Tuesday, January 31, 2017

MANA SATU PENDAPAT YANG BETUL?

Sekarang kita mempunyai dua pendapat, dua pendirian, yang terbuka untuk dipilih oleh mana-mana pihak yang berkenaan. Untuk memastikan anda membuat pilihan yang paling tepat, pilihan yang terbaik, anda tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab untuk menilai pilihan anda itu berasaskan ilmu. Inilah kedudukan sekarang, setelah anda diberi kata dua oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam dikrinya terhadap kedudukan teori Barat dalam sastera Melayu. Seperti yang anda sudah maklum, menurut beliau menggunakan teori Barat untuk menilai karya sastera Melayu adalah satu kesalahan; dengan itu, secara lagik, pelantikan para sasterawan negara (termasuk beliau sendiri) adalah salah dan palsu kerana, menurut penegasan beliau, diasaskan kepada teori sastera Barat. Itulah kedudukan pertama yang menjadi “arus perdana” sekarang. Jika anda menerima pelantikan para sasterawan negara ini berasaskan teori sastera Barat, maka anda berada dalam keadaan yang amat memalukan, iaitu anda telah membuat pilihan yang salah. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menghujahkan pendapat Prof. Emeritus Muhammad Salleh itulah yang salah, bukan Panel Anugerah Sastera Negara yang tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teori sastera Barat.  Apa salahnya dengan teori sastera Barat?  Pertanyaan ini hanya boleh dijawab oleh para sarjana sastera, pengkritik sastera, dan para sasterawan sendiri. Mereka tidak perlu bercakap atau menulis panjang lebar untuk membela teori sastera Barat dalam sastera Melayu. Tanpa sastera Barat tidak ada sastera Melayu dan tidak ada pengajian Melayu dan tidak ada kritik sastera. Jika anda menerima hujah ini, maka jelaslah yang bersalah ialah Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh. Tetapi pandangan beliau sangat penting, kerana telah ada kesedaran yang perlu dilayani dengan baik, dengan sikap akademik yang mantap. Walaupun pandangan Prof. Muhammad Haji Salleh sendiri tidak mantap, beliau telah menyatakan sesuatu yang betul, yang perlu diikuti. Kalau anda tidak mahu menerima pendapat seorang profesor sastera yang sangat handalan dan amat terkenal di Malaysia seperti Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh itu, maka pendapat siapa lagi yang anda boleh terima. Tentu saja bukan pendapat saya, yang tidak mempunyai apa-apa gelaran akademik mahu pun gelaran kreatif. Walaupun saya mungkin mempunyai kekuatan ilmiah yang jauh lebih kuat daripada Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, saya tidak mempunyai bukti seperti beliau. Kesimpulannya, pendapat Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh adalah yang terbaik bagi siapa-siapa yang bersikap anti ilmu, yang menolak wujudnya konsep ilmu yang benar.  Bagi pihak yang menerima konsep ilmu yang benar, pendirian saya adalah yang terbaik dan paling siuman untuk diikuti. Inilah pilihan anda: jika anda memilih pendirian Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, maka anda berada dalam keadaan yang selamat kerana itulah pandangan yang dinamakan “arus perdana”, yang menjadi pegangan majoriti dan telah berjaya menegakkan hegemoni (menurut falsafah Dr. Mohamed Salleh Rahamad) dan kumpulan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Inilah pegangan yang sah di Malaysia. Adapun pandangan saya, walaupun kukuh dan tegap perkasa dari segi ilmiah, tidak boleh dipakai, menurut kumpulan majoriti, kerana tidak dapat dilaksanakan. Hanya satu impian, kata mereka. Tidak ada apa-apa untuk dijadikan pegangan.  Walaupun diakui oleh manusia siuman bahawa kebenaran tidak memerlukan suara majoriti, namun kedudukannya berlainan di Malaysia, yang sangat teguh memegang suara majoriti. Bagi mereka, yang majoriti itu tidak mungkin berbuat silap, tidak mungkin membuat salah, kerana mereka ramai. Apakah akibat pandangan seperti ini di Malaysia? Akibat yang paling besar dan paling menonjol ialah pandangan ini melahirkan pandirisme, yang kesannya amat buruk ke atas pemikiran manusia dan ke atas perkembangan sastera Melayu moden. Saya telah jelaskan aspek ini dalam tulisan saya.

Sikap yang mereka ambil ini digelar sikap “lembu kanyang” dalam loghat Kelantan (budaya Kelantan). Lembu kenyang rerus megunyah kerana rumput dibawakan kepada mereka. Inilah keadaan badan-badan penulis di Malaysia, yang mendapat “rumput” daripada kerajaan. Sumbangan badan penulis ini memang jelas apabila tertubuhnya dengan subur Mutual Admiration Club. Dengan  “rumput” yang dibawakan kepada mereka oleh Kerajaan, maka badan-badan penulis ini memperkuat kedudukan mereka dalam Mutual Admiration Club. Tidaklah aneh jika akhirnya Prof. Emeritus, yang dalam tahun 1973 mengutuk Mutual Admiration Club, akhirnya tidak saja menerima Mutual Admiration Club itu penting, tetapi terus menjadi ketua kumpulan itu.  Mengapakah MAC ini penting? Sebabnya cukup mudah.  MAC memberi kekuatan kepada kumpulan ini untuk mengunyah “rumput” yang dibawakan kepada mereka tanpa sebarang rasa bersalah atau terhina kerana maruah mereka sebagai penulis diremehkan oleh Kerajaan yang inginkan sokongan. Sama-sama mahu: yang satu mahu sokongan; yang satu lagi mahu wang.  Kumpulan “lembu kenyang” ini tidak berminat kepada ilmu, kepada dialog, kepada perbahasan. Mereka hanya berminat kepada saling memuji satu sama lain.

Baru-baru ini keluar dalam satu program TV seorang tokoh yang pernah menjadi Ketua Satu Gapena (tak pasti beliau masih lagi Ketua Satu atau tidak) bercakap tentang korupsi dalam kerajaan, politik dan ekonomi. Walaupun beliau dianggap sebagai seorang “intelektual” dan seorang yang terkenal dalam bidang sastera sebagai sarjana, namun pendapat beliau amat cetek dan simplistik. Beliau tidak menghuraikan apakah punca korupsi, dan mengapa punca itu disuburkan.  Punca terbesar ialah kehilangan adab, yang melahirkan pemimpin palsu dalam semua bidang kehidupan manusia. Dalam kesusasteraan Melayu, kehilangan adab ini sangat jelas, telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku-buku beliau. Inilah punca korupsi, yang juga berlaku dalam bidang intelektual. Korupsi intelektual lebih besar akibatnya daripada yang lain-lain itu. Korupsi intelektual boleh meruntuhkan satu tamadun sesuatu bangsa. Di Malaysia kita tahu akibatnya, dan telah banyak kali saya bicarakan dalam blog ini. Korupsi intelektual inilah yang menjadi faktor keruntuhan sesuatu tamadun, yang juga berlaku dalam tamadun Melayu. Korupsi intelektal yang menjadi projek Asas 50 telah melumpuhkan sastera Melayu moden, yang tidak lagi mencerminkan kegiatan intelektual berasaskan ilmu, sebaliknya menjadi satu gerakan kebiadaban baru yang berjaya mengusutkan umat Melayu dalam kebudayaan mereka yang dulunya berteraskan ilmu, melalui Asas 50 bertukar menjadi perjuangan nasionalis kiri yang mengetepikan agama dan aspek kerohanian dalam kehidupan manusia. Inilah salah satu faktor yang memudahkan munculnya pandirisme dalam kebudayaan Melayu. Kini pandirisme itu dijadikan arus perdana, diberi nama yang memikat sebagai “hegemoni” yang kononnya menjadikan sastera warisan Asas 50 sebagai teras negara bangsa. Nampaknya bangsa Melayu terus menjadi bodoh kerana mereka diajar oleh sastera  Asas 50 dan pengajaran sastera di sekolah-sekolah yang menjadikan pendekatan Barat sepenuhnya sebagai teknik mempelajari karya sastera.  Teori Barat boleh digunakan, tetapi hendaklah dengan pengetahuan yang agak mendalam mengenai sejarah teori itu dan mengapa sentiasa terjadi perubahan. Pengetahuan seumpama ini penting kerana perubahan itu berkaitan dengan cara tiap-tiap teori mendekati dan membuat tafsiran terhadap sesuatu karya. Di Malaysia teknik yang dipakai telah dimatikan dengan segugus konsep yang tidak berubah sejak berpuluh tahun ini, iaitu konsep-konsep tema, latar belakang, dialog, perwatakan, dan yang sejenis dengannya. Itulah konsep yang dipakai untuk membaca dan menilai sesuatu novel atau cerita pendek, kini sudah menjadi klise yang amat tumpul dari segi pembacaan yang kritis. Inilah konsep-konsep klise yang masih dipakai yang akhirnya melumpuhkan pengajaran sastera di sekolah-sekolah. Dengan menggunakan klise ini, semua karya adalah bermutu belaka, seperti yang dibuktikan dari penjelasan Kementerian Pelajaran ketika membela sebuah novel yang dijadikan teks yang menimbulkan kontroversi. Kata mereka, novel itu penuh dengan pengajaran dan nilai-nilai murni! Kesimpulan begini adalah jenis kesimpulan klise.  Inilah sikap jahil yang menjahanamkan sastera. Lebih teruk lagi, menjahanamkan pelajar.

Walaupun Panel Anugerah Sastera Negara amat terpesona dengan perubahan dan menjeritkan dengan nyaring kepada para sasterawan supaya melakukan perubahan dalam karya mereka, namun mereka sebenarnya menentang dengan gigih sebarang perubahan yang memberi kedudukan tinggi dan sewajarnya kepada ilmu yang benar dalam kegiatan seni mengarang. Mereka tidak terima perubahan ke arah ini, kerana mereka menjadi menggigil ketakutan bahawa para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara akan menjadi tidak relevan lagi. Kalau benarlah andaian mereka, adakah kesilapan yang ditegaskan oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh masih perlu diteruskan? Alternatif telah ada, yang penting hanya membuat pilihan. Tetapi Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh sendiri tak mahukan perubahan yang dicanangnya. Itulah masalah kita.  Pendirian Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dan Panel Anugerah Sastera Negara disokong oleh GAPENA, PENA dan semua badan penulis seluruh negara. Inilah kesan pandirisme dalam sastera Melayu moden.  Dirgahayu pandirisme!

Mohd. Affandi Hassan
Petaling Jaya 31 Januari 2017.



Friday, January 27, 2017

KEJUJURAN INTELEKTUAL YANG MERAGUKAN

Catatan:  Entri ini yang terakhir dalam siri perbincangan yang dimulai dengan “Arah dan matlamat masih kabur.”  Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri kerana mewujudkan gred barangan untuk memudahkan pembeli mengenal pasti mana satu produk yang berkualiti mana pula yang rendah kualitinya. Sastera Melayu moden sudah lama sedar tentang penggredan ini, tetapi mereka menjadi amat geram apabila diperkenalkan satu gred baru, karya persuratan. Mereka tidak boleh terima kerana tuntutan gred baru itu, dari  segi kualiti, amat teliti dan ternyata membebankan penulis yang rata-rata cetek meraba-raba dari segi ilmu.  Mereka sangat selesa menggunakan gred yang digunakan di pasar tani.

Entri yang lepas penting sekali diberi perhatian oleh para sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera. Mereka sedang berada dalam sebuah dunia ilmu yang tidak saja keliru, cetek meraba-raba, tetapi juga dalam dunia khayal yang direka-raka untuk membenarkan sesuatu yang salah. Adakah Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh telah bercakap benar dalam kutipan yang anda baca dalam entri lepas? Sekiranya beliau bercakap benar, maka bagaimana kedudukan beliau sebagai sasterawan negara? Dengan menggunakan hujah beliau sendiri, kita dapati beliau tidak layak  dilantik sebagai sasterawan negara kerana Panel Anugerah Sastera Negara telah menggunakan ukuran Barat yang tidak sesuai dengan karya sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu. Sekiranya Prof. Emeritus bercakap benar, maka jelaslah Panel telah menipu kita semua melantik para sasterawan negara dengan menggunakan ukuran yang salah. Katalah ukuran mereka tidak salah, tidak bertentangan dengan keputusan tegas yang dibuat oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam pertemuan yang penting itu, maka jelaslah Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh telah memberikan kita maklumat yang salah, yang tidak tepat. Yang tepat ialah semua sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera, termasuk Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh sendiri, memerlukan teori sastera Barat untuk hidup dan kekal dalam dunia khayal mereka.  Inilah yang boleh menyelamatkan Asas 50, yang menjadi ikutan mereka. In i juga yang boleh menyelamatkan Panel Anugerah Sastrera Negara. Dan inilah satu-satunya tempat bergantung para sasterawan negara.

Tentu anda sudah dapat melihat betapa hebatnya keputusan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh menolak teori sastera Barat, satu revolusi dalam sastera Melayu moden yang mesti dipertahankan sekiranya kita mahu semua karya para sasterawan negara masih tetap relevan, dan kehadiran para sasterawan negara itu sendiri sah dari segi akademik, moral, dan kejujuran intelektual. Jika anda merasakan penjelasan ini berbelit-belit, penuh kontradiksi, tidak mencerminkan hakikat sebenar sastera Melayu, maka anda berada di pihak yang betul. Itulah sifat hakiki sastera Melayu moden dan penilaian yang dibuat trerhadap para sasterawan, yang akhirnya melahirkan sasterawan negara berasaskan penilaian yang salah menurut pendapat Prof. Emeritus Muhamad Haji Salleh. Pendekatan mana yang tidak salah, yang benar-benar mencerminkan (seperti penegasan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh) “sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk melihat diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri”?  Tidak ada, masih juga memerlukan teori Barat; dan ini diakui sendiri oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh. 


Semua kekalutan dan keserabutan ini boleh diselesaikan dengan mudah, dan tepat, jika anda menjenguk sejenak apa yang ditawarkan oleh Gagasan Persuratan Baru.  Anda boleh kekal sebagai sasterawan negara dan pemuja sasterawan negara walaupun penilaian terhadap mereka salah, menurut Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, kerana PB memberi anda peluang untuk dinilai kembali dengan lebih saksama, menurut ukuran kita sendiri seperti yang digunakan oleh para pendukung persuratan Melayu. Tetapi ini akan menyakitkan hati anda sendiri, kerana PB akan mencubit dengan keras daging karya anda untuk memastikan daging itu benar-benar segar dan bermanfaat kepada kesihatan mental manusia yang normal. Daging itu belum busuk, hanya tidak berkualiti. Masih boleh dimakan dengan selamat, tetapi mestilah diberi gred yang sesuai seperti yang dilakukan oleh Kementerian Pengguna ketika menggredkan ikan, sayur dan daging di pasar tani (dan pasar-pasar lain). Kalau anda boleh menerima penggredan itu, dan berasa selesa kerana anda yakin anda mendapat kualiti yang terjamin, maka anda juga akan berasa selesa kerana dapat melihat dan merasasakan keselesaan yang penuh keinsfan hasil cetusan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam ucaputamanya yang keramat itu. Ucapan beliau yang penting itu memerlukan penyelesaian yang saksama, kerana jika tidak diberi penyelesaian, maka Muhammad Haji Salleh bukan lagi seorang sasterawan negara dan tidak layak diangkat menjadi sasterawan negara kerana ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara adalah ukuran teori sastera Barat.  Apakah pilihan Muhammad Haji Salleh? Beliau sangat sayang title sasterawan negara itu; kita boleh terima dan beliau boleh kekalkan gelaran itu. Tetapi beliau perlu dinilai kembali dengan tepat dan jitu, memakai segala syarat yang beliau letakkan sendiri. Itulah yang boleh diberikan oleh PB. Beliau perlu dinilai berasaskan PB. Begitu juga para sasterawan negara yang lain. Lebih-lebih lagi kedudukan Panel Anugerah Sastera Negara yang menghadapi masalah besar kerana ketika mereka membuat penilaian itu, mereka tidak mempunyai altrernatif, selain hanya teori sastera Barat. Perlukah mereka teruskan? Kerana Muhammad Haji Salleh memang anggota Panel yang aktif, maka Panel mesti menghormatinya sebagai seorang sarjana bahawa Panel telah melakukan kesilapan dan kesalahan kerana menilai para sasterawan negara berasaskan teori Barat. Tidak mengapa. Mereka tidak perlu berada dalam ketakutan kerana digniti mereka sebagai Panel telah disebat dengan teruk oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam ucaputamanya itu. Yang perlu mereka lakukan amat mudah: mereka harus menerima PB sebagai alternatif seperti yang diminta oleh Muhammad Haji Salleh, dengan itu kedudukan mereka dan Muhammad Haji Salleh kekal, terus selamat. Hanya terdapat sedikit perubahan, iaitu mereka akan dinilai kembali oleh PB untuk menentukan gred yang layak untuk mereka, ayam kampung atau ayam daging (memakai penggredan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri).  Mana satu gred mereka tidak jadi masalah, kerana kedua jenis ayam ini menelurkan telur yang lengkap, sesuatu yang diharapkan oleh Muhammad Haji Salleh sendiri dalam ucaputamanya itu. Dirgahayu kejujuran intelektual!

Thursday, January 26, 2017

MENEBUS KEGAGALAN DAN KEKELIRUAN DALAM SASTERA MELAYU MODEN

Gagasan Persuratan Baru muncul sebagai kaedah dan pendekatan terbaik untuk sekurang-kurangnnya seratus tahun ini dalam membina kembali persuratan Melayu yang dikhianati oleh Asas 50 yang membawa dan menjadikan pengaruh Barat, atas nama realisme sosialis yang seluruhnya menurut ajaran Marx (seorang tokoh Barat yang amat terkenal dan amat berpengaruh dalam perkembangan intelektual Barat) sebagai landasan kepada perkembangan sastera Melayu moden yang tidak lagi mempunyai keterampilan ilmu seperti yang telah diasaskan oleh persuratan Melayu.  Pengkhianatan intelektual yang dibawa oleh Asas 50 dijadikan teras perkembangan penulisan di Malaysia, yang diberi sokongan dan kelangsungannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan diteruskan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, yang kemudiannya melahirkan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang meneruskan perjuangan Asas 50. Ciri hakiki gerakan ini ialah sikap mereka yang anti-ilmu. Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 diwakili sepenuhnya oleh sisa-sisa Asas 50, dengan menyerlahkan keampuhan gerakan pandirisme intelektual yang dimulai oleh Asas 50.  Pandirisme diberi kedudukan istimewa dalam SKPM 2014, yang boleh dilihat dengan jelas dalam kertas kerja yang dibentangkan dan resolusi yang diputuskan. Pembaca yang berminat  bolehlah merujuk beberapa entri dalam blog ini yang membahaskan persoalan ini.

Gagasan  Persuratan Baru memberi harapan baru kepada perkembangan intelektual yang sihat di Malaysia, yang sekian lama dikhianati oleh para pendukung Asas 50 yang meneruskan dengan gigih sekali sikap anti-ilmu yang menjadi kebanggaan anggota Asas 50 yang terang-terang menolak tulisan Jawi, tulisan Melayu yang melahirkan beribu karya persuratan yang dihasilkan oleh para ulama dan cendekiawan Melayu.  Hakikat ini tidak dapat ditolak oleh sesiapa pun yang mengetahui perkembangan sebenar dalam sastera Melayu moden. Tepat sekali pencirian yang diberikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa mereka inilah golongan yang cetek meraba-raba, yang tidak mengenal tradisi kebudayaan sendiri.  Pengkhianatan terhadap ilmu dan kebudayaan ini tidak mempunyai hujah dan bukti yang dapat digunakan untuk mempertahankan mereka sebagai, kononnya, pelopor sastera Melayu moden. Malah tanpa disedari, Panel Anugerah Sastera Negara membenarkan kesimpulan ini melalui laporan mereka yang tidak mempunyai kualiti ilmiah, hanya sekadar memberi ulasan cetek terhadap karya-karya para sasterawan negara tanpa mengemukakan ukuran dan penghujahan yang masuk akal. Sila rujuk beberapa entri dalam blog ini untuk memahami kesimpulan ini. Kualiti yang tidak ada di dalam karya para sasterawan negara ditonjolkan dengan menggunakan segugus deretan retorik peragaan yang hanya membuktikan betapa keringnya karya-karya para sasterawan ini dari segi pemikiran; malah apa yang disebut sebagai realisme di dalam karya mereka bukanlah realisme dalam konteks perkembangan intelektual, tetapi hanya deretan kejahatan atau kebodohan watak-watak yang mereka tonjolkan, yang sebenarnya tidak sedikit pun mencerminkan hakikat peradaban dan kebudayaan Melayu yang melahirkan tokoh-tokoh pemikir yang handal dalam membicarakan persoalan bangsa mereka. Siapakah mereka? Ini yang mereka abaikan, yang mereka tidak kenali. Bagaimana kita boleh membuat kesimpulan, seperti yang dibuat oleh para sarjana ciritan dalam kertas kerja ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini, sekirannya karya mereka hanya penulisan semula penglipur lara dengan menjiplak beberapa konsep sastera Barat untuk dijadikan sandaran dan hujah, padahal isinya hanya mencerminkan pandirisme.  Semua ini tidak disedari sehinggalah muncul Gagasan Persuratan Baru yang meneliti kembali dengan cermat sumbangan para sasterawan ini berasaskan ukuran yang boleh dipastikan ketepatannya melalui konsep-konsep seperti wacana dan cerita, ruang naratif, stylization of ideas, mod bacaan intelektual dan mod bacaan cerita (kedua-dua mod bacaan ini memberikan kita teknik bacaan yang tepat dalam menilai karya kreatif). Para sarjana ciritan mengelak daripada menggunakan konsep-konsep ini kerana mereka tahu para sasterawan negara ini hanya layak menjadi contoh bagaimana pandirisme diberi kedudukan istimewa kerana itulah saja yang dapat ditawarkan oleh para sasterawan negara ini dalam karya mereka.  Dalam hal ini kita mempunyai contoh yang amat menarik, yang akan membuat anda berasa hairan bagaimana contoh ini boleh muncul dalam sastera Melayu moden yang telah melahirkan para sasterawan negara yang “jempulan”.  Inilah contoh yang dimaksudkan itu.  Dewan Bahasa dan Pustaka, yang melahirkan para sasterawan negara, berusaha gigih memperkenalkan kehebatan para sasterawan negara ini dengan memberi mereka peluang memberikan ucapan penting, yang digelar “ucaputama” apabila diadakan sebarang kegiatan sastera, terutama sekali ketika mengadakan seminar khas trentang “pemikiran” para sasterawan negara. Sebagai contoh, Prof. Muhammad Haji Salleh telah diminta memberikan “ucaputama” seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan; dan beliau dengan hebat sekali memuji anggota Mutual Admiration Clubnya. Jika anda berminat, bolehlah baca keseluruhan “ucaputama”, atau membaca komen saya dalam beberapa entri di blog ini.  Tetapi yang lebih menarik ialah “ucaputama” tokoh besar ini untuk satu seminar Nusantara yang diadakan di Kuala Lumpur:

“Pertamanya sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk melihat diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri. Kedua, teori sastera kita belum dtuliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP2005, hal. 14).  Bullshit!  Inilah salah satu jenis bullshit yang saya huraikan dalam Pandirisme Dalam Komuniti Dunia.  Sila lihat takrif bullshit yang diberikan oleh Prof. Frankfurt yang saya salin dalam buku itu.

Saya sering menggunakan perkataan bodoh, jahil, cetek, dangkal dan sebagainya dalam blog ini, kerana inilah peringatan yang diajarkan kepada kita oleh nenek moyang kita dalam peribahasa mereka. Antaranya yang palig terkenal ialah peribahasa, “sekali lancung ke ujian, seumur tak percaya.” Sekarang orang Melayu tidak peduli lagi kepada peribahasa, kerana itu mereka boleh terima dengan lapang dada projek 1MDB, yang akhirnya mendapat dukungan dan sokongan para ulama termasuk para mufti yang memberi fatwa 1MDB memenuhi kehendak “maqasid syariah” oleh itu bukan satu projek rasuah. Dengan itu orang kampung yang dihantar mengerjakan haji dengan menggunakan dana 1MDB adalah betul mengikut kehendak “maqasid syariah”.  Kita tidak dibenarkan mengungkit perkara ini lagi kerana semua Mufti sudah membuat fatwa bahawa 1MDB tidak mempunyai unsur rasuah. So what? Bagaimana jika kita memakai, sekali sekala, beberapa peribahasa nenek moyang kita, termasuk yang berbunyi, “sekali lancung ke ujian, selamanya tidak percaya.”  Seumur hidup tidak percaya? Mana boleh, kerana manusia boleh berubah; oleh itu tugas kita memaafkan mereka walaupun mereka telah menipu kita. Tetapi kita perlu melihat ucapan yang penuh hikmah ini dengan meletakkannya dalam konteks yang tepat.

Sebelum ini beliau pernah mengkritik kemunculan Mutual Admiration Club (Seminar Kritik Sastera, Johor Bahru, 1973).  Dengan munculnyanya sasterawan negara, beliau kini menjadi seorang anggota aktif Mutual Admiration Club yang dinaikkan taraf menjadi club para sasterawan negara. Bacalah ucaputama beliau  untuk seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan, anda akan melihat bagaimana versatilenya tokoh besar akademik ini sebagai pelakon akademik yang hebat, seperti yang ditunjukkan beliau ketika mengkritik teori sastera Barat dan Mutual Admiration Club. Siapakah yang melantik beliau sebagai sasterawan negara? Tidak lain dari Panel Anugerah Sastera Negara, satu Mutual Admiration Club yang telah dirasmikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Panel menggunakan ukuran teori Barat ketika menilai (?) para sasterawan negara, dengan itu mereka menggunakan teori yang salah untuk dipadankan dengan karya Melayu yang berbeza, seperti yang ditegaskan oleh Muhammad Haji Salleh dalam kutipan di atas. Jika benarlah pandangan Muhammad Haji Salleh tentang teori sastera Barat, sudah jelas bahawa Panel telah melakukan kesilapan besar menggunakan teori Barat untuk menilai karya Muhammad Haji Salleh, oleh itu penilaian mereka salah. Dengan itu, dari segi logik budak sekolah yang baru celik huruf, lantikan itu batal kerana tidak memenuhi syarat Muhammad Haji Salleh sendiri. Saya harap bacaan saya salah, untuk menyelamatkan Panel dan sasterawan negara ini sekali gus.  Inilah sandiwara akademik yang amat memualkan, tetapi menjadi hidangan lazat anggota Mutual Admiration Club. Adakah kita telah tertipu atau ditipu? Belum ada lagi mana-mana sarjana berani memberi jawapan, kerana mereka sendiri adalah anggota Mutual Admiration Club itu.  Tetapi dengan kemenangan Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat, Mutual Admiration Club telah dijadikan mercu tanda kejayaan dalam apa juga kegiatan manusia untuk mendapat apa-apa yang mereka mahu. Oleh itu, kita tidak seharusnya mengutuk Mutual Admiration Club ini. Biarlah Muhammad Haji Salleh seorang sahaja yang mengutuknya dalam tahun 1973 di Johor Bahru. Dia sendiri tahu betapa perlunya Mutual Admiration Club itu untuk dirinya sendiri. Cubalah jenguk buku mengenai beliau yang seluruhnya ditulis oleh penulis luar, dalam bahasa Inggeris. Ke mana pun beliau pergi, ketergantungannya kepada Barat dan teori sastera Barat sangat kuat. Inilah yang membuat kita sangat hairan mengapa beliau mengutuk teori sastera Barat yang telah memberinya laluan untuk dilantik sebagai sasterawan negara. Dalam kes ini, apakah yang tidak beres: pengkritiknya atau teori Barat itu? Kita semua menunggu jawapannya daripada para pengkritik sastera dan tokoh-tokoh akademik yang berbicara tentang sastera. Adakah anda semua hanya pemain sandiwara belaka?

Sama ada disedari atau tidak, kumpulan anti-ilmu ini telah mengkhianati perkembangan intelektual dalam kesusasteraan Melayu dengan meremehkan konsep ilmu yang benar, padahal konsep itu bersumber daripada al-Quran. Apakah yang terjadi? Jawapannya diberikan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud yang memperkenalkan konsep “ingkar ilmu” yang bersumber daripada keangkuhan Iblis yang ingkar perintah supaya sujud hormat kepada Nabi Adam ‘a.s. dengan mengemukakan logiknya sendiri dialah yang lebih mulia daripada manusia kerana dia dijadikan daripada api. Seperti yang diketahui umum, api adalah punca segala kerosakan dan kemusnahan; manakala manusia yang berasal daripada tanah menjadi sumber segala kemakmuran dan pertumbuhan tamadun. Kalau begitu, mengapa para sarjana dan sasterawan tidak boleh menerima hakikat ini dengan tunduk kepada konsep ilmu yang benar yang dibawa oleh PB sebagai teras penulisan kreatif? Logik siapakah yang dipakai oleh para pengkritik, sarjana, dan para sasterawan?  Kalau seorang sarjana besar seperti Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh boleh tersasar begitu jauh dalam kutipan tadi, maka kita boleh bayangkan apa yang ada di dalam genggaman akademik para sarjana biasa, yang seolah-olah menyokong pendapat bullshit sang profesor.  Menurut tokoh besar ini, kita belum ada satu teori kritikan sastera yang lengkap. Pendapat ini amat hebat kerana dalam penelitian saya, tidak pernah ada di seluruh dunia teori apa pun yang lengkap; lebih-lebih lagi teori sastera di Barat sekalipun, yang ramai sarjana cerdik dan tangkas berfikir, tidak berupaya menelurkan teori yang lengkap itu, kecuali ibu ayam yang memang bertelur lengkap. Kalau kita pakai logik Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh ini, maka jelaslah ibu ayam jauh lebih cerdik daripada manusia yang tidak pernah menelurkan sesuatu yang lengkap. Patutlah orang tua-tua kita mencipta peribahasa, “menunggu kucing bertanduk” yang tak mungkin terjadi kerana kucing bukan lembu atau kerbau. Saya sengaja membawa penghujahan bodoh ini kerana memang sangat bodoh jika kita mengharapkan apa-apa juga yang lengkap. Oleh itu, profesor ini sendiri tidak dapat berbuat apa-apa untuk melengkapkan puitika sastera Melayu yang beliau cetuskan, yang sudah mati beragan dan tidak berguna sedikitpun kerana tidak dapat digunakan untuk menganalisis dan menilai karya sastera. Satu-satunya “teori” sastera yang lengkap, jika kita mahu menggunakan istilah itu, yang kini terdapat di Malaysia, ialah Gagasan Persuratan Baru.  Profesor ini tidak tahu pun PB sudah wujud sejak 1992 lagi, apabila buku Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid diterbitkan oleh DBP (ulang cetak 2005, sudah out of stock). Kemudiannya diikuti dengan buku-buku lain yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. PB mencabar semua teori sastera Barat, dan dapat mematahkan hujah-hujah mereka seperti kita dapat mematahkan lidi buruk. Apa jenis profesor sastera yang tidak tahu menahu perkembangan yang begitu penting dalam pemikiran sastera di Malaysia dengan munculnya PB? Jawapannya diberikan sendiri oleh beliau dalam tulisannya yang dihasilkan di atas bumbung kilang berkarat, yang dimuat di dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Itulah teori sastera yang lengkap yang beliau maksudkan. Dirgahayu pandirisme!

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 26 Januari 2017.

Monday, January 23, 2017

SAYA PERLU MENULIS SEDIKIT LAGI MENGENAI PERKARA INI ....

Apakah yang menyebabkan para sarjana (ciritan), para sasterawan (picisan) dan para pengkritik (yang cetek meraba-raba) memperbodoh diri mereka sendiri untuk memusuhi PB? Saya diberitahu oleh beberapa pelajar sastera, mereka takut dimarahi oleh para sasterawan negara dan sarjana sastera, dengan risiko akan dikeluarkan dari Mutual Admiration Club yang diketuai oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dengan bantuan para sarjana seperti Dr. Salleh Rahamad, Dr. Rahman Napiah, dan lain-lain doktor sastera dan para sasterawan negara sendiri.  Kekal dalam Mutual Admiration Club adalah satu tuntutan yang mesti diberi perhatian serius, supaya mereka dapat dan diterima dengan baik untuk menghadiri segala jenis jemputan sastera dari DBP, ITBM, universiti dan badan-badan penulis. Kata para pelajar itu, “Kami tak pernah lihat Tuan dalam perhimpunan dan majlis besar-besar. Tuan tak dijemput?”  Sambil ketawa kecil, saya bergurau, “Bagaimana kalau student jemput saya...”  Nampaknya mereka, secara jujur menurut pemerhatian saya, tidak mahu mengambil risiko akan dipulaukan. Habis di situ saja.

Saya terus menulis mengenai perkara ini kerana saya fikir masyarakat sastera rugi besar tidak mahu mendekati dengan kritis PB, belajar sesuatu daripada gagasan itu.  Gagasan itu dikonsepsikan untuk mereka menjadi cerdik dan kritis dengan memperkenalkan beberapa konsep penting yang akan membolehkan mereka melihat sudut lain dalam penilaian karya kreatif dan dalam penulisan kreatif. Saya yakin mereka rugi besar jika memusuhi ilmu yang cuba diterapkan dengan sistematis dalam PB, yang nantinya akan membolehkan mereka membaca dengan kritis dan kreatif semua karya sastera, terutama sekali karya para sasterawan negara. Mereka akan melihat dengan jelas kemampuan kreatif dan keupayaan intelektual para sasterawan ini, yang tersirat (?) dalam karya mereka. Mereka juga akan dapat menilai dengan kritis segala pandangan para sarjana terhadap para sasterawan negara yang ditulis oleh para sarjana ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini. Lebih-lebih lagi, mereka akan sedar betapa mereka telah diperbodohkan oleh Panel Anugerah  Sastera Negara ketika menulis laporan mereka. Anda boleh baca kritikan saya dalam banyak entri dalam blog ini.  Sampai berapa lama lagi kita akan terus diperbodohkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ini? Kalau kita serius dalam bidang kritikan, kita harus membaca dengan kritis laporan mereka; dari situ kita akan melihat mereka sebenarnya telah “mempermainkan” para sasterawan negara ini dengan memberi ukuran yang amat lemah. Sekiranya penilaian mereka dinilai dengan kritis, anda akan melihat betapa mereka tidak mempunyai hujah. Mereka hanya melemparkan “kenyataan” (statements) yang umum. Bacalah dengan kritis dan teliti penilaian mereka terhadap Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala, Anwar Ridhwan dan lain-lain.  Laporan mereka adalah sejenis penglipur lara dalam penilaian sastera, tidak boleh dijadikan pegangan dan sandaran kerana sebaik saja penilaian mereka dicabar, semua penilaian mereka akan bertaburan seperti manik Dayak Iban yang putus tali. Ini pun telah saya bincang dalam beberapa entri dalam blog ini. Mengapa kritikan ini penting? Saya ingin anda sendiri menjawabnya, dengan misalnya menyanggah semua pendapat saya berasaskan hujah dan bukti daripada karya para sasterawan negara sendiri. Saya kira permintaan ini sangat wajar, untuk mengelak anda terus berada dalam gua Plato. Tentu anda tahu maksud saya.


Saya fikir masyarakat sastera tidak memberi penghormatan yang wajar dan setimpal dengan kedudukan para sasterawan negara ini, dengan tidak memberikan mereka gelaran Tan Sri, dengan itu semua majlis yang mereka hadiri akan berseri-seri dan kedudukan mereka pun akan benar-benar setimpal dengan gelaran mereka sebagai sasterawan negara. Saya berasa amat aneh bagaimana seorang bekas wartawan seperti Johan Jaafar diberi gelaran Tan Sri, dan mendapat pujian pula daripada pensajak dan sasterawan terkenal Leo AWS. Menurut beliau, dalam catatannya ketika menjadi tamu di rumah Tan Sri Johan Jaafar: “Dari rumah istana TS Johan di Btk Gasing PJ yang dapat melihat masjid berwarna warni di bawah sana; Teringat para seniman penulis di pelancaran buku karya TS Jj yang membawa ke majlis yang julung2 kali dek kemeriahan tertentu.”  Walaupun catatan ini sukar difahami (ini style Leo AWS sedia kala), namun jelas bahawa pensajak tersohor ini sangat kagum dengan karya Tan Sri Johan Jaafar. Adakah karya beliau lebih bermutu daripada karya para sasterawan negara? Saya tidak fikir karya para sasterawan negara ini lebih rendah mutunya daripada karya Tan Sri Johan Jaafar; oleh itu mereka pun layak diberi gelaran Tan Sri. Apakah yang menghalang mereka daripada diberi gelaran yang amat prestij itu? Para peminat mereka tentu amat gembira memanggil mereka Tan Sri anu anu bila bertemu mereka, dan pengerusi majlis yang mereka diberi tugas menyampaikan “ucaputama” akan bangga menyebut gelaran berprestij itu, sama seperti Leo AWS kagum terhadap Tan Sri Johan Jaafar.  Sekiranya kita dapat menerima saranan YAB Timbalan PM, Zahid Hamidi, supaya Malaysia mencontohi Donald Trump (orang Amerika ada yang panggil Donald Duck!) dalam strategi politik, maka saranan yang baik itu wajar diikuti oleh para sasterawan negara dan para pengikut mereka supaya mereka semua berhimpun di DBP dengan membawa sepanduk yang sesuai untuk mendesak DBP memperjuangkan gelaran Tan Sri kepada para sasterawan negara ini.  Dalam budaya baru di Malaysia yang mementingkan gelaran, cadangan ini amat munasabah dan perlu diberi perhatian serius. Kita harap PENA atau GAPENA mengambil inisiatif dalam usaha mulia ini. Jika cadangan ini berhasil, agaknya akan terbelalah sedikit kedudukan PB dalam sastera Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 23/1/2017. 

GAGASAN PERSURATAN BARU DAN MASA DEPAN PERSURATAN MELAYU

Para sarjana, pengkritik sastera dan sasterawan benar-benar tercabar dengan kemunculan Gagasan Persuratan Baru (seterusnya PB) yang mengajak mereka berfikir dalam konteks ilmu yang benar, sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh mereka selama ini. Lucu juga apabila terdapat sarjana ciritan dan sasterawan picisan berkata PB adalah sejenis ajaran sesat dalam kesusasteraan Melayu moden, yang kita TIDAK perlukan sama sekali. Kata mereka, kita telah ada Asas 50, yang menjadi pelopor sastera Melayu moden, yang kemudiannya melahirkan para sasterawan negara. Mereka sebenarnya tidak tahu sejarah, dan tidak dapat membaca dengan cerdik gerakan Asas 50 yang seratus peratus berkiblatkan Barat, terutama puak sosialis dan dengan itu mereka memperkenalkan realisme sosialis dengan slogan yang mengelirukan, Seni untuk masyarakat. Inilah pembohongan Asas 50 yang tidak disedari oleh peneliti sastera Melayu yang pada umumnya cetek meraba-raba, terputus dari tradisi mereka sendiri. Slogan Asas 50 bukan untuk masyarakat, tetapi untuk mereka sendiri dan untuk menegakkan realisme sosialis yang bertentangan dengan tradisi Melayu dan tradisi Islam. Golongan yang cetek meraba-raba ini seterusnya dengan angkuh melontarkan pertanyaan yang mereka sendiri tidak mengerti bahawa dengan pertanyaan itulah juga mereka membuktikan kepalsuan mereka sendiri. Sergah mereka, apa yang boleh dibuat oleh PB? Kata mereka, PB telah menjatuhkan hukuman yang lebih kejam daripada pedang guillotine revolusi Perancis. Semua sasterawan dipancungnya, bergelempangan dalam raga PB yang di dalamnya terdapat ular berbisa. Sedap juga kias ibarat mereka, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai penglipur lara. Raja Penglipur Lara ini muncul dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang mengemukakan sebuah tulisan yang penuh dengan angan-angan penglipur lara, ditulis pula di atas bumbung kilang berkarat. Sekiranya Pawang Ana kembali ke dunia, dia akan pengsan melihat jenis penglipur lara baru ini, yang terputus dari tradisi sendiri. Saya kira Pawang Ana akan gembira sekali melihat Awang Batil dari Perlis duduk bersimpuh di majlis syarahan perdana 1989 di UKM, yang menerima tabik hormat tertinggi daripada sang profesor yang memberikan ucapan itu. Satu sejarah yang pelik dalam dunia ilmu, tetapi sesuatu yang istimewa dalam dunia penglipur lara.  Inilah kumpulan manusia yang terkejut dengan kemunculan PB,  sehingga mendorong mereka dalam kumpulan mereka ini memanggil PB sebagai ajaran sesat kerana menolak dengan tegas sastera penglipur lara yang mereka perjuangkan.  Mereka tidak boleh terima hakikat bahawa para sasterawan negara yang mereka megahkan itu hanya kumpulan penglipur lara semata-mata, jika dinilai dengan kritis dan jitu dengan menggunakan ukuran Gagasan Persuratan Baru.  Sekarang kita boleh lihat konflik budaya yang begitu tajam antara para sasterawan dan Gagasan Persuratan Baru.  Mujurlah semuanya memilih gerakan penglipur lara baru. Hanya sebahagian kecil saja yang boleh menerima PB setelah mereka mengkajinya. Kumpulan kecil inilah yang nantinya akan menentukan perkembangan persuratan Melayu abad 21 ini, kerana mereka tidak saja mewarisi dunia intelektual yang beratus tahun yang mencetuskan persuratan Melayu; mereka juga mempunyai komitmen yang tinggi untuk meneruskan tradisi itu dalam Abad 21 ini. Hendak ke mana sastera Melayu moden? Inilah soalan yang benar-benar membingungkan para sasterawan, sarjana (ciritan) dan pengkritik sastera yang cetek meraba-raba.  Pertanyaan itu tidak perlu sama sekali, kerana arahnya telah ditunjukkan oleh PB. Mengapa golongan cetek meraba-raba ini menolak arah yang dicadangkan oleh PB, iaitu menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif dan penilaian karya seni. Di mana silapnya? Jawapannya terdapat dalam konsep pandirisme yang telah dihuraikan dengan teperinci dalam buku Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Masalahnya golongan cetek meraba-raba ini tidak membaca buku itu, yang sepatunya mereka sanggah dengan seluruh kejahilan intelektual yang mereka kuasai (baca kambali entri bertarikh 21 Januari 2017 berjudul, “Arah dan Matlamat Masih Kabur?”).  Mereka sepatutnya memberi reaksi sehabis keras yang mereka mahu kerana buku itu mengenai kepalsuan intelektual mereka; dan kepalsuan ini akan menjadi lebih ketara, terutama di kalangan anak muda yang  celik ilmu, apabila mereka yang menjadi penentang dan bersikap anti-ilmu ini bersikap seperti “lembu kenyang” (lihat entri mengenai aspek ini dalam blog ini) dengan terus mengunyah kebaculan intrelektual mereka dan terus berbangga menjadi golongan anti-ilmu.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 22 Januari 2017.

Sunday, January 22, 2017

SANGGAHAN TERHADAP GAGASAN PERSURATAN BARU?

 Apakah yang hendak disanggah? PB adalah satu sistem, bukan hanya sejenis nama seperti teksdealisme, puitika sastera Melayu dan lain-lain yang sering mendapat pujian daripada rakan-rakan sendiri.  PB menyediakan satu cara analisis dan sekali gus memberi kriteria untuk menilai karya kreatif dan karya akademik. Dari segi kreatif, setahu saya belum ada lagi karya yang bermodelkan PB, mungkin kerana persediaan yang bersifat intelektual agak berat; tidak saja dari segi bakat, malah lebih-lebih lagi dari segi pemikiran yang diperlukan untuk melahirkan karya persuratan seperti yang diharapkan oleh PB.  Tetapi dari segi analisis dan penilaian, sudah terdapat tesis MA dan Ph. D. yang menggunakan kerangka PB untuk menilai karya para sasterawan negara. Hasilnya amat menggalakkan, memberi kelainan analisis dan penilaian yang padat dengan hujah, tidak hanya menggunakan retorik peragaan, atau pretensi intelektual yang kedua-duannya berserabut dengan fatamorgana bahasa yang tidak memberi faedah selain hanya memamirkan pandirisme semata-mata. Istilah pandirisme ini kini sudah menjadi begitu penting kerana dengan menggunakan istilah ini kita boleh terus meneka kualiti pemikiran dan kehandalan intelektual dalam membuat analisis yang mantap. Saya harap sanggahan yang disebut oleh editor DS itu memenuhi ukuran yang saya sebutkan, kerana jika tidak maka sesiapa juga yang kononnya membuat sanggahan itu pastilah tidak berasaskan kefahaman yang mendalam tentang konsep ilmu dan bagaimana ini boleh mempengaruhi analisis yang dilakukan.

Perlukan PB disanggah? Apakah aspek yang hendak disanggah? Adakah sanggahan itu bertujuan untuk membuat pembetulan, atau hanya utuk mencari perhatian yang  tidak menambah apa-apa penjelasan atau koreksi yang memang diperlukan. Aspek ini penting kerana selama ini kita telah banyak membuang masa dan kata-kata  untuk hanya melanjutkan sikap negatif terhadap ilmu. Pengalaman saya membaca perbahasan dalam falsafah Islam atau falsafah Barat, meyakinkan saya bahawa perbezaan pendapat atau pendirian memang tidak dapat dielakkan kerana terdapat perbezaan dari segi tafsiran sesuatu konsep penting dalam ilmu falsafah. Pada waktu ini saya sedang meneliti sebuah buku yang saya kira perlu dibaca oleh semua ahli akademik, terutama yang berlibat dalam kritikan sastera dan pengajaran sastera, yang membicarakan perbezaan pendapat antara Plato dan Aristotle (yang pernah berguru selama 12 tahun dengan Plato).  Saya maksudkan buku  Hans-Georg Gadamar, The Idea of the Good in Platonic-Aristotelian Philosophy (Yale Universiti Press: New Haven dan London, 1986); terjemahan Prof. P. Christopher Smith, yang juga menulis satu Introduction yang cukup menarik membicarakan dua orang gergasi Barat ini dan bagaimana Gadamar membaca mereka. Tentulah saya hanya berangan-angan dalam dunia penglipur lara jika mengharapkan sanggahan terhadap PB yang dimaksudkan itu sampai ke taraf penghujahan Gadamar dalam bukunya ini.  Tetapi itulah harapan saya supaya akan berlaku juga satu masa nanti, mungkin dalam masa 100 tahun yang akan datang.  William Hazlitt pernah menempelak para pengkritik Skakespeare (anda perlu membaca sendiri esei beliau itu). Bagaimana jika yang mengkritik itu seorang Tolstoy atau seorang G. Bernard Shaw? T.S. Eliot pernah mengkritik drama “Hamlet’ yang terkenal itu; dan beliau memberitahu kita bagaimana beliau dikutuk kerana berani memberi pendapat yang kritis. Kita mengalu-alukan pendapat yang kritis itu daripada “tokoh-tokoh besar” kita sendiri. Kita sudah lama menunggu ingin mendengar suara kritis mereka. Tetapi sebelum itu elok  jika diteliti dengan mendalam buku Frank Lentricchia, After the New Criticism, terutama sekali bab mengenai Murray Krieger, yang mula-mula dilantik sebagai Profesor Kritikan Sastera 1974.  Lihat juga buku Morris Weitz yang penting, Hamlet and the Philosophy of Literary Criticism.  Saya merujuk anda kepada buku-buku dan pengarang ini untuk mengelak daripada memberi pendepat yang cetek meraba-raba, tetapi berlagak sebagai seorang sarjana, walaupun hanya sekadar sarjana ciritan.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 22 Januari 2017.

Saturday, January 21, 2017

Arah dan Matlamat Masih Kabur?

Apakah yang ingin dicapai oleh sastera Melayu moden? Pertanyaan ini berbentuk retorik, bukan untuk mencari jawapan; kerana jawapan itu sendiri berada dalam pertanyaan itu.  Kemunculan para sasterawan negara telah gagal memberi arah yang jelas kepada pertanyaan itu, kerana mereka sudah ditakdiskan oleh para sarjana ciritan dan para sasterawan picisan sebagai golongan yang paling unggul dalam perkembangan tamadun ilmu Malaysia. Kesimpulan ini menjadi masalah besar kepada para sarjana ciritan dan sasterawan negara sendiri, kerana mereka tidak mempunyai hujah sama sekali untuk mempertahankan kesimpulan mereka. Mereka tidak mahu dinilai semula sekiranya penilaian itu akan meletakkan mereka bukan di atas takhta keunggulan, tetapi sebaliknya berada di atas tong kayu gabus yang berselerak di Jalan Chaw Kit, Kuala Lumpur.  Inilah kenyataan yang tidak dapat mereka tangkis dengan hujah, kerana karya mereka sendiri tidak berupaya menentang  serangan berteraskan konsep ilmu yang benar yang menjadi pegangan mereka sebagai penulis Islam tetapi tidak mereka laksanakan. Bagaimana ini boleh berlaku? Mudah. Mereka menolak konsep ilmu yang benar dengan alasan yang tidak masuk akal bahawa karya kreatif tidak perlu berlandaskan konsep ilmu, seperti yang dibuktikan dalam semua karya seluruh dunia.  Adakah ini pandangan yang waras dan betul? Kita ambil satu contoh daripada Thomas Mann, yang disebut oleh Harold Barrett dalam bukunya Rhetoric and Civility (1991; rujuk halaman 148). Perhatikan dengan wajar dan siuman kesimpulan Barrett ini: “A willingness to engage with others, making a willing presence as an active, cooperative, and motivated player in social interaction is essential to community welfare; the will to help shape public order.  Passivity reduces benefits and alters the character of an axchange, and withdrawal by one party ends it. To speak up, to speak out – indeed to speak to any indicated chosen end, may be an act of civility, for as Thomas Mann said, ‘Speech is civilization it self. The word, even the most contradictious word, preserves contact – it is silence which isolates.’”  Kutipan dari Thomas Mann daripada novelnya, The Magic Mountain.  Sangat jelas pentingnya unsur “ilmu” dalam kutipan yang pendek dan ringkas itu dalam karya penulis Barat sekali pun. Tetapi kerana sarjana ciritan tidak membaca, maka mereka dengan bodohnya membuat kesimpulan yang tidak masuk akal bahawa “ilmu” tidak penting dalam karya kreatif. Berada dalam kebodohan begini hanya boleh dilanjutkan dengan bersemangat andainya para sarjana ciritan dan sasterawan picisan ini tidak membaca; yang terjadi mungkin kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka sangat lemah. Nampaknya inilah arah dan matlamat mereka sebagai sarjana ciritan dan sasterawan picisan. Mereka adalah manusia bacul dari segi intelektual, oleh itu tidak bersedia untuk berdialog mengenai masalah arah dan matlamat yang dibincangkan di sini.  Padahal persoalan ini sangat penting, dan keengganaan mereka untuk berdialog seperti yang dicadangkan oleh Barrett menjadikan sastera Melayu moden bangkut dari segi intelektual. Ini telah dibuktikan dengan sangat jelas oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka; dan saya telah mengkritik kebaculan intelektual ini dalam banyak entri dalam blog ini.  Sekarang saya dengan penuh hormat mencabar mereka untuk menjelaskan mengapa konsep ilmu yang benar itu tidak penting dan tidak wajar dijadikan teras dalam penulisan kreatif untuk memastikan arah dan matlamat itu jelas serta menjadi tumpuan dalam penulisan kreatif.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 22 Januari 2017.