratif Ogonshoto).  Dalam sastera Melayu moden, novel ini sudah menjadi pelesit atau hantu pelesit yang menghisap darah beku di otak mereka (para sarjana dan sasterawan) untuk memberi pujian yang aneh-aneh yang bukannya timbul dari akal yang sihat.  Selain contoh yang diberikan dalam “kitab” Dr. Mawar Shafie, terdapat contoh lain yang dilaporkan oleh Nur Fatiha Fadila Abu Bakar dalam tesis sarjana beliau.  Anda perlu melihat kesimpulan beliau dalam konteks yang dibincangkan di sini untuk melihat bagaimana masalah pelesit dalam karya sastera ini dijelmakan. Inilah kesimpulan Nur Fatiha Fadila:  “Tidak kurang penting ialah konsep kebebasan berkarya  yang terjelma dalam tindakan mengaitkan cerita fiksyen dalam novel dengan kisah dalam al-Quran, tanpa pemahaman yang jelas dan mendalam terhadap isi kandungan serta penghormatan yang tinggi terhadap kedudukan  dan kesucian al-Quran sebagai sumber ilmu yang paling tinggi dalam Islam (dalam Naratif Ogonshoto.) Adalah jelas bahawa cerita dalam novel-novel yang dikaji  didapati cenderung memperagakan pandangan hidup, konsep, falsafah, tradisi dan kebudayaan yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Hal ini melemahkan lagi novel-novel yang dikaji, hatta dalam kedudukannya sebagai sebuah cerita.” (hal. 196).  Kita lihat contoh yang lain pula, yang diberikan oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan.

 Dalam sebuah makalah yang dibentangkannya dalam seminar enam orang sasterawan negara, yang kemudiannya dibentangkan sekali lagi dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, dimuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa,  profesor ini membela Si Tanggang dalam sajak “Pulang Si Tenggang” sebagai seorang tokoh usahawan yang perlu diteladani oleh para pelajar kerana kegigihannya ingin menjadi orang kaya.  Kata Profesor Mokhtar, “Lazimnya, para peneliti, para pengkaji sastera, mahupu para pelajar ditekankan supaya jangan menderhakai kedua-dua ibu bapa. Jika derhaka, anak-anak akan mendpat balasannya seperti yang berlaku kepada Si Tanggang. Di sebalik unsur moral dan pengajaran yang ditekankan, kisah Si Tanggang juga memperlihatkan nilai positif. Kerana kemiskinan, Si Taggang bercita-cita untuk menjadi kaya dan terkenal. Di sini memperlihatkan bahawa Si Tanggang ada matlamat, iaitu ingin menjadi kaya dan terkenal.  ...” (hal. 234).

Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh Prof. Mokhtar? Dalam konteks moden, tidak salah menjadi Si Tanggang, malah kegigihan Si Tanggang wajar diikuti oleh para pelajar. Sekarang anda menghadapi masalah besar yang menjadi punca segala masalah masyarakat moden. Anda sekarang diajar untuk menjadi materialistik, menjadi manusia tamak dan rakus mengejar kemewahan. Inilah nilai baru yang sedang dipupuk oleh para guru, dan dimasukkan ke dalam karya sastera yang menjadi bacaan para pelajar. Perubahan nilai ini tidak disedari, sesuai dengan kemewahan yang dapat dilihat dan mungkin juga dapat diperolehi sekiranya diusahakan bersungguh-sungguh, seperti Si Tanggang yang positif itu. Adakah ini yang ingin disampaikan oleh kisah dongeng ini? Tidak. Matlamat cerita itu ialah memberi pendidikan moral, menyedarkan anak-anak bahawa kekayaan tidak bermakna sama sekali jika akhirnya menjadi anak derhaka.  Mengapa ajaran penting ini mesti ditinggalkan, dengan memberi penekanan kepada kemewahan hidup kebendaan?  Cara Prof. Mokhtar membaca kisah ini menimbulkan masalah dalam pendidikan, apabila unsur ambiguiti nilai dijadikan satu aspek penting. Dari segi pendidikan, ini merupakan pengkhianatan kepada para pelajar, yang kini terumbang ambing dalam ambiguiti nilai yang lebih cenderung kepada kejayaan kebendaan.  Jika perkara ini dilihat daripada perspektif Islam, jelaslah apa yang dilakukan itu bersifat anti-Islam. Tetapi inilah inti sistem pendidikan kita, yang hanya berminat hendak melahirkan golongan pekerja, golongan kuli, mengikut peringkat kemahiran masing-masing.  Sistem inilah yang membenarkan karya seperti “Pulang Si Tanggang” menjadi bacaan dalam pengajaran sastera. Masalahnya ialah apabila kaedah bacaan dan analisis dalam pengajaran sastera tidak mencerdikkan pelajar, malah mereka dihumban ke dalam gua kaedah membaca dan menilai yang menyesakkan, yang tidak memberi mereka peluang berfikir. Bolehkah seorang pelajar yang cerdik menjawab soalan tentang sajak “Pulang Si Tanggang” dengan misalnya membaca dan menilainya dari perspektif ilmu yang benar? Dalam sistem yang diperjuangkan oleh Prof. Mokhtar dan teman-temannya, pelajar tidak dibenarkan berfikir. Mereka hanya dibenarkan meluahkan bulat-bulat apa yang telah disediakan dalam buku-buku teks.   Mereka diwajibkan memuntahkan kembali maklumat yang diberikan di dalam buku teks, bukan memahaminya daripada pespektif ilmu.Inilah yang saya penggil “mengajar menjadi bodoh”.  Ini adalah kesan budaya pandirisme yang mencengkam kegiatan intelektual di Malaysia, yang melahirkan sikap anti-ilmu itu. Pandirisme inilah yang digunakan dengan leluasa untuk memastikan para pelajar terus diajar menjadi bodoh.

Mengajar menjadi bodoh ini digalakkan di sekolah-sekolah dan juga di universiti.  Kesimpulan ini menjadi kebanggaan para sarjana dan guru sastera, oleh itu dipertahankan mereka dengan menolak sebarang kaedah yang akan membolehkan pelajar berfikir. Mereka tidak mahu pelajar berfikir kerana ini menyusahkan mereka yang terpaksa memperkemas pengetahuan mereka sendiri, suatu beban yang tidak membawa sebarang keuntungan kepada mereka. Kesimpulan ini mungkin kedengaran agak aneh bagi yang kurang memberi perhatian kepada masalah intelektual yang kita hadapi sekarang, yang amat aktif memberi sanjungan kepada yang tidak layak menerimanya, tetapi sangat kuat berpegang kepada status quo yang menguntungkan sekumpulan tertentu, yang dikenali sebagai kumpulan Mutual Admiration Club.  Prof. Mokhtar sendiri juga berada dalam Mutual Admiration Club ini, oleh itu beliau tidak boleh menerima adanya perkembangan baru dalam sastera Melayu jika perkembangan itu dikira boleh menjejaskan status quo yang mereka pertahankan.  Ini jelas boleh kita lihat dalam reaksi mereka terhadap persoalan ilmu dalam sastera Melayu, yang mereka kaitkan dengan PB yang bagi mereka hanya membawa malapetaka kepada status quo yang mereka pertahankan itu. Sikap ini, yang saya panggil syahwat hasad, telah menapikan para pelajar daripada mandapat manfaat daripada PB yang disekat oleh guru dan pensyarah mereka supaya tidak sampai kepada mereka. Prof. Mokhtar sangat teruja dengan apa yang dinamakannya “the scientific study of literature”, dengan mengambil kutipan pajang daripada sebuah buku yang membicarakan aspek “baru”.  Mengapa beliau begitu teruja? Jawapnya mudah, iaitu untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa beliau sentiasa up-to-date, walaupun yang dianggapnya perkara terbaru itu tidak diperlukan dalam kajian sastera dan tidak diperlukan dalam membuat penilaian. Kecuali jika beliau melihat aspek itu daripada perspektif peranan ilmu yang benar, yang memang ditolaknya supaya dengan itu kehadiran PB dalam sastera Melayu boleh diketepikan  terus. Semua taktik ini amat jelas, dan dapat dibaca dengan mudah oleh  para anggota Mutual Admiration Club. Kehadiran Mutual Admiration Club inilah yang membawa pelesit sastera yang saya sebut di atas, yang membuat para anggota Mutual Admiration Club ini benar-benar tidak siuman bila berdepan dengan PB yang mereka anggap mengangcam status quo mereka.

Inilah konteks yang perlu difahami jika anda mahu faham mengapa saya mengemukakan beberapa projek yang perlu kita usahakan untuk memberi dinamika baru kepada sastera Melayu yang sangat lesu dan amat kuat sikap anti-ilmunya yang diperjuangkan oleh kumpulan syahwat hasad itu.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 11/2/2017.

Thursday, February 9, 2017

MEMBINA BUDAYA ILMU DALAM DUNIA SASTERA YANG ANTI-ILMU


Catatan:  Cadangan yang dikemukakan di sini jika diusahakan akan memberi manfaat yang amat besar kepada sastera Melayu, apabila “achievements” para sasterawan dan lain-lain boleh dilihat dalam bentuk buku yang pastinya akan ditulis oleh sarjana sastera yang pakar dalam bidang masing-masing.  Kita berharap cadangan ini menjadi kenyataan.




Penyelidikan akademik yang dilakukan oleh beberapa orang peneliti sastera, seperti yang ditunjukkan dalam beberapa entri  di sini, menyerlahkan betapa besarnya pengaruh sensasi dalam penulisan kreatif dalam sastera Melayu. Ada beberapa kesimpulan yang boleh diambil daripada hasil kajian ilmiah itu. Pertama, sensasi hanya menyerlahkan kelemahan kreatif dan kecacatan intelektual yang dipamerkan dengan jelas oleh dua orang tokoh besar sastera Melayu, Anwar Ridhwan di Malaysia dan Isa Kamari di Singapura. Kedua-duanya adalah penulis kreatif yang rajin dan agak berbakat, tetapi telah dipengaruhi dengan kuat, sehingga boleh dikatakan sudah sampai ke tahap fanatik,  oleh teknik sensasi yang dijelaskan dengan amat cermat oleh dua orang sarjana yang membicarakan karya mereka dengan kritis. Menurut Siti Aisyah, ketika menegur Isa Kamari menggunakan kemaluan haiwan untuk melahirkan kesan humor, Siti Aisyah memberi komennya seperti ini: “Babak ini seterusnya dicemari dengan ayat ‘kemaluannya’ (merujuk pada lembu) yang besar dan panjang terhayun-hayun ketika ia melangkah di sisi pagar.’  Dalam hal ini, kehadiran ayat yang merincikan kemaluan seekor haiwan ternyata sengaja dihadirkan bagi membangkitkan unsur sensasi. ... ayat yang sensitif ini langsung tidak menyokong jalan cerita, jauh sekali membawakan wacana. Maka ia sekadar didatangkan untuk memberikan unsur hiburan dan sensasi bagi mengejapkan minat pembaca pada novel.”   Walaupun babak yang dikritik oleh Siti Aisyah kecil saja, tetapi ia menarik perhatian pembaca kerana apa juga pembicaraan mengenai “kemaluan manusia yang dikiaskan dengan menyebut kemaluan haiwan”, akan menarik minat pembaca. Lebih interesting lagi, Siti Aisyah mengalih kritikannya kepada kelakuan permaisuri sultan Singapura yang begitu tertarik merenung, sambil tersenyum, “benda yang terbonjol” di celah kelangkang seorangh Tamil Islam yang datang meminta kerja di istana. Apakah yang mendorong Isa Kamari membawa episod ini dalam novelnya, yang ditegaskannya ditulis khusus untuk membina wacana dalam penulisan sejarah alternatif bagi orang Melayu Singapura? Saya agak, dari penjelasan dan analisis Siti Aisyah, tujuannya hanya untuk bersenang-senang, tidak sekali-kali untuk dijadikan bukti bahawa inilah perilaku manusia yang akan menjadi tokoh sejarah alternatif itu.  Kini kita sampai kepada kesimpulan kedua.

Kesimpulan kedua ini secara khusus merujuk kepada kemampuan berfikir dalam bentuk kreatif, yang tidak dapat diangkat menjadi kekuatan kreatif tanpa pengetahuan yang baik tentang konsep ilmu dalam penulisan kreatif.  Kelemahan ini tidak saja dialami oleh Isa Kamari ketika menulis novelnya yang penting itu; malah seorang sasterawan negara yang diberi pujian paling tinggi oleh para penilai dan pengkritik sastera untuk novelnya Naratif Ogonshoto, terjebak dalam lumpur kreatif yang bila diangkat ke darat hanya memamerkan lumpur di kaki  kreatif yang tidak wangi sama sekali, seperti yang ditegaskan oleh para pemuji Anwar Ridhwan bahawa lumpur itu sangat istimewa.  Saya sengaja menggunakan retorik dalam konteks pretensi intelektual yang menjadi alat yang tumpul tetapi amat digemari oleh para sarjana sastera.


Kesimpulan ketiga, yang terpenting, ialah mengenai peranan ilmu dalam penulisan kreatif, yang amat dicemuh oleh para sasterawan dan diejek dengan kasar oleh para sarjana yang cukup bergaya menayangkan syahwat hasad  mereka seperti lembu Isa Kamari menayangkan kemaluannya yang berayun-ayun ketika berjalan... Jika anda merasa sukar untuk memahami sindiran ini, maka anda sudah sah berada dalam dunia sensasi yang teruk, dengan itu menerima yang sensasi itu sebagai realiti. Sebenarnya para sasterawan yang suka meniru, seperti Shahnon Ahmad, sudah lama sedar tentang perkara ini, apabila mereka sangat terpesona dengan realisme magis yang mereka tiru dan jadikan sebagai sebahagian daripada teknik cereka mereka. Pada zaman Asas 50, mereka gunakan istilah realisme sosialis dengan slogan “sastera untuk masyarakat” ketika mereka  miskin, tetapi selepas mereka diberi gelaran sasterawan negara, slogan itu menjadi “sastera untuk Mutual Admiration Club.” Dengan slogan itu, mereka tidak lagi boleh dikritik, tetapi sangat bangga memperlihatkan syahwat hasad  mereka dengan meremehkan konsep ilmu yang benar dalam penulisan yang diperkenalkan oleh PB.

Para sasterawan ini tidak saja menggunakan unsur syahwat dalam karya mereka untuk menarik minat pembaca (seperti yang diakui dengan tegas oleh Shahnon Ahmad dalam temubual di Dewan Sastera 1997, bahawa unsur lucah dan porno itu penting untuk menarik minat pembaca), tetapi juga menjadikan syahwat hasad sebagai kekuatan “rohani” untuk menolak peranan ilmu yang benar dalam karya sastera, supaya yang bersifat lucah dan sebagainya itu boleh diteruskan dengan selesa, sebagai falsafah kreatif yang menjadi pegangan Sahnon Ahmad dengan sokongan seluruh sasterawan Melayu. Inilah juga yang menjadi falsafah penulisan  cereka yang dipraktikkan oleh Anwar Ridhwan dan Isa Kamari, dengan sedikit perubahan yang masih samar-samar dalam percubaan Isa Kamari untuk menulis sebuah karya yang asasnya masih fiksi, bukan konsep ilmu seperti yang didambakan beliau ketika menyebut betapa novel agungnya, Duka Tuan Bertakhta dianalisis menggunakan PB.  Saya sendiri mendambakan para sasterawan Malaysia mendambakan betapa bagusnya jika karya mereka dianalisis berasaskan PB.  Tetapi harapan ini tidak mungkin terjadi, kerana kuatnya syahwat hasad para sasterawan ini.  Apakah yang mendorong para sasterawan ini menjadikan nafsu hasad mereka untuk menolak konsep ilmu dalam penulisan kreatif?  Sebenarnya mereka tahu PB berupaya menganalisis karya mereka dengan objektif; tetapi kerana mereka sendiri  tahu dan sedar karya mereka tidaklah sebaik yang mereka sangka, maka adalah lebih selamat jika pendekatan PB tidak digunakan. Jadi puncanya ialah kesedaran mereka akan kelemahan karya mereka sendiri, yang boleh dilindungi dengan mudah dengan menggunakan teori sastera Barat.  Mereka telah melihat ini dalam kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara.

Untuk membina budaya ilmu dalam sastera Melayu yang para sasterawannya dikuasai syahwat hasad  yang kuat, yang lebih mengutamakan kelestarian syahwat hasad mereka daripada perkembangan ilmu, maka kita hanya mempunyai dua pilihan. Pertama,  memperkukuhkan lagi status quo yang ada dengan beberapa projek yang boleh dilaksanakan dengan mudah oleh DBP atau ITBM.  Antaranya, salah satu atau kedua-dua organisasi ini mengusahakan penerbitan yang agak lengkap tentang perkembangan intelektual berasaskan penerbitan karya sastera dalam segala genre, mulai tahun 1900 hingga terkini (2017), tanpa meninggalkan sesiapa pun yang bergelar penulis yang telah menerbitkan buku masing-masing. Kita mahu melihat perkembangan “pemikiran” dalam karya kreatif kita. Supaya boleh berlaku adil kepada semua jenis penulis, pendekatan yang dipakai ialah teori sastera Barat sepenuhnya, untuk melihat sejauh mana benarnya andaian yang biasa dibuat bahawa tanpa teori sastera Barat tidak ada sastera Melayu moden. Dalam penelititian ini, dibincangkan juga perkembangan kritikan, dengan memberi tumpuan, jika dapat, kepada sesuatu teori tertentu, misalnya Kritikan Baru (New Criticism).  Dalam perkembangan terbaru tentu saja kita perlu membicarakan sejauh mana teori pascamodernisme berpengaruh dalam perkembangan intelektual Malaysia dan sejauh mana pengaruh itu positif dari segi ilmu dan kefahaman tentang sastera.  Satu perbincangan khusus tentang para sasterawan negara juga perlu ditulis, termasuk kritikan terhadap mereka, jika ada. Kita tidak perlu membuat pengecualian dalam perbincangan ini. Di samping itu sumbangan sebenar Panel Anugerah Sastera Negara dalam bidang kritikan perlu ditulis dengan objektif, termasuk kritikan terhadap sumbangan mereka.  Apakah nilai-nilai teori sastera Barat yang mereka gunakan dan sejauh mana nilai-nilai Barat itu telah berjaya meningkatkan kualiti karya kreatif kita. Satu lagi projek yang sangat penting, yang telah dimulai oleh DBP, ialah pemilihan karya terbaik Malaysia sejak 1900 hingga terkini (2017), baik dalam bidang kreatif mahu pun dalam bidang kritikan.  

Kedua, membicarakan dengan kritis pemikiran baru, jika ada, yang boleh membina atau mungkin juga meruntuhkan usaha para sasterawan menulis karya mereka dalam semua bidang. Salah satu perkara yang perlu mendapat perhatian dalam konteks ini ialah kemungkinan wujudnya genre baru dalam sastera Melayu moden, jika ada. Jika tidak ditemui, maka kita perlu bincangkan dengan mendalam sumbangan genre lama dalam melonjakkan kefahaman kita kepada kesusasteraan. Umpamanya, adakah kemunculan sajak-sajak moden telah mengubah cara berfikir masyarakat Malaysia seperti yang pernah terjadi di Perancis dan di Jerman apabila lahir beberapa orang pengarang besar mereka dalam abad-abad tertentu. Maklumat tentang aspek ini sangat banyak, dan cukup mudah didapati.  Selain dari itu, kita juga perlu tahu dengan agak mendalam sebarang pemikiran baru yang cuba diketengahkan, dan kesannya terhadap perkembangan kreatif di Malaysia.  Itulah antara lain projek yang boleh kita usahakan dengan mudah kerana kita mempunyai ramai sarjana yang berkualiti untuk menulis tentang tajuk-tajuk yang dicadangkan itu.

Jika dua pendekatan ini dilaksanakan, saya yakin kita dapat meletakkan sumbangan para sasterawan ini di tempat yang sewajarnya, dan ini boleh dijadikan bahan pendidikan di sekolah-sekolah. Kita juga boleh mengenal pasti karya kita yang benar-benar berkualti dari segi pemikiran dan penggunaan teknik baru dalam penulisan. Semua ini perlu mendapat perhatian para sarjana dan dihuraikan dengan objektif.

Jika projek yang disarankan di sini dikerjakan dengan cermat dan objektif, banyak sekali maklumat yang boleh kita ketahui dalam usaha kita untuk meletakkan para sasterawan dan karya mereka di tempat yang layak dengan sumbangan mereka. Pada waktu ini terdapat kritikan yang agak keras bahawa sumbangan para sasterawan negara tidak seberapa, tetapi sanjungan terhadap mereka jelas melampaui hasil karya mereka. Kesimpulan seumpama ini, jika tidak tepat, perlu dihapuskan melalui penilaian yang benar-benar objektif ke atas karya mereka. Penggunaan teori sastera Barat tidak wajar dijadikan halangan untuk mendapat kesimpulan yang tepat dan objektif, jika dikerjakan dengan kesedaran teori yang benar-benar mantap ketika memakai teori itu dalam membuat penilaian yang objektif tadi.  Kita sudah mempunyai ramai profesor sastera yang handal, yang tentu saja dapat menghasilkan semua projek yang kita senaraikan itu dengan bantuan para pelajar mereka sendiri, perkara yang lumrah dilakukan di Barat sendiri dan sudah semestinya diteruskan di negara kita tanpa sebarang keraguan dari segi kualiti akademik. 

Jika semua projek yang dicadangkan di sini dianggap tidak berfaedah, membuang masa dan belanja, maka apakah projek yang berfaedah?  Sekiranya tidak ada alternatif yang dikemukakan, yang akan membolehkan kita mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam budaya ilmu yang dipelopori oleh para sasterawa ini, maka anda telah meletakkan diri anda seperti unta yang ditutup matanya yang berjalan beribu batu mengelilingi kincir air, tetapi tidak sampai ke mana, hanya berpusing-pusing di tempat yang sama. Adakah itulah yang menjadi pilihan anda? Tetapi andainya menjadi sarjana kincir air itu pilihan anda, maka teruskan saja projek unta di kincir air itu. Sekurang-kurangnya ada juga usaha gigih untuk melakukan sesuatu yang berfaedah, walaupun hanya berlagak seperti unta di kincir air.  Jika anda golongan pemikir yang cerdik, yang tajam pemerhatiannya, maka anda akan dapati sastera kincir air tidak ke mana-mana, seperti yang dibuktikan daripada karya para sasterawan negara sekali pun. Mereka hanya mengitar semula penglipur lara yang memang digemari oleh masyarakat Melayu dan mudah pula diucapkan oleh para sasterawan dalam karya penglipur lara mereka. Anwar Ridhwan, sebagai sasterawan negara, telah membuktikan dunia penglipur lara Pak Hassan itulah pilihan terbaik. Itulah sastera kincir air yang menjadi kebanggaan para sasterawan negara dan amat digemari oleh para sarjana kita sendiri, seperti yang mereka buktikan dari pujian tinggi yang mereka berikan kepada karya terbesar sastera Melayu, Naratif Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan, yang dikatakan oleh para sarjana adalah Sejarah Melayu abad ini, yang perlu dicontohi. Kalau itulah pilihan anda, maka wajarlah Naratif Ogonshoto dibicarakan dalam pelbagai pendekatan, termasuk dari segi falsafahnya, dari segi teknik baru dalam cara bercerita, dan secara keseluruhan menjadi lambang kecanggihan berfikir seorang sasterawan negara.  Tokoh-tokoh akademik yang layak dan dapat melaksanakan usaha ini telah ada, iaitu mereka yang membentang kertas kerja dalam “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.” Adakah inilah cara terbaik untuk membina budaya ilmu di negara kita? Saya fikir tidak sukar untuk membuktikannya. Oleh itu, bolehlah diteruskan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 8 Februari 2017.