Friday, December 12, 2014

SEBUAH KARYA KREATIF UNTUK BERSANTAI



Karya Falsampah
oleh
Mohd. Affandi Hassan

Aku sampai di tempat kami akan bertemu lima minit sebelum masa yang dijanjikan. Dia sampai sepuluh minit lewat.

“Sudah lama menunggu? Maaf lewat sedikit. Tersepit dalam kesesakan Kuala Lumpur,” katanya membetulkan kelewatannya dengan menyalahkan kesesakan di Kuala Lumpur.

“Sebab itu saya sampai awal,” kataku bersahaja sambil tersenyum.

“Terima kasih.  Ikut mana pun saya tetap terkena,” sahutnya sambil tertawa. Dia menghulurkan satu bungkusan kepadaku.

“Lempuk atau dodol?” kataku bergurau, walaupun aku tahu bukan lempuk atau dodol, tetapi pastilah buku kerana bucu-bucunya boleh dilihat dengan jelas.

“Karya beberapa orang sasterawan negara untuk saudara teliti. Edisi baru dengan logo Edisi Sasterawan Negara.”

Sambil tersenyum aku buka bungkusan itu, melihat judulnya satu persatu. Lima buah karya yang berbeza tajuknya daripada lima orang penulis yang kini bergelar sasterawan negara.

“Cantik edisi khas ini. Tapi ini buku lama. Saya sudah baca sebaik diterbitkan,”kataku ringkas.

“Bukunya lama, tapi ideanya tetap baru. Semuanya mendapat pujian tinggi daripada Panel Anugerah sendiri,”  katanya bangga. “Boleh saudara beri penilaian untuk majalah kami?”

“Ideanya tetap baru?” aku bertanya seolah-olah terperanjat.  “Dari dulu pun saya sudah beri pandangan saya karya ini tidak bermutu sangat. Adalah juga, supaya tidak terlalu ketat penilaian saya. Sudah berubahkah mutunya sejak penulisnya mendapat gelaran itu?”

“Pastilah sudah berubah, kalau tidak mereka tidak diberi anugerah itu,” dia menjawab cepat. “Karya ini sudah dijadikan bahan untuk ijazah kedoktoran dalam kesusasteraan. Beberapa orang sudah diberi gelaran doktor falsafah hasil penelitian mereka terhadap karya para sasterawan negara ini. Saudara tidak boleh berdegil lagi ...” Dia tertawa kecil.

“Kalau budak pelayan datang, minta saya teh tarik dan biskut kering saja. Nak cicah teh tarik,” kataku sambil beredar ke bilik air.

Bila aku keluar dari bilik air, teh tarik dan biskut kering sudah ada di atas meja.

“Takkanlah ini saja pesanan saudara,” katanya kecewa dengan nada membantah.

“Untuk saya seperti yang saudara minta,” kataku sambil tersenyum. Aku mahu lihat apa yang dipesannya.

Kami berbincang tentang perkara yang sudah lama aku utarakan. Memang menjemukan, tetapi dia sangat ghairah bertanya dan menjawabnya sendiri, seperti dia tahu aku tidak akan bersetuju dengan jawapannya.

“Hanya retorik peragaan”, dia seolah-olah merungut. “Terlalu tepu dengan pujian. Aku mahu analisis, bukan hanya pujian dan sanjungan. Ini bukan kritikan sastera…” Dia meletakkan majalah sastera itu dengan tertib. Aku mengambilnya.
Majalah keluaran khas 40 tahun anugerah sastera itu penuh dengan gambar para sasterawan negara diiringi gambar para pengkritik sastera terkenal Malaysia. Hampir setiap muka surat dimuat gambar kulit buku Edisi Khas Sasterawan Negara. Adakah itu yang disebut sahabatku sebagai retorik peragaan?

“Satu sejarah baru untuk generasi Abad 21,” kataku sambil membelek majalah itu dan cuba memahami mengapa sasterawan negara itu begitu istimewa. Siapakah mereka?

“Siapa di antara mereka menjadi pilihanmu?” aku menduga dengan sindiran.

“Semua mereka terpilih.   Aku tidak perlu memilih lagi,” dia menjawab selamba.

“Semuanya yang terbaik? Setaraf?” aku terus mengusiknya.

“Semuanya murai,” dia tertawa kuat. “Merak masih menggigil di hutan..”

“Merak menggigil di hutan? Peribahasa baru,” aku terus mengusik. Dia terus tertawa.

“Aku suka murai. Bising menghiburkan. Kecohnya lebih. Siulannya merdu,” kataku bersahaja.

“Kalau  begitu kita kena hadir Malam Pak Hassan di Putrajaya. PM sendiri akan hadir dan akan diisytiharkan dengan gelaran  Tokoh Penglipur Lara Negara.”

“Mahu dia terima gelaran itu?”

“Apa salah dengan gelaran itu? Anugerah daripada Pak Hassan, Raja Penglipur Lara,” aku memberi pembelaan.

“Sebenarnya Pak Hassan itu siapa? Sarjan Hassan yang dalam filem P. Ramlee itu?”

“Kau tak membaca karya sasterawan negara. Sah. Pak Hassan sahabat karib Lahuma dari Banggul Derdap, Kedah Darul Aman. Darul Iman di mana? Selangor?” Dia tertawa kecil.

“Itu aku tahu. Tapi mengapa perlu diadakan Malam Pak Hassan?”

“Dia seorang seniman. Dia perlu dihormati. Dialah wira dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Itu pun kau tidak tahu. Buat apa ada sasterawan negara kalau bukunya tidak kau baca,” aku tempelak temanku yang cuba memperkecilkan seniman negara itu.

“Ya. Pelik juga. Tapi aku fikir lebih baik jika diadakan Hari Lahuma. Diadakan setiap tahun untuk menarik minat  pelancong global. Kita dapat kutip wang. Lahuma seorang tokoh berani, sanggup menderita untuk membela kaum tani negara.  Sanggup dijadikan watak bodoh untuk menimbulkan tragedi palsu. Aku mahu cadang kepada Kementerian Hiburan dan Pelancongan supaya Hari Lahuma itu diadakan. Sebagai penghormatan kepada kaum tani, kepada sasterawan negara yang membela kaum tani, kepada para sarjana dan pengkritik sastera yang menyanjung Lahuma. Kita mesti berubah, seperti yang dinasihatkan oleh Panel Anugerah …” kata kawan yang bawa cerita Pak Hassan. Dia tertawa terkekeh-kekeh.

“Malam itu PM sendiri akan baca seluruh episod “Cerita Sebenar Komando Mat Melayu”. Teman itu menepuk-nepuk perlahan permukaan meja.

“Apa pula ni? Siapa Komando Mat Melayu?” aku melontar kehairanku.

Dia tertawa. Katanya, “Kalau kau tak tahu aku maafkan. Dia bukan sasterawan negara. Komando Mat Melayu pernah menampar Pak Hassan yang menuduhnya samseng. Tapi dia menyesal ketika itu juga, lalu menghulurkan pipinya untuk ditampar Pak Hassan sambil meminta maaf.”

“Pak Hassan menamparnya?”

“Tidak. Dia memeluk Komando Mat Melayu sambil berkata, Kamu pejuang kemerdekaan tulen, bukan seperti sahabatku Kuay yang  mengembara pura-pura mencari kebenaran itu.  Tak perlu pergi jauh berpusing-pusing untuk mencari kebenaran. Kebenaran itu ada dalam dirimu. Sahabatku itu  bukan seorang pejuang kemerdekaan, tetapi hanya seorang penglipur lara menceritakan perjuangan palsunya, seperti sang tokoh dalam novel Toha Mukhtar, Pulang. Dia seorang penglipur lara moden. Mereka berdamai.”

Ketiga-tiga kami terdiam. Masih menunggu tibanya hidangan.

“Wah, hebat ya, sastera? Penuh falsafah. Penuh pemikiran …”

“Tidak semua sasterawan berfikir. Hanya sasterawan negara saja yang berfikir.”

Whatever,” sahutku sepatah.

Seketika kemudian aku bertanya, “Kau fikir betul mereka berfikir?”  Melihat tiada siapa mahu melayan pertanyaan itu, aku berkata seterusnya, “Aku pernah ikuti seminar tentang pemikiran mereka. Aku tidak nampak pun mereka sebagai pemikir. Mereka hanya pelakon yang bermain drama pretensi intelektual. Berlagak saja, sebagai pelakon drama sastera. Ada tambahan?”

Setelah lama menunggu, seorang berkata, “Kalau watak mereka tidak berfikir, bagaimana pula penulisnya boleh dikatakan sebagai pemikir? Lihat Pak Hassan, begitu bodoh dan lemah. Begitu juga Lahuma. Bodoh tapi degil. Dan jahil. Adakah watak-watak begitu hasil pemikiran? Aku tidak fikir begitu. Pak Hassan boleh dicerdikkan jika penulisnya cerdik. Begitu juga Lahuma. Mengapa petani mesti bodoh? Mengapa penglipur lara seperti Pak Hassan itu mesti bodoh dan lemah? Kalau Pak Hassan itu seniman, mengapa sebodoh itu? Adakah seniman mesti bodoh dan lemah akal? Mungkin hanya berlaku di kalangan seniman Melayu kerana penulisnya tidak cerdik. Aku bosan dengan kebodohan begini. Aku suka istilah pretensi intelektual itu. Tepat. Hanya dibuat-buat, idle talk, kata Martin Heidegger. Hanya sejenis ocehan. Seniman ocehan dilahirkan oleh sasterawan ocehan. Mengapa seniman mesti bodoh? Aku fikir sasterawan yang menjadikan seniman bodoh itu tidak beradab. Tidak bolehkah seniman dicerdikkan?”

Aku suka cabaran itu.  Sekarang aku mahu menunjukkan kebodohanku pula dengan melontarkan pendapat yang cetek meraba-raba. Aku tersenyum terlebih dahulu supaya aku tidak tertawa sebelum aku melontarkan kuliah bodohku yang mencabar. Maka berkatalah aku:

“Begini, kau silap. Sasterawan adalah propagandis zamannya, seorang pembicara yang peka kepada zamannya. Jika zamannya melahirkan seniman bodoh, maka sasterawan menulis tentang seniman yang bodoh. Jika zamannya penglipur lara bodoh, sasterawan menulis tentang penglipur lara bodoh. Jika zamannya ramai wanita Melayu jadi pelacur, maka dia menulis tentang keunggulan pelacur Melayu. Sasterawan propagandis zamannya. Dia menulis tentang realiti zamannya. Itulah peranan seorang sasterawan pemikir.  Aku tidak setuju jika mereka dikatakan bukan pemikir. Sasterawan berfikir tentang erti dan makna kebodohan dalam karya sastera. Maka dia menulis tentang kebodohan itu sebagai seorang pemikir. Hanya wataknya saja bodoh, penulisnya cerdik. Kalau tidak mana bisa jadi sasterawan.  Kalau sasterawan bodoh, macam mana pula mereka layak dipanggil sasterawan negara. Jangan kau burukkan kedudukan sasterawan. Tidak ada sasterawan yang bodoh. Yang bodoh penilai mereka, yang tidak dapat melihat kecerdikan mereka dengan hanya memberi sederet retorik peragaan yang terlalu umum dan gagal menampakkan kecerdikan sang sasterawan. Yang jelas kelihatan ialah kebodohan para penilai. Mereka tidak membaca dengan teliti karya yang mereka nilai, jadi penilaian mereka kesasar. Ini menyusahkan penilai yang mahu melihat realiti kualiti pemikiran para sasterawan negara yang sebenar. Dia mesti bersetuju dengan kebodohan penilaian awal, kalau tidak dia dianggap biadab. Dia tidak ada pilihan. Kalau dia menulis buku panduan peperiksaan untuk subjek sastera, dia mesti ikut bersetuju dengan penilaian bodoh, barulah dia seorang yang cerdik. Ini penting kerana jika dia menunjukkan kecerdikannya, pelajar sekolah yang menggunakan bukunya akan gagal. Jawapan yang betul ialah yang telah ditetapkan, bukan yang difikirkan dengan kreatif dan diolah dengan pintar. Itu sistem pendidikan kita. Mudah, bukan?”

Aku kagum dengan kecerdikanku memberi kuliah yang begitu tinggi mutu pemikirannya, sehingga membuat kedua kawanku itu terdiam. Terkebil-kebil matanya, terkunci mulutnya, tiba-tiba lidah mereka menjadi kelu, tenggelam dalam kekaguman mendengar kuliahku yang begitu akademik. Wah, kataku dalam hati memuji diriku. Tidak perlu menjadi profesor untuk menjadi cerdik dan akademik. Aku tertawa kecil, yang mengejutkan dua orang temanku itu.

“Apa yang menggelikan hatimu?” tanya seorang dengan hairan.

“Aku kagum mendengar kuliahku tadi,” kataku tertawa kecil.  Seorang kawan ikut tertawa.

“Yang menggelikan hatiku ialah kecetekan pendapatmu. Semua yang kau sebut itu mengarut. Yang betulnya ialah tidak ada makna yang tetap dalam kesusasteraan dan dalam karya sastera, sentiasa berubah. Itu namanya anjakan makna. Makna itu seperti kelapa yang hanyut di tengah laut, di tengah ombak. Jika singgah di pulau, jadilah kelapa yang berbuah. Jika tidak, terus tenggelam. Itulah makna makna yang berubah, namanya anjakan makna. Mana-mana karya yang tenggelam, maka itulah korban anjakan makna, bukan kerana karya itu tidak bermutu.”

Aku tidak mengerti mengapa ketiga-tiga kami tertawa mendengar pendapat yang begitu bernas.

“Kau mahu bukti?” cabar temanku sambil tertawa. “Lihat Salina, dapat hadiah sagu hati dalam peraduan menulis novel. Tapi sekarang? Satu-satunya karya Melayu yang naik taraf menjadi karya antarabangsa. Ini bukan korban anjakan makna, sebaliknya inilah kesan kebenaran teori anjakan makna. Sesuatu yang buruk dan tidak bermutu, boleh dijadikan bermutu jika mutu itu diberikan kepadanya. Macam Pak Pandir, selalu diejek sebagai watak jenaka yang bodoh. Tetapi bagaimana  kedudukannya bila dijadikan istilah falsafah dalam bentuk pandirisme? Taraf dan kedudukan Pak Pandir tiba-tiba menjadi agung, kerana dari wataknya itu kita menemui satu kebenaran budaya dalam pemikiran yang digambarkan oleh para  sasterawan dalam karya mereka. Maka lahirlah konsep pandirisme. Demikian hebatnya teori anjakan makna. Menerusi teori ini, Pak Pandir menjadi begitu bijak, jauh lebih bijak daripada sasterawan negara yang kini dinilai dari perspektif Pak Pandir, dari perspektif pandirisme. Dirgahayu Pak Pandir!”

Aku dan teman yang seorang lagi tertawa. Tiba-tiba teman itu berkata:

“Tepat. Aku setuju. Lihat bagaimana Si Tanggang menjadi seorang intelektual, kemudian menjadi usahawan yang berjaya, dan akhirnya menjadi menantu raja.  Sebagai intelektual, Si Tanggang masuk dalam ucapan seorang puteri raja dari Jordan, yang satu ketika dulu melawat Malaysia untuk menerima anugerah.  Beraninya penulis ucapan itu memperbodohkan anak raja dari Jordan itu, dan mendapat tepukan hadirin pula yang mungkin itulah kali pertama mendengar nama Si Tanggang. Demikian hebatnya pengaruh sastera. Khalayak yang terdiri dari orang baik-baik dan berpelajaran boleh bertepuk tangan bila nama Si Tanggang disebut, sebagai seorang tokoh yang menjadi kemegahan negara kerana telah dinaikkan tarafnya oleh seorang sasterawan negara…”

“Inilah hasil anjakan makna,” aku mencelah pantas. “Inilah fungsi sastera. Keburukan dijadikan kebaikan melalui karya sastera. Kebaikan dijadikan keburukan apabila sasterawan berkata begitu.  Tidak perlu ilmu yang benar dalam karya sastera, kata para sasterawan dan sarjana. Cukup dengan cerita saja. Dalam cerita ada makna, oleh itu ada ilmu. Sama ada ilmu itu ilmu yang benar atau yang tak benar hanya menjadi masalah kepada pemikir sastera, tetapi tidak menjadi sesuatu yang mengikat pada seorang sasterawan yang bebas membuat pilihan. Jika dia memuji Mephistopheles, Raja Iblis, tidak mengapa kerana dibenarkan dalam karya sastera.  Anak raja dari Jordan itu tidak ditipu bila dia mengutip contohnya daripada cerita Si Tanggang, kerana sekarang Si Tanggang tidak lagi seorang anak yang bodoh, sebaliknya sudah menjadi intelektual yang kaya pula. Jangan tanya tentang sikap menderhakanya. Itu soal dia dengan ibunya, dan dia dengan Tuhannya. Soal peribadi. Sastera tidak bercakap tentang peribadi. Sastera bercakap tentang kemanusiaan yang universal.”

Teman yang tadinya hanya diam mendengar, akhirnya bertanya:

“Kau serius, atau hanya bermain-main, berlawak jenaka?  Kau sudah jadi Raja Lawak?”

Kami tertawa kuat.

“Encik, makanan sudah sejuk,” kata pelayan segera, melihat kami tertawa, tidak lagi bercakap dengan muka yang begitu serius.

“Masakan Barat lagi!” kata seorang seolah-olah membantah. Tetapi dia memenuhi pinggannya dengan masakan Barat yang diungkit dan disungutinya itu.

“Kau pun minat Barat,” kataku mengusik.

“Sedang lapar. Ini yang kau hidangkan, inilah yang kami makan.”

“Soalnya bukan Barat atau Timur. Soalnya halal atau haram. Jelas dalam Islam.”

Tidak siapa pun peduli dengan ucapannya, kerana semua sudah diketahui oleh orang Islam.

“Dari segi makanan memang mudah. Dari segi ilmu bagaimana?”

“Juga mudah, jika kau tahu. Pokoknya, kau berilmu atau jahil. Sama ada berilmu atau jahil ditentukan oleh Islam, bukan ditentukan oleh yang lain. Barangkali di situlah timbul masalah, apabila orang Islam memilih untuk menjadi bodoh dengan tidak menerima prinsip ilmu dalam Islam.”

“Kalau  begitu, sastera harus ditulis oleh orang berilmu?”

Kami seolah-olah tidak mendengar pertanyaan itu.

“Kalau begitu, hanya ustaz saja yang boleh jadi sasterawan?”

“Bila sudah jelas konsep ilmu, pertanyaan itu tidak perlu lagi,” aku mencelah.

“Mengapa ilmu menakutkan para sasterawan dan sarjana sastera juga?” yang bertanya tadi terus bertanya.

Aku tersenyum, lalu memberikan pendapatku: “Kerana kau bukan tukang masak, kau menimbulkan persoalan Barat atau Timur, sedangkan yang perlu ditentukan ialah halal haramnya. Jadi kau harus tahu dua perkara, tahu memasak dan tahu pula halal haramnya.”

“Tapi aku tak suka masak. Aku mahu makan masakan yang  enak saja.”

“Yang enak dan halal,” aku membuat pembetulan. “Tak ada pilihan. Untuk tahu enak tidaknya, kau harus mempunyai pengalaman memakan makanan yang enak dan halal. Jadi perlukan ilmu dari pengalaman memakan makanan enak dan halal.”


Bab VI

“Mengapa terus bab VI? Di mana kau letakkan bab-bab sebelumnya?,” dia bertanya hairan.

“Bab hanya tajuk, bukan urutan. Boleh diberi nama apa saja, misalnya Hantu, Hantu Bungkus, Hantu Sungai… Dunia hantu pun ada hierarki?  Hanya dalam sastera ada hierarki. Ada sasterawan negara, ada sasterawan biasa, ada penulis veteran, ada penulis muda. Ada karya besar, ada karya kecil, ada karya persuratan, ada karya sastera, ada karya picisan, ada karya erotik … Yang satu tidak boleh mendahului yang lain. Sasterawan negara mesti di depan, walaupun karya mereka tidak bermutu dan karya yang bukan sasterawan negara lebih bermutu. Profesor tidak sama statusnya dengan profesor madya, walaupun mungkin profesor madya lebih cerdik dan lebih ilmiah tulisannya. Tentang bab? Hanya sejenis nama yang diberikan dalam penulisan.”

Ternyata teman ku itu tidak puas hati.

“Yang aku belajar dan diajarkan lain. Setiap bab mesti ada satu fokus. Fokus itu yang diutamakan, bukan nama bab. Bab II mesti selepas bab I.  Begitu. Ini terus bab VI. Tidak saja pelik, tapi tak ada urutan logikal. Ini pun kau jadikan masalah? Gila..?

“Sastera adalah ekspresi sejenis kegilaan, mesti bermula dengan kegilaan,” balasku sambil tertawa, sengaja hendak mengusiknya.

“Apa lagi yang kau mahu? Itu caramu mengambil perhatian, bukan?”

“Bukan. Itulah cara aku berfikir. Aku sedang memperkenalkan satu falsafah penulisan. Lebih tepat falsampah, kerana dalam karya sekarang banyak sangat sampah sarap yang digelar bullshit itu. Falsampah, itu panggilan yang tepat untuk karya begini …”

“Termasuk karya sasterawan negara?” dia mencabar.

“Itu mesti ditentukan oleh pengkritik dan sarjana sepertimu, bukan aku yang hanya jadi penulis.”

Dia tertawa sambil menggeleng kepala.

“Macam-macam kau lakukan untuk mendapat perhatian. Untuk bereksperimen. Untuk mencari kelainan, memperkenalkan jalur baru dalam karya kreatif. Kami yang membicarakan kau dipaksa membuang masa memberi tafsiran. Guna pelbagai dan berbagai teori, padahal yang diperlukan hanya akal sihat dan keberanian untuk berkata benar. Tentang karya yang tidak bermutu, tidak harus dikatakan bermutu hanya kerana ditulis oleh seorang sasterawan negara.”

“Mengapa kau anti sasterawan negara? Apa dosa mereka?”, aku terus mengusik.

“Itu bukan ekspresi kebencian, hanya satu hipotesis. Mana kau tahu semua praktik orang akademik macam aku,” balasnya menyindir.

“Betul juga,” kataku dalam hati.  “Hanya satu hipotesis …,” aku ulang dalam hati. “Setiap penilaian adalah hipotesis, tidak mengikat. Selalu ada ruang untuk dimasuki, membawa hujah baru. Adakah penilaian Panel Anugerah Sastera Negara juga satu hipotesis ..” Aku mahu uji sahabat ku si sarjana itu.

“Adakah semua penilaian itu hipotesis? Termasuk penilaian Panel Anugerah Sastera Negara? Dan lain-lain penilaian yang dilakukan oleh penilai, termasuk yang mendapat hadiah?”

Dia tertawa. “Penilaian Panel Anugerah Sastera Negara bukan hipotesis lagi. Pemilihan sasterawan negara tidak boleh dilakukan secara hipotesis saja. Pilihan mereka muktamad. Penilaian terhadap mereka juga muktamad. Jika mereka diberi gelaran sasterawan intelektual, maka jadilah mereka sasterawan intelektual. Jika ada yang diberi gelar penglipur lara, maka jadilah mereka penglipur lara. Muktamad. Mesti terima. Itulah sifat kritikan di Malaysia, walaupun di tempat lain yang lebih biadab dan mundur, keputusan mereka boleh berubah-ubah dan diubah. Di negeri maju memang kerja sarjana dan ahli akademik mengubah keputusan ilmiah terdahulu, diganti dengan yang baru. Itu namanya kemajuan…”

Aku termenung beberapa ketika, memikirkan keputusan yang pelik itu.

“Itu hanya pendapat kau,” aku memberitahunya. “Tidak semestinya begitu.”

“Tetapi di Malaysia begitulah,” dia berkeras. “Di tempat lain aku tidak mahu ambil peduli. Itu hal mereka. Aku bercakap tentang cara kita bekerja dan membuat keputusan. Di Malaysia. Itulah caranya. Mana boleh kau tak tahu. Sengaja tidak mahu tahu?”

“Cara itu tidak betul,” aku juga berkeras. “Tidak ada kediktatoran ilmu. Keputusan begitu hanya dilakukan oleh seorang diktator. Adakah kita juga mempunyai diktator dalam dunia akademik kita? Siapa orangnya.  Biar aku ludah mukanya. Apa dia boleh buat? Habis sangat dia dakwa aku di Mahkamah. Tapi meludah bukan satu jenayah. Bulan puasa pun ramai orang meludah.”

Dia tertawa. “Cukup. Tak perlu dipanjangkan. Tidak ada penyelesaian. Hanya satu saja penyelesaiannya, kita terima apa yang telah diputuskan, walaupun keputusan itu bodoh. Mengapa kita mesti masuk campur dalam kebodohan mereka?”

Aku berkeras, “Cara itu tidak betul. Yang betul semua perkara mesti dikembalikan kepada ilmu. Setiap keputusan mesti berasaskan konsep ilmu yang benar, bukan hawa nafsu. Keputusan macam kau kata itu mengikut hawa nafsu. Aku tidak boleh terima.”

“Tetapi semua orang sudah terima. Sudah dijadikan arus perdana. Siapa mahu peduli dengan pendapatmu, walaupun kau mungkin betul.”

“Kita harus kembali kepada kebenaran,” aku terus berkeras.

Dia tertawa lebih kuat.

“Kalau ikutkan pendapatmu, kita tidak boleh adakan sasterawan negara. Semua mereka tidak layak diberi gelaran itu. Ulama pun tidak diberi gelaran ulama negara. Ahli ekonomi negara. Mana ada sarjana negara. Hanya sasterawan negara yang ada. Mereka istimewa.  Kebenaran ditentukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, bukan oleh kau. Kau tu siapa nak membantah? Seperti anjing menyalak bukit saja. Seribu ekor menyalak pun tidak akan runtuh bukit. Mengapa membuang masa?”

“Sekurang-kurangnya ada anjing yang berani membetulkan kesilapan itu, setelah manusia menjadi penakut dan bodoh,” aku menempelak temanku yang semakin ghairah membela kumpulan songsang itu.

“Ikut suka kau. Aku tak mahu masuk campur,” dia mengejek.

“Tapi kau sudah jadi pembela mereka. Itu bukan masuk campur?”

Nampaknya tidak ada kesudahan. Hanya dengan satu cara, kataku. Betulkan konsep ilmu dan buatlah keputusan berasaskan konsep ilmu yang betul. Tetapi mereka telah menolaknya. Mereka lebih selesa berada dalam pretensi intelektual. Itu lebih mudah dan setiap orang boleh bergelar intelektual.  Walaupun semuanya palsu.

Bab III


Kami bertemu lagi di hotel yang sama.  Mereka suka Coffee House hotel itu. Selesa dan tidak diganggu oleh pelanggan lain. Tempat itu luas dan susunannya cantik, terdapat beberapa gambar pemandangan dari seluruh benua, semuanya gambar air terjun. Sungguh hebat dan cantik setiap pemandangan yang digantung, dikelilingi hutan dan di sekitar kawasan air terjun itu terdapat burung-burung yang terbang atau sedang mandi.

“Kita perlukan satu teori sastera sekarang,” seorang teman bersuara.  “Terdapat banyak sekali sampah sarap dalam sastera Melayu sekarang. Turut menambah sampah sastera ini ialah karya para ustaz yang menggunakan nama Islam untuk menulis novel cinta yang dangkal dan penuh khayal. Ada pula penerbitnya. Kononnya terbitkan novel Islami berdasarkan estetika Islam. Sekarang terlalu ramai penjual agama, dan dibeli pula. Zikir pun mereka komersialkan. Penuh sesak berhimpun jantan betina seperti menghadiri satu pesta besar.  Perempuan Melayu tua muda memenuhi pesta zikir itu, datang dengan wajah bersolek cantik.  Para ustaz yang bertaraf lebai kampung yang kebetulan boleh menulis cerita, memenuhi pasaran pembeli muda dengan kisah cinta remeh-temeh dibumbui dengan latar luar negeri, dari negara Arab, memenuhi pasaran. Dijadikan drama. Mendapat sambutan besar seperti pesta zikir tadi. Semua dikomersialkan. Kita mesti diamkan saja dan berasa puas kerana Islam dikomersialkan?  Kita mesti buat sesuatu. Kita mesti perkenalkan teori sastera untuk mengawal sastera falsampah ini dari merebak.” Dia begitu  bersungguh-sungguh.

“Tak fasal-fasal nak cari fasal,” bisik hatiku. Lalu berkata, “Biarkan saja. Mungkin niat mereka baik, untuk mendidik anak-anak muda mencintai agama. Aku fikir tidak salah. Habis sangat kita boleh buat ialah berbincang dengan mereka. Berbincang dengan kritis. Itu lebih baik daripada membendung sesuatu yang masih syubhat, belum jelas baik buruknya.”

Dia segera memotong. “Kalau sudah syubhat, mesti dibendung, supaya yang syubhat tidak dipopularkan hingga jadi kebiasaan.”

Aku termenung seketika, cuba membayangkan bagaimana bentuk teori itu. Tidak perlu teori untuk mencegah kemungkaran. Kalau sudah diteorikan, kesudahannya makin besar kekeliruan dan makin meluas kemungkaran apabila teori itu tidak difahami. Apa yang aku boleh bantu untuk meredakan kemarahan teman ku itu? Dia fikir membina teori seperti membuat lempeng gandum?

“Boleh aku dengar apa yang kau fikirkan tentang teori itu?” kataku memberi laluan.

“Aku hanya melontarkan idea, hanya satu cadangan,” katanya seolah-olah membantah.

“Baik. Lontarkan saja ideamu.”

Setelah diam sejenak, berfikir mencari landasan untuk teori yang dicadangkannya itu, dia memulai boraknya tentang teori itu.

“Tidak ada Islam popular atau Islam apa-apa yang kau suka label. Islam adalah Islam. Itu yang pertama kena faham. Sekarang istilah sastera popular Islami. Sastera popular itu sendiri sudah tidak ada kualiti. Mana boleh diletakkan perkataan Islami di situ, seolah-olah menggunakan nama Islam untuk memberi kualiti kepada karya yang tidak ada kualiti supaya laku dijual untuk  mencari wang. Islam tidak boleh diperniagakan, haram, berdosa besar kerana menjual agama, dikutuk al-Quran.  Aku juga tidak setuju label sastera Islam. Dalam Islam tidak ada sastera. Menjadi sasterawan pun tidak digalakkan, apatah lagi mengangkat sasterawan menjadi sasterawan negara. Sasterawan adalah tukang cerita, itulah makna sastera dari dulu hingga sekarang seperti yang difahamkan dalam tamadun Barat yang kemudiannya ditiru oleh penulis Melayu yang terpengaruh dengan penulis Indonesia yang terpengaruh dengan penulis Belanda.  Ingat, sasterawan adalah tukang cerita.  Dunianya penuh dengan khayalan. Mereka namakan imaginasi. Kalau sudah imaginasi, di mana letaknya kebenaran? Setiap imaginasi adalah bikinan angan-anganmu sendiri. Bagaimana boleh kau jamin kebenarannya? Katamu karya sastera  berasaskan realiti. Tetapi realiti itu ada yang palsu, ada yang betul-betul kau alami. Kau tak akan faham makna realiti kalau tidak dilihat dari perspektif ilmu yang benar. Yang kita perlukan bukan teori sastera Islam, tapi satu panduan konkrit yang boleh digunakan untuk menjadi panduan bagaimana menulis karya kreatif  dari perspektif Islam dan panduan menganalisis. Itu yang kita perlukan.”

“Masuk akal,” kataku dalam hati. Kataku menyokong kawanku, “Kalau begitu kita telah melakukan kesilapan besar dengan melantik para sasterawan negara ini? Kau yakin bertentangan dengan Islam?”

“Aku tak pernah ragu tentang perkara ini. Memang bertentangan dengan Islam.  Dengan adab Islam.”

Begitu tegas pendirian sahabatku itu. Begitu tegas dan menggerunkan.

“Aku berbeza pendapat dengan kau berdua,” tingkah teman yang satu lagi, yang selama ini mendiamkan diri mendengar saja. “Masih boleh diberi hadiah, tapi tanpa gelaran. Memberi gelaran itu haram sekiranya tidak memenuhi syarat dalam Islam. Jika memenuhi syarat, menerima gelaran secara rasmi adalah biadab.  Lebih biadab lagi sekiranya lepas diberi anugerah, mereka mengharapkan penghormatan. Jika tak disebut gelaran sebelum menyebut nama mereka, mereka berkata orang itu biadab. Yang sah merekalah yang biadab dan angkuh.  Orang Islam yang beradab tidak mahu diberi kedudukan secara rasmi begitu. Susah nak tentukan sama ada dia sepanjang hidupnya layak menerima gelaran itu. Sasterawan negara pernah menulis karya lucah dan erotik yang bertentangan dengan Islam sebelum dilantik. Selepas dilantik mereka menggunakan kedudukan itu untuk meneruskan kejahatan masa lalu. Aku tak perlu beri contoh. Perkara ini sudah diberi teguran banyak kali, tapi tidak dipedulikan. Kerana ada teguran dari seseorang, kita semua terlepas dari dosa kifayah. Terima kasih pada yang bertanggungjawab itu.”

Aku puas hati. Pandangan dua orang kawanku ini membuat aku yakin masa depan persuratan Melayu berada di lorong yang betul. Dari era falsampah kepada era falsafah dari perspektif Islam. Kita akan melahirkan golongan al-adib lagi.  Kini sudah jelas kita tidak perlukan sasterawan; apatah lagi sasterawan negara. Kita menunggu lahirnya beratus al-adib baharu dalam persuratan Melayu.

Bab X
Membina Taman Persuratan
Mencari kelainan bukan satu tuntutan dalam penulisan, begitu juga tidak diperlukan eksperimen untuk menjadikan sesebuah karya itu menarik. Hanya dua syarat saja yang diperlukan untuk menjadi seorang pujangga besar: penguasaan ilmu yang mendalam, dan kedua kemampuan intelektual yang tinggi, termasuk bersamanya kebolehan kreatif yang kaya dengan kemahiran untuk mencipta karya yang memikat dari segi intelektual, emosi, dan murni dari segi penghayatan kerohanian. Ilmu yang mendalam diperolehi daripada pembacaan yang luas, dengan berguru kepada para guru yang alim dalam bidang masing-masing, dan melalui perbahasan yang terancang dalam pelbagai bidang ilmu yang boleh dijadikan rujukan dalam penulisan. Kemampuan intelektual pula dikuasai melalui latihan berfikir secara logik yang diajarkan dalam ilmu filsafat melalui pembacaan dan kajian secara umum dengan akhirnya menjurus kepada satu atau dua bidang tertentu, misalnya bidang epistemologi, atau bidang estetika, atau bidang ilmu perbandingan filsafat, atau bidang-bidang yang diminati.  Seperti yang dipesan oleh Imam Shafiee: jika kamu mahu menjadi alim kuasai satu ilmu dengan mendalam; kemudian kau tambah dari semasa ke semasa dengan ilmu-ilmu atau disiplin yang lain mengikut kecenderungan kamu. Begitulah cara untuk menjadi orang alim atau orang berilmu.  Tidak seorang pun di antara sasterawan negara itu yang dapat memenuhi syarat ini.

Ya. Pelik. Aneh.  Tidak cukup syarat, tetapi masih diberi penghormatan begitu tinggi mengatasi para ulama dan cendekiawan Melayu lain. Tidak pernah berlaku dalam sejarah.  Bagaimana seorang sasterawan yang menunggu begitu lama untuk dijadikan sasterawan negara, tiba-tiba diberi kedudukan itu padahal tidak ada karya baru yang bermutu dihasilkannya, sedangkan karya lama beliau telah ditolak awal-awal lagi sebagai tidak memenuhi syarat untuk membolehkannya dilantik menjadi sasterawan negara.  Setelah dijadikan sasterawan negara, dengan serta merta karya beliau mendapat perhatian dan pujian, padahal sebelum itu tidak diberi perhatian sehebat selepas dia mendapat gelaran sasterawan negara. Mengapa keadaan ini berlaku?  Perubahan ini terjadi kerana adanya persepsi bahawa apabila seseorang diberi kedudukan atau penghormatan, maka secara automatik semua perilakunya yang lepas dan hasil tulisannya yang dulu tidak diberi perhatian, layak mendapat pujian kerana sekumpulan penilai yang berkumpul sebagai Panel Anugerah Sastera Negara telah menjatuhkan hukuman estetik bahawa karya sasterawan berkenaan adalah bermutu tinggi setelah diberi kedudukan sebagai sasterawan negara, kerana jika tidak demikian, maka gelaran sasterawan negara itu akan dianggap  palsu, tidak mencerminkan ketinggian pemikiran penulis dan keindahan karya itu dari segi estetiknya.  Karya sasterawan ini yang dahulunya tidak cukup syarat, kini telah dilengkapkan syaratnya melalui penilaian oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang muktamad, yang tidak boleh diubah dan tidak juga boleh dikritik kerana kedudukan seseorang sebagai sasterawan negara tidak membenarkan dia dikritik.  Demikianlah pretensi intelektual dalam kritikan sastera Malaysia membolehkan karya yang tidak bermutu menjadi bermutu setelah penulisnya berubah kedudukan dari tidak bergelar kepada bergelar, walaupun karyanya masih yang dulu juga.”

“Mengapa orang selalu mempertikaikan kejujuran ilmiah seseorang? Apa maksudnya?,” cabar teman yang sukakan cabaran itu. “Sebenarnya kejujuran ilmiah tidak penting, sekiranya sesuatu tulisan itu mempunyai kualiti ilmiah yang tinggi. Di  situlah kejujuran intelektual melahirkan kehebatannya, melalui sebuah karya ilmiah yang bermutu.  Hanya seorang sarjana yang jujur kepada ilmunya yang dapat menghasilkan karya akademik yang bermutu tinggi.” Dia membetulkan duduknya, menggerakkan badannya ke kiri sambil merenung sekumpulan anak-anak yang sedang berebut tempat. Dia tersenyum, seolah-olah bersimpati dengan budak-budak itu. 

Kemudian dia berpaling kepada kami sambil menyambung percakapannya tadi. “Tidak ada hujah untuk menentang kesimpulan ini.  Tidak ada hujah untuk menolak kesimpulan ini. Kejujuran seorang sarjana akan kelihatan jelas dalam kemantapan tulisan akademiknya. Bagaimana dengan sasterawan? Karya seorang sasterawan yang disukai kawan-kawannya tetap bermutu, walaupun tidak mempunyai kualiti pemikiran yang tinggi. Sebenarnya itu tidak penting, kerana kualiti itu boleh diangkat dengan pujian dan sanjungan, yang tidak akan dipersoalkan oleh sesiapa pun. Jika dipersoalkan, yang rugi ialah orang yang mempersoalkannya; bukan sasterawan yang dipersoalkan itu. Mengapa terjadi demikian?  Jawapannya diberikan oleh Aesop dalam cerita serigala dengan anggur.  Cerita Aesop ini menjadi hujah yang sangat berkesan untuk memburukkan para pengkritik supaya diam dan bercakap hanya untuk memuji.” Temanku itu tersenyum menyindir, nampaknya dia cukup puas dapat meluahkan sindirannya.

“Sepatutnya kita bincang bagaimana hendak membina taman persuratan,” aku mencelah. Nampaknya mereka tidak berminat. Aku agak kecewa kerana seolah-olah dinafikan daripada mengemukakan pendapatku.

“Tajuk itu tidak perlu dibincang,” dia berkata ringkas.

“Itu tajuk penting, perlu kita bincang,” kata teman yang seorang lagi. Sambil memandangku, dia berkata seterusnya, “Kau saja yang mulakan.”

“Tak usah membuang masa,” yang seorang lagi memotong cepat. “Lebih baik kita bincang mengapa sarjana kita terikat oleh pretensi intelektual. Mereka memberi gambaran palsu, penilaian palsu, dan harapan palsu. Mereka membina konflik yang tidak perlu dengan menjadikan pretensi intelektual suatu hujah dalam perbahasan.”

Aku  sendiri tidak terfikir aspek ini, yang aku anggap perkara biasa saja dalam perbahasan ilmu.  Pretensi intelektual? Apa maksudnya? Setiap perdebatan tidak dapat mengelak daripada pengaruh pretensi intelektual itu. Mungkin fahamanku lain, lalu aku bertanya teman yang membawa persoalan ini dalam perbicaraannya tadi.

“Kamus bahasa Inggeris memberi makna pretensi “the deliberate creating of a false impression”. Itu dalam The New Lexicon Webster’s Dictionary. Dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia lebih tegas, “alasan yang dibuat-buat”.  Kamus Dewan lebih manis, “dakwaan atau gambaran kononnya mempunyai atau melakukan sesuatu yang istimewa (padahal tidak kelihatan atau terbukti demikian.)” Aku suka definisi Kamus Dewan yang jelas ini, tetapi mengapa dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara penuh dengan hujah yang bercorak pretensi intelektual, lebih tepat pandangan biasa yang tidak dihujahkan dengan konkrit, hanya tidak lebih dari pretensi intelektual sahaja.  Betul kata kamus Inggeris itu, hanya memberi gambaran palsu, pretensi intelektual yang tidak berbobot intelektual. Mereka tidak tahu, tidak sedar, apa yang mereka buat? Mereka tidak pernah rujuk Kamus Dewan!”  Kawanku itu membuat kesimpulan sambil tertawa besar.

“Betul juga,” kataku menyokong. “Perbezaan karya persuratan dengan karya sastera belum dijelaskan lagi. Padahal itulah dua kategori karya yang perlukan penjelasan.”

“Aku kira itu sudah selesai. Tidak sukar untuk memahaminya, melainkan bagi yang hanya mencari helah dan mencari alasan yang dibuat-buat. Jika kau tidak setuju pun, kau masih boleh memahami dan melihat perbezaannya. Bagiku yang penting ialah apakah pilihan kita. Mahu terus berada dalam kecetekan bersastera; atau sudah sampai waktunya kita membina taman persuratan.  Aku tidak boleh bayangkan para sasterawan dan sarjana boleh bersikap anti-ilmu. Aku tidak mahu berkata mereka juga anti-agama, nanti mereka marah.” Dia tertawa ketika menyebut ayat terakhir itu.

“Ya. Aku setuju. Apakah yang menghalang kita daripada membina taman persuratan itu?”

“Bukan perkara baru pun,” aku mencelah.

“Masalah pretensi intelektual ini akan hilang jika penulis kita dan sarjana kita menerima perbezaan karya persuratan dengan karya sastera. Pretensi intelektual adalah akibat dari keengganan menerima konsep ilmu yang benar yang menjadi asas karya persuratan.”

“Betul. Aku setuju. Sebenarnya mereka bukan menolak konsep ilmu yang benar. Mereka hanya mahu diterima penulisan karya sastera juga berasaskan konsep ilmu yang benar. Itu saja masalahnya.”

“Itu akan menambah masalah, kerana karya sastera tidak akan wujud lagi. Bila sudah menerima prinsip itu, karya sastera tidak relevan lagi. Yang ada nanti hanya karya persuratan dan karya picisan, erotik dan pornografi. Ke mana kita hendak buang karya sastera?  Lebih cerdik dan lebih praktikal menerima saja hakikat bahawa karya sastera itu asasnya cerita, bukan ilmu yang benar. Payah sangatkah hendak berpindah kepada karya persuratan dengan menjadikan konsep ilmu yang benar itu asas penulisan kreatif yang mementingkan wacana. Kalau mahu bercerita, teruskan saja menulis karya sastera. Tetapi kalau mahu menghasilkan karya yang bermutu dan mengutamakan ilmu, ciptalah karya persuratan. Apa masalahnya?”

“Masalahnya ialah sasterawan negara tidak relevan lagi,” aku menegaskan. “Memang tidak diperlukan lagi. Nanti ramailah sasterawan yang kempunan hendak jadi sasterawan negara padahal kewujudan mereka tidak relevan lagi.”

Anehnya kami tidak tertawa. Mungkin kami bersimpati dengan mereka.

“Aku pernah dengar, ramai sasterawan anggap gagasan Persuratan Baru mengkhianati kesusasteraan Melayu,” kata yang cakap tak perlu bincang karya persuratan tadi.

Aku hanya tersenyum.

“Tak ada yang mahu komen?” cabar seorang.

“Dia boleh tolak Persuratan Baru. Sekali gus dia tolak konsep ilmu yang benar. Aku fikir dia tidak sedar akibatnya.”

“Tapi dia terima konsep ilmu yang benar. Katanya boleh dibawa ke dalam penulisan berbentuk sastera. Tiada halangan.”

“Biarkanlah.”

“Maksudmu, Persuratan Baru yang tak relevan?”

Whatever.  Kalau itu pilihannya,” kataku sambil tertawa kecil.

Kawanku nampaknya tidak berpuas hati.

“Biar mereka baca Balai Maqamat untuk melihat perbezaan karya persuratan dengan karya sastera oleh para sasterawan negara”, kata  seorang.

“Mereka tidak akan baca,” kata seorang lagi. “Adab dan kesopanan sasterawan negara tidak membenarkan mereka mendekati karya yang tidak setanding dan tidak setaraf  dengan mereka. Mereka ada kedudukan, ada pengaruh, ada wang, ada penyokong yang ramai, dan sebagainya. Tidak masuk akal untuk mendekati Balai Maqamat yang tidak dikenali penulisnya.”

“Ya,” sahutku sepatah, perkataan paling pendek dalam bahasa Melayu.

TAMAT



No comments:

Post a Comment