Sunday, November 6, 2016

POWER IS SWEET; SWETENED WITH CORRUPTION

Tajuk entri saya kali ini bolehlah anda anggap, dengan kebiasaan anda menentukan sesuatu keputusan seperti Pak Pandir, bahawa saya sudah berubah menjadi pejuang bahasa Inggeris, seperti yang sedang diusahakan oleh Kerajaan pada waktu ini, dan dengan sokongan DBP pula.  Tetapi jika anda seorang pemikir yang tajam, dan tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman seperti yang anda lakukan ketika menilai karya sastera,  maka anda akan terfikir, saya sebenanya sendang mempertahankan falsafah yang diajar oleh Buyun g Lurus: “Kita mesti pertahankan kebenaran (yang haq) di negara kita.”  Tetapi tidak seorang pun pembaca Hikayat Buyung Lurus memberi perhatian kepada ucapan Buyung Lurus ini, jika kita dapat jadikan ukuran apa yang diucapkan dalam majlis pelancaran novel ini satu ketika dulu. Kalau saya menyindir mereka sebagai pemikir sampah, atau penilai sampah, mereka marah. Tetapi apa yang mereka lakukan membuktikan tuduhan saya itu betul. Sebagai contoh, lihat bagaimana tiga orang juri Hadiah Sastera Kebangsaan memberi hujah ketika memilih Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Kajian Ginokritik (oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman) untuk memenangi hadiah tahun berkenaan.  Kata mereka (terdiri daripada dua orang profesor madya, Dr. Jelani Harun da Dr. Hashim Ismail, dan Ketua Satu PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad):  “Kekuatan karya dapat dikenal pasti dari segi perbandingan yang menyeluruh terhadap tokoh-tokoh pengarang wanita di Malaysia dan Indonesia. Pengaplikasian teori ginokritik telah menghasilkan perbincangan yang teoretikal dan seimbang antara dua pihak tersebut. Ketelitian perbincangan terbukti melalui paparan data dan analisis yang setara dalam semua aspek dan bagi setiap pengarang. Dengan perbincangan sedemikian, bacaan terhadap kajian ini menimbulkan kesan dari segi keilmiahannya.” (huruf condong dalam original).  Sesiapa juga yang telah membaca, dan mengkaji buku Dr. Norhayati ini, akan jatuh pengsan membaca penilaian tiga orang sarjana ini.  Perhatikan setiap huruf condong dalam penilaian itu: kekuatan buku ini kerana perbandingan yang menyeluruh; iaitu kerana terdapat pengplikasian teori ginokritik; yang menghasilkan ketelitiannya kerana paparan data dan analisis yang setara; maka semua ini menimbulkan kesan dari segi keilmiahannya. Apa jenis retorik peragaan yang mereka gunakan, dengan menderetkan fatamorgana bahasa dalam pretensi intelektual yang kosong.  Dari segi ilmiah, buku ini adalah contoh terbaik dilihat dari segi pretensi intelektualnya, tetapi tidak bermakna apa-apa dari segi ilmu. Yang ada hanya maklumat murahan yang tidak dianalisis berasaskan konsep ilmu, walaupun kononnya digunakan teori ginokritik. Ini bukan teori, ini hanya andaian yang memang biasa dibuat oleh Pak Pandir ketika menilai sesuatu. Kalau anda telah membaca dengan teliti maksud pandirisme yang saya salin untuk makluman anda, maka anda akan faham dengan mudah maksud saya.

Perhatikan bagaimana tukang mas bekerja. Untuk mendapat mas tulen, dia bakar terlebih dulu mas itu; ketika itu keluarlah buih mengalir ke dalam pelimbahan. Tukang mas tidak mengumpul buih itu; dia ambil emas yang ditinggalkan buih. Norhayati mengambil buih itu; dan inilah juga yang diambil oleh para penilai buku ini.   Adakah sumber Dr. Norhayati “emas” dalam sastera? Bahannya ialah novel pornografi, novel lucah dan picisan. Bagaimana dari sumber demikian kita boleh mendapat sesuatu yang diberi penekanan oleh tiga orang penilai buku ini? Maka jadilah penilaian mereka juga picisan. Kasihan kepada para pelajar universiti yang diberi galakan membaca buku ini, seperti permintaan Dr. Norhayati sendiri. Mereka tidak tahu mereka sedang bermain buih, bersama para pensyarah mereka. Begitu teruk sekali kedudukan ilmu dalam pengajian sastera di Malaysia. Begitu meluas penipuan intelektual yang dilakukan sewenang-wenangnya oleh para sarjana sastera. Inilah contoh korupsi intelektual. Orang yang terlibat dalam kegiatan ini diberi kuasa menentukan sesuatu; dan kuasa itu menjadi amat manis apabila penipuan intelektual, berupa korupsi intelektual, diberi kedudukan tinggi dalam budaya pandirisme.

Apa yang dilakukan oleh para sarjana ini ialah mencontohi ahli politik. Itu saja yang saya mahu sebut dalam bab ini. Semua orang tahu 1MDB.

Abad kita adalah abad kehancuran nilai manusia.  Tepat sekali dengan amaran dan ramalan Sorokin. Saya kutip satu perenggan pendek daripada kesimpulan beliau yang relevan dengan negara kita. Menurut beliau, “Anyone can pile mass upon mass, quantity upon quantity; but only a genius  can achieve (often with the maximum economy of means) a masterpiece.  Hence the inner emptiness  of our biggest creations.  ... Our universities and colleges produce few, if any, authentic geniuses. The art of our Radio Cities and theaters is supremely vulgar and supremely mediocre.” (hal. 72).  Di mana keadaan Malaysia berbeza dengan kesimpulan Sorokin ini? Anda lebih tahu daripada saya.  Adakah beliau bercakap tentang budaya sampah?  Ini jawapan beliau: “The same degeneration is brought about by the tendency of our culture to substitute means for ends, technique for genius.” (huruf condong dalam original).  Beliau bercakap dalam konteks “the sensate culture.” Ada apa-apa imbasan dengan yang kita sering bincang dan lakukan?

Saya kemukakan satu contoh, yang mungkin boleh memberi sedikit gambaran tentang sistem nilai yang kita jadikan panduan pada waktu ini, hasil dari konsep sastera yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana.  Ini mengenai novel Pujangga Melayu.  Novel ini mendapat reaksi yang menarik dari golongan wanita. Golongan yang bersifat dan berciri kebetinaan  menegaskan dengan marah, dan barangkali juga benci, watak wanita dalam novel ini yang menjadi bini Prof. Awang adalah watak yang tidak logik, yang tidak masuk akal, kerana kata mereka tiada wanita yang siuman ingin dan bersedia berkongsi suami dengan wanita lain; apatah lagi sampai empat. Kerana sifat kebetinaan  mereka yang agresif, mereka tidak boleh terima Islam membenarkan poligami. Istilah kebetinaan ini adalah sesuai dengan feminisme yang menjadi gerakan penting dalam budaya hawa nafsu mereka.  Bagi mereka tidak ada masalah kerana dalam budaya mereka wanita hanya layak menjadi hamba atau pemuas nafsu seks lelaki. Tetapi ini tidak benar, jika kita membaca penelitian Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam bukunya tentang puitika sastera wanita. Dia memberitahu kita, terutama sekali melalui perbualannya dengan Ayu Utami, bahawa wanita perlu mendapat kepuasan seks sepenuhnya dengan mana-mana lelaki yang dipilihnya. Ayu Utami adalah tokoh kebetinaan  yang tidak alang-kepalang. Bagaimana dengan penulis wanita Malaysia? Nampaknya Dr. Fatimah Buru melalui novelnya yang dipilih Dr. Norhayati seakan-akan mirip dengan Ayu Utami; malah dalam novelnya yang dicanangkan beliau sebagai “novel Islam”, Salam Maria, membuktikan dengan jelas sikap anti-lelaki beliau; sehingga watak-wataknya terpaksa lari ke dalam hutan untuk mendapat kebahagiaan, dalam hutan itulah mereka menerima lelaki yang jahat dan zalim yang ingin membuang anak perempuan mereka.  Adakah semua ini logik, jika dibandingkan dengan perwatakan wanita dalam Pujangga Melayu?  Sekiranya anda berani membuat keputusan berasaskan akal sihat yang siuman, semua ini adalah “longgokan sampah” dalam sastera; kerana itu para sasterawan, dengan sokongan kuat daripada sarjana, berasa amat tersinggung apabila Pujangga Melayu lahir, memberi mereka pilihan dalam bentuk penulisan dan pemikiran, yang mereka tidak sanggup menerimannya kerana keadaan mereka yang cetek meraba-raba. Mereka lebih bersedia menerima dan memberi sanjunga kepada karya sampah, baik yang kreatif mahu pun yang bercorak “akademik”.  Inilah pendirian para juri yang memilih buku Dr. Norhayati Ab.  Rahman. Sekiranya anda masih belum faham, bertanyalah Dr. Polan Cupan atau Buyung Lurus, yang jauh lebih cerdik daripada anda.

Konsep kebetinaan perlu difahami bersama konsep patriaki yang menjadi kemarahan feminisme. Dalam Islam tidak ada patriaki.  Islam menegaskan dengan jelas dalam al-Quran dan dalam hadis sahih bahawa setiap lelaki adalah imam kepada keluarganya, menjadi penjaga isterinya dan anak-anaknya. Tanggungjawab itu amat berat, kerana jika dia menyeleweng, atau tidak menerimanya, dia akan membawa dirinya dan keluarganya ke neraka dan semua amal ibadatnya tidak dikira sah. Itu kedudukannya. Bagaimana jika terdapat sarjana dan sasterawan menekankan konsep patriaki itu dalam keluarga Islam? Sudah jelas perbuatan itu menolak ajaran Islam, membantah  suruhan al-Quran, dan ini sama ada akan menjadikannya munafik atau terus kafir. Hal ini perlu diberi penjelasan supaya tidak ada para pelajar sastera, para sasterawan dan sarjana sastera menyebar ajaran sesat dalam kesusasteraan dan kebudayaan.  Dilihat dalam konteks ini, adakah penilaian tiga orang juri untuk menerima buku Dr. Norhayati Ab. Rahman sebagai buku terbaik dalam kategori buku ilmiah selaras dengan tuntutan al-Quran. Kalau tidak, pemilihan mereka adalah terbatal dan tidak boleh dipakai kerana ini akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat untuk menerima karya yang bertentangan dengan Islam sebagai model keunggulan akademik.  Bagaimana dengan novel Salam Maria, masihkah boleh dianggap sebuah novel berunsur Islam? Soalan ini terpaksa ditanyakan kerana jelas dalam novel itu pengaruh patriaki seperti yang difahami di Barat menjadi ukuran utama bagi pengarang dan watak-watak wanitanya, untuk tidak menerima kaum lelaki sebagai imam dan ketua keluarga.  Kita memerlukan penjelasan, supaya kita tidak menggunakan konsep sewenang-wenangnya sebagai sarjana poyo yang cetek meraba-raba, kalau tidak pun jahil tentang agamannya sendiri. Sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera yang menjadi penilai perlu menunjukkan mereka tidak tenggelam dalam kejahilan yang menjadi pilihan mereka  untuk membuat keputusan yang amat bertentangan dengan kepercayaan, lebih tepat iman, yang menjadi anutan mereka.  Sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kesimpulan ini, mereka perlu memberi penjelasan dan sedia berdebat untuk mendapat kepastian daripada perspektif kepercayaan kita. Sarjana tidak boleh berdiam diri apabila mereka melakukan kesilapan besar seumpama ini. Baca dengan cermat kutipan daripada Prof. Jonathan di bawah tentang epistemologi.

Jika kita melihat isu ini dalam konteks hegemoni yang ditekankan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya yang dimuat dalam buku ITBM mahu pun yang disiarkan dalam Dewan Sastera, yang dimaksudkan oleh beliau dengan hegemoni itu ialah kekuasaan golongan Mutual Admiration Club yang dipayungi dan disokong oleh ITBM, DBP dan Panel Anugerah Sastera Negara. Hegemoni itu ialah berkuasanya konsep sastera yang dikaden yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera.  Maka tidaklah mengherankan jika golongan Mutual Admiration Club yang dipilih untuk menilai karya sastera yang disediakan oleh DBP memilih karya yang dikaden jika dilihat daripada perspektif ilmu yang benar, tetapi yang dikaden itulah yang dinamakan mereka kemajuan dan sebagainya seperti yang disenaraikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.  Konsep dikaden yang menjadi asas hegemoni itu disandarkan kepada kebebasan yang perlu ada pada sasterawan dan sarjana untuk menentukan pilihan mereka sendiri; tetapi sesiapa juga yang bertentangan pendapat dengan mereka tidak diberi kebebasan itu. Inilah korupsi intelektual dalam kesusasteraan Melayu moden.

Hegemoni dalam konteks Foucault yang dipakai oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah ajaran Marxist yang mengarah kepada paksaan kepada rakyat untuk menerima kekuasaan golongan Marxist atau pemerintah. Ini bukan ajaran Islam, malah bertentangan dengan ajaran Islam yang mengasaskan nilai dalam bentuk apa juga daripada sumber al-Quran, yang menetapkan betapa pentingnya adab dan ilmu, oleh itu Islam mementingkan keadilan, bukan kekuasaan seperti yang ditekankan oleh konsep hegemoni. Hegemoni dalam maksud wacana (discourse) seperti yang digunakan oleh Foucault  masih lagi berada dalam konteks kekuasaan intelektual yang didominasi oleh golongan tertentu untuk memastikan hanya pandangan dan pendapat mereka saja yang diterima oleh masyarakat. Inilah yang terjadi di Malaysika dalam konteks sastera, dan ini membawa kepada berleluasanya sastera atau karya sampah seperti yang dijelaskan di atas. Mereka tidak membezaksan yang sampah, yang buih daripada yang tulen sebab dalam pandangan mereka tidak perlu kerana semua itu, menurut mereka, hanya kritikan rekaan untuk memburukkan mereka.  Tetapi mereka tidak pernah menjawah hujah pihak yang sebelah lagi, misalnya yang menganggap mereka adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba. Perbuatan mereka, melalui wacana mereka dalam konteks hegemoni, tidak berupaya menyanggah kritikan ke atas mereka. Akhirnya mereka mengambil sikap sebagai “lembu kenyang.”

Falasafah “lembu kenyang” ini tidak membawa kemajuan dari segi pemikiran, seperti yang telah dibuktikan oleh gagasan Persuratan Baru yang mengkritik kumpulan “lembu kenyang” ini. Dalam konteks inilah konsep “ingkar ilmu” yang dikemukakan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud amat berguna untuk melihat kepalsuan kumpulan “lembu kenyang” ini.  Akhirnya kita boleh melihat dengan jelas sikap kumpulan “lembu kenyang” sebagai penganut faham nihilisme, satu konsep yang diperkenalkan oleh penulis Russia yang terkenal, Turgenev. Konsep ini kemudiannya masuk ke dalam filsafat untuk membongkar kepalsuan manusia yang menganut faham ini secara tidak sedar, seperti yang dilakukan oleh sarjana sastera dan sasterawan Malaysia. Bagi mereka tidak wujud nilai dan moral yang mutlak, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika memuji A. Samad Said dalam laporan mereka, yang di antara yang pernah menjadi  anggotanya ialah Prof. Zawiah Yahya, yang telah mengkritik gagasan Persuratan Baru sebagai pembawa faham “absolutism” dalam kesusasteraan Melayu, oleh itu bertentangan dengan sifat asasi kesusasteraan yang menerima secara terbuka apa juga pandangan dan teori, oleh itu boleh ditafsirkan dalam apa juga cara. Inilah nihilisme yang “absolute” dalam konteks Prof. Zawiah Yahya. (Rujuk buku beliau, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making, UKM 2010.)  Jika kita menilai pendapat ini dalam konteks “ingkar ilmu” yang bersumberkan ajaran Iblis, kita dapat menilai dengan mudah kualiti pendapat yang  nihilistik ini.  Nampaknya inilah pendapat dan pendekatan yang betul menurut keyakinan kumpulan “cetek meraba-raba” ini.

Dalam dunia sastera yang berteraskan pandirisme, faedah peribadi lebih penting daripada kualiti. Ini dapat kita lihat dalam resolusi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM), yang dengan angkuh memperagakan sifat tamak dan kepentingan peribadi para sasterawan yang meminta itu dan ini dari Kerajaan, termasuk dijadikan anggota perwakilan semua lawatan luar negeri supaya para sasterawsan negara dapat ikut sama memperkenalkan karya mereka kepada dunia.  Barangkali bukti paling baik tentang faedah lebih penting daripada kualiti ialah yang terserlah dalam  kertas kerja yang dibentangkan dalam SKPM. Bacalah kertas kerja empat orang sasterawan negara, yang salah seorangnya naik ke atas bumbung kilang berkarat untuk mendapat ilham. Sungguh tidak ada maruah!  Sasterawan ini sudahlah begitu ghairah bermain dengan kata-kata tidak bermakna dalam sajak-sajaknya; malah dalam menulis kertas kerja pun dia masih bermain-main. Tepat sekali, sastera adalah permainan bahasa, kata para sasterawan, dengan sokongan padu daripada para sarjana. Palsunysa faham ini dibicarakan dengan agak mendalam dalam entri mengenai keindahan bahasa  berdasarkan konsep ihsan.  Selain dari setengah sasterawan yang mengeluh kerana berasa tidak bebas, ramai yang marah kerana membawa masuk konsep agama dalam sastera, kata mereka hanya untuk membataskan kebebasan para sasterawan.

Semua sikap negatif ini muncul akibat dari pengaruh “ingkar ilmu.”  Apakah yang mendorong para sasterawan dan sarjana ingkar ilmu? Pada penelitian saya, kerana mereka tidak memahamai dengan mendalam teori sastera Barat. Jika mereka memahaminya dengan mendalam, mereka akan termuntah-muntah  berasa loya dari segi intelektual. Saya anjurkan mereka ini membaca dengan mendalam After the New Criticism, lepas itu diikuti dengan kefahaman yang mendalam tentang konsep pascamodernisme dan seterusnya tentang sejarah kritikan Barat yang berkembang dari satu fasa kepada fasa lain dengan beberapa perubahan tertenu. Dari pembacaan saya, saya belum lagi bertemu seorang sarjana ciritan yang benar-benar memahami teori sastera Barat dan perkembangan pemikiran dalam sejarah kritikan sastera Barat. Kerana itulah mereka melalak dengan kuat membuat gesaan itu dan ini untuk diri mereka dalam SKPM 2014, bukan untuk ilmu dan pemikiran yang tuntas sebagai ahli akademik. Sungguh amat memalukan tabiat dan kelakuan mereka ini!

Sikap sarjana poyo yang ciritan dan cetek meraba-raba ini menjadi penghalang kepada perkembangan ilmu dalam kesusasteraan Melayu moden.  Keadaan mereka yang berada dalam kandang “lembu kenyang” ini hanya puas dengan mengunyah maklumat keliru tentang sastera dunia dan terasing pula daripada  tradisi sastera Islam dan sejarah pemikiran dalam Islam.  Inilah sumber ilmu yang agung yang mereka remehkan, dengan itu mereka menjadi penghalang kepada perkembangan persuratan Melayu abad 21 ini.  Mereka bangga dan selesa berada dalam penjara “ingkar ilmu” seolah-olah itulah pilihan terbaik sebagai dalih untuk tidak mendekati gagasan Persuratan Baru.

Apakah yang menakutkan mereka untuk mendekati gagasan Persuratan Baru dengan berwibawa sebagai kumpulan anggota akademik yang berwibawa?  Ketakutan mereka sebenarnya berpunca dari ketidak-upayaan mereka menghadapi gagasan Persuratan Baru kerana mereka tahu mereka sebenarnya tidak bersedia untuk berbicara tentang konsep ilmu dan epistemologi. Tetapi ini sepatutnya tidak menakutkan mereka jika mereka tahu perkembangan pemikiran Barat moden yang menolak epistemologi sebagai tidak relevan, seperti yang ditegaskan dengan yakin oleh Richard Rorty, seorang tokoh yang sering disebut oleh beberapa orang sarjana Malaysia. Sepatutnya mereka boleh bergantung pada tokoh ini untuk menghilangkan rasa takut mereka kepada konsep ilmu yang menjadi  teras gagasan Persuratan Baru.  Tentu mereka tahu bagaimana hendak manfaatkan kritikan Rorty terhadap epistemologi, jadi mudahlah bagi mereka menghujahkan kecacatan, malah kepalsuan gagasan Persuratan Baru.

Sebagai satu sumbangan saya yang ikhlas untuk memudahkan para sarjana dan sasterawan memahami apa bendanya yang dipanggil epistemologi itu menurut pandangan falsafah Barat (pandangan Islam lain), saya turunkan satu kutipan yang termuat dalam The Oxford Companion to Philosophy daripada entri oleh Prof. Jonathan Dancy, hal. 245. Inilah dia:

Epistemology is the study of our right to the beliefs we have.  More generally, we start from what we might call our cognitive stances, and ask whether we do well to have those stances. Cognitive stances include both our beliefs and (what we take to be) our knowings; and in another dimension they include our attitudes towards the various strategies and methods we use to get new beliefs and filter out old ones, as well as the products of those strategies and methods. Epistemology, on this showing, is explicitly normative; it is concerned with whether we have acted well or badly (responsibly or irresponsibly) in forming the beliefs we have.”  (Huruf condong ditambah.)

Definisi ahli falsafah ini sangat cantik dan tepat sekali mencirikan kelakuan dan perangai para sarjana dan sasterawan Melayu. Tetapi ini tentu saja tidak menepati konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam untuk panduan orang Islam yang cerdik dan beriman dan yakin dengan keimanannya. Sila rujuk penjelasan Imam Ghazali tentang konsep ilmu yang benar dalam Islam; atau paling mudah bolehlah rujuk buku-buku Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang membicarakan aspek ini dengan mendalam, tetapi sayangnya jarang sarjana dan sasterawan Melayu ingin membacanya kerana mereka berasa sukar untuk memahaminya. Di mana agaknya pendapat Prof. Jonathan yang boleh kita pakai untuk memperihalkan kelakuan para sarjana dan sasterawan ini terhadap Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Adakah ini, maksud saya pertanyaan ini, satu cabaran kognitif atau tentang sikap yang negatif? Mungkin anda boleh menaiki bumbung kilang berkarat untuk memikirkannya dengan mendalam dan penuh keinsafan akademik.  Sekiranya anda menghadapi masalah schizophrenia, nasihat ini mungkin boleh membantu anda untuk menjadi siuman. Tentu anda masih ingat penegasan Buyung Lurus yang boleh dijadikan peringatan kita semua:  “Kita mesti pertahankan kebenaran di negara kita.”  Budaya pandirisme yang kita hadapi dalam semua bidang kehidupan kita menjadikan seruan Buyung Lurus itu sangat relevan.

Setelah membaca tentang konsep ihsan, pandirisme, dan stylization of ideas,  anda mungkin memahami mengapa entri ini ditulis dalam gaya ini. Terima kasih.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  6 November 2016





Friday, November 4, 2016

KONSEP IHSAN DALAM KEINDAHAN BAHASA

Keindahan Bahasa Berasaskan Konsep Ihsan
(Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, hlm. 19-38, UKM, 2008)

Apakah perbezaan penggunaan “bahasa sastera” dengan “bahasa persuratan”? Dengan munculnya gagasan Persuratan Baru sebagai satu kerangka analisis dan prinsip penulisan kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar, maka pertanyaan ini amat penting kerana jelas sekali terdapat perbezaan antara bahasa sastera dengan  bahasa persuratan. Sebelum ini perbezaan ini tidak dapat dilihat dan tidak pun diberi perhatian, tetapi dengan adanya penekanan terhadap wacana yang bersifat ilmu denga cerita  yang bersifat peristiwa dalam tulisan kreatif yang dipanggil karya sastera, terdapat kecenderungan besar untuk menggunakan “bunga bahasa” yang berlebihan. Karya-karya kreatif sangat mewah dengan “bunga bahasa”, tetapi miskin dengan makna yang mendalam. Dengan itu kita lihat karya kreatif itu rimbun dengan “bunga bahasa” yang tidak berbuah, yang kelihatan “indah” dari jauh untuk sementara waktu saja. Bunga-bunga itu berguguran jatuh menjadi sampah sarap bila direnggut sedikit saja dengan analisis yang kritis, tidak tahan ujian apabila dibedah untuk mencari isi atau maknanya. Inilah sifat utama penggunaan bahasa dalam sastera, dalam karya-karya kreatif; dan inilah yang dipanggil oleh para sasterawan sebagai “keindahan bahasa”.

Konsep keindahan bahasa yang dipakai dan dibanggakan oleh para sasterawan, yang diikuti pula oleh para sarjana sastera, adalah konsep yang lemah dan bertentangan dengan sifat bahasa yang sebenarnya. Matlamat diajarkan bahasa kepada manusia oleh Allah SWT ialah untuk mengenal tanda-tanda kebesaran Allah di dunia dan dari pengenalan itu dapatlah dibaca makna tanda-tanda itu dalam kehidupan manusia. Pada hakikatnya, bahasa adalah penjelmaan makna taklif dalam kejadian manusia dan peranannya dalam dunia. Itulah yang ditunjukkan oleh al-Quran dalam peristiwa kejadian Nabi Adam ‘a.s. ketika dipertentangkan dengan malaikat yang mempersoalkan kejadian manusia jika dengan kejadian itu akan membawa huru hara dalam dunia. Penyelewengan bahasa yang pertama digunakan oleh Iblis ketika dia memperdayakan Nabi Adam ‘a.s. supaya melanggar perintah Allah Ta’ala tidak mendekati suatu pohon yang ada di dalam syurga. Allah Ta’ala berfirman kepada Nabi Adam ‘a.s.,  jika dilanggar juga perintah itu, maka baginda akan menjadi orang yang zalim. Iblis memujuk Nabi Adam ‘a.s. bahawa tujuan Allah Ta’ala melarang baginda mendekati pohon itu kerana pokok itu akan membuatnya kekal abadi di dalam syurga. (Baca episod ini dalam al-Quran, 2:30-39). Inilah bentuk hujah yang dipakai oleh para sasterawan dan sarjan sastera ketika mempertahankan perlunya “bunga bahasa” dalam tulisan kreatif, kerana tujuannya, seperti yang difahamkan oleh golongan sasterawan, ialah untuk mengekalkan “keindahan bahasa” karya itu dalam bentuk yang menyimpang daripada hakikat taklif, tetapi dekat dengan kemahuan hawa nafsu rendah yang dipengaruhi Iblis. Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam analisisnya tentang penggunaan bahasa Shahnon Ahmad, Arena Wati dan lain-lain Sasterawan Negara dan sasterawan biasa, seperti yang terdapat di dalam tesis kedoktoran beliau, menunjukkan bagaimana para sasterawan dengan sengaja dan sedar menggunakan bahasa erotik untuk merangsang nafsu berahi para pembaca, dengan itu menambah bilangan para pembaca dan penjualan novel mereka. Analisis Dr. Zariat terhadap dua buah novel Shahnon Ahmad yang dikatakan membicarakan aspek poligami dalam Islam, jelas menunjukkan bagaimana Shahnon Ahmad memilih penggunaan bahasa yang boleh menimbulkan keberahian dan hawa nafsu, bukan untuk membicarakan masalah poligami secara beradab. (Rujuk tulisan Dr. Zariat dalam Jurnal Ilmu Kemanusiaan, Jilid 12, Oktober 2005, hal. 75-102). Dengan berbuat demikian, Shahnon Ahmad mempermudah dan menyelewengkan persoalan poligami itu untuk hanya dikaitkan dengan keperluan hawa nafsu manusia. Pendekatan yang meniru kaedah Iblis menipu Nabi Adam ‘a.s. ini menjadikan penyelewengan  praktik poligami sebagai sesuatu yang digalakkan dalam Islam, dilakukan oleh kononnya orang-orang yang faham tentang Islam. Shahnon Ahmad secara sedar menjadikan poligami sebagai faktor, dan bukti, untuk mengkritik “penipuan” tokoh-tokoh agama. Dengan menggunakan poligami sebagai faktor dan bukti kejahatan orang agama, Shahnon Ahmad dapat berleluasa menggunakan unsur erotik dalam tulisannya. Dia menggunakan poligami untuk menulis novel picisan yang bersifat erotik itu. Semua keburukan penggunaan bahasa ini menjadi jelas dan dapat difahami jika analisis tentang keindahan bahasa itu diasaskan kepada konsep ihsan. Bahasa yang dipakai oleh para sasterawan untuk merangsang hawa nafsu rendah manusia bukanlah bahasa yang indah, bukan bahasa “berseni” seperti yang didakwa oleh Shahnon Ahmad dalam banyak tulisannya, dan penggunaan bahasa yang demikian bertentangan dengan sifat bahasa yang sebenarnya seperti yang disebut di atas. Bahasa yang demikian sifatnya menjauhkan manusia dari mengenal kebenaran, oleh itu dengan mudah akan melalaikannya, atau memberi gambaran palsu yang kaya dengan ilusi yang boleh menyesatkannya.
         
Penyelewengan bahasa ini biasanya tidak terjadi di kalangan penulis yang mempunyai latar belakang agama Islam. Abdul Rahim Kajai, pelopor cerita pendek Melayu dan Bapa Kewartawanan Melayu, dan penulis yang muncul kemudian seperti Ahmad Bakhtiar, Ahmad Murad Nasaruddin, Hamdam, Muhamamd Sallehuddin dan lain-lain, menulis karya kreatif mereka dalam bahasa yang sederhana, tetapi tetap memikat pembaca. Kesantunan bahasa mereka menjadikan karya mereka tetap menarik dan berjaya sebagai hasil kreatif. Penyelewengan bahasa ini terjadi hanya apabila ASAS 50 menguasai penerbitan akhbar di Singapura dan apabila mereka menulis karya-karya kreatif mereka. Contoh buruk mereka diikuti oleh sasterawan yang muncul kemudian, kali ini berselindung di sebalik istilah “eksperimen”. Mereka yang baru ini melakukan penyelewengan bahasa ini dalam konteks “bereskperimen” tadi. Penyelewengan bahasa ini sampai ke puncaknya dalam karya agung Sasterawan Negara Shahon Ahmad berjudul Shit.

Sastera Melayu moden mula hanyut dalam khalayan liar penggunaan “bunga bahasa” ini akibat terlalu terpengaruh dengan cara dan gaya penulisan sasterawan Indonesia yang mereka tiru. Adalah jelas bahawa hal ini terjadi apabila nilai-nilai agama ditinggalkan oleh para sasterawan dan mereka menjadi angkuh memperagakan sifat individualisme Barat yang dipengaruhi oleh sasterawan Indonesia. Hanya Keris Mas, yang mempunyai latar belakang pendidikan agama, terhindar dari pengaruh buruk ini. Bahasanya tetap sederhana, dalam bayangan Abdul Rahim Kajai walaupun mereka berdua amat berbeza dari segi lenggok bahasanya. Penyelewengan bahasa ini sampai ke puncaknya dalam karya Sasterawan Negara, kecuali dalam karya Noordin Hassan. Bahasa yang kaya dengan unsur erotik menjadi sebahagian daripada sifat “keindahan bahasa” golongan ini. Akhirnya ada di antara mereka yang begitu terpesona dengan kepintaran Iblis (Mephistopheles), atau paling kurang menerima kebiadaban seorang tokoh dalam cerita rakyat Si Tanggang untuk dijadikan tokoh ikutan, semacam peribadi unggul mengikut pensajak Melayu, kebalikan daripada yang diajarkan oleh Iqbal dalam syairnya.
         
Penggunaan bahasa dalam persuratan bukan untuk perhiasan seperti dalam karya sastera, tetapi untuk mempertajam dan menjelaskan makna yang ingin disampaikan. Oleh itu, walaupun digunakan perbandingan, kiasan, dan berjenis-jenis lagi ragam bahasa (seperti bahasa ibarat, tamsil, peribahasa dan sebagainya), penggunaan itu tidak hanya untuk perhiasan atau untuk mencari kelainan, tetapi untuk memperkuat makna dalam wacana yang dipilih, sama ada untuk bercerita atau untuk berhujah melalui puisi atau prosa. Penghujahan Iqbal dalam puisinya untuk membina peribadi yang unggul, dilakukan dalam konteks penggunaan bahasa yang terikat kepada taklif, oleh itu keindahan bahasa yang dipakainya memperkuat keyakinan kita kepada hakikat taklif dalam pembinaan peribadi yang unggul tadi. Penggunaan bahasa bercorak begini hanya dapat dicapai jika seseorang benar-benar faham hakikat taklif dan dia sekali gus faham pula dengan mendalam makna ihsan dalam perilaku manusia, dalam caranya beramal. Yakni dia faham dengan mendalam hakikat amal dalam ikatan taklif tadi. Oleh itu, walau apa pun tajuk bahasannya, dalam bentuk apa pun, tidak akan lari dari ikatan taklif tadi. Dia dengan itu menggunakan bahasa seperti matlamat sebenar bahasa itu diajarkan kepada manusia oleh Allah Ta’ala. Jika dia tersasar sekalipun, atau lalai (dalam contoh Nabi Adam ‘a.s.), dia akan kembali kepada hakikat taklif tadi. Di situlah dia mencari kekuatan dalam tulisannya dan kekuatan yang didapatinya dalam konteks itu tidak mungkin akan digugat oleh sesiapa dalam keadaan yang bagaimana sekali pun. Itulah hakikat karya persuratan yang sebenarnya. Itulah penggunaan bahasa yang paling indah. Selain dari itu hanya pura-pura saja, bukan sesuatu yang hakiki yang boleh dijadikan pegangan dan pengajaran, seperti yang ditunjukkan oleh para sasterawan dalam karya mereka.

Menurut para sasterawan, karya sastera adalah istimewa kerana “keindahan bahasanya”, dengan itu para sasterawan sendiri adalah golongan istimewa dalam menggunakan bahasa yang indah. Menurut mereka. Bahasa yang indah itu kaya dengan bunga-bunga bahasa seperti perbandingan yang pelik-pelik [contoh: S. Othman Kelantan dalam Pertentangan, hal. 51, 122: Dia memuncungkan mulutnya seperti jubur ayam baru lepas berak]; kaisan yang tajam menusuk kalbu [contoh: Kassim Ahmad dalam sajaknya “Sidang Ruh” (1960), Nanti akan padamlah dengan sendirinya/ lampu dari menara tinggi/ kerana di bawahnya orang sudah mabuk/ dan Tuhan sudah mati (dalam Kemarau di Lembah, 1967, hal. 74); atau yang kasar mencakar perasaan [contoh daripada Kawin-kawin oleh Azizi Hj. Abdullah, hal. 101: Maka mulalah dia asyik mengorek tahi telinga. Sekejap-sekejap korek hidung dan selebihnya cabut bulu ketiak…]; tamsil ibarat yang aneh-aneh [contoh: Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 80: sepanjang jalan awan bermain di tali langit/ berhenti, dan berarak/ seperti benang kembali jadi kapas/ kabus berguling di bantal lembah]; bahasa berirama yang mendayu-dayu [contoh: Sasterawan Negara Usman Awang dalam Gelombang, hal. 82: Adikku manis, mari kita nyanyikan lagu baru/ Betapa senangnya dada dan teguhnya hatimu/ Cinta bukan sekadar keberanian berjanji mati/ Hidup mesti berdetik meski cuma sekali]; ungkapan istimewa yang luar biasa dan tidak pernah ditemui sebelumnya [contoh: Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 76: Seperti penjala/ aku menangkap setebar daerah/ dan ikan langgam makna]; perulangan merdu dan cantik [contoh (sama ada ini cantik atau apa terpulang kepada pembaca menimbangnya): Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan, hal. 77: Petangnya mereka tiga beranak turu lagi. Pagi besoknya turun lagi. Petang besoknya turun lagi. Pagi lusanya turun lagi. Petang lusanya turun lagi];  pembentukan ayat yang istimewa, misalnya ayat yang pendek-pendek atau yang panjang-panjang [contoh: (yang pendek-pendek) Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan, hal. 129: Jeha kena diubati. Hari ini dia tunjuk teteknya. Besok dia tunjuk punggungnya. Lusa dia tunjuk kemaluannya. Dan kemudian lagi Jeha akan telanjang terus]. Ayat-ayat pendek begini menjadi kegemaran Shahnon, Fatimah Busu, Azizi Hj. Abdullah dan S. Othman Kelantan, dengan Shahnon Ahmad sebagai Tuk Guru dan pelopor ayat-ayat kontot dalam sastera Melayu moden. Abdullah Hussein dan Arena Wati menggemari ayat-ayat panjang, sesuai dengan ketokohan mereka sebagai tukang cerita yang unggul.

Ayat-ayat yang biadab dan kurang ajar begini diberi nilai positif sebagai ayat-ayat yang indah dan ‘puitis’ oleh pengkritik dan sarjana, dan amat disanjung oleh para sasterawan [contoh: Aku ini binatang jalang/ dari kumpulannya terbuang, dari Chairil Anwar, yang diterima sebagai ucapan paling indah dalam ‘puisi’ Indonesia kerana ucapan itu melambangkan perjuangan rakyat; di Malaysia kita dapat ucapan ini daripada Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh: Aku sudah belajar/ jadi kurang ajar, dalam sajaknya “Pulang Si Tenggang”  (Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 223) yang melambangkan penemuan dirinya sebagai intelektual Melayu setelah berada di luar negeri dalam jangka masa yang lama untuk belajar, khususnya untuk mendapat gelar Doktor Falsafah dalam sastera; terjemahan bahasa Inggeris oleh penulis sendiri jauh berbeza: I’ve learnt/ the ways of the rude (termuat dalam Selected Poems and Short Stories, Form 4, sebuah buku teks). Adakah makna dalam bahasa Melayu sama dengan yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris? Di sinilah kaedah analisis berasaskan konsep ihsan tentang keindahan bahasa dalam sajak (atau sebarang karya kreatif) akan menghindarkan kita dari terpesona dengan ilusi palsu seperti yang dialami oleh Ratu Balqis, seperti yang akan dijelaskan nanti). Ucapan seumpama itu tidak dianggap biadab atau kurang ajar dalam sastera moden kerana  itulah luahan emosi paling halus dan jujur seorang pensajak atau sasterawan. Semua ini dilihat dalam konteks perubahan nilai, oleh itu perlu diterima jika orang ingin bersastera.

Hanya kaum sasterawan sahaja dibenarkan berbuat demikian (seperti dalam contoh-contoh ringkas di atas), kerana karya kreatif yang mereka cipta memerlukan permainan bahasa yang paling tinggi, dengan itu karya itu akan bermutu tinggi dan digemari oleh pembaca. Menurut para sasterawan, bahasa yang indah wajib ada di dalam karya kreatif, oleh itu setiap sasterawan wajib menggunakan bahasa berbunga yang menjadi asas keindahan bahasa sastera. Novel Kawin-kawin  oleh Azizi Hj. Abdullah yang memenangi Hadiah Sako II adalah contoh terbaik keindahan bahasa sastera, menurut panel penilai peraduan ini dalam laporan mereka. Oleh itu sesiapa juga yang ingin melihat bagaimana keindahan bahasa di dalam karya kreatif wajib membaca novel ini. Demikian juga semua karya para Sasterawan Negara, telah diakui oleh panel penilai sebagai kemuncak keindahan bahasa dalam sastera Melayu moden. Wajarlah jika semua karya mereka wajib dibaca oleh semua orang yang tahu berbahasa Melayu.

Tetapi terdapat pula sekumpulan penulis tidak mementingkan permainan bahasa untuk mencapai keindahan isi tulisan mereka, sebaliknya menggunakan bahasa dengan cermat untuk melahirkan pemikiran yang mendalam, yang sering kali mempunyai unsur falsafah dan kebijaksanaan.

Perhatikan pula contoh-contoh berikut:

Orang berwatak kuat, yang menguasai diri sendiri
Akan menikmati setiap nasib datang kepadanya
Jika dunia ini tak selaras dengan hasratnya
Dia akan berusaha menggempur langit angkasa
                                                                   (Iqbal)
[Dalam Asrar-i-Khudi (Rahsia-rahsia Peribadi), terjemahan Bahrum Rangkuti, hal. 152]

Kau mencipta malam dan aku mencipta lampu
Kau menjadikan tanah liat, aku membentuk cawan
Kau mencipta hutan, padang dan bukit
Dan aku membuat batas bunga, halaman dan taman.
                                                                   (Iqbal)

Jika kita tidak memahami sesuatu perkara, jangan dusta:
Sehingga menolak kefahaman lebih afdhal, lagi wibawa
Sehingga memfitnah mereka yang lebih aula dan mulia
Sehingga kita terus tergelincir ke lembah gelap dan hina
Terperangkap dalam lumpur hasad, ghulat dan prasangka.
                                                                   (Wan Mohd. Nor Wan Daud)
[Dalam kumpulan sanjaknya, Mutiara Taman Adabi]

Sekalian Imam besar Islam zaman dahulu itu walau ‘Imam-imam Mujtahidun’ pun dan walau bagaimanapun alimnya, tidaklah pernah dikira sebagai orang yang maksum yakni terpelihara daripada tersilap dan tersalah. Mereka sendiri sentiasa sedar yang diri mereka tidak bersifat maksum itu. Mereka bukannya nabi; jika nabi baharulah layak dikira maksum pada apa-apa yang mereka katakan dari Allah dalam hal agama. Sungguhlah sebagai ulama mereka sekalian jadi waris kepada nabi-nabi; tetapi itu tidaklah memestikan sifat maksum pada diri mereka dan pada segala-segala pendapat fahaman mereka. Maka oleh sebab itu tidaklah pernah mereka mendakwa sekalian pendapat dan fahaman yang telah mereka keluarkan itu tentu betul sahaja dan mesti disetujui oleh orang sekalian, atau semuanya tetap layak dan sesuai kelak bagi segala hal zaman hingga bila-bila pun. Bahkan jangankan mereka mendakwa demikian, malahan sebaliknya mereka sendiri selalu berkata, ‘Kalau ada apa-apa perkataan atau pendapatku yang didapati oleh orang-orang kemudian bersalahan atau berlawanan dengan hadis sahih Nabi s.a.w., maka lemparkanlah ke tembok!’

[Za’ba dalam kitabnya Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (Risalah Kedua), DBP 1982, hal. 26]

Angin pulang menyejuk bumi
Menepuk teluk mengempas emas
Lari ke gunung memuncak sunyi
Berayun alun di atas alas

[Amir Hamzah dalam sanjaknya, “Berdiri Aku”. Perhatikan perkataan ‘pulang’ yang sangat indah ditempatkan dalam kutipan itu, yang memberi makna semuanya akan kembali ke tempat asal sambil meninggalkan kesan tersendiri (Sila rujuk kumpulan sanjak Amir Hamzah dalam Buah Rindu, hal. 49, edisi Malaya 1963).

Jikalau kita membandingkan dua kelompok contoh “keindahan bahasa” itu, kita dapati kelompok pertama yang mewakili para sasterawan lebih cenderung untuk “bermain dengan bahasa” untuk meluahkan emosi mereka; manakala kelompok kedua berusaha menggunakan bahasa yang tepat untuk menyampaikan pemikiran mereka. Inilah perbezaan penggunaan bahasa antara kelompok persuratan yang diwakili para pengarang dengan kelompok sastera yang diwakili para sasterawan. Perbezaan ini perlu ditekankan di sini kerana kesannya dalam penulisan kreatif dan penilaiannya menghasilkan dua jenis karya yang berbeza. Dalam konteks yang dirumuskan dalam gagasan Persuratan Baru, karya yang mengutamakan “luahan emosi” adalah karya sastera; manakala karya yang mengutamakan pemikiran dalam bentuk wacana yang tersusun berdasarkan konsep ilmu yang benar adalah karya persuratan. Pembahagian ini tidak dapat dielakkan kerana dari segi penilaian, status karya sastera itu tidak sama dengan status karya persuratan. Yang menentukan status dua kategori karya ini bukan keindahan bahasa yang digunakan, tetapi bagaimana keindahan bahasa itu dijelmakan, yakni sama ada untuk meluahkan emosi atau menyampaikan pemikiran. Seperti yang disebut lebih awal, karya sastera memang kaya dengan “keindahan bahasa” yang diperolehi daripada “permainan bahasa” untuk meluahkan emosi, dengan memberi tumpuan kepada cerita; sementara karya persuratan mengutamakan pemikiran dan analisis, dengan memberi tumpuan kepada wacana berasaskan konsep ilmu yang benar. Dalam karya persuratan, keindahan bahasa dibebaskan seluas-luasnya untuk mencakup seluruh kegiatan intelektual para pengarang, tidak lagi terbatas kepada karya kreatif yang dipanggil karya sastera seperti sajak, novel, drama dan sebagainya. Oleh sebab itu, huraian tentang keindahan bahasa dalam karya persuratan mencerminkan sifat taklif yang menjadi asas terciptanya karya tadi; dan ini hanya dapat dicapai dengan menggunakan konsep ihsan sebagai asas keindahan bahasa yang hakiki. Perlunya dibezakan “keindahan bahasa yang hakiki” dalam karya persuratan dengan “keindahan bahasa sebagai permainan bahasa” dalam karya sastera adalah penting dari segi penilaian yang akan menentukan status kedua-dua kategori karya itu. Dalam hal ini, wajar jika diimbas kembali peristiwa Ratu Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. Kekeliruan yang dihadapi Ratu Balqis terjadi kerana baginda terpesona dengan keindahan seni bina yang halus hasil para tukang yang mahir, sehingga baginda sanggup melakukan sesuatu yang mengaibkan dengan mengangkat kainnya untuk menyelamatkan “maruahnya”; padahal dengan berbuat demikian baginda mendedahkan kesilapan yang tidak disedarinya, yang berpunca dari kebiasaan tindakannya dalam menentukan keputusan yang diambilnya betul dari segi pengalamannya yang terbatas. Apabila ditegur Nabi Sulaiman ‘a.s., baginda sedar akan kesilapannya dan terus menerima kebenaran yang sebelumnya terlindung kerana terpesona dengan penglihatan biasa. Dalam konteks keindahan bahasa yang dibicarakan di sini, peristiwa Ratu Balqis ini lumrah terjadi dalam penilaian karya sastera, apabila para penilai (sama ada pengkritik atau sarjana, atau pembaca umum) terpesona dengan permainan bahasa para sasterawan, sehingga menganggap permainan bahasa itu adalah keindahan bahasa yang hakiki. Inilah yang menyebabkan mereka menerima karya picisan sebagai karya yang bermutu yang layak diberi kedudukan tinggi, seperti yang dilakukan oleh panel penilai Anugerah Sastera Negara dan lain-lain panel (misalnya panel yang menganggap novel Kawin-kawin sebagai novel bermutu). Kekeliruan ini tidak akan terjadi jika konsep keindahan bahasa itu diasaskan kepada konsep ihsan.

Konsep ihsan  yang dipakai di sini diambil daripada dua buah hadis terkenal. Kedua-dua hadis sahih ini terdapat dalam koleksi Hadis Empat Puluh  yang dipilih Imam Nawawi, diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Ustaz Mustaffa Abdulrahman (R.A) (cetakan Jawi, Dewan Pustaka Fajar, 1988) yang diberinya syarahnya sekali; manakala terjemahan dalam bahasa Inggeris dilakukan oleh Dr. Ezzeddin Ibrahim dan Denys Johnson-Davies (Abdul Wadud) (diterbitkan 1976). Hadis pertama (hadis no. 2 dalam koleksi) menghuraikan makna Islam, iman dan ihsan. Penjelasan Dr. Ezzeddin tentang ihsan diterangkan oleh beliau seperti berikut: “Dictionary meanings for ihsan include ‘right action’, ‘goodness’, ‘charity’, ‘sincerity’, and the like. The root also means ‘to master or be proficient at’ and it is to be found in this meaning in Hadis 17 of the present collection.” (hal. 30, nota 5). Ustaz Mustaffa Abdulrahman pula menjelaskan: “Ihsan menurut pengertian bahasa, berbuat kebaikan kepada orang lain atau mengerjanya dengan baik sesuatu perbuatan” (nota 2, hal. 112). Dalam konteks hadis kedua, ihsan ialah “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak dapat melihat akan Dia, maka sesungguhnya Ia melihat engkau.” (hal. 112). Dalam Hadis 17, ihsan menurut Dr. Ezzeddin ialah “proficiency” dalam pekerjaan. Terjemahan Ustaz Mustaffa Abdulrahman pula berbunyi: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan atas tiap-tiap sesuatu. Apabila kamu membunuh, maka elokkanlah pembunuhannya. Dan apabila kamu menyembelih, maka elokkanlah penyembelihan. Dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan mata pisaunya, dan hendaklah ia melapangkan binatang sembelihannya.” (Kedua-dua hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya).  Ustaz Mustaffa memberikan ulasan yang panjang dan menarik kepada Hadis 17 ini, dengan menegaskan bahawa makna ihsan itu sangat luas, meliputi semua perbuatan manusia, malah menjadi salah satu asas pembinaan tamadun Islam (hal. 220-225). Penjelasan Ustaz Mustaffa adalah menarik, terutama sekali apabila dikaitkan dengan kegiatan para sasterawan. Seperti yang sering didakwa oleh para sasterawan, dan diterima pula oleh masyarakat umum, kegiatan kreatif para sasterawan memberi sumbangan besar dalam pembinaan tamadun bangsa. Bagaimana matlamat dakwaan ini apabila dilihat dalam konteks ihsan seperti yang dihuraikan oleh Ustaz Mustaffa Abdulrahman dan Dr. Ezzeddin? Adakah sumbangan para sasterawan itu memenuhi ukuran yang dibayangkan dalam konsep ihsan? Pertanyaan kedua ini sangat penting kerana jawapannya akan menentukan status karya sastera yang sebenarnya dalam pembinaan tamadun manusia. Di bahagian lain dalam buku ini (lihat bab III), ada dikutip pandangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang sumbangan sebenar para sasterawan ini, yang dianggap olehnya sebagai golongan pinggiran yang tidak kenal kebudayaan sendiri dan tidak pula kebudayaan Barat yang mereka tiru. Menurut Prof. Al-Attas, mereka adalah golongan yang “cetek meraba-raba”. Jika benarlah kesimpulan Prof. Al-Attas, bagaimana golongan yang “cetek meraba-raba” itu berupaya membina peradaban bangsa? Kesimpulan Prof. Al-Attas belum lagi ditolak oleh para sasterawan, pengkritik mahupun sarjana sastera, walaupun telah dikecam hebat oleh Prof. Ismail Hussein, Ketua I GAPENA (Gabungan Persatuan Penulis Malaysia), dalam reaksinya yang cukup emosional. Menurut beliau, pandangan mencemuh (menurut anggapan beliau) Prof. Al-Attas mengetepikan pencapaian ratusan sasterawan Melayu-Indonesia, dan mengetepikan segala macam masalah perkembangan sastera Melayu baru. Beliau menegaskan: “Beliau [Prof. Al-Attas] mimpikan satu macam utopia yang sebenarnya belum pernah tercapai oleh negara-negara yang mempunyai tradisi kebudayaan yang lebih besar dan lebih tinggi. … Ini sikap yang sama sekali tidak akademis.” (Utusan Malaysia, 29/3/1972).

Berasaskan pandangan emosi Prof. Ismail Hussein, ada baiknya kita lihat apakah yang dilakukan oleh para sasterawan itu sebenarnya. Seperti yang ditunjukkan oleh para panel penilai anugerah sastera dalam laporan mereka, para sasterawan yang diangkat menjadi Sasterawan Negara itu pada umumnya adalah golongan yang hanyut dalam keghairahan mereka meniru dan menyebarkan nilai-nilai Barat yang bertentangan dengan nilai-nilai kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam, seperti yang boleh kita lihat dengan jelas ketika para penilai ini menyanjung karya-karya picisan, karya-karya yang tidak mencerminkan nilai-nilai moral yang baik, malah bagi mereka sebuah karya yang mementingkan moral adalah karya yang tidak bermutu. Menurut mereka, karya yang bermutu itu mestilah memperlihatkan kelainan dan kaya dengan peniruan teknik dari Barat, yang tidak mempunyai perutusan moral yang jelas (lihat terutamanya Laporan Panel Anugerah Sastera Negara 1985). Oleh itu, tanpa disedari, para ahli panel itu membenarkan kesimpulan Prof. Al-Attas tadi.

Berasaskan konsep sastera yang memartabatkan kejahatan manusia dan perilakunya, seperti yang diakui oleh panel Anugerah Sastera Negara dengan menerima karya-karya picisan, maka konsep keindahan bahasa yang dipegang dan dipakai oleh para sasterawan merujuk kepada keinginan dan pemuasan hawa nafsu rendah manusia, para sasterawan dan watak-watak atau idea ciptaan mereka. Malah menurut mereka, kesusasteraan itu adalah bahasa yang indah, milik khusus apa yang dinamakan karya kreatif seperti novel, sajak, drama dan lain-lain. Tidak ada keindahan dalam janru (istilah Jepun untuk genre) lain yang bukan bersifat seni, misalnya tidak terdapat keindahan bahasa dalam tulisan ilmiah, dalam bahasan falsafah dan sebagainya. Hujah ini tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan sifat bahasa dan cara manusia menggunakan bahasa. Manusia menggunakan bahasa untuk memberi makna paling tepat dan indah dalam kehidupan berbudaya, dalam tamadun mereka. Hal ini disedari oleh penyelenggara Hadiah Nobel, yang telah memilih tokoh-tokoh bukan sasterawan untuk diberi Hadiah Nobel untuk sastera seperti Bertrand Russell, Winston Churchill dan lain-lain, kerana keindahan bahasa yang terdapat di dalam buku-buku mereka. Takrif keindahan bahasa berasaskan hawa nafsu dan emosi manusia yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia telah menyempitkan makna keindahan bahasa itu dari segi luaran, dari segi penggunaan metafora yang tidak terkawal, kiasan yang aneh-aneh, perbandingan yang pelik (contoh paling terkenal: “Dia memuncungkan mulutnya seperti jubur ayam lepas berak”, ciptaan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan) untuk hanya berlegar dalam kandang yang kecil, yakni kandang emosi dan hawa nafsu. Tentu saja konsep keindahan begini sangat sempit, cacat, cetek, dan salah, bertentangan dengan cara otak manusia berfungsi.

Dalam konteks yang difahami oleh para sasterawan dan sarjana  sastera, apa yang disebut “keindahan bahasa” itu pada dasarnya adalah “permainan bahasa”, oleh itu sifatnya artifisial, cetek, sengaja diada-adakan untuk mendapat perhatian, diusahakan untuk menjadi hiasan (bukan untuk mempertajam makna, seperti jelas dalam sajak “Cinta” oleh Usman Awang), dan lain-lain sifat ucapan yang tidak mengarah kepada pemikiran mendalam, tetapi hanya pemerhatian yang cetek dan sepintas lalu (seperti dalam contoh “jubur ayam” ciptaan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Sasterawan Negara Muhammad Hj. Salleh memberikan contoh terbaik tentang pemerhatian cetek dan sepintas lalu dalam sajak-sajak beliau yang berupa catatan perjalanan beliau. Dari situ jelas usaha beliau “memainkan” bahasa, bukan “memperdalam” makna seperti yang kita lihat dalam penggunaan perkataan “pulang” dalam sanjak Amir Hamzah. Memainkan bahasa dalam konteks ini adalah sifat sastera yang amat dikagumi oleh sasterawan. Aspek ini dihuraikan dengan lebih mendalam oleh Sheikh Abu Hassan Ali Nadwi, seperti yang dijelaskan oleh Dr. Adli Hj. Yaacob dalam kertas kerjanya yang dibentangkan di Seminar Internasional Tentang Bahasa al-Quran dan Penafsirannya, anjuran Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Jakarta, 7-9 September 2006. Judul kertas kerja beliau ialah “Sastera Islam dan al-Quran: Analisis Terhadap Konsep dan Teori Sastera Islam Moden oleh Beberapa Sasterawan Melayu di Malaysia”. [Termuat dalam prosiding seminar, hal. 264-295].

Abu Hassan Nadwi berpendapat, permainan bahasa yang disebut karya sastera itu menyukarkan sastera, menjadikan usaha sedemikian hanya untuk mencapai tujuan peribadi semata-mata. Yakni untuk bermegah-megah memperlihatkan “kelincahan” dalam permainan bahasa tadi. Bagi Ali Nadwi, usaha begini adalah dibuat-buat, oleh itu beliau menggelarkan sastera jenis ini sebagai “sastera buatan” (terjemahan Dr. Adli untuk istilah Ali Nadwi “al-adab al- sina’i”). Sastera buatan ini bertentangan dengan “sastera tulen” (al-adab al-tabi’i) menurut kategori Ali Nadwi. Beliau kesal sastera tulen yang disebutnya itu tidak mendapat perhatian para sasterawan, yang lebih seronok bergelumang dalam permainan yang diada-adakan dalam sastera buatan tadi. Yang menarik di sini ialah apabila istilah yang digunakan Abu Hassan Ali Nadwi itu hampir sama dengan istilah “genuine literature” yang menjadi terjemahan kepada Persuratan Baru. Abu Hassan Ali Nadwi memberikan huraian yang lebih mendalam kerana beliau adalah seorang ulama Islam. Bagi saya, hal ini terjadi bukan secara kebetulan, tetapi terhasil dari kajian dan pemikiran terhadap sumber yang sama. Saya tidak membaca tulisan-tulisan Abu Hassan tentang sastera, oleh itu persamaan maksud dalam dua usaha yang berasingan ini bagi saya adalah bukti wujudnya prinsip-prinsip umum penulisan berasaskan konsep ilmu yang benar yang ditekankan oleh gagasan Persuratan Baru. Ini juga merupakan satu bukti bahawa usaha membina persuratan Melayu berteraskan tauhid itu mempunyai dasar yang kukuh. Dari perspektif ini, keindahan bahasa yang hakiki, yang tulen, yang sesuai dengan sifat sebenar bahasa yang indah, bukanlah hanya permainan untuk memperagakan kelainan seperti yang amat dibanggakan oleh para sasterawan. Bahasa yang indah ialah bahasa yang kaya dengan makna, hasil dari pemikiran mendalam dan renungan yang dilakukan dengan sedar untuk mendapatkan makna yang paling tepat dan indah. Buktinya dapat dilihat dalam contoh-contoh dari Iqbal dan Wan Mohd. Nor. Permainan bahasa yang dikelirukan oleh para sasterawan sebagai keindahan bahasa pada hakikatnya hanya merupakan sejenis ilusi yang mengkhayalkan, yang dari segi makna hanya berupa buih-buih terapung yang terhasil dari bakaran emas ketika tukang emas berusaha mendapatkan emas tulen dengan membakarnya. Emas tulen itu berada di bawah buih-buih tadi, tidak kelihatan, tetapi diketahui oleh tukang emas. Wan Mohd. Nor Wan Daud menggambarkan hakikat ini dalam baris sanjaknya seperti berikut (Mutiara Taman Adabi, hal. 10-11).

Masih bernilai hikmat Sa’di
Debu – walau ditiup ke langit tinggi
Tiada bertambah mutu nilainya
Tetap debu hakikat asalnya.

Intan – walau dipendam di laut dalam
Bagai Nabi Yusuf di penjara sultan
Mustahil ‘kan hilang nilai nan tinggi
Bagi mereka yang bermata jauhari.

Masalah yang kita hadapi dalam membicarakan konsep keindahan bahasa ini ialah orang-orang yang bermata jauhari itu terlalu sedikit, oleh itu ramai yang terpesona dengan buih lalu meninggalkan emas yang tersembunyi di bawah buih itu. Dengan itu mereka memuji kekosongan makna dalam limpahan buih seperti yang terdapat dalam sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh, Usman Awang (khususnya sajak beliau “Cinta” yang kaya dengan buih kata yang kosong, seperti buih sabun mainan kanak-kanak). Permainan bahasa yang melahirkan “ungkapan buih yang kosong” itu telah ditegur oleh Za’ba dengan memberi amaran kepada para penulis supaya mengelak diri daripada perbuatan “mengada-ada” dalam memakai bahasa kiasan (Ilmu Mengarang Melayu, Edisi Jawi, hal. 229-231). Beliau memperingatkan supaya menjauhi daripada “memakai bahasa kiasan yang terlampau jauh terpelanting perbandingannya atau maksudnya”; juga tidak memakai bahasa kiasan yang tidak bererti kepada pembaca; memahami bahawa bahasa kiasan hendaklah dipakai kena pada tempatnya; dan tidak “bersengaja-ngaja hendak memakai bahasa kiasan, supaya sentiasa munasabah dan tidak kelihatan mengada-ada saja”. Nasihat yang baik ini dicemuh oleh para sasterawan, seperti yang dapat dilihat dalam karya mereka, terutama yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara. Yang diutamakan oleh para sasterawan dalam kononnya mencapai “keindahan bahasa” itu ialah sekadar memberi gambaran luaran, yang sifatnya seperti buih terapung: maka lahirkan perbandingan “jubur ayam” daripada Sasterawan Negara dan sarjana sastera S. Othman Kelantan, atau misalnya seperti “sapu lidi” daripada Idrus (penulis Indonesia yang mabuk perbandingan yang ditiru oleh S. Othman Kelantan, yang mendapat restu dan perasaan kagum H.B. Jassin). Sebaliknya, keindahan bahasa yang hakiki, yang berasaskan konsep ihsan, menggambarkan makna yang mendalam melalui ungkapan yang sederhana seperti dalam contoh-contoh yang dipaparkan di atas (oleh Iqbal, Za’ba dan lain-lain). Contoh terbaik ialah karya Sayidina Ali yang terkenal, berjudul Nahjul Balaghah, kini sudah terdapat terjemahan Inggeris dan bahasa Indonesia.

Dengan melihat aspek keindahan ini dalam konteks ilmu yang benar tadi, maka keindahan tidak lagi terbatas kepada keperluan emosi manusia yang didorong oleh hawa nafsunya; tetapi terbuka luas untuk dicanai dalam apa juga pengucapan bahasa, baik lisan, tulisan, karya seni, mahupun ciptaan yang bercorak ilmiah. Dalam konteks inilah keindahan bahasa itu harus dilihat daripada perspektif ihsan, iaitu kesempurnaan amal perbuatan manusia. Menurut pendapat Shah Wali Allah, manusia terikat kepada taklif, dan ini dicirikan oleh tiga ciri yang menjadi rahsia taklif: iaitu keadilan, ilmu pengetahuan dan ikhtiar. Sesuatu perilaku manusia hanya dapat dikatakan adil jika diasaskan kepada konsep ilmu yang benar; dan dari ilmu yang benar itulah manusia membuat pilihan melalui ikhtiar yang dilakukan oleh akal yang terdidik dalam konsep ilmu yang benar tadi. Jika ketiga-tiga ciri ini berada dalam perilaku manusia, maka dia akan mencapai darjat ihsan tadi, yakni kesempurnaan amal perbuatannya. Dan inilah keindahan hakiki yang diajarkan dalam Islam, yang harus dicapai oleh semua manusia beriman, termasuk para sasterawan, pengkritik dan sarjana. Jika konsep ihsan ini dijadikan paksi dalam mencorakkan keindahan bahasa, maka yang terhasil nanti ialah hasil seni yang membuat manusia berasa aman membacanya, atau menontonnya; tidak gelisah atau marah-marah seperti yang dihasilkan oleh konsep keindahan bahasa sastera yang berteraskan hawa nafsu itu. Tentulah sukar untuk mencapainya, maka itulah hasilnya dinamakan karya seni yang tinggi nilainya. Tidak saja hasilnya indah, bermutu, tinggi nilai seninya, malah akan membuat manusia sedar diri dan kedudukannya yang sebenar sebagai sejenis makhluk Allah SWT. Melalui konsep ihsan sebagai dasar keindahan bahasa ini, kita akan dapat menilai dengan senang, tepat, jitu dan objektif sebarang karya; dan kita dapat menentukan mutu serta kedudukannya. Kita tidak akan tertipu lagi untuk memuji sebuah sajak yang menyanjung syaitan, misalnya, atau yang memuja penderhakaan dan kejahatan seperti dalam dongeng Si Tenggang itu.

Sebarang teori kritikan sastera yang tidak berupaya membuat manusia sedar diri akan hakikat taklifnya, bukanlah sebuah teori yang berguna, oleh itu tidak layak digunakan untuk menilai sebarang hasil seni. Kecuali untuk bersenang-senang dengan hasil picisan, yang memang boleh saja dinilai dari perspektif teori berasaskan hawa nafsu itu. Jika kita terima sebuah ‘teori’ sebagai satu kerangka ilmu yang berguna untuk menjadi panduan, maka penegasan Iqbal ini perlu direnung dengan mendalam:

Tujuan ilmu dan seni bukanlah pengetahuan
Tujuan tamansari bukanlah putik dan kembang
Ilmu ialah alat bagi penjelmaan kehidupan
Ilmu ialah alat untuk mewujudkan peribadi
Ilmu dan seni ialah khadim bagi kehidupan.

[Terjemahan Bahrum Rangkuti, Asrar-i-Khudi, hal. 122].

Dalam epistemologi Islam, kita telah diajar untuk mengenal mana yang batil (palsu) dan mana yang hak (benar): Mengapa kita tidak mahu menggunakannya? Memilih kejahatan adalah satu penyelewengan. Sebaliknya, memilih kebaikan adalah keputusan paling bijak yang hanya dapat dilakukan oleh akal sihat yang dididik oleh taklif. Dalam konteks ini, keindahan bahasa adalah pancaran hakikat taklif tadi (yakni menyerlahkan sifat keadilan, ilmu pengetahuan, ikhtiar dalam bentuk pilihan terbaik), dengan itu hasilnya bercorak wacana yang memikat hati (yakni kaya dengan makna yang boleh diterima oleh akal sihat) yang terus menusuk kalbu (yakni mempunyai unsur kerohanian yang bersih dari sifat mengada-ngada); pendeknya hasil wacana tadi kaya dengan makna yang baik-baik dan bermanfaat, bukan untuk mencari sensasi yang bersifat hawa nafsu. Seperti yang ditegaskan Za’ba, pengarang yang demikian sampai ke peringkat menggambarkan “fikiran yang cantik dan tinggi dilafazkan dengan bahasa yang berhias dan indah”. Memberi keutaman kepada wacana seperti yang dimaksudkan dalam gagasan Persuratan Baru, yang diiringi dengan cerita yang terkawal muatan peristiwanya, akan menghasilkan karya persuratan yang seluruh strukturnya dibina berasaskan konsep taklif yang akhirnya akan melahirkan keindahan bahasa yang memenuhi dua prinsip yang terkandung dalam konsep ihsan yang terkenal itu. Hadis 17 merujuk kepada kesempurnaan alat dan teknik (dalam ilmu persuratan merujuk kepada kemahiran yang tinggi dalam menggunakan bahasa); manakala Hadis 2 merujuk kepada kesempurnaan fahaman yang mendalam tentang hakikat taklif (dalam bentuk amal yang paling ikhlas). Dalam ilmu persuratan, konsep ihsan yang tersirat dalam kedua-dua hadis ini merujuk kepada kecanggihan teknik dan gaya yang dikuasai melalui pengalaman dan penguasaan ilmu yang benar. Berasaskan pengertian ini, keindahan bahasa berdasarkan konsep ihsan ditakrifkan dengan menggunakan dua prinsip tadi, oleh itu penggunaan bahasa dalam persuratan mengalami penapisan dari segi ilmu (dalam konteks bahasa yang indah itu penjelmaan daripada penguasaan ilmu yang mendalam), dan juga penapisan dari segi makna (dalam konteks bahasa yang indah itu mencerminkan kesempurnaan gaya dan kesopanan berbahasa). Dalam kesusasteraan seperti yang difahamkan oleh para sasterawan dan sarjana, “keindahan bahasa” ditakrifkan sepenuhnya berasaskan kemahuan hawa nafsu, yang hedonistik sifatnya, dengan matlamat dan tujuan yang jelas terarah kepada emosi dan hawa nafsu manusia yang paling rendah. Karya-karya para Sasterawan Negara memberikan contoh yang baik tentang “keindahan bahasa” yang bersifat hawa nafsu ini. Memang itulah sifat utama karya sastera. Hakikat ini dibuktikan dalam contoh yang diberikan di bawah tentang penyelewengan istilah dalam kritikan sastera.

Perbincangan tentang keindahan bahasa yang kabur dan merayau-rayau dalam khayalan para sasterawan dan sarjana sastera/pengkritik, sangat jelas bertentangan dengan kenyataan yang terdapat dalam karya sastera itu sendiri, yakni apa yang disebut sebagai keindahan bahasa itu bukanlah keindahan yang sebenarnya, tetapi hanya sejenis permainan bahasa yang tidak berteraskan hakikat ilmu dan tidak pula memperlihatkan pemikiran mendalam, atau hasil pengalaman yang luas dan disaring dari penelitian yang mendalam tentang epistemologi berasaskan konsep ilmu yang benar tadi. Kesimpulan ini boleh diuji dengan menganalisis penggunaan bahasa sasterawan dalam karya-karya mereka, terutama dalam karya-karya para Sasterawan Negara. Dalam hal ini, pandangan Prof. Harry G. Frankfurt tentang kegiatan yang bersifat bullshit yang berleluasa dalam masyarakat Amerika boleh membantu kita melihat persoalan ini dalam konteks bullshit yang dihuraikan oleh beliau. Kutipan ini boleh menjelaskan beberapa persoalan yang dihadapi di Malaysia sendiri. Kata Prof. Frankfurt:

Why is there so much bullshit? … Without assuming that the incidence of bullshit is greater now, I will mention a few consideration that helps to account for the fact that it is currently so great.

Bullshit is unavoidable whenever circumstances require someone to talk without knowing what he is talking about. Thus the production of bullshit is stimulated whenever a person’s obligations or opportunities to speak about some topic exceed his knowledge of the facts that are relevant to the topic. This discrepancy is common in public life, where people are frequently impelled – whether by their own propensities or by the demand of others – to speak extensively about matters of which they are to some degree ignorant (On Bullshit, hal. 62-63).

Dalam konteks ini, huraian Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang kekeliruan dalam konsep ilmu dan kehilangan adab yang akhirnya menjelmakan pemimpin palsu dalam segenap bidang kehidupan, termasuk bidang akademik dan penulisan kreatif, cocok sekali dengan huraian Prof. Frankfurt tentang bullshit tadi. Dalam hal “keindahan bahasa” dalam karya sastera, kita juga perlu menentukan bahawa kita tidak berputar di sekeliling pendapat yang bersifat bullshit sebenarnya, yang cukup banyak kita temui dalam tulisan-tulisan pengkritik, sarjana dan para sasterawan.

Bagaimana bentuk analisis berasaskan konsep ihsan itu telah dilakukan oleh penulis ini dalam kertas kerjanya, bertajuk “Dari Danau ke Taman: Sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh dan Wan Mohd. Nor”, dikemukakan pada majlis Bicara Buku Mutiara Taman Adabi, karya Wan Mohd. Nor Wan Daud, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dan DBP Wilayah Timur, diadakan di Kota Bharu pada 21 September 2003. Pembaca yang berminat bolehlah merujuk kertas kerja itu di Dewan Bahasa dan Pustaka (kini boleh dibaca dalam pengenalan kumpuan puisi Mutiara Taman Adabi). Pembaca yang kritis dan tidak terpengaruh dengan pandangan umum, yang selalunya dikaitkan dengan ‘arus perdana’, akan mendapati bahawa terdapat tidak saja penilaian yang bersifat bullshit, tetapi juga karya kreatif, seperti sajak dan sebagainya, yang bersifat bullshit jika dianalisis dan dinilai berdasarkan gagasan Persuratan Baru.

Nota: Istilah bullshit dan perbincangan lanjut tentangnya boleh dibaca dalam buku Pandirisme dalam Komuniti Dunia (2016) diterbitkan oleh Himpunan Keilmuan Islam Hakim, dengan kerjasama Klasika Media Sdn. Bhd. (sekarang Akademi Jawi Sdn. Bhd.)





Thursday, November 3, 2016

TENTANG PANDIRISME DAN STYLIZATION OF IDEAS

Nota iringan:  Sebelum saya siarkan entri dengan judul bahasa Inggeris itu, sila baca dahulu dua petikan mengenai pandirisme dan stylization of ideas ini. Sila rujuk juga tulisan mengenai “Keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan” dalam buku yang sama, hal. 97-116.  Tulisan ini saya anggap memberi pandangan baru tentang estetika, yang saya namakan estetika kerohanian.  Tulisan ini yang lebih lengkap boleh dibaca dalam buku,  Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, disunting oleh Mohd. Zaidi Ismail dan Wan Suhaimi Wan Abdullah  (Kuala Lumpur, MPH Publishing, 2012, hal. 581-607).



Beberapa Rumusan Baru Tentang Pandirisme
(Gagasan Persuratan Baru Edisi Kedua, hlm. 279-295: UKM 2014)


Supaya konsep dan istilah pandirisme tidak disalahmengerti, maka kesimpulan bab ini akan mengemas kini beberapa aspek pandirisme yang dapat dilihat dalam perkembangan terbaru. Istilah ini penting kerana ia menggambarkan dengan tepat ciri masyarakat Malaysia pada waktu ini, baik dalam politik, pentadbiran awam, kebudayaan dan kesusasteraan. Penjelasan ini penting kerana di sini dimasukkan beberapa contoh terbaru yang boleh dijadikan rujukan untuk memahami konsep pandirisme  dan bagaimana istilah ini digunakan dalam analisis. Pandirisme adalah sebahagian daripada rangka analisis dalam Persuratan Baru, oleh itu perlu diberi kefahaman selengkap mungkin. Pandirisme adalah antara ciri realisme semu; malah munculnya pandirisme adalah akibat terlalu bergantung pada realiti semu. Aspek ini dihuraikan agak terperinci ketika membicarakan kritikan sastera yang menjadi pegangan Panel Anugerah Sastera Negara dan ahli akademik yang terjebak dalam realiti semu ini. Perhatikan aspek seperti ini yang difahami oleh Pak Pandir dalam penjelasan di bawah. Dengan menggunakan istilah “realiti” dalam makna popular yang terpakai, pandirisme adalah satu “realiti” dalam masyarakat kita sekarang. Juga satu “realiti” dalam kehidupan akademik sekarang. Berkaitan dengan persoalan ini, saya mengalu-alukan penerbitan sebuah buku yang amat berharga dan cukup penting untuk dibaca oleh semua golongan intelektual, sarjana, pengkritik sastera dan para penulis. Saya maksudkan buku Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms (Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2012). Saya akan bincang sedikit kandungan buku ini dan buku-buku yang berkaitan kemudian nanti. Pada pandangan saya, pandirisme itu wujud dan subur di universiti sekali pun, tetapi diberi nama yang tidak mencerminkan sifat asasi dan hakiki pandirisme. Seolah-olah masih terdapat keengganan untuk menerima hakikat wujudnya pandirisme itu dalam dunia akademik sekali pun. Kesimpulan ini boleh dibahaskan dan dipersoalkan, tetapi kewujudannya tidak dapat dinafikan. Saya akan kemukakan contoh-contohnya di bawah ini. Buku yang disebut di atas saya jadikan bukti tentang kebenaran kesimpulan saya.
            Istilah yang berasal daripada falsafah hidup Pak Pandir ini menggambarkan suatu sikap mental yang kini menjadi aliran arus perdana di Malaysia. Menurut Pak Pandir, semua kesimpulan perlulah bersifat empiris, berasaskan pengalaman seharian; dari situ keputusan dibuat untuk terus dilaksanakan. Inilah falsafah Pak Pandir yang memang tepat dengan perilaku beliau. Contoh: Ketika disuruh Mak Andeh membeli padi, dia mendatangi pesawah dan tertarik melihat timbunan padi hampa. Dia terus saja mengaut padi hampa itu ke dalam guni besar dan memikulnya sambil bersiul riang kerana guni itu ringan. Tiba di anak sungai, dia lihat beribu ekor semut meniti sebatang ranting yang merintang anak sungai itu. Sebagai seorang ahli falsafah yang menggunakan logik, dia memutuskan, jika seribu ekor semua boleh meniti ranting itu, tentulah dia seorang boleh menitinya juga.  Ranting patah, dia terjatuh ke dalam sungai itu, diselamatkan oleh guni padi hampanya dan sampai juga ke seberang sungai. Dalam episod ini, walaupun Pak Pandir kenal padi, tetapi dia tidak dapat membezakan padi hampa dan padi berat. Anda akan lihat nanti betapa pentingnya episode ini dalam konteks kesusasteraan Melayu. Bolehkah kita berkata Pak Pandir tertipu oleh realisme semu? Dalam kisah lain, Mak Andeh menyuruhnya menjemput lebai dan haji, dia bertanya siapa haji dan lebai itu. Maka jadilah seperti dalam cerita jenaka yang masyhur itu… Jika kita perhatikan, semua tindakan Pak Pandir berasaskan maklumat yang betul, tetapi tafsirannya salah kerana akalnya digunakan untuk membuat keputusan yang mudah, tanpa melihat segi lain yang lebih penting, maka salahlah keputusannya. Itulah secara ringkasnya maksud pandirisme. Sekarang kita lihat bagaimana pandirisme dijadikan asas untuk menilai karya akademik, karya kreatif, dan lain-lain tulisan. Kita akan gunakan Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (dalam bentuk manuskrip, tersimpan di Dewan Bahasa dan Pustaka) sebagai bukti betapa maharajalelanya pandirisme dalam kesusasteraan Melayu. Saya akan tumpukan ulasan saya pada bahagian buku-buku kritikan dan kajian, hlm. 71-84 Laporan Panel (manuskrip).
            Anggota panel yang menilai buku-buku kajian, kritikan dan antologi esei terdiri daripada tiga orang sarjana: Prof. Dr. Sohaimi Abd. Aziz (USM), Prof. Madya Dr. Hashim Ismail (UM), dan Dr. Norhayati Ab. Rahman (UM). Ketiga-tiganya telah menerbitkan tesis Ph.D. masing-masing, yang memenuhi kriteria yang mereka jadikan ukuran dalam analisis dan penilaian yang mereka buat terhadap buku-buku dalam genre Esei/Kritikan/Kajian Sastera (hlm. 71-84 manuskrip laporan). Ukuran itu seperti berikut: “Kriteria-kriteria yang digunakan ialah penulisan yang kritis, sistematik dan bertanggungjawab, menggunakan teori/pendekatan/konsep kritikan yang relevan dengan tujuan penulisan dan menyumbang kepada perkembangan ilmu sastera. Panel juga menilai aspek ketepatan dan kejelasannya, selain menunjukkan pemahaman dan penguasaan penulisnya terhadap subjek yang dipilih. Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang adalah penting. Penulisan yang baik diharapkan berupaya menampilkan suatu penemuan baharu, atau memberikan pemikiran serta perspektif baharu terhadap kajian yang sedia ada serta membijaksanakan pembaca.”
            Ayat yang berbunyi “memberikan pemikiran serta perspektif baharu terhadap kajian yang sedia ada serta membijaksanakan pembaca” nampaknya tidak dapat diberikan oleh “kajian” mereka sendiri. Tentang Prof. Dr. Sohaimi Abd. Aziz, amatlah menarik pandangan kritis Dr. Abdul Halim ini: “Pengalaman estetik yang diketengahkan oleh Sohaimi Abdul Aziz dalam teori (sic) Rasa-Fenomenologi tidak dijelaskan secara tuntas, bagaimanakah rasa itu berkait secara langsung dengan nilai-nilai agamawi, jauh sekali dari usaha untuk membuktikan, bahawa proses fenomenologi yang menjadi lorong kemasukan fenomena rasa ke dalam pengalaman pembaca sewaktu menghayati sesebuah teks merupakan suatu proses rohaniah yang bersandar pada teras pengajaran Islam. Rasa dan fenomenologi yang menjadi piawai ukuran tidak mengambil apa-apa nas yang boleh memancarkan roh keislaman dengan naluri keimanan dan ketauhidan. Akhirnya, jadilah rasa-rasa yang ditemui dalam teks itu sebagai rasa-rasa yang terpisah dari roh agamawi.” (Lihat Prosiding Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia, UPSI, Kuala Kangsar, 28-29 September 2012, hlm. 38-39). Jelas dari kajian Dr. Abdul Halim Ali “teori” profesor USM ini gagal secara total untuk membijaksanakan pembaca, kecuali pembaca yang cetek ilmunya. Kini tidak kedengaran lagi rasa-fenomenologi di mana-mana pun, dimusnahkan oleh pencetusnya sendiri yang tidak berupaya mengembangkan ideanya sendiri. Adakah ini merupakan satu fenomena baru dalam kritikan sastera? Fenomena  berebut-rebut melontarkan “teori” itu sendiri. Aspek ini kelihatan lebih jelas dalam penilaian terhadap pemikiran orang lain yang langsung tidak dihormati, dengan menafikan kewujudannya dengan tidak melaporkannya secara objektif padahal telah diberi tugas dan amanah untuk berbuat demikian dalam laporan. Apakah nama yang boleh kita berikan kepada fenomena ini?
            Kajian Ph.D (2004) Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani yang dicetak (2011) dengan judul Seksualiti dalam Novel Melayu (515 halaman) layak diberi kritikan dalam laporan ini, kerana memenuhi semua kriteria yang disogok oleh tiga orang juri ini. Apakah yang menghalang mereka daripada memberi pandangan kritis mereka? Jawapan kepada soalan ini terselit di celah fenomena akademik yang menjadi arus perdana, yang tidak berminat kepada idea, tetapi cukup berminat untuk memberi petua seperti yang dilakukan oleh para penilai yang tiga orang itu, yang mereka sendiri tidak mahu menggunakannya sekiranya dengan menggunakan kritertia yang mereka berikan itu akan muncul idea yang boleh mencabar kedudukan mereka sebagai ahli akademik. Dr. Mohd. Zariat mengambil Gagasan Persuratan Baru sebagai kerangka analisis dan penilaian beliau untuk membicarakan 20 buah novel pilihan, termasuk karya sasterawan negara. Buku ini tidak saja penting sebagai sumbangan akademik khususnya dari segi teori sastera cetusan sarjana Malaysia sendiri, tetapi juga melalui buku ini beliau telah membuktikan peranan kekuatan Persuratan Baru sebagai pendekatan yang berbeza daripada yang biasa digunakan. Paling penting, gagasan Persuratan Baru adalah satu pendekatan alternatif yang cukup berwibawa dari segi akademik. Sekiranya tiga orang juri ini tidak menerima gagasan Persuratan Baru sebagai satu pendekatan penting dalam kritikan sastera, namun mereka tidak dapat menolak kemunculan begitu banyak tulisan sehingga terbina suatu korpus yang secara langsung menyokong gagasan ini. Antaranya yang penting ialah idea Dr. Zulkarnain Mohamed yang mengemukakan pendekatan ta’amul-taklif dalam kajian dan kritikan sastera (rujuk JURNAL SARI 29 (1) (2001), hlm. 137-152; tulisan beliau berjudul, “Pendekatan ta’amul-taklif dalam Kajian Sastera”). Prof. Ungku Maimunah pula memperkenalkan beberapa konsep penting untuk memudahkan lagi PB difahami oleh kumpulan sarjana sendiri (termasuk tiga orang juri), misalnya konsep ruang naratif dan analisis mendalam yang beliau lakukan untuk memahami konsep realisme dari pandangan Barat berbanding dengan pandangan PB. Ini semua menjadi bukti yang sah bahawa PB sudah mempunyai kedudukan tersendiri dalam kritikan sastera Melayu, apatah lagi inilah satu-satunya pendekatan kritikan yang boleh membaca dan menganalisis dengan meyakinkan kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara dalam memberi arah yang betul kepada perkembangan kritikan di Malaysia. Wujudnya sarjana yang tidak menyedari perkembangan ini, dengan terus berada dalam posisi Pak Pandir ketika melihat padi hampa bertimbun lalu tidak peduli lagi kepada padi berat yang memang diperlukan, membenarkan betapa pandirisme ini terlalu menonjol untuk dibiarkan begitu saja, sehingga orang yang terlibat tidak tahu dan tidak sedar dia sedang memikul padi hampa!
            Salah satu contoh pagi hampa yang amat ketara dalam dunia akademik Malaysia ialah kemunculan feminisme dalam kritikan sastera Malaysia. Sebuah buku tebal telah diterbitkan dengan judul yang memukau (sekiranya melihat padi hampa itu memukau Pak Pandir), Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (Penerbit USM, 2012), oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman, berasal daripada tesis Ph.D. beliau. Jasa paling besar buku yang berasal daripada tesis Ph.D. ini ialah keupayaannya yang amat memukau untuk membawa karya picisan sama tarafnya dengan “karya agung” para sasterawan negara. Malah dalam pandangan feminisme semua karya kreatif adalah setaraf dan setiap satu mempunyai keistimewaan masing-masing. Ini ditunjukkan dengan seluruh kesungguhan akademik (walaupun tidak diberikan pembuktian ilmiah) bagaimana karya lucah dan picisan, Saman, diangkat sebagai sebuah karya yang “menerokai unsur-unsur psikologi dalam kalangan wanita muda (berusia lingkungan 30-an) yang terpelajar, berkerjaya elit, berfikiran moden dan memperjuangkan kebebasan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan” (hlm. 150). Apakah yang dimaksudkan dengan “memperjuangkan kebebasan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan” itu? Ialah berlangsungnya segala kehendak hawa nafsu rendah manusia, nafsu kebinatangan dengan segala runtunan Iblis yang “memperjuangkan” kebebasan untuk menjadi binatang manusia yang terpelajar, moden, berkerjaya elit dan sebagainya itu. Semua unsur ini diketepikan kerana dalam feminisme yang diajarkan di Barat, yang ditiru dan dijadikan sandaran dalam kritikan sastera di Malaysia, nilai tidak penting, tidak perlu dimasuk kira; kerana yang penting ialah kemahuan hawa nafsu untuk berbuat apa saja yang bertentangan dengan tatasusila dan ajaran agama. Inilah sifat utama Puitika sastera wanita Indonesia (dan tentu saja puitika sastera wanita Malaysia). Dari segi akademik, penulis buku ini (lebih tepat: penulis tesis Ph.D. ini) tidak dapat membezakan ilmu jika (psikologi) dengan runtunan hawa nafsu rendah manusia. Kekeliruan ini menyebabkan seluruh buku ini adalah keliru, sangat keliru, terutama dalam konteks sistem nilai manusia yang dihuraikannya. Manusia yang dianalisisnya adalah kumpulan kecil manusia pinggiran yang biadab, yang menghina diri mereka sendiri dan nilai-nilai agama yang universal. Itulah feminisme yang difahami oleh golongan ini. Apabila manusia yang mempunyai fahaman seperti ini diberi tugas dan amanah untuk menilai karya akademik orang lain, maka mereka akan melihatnya dalam konteks yang mereka huraikan dalam kutipan di atas. Jika anda masih ingat komentar feminism yang difahami oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman ini: “Rasa dan fenomenologi yang menjadi piawai ukuran tidak mengambil apa-apa nas yang boleh memancarkan roh keislaman dengan naluri keimanan dan ketauhidan.” Piawaian yang disebut Dr. Abdul Halim Ali itu tidak penting dalam sastera Melayu. Kita dengar pendapat Shahnon Ahmad: “Jangan marahkan saya kalau kelucuannya (Nota sisipan: mungkin maksudnya ‘kelucahannya’), terasa erotikanya, terasa pornografinya, kerana saya hanya mematuhi tuntutan realiti masyarakat dalam berkarya. Saya tidak boleh berbohong dan cuba mengajak pembaca lari dari realiti masyarakat. Kelucahan, erotika, dan pornografi ini adalah real: malah sudah pun melampaui batas-batasnya di luar duga.” (Dewan Sastera, Oktober 1997, hlm. 43). (Huruf condong dalam teks asal). Bolehkah komentar Dr. Abdul Halim Ali untuk Prof. Dr. Sohaimi Abd. Aziz dikenakan juga kepada Raja Novelis Malaysia ini? (Gelaran ini dianugerakan oleh Dr. Mana Sikana aka Abdul Rahman Napiah). Pandangan Shahnon Ahmad tentang realiti/realisme sama saja dengan pandangan Pak Pandir tentang padi hampa. Itulah realiti pandirisme.
            Bagaimana budaya pandirisme ini dipertahankan ditunjukkan sekali lagi dengan memberi hadiah kritikan kepada esei Dr. Mohammad Saleeh Rahamad yang tersiar dalam Dewan Sastera, September 2005, hlm. 74-80. Makalah itu tidak mencapai standard yang seharusnya menjadi pegangan akademik. Makalah itu bercakap tentang ciri novel Naratif Ogonshoto yang dianggap “sebagai teks pascamoden multiwacana”. Tidak dijelaskan apa maksud multiwacana itu, dan bagaimana tafsiran multiwacana itu meletakkan novel itu sangat istimewa dan bertaraf antarabangsa. Semua pujian itu boleh saja dilemparkan, tetapi perlu dibuktikan, dan inilah yang tidak dibuat oleh penulis makalah ini. Dalam konteks inilah pentignya dibezakan mod bacaan intelektual dengan mod bacaan cerita yang dicadangkan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Membaca dengan betul adalah penting dalam kritikan sastera; jika ini tidak dilakukan, maka kritikan yang dihasilkan akan berupa kritikan cerita, bukan kritikan analisis yang objektif.
            Dengan memberi hadiah kritikan kepada makalah ini, panel penilai telah merendahkan darjat mereka sebagai penilai yang kritis dan berwibawa dan pada waktu yang sama merendahkan kualiti penulisan akademik di Malaysia. Mari kita lihat mengapa kesimpulan ini tepat. Pertama sekali, kita lihat apakah maksud “multiwacana”  sebagai ukuran tertinggi yang hanya terdapat pada novel Naratif Ogonshoto, tidak pada novel lain. Dalam makalah itu, hanya satu jenis wacana saja digunakan, iaitu wacana mengikut teori pascamoden. Dalam teori ini, seperti yang difahami oleh Dr. Saleeh Rahamad, “sastera pascamoden tiada makna tunggal, dan tiada kebenaran yang mutlak.” Itu menunjukkan dengan jelas pandangan sekular Barat yang bertentangan dengan pandangan Islam yang menerima adanya kebenaran mutlak dan makna yang  tunggal, seperti wujudnya Allah SWT Yang Maha Esa yang menjadi sumber nilai kerana Allah SWT adalah sumber ilmu. Jika anda seorang pembaca yang cekap, dan agak teliti, anda akan dapati setiap tulisan, apatah lagi novel, “dapat ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran.” Dr. Mohammad Saleeh Rahamad telah membuktikannya  sendiri ketika menulis tentang novel picisan karya Abdullah Hussein, Kuala Lumpur Kita Punya, dalam kertas kerja beliau yang dibentang dalam Seminar Pemikiran SN Abdullah Hussein (Dewan Bahasa dan Pustaka, 19-20 Oktober 2011.) Tetapi “pelbagai tafsiran” tidak bererti tafsiran yang benar. Ketika berbicara tentang novel erotik dan picisan itu, Dr. Mohammad Saleeh Rahamad membela kewujudan novel itu sebagai hasil kreatif  yang mencerminkan keadaan masyarakat ketika itu. kesimpulan ini tidak tepat, kerana di dalam novel itu tidak ada analisis yang membicarakan dengan tuntas apa yang disebut “masalah masyarakat” itu. Lebih tepat, kerana jelas dari cara novel itu ditulis,  novel itu ditulis untuk mendapat pasaran dengan menggunakan aspek sensasi yang berasaskan hawa nafsu sebagai bumbu untuk memikat pembaca. Oleh itu kepelbagaian tafsiran yang diperlihatkan oleh Dr. Mohammad Saleeh Rahamad memberikan gambaran yang salah dan palsu, kerana semua ukuran yang digunakannya tidak mengarah kepada matlamat untuk memberi analisis yang objektif dan penilaian yang tepat kepada novel itu. Kelemahan paling utama ialah tiadanya konsep ilmu yang seharusnya menjadi teras dan asas setiap penilaian yang dibuat. Oleh itu sarjana ini tidak dapat membaca dengan objektif kedua-dua buah novel yang dianalisisnya kerana tidak mempunyai ukuran yang dapat diuji dengan tepat kebenaran penilaian itu berasaskan ukuran yang disandarkan kepada konsep ilmu yang benar. Apa yang terjadi ialah Dr. Mohammad Saleeh Rahamad hanya melihat aspek luaran yang bersifat semu, oleh itu pemerhatiannya, walaupun bersifat empirikal, sebenarnya diasaskan kepada pemerhatian sepintas lalu, sama seperti pemerhatian Pak Pandir yang tidak dapat membezakan padi hampa dengan padi berat. Cara seperti inilah yang dimaksudkan dengan pandirisme it. Untuk mengatakan Naratif Ogonshoto sebuah novel yang boleh ditafsirkan dalam pelbagai aspek, novel itu harus diuji terlebih dahulu dengan menggunakan pendekatan Persuratan Baru. Dr. Mohammad Saleeh Rahamad tidak boleh berkata ukuran yang digunakan dalam Persuratan Baru tidak boleh dipakai kerana tidak mewakili pendapat arus perdana, tanpa terlebih dahulu membuktikan Persuratan Baru tidak berupaya menganalisis dan menilai sebuah karya secara objektif, tepat dan jitu. Untuk melakukan ini, beliau terlebih dahulu harus mencari ukuran yang dapat menguji pendekatan manakah yang lebih berwibawa, dengan mengasaskannya kepada konsep ilmu yang benar. Jika beliau menolak konsep ilmu yang benar itu sebagai tidak wujud, maka beliau bolehlah ditolak bulat-bulat sebagai tidak akademik dalam analisis beliau kerana terlalu berat sebelah dalam ketaksubannya kepada pendekatan Barat yang tidak bersandarkan konsep ilmu yang benar itu. Semua itu mengarah kepada kewujudan pandirisme dalam kritikan sastera dan dalam bidang akademik sendiri yang meremehkan konsep ilmu yang benar itu. Cara melihat persoalan akademik seperti ini tidak dapat dipakai lagi setelah wujudnya Gagasan Persuratan Baru yang mencabar epistemologi keseluruhan teori Barat yang pada hakikatnya bertentangan dengan cara manusia normal berfikir, yakni yang tidak dapat mengelak daripada menyandarkan pemikiran tadi kepada epistemologi yang menjadi teras sesebuah teori yang dipakai. Sesiapa juga yang cuba lari dari hakikat ini akan berada dalam posisi Pak Pandir yang tidak dapat membezakan padi hampa dengan padi berat, lantas berada dalam budaya pandirisme.
            Beberapa aspek pandirisme ini telah dikupas dengan mendalam dalam kumpulan tulisan yang dimuat dalam buku berjudul Decolonising the University yang dirujuk di atas (permulaan bahagian ini). Buku ini penting kerana semua tulisan yang dikumpulkan di sini membicarakan tentang aspek keterikatan universiti di Malaysia dan lain-lain negara membangun kepada paradigma yang disediakan di Eropah dan Amerika Syarikat. Dalam sastera moden, aspek ini telah dibincangkan dengan mendalam dalam buku Pascale Casanova, The World Republic of Letters (Harvard University Press, London, 2004), yang menegaskan bahawa terdapat dua sumber teori sastera dunia, iaitu sama ada berpusat di Paris atau di London. Inilah dua kiblat teori sastera dunia yang menjadi ikutan para sarjana dan pengkritik sastera Malaysia. Bukti terbaik ialah yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika menulis laporan mereka; juga dalam semua tulisan mengenai “pemikiran” para sasterawan negara yang dibentang di dalam seminar khusus untuk mereka, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Para sarjana dan pengkritik sastera yang membentangkan kertas mereka akan menjadi bisu dan bingung tanpa teori sastera Barat. Mereka tidak dapat menulis tentang sastera, apatah lagi tentang “pemikiran” para sasterawan negara, tanpa menggunakan teori sastera Barat. Ini adalah sebahagian daripada ciri pandirisme yang menjadi amalan para sarjana dan pengkritik sastera, juga para sasterawan. Bayangan daripada sikap mental mereka telah banyak dibicarakan dalam buku-buku yang secara khusus mengkritik belenggu intelektual para sarjana ini dalam bidang sosiologi dan sebagainya. Ini boleh dilihat dalam buku seperti The Homeless Mind (Penguin Books, 1974) oleh Peter L. Berger, Brigitte Berger, dan Hansfried Kellner; buku Stanislav Andreski, Social Science as Sorcery (Penguin Books, 1974). Sebuah buku yang kini sudah menjadi klasik dalam persoalan ini, The Crisis of Our Age oleh Pitirim A. Sorokin (New York: E. P. Dutton @ Co., Inc., 1941) membicarakan dengan terperinci beberapa aspek keruntuhan tamadun Barat moden. Persoalan tentang budaya hawa nafsu (the sensate culture) dibicarakan dengan mendalam dalam buku ini, yang menyentuh secara khusus tentang kesenian dan kesusasteraan. Para sarjana, pengkritik dan sasterawan sendiri cukup obses dengan pascamodenisme, yang mereka anggap sesuatu yang baru, oleh itu menarik minat mereka. Jarang mereka bincang kepalsuan konsep pascamodenisme ini; oleh itu adalah wajar jika mereka meneliti dengan serius sebuah buku penting yang diterbitkan di Amerika Syarikat, berjudul The Truth About the Truth:De-confusing and Re-constructing the Postmodern World, ed. Walter Truett Anderson (New York: A Jeremy P. Tarcher/Putnam Book, 1995). Sekadar perbandingan dan peringatan, saya memetik pandangan Prof. Emeritus Pauline Marie Rosenau tentang pascamodenisme:

“The cut-and-paste character of post-modernism, its absence of unity, is both a strength and a weakness. Everyone can find something about it which to agree. But, because it is not an ‘invisible college’, an infinite combination of alternatives allow different and varying ways to put together the elements that constitute post-modernism. No wonder its hormony is disrupted by arguments; no currents, and continual schism. Whether one reads post-modernism as skeptical and cynical or as affirmative and optimistic, or as something else entirely, depends in part of which authors and traditions inspire one’s understanding of it. Post-modernism is stimulating and fascinating; and at the same time it is always on the brink of collapsing into confusion” (hlm. 107).
           
            Kegagalan secara total dalam kritikan sastera Melayu yang tidak mempunyai arah yang jelas dari segi matlamat dan cara mencapainya ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam 12 laporan mereka untuk 12 orang sasterawan negara. Tiga ciri penting laporan itu ialah (1) ketergantungan yang total terhadap teori sastera Barat; (2) kegagalan untuk memahami aspek ilmu dalam kritikan dan penulisan kritikan; (3) pembinaan serta penerusan nilai-nilai palsu dalam sastera Melayu moden. Antara nilai palsu yang dipromosi oleh Panel ialah ketegasan mereka menolak aspek moral dalam karya sastera, dengan alasan karya sastera bukan propaganda; mereka juga menolak nilai-nilai Islam sebagai asas penilaian, walaupun semua sasterawan yang mereka nilai adalah sasterawan beragama Islam; dan yang paling penting dalam konteks budaya pandirisme ini ialah sikap yang anti ilmu, oleh itu mereka menolak sebarang “teori” yang menjadikan Islam sebagai asas kritikan sastera. Kesan terbesar sikap negatif ini ialah kebanjiran karya picisan di kalangan para sasterawan negara, yang dinaikkan tarafnya sebagai karya bermutu dilihat daripada perspektif teori Barat yang menjadi pegangan mereka. Tentulah sukar untuk diterima oleh kebanyakan sarjana dan pengkritik sastera bahawa Panel Anugerah Sastera Negara, melalui laporan mereka, mempromosikan pandirisme dalam kritikan dan penilaian karya kreatif, dengan itu mereka tidak berasa malu atau berdosa untuk menerima karya picisan dan erotik murahan sebagai karya terbaik untuk Malaysia. Contoh terbaik ialah sanjungan mereka terhadap Salina oleh A. Samad Said, dan cerita pendek Anwar Ridhwan “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”. Mereka juga menerima sajak “Pulang Si Tenggang” sebagai karya besar, padahal karya itu tidak mempunyai nilai intelektual sama sekali jika dinilai dari perspektif konsep ilmu yang benar. Semua proklamasi berlebihan Panel Anugerah Sastera Negara ini tidak mempunyai asas ilmiah sama sekali, kecuali sedikit maklumat tentang teori sastera Barat yang tidak mendalam, kerana mereka tidak pernah mengesan dan membahaskan aspek epistemologi dalam kritikan sastera Barat yang menolak kebenaran dan tiadanya makna yang diasaskan kepada pengertian yang mendalam tentang hakikat kejadian manusia dan peranan manusia di dalam kehidupan dunia. Semua aspek ini hanya dibicarakan dalam epistemologi Islam, yang sepatutnya menjadi dasar penilaian Panel Anugerah Sastera Negara kerana sasterawan yang  mereka nilai adalah sasterawan Islam yang menulis sebagai seorang Islam. Atas alasan apa Panel menolak nilai-nilai Islam dan pandangan hidup Islam, padahal mereka bercakap tentang realisme dalam kehidupan. Apakah fahaman mereka tentang konsep realisme itu? Jika kita membaca dengan kritis semua laporan  Panel Anugerah Sastera Negara ini, kita akan dapati makna realisme yang mereka pakai terarah kepada penerokoaan kejahatan dalam kehidupan manusia, oleh itulah mereka menerima dengan baik aspek pelacuran dan perzinaan dalam karya para sasterawan negara. (Lihat terutamanya laporan mereka terhadap A. Samad Said dan Anwar Ridhwan).
            Apakah yang terjadi kepada para sasterawan negara dan kesusasteraan itu sendiri setelah diberi taraf arus perdana? Kedua-duanya telah mencapai kedudukan “maharaja dengan baju barunya”, yakni menjadi pujian dan diberi pujian tinggi oleh peminat mereka. Para peminat dan pemuji itu pula mempunyai peranan penting sebagai “pengkritik tukang tenun” yang menganyam dengan teliti pujian dan sanjungan, khususnya terhadap para sasterawan negara. Pengkritik tukang tenun  ini diketuai oleh Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, diikuti oleh para penulis kertas kerja seminar “pemikiran” sasterawan negara. Gaya mereka digelar “retorik peragaan”, kerana setiap seorang sasterawan negara akan disanjung begitu tinggi untuk bergelar “pemikir dan ahli falsafah negara”. Di sinilah timbul pelbagai jenaka yang mengasyikkan. Misalnya, Panel Anugerah Sastera Negara sangat tertarik kepada “falsafah” yang tersirat dalam sajak erotik Baha Zain, “Perempuan”, yang memberikan kepada kita ungkapan “metaforikal” yang berbunyi: “Rambutmu hutan-hutan hijau yang tebal” yang menyirat makna bahawa kehidupan yang dapat dilihat secara jelas dengan mata kasar sebenarnya menyembunyikan rahsia yang tidak dapat dilihat secara jelas dengan mata kasar” (hlm. 28-29, Laporan 2013).
            Tidakkah “falsafah” itu begitu mendalam sehingga tidak dapat difahami dan dilihat dengan mata kasar sekali pun? Perkataan “falsafah” ditenun begitu rupa oleh Panel Anugerah Sastera Negara ini; dan inilah yang kemudiannya diikuti oleh sarjana seperti Dr. Mohammad Saleeh Rahamad ketika memuji Naratif Ogonshoto dan karya picisan Abdullah Hussein, Kuala Lumpur Kita Punya. Kedua-dua makalah Dr. Mohammad Saleeh Rahamad ini adalah contoh terbaik hasil karya “pengkritik tukang tenun” ini. Cerita tukang tenun menipu maharaja ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan diterbitkan tahun 1929 lagi oleh Sultan Idris Training College, diterjemahkan oleh Abdulkudus bin Ahmad (ulang cetak 1949), dengan judul Hikayat Taman Ajaib (sebagai siri no. 2 dalam Malay Home Library Series). Jadi cerita tukang tenun ini telah diketahui oleh masyarakat Melayu sudah lama; oleh itu tidak hairanlah jika para sarjana sastera Melayu kemudiannya menjadi “pengkritik tukang tenun” untuk memuji keindahan karya para sasterawan negara. Tetapi sebagai saja “tenunan” itu diperiksa dengan teliti, maka terpampang dengan jelas hakikat sebenar karya sastera yang diberi pujian itu. Ini membuat seorang ahli Panel Anugerah Sastera Negara dilaporkan sebagai berkata, jika pendekatan Gagasan Persuratan Baru digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara ini, semua karya mereka hanya layak dimasukkan ke dalam tong sampah! Satu komen yang tidak adil kepada para sasterawan negara yang tidak pernah diuji dengan pendekatan Persuratan Baru oleh mana-mana Panel Anugerah Sastera Negara; oleh itu tidak adil pula untuk memfitnah Gagasan Persuratan Baru dengan pandangan yang lebih dekat kepada hasutan untuk mencemuh dan membenci PB tanpa memahaminya terlebih dahulu.
            Kehadiran “pengkritik tukang tenun” ini bersesuaian dengan munculnya Mutual Admiration Club di kalangan para sasterawan negara dan para pemuja mereka. Kemunculan Mutual Admiration Club ini telah diberi perhatian serius oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam kertas kerja beliau untuk Seminar Kritik Sastera 1973 di Johor Baru. (Rujuk buku Kritik Sastera di Malaysia, Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1975; khususnya hlm. 66). Beliau kemudiannya menjadi penyokong budaya puji-memuji sesama sendiri ini dengan memberi arahan kepada seorang penulis kertas kerja untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh (Dewan Bahasa dan Pustaka, 9-10 September 2010), Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man, supaya menulis yang baik-baik saja tentang dirinya. Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man memberitahu, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh berpesan “Untuk seminar nanti, kena tulis elok-elok pasai (sic) saya.” Apakah perlunya Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh berpesan demikian? Adakah beliau takut akan dinilai dengan objektif, jitu dan tepat oleh para murid dan penyokong beliau yang dipilih menulis kertas kerja? Tetapi pesana itu amat wajar diucapkan oleh beliau, kerana kita sudah dimaklumkan awal-awal lagi betapa perlunya beliau dipuji, disanjung, diangkat, dibelai dengan kata-kata manis memuja dan sebagainya. Itulah yang kita dapat dalam semua kertas kerja yang dibentang pada seminar itu. seterusnya kata Dr. Siti Hajar: “Maka, terikatlah sudah satu perjanjian yang tidak dapat dimeterai, saya perlu menulis sesuatu yang indah yang menyamankan hati dan perasaan seorang tokoh yang cukup baik dengan saya.” Hasilnya, Dr. Siti Hajar membentangkan satu kertas yang tidak ada faedah langsung dari segi akademik. Beliau memilih untuk menyukakan hati gurunya dan tokoh yang baik dengannya daripada memberikan analisis dan kritikan yang objektif dan bersifat akademik. Inilah kemuncak perayaan pesta Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu. Nampaknya maruah akademik boleh diketepikan demi “menjaga hati” seorang tokoh “yang cukup baik dengan saya”.
            Dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Anwar Ridhwan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2-3 Julai, 2013), Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh diberi penghormatan untuk menyampaikan ucap utama seminar itu. Beliau memuji Anwar Ridhwan begini: “Sebagai pengarang Anwar Ridhwan selalu mencari – dan mencari melalui waktu, tahap hidup dan ruang geografi yang berlainan. Dalam gaya dan naratifnya beliau sering berdiri di depan anak tangga yang memanjat ke atas, ke arah kelainan dan ke arah dunia yang masih belum dikenali atau diperikan. Inilah langkah pengarang yang baik, dan Anwar Ridhwan ialah seorang pengarang yang saya anggap baik – dan oleh itu selalu dirundung persoalan penciptaan, masalah gaya yang saksama dan tema yang menyentak pada jantung kewujudan.” Kelainan yang disebut oleh profesor ini yang menggambarkan dunia yang belum dikenali, telah diberitahu kepada kita oleh Dr. Mohammad Saleeh Rahamad merujuk kepada dunia penglipur lara yang sudah ditinggalkan, sejenis kebudayaan yang bersifat hiburan yang berada di pinggiran sahaja dalam tamadun Melayu. Adakah ini yang dimaksudkan oleh profesor ini sebagai “berdiri di depan anak tangga yang memanjat ke atas?” Jika anda masih ingat kelakuan Pak Pakndir ketika memilih padi hampa, anda akan mengerti dengan lebih mendalam maksud pujian ini.
            Walau bagaimanapun, pujian ini penting dalam konteks Mutual Admiration Club yang dikritik oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tahun 1973 lagi, tetapi ternyata telah ditolaknya kerana suasana telah berubah, apabila Mutual Admiration Club itu telah diangkat ke arus perdana dalam perkembangan sastera Melayu. Beliau telah diberi pujian yang hampir menembusi langit ke tujuh dalam buku yang diedit oleh Prof. Zawiah Yahya, Critical Perspectives on Muhammad Haji Salleh (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003. Ulasan panjang tentang buku ini boleh dibaca dalam Harakah, Disember 2010, dalam empat siri. Ulasan itu ditulis 2004, baru dapat disiarkan dengan usaha Sutung Umar RS yang mengirimnya kepada Harakah). Anwar Ridhwan telah memuji Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam kata-kata berikut: “Like Aristotle, Muhammad used Malay literary text (fiction and non-fiction) to arrive at the Puitika Sastera Melayu. Based on his bibliography, we know that he had referred to more than sixty fiction and 100 non-fiction texts as part of his important study” (hlm. 173). Walaupun profesor ini merujuk begitu banyak teks, namun beliau tidak bertemu dengan pengaruh Islam dalam kebudayaan Melayu, seperti yang ditemui oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (UKM, 1972). Malah profesor yang sampai ke taraf Aristotle ini tidak pun menyebut karya-karya utama Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, hatta ketika beliau menyentuh sepintas lalu tentang syair, yang menurut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dipelopori dan dicipta oleh Hamzah Fansuri, Bapa Sastera Melayu Moden. Bagaimana seorang yang bertaraf Aristotle boleh terlepas kajian penting dan definitif oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas? Sebaliknya, beliau menemui cerita-cerita penglipur lara yang telah ditinggalkan oleh budaya Melayu, lalu duduk bersimpuh dengan amat hormat di hadapan Guru Agungnya, Pak Mahmud Perlis, tokoh penglipur lara itu. Kebetulan dalam tahun 1973 saya bertemu Pak Mahmud di rumahnya, dan bertanya beliau tentang dunia penglipur laranya itu. Dia mengaku, masyarakat tidak menerimanya, kerana mereka anggap sejenis maksiat; tetapi selepas Kongres Kebudayaan 1971, dunia yang ditolak oleh masyarakat Melayu itu diangkat tinggi oleh para sarjana Melayu yang baru bertemu dengan dunia itu. saya mengkritik syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam satu tulisan panjang yang disiarkan dalam Dewan Sastera  (Mac-Julai, 1991); kemudiannya diterbitkan dengan judul, Medan-Medan dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (Sarjana dan Sasterawan Negara) (Kota Bharu, 1994). Hingga kini sanggahan saya belum dijawab atau ditolak oleh mana-mana sarjana, termasuk murid-murid Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh yang ramai itu (menurut hitungan beliau, jumlahnya antara 4000-5000 orang).
            Sebelum memberi pujian yang begitu tinggi, Anwar Ridhwan telah mengkritik dan menyindir usaha menulis “teori” sastera Islam. Inilah kritikan beliau yang tidak berasas itu: “There is a tendency on the part of Malay literary scholars to construct a theory without reference to texts. Perhaps the most obvious examples of this trend are certain Islamic literary theories that prevailed in Malaysia ….. Apparently literature, without literary texts as its basis ….. Whatever reason, this approach in constructing a theory does seem odd. In contrast, Aristotle’s discourse on poetics has become widely known and is still applicable because it was based on texts and presentations that existed in Greece …. Perhaps, this is the best method of forming a theory: a theory evolves much later than texts, as it is only through the texts that we can get clear, concrete and significant examples of the artistic philosophy of a nation” (hlm. 173).
            Semua ini bunyinya bagus, tetapi tidak bermakna apa-apa, seperti yang dibuktikan Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam Puitika Sastera Melayu. Yang didapati oleh profesor sastera ini bukannya teori, tetapi beberapa panduan umum untuk memahami beberapa aspek remeh-temeh dalam sastera Melayu. Aspek yang penting dan menjadi dasar puitika sastera Melayu dibincangkan dengan mendalam dalam syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan dalam kajian beliau tentang karya-karya Hamzah Fansuri, yang tidak pun disentuh oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, meskipun kajian itu penting. Anwar Ridhwan sendiri pula tidak membaca apa yang disebutnya “teori” sastera Islam itu, oleh itu beliau tidak berupaya memberikan contoh yang sepatutnya diberi penjelasan oleh beliau di mana salahnya “teori” itu dan mengapa tidak diperlukan dalam sastera Melayu: juga berapa ratus tahun lagi baru lengkap apa yang disebutnya sebagai teks yang akan dijadikan bahan analisis untuk mendapatkan “teori” sastera Islam. Pandangan Anwar Ridhwan yang tidak berasas itu telah ditolak dan dibuktikan sebagai tidak berasas dalam makalah mendalam novel Abdul Kadri Adabi, Melati Kota Bharu (terbit 1939 di Kota Bharu). Rujuk tulisan beliau dalam Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM, 2010).
            Budaya pandirisme melalui Mutual Admiration Club ini menjadi salah satu cabaran besar yang dihadapi oleh Gagasan Persuratan Baru, yang harus dihadapi dengan tabah dan sabar. Inilah intifadah dalam persuratan Melayu yang perlu diperjuangkan sekiranya kita mahu benar-benar mengembalikan maruah ilmiah kita yang hilang selama berkuasanya kesusasteraan dan para sasterawan selama kira-kira 80 tahun membawa nilai-nilai yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang kita jadikan asas pembinaan tamadun kita. Sebenarnya perjuangan ini tidak sulit, kerana kesusasteraan sebenarnya samalah dengan “baju baharu sang maharaja” dalam kisah dongeng Hans Christian Andersen itu.



                              Persuratan Baru dan Stylization of Ideas
(Gagasan Persuratan Baru Edisi Kedua, hlm. 330-340:  (Penerbit UKM 2014)


Istilah Melayu yang tepat untuk merujuk stylization of ideas  belum lagi ditemui, kerana konsep style yang saya pakai tidak dapat diterjemahkan sebagai “gaya” atau “gaya bahasa” seperti yang biasa digunakan. Oleh itu istilah style dikekalkan dalam bentuk asalnya, untuk mengelak daripada pengertian sempit seperti yang biasa dipakai dalam penggunaan popular. Pada pandangan saya, style bukan hiasan (seperti dalam “gaya bahasa” yang banyak memakai perbandingan, kiasan, atau apa-apa juga “perhiasan bahasa” atau “bunga bahasa” yang sering kita lihat dalam tulisan-tulisan “sastera”); bukan kelainan ucapan (misalnya dengan menggunakan bahasa daerah, bahasa pasar, dan seumpamanya); bukan pemakaian bahasa yang sukar berbelit-belit (misalnya dengan sengaja menggunakan istilah pinjaman yang pelik-pelik, dilonggokkan begitu saja dengan maksud menunjuk-nunjuk, bukan benar-benar diperlukan); style bukan propaganda dan bukan pujukan (seperti dalam iklan, sajak-sajak protes, atau karya-karya yang secara mentah mengemukakan sesuatu isu yang tidak dianalisis, misalnya dalam “sastera Islam” yang penuh dengan istilah-istilah Arab yang tidak perlu, atau memaparkan ayat-ayat Quran dan hadis sebagai tampalan untuk menunjuk-nunjuk, atau yang banyak menggunakan istilah-istilah IT sekadar untuk memperagakan pengetahuan yang cetek saja), penggunaan bahasa yang rasional (yakni, bukan yang sentimental), dan penguasaan ilmu yang diserlahkan dengan menggunakan perkataan yang tepat, padat, dan memikat. Yang hendak dicapai ialah makna yang mendalam, bukan luahan perasaan. Kerana itu style berbeza dari retorik. Dalam pemakaian yang saya anjurkan, style berusaha mencari kebenaran dalam konteks taklif; manakala retorik (yakni “gaya bahasa” dan “bunga bahasa” yang dipakai dengan meluas oleh para sasterawan Malaysia) mengarah kepada kepuasan emosi, hawa nafsu, dan pemberontakan manusia kepada taklif.
            Berasaskan pengertian di atas, istilah Melayu untuk stylization of ideas ialah “siratan makna”, yang boleh dipakai sebelum ada sesiapa mencadangkan istilah yang lebih tepat. Istilah “siratan makna” diperolehi setelah menimbang beberapa konsep dalam seni tenunan, anyaman, dan pembuatan batik. Terdapat istilah-istilah seperti “ragi” (corak atau warna kain); “kelarai” (corak tenunan, anyaman, batik); “sirat” untuk tekatan, anyaman bakul, raga, dinding, jala, pukat dan lain-lain. Dari kegiatan seni Melayu itu, kita dapat istilah-istilah “sulaman”, “anyaman”, “corak” dan sebagainya. Berdasarkan pemeriksaan konsep-konsep seni Melayu tradisi itu, maka dipilih istilah “siratan makna”. Perkataan “sirat” merujuk kepada sejenis kemahiran yang khusus, yang hasilnya berguna untuk manusia dan cantik ikatannya, yakni hasilnya practical and beautiful. Pada mulanya tertarik kepada ungkapan “kelarai pemikiran”, tetapi ternyata tidak tepat kerana akan diterjemahkan sebagai “pattern of ideas” atau “pattern of thoughts”. Dengan memakai istilah “siratan makna” untuk stylization of ideas, kita menekankan dua aspek penting dalam Persuratan Baru, iaitu ilmu dan kemahiran (bakat seni yang tinggi). Siratan merujuk kepada kemahiran mengarang, yakni bakat yang tinggi dalam mencipta sesuatu yang menarik atau baru. Makna merujuk aspek intelektual, yakni ilmu. Kita boleh ringkaskan begini: suratan kata (yang lahir) membawa kepada siratan makna (yang tersembunyi). Yang “tersirat” (tersembunyi) lebih kaya maknanya daripada yang “tersurat” (bentuk luaran). Style merujuk dua perkara ini: yang tersurat kata-kata, tetapi berasaskan “epistemic choice” (yang tersirat, yakni makna yang mendalam yang lahir daripada pemilihan kata-kata dan siratan ayat yang dipakai pengarang). Ringkasnya, bahasa yang dipakai diberi makna yang mendalam dalam siratan kata yang halus dan berseni, indah ikatannya, dan tepat penggunaannya. Semua ini akan melahirkan wajah seni atau keindahan sesebuah karya.
            Oleh itu, dari segi konsepnya, stylization of ideas merujuk kepada teknik dan gaya penulisan yang mengutamakan pemikiran dan ilmu, bukan cerita atau peristiwa yang menyeronokkan perasaan. Walaupun watak masih memainkan peranan penting, namun dari segi kedudukannya, pemikiran dan ilmu itulah yang memainkan peranan utama, yang mentakrifkan makna karya berkenaan. Sebagai contoh, Abdul Qahir al-Jurjani dalam kitabnya Asrar al-Balaghah, menyebut bahawa apabila seseorang penyair menyatakan bahawa pada sesuatu khemah terdapat api yang menyala sepanjang masa, tidak pernah pada, maka yang dimaksudkan dengan ibarat demikian ialah sifat pemurah ketua khemah berkenaan, yang apinya sentiasa tersedia untuk memasak makanan pada bila-bila masa sekali pun ketibaan tamu. Sesiapa juga musafir yang singgah di khemah itu terjamin makan minumnya, tempat tidur, dan keselamatannya. Sifat pemurah dibandingkan dengan api yang tidak pernah pada, yang tidak saja menerangi sekeliling sehingga menghindarkan musafir dari tersesat, malah api itu juga menunggu kedatangan seorang pengembara untuk diraikan. Cahaya dan panasnya api menjadi lambang sifat murah hati seorang ketua kabilah. Dalam cahaya api itu terdapat makna tersirat yang amat mendalam, yang tidak perlu kata-kata yang banyak untuk menjelaskannya.
            Gagasan Persuratan Baru menekankan dua aspek utama dalam penulisan: ilmu dan bakat yang tinggi (yakni, kemahiran mengarang yang tinggi). Dalam Persuratan Baru ditekankan pentingnya style penulisan yang bersifat ilmiah dari segi isi, tetapi indah dari segi penyampaian atau persembahan. Konsep style yang sebenarnya, menurut Goethe dan Richard M. Ohmann, merujuk kepada “epistemic choice” (pemilihan berasaskan ilmu) dalam penulisan, iaitu pengarang menyerlahkan kemampuan ilmiah/intelektual dan seninya dalam bahasa kesarjanaan (atau ilmiah) tetapi indah dari segi pengucapannya. Pengarang cukup berhati-hati ketika menyusun ayat dengan memilih kata-kata yang tepat dan sesuai dan memperkenalkan konsep-konsep tertentu untuk mewujudkan persekitaran pemikiran di dalam karyanya, supaya apabila habis dibaca dan dianalisis dengan cermat oleh pembaca yang kritis, dia akan melihat dengan jelas makna karya tersebut dan keindahannya, yakni wajah seninya. Yang dimaksudkan dengan wajah seni ialah bentuk konkrit yang lahir daripada karya tadi, seperti yang dapat dilihat dalam contoh tentang sifat pemurah dan penyantun di dalam syair yang disebutkan oleh al-Jurjani di atas. Lihat juga contoh dalam pantun Melayu yang membicarakan tentang kasih sayang yang tidak sempurna, seperti buah langsat yang kuning mencelah (yakni, tidak masak seluruhnya). Pantun “buah langsat” ini indah dari segi makna dan wajah seninya. Dari segi stylization of ideasi, buah langsat memberikan tiga gambaran: bentuk gugus langsat yang seperti bentuk jantung manusia; rasanya yang masam pahit jika tidak masak betul; buah yang “kuning mencelah” – yakni, yang beberapa biji saja kelihatan masak (jadi tidak masak betul) belum sesuai untuk dipetik. Dari segi makna, keadaan itu dikaitkan dengan hati manusia yang belum sempurna rasa cintanya, masih berbelah bagi, tidak menyeluruh, tidak “masak betul” (yakni, cinta yang belum matang), maka dengan mudah saja akan berubah apabila sudah “dapat gading bertuah”, sehingga “tanduk tidak berguna lagi”. Wajah seni dalam pantun ini dibentuk dari perbandingan antara buah langsat dan jantung manusia: buah yang tidak masak, walaupun kelihatan masak, masih masam, belum boleh dimakan; demikianlah cinta yang belum matang, yang tidak sempurna, atau tidak jujur, membawa makna “masam” dari segi akibatnya kepada kedua belah pihak.
            Sebenarnya, cara melukiskan keindahan makna dalam wajah seni begini telah diajarkan oleh al-Quran, dan memang dimaklumi serta dipakai dalam seni mengarang para pujangga Islam. Kita lihat beberapa contoh lagi untuk menjelaskan makna stylization of ideas ini. Daripada al-Quran, perhatikan contoh yang terdapat dalam ayat 17:24, yang menggunakan sayap burung untuk menggambarkan kasih ibu. Perhatikan bagaimana ibu burung, yang terbang mencari makan untuk anaknya, kembali membawa makanan, melebarkan sayapnya seketika, kemudian hinggap perlahan-lahan, dan menutup sayapnya perlahan-lahan. Ibu burung tidak terus hinggap, kerana perbuatan itu akan membahayakan sarang dan anaknya sekiranya dia turun mengejut. Tetapi perhatikan keindahan perbuatan ibu burung itu: sambil melebarkan sayapnya, dia merenung anak-anaknya, kemudian perlahan-lahan hinggap di tepi sarang, lalu menyuapkan makanan ke mulut anak-anaknya. Dari segi gambaran alam pun kita dapat membayangkan betapa indahnya peristiwa yang begitu biasa dan kecil, tetapi dari segi hakikatnya memberikan makna yang sangat mendalam. Dari segi makna pula, wajah seni yang terpancar daripada perbuatan ibu burung itu mentakrifkan makna kasih sayang si ibu terhadap anak-anaknya. Jadi jika di kalangan binatang pun kasih sayang itu begitu indah, maka apatah lagi jika di kalangan manusia yang beriman. Kerana itulah al-Quran mencegah seorang anak berkata “uh” yang perlahan sekali pun terhadap ibunya, yang dikira sebagai dosa besar (Quran, 17:23). Aspek keindahan begini tidak mungkin dapat dirasakan sepenuhnya jika tidak dihuraikan daripada perspektif taklif.
            Dalam syair-syair Iqbal, contoh-contoh stylization of ideas ini banyak sekali diberikan. Perhatikan beberapa contoh yang diberikan dalam Pujangga Melayu. Pada halaman 220, terdapat petikan satu bait syair Iqbal. Ungkapan “menggempur langit angkasa” dalam petikan itu merujuk kepada walaupun semua perkara telah ditentukan (ditakdirkan) oleh Allah Taala, tetapi manusia disuruh berdoa. Dengan usaha dan doa, takdir tadi menjadi suatu ketentuan yang dinamik, yang mendorong manusia untuk terus berusaha gigih di samping terus berdoa (menyerahkan kepada Allah untuk menentukan kejayaannya). Usaha beginilah yang dinamakan amal salih (seperti yang digambarkan dalam “Ayat 1000 Dinar” yang masyhur itu), dan doa merupakan penyerahan usaha tadi ke hadrat Allah Taala. Dalam syair ini Iqbal menggambarkan  maksud manusia berwatak kuat, manusia bertakwa yang selalu disebut ketika membicarakan peribadi Muslim yang sempurna. Watak yang kuat, menurut Iqbal, ialah yang dapat “menggempur langit angkasa”, yang sanggup meminta kepada Allah untuk mengubah nasibnya di  dunia dengan kegigihan usahanya yang ikhlas. Dia mendapat apa yang dimintanya berasaskan janji Allah seperti dalam “Ayat 1000 Dinar” itu. Pada halaman 167, Iqbal menggambarkan kreativiti manusia yang tak terbatas yang mendapat ilham daripada ciptaan Allah Taala. Perhatikan yang ditekankan di sini ialah hal-hal kebaikan, kekuatan peribadi; bukan keburukan atau peribadi yang lemah. Inilah sifat asasi persuratan Islam, dan ini dicapai melalui stylization of ideas.
            Setiap karya yang ditulis dalam kesedaran konsep stylization of ideas memerlukan strategi penulisan (retorika) yang sesuai. Novel saya yang berjudul Aligupit boleh dibaca dari mula hingga akhir, atau boleh dimulai dari akhir, atau di tengah-tengah, atau di mana saja – sama seperti kita melihat awan larat atau kelarai/corak permaidani, boleh dimulai dari mana saja. Jika permaidani itu dari sutera buatan tangan yang halus, setiap sudut memberikan kita warna yang berbeza. Cubalah perhatikan sendiri untuk mendapat pengalaman seni yang mempesonakan ini. Tiap tirai dalam Aligupit boleh berdiri sendiri, boleh dinikmati sebagai adanya, tetapi semua tirai mempunyai kaitan satu sama lain untuk memberikan makna keseluruhan kepada karya tersebut. Judul Aligupit merupakan sejenis teka-teki yang menyimpulkan makna tersirat karya itu. Jika dibaca dari kanan ke kiri, kita dapat Tipugila, dengan itu maksud “aligupit” itu diselesaikan; jadi  kini judul boleh pula dibaca Gilatipu. Dengan itu kita mempunyai tiga judul sebenarnya. Konsep “tirai” yang dipakai menggantikan “bab” (bab ialah pintu: mungkin terbuka, atau tertutup, pokoknya pintu perlu dibuka dan ditutup) menyembunyikan sesuatu, yang juga bermakna menutupi dari penglihatan; tetapi apabila tirai dibuka, bermulalah kisah (seperti dalam drama pentas dulu yang memakai tirai untuk membuka babak baru dan menutupnya). Untuk memahami bagaimana stylization of ideas digunakan dalam Pujangga Melayu, lihat tulisan saya dalam Dewan Sastera, Ogos 2002. Jika tulisan itu ditelaah betul-betul, sambil membaca Pujangga Melayu dengan cermat, konsep stylization of ideas ini akan dapat difahami dengan mudah.
            Saya ingin memberikan contoh terakhir yang diambil daripada sajak terkenal Amir Hamzah berjudul “Berdiri Aku”. Semua pelajar sastera dan guru-guru sastera harus menghafal sajak ini, yang boleh didapati dengan senang dalam antologi sajak-sajak Indonesia. Dalam sajak ini, Amir Hamzah “berdiri di senja senyap”, yang sebenarnya bising dan riuh kerana “camar melayang menepis buih, berayun alun di atas alas”, “berjulang datang obor terkembang”, kerana pada senja itu “angin pulang menyejuk bumi, lari ke gunung memuncak sunyi”. “Dalam rupa maha sempurna” itulah Amir berkata dia “ingin datang merasa sentosa, menyecap hidup bertentu tuju”. Perhatikan wajah seni, atau keindahan, yang terdapat dalam sajak ini: semua anasir alam yang dilukisnya “bertentu tuju”, tahu ke mana hendak pergi, pasti ke arah mana hendak dituju. Perhatikan perkataan “pulang” yang amat sederhana, tetapi besar ertinya itu: semuanya akan “pulang” bila tiba waktunya; tetapi dalam sajak ini “pulang” dipakai dalam tiga konteks: secara umum (semua akan pulang), konteks khusus (angin pulang), dan konteks kerohanian (pulang sebagai hamba Allah yang hidupnya bertentu tuju). Inilah salah satu contoh stylization of ideas yang sangat indah. Konsep “pulang” yang dipakai oleh Amir Hamzah adalah sama dengan konsep “pulang” (ar-raji’) yang disebut dalam al-Quran, yang menggambarkan bagaimana air yang dihisap matahari menjadi awan, akhirnya “dipulangkan” ke bumi sebagai hujan (Quran, 86:11). Perhatikan betapa indahnya perbandingan dan kiasan yang dipakai al-Quran: air yang kembali atau pulang ke bumi sebagai hujan adalah rahmat Allah yang disambut girang dan sukaria oleh semua makhluk, seperti kegembiraan kita menyambut kepulangan pengembara yang ditunggu-tunggu yang baru pulang dari perantauan. Tetapi semua keindahan ini tidak mungkin dirasai dan diketahui maknanya tanpa konsep taklif.
           
Kesimpulan

Bolehkah seorang bukan Islam menggunakan Persuratan Baru sebagai kerangka penilaian karya kreatif, khususnya karya persuratan? Orang-orang yang tidak memahami konsep ilmu, atau yang kefahamannya tentang ilmu amat kabur dan keliru, akan memberi alasan bahawa apa juga pemikiran yang bercorak Islam harus ditolak oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kerana sesuatu yang bercorak Islam tidak dapat diterima oleh orang-orang bukan Islam. Hujah seperti ini jelas bersifat perkauman, tidak bersifat terbuka seperti yang difahamkan apabila orang menyebut pluralism atau kepelbagaian kaum dan budaya. Selain itu, hujah begini tidak diasaskan kepada ilmu dan analisis, iaitu hujah yang diasaskan kepada perasaan dan kejahilan semata-mata. Perkauman dan kejahilan tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak apa juga gagasan yang tidak disetujui. Hanya analisis berasaskan kefahaman yang mendalam saja yang boleh dijadikan hujah untuk menolak atau menerima sesuatu gagasan atau pemikiran. Sepanjang mengenai Persuratan Baru dan konsep taklif yang menjadi dasarnya, sesiapa juga boleh memakainya untuk menilai sesebuah karya kreatif. Yang berlaku pada waktu ini ialah keadaan kelam-kabut dalam membuat penilaian, oleh kerana nilai dan ukuran yang dipakai tidak dijelaskan dan matlamat penilaian itu pula tidak ditunjukkan. Saya telah menyebut berulang kali bagaimana sebuah karya picisan seperti Salina diberi sanjungan tinggi semata-mata kerana seorang sarjana Belanda memujinya. Kerana takut dikata bodoh jika tidak bersetuju dengan sarjana Belanda itu, maka orang terus akur dengan beliau. Tidak dipersoalkan lagi apa asas penilaian beliau, dan adakah asas-asas itu, jika ada, wajar dan munasabah. Lebih penting, adakah cara penilaian demikian yang dikehendaki oleh para penulis Melayu yang beragama Islam? Jika itulah yang mereka anggap yang terbaik, maka apakah kesan dan implikasinya terhadap sistem nilai masyarakat mereka? Adakah sistem nilai mereka akan bertambah baik dan jelas, atau akan menjadi semakin kabur dan sesat? Semua persoalan ini perlu dihuraikan, jika kita ingin membuat penilaian yang benar-benar ilmiah dan bertanggungjawab. Dalam masyarakat Barat yang melahirkan pelbagai teori dan pendekatan kritikan, hal-hal begini tidak dipedulikan, kerana asas pemikiran mereka adalah anti-agama. Adakah ini yang kita inginkan untuk masyarakat kita yang kononnya berbilang kaum itu?
            Dilihat dalam konteks yang disebutkan di atas, gagasan Persuratan Baru harus diterima sebagai salah satu kerangka penilaian dan teknik penulisan kreatif yang diajukan sebagai alternatif dan penyelesaian kepada kemelut nilai dan kekacauan pendekatan dalam persuratan Malaysia pada waktu ini. Para penentang Persuratan Baru harus bangkit menentangnya dengan memberikan hujah dan bukti ilmiah, bukan berasaskan sentimen dan kejahilan. Dalam hal ini, orang harus sedar bahawa dalam pandangan Islam, semua manusia mempunyai keupayaan dan kemahuan untuk berbuat baik. Kebaikan adalah matlamat hidup yang diingini oleh semua manusia. Bagaimana kebaikan itu dinilai dan diberi kedudukan tertentu bergantung kepada worldview tertentu. Islam menerima kebaikan, malah al-Quran menyebut dengan jelas bahawa yang makruf, yakni kebaikan yang dikenal dan diketahui umum, memang dikenali oleh semua manusia tanpa mengira agama; demikian juga yang mungkar. Tetapi Islam menegaskan bahawa kebenaran adalah milik Islam. Ini persoalan akidah, yang tidak boleh dipaksakan ke atas sesiapa pun. Persuratan Baru tidak tergolong dalam medan akidah, tetapi tergolong dalam medan kebaikan atau makruf, oleh itu tidak salah untuk diterima oleh sesiapa pun juga. Tidak juga salah untuk ditolak, seperti orang tidak menggemari sesuatu hidangan yang ia tidak biasa melihat atau merasainya. Jadi andaian bahawa Persuratan Baru, kerana berasaskan taklif, tidak wajar diterima sebagai satu kaedah penilaian dan teknik penulisan kreatif bagi Malaysia, adalah andaian karut yang tidak mempunyai asas ilmiah dan asas sejarah sama sekali.
            Penjelasan yang diberikan di sini mungkin sekali imbas dirasakan terlalu sukar untuk difahami, terutama sekali oleh pelajar bukan Islam yang tidak biasa dengan konsep-konsep yang dikemukakan. Menurut pengalaman saya, orang Islam sendiri pun berasa asing dan terpinga-pinga berada dalam satu wacana yang mereka tidak biasa atau belum biasa mengalaminya. Malah ada dalam kalangan sarjana sastera sendiri yang saya dapati sukar memahaminya, dilihat dari cara mereka membicarakan Persuratan Baru atau pendekatan tauhid dalam kritikan. Seolah-olah mereka berada dalam hutan rimba yang tebal, tidak tahu ke arah mana hendak dituju. Tetapi semua ini boleh diatasi dengan muda oleh orang yang cerdik, yang terlebih dahulu mempersiapkan diri sebelum memasuki hutan, melengkapkan diri dengan kemahiran membaca peta dan kompas, serta persediaan lain yang boleh digunakan apabila menghadapi malapetaka atau keadaan darurat. Demikianlah sedikit persediaan ilmiah dalam memahami gagasan Persuratan Baru dan ciri-ciri pentingnya, dengan rujukan mudah yang dikemukakan dalam tulisan ini, seseorang yang paling tumpul otaknya pun akan dapat memahami wacana yang dihidangkan dalam tulisan ini. Dengan itu, dia akan melihat perspektif baru dalam estetika dan penilaian karya kreatif, yang mungkin berbeza daripada yang sudah diketahuinya, tetapi tidak menyimpang jauh sehingga tidak dapat dikenali sama sekali kerana keasingannya. Yang diperlukan tidak lain daripada sejenis orientasi baru, yang hanya memerlukan sedikit usaha untuk mengalihkan pandangannya ke daerah yang belum diteroka, yang sebenarnya menjanjikan kekayaan ilmu yang tidak terhingga jika dia berusaha menggali khazanah ilmu yang memang sudah disediakan untuk digali sejak beribu tahun lagi. Kerana itu, janganlah takut untuk menjadi pandai  dan bijaksana, dan beranikanlah diri untuk menggeledah khazanah ilmu yang anda akan perolehi dengan meneroka gagasan Persuratan Baru yang dianjurkan sebagai satu alternatif dalam kritikan dan penilaian karya kreatif, juga sebagai panduan untuk menulis karya kreatif yang lebih bermutu dan tahan uji dari segala sudut (apabila ada yang nakal mahu menguji kehebatannya).
            Sebuah karya seperti “Birokrat Tulen” tidak mungkin dinilai dengan wajar jika pendekatan textbook yang dipakai sekarang terus digunakan. Malah pendekatan textbook ini harus diketepikan dan tidak digunakan lagi untuk “mengajar sastera” kepada pelajar-pelajar Tingkatan 6 atau pelajar-pelajar universiti. Mereka harus didedahkan kepada pemikiran, bukan semata-mata cerita dan segala aspek formalistik yang kaku-beku, yang menumpulkan akal itu. Semua karya bermutu boleh dianalisis daripada perspektif Persuratan Baru, malah itulah yang seharusnya dilakukan jika kita ingin melihat kekuatannya sebagai hasil kreatif yang bermutu. Dengan menggunakan konsep stylizaton of ideas, saya telah menunjukkan bagaimana sebuah pantun Melayu yang popular menyerlahkan keindahannya yang begitu menakjubkan; demikian juga contoh dari sajak Amir Hamzah. Anda boleh mengambil contoh-contoh lain untuk dianalisis daripada perspektif stylization of ideas. Anda akan melihat dengan jelas keselekehan (dan keselekehan teknik) sesebuah karya yang tidak bermutu, seperti misalnya novel-novel picisan yang secara popular dianggap sebagai karya agung sastera Melayu moden. Kita harus berani berdepan dengan kenyataan, dan tidak ragu-ragu memberikan penilaian yang tepat berasaskan ilmu, bukan sangkaan atau gossip. Tidak ada faedahnya mengangkat tinggi sesebuah karya tidak bermutu semata-mata untuk menyenangkan hati penulisnya atau untuk menjadi pak turut. Jika anda berilmu, anda tidak saja berani memberikan pendapat yang bernas, tetapi sanggup mempertahankannya secara bertanggungjawab.
            Sebuah karya seperti “Birokrat Tulen” tidak lagi ditulis dalam kerangka kreatif yang biasa diketahui umum. Karya itu telah menyimpang daripada kebiasaan yang ada, ditulis berasaskan kerangka baru yang berupaya memberi nilai baru kepada pembaca yang kritis. Jika aspek ini diketepikan, maka orang akan menilainya berasaskan kejahilan dan kebencian kepada sesuatu gagasan atau pendekatan, padahal yang dicabar dalam karya itu ialah sikap baru dan cara baru melihat persoalan biasa dalam masyarakat. Sebagai satu gagasan, Persuratan Baru tidak akan menghampakan sesiapa juga yang cintakan ilmu dan berani mengharungi lautan ilmu yang luas itu. Seseorang penulis, apatah lagi yang telah menerbitkan banyak karya, harus bersedia untuk dinilai sehabis kritis, dengan menggunakan ukuran yang sehabis jitu. Emas tulen tidak akan muncul dari ketulan batu, tetapi harus dibakar menjadi cair dan ditapis dengan cermat. Demikianlah karya yang baik harus bersedia untuk “dibakar” dengan ukuran yang sehabis jitu dan analisis yang sehabis kritis. Jika tidak, anda hanya membazirkan masa dan berasa megah hanya untuk mendapat ketul-ketul batu tidak berharga.